Tuesday, 23 December 2014

Jenayah Rajuk

Bismillah

Disember yang sepatutnya menjadi bulan percutian, berubah menjadi bulan yang begitu menyibukkan. Mahu pulang ke kampung, tetapi tidak berkesempatan.

Minggu pertama menuju ke program.
Minggu kedua diburu Headcount dan kelas tambahan
Minggu ketiga menjadi penyibuk untuk program yang sepatutnya di uruskan oleh pelajar (MEMORI)


Berhadapan dengan anak-anak muda yang mula bergerak dalam organisasi secara profesional, penuh dengan pelbagai ragam. Tidak ubah seperti cerminan kepada aku dan rakan-rakan ketika di kolej persediaan. Cuma kali ini, ada satu perkara yang cukup menarik perhatian aku. Satu sindrom emosi yang mengganggu kerja, perjalanan program, serta merosakkan hubungan dalam organisasi. Sindrom yang hadir kerana ketidakmatangan, atau mungkin sekadar gangguan dalam proses mematangkan remaja. Lalu kemudiannya menjadi jenayah yang menserabutkan orang lain.

Merajuk....

Sangat-sangat membinasakan...
Tapi, mengapa?

Ramai orang mengatakan konflik merasa diri tidak dihargai menjadi sebabnya. Namun, adakah cukup sekadar itu?

Muhammad Rasul Allah! Dan orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia daripada Allah dan keredaan; tanda-tanda mereka pada wajah mereka daripada bekas sujud.  Demikianlah perumpamaan (sifat-sifat) mereka dalam Tawrat dan perumpamaan (sifat-sifat) mereka dalam Injil, seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka ia menguatkannya, lalu ia menjadi besar, maka ia tegak di atas batangnya, menakjubkan penanam-penanamnya kerana Dia (Allah) hendak menjengkelkan orang kafir kepada mereka. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih antara mereka keampunan dan pahala yang besar   (Surah AlFath)

Ulama' mentafsirkan keras itu dengan cara mempamerkan kehebatan kepada orang kafir. Manakala lembut yang dinukilkan bukanlah bermaksud "sotong" dan cakap mendayu-mendayu. Sebaliknya, perkataan itu memberitahu orang Islam agar sentiasa merendah diri apabila berhadapan dengan saudara-saudara yang seakidah. Merendah diri, yang tidak sikit pun merasakan diri lebih baik dari rakan-rakan lain.

Perasaan tinggi diri, menjadi racun yang memaksa orang lain menerima pendapat dan idea yang dikemukakan. Merasakan apa yang diutarakan sebagai yang terbaik, menyebabkan kita begitu mudah merendahkan pendapat-pendapat lain dalam perbincangan. Hingga bilamana idea kita ditolak, kita menjadi diri yang terlaknat dengan melaknat orang lain. Mengutuk pandangan sahabat di luar perbincangan dan lebih teruk lagi, mengugut rakan sendiri..

"Aku malas dah nak join korang, aku cakap bukan korang nak dengar.."

"Aku tak nak dah buat video.. lantak la apa jadi. Korang cari lah orang lain."

Ayat-ayat merajuk yang menunjukkan seolah-olah diri begitu penting, hingga tiada yang mampu mengganti. Kononnya diri jauh lebih baik dari ahli-ahli yang sedia ada berkhidmat dalam pasukan. Kesombongan yang begitu membinasakan.. Bukan sekadar membinasakan pasukan, tetapi lebih teruk kesannya kepada diri sendiri.

“Tidak masuk surga seseorang yang di dalam hatinya ada kesombongan seberat biji atom.” Seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang menyukai jika bajunya bagus dan sandalnya (juga) bagus.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya Allah adalah jamil (Maha Indah), Dia cinta pada keindahan. (Tetapi yang dimaksud) sombong itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang.” (Hadith riwayat Muslim) 

Remaja penuh dengan seribu satu pemberontakan. Oleh itu, jadilah remaja yang memudahkan, bukan menyusahkan. Tanamkan dalam hati untuk menyenangkan, bukan merunsingkan. Jenayah Rajuk hanya untuk orang-orang sombong. Yang berdakwah bukan untuk ummah, tetapi untuk mengangkat diri sendiri. Maka, jagalah hati..

MEMORI 2014 sudah melabuhkan tirai. Walaupun tidak berada dalam pusat Islam, aku begitu beriya mahu menjayakannya. Menghabiskan tenaga dan masa yang begitu banyak, tidak pasti untuk apa. Kadang-kadang hati kecil juga mahu merajuk, menyedari tiada satu pun foto kenangan bersama "tanzim" MEMORI yang berjaya diusahakan. Terdengar syaitan membisikkan "engkau tu penyibuk je kat memori ni izuan weyhh.."

Kelakar, aku sudah begitu tua untuk berfikiran sebegitu..

Berhentilah merajuk, penghargaanmu dari Tuhan, bukan hamba..


 Tiga sahabat hebat yang cukup merendah diri. So, memang tak segan nak ajak datang rumah lagi.  Rasa tak beriman plak tetibe sorang je tak pakai kopiah. haha

Sekian dari Syuib0809


Monday, 8 December 2014

Alangkah baiknya Kalau..

Bismillah.

5-7 dis 2014

Mengisi kekosongan diri dengan ilmu yang tidak sekadar tersekat di minda, tetapi mengalir lembut menyentuh hati. Barangkali itulah kehebatan alim ulama'. Kata-kata mereka mengusik hati, nasihat mereka menjadikan sanubari begitu lega, malah ajakan mereka mendorong kuat untuk anak muda mengamalkannya. Bahasa yang penuh hikmah. Kerana mereka benar-benar ingin memberi.. Kehebatan nilai tarbiyah, yang kerap hilang dari jiwa anak-anak muda. Hingga gerakan Islam ini kerap difitnah, kerana cetek dan terburu-burunya si bujang dan dara dalam membicarakan sesuatu.

Hujung minggu juga aku berjumpa segelintir anak muda yang membimbangkan. Pakaiannya Islamik, namun dibalut kesombongan. Diri gemar berkongsi ilmu, namun pengisiannya mengangkat diri. Nasihat hebatnya me"neraka"kan manusia. Ajakan pula memaksa pendengarnya. Lalu apa yang disampaikan hanya tercatit di helaian kertas, berlegar di minda, tapi tidak membuahkan apa-apa pada amal. Belajarlah... Secebis ilmu tidak menjadikan kamu lebih baik dari orang lain di sekelilingmu.

Muka serius tidak diperlukan untuk memikirkan perkara-perkara serius.
IDEA, itulah yang perkara-perkara serius perlukan..

Perkongsian dari Murabbi-murabbi ummah, menjernihkan pelbagai kerunsingan hati. Bertanyakan semula kepada diri, mengenai asas-asas fikrah(fikrah asasiah) yang memandu dalam kehidupan ketika ini:

Siapa yang menciptakan aku?
Mengapa aku diciptakan?
Apa sebenarnya tugas dan tanggungjawap aku di dunia?
Bagaimana hubungan aku dengan alam?
Di mana kesudahan aku?

Persoalan-persoalan ringkas yang berbunyi skema, poyo, islamik dan euww.. islamik sangat.
Namun bila soalan-soalan tersebut diutarakan oleh seorang murabbi yang berumur 75 tahun, diri tersentap. Pengabaian kepada soalan-soalan ini, menyebabkan kita begitu banyak membazirkan masa dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Bergaduh sesama sendiri, merajuk dengan rakan, mewujudkan pertikaian dengan alasan berbeza pendapat, memburukkan orang lain, dan pelbagai lagi perkara mengarut yang akhirnya mengganggu perjuangan. Maksimakan usaha, agar diri tidak dihantui penyesalan kelak.

Kata Murabbi:
Setiap yang mati pasti akan menyesal. Yang jahat dan kufur sudah pasti akan menyesal. Tetapi yang baik juga tidak akan terlepas dari penyesalan. Sebuah penyesalan kerana tidak mampu menambah kebaikan yang sedia ada. Sebuah cerita diselitkan...

Suatu hari, Nabi menziarahi seorang sahabat yang sakit, kemudian balik. Selepas sahabat tersebut meningggal dunia. Nabi bertanya kepada sahabat lain, "adakah kamu disampingnya, "
Jawabnya, "ya..dan kami mendengar perkataan dari mulutnya yang kami tidak fahami"
Nabi bertanya "apa yg disebutnya?"
Dia menjawab, "alangkah baiknya kalau banyak, alangkah baiknya kalau baru dan alangkah baiknya kalau lengkap dan sempurna". 



Okeh.. tak larat nak tulis dah. nanti sambung..




Sekian dari Syuib0809.


Monday, 1 December 2014

Hibernasi Hobi

Bismillah.

Punya hobi yang semakin malap. Tidak pasti terlena atau tenat kesakitan.

Beberapa buah buku yang pernah aku cuba hadam, namun tidak berjaya juga untuk sampai ke akhir. Nak kata sibuk, takdelah sibuk mana. Mungkin kerana tempat tinggal kini memang menjadi tempat rehat yang diimpi. Masuk je rumah, badan terasa nak rehat. Jika tidak pun berbaring dengan internet di hujung jari.






Aku memberanikan diri membaca buku Fiqh Hiburan dan Rekreasi dari Dr Yusof AlQardawi. Pernah baca hasil karya beliau, Fiqh Minoriti yang agak best. Sebenarnya ada sesuatu yang aku sedang cari, menyebabkan aku beli buku ni. Tapi tidak berjumpa apa yang dicari. Awal buku menceritakan mengenai hukum hiburan, mematahkan beberapa hujah yang begitu kuat mengharam dan mem"buruk"kan hiburan. Di bahagian utama, banyak menceritaka mengenai hukum beberapa permainan yang dikategorikan pelbagai jenis. Cuma perbahasan yang terlampau banyak mengenai Chess dan dadu, menyebabkan aku patah semangat. Iman lemah beno nak baca fatwa-fatwa ni. Apepun, menarik sebab memang tak pernah "discuss" tentang hukum main dadu. Menariknya, ia HARAM.. Ceng3x.

Pergi kedai buku, cari buku baru. Mencari karya Misbah Em Majidy yang baru, tapi tiada. So, aku sambar buku ni..



Typical buku-buku yang menceritakan mengenai Tokoh-tokoh Islam dalam Sains. Penuh dengan fakta, tapi kurang teknik penceritaan. Sebenarnya senang je nak habis, aku yang malas. Tak tebal mana pun buku ni. Untuk adik-adik yang nak kenal beberapa tokoh Islam terutamanya selain Ibn Sina, bolehlah belek-belek buku ni. Mungkin sedikit terkejut bila ada tokoh Islam yang memperbaiki alat muzik bertali dan hebat dalam seni muzikal. Al-Farabi.... Ulama dulu tak haramkan muzik??


Catatan MatLuthfi.

Di Kepala Batas, tengah ada Pesta Buku. Aku pusing-pusing, tak jumpa buku yang bersesuaian untuk di beli. Malam sebelum tu, aku sempat tengok video si Matluthfi yang baru dan dapat tahu dia tulis buku. So, check kedai buku Adam kot2 ada buku dia.  Jumpa..



Tak sampai satu hari, dah boleh khatam buku dia setebal 241 muka surat. Seperti yang tertera pada tajuk, ia memang sebuah catatan. Bukanlah sebuah penulisan, so memang cepat je baca. Menariknya, catatan-catatan tersebut memerlukan akal untuk berfikir dan mentafsir. Catatan yang penuh Sarcasm. Maka, membacanya direct tidak mampu memberi apa-apa makna atau bakal mengundang seribu satu fitnah.

Penulisan melambangkan pemikiran. Dan pemikiran beliau tidak banyak lari dari pelajar-pelajar yang pernah belajar di luar negara. Kehampaan terhadap sikap orang melayu setelah melakukan perbandingan dengan sikap positif orang barat/putih/kafir. Juga kekecewaan terhadap beberapa kumpulan "Agamawan" yang menghukum dan mengongkong di tanah air. Perasaan yang hadir setelah merasai sendiri kemanisan sebenar Islam yang terbukti "Rahmatan Lil Alamin".. Catatannya banyak juga ditulis dalam bahasa Inggeris, So, sediakanlah kamus. Mungkin tidak akan berjumpa maksud Sarcasm nya.

Cuma ada beberapa catatan Sarcasm yang aku kira kurang manis. Terutamanya yang melibatkan pengamalan agama. Memang benar ada sebahagian amalan yang tiada nas direct diambil dari AlQuran dan Sunnah. Namun, ia diambil dari nasihat dan juga usaha ulama-ulama dulu yang banyak membina pagar, agar Umat Islam berada dalam lingkungan Sunnah Nabi. Memang ada sebahagian kecilnya hanya diamalkan oleh orang Melayu Islam, dan anggaplah itu sebagai kebijaksanaan Ulama Nusantara. Mempertikai dengan alasan sarcastics, seolah-olah memperlekehkan mereka. Sekadar berpandangan...

Itu sahaja...
Sapa nak pinjam, bagitahu. .

Sekian dari Syuib0809..

Tuesday, 25 November 2014

Kisah Seekor anak....

Bismillah.

Hari yang tiba-tiba memenatkan.

Semalam, lepas mentelaah "masalah" remaja di surau, aku bergegas ke rumah Azman untuk ambil barang. Man perlu kosongkan rumah sebab bertukar tempat kerja ke Putrajaya. Maka bertambah sunyilah hidup selepas kehilangan jiran semeja pada bulan oktober lalu.

Lepas angkat barang, terperasan seekor anak kucing yang duduk di tengah-tengah kawasan rumput belakang cafe. Tak bergerak, tapi masih bernafas. Badan sudah penuh ulat/kutu. Waktu angkat, sempat aku pecahkan perut seekor nyamuk yang sudahpun kenyang duk hisap darah anak kucing tu. Tak tahulah mana datang perasaan manusia, aku bawa kucing tu pulang, mandikan, dan beri sedikit makanan. Tapi tak mahu juga dijamahnya, asyik nak tidur. Masa malam "terbuang" membersihkan serangga-serangga yang seakan-akan bersarang pada tubuh kucing tersebut. Letak dalam bilik waktu tidur, kot-kot jadi apa-apa.

Awal pagi, aku berkejar ke kedai runcit beli susu dan makanan kucing. Walaupun tahu kucing tu memang tak nak makan, aku ngangakan mulutnya dan "tuang"kan secebis makanan. Bersihkan kembali badan yang masih penuh dengan serangga. Kemudian lindung dengan tuala kecil sebelum bergegas ke pejabat untuk persediaan ke kelas tutorial. Lepas kelas tamat jam 1.00 tengah hari, aku bergegas pulang ke rumah melihat anak kucing tadi.

Kaku..

Keras.........

Tak lagi bernafas.....

Duk goncang-goncang, picit hdiung, basuh dengan air, ternyata memang kucing tu dah mati sebab penyakit. Kematian yang sama dengan anak kucing di rumah bernama gary. Cuma aku sendiri terasa bersalah, adakah aku yang menyebabkan dia mati?

Ambil cangkul, korek dan tanam anak kucing tadi sebelum bergegas ke surau untuk solat zuhur.

Sengaja aku tulis untuk coretan memori hari ini. Moga mampu mengikuti Rasulullah.



Diriwayatkan dari Ali bin Al-Hasan...dan Anas yang menceritakan bahwa Rasululloh S.A.W. pergi ke Bathhan, suatu daerah di Madinah.

Lalu,Rasululloh S.A.W. berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhu untukku ke dalam bejana...
Lalu Anas menuangkan air ke dalam bejana. Dan ketika sudah selesai, Rasululloh S.A.W. menuju bejana. Namun seekor kucing datang dan menjilati air yang berada dalam bejana tersebut. Melihat hal itu, lalu Rasululloh S.A.W. berhenti...sampai kucing tersebut berhenti minum dari air bejana, lalu Rasululloh S.A.W. berwudhu dengan air dalam bejana yang baru saja di minum oleh se-ekor kucing.

Kemudian Rasululloh S.A.W. ditanya mengenai kejadian tersebut, maka Beliau menjawab :
Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah tangga...ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis....

Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 18 November 2014

Usrah MyVi: Irama dan Lagu

Bismillah

Sepanjang Kakom 2014 berlansung, team volleyball terpaksa berulang alik setiap hari menuju ke Uitm Permatang Pauh. Kemudahan yang lebih baik walaupun memakan masa dan wang ringgit. Pengangkutan utama ke sana, bas terpaksa diketepikan kerana kami agak mengejar masa. Sama ada untuk tujuan memanaskan badan, atau untuk melihat permainan pasukan lain sebagai satu analisis. Hingga me"maksa" aku dan cikgu Azlan mengangkut pemain-pemain KMPP menggunakan kenderaan sendiri. Perjalanan sekitar 15-20 minit, banyak perkara yang boleh dimanfaatkan.

Awal pagi, percubaan membawa beberapa kelemahan dalam adat dan budaya sebagai tajuk perbincangan agak berjaya, namun tidak bertahan lama. Perjalanan balik, aku menukar MyVi oren menjadi pusat Karaoke. Lagu rock kapak, nasyid, qasidah, wali band, one direction, semuanya di balun. Mahu mencetus sebuah perbincangan untuk anak muda. Tidak perlu topik berat, cukup sekadar muzik. Lalu, usrah MyVi pun bermula...


Ni bukan usrah eh. Sekadar sesi postmortem mengenai perlawanan yang sudah berlansung waktu siang

"Resolusi"

Rata-rata bersetuju betapa mengarutnya lagu-lagu sekarang. Sukarnya mencari lirik-lirik hebat seperti zaman rock kapak yang ada sebahagiannya lebih bersifat ketuhanan. Lagu-lagu seperti "bila diri disayangi" dan "kau satu-satunya" dari ukays sememangnya menceritakan cinta kepada Tuhan. Belum lagi dilihat karya M Nasir seperti "Tanya sama itu Hud-Hud" dan Malique dengan lagu "aku Maafkan Kamu" yang secara halusnya membawa Hadis Nabi untuk dikenali pendengar. Lebih pelik, kenapa lagu-lagu ini tidak digelar islamik a.k.a NASYID?

Perbincangan diteruskan dengan keberkesanan menyampaikan dakwah melalui irama dan nyanyian. Agak pelik bilamana lagu "Tobat" dan "Shalawat" oleh wali band yang disambut oleh peserta konsert dengan terhuyung hayang dan bercampur lelaki perempuan. Lirik yang mantop, tetapi tidak berjaya menembusi hati pendengar kerana rentaknya. Adakah kerana ini Islam meng"haram"kan petikan gitar dan tiupan seruling?

Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

Bahawa Allah telah membangkitkan Aku menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin dan Allah telah memerintahkan Aku supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliah …..
( Riwayat Abu Daud al Thoyalisi )

Paradigma anak muda, sering sukar untuk percaya dengan apa yang ISLAM kata. "Teori2" islam hanya akan dibanggakan bila ia diperakui, dibuktikan dan diperkatakan oleh orang barat. Dengan kata lain, mereka mempercayai Islam dari kaca mata orang bukan Islam. Perbincangan yang tercetus disebabkan lagu "What Makes You Beautiful" dari One Directions. 




Sifat malu, itulah yang menjadikan anak-anak gadis menjadi CANTIK.

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadis riwayat Baihaqi)

Perbincangan yang kelihatan remeh. Tapi itulah anak muda. Lagu-lagu rock kapak yang begitu banyak terhasil untuk anak muda kerana kecewa. Bukan kerana kecewa dalam akademik, koko atau dakwah, tepai kecewa kerana cinta. Poyo gila bunyi. Kecewa sebab curang, tak direstui orang tua, tak sama darjat, berjauhan dan bla3x yang sesangat-sangat geli untuk dibayangkan. Menariknya, ahli-ahli usrah MyVi kali ini hampir semuanya pernah ber"couple" kecuali drivernya. So, hasil interview dengan budak2 ni akan aku kongsikan next post.



Nantikan kisah-kisah menarik dari mereka

Bersambung......



Aku kongsikan sebuah lagu yang sangat ramai orang tak pernah dengar. Aku sendiri baru jumpa hari ini setelah 13 tahun sejak kali pertama mendengarnya dari mulut rakan kat sekolah agama rakyat dulu. Mengimbau kenangan zaman kami yang dibesarkan dengan lagu-lagu senario. Penuh makna dan nasihat.






Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 11 November 2014

25:

Bismillah

Sekadar catatan untuk hari yang menyibukkan. Pada umur 25 tahun, masih punyai masa untuk mengingati tarikh lahir sendiri. Ketiadaan Twitter, Whatsapp dan yang sewaktu dengannya, menapis begitu banyak manusia. Manusia yang mengingati, pasti punya sebab tersendiri.

Awal pagi sudah mencari sarapan di luar. Usai solat subuh, sarapan tersedia buat tetamu-tetamu yang hadir ke rumah. Kehadiran rakan-rakan yang sudi bermalam di rumah sempena KAKOM seperti sebuah hadiah untuk diri. Tapi agak kelam kabut sebab 6.30 sudah perlu bergegas untuk perjumpaan bersama kontinjen. Terima kasih kepada Aiman, Cuan, Ferd, Meor dan Azri yang dah tido dah pun.

Pukul 7.20 bertolak ke UITM untuk perlawanan dengan KMtJ. Berlansung jam 10.30 pagi. Kemenangan pertama yang sekali lagi menjadi hadiah buat hari ini. Sampai semula ke kolej jam 12.30 tgh hari dan bersiap untuk Majlis Perasmian. Tanpa rehat yang panjang, terus bergegas ke padang pukul 1.30 tgh hari. Majlis habis jam 3.30 petang dan aku terus pulang merehatkan badan.

Lepas asar, memang bercadang nak belanja KFC untuk tetamu-tetamu di rumah. Balik dari Kailan, aku siapkan nasi goreng sebab tahu diorang ni memang lidah melayu habis. Diorang plan nak sambut hari jadi Ferd yang bakal berlansung tak lama lagi. 20 nov tak silap aku. Aku yang empunya birthday hari ni senyum je sebab aku memang tak "minat" orang sambut hari jadi aku. Rasa awkward. Haha. Alhamdulillah memang diorang tak ingat. Niat nak belanja diorang pun selesai tanpa syak wasangka.

Malam disibukkan dengan pelbagai postmortem.

.........

Sudah 25 tahun, tidak pasti apa manfaat yang sudah diberi.. Quran yang kerap dilupakan. sedangkan itulah yang sepatutunya menjadi teman diri. Aku sudah berhenti memikirkan mengenai "teman hidup". Sekadar memanfaatkan sebaik-baiknya "teman-teman" dalam bilik tutoran yang akan memberi saham bila mati.

Moga umurmu penuh manfaat

Syuib0809.

Sunday, 2 November 2014

MYC2014: Cabaran Beragama

Bismillah

Berjaya mengikuti program muslim youth camp 2014 yang berlansung di Kuala Kubu Bharu. Kesibukan rakan-rakan lain yang bekerja dalam bidang korporat menyebabkan mereka tidak berkeizinan untuk hadir awal. Ketiadaan orang menyambut peserta, menyebabkan aku seperti "pendosa" untuk membiarkannya. Hingga akhirnya pengorbanan dengan "dosa" mengiringi pemergian aku ke sana. Hampir 4 jam perjalanan, dengan kos yang mampu menampung hidangan mewah selama seminggu.. Moga ada jawapan di hadapan Allah.

Secara keseluruhan, aku sangat berpuas hati dengan segala-galanya. Keadaan tempat, penyediaan serta pengisian modul, perjalanan program, semuanya berjalan sangat-sangat lancar dan menarik. Walaupun bilangan peserta agak sedikit, namun mereka sangat-sangat hyperactive dan kelihatan sangat-sangat terpilih. Bayangkan sahaja, walaupun modul sudah disusun dengan baik, persoalan dan pertanyaan mereka yang bertubi-tubi akhirnya menjadikan mereka "pencorak" kepada pengisian MYC kali ni. Sesi pembentangan pula menjadi sangat lama kerana keghairahan mereka mengutarakan pendapat. MashaAllah. Hebat.

Tugas biasa zaman-berzaman.

Cabaran Beragama Generasi Y

Secara keseluruhan, AJK modul cuba membawa peserta kembali kepada persoalan-persoalan pokok "Back to Basic" yang mungkin diambil remeh sepanjang kita beragama. Persoalan apa itu Islam, kenapa percaya kepada Allah, kenapa perlu laksanakan rukun Islam dan sebagainya yang akhirnya membawa muslim kembali semula berfikir tentang persoalan mudah, mengapa kita PERCAYA? Namun dalam banyak-banyak perbincangan, aku amat tertarik dengan topik "cabaran beragama generasi Y"

Selepas dua LDK berkisar mengenai negara Idaman serta nasihat kepada teman, aku terperasan sesuatu yang agak merisaukan. Pendapat serta persoalan yang diberikan mereka banyak hadir dari sumber utama generasi Y seperti syeikh google, ustaz twitter, Kitab FB, kuliah Vlog, Instagram dan ahli jemaah Whatsapp. Sumber-sumber yang menjadikan remaja Islam begitu keliru, apa yang mereka harus percaya? Hingga mereka akhirnya larut dengan apa yang mereka nak tahu semata-mata, bukan lagi apa yang mereka perlu tahu. Satu cabaran yang sangat-sangat besar untuk mereka membina sudut pandang dalam beragama. Apatah lagi dalam sebuah dunia media yang tidak dikuasai oleh orang islam.

Cabaran biasa anak muda juga, meraka begitu idealistik dengan aplikasi agama. LDk negara idaman menampakkan kesamaan fikrah mereka, Tidak mahu ada jurang besar diantara orang miskin dan orang kaya. Impikan negara yang bersih, sistem pendidikan yang mencetak rakyat berakhlak seperti para sahabat. Namun soalan mudahnya, bagaimana?

Cabaran Bergenerasi.

Pertemuan dengan rakan-rakan seperjuangan seperti satu suntikan yang menaikkan semangat. Melihat mereka, mengimbau begitu banyak kenangan bersama ketika di luar negara. Menyedut kembali manisnya Ukhwah. Melihat begitu banyak rakan-rakan yang "lari" dengan titipan alasan, menimbulkan beberapa tanda tanya. Banyak yang menerima tarbiyah, tetapi tidak pasti ke mana. Tahun berganti tahun, generasi bertambah, namun masalah bergenerasi ini tetap timbul. Kami berbincang...

Amir berkongsi:

Banyak perkara. Kita sudah TAHU.
Namun adakah kita MAHU? 
Dan itu sahaja yang tinggal.

Soal hati.
Hati yang ikhlas.
Ibarat gelas yang bersih.
Air yang dituang akan dapat diminum

Hannan membelek-belek semula cebisan ingatan:

Had it been a near adventure and an easy journey they had followed thee , but the distance seemed too far for them . Yet will they swear by Allah ( saying ) : If we had been able we would surely have set out with you . They destroy their souls , and Allah knoweth that they verily are liars 
At Taubah ayat 42

Aku pula sudah menontonnya bertahun-tahun kecuali pada tahun 2011.
Dan aku sudah menukilkan kerisauan tersebut dalam post "Kaplitalis Dakwah"

Sedutan
Bilamana kamu tidak rasa cukup dengan yang sedikit
Maka kamu tidak akan puas dengan harta yang banyak
Yang dicari rohmu ialah keberkatan
Bukan pada kuantiti, tidak juga pada kualiti
Kerana ketenangan lahir dari pemberian Tuhanmu
Bila kamu dekat denganNya

..................

Akhir kata, terima kasih untuk hujung minggu yang cukup hebat.



Sekian dari Syuib0809



Saturday, 25 October 2014

Generasi Impian

Bismillah

Great minds discuss ideas, average minds discuss events, small minds discuss people.
Eleanor roosevelt


Apa yang manusia kata dan sembamgkan dalam kehidupan melambangkan apa sahaja yang sedang bermain dalam fikiran mereka. Dalam usia muda, minda begitu ligat berfikir. Namun ia menjadi toksik bilamana apa yang diperkatakan itu tidak memperbaiki pemikiran,, sebaliknya menutup pintu berfikir dari terus berkembang.

Anak-anak muda yang memperkatakan tentang fesyen, telefon bimbit, beg tangan, percintaan hakikatnya sedang membantutkan perjalanan minda masing-masing. Sesuatu yang diambil berat bukan kerana ilmu, tetapi kerana kedengkian kepada manusia. Maka, menjadi kebiasaan bila manusia yang bercerita mengenai manusia "berjaya" dalam menghasilkan sebuah fitnah dan perbalahan. Mudah melihat orang-orang sebegini. Mereka tidak pernah ambil berat tentang isu semasa. Yang bermain dalam fikiran mereka cukup sekadar "hari ni nak pakai baju apa?", "tengah hari ni nak makan apa", "siapalaah nak jadi BF aku?", "eh, minah tu kenapa?" bla3x..... Sesuatu yang tidak mungkin membawa manfaat.

Bergambar bersama orang-orang hebat di sekolah. Ada KU, PKU, BS, Ketua rumah-rumah sukan. Mereka-mereka ini pada usia muda sudah memikirkan pelbagai perkara. Aku hanyalah insan biasa. Hehe.

Anak-anak muda yang bergosip mengenai isu semasa, hal ehwal dunia mungkin melihat diri lebih baik dari mereka yang diperkatakan di atas tadi. Bicara mengenai palestin, isu politik, isu MH370, IS, perlaksanaan GST sedikit sebanyak mematangkan pemikiran untuk berhadapan dengan realiti hidup. Namun, kebimbangan timbul bila mana bicara-bicara ini dipertuturkan tanpa fakta, penuh khayalan dan sekadar dimulut semata-mata. Tidak ubah seperti sembang orang tua-tua di kedai kopi yang tidak membawa perubahan apa-apa kepada suatu "kejadian". Cukup sekadar di kedai kopi. Walaupun masih ada kebaikan yang boleh diambil. Namun ianya bukanlah yang terbaik.

Teringat aku kepada lirik mantop ni:

Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempuruing
Sembunyi bawahnya katak melalak

Pum pang pum pang di kedai kopi sampai pecah meja tidak merubah apa-apa. Do something!

Hebatmya anak Muda.

Kehebatan anak muda ialah mereka mempunyai imaginasi dan keinginan yang begitu tinggi. Sebuah imaginasi yang menghasilkan idea di luar kotak pemikiran manusia biasa. Namun, imaginasi hanya hadir dari mereka yang berfikir. Di medan permulaan ini, berfikir mengenai "bagaimana nak study smart, macamna nak buat nota ringkas untuk kawan-kawan, apa rumus nak guna untuk buktikan trigono" sudah cukup menjadi perintis kepada sebuah idea. Sebab itu, dalam begitu banyak subjek yang dipelajari, matematik menjadi salah satu subjek men"genius"kan. Subjek yag sering menimbulkan perkataan bagaimana, macam mana, nak mula dari mana, kalau buat macam ni macamne plak, boleh tak buat macam ini. Persoalan-persoalan yang ligat memutar akal untuk berfikir, mencetus idea.

Dan Kami kuatkan hati anak-anak muda itu (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka BANGKIT BERDIRI (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” [Al-Kahf 18: 14] 


Mengimpikan generasi muda yang matang dalam pemikiran tidak bermakna kita membina generasi yang nerd, berwajah masam dan berbahasa baku. Euwww...

Generasi yang berfikir akan membina kehidupan manusia yang sangat-sangat jauh "maju" dan selamat. Kehidupan yang tersusun, bersih, aman dan apa sahaja imaginasi syurga yang dimahukan oleh seorang manusia  Memikirkan idea-idea baru dalam dakwah sudah pasti membina masyarakat yang "madani". Memikirkan idea-idea baru dalam melatih adab/common sense di kalangan masyarkat, pasti menyeronokkan kehidupan. Bayangkan anak-anak muda yang pantang berjumpa sampah, pasti ingin dikutipnya. Pemandangan yang sukar dibayangkan. Melihat sebuah bilik tutoran yang keadaannya sentiasa sama selepas pelajar keluar masuk, pasti memudahkan. Melihat generasi muda yang tepat pada pengurusan masanya. Oh, sangat mantop!!

Kemalasan Berfikir.

Kemalasan berfikir menjadikan kita sebagai hamba dan pengikut semata-mata. Walaupun bekerja dalam organisasi, kemalasan akan memancutkan kata-kata "ala.. kita buat macam dulu je la.. senang". Hamba kepada manusia yang bodoh dan diperbodohkan.. "alah.. ikut je la apa dia cakap.." perkataan biasa orang yang tidak berfikir.

Kemalasan berfikir menyebabkan kita memperbesarkan perkara remeh temah dan menjadikan perkara besar sebagai jenaka yang patut digelakkan. Ada anak muda tidak tidur memikirkan kenapa mesejnya tidak dibalas oleh rakan. Ada anak muda yang berkelahi hanya kerana berebut BF. Ada anak muda yang mahu resign hanya kerana kena tegur dengan penasihatnya. Ada anak muda yang apabila berbicara isu palestin, isu Syria, isu GST, terus digelakkan.. "poyolah kau...".. Menarikkan?



Pelajar-pelajar SEMESTI batch 26th yang bertandang ke pejabat. Memang se"kepala".

Pelajar SEMESTI sangat unik. Mereka happy go lucky, suka bahan orang, kuat main-main, tak suka benda poyo-poyo, namun banyak perkara yang mereka mampu untuk serius. Menariknya, mereka sukar menunjukkan keseriusan tersebut sedangkan mereka adalah orang yang suka rebel(memberontak). Mereka "berubah wajah" bila berkawan dengan orang matang di kampus kelak. Sudah banyak yang aku jumpa..



Berfikirlah wahai-anak-anak muda.
Kalian penggoncang dunia..
Kita pasti mati.
Persoalannya, bagaimana kita mati?


Gambar penghias utama Syuib0809 yang di"besar"kan

Sekian dari Syuib0809..


Saturday, 18 October 2014

Guru Muda

Bismillah

5 bulan berlalu. Sebuah fasa bagi aku belajar untuk mengajar. Mengingati kembali ilmu-ilmu yang sudah pun menyorok di ceruk-ceruk minda. Lebih dahsyat lagi, terpaksa mengajar sesuatu yang tidak pernah dipelajari. Mungkin pernah belajar, tapi lupa yang menghampiri sifar. Akhirnya, aku perlu berhadapan dengan dua pilihan. Sama ada menyombongkan diri, lalu memperbodohkan pelajar. Atau merendahkan hati hingga kelihatan bodoh di mata pelajar. Memang berat nak ungkapkan..

"Maaf, saya tak tahu, cuba tanya cikgu lain.."

Perbezaan umur tidak sampai sepuluh tahun menjadikan aku sebahagian daripada generasi mereka. Ungkapan, mimik muka, lawak, minat, alasan mahupun tipu helah, segala-galanya amat mudah untuk difahami. Pendekatan guru muda yang begitu berbeza dengan guru lama. Lebih happy, banyak lawak, tidak menekan, boleh bergurau senda dalam kelas, pelajar pun boleh bahan cikgu. Tapi, adakah ia benar-benar berkesan?

Melihat kepada pensyarah-pensyarah berpengalaman dalam pejabat, mereka jauh lebih bijak berjenaka dan baik hati berbanding aku. Tapi apabila berada dalam kelas, mereka pasti menjadi orang lain dihadapan pelajar. Tegas, tak banyak buat lawak. Bila student tak buat kerja, memang teruk kena. Suatu perubahan yang diperlukan dan mungkin tidak keterlaluan untuk aku katakan bahawa ia lebih berkesan. Perubahan yang pasti dilalui oleh seorang guru. Entah bila ia akan berlaku, Wallahualam.



Menjadi guru, perkara-perkara kecil boleh menjadi besar. Hati makin sensitif terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh pelajar. Beberapa kali aku rasa marah, kecewa, sedih bila pelajar masuk kelas, tapi tak buat assignment. Masuk kelas lambat dengan alasan mengarut, berborak-borak macam aku takde kat depan, buat muka tak puas hati bila dimarahi, keluar masuk kelas sesuka hati. Bila suruh tulis kat depan boleh pula degil. Lebih menyakitkan bila lepas tegur, selamba je gelak dan buat balik kesalahan.

Namun, hati kembali terubat dengan perkara-perkara kecil yang juga dilakukan oleh pelajar. Diorang minta izin pergi tandas pun hati dah rasa seronok. Diorang senyum bila jumpa pun dah macam sebuah penghargaan yang besar. Hati paling seronok bila tengok students datang berjemaah di surau dan ubah gaya pemakaian kepada yang lebih sopan. MasyaAllah, sesuatu yang aku tak pernah rasa keseronokannya. Mungkin seorang pelajar memandangnya remeh, tapi cukup besar untuk seorang guru.

Salah satu kelas yang selalu menghiburkan hati. Walaupun ada yang berat beno nak buat kerja sekolah, tapi sikap dan adab mereka mengubati. Kak Long kelas ni yang tudung merah baris ke tiga. Nak buat apa-apa memang kena minta izin minah tu dulu.

Sebenarnya ada sebuah puisi yang sedang disiapkan. Tapi tak dapat nak letak sebab ada beberapa orang pelajar yang dah terjumpa blog ni. Sekadar cebisan dari puisi tersebut.

Pekan itu penuh taman
Dan dalam setiap taman 
pasti ada puisinya
Dalam puisi ada kisah
Dan dalam setiap kisah 
tersemat rasa suka dan duka

Menjadi sebahagian daripada warga pendidik, ada banyak perkara yang orang luar tidak mungkin mampu untuk faham. Antara yang dimuhasabah, kesalahan nak murid tidak pernah menimbulkan rasa benci seorang guru. Sekadar kecil hati yang kemudian hilang bila anak murid mula kembali menguntum senyuman. Keletihan juga kerap terubat bila anak murid hadir bertanyakan sesuatu. Seorang guru tidak melihat kepada bijak pandai sebagai kriteria menjadi "jambu". Cukup sekadar usaha. Usaha menjadi lebih baik. InshaAllah,

 Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan menjagamu. Jagalah Allah (nescaya ) kamu akan dapati Dia di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon bantuan maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jikalau seluruh umat berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak berupaya untuk memberi manfaat kepada kamu melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan sekiranya umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu melainkan apa yang telah di takdirkan Allah ke atas kamu.


Pemenang gambar terbaik. Dah nampak macam power rangers.


Sekian dari Syuib0809

Sunday, 12 October 2014

Kabus Anak Muda

Bismillah.

Memang berhabuk sungguh blog ni. Laptop yang sering terbuka, tapi pada monitor yang berbeza. Setiap kali dipasang, sukar meniatkan untuk mengupdate blog ni.

Minggu lepas, sesuatu yang "menarik" berlaku. Pertembungan beberapa pihak, lalu melahirkan kejutan kepada anak muda yang baru sahaja menceburi dunia dakwah. Ada yang dipecat, ada rujukan terajak untuk disisihkan dan ada usaha dakwah yang mahu dimatikan. Dihalang oleh orang bukan Islam, itu barangkali mehnah yang amat jelas. Tetapi sekiranya usaha dakwah dihalang kerana alasan remeh temeh oleh orang Islam sendiri, anak muda mudah terkejut, kabur dengan sistem percaya yang ada dihadapan mereka.

"pening kami cikgu, tak tahu nak percaya yang mana..."

Satu ayat yang mengusik hati, mengganggu tidur. Hingga dua hari aku sukar melelapkan mata. Masuk sahaja kelas hari jumaat, aku mengutip kembali kata-kata ini sebagai hidangan kepada pelajar:

Kenalilah orang itu melalui kebenaran. Jangan kamu kenal kebenaran melalui seseorang. Kenalilah kebenaran, maka kau akan mengetahui siapakah orang-orang yang membelanya.”  Saidina Ali R.A (buku Risalah Hati raja Sehari)


Seseorang yang bukan dari kalangan asatizah..
Lalu penampilan dan usahanya menyebabkan dirinya digelar ustaz..
Tiba-tiba berdusta kepada anak muda kerana kuasa.
Sedang anak-anak ini mudah percaya.
Kepercayaan yang mengkaburi kebenaran
Mana satu yang mereka akan pilih?

Tertarik dengan lirik ini, benar-benar ikhlas.

Kan ada satu ketika,
kau tak tahu mana nak pergi,
Jalan betul anakanda,
tak jelas mata,
ambil yang sarat duri



Belajarlah wahai anak muda
Pengalaman itu ilmu
Menyuluh jalan yang dipenuhi kabus
Agar yang benar menjadi permata
Dan yang dusta menzahir kaca.



Sekian dari Syuib0809

Sunday, 21 September 2014

Keterbalikan

Bismillah

Demam yang memekakkan. Terasa dunia sunyi sebentar.

Keluarga datang menziarahi. Kerapkali naluri anak muda(termasuk diri) merasa lebih tahu dari orang tua. Ada sebahagiannya menyanggah petua-petua orang lama dengan alasan zaman ini zaman moden. Ketahuilah, hakikatnya orang tua sentiasa lebih tahu.

Pagi semalam, ayah aku tengok tayar kereta belah kiri dah botak. Katanya, mesti tukar tayar ni nanti. Aku yang memang tak tahu apa-apa sikit pun tak bercadang nak tukar. Mana taknya, tukar tayar kena pakai duit. Dah lah minggu depan nak pi service lagi. Tup tap tup tap, tak tunggu lama pun, tayar yang abah tegur tu pecah bila nak masuk matrikulasi. Aduiih.. dah bertambah kerja hujung minggu. Tukarlah akhirnya tayar tu.

Sebelum pulang, mak tinggalkan alat-alat menjahit untuk aku. Antara kerja perempuan yang paling aku gagal kat dunia ni ialah menjahit. Maka aku rasa sangatlah tak perlu. Tapi entah macam mana, waktu menggosok seluar, terperasan yang seluar slack aku terkoyak kat bahagian punggung. Dengan seluar lain yang baru sahaja disumbat dalam mesin basuh. Tiada pilihan lain, ambik jarum dan benang yang mak bekalkan, lalu menjahit walaupun sakit hati sebab susah beno nak masuk benang dalam jarum.

Semoden mana pun zaman, emak ayah sentiasa menjadi penyuluh jalan untuk kita. Kadang kala kita rasa kita menguasai ilmu zaman ini, sedangkan kita lemah menghadapinya. Zaman yang dipenuhi kabus dan kesamaran, memerlukan pimpinan tangan orang tua untuk kita melaluinya.

Zaman yang penuh keterbalikan.

Berkongsi dengan anak murid setelah melintasi zebra line di matrikulasi
"Zebra line ini dibuat supaya kereta berhenti dan bagi orang jalan. Tapi yang saya duk perhati jadi terbalik. Orang plak yang berhenti untuk bagi kereta jalan..."

Teringat kembali satu lagi kepelikan.
"Lampu kuning tu maksudnya perlahankan kenderaan, bersedia untuk berhenti sebab lepas ni lampu merah. Tapi sekarang bila nampak lampu kuning, semua orang memecut makin laju sebab lepas ni lampu dah nak merah, penat nak tunggu kalau tak lepas."




Zaman keterbalikan ini, akhlak murni akan menjadi sesuatu yang sangat luar biasa. Seperti mana seorang wanita tua yang terpegun dengan senyuman Rasulullah kerana senyum amat sukar dilihat pada zaman Jahiliyyah. Bergaduh antara kabilah pula menjadi kebiasaan. Ayuh anak muda, tawan manusia dengan akhlakmu. Ilmu mu amat cetek untuk kerap berkata-kata dan menulis di alam media.

Dari ibn mas'ud

“Sesungguhnya kalian (sekarang) berada di zaman yang banyak terdapat orang-orang yang berilmu tapi sedikit yang suka berceramah, dan akan datang setelah kalian nanti suatu zaman yang (pada waktu itu) banyak orang yang pandai berceramah tapi sedikit orang yang berilmu."

Zaman perempuan lebih banyak dari lelaki. 
Zaman seorang guru lebih pemalu dari anak muridnya. Hehe

Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 16 September 2014

Dunia sebuah Kepenatan

Bismillah.

Dunia ini sebuah kepenatan
Kesiaan kerana redha manusia
Keindahan kerana redha Allah
Yang mana satu kamu mencari
Pasti itu yang kamu perolehi

Acapkali aku dan kamu lelah
Mengorek rezeki lombongan dunia
Rezeki dari Allah?
Kini sekadar kosa kata
Yang memenuhi meja penceramah
Menjadi Endoktrinasi risalah jiwa
Kuncup dalam pembersihan hati
Kian jauh menjadi akidah.

Hati ini kesedihan
Melihat anak itu di medan pertarungan
Melawan penyakit, melawan sihir
Melawan emosi dalam diri
Melawan kebencian dalam kepingan hati
Hingga guru ini kerisauan
Risau yang memenatkan
Sangat-sangat memenatkan.

Dunia ini dikongsi manusia
Yang hatinya pelbagai warna
Ada warna menguntum senyuman
Ada warna menyakitkan mata
Namun begitu, seribu warna sentiasa berguna
Mencipta karya sejuta wajah
Memapar lukisan ratusan makna
Hadiah buat pengembara yang lena

Tuhanku mencipta kematian
Sebagai sebuah cerminan kerehatan
Dari dunia yang penuh kesibukan
Beruntunglah mereka yang selalu keletihan
Bekerja dan berjuang untuk Tuhan
Kerna syurga sebagai balasan
Sebaik-baik tempat untuk berehat
Sebaik-sebaik tempat untuk berhibur
Sebaik-baik tempat untuk berteduh
Berbanding dunia yang penuh kepenatan



















Sekian dari syuib0809

Monday, 8 September 2014

Belikari

Bismillah.

Semalam, aku ke pasar sabtu Kepala Batas sebagai orang bujang. Betul, benar-benar bujang. Tapi yang disangkutkan di tangan ialah sebungkus nasi kerabu, rempah kurma, asam keping, satu plastik cendawan mentah dan 300gram udang segar. Masuk sahaja rumah, siang udang dan simpan dalam peti sejuk sebelum berangkat ke gelanggang bola tampar. Balik dari meeting jam 11 malam, duk kupas bawang-bawang sementara menunggu nugget masak. Kelaparan...

Pulang dari solat subuh, capai kuali, keluarkan semua bahan mentah dan terciptalah ayam masak kurma yang menggunakan susu sejat. "Kembali" menuju ke gelanggang bola tampar jam 7.30 pagi hingga tak sedar yang diri sudah berjanji dengan pelajar untuk kelas tambahan jam 9.00 pagi. 12.10 tgh hari urusan dengan semua pelajar selesai dan pulang kembali ke rumah. Menyambung tugas sebagai Chef, cendawan masak paprik bersama udang dan sotong berjaya disempurnakan dengan bantuan daun limau purut yang dibekalkan dari rumah Isnin lalu. Fuhhh, lepas zohor baru makan.

Seperti kanak-kanak yang menulis benda "bodoh" di FB. Bezanya, aku menulis semua ini di blog.

Menjadi lelaki yang hampir setiap pagi meng"asap"kan dapur untuk santapan diri, aku tidak mampu melihatnya sebagai definisi kepada berdikari.

Menjadi lelaki yang pulang ke rumah lalu terus memegang vacuum, aku terasa sesuatu yang lebih daripada berdikari.

Apatah lagi menjadi lelaki yang pergi ke supermarket mencari langsir, pinggan mangkuk, cadar bagai dan menghabiskan masa antara maghrib isyak memasang besi langsir. Oowh... sungguh feminin..

Menyangka diri berdikari, aku khuatir diri selesa hidup sendiri.
Kehidupan yang disangka selesa tanpa penyeri. Tepatnya seorang isteri.

.........................

Berjumpa dengan seorang rakan baik minggu lepas mengingatkan aku kepada memori di sekolah menengah. Seorang rakan yang gemar bersendiri ketika di luar kelas. Se"pesyen" dengan aku yang "pemalu" dengan kaum hawa. Tup tap tup tap sudahpun mendirikan rumah tangga. Perkahwinan beliau menyebabkan kami bertemu kembali setelah 7 tahun tidak pernah lansung berjumpa.





 7 Tahun yang lalu..

Adik ipar si mubarak ni pelajar di kmpp dan isteri dia pula kawan baik si hanip. Diizinkan Allah, kami bertemu di kolej ketika hari pendaftaran pelajar dan sekali lagi di kenduri hanip baru-baru ni. Kecil sungguh dunia.


Okeh stop.

Sebenarnya aku nak masak Udang Butter, tapi tak terjumpa daun Kari. 
Mengarut?


Sekian dari Syuib0809.

Monday, 1 September 2014

Pertemuan 13 Tahun.

Bismillah.

Aku dan mereka hanyalah seorang anak kampung.

Hiburan kami mungkin sekadar mini daun terup, getah sebagai lastik, main cop tiang, menconteng2 kertas, memijak-mijak kaki dengan irama pepsi cola aiskrim soda magnolia buatan malaysia.. Entah mana mai ayat jampi tersebut, tapi ketika itu kami tidak seperti kanak-kanak bandar yang berDIGIMON dengan "gajet" masing2.

Aku masih ingat, bilangan darjah 6 ketika itu sekitar 63 orang yang dibahagikan kepada kelas 6 Kejora dan 6 Marikh. Menariknya, murid-murid lelaki sangat jarang ponteng sekolah kerana kami dimotivasikan dengan riadah pagi yang direka sendiri. Satu tin minuman yang dipijak leper, kemudian dimainkan dalam gelanggang badminton dengan bilangan pemain hampir 20 orang. Satu kaedah yang sukar diterima "orang pedagogi", tapi inilah yang menjadikan kami semua datang awal ke sekolah.

Inilah gelanggang permainan yang menyebabkan kasut terkoyak. Comel korang. haha

Murid perempuan pula ketika itu sibuk dengan fenomenan "tomok". Mungkin wanita "gatal" awal kot.. Hehe. Tapi memang sesuatu yang mengundang senyuman bila teringatkan cinta monyet rakan-rakan. Darjah enam dah pandai aktif surat-menyurat. Manakala aku dan rakan-rakan adalah individu-individu yang suka mengkantoikan pasangan-pasangan tersebut. Hmmm, kisah lama.

Aku hanyalah "anak kampung celup" yang duduk di taman perumahan. Bersahabat dengan mereka mengajar diri untuk bersyukur dengan apa yang ada. Kami tidak disibukkan untuk bermegah-megah dengan kasut, baju atau beg yang dibawa ke sekolah. Mereka bukan guru pada percakapan, tetapi contoh pada perbuatan. Mengajar orang sekeliling bagaimana merendah diri, kerana dengan itu sahaja baru diri dipandang tinggi.

Zaman tak reti guna kamera. Semua gambar aku takde. Pasal aku yang tukang klik.

Hubungan kami terputus selepas aku ke asrama penuh.

Pertemuan 13 Tahun.

Hujung minggu lepas, "rakan-rakan" baik merangkap "kawan-kawan" paling lama aku selamat diijabkabulkan. Ooh ye, mereka kembar... Kembar seiras yang dari jauh aku dah dapat beza, tapi tidak bagi orang yang baru kenal.

Sewaktu mencari meja, ternampak kawan-kawan perempuan sekolah rendah. Izzati Ismail memang aku tak pernah jumpa dah lepas darjah 6. Tapi muka sama, senang nak cam. Terkejut bila disapa oleh rakan yang memang aku tak dapat nak detect muka sapa. Kejutan bertambah bila ramai sungguh yang hadir memeriahkan majlis Ija dan Naim. Abidin dan Papat antara yang sangat lama aku tak berjumpa. Menarik, muka diorang masih sama macam waktu kecik dulu. Seronoknya berjumpa hanya Allah yang tahu.

Dari kiri: Izmal, Yahya, Nuar, Nazrin, Khairul, Papat, Bidin, aku, Saidi yang dah ber"anak". 
Seiras kan kembar tu.

Kami kemudian menyambung perjalanan ke sebuah lagi kenduri rakan bernama Zakiah Jamiun. Terserempak dengan si kecil molek, Sheila yang sudahpun mendirikan rumah tangga bulan 5 yang lalu. Lepas tangkap gambar duk sambung sembang-sembang. Topik paling hangat sudah tentulah pasal kahwin. Dalam kepuasan pertemuan petang itu, aku masih teringin nak jumpa Shahrani Nayan dan Fasli yang memang sungguh-sungguh ter lost contact. Mudah-mudahan bertemu nanti.



Mereka yang sempat aku jumpa tapi tiada dalam gambar ialah Sheila, Husna Ramli, Ummi Kalsom.

Kehebatan mereka adalah pada akhlak luhur dan eloknya budi pekerti. Percakapan mereka terutamanya si Yahya ini memang sangat-sangat molek didengar. Nazrin, khairul, Izmal memang dari sekolah terkenal sebagai kanak-kanak nakal, tapi secara jujur sangat-sangat merendah diri. Kalaulah mampu aku bersahabat lebih lama dengan mereka, pasti penyakit hati ni mampu diubati.

Moga bertemu lagi.
Agar Allah mudahkan urusan jodoh dan rezeki kalian



Sekian dari Syuib0809.

Monday, 25 August 2014

Sahabat Lanjut Usia.

Bismillah

Terlampau lama tidak mengusik laptop di bilik. Memang benar suasana bekerja jauh berbeza dengan suasana ketika belajar. Memandang sinis kehidupan orang bekerja ketika diri bergelar pelajar mungkin menjadi putaran hidup sepanjang zaman. Sejarah yang sentiasa berulang...

Bukan sekadar laptop, aku juga semakin meng"anaktiri"kan buku-buku yang berada di rumah. Alhamdulillah, berkat menghantar dan menunggu student di klinik, aku berjaya menghabiskan buku "Kisah Sahabat Rasulullah Lanjut Usia". Sebenarnya bulan 6 dah mula baca buku ni, tapi keadaan sudah tidak seperti dulu. Apepun, buku yang sangat seronok dan berisi. Sebuah lagi karya Misbah Em Majidy yang berjaya dikumpulkan.

Antara sahabat-sahabat yang diketengahkan ialah:

Anas bin Malik
Abdullah bin Umar.
Abdullah bin Abbas
Abu Hurairah

Manakala bahagian seterusnya ialah tokoh muslimat/sahabiah yang juga hidup agak lama selepas kewafatan Rasulullah. Cuma aku agak sedikit "kecewa". Teringin nak kenal lebih banyak sahabiah Rasulullah agar dapat dikenalkan kepada para pelajar aku yang kebanyakannya perempuan.

Kekuatan utama buku ni ialah hadis-hadis yang dipersembahkan sangat-sangat menarik. Hadis yang tidak dikerat-kerat berjaya menggambarkan suasana penuh mengenai makna sesuatu hadis. Malah membekalkan kepada pembaca apa yang mereka perlu tahu, bukan sekadar apa yang mereka ingin tahu. Antara kisah hadis yang benar-benar menarik perhatian aku ialah kisah seorang pekebun yang bersolat Fardhu dengan Muaz bin Jabal sebagai Imam, dan Muaz membaca surah AlBaqarah. Solat fardhu Weyh... Menarik, sangat menarik.



Sebagai sahabat-sahabat yang berusia lanjut, mereka juga sempat melihat perpecahan umat Islam ketika zaman Uthman dan Ali. Pandangan dan pendirian mereka mengenai peristiwa ini turut dimuatkan dalam buku hebat ini. Mudah-mudahan bermanfaat bagi mereka yang ingin memilik buku ini.

Jom p kerja! Sekian dari Syuib0809

Thursday, 7 August 2014

Senyumlah 3: AlKISAH Pedoman Untuk Anakku

Bismillah.

Lama sebenarnya tak buka laman web VI Venture. Bukak-bukak tengok Ustaz Tuan Ibrahim Tuan  Man dah mai dengan buku baru. Sambungan siri SENYUMLAH. Tak fikir banyak, teruih balun 2.

Senyumlah 3: Alkisah Pedoman untuk anakku akhirnya sampai petang selasa di kaunter pejabat. Oleh kerana takde kelas, maka aku buka kejap sebelum pelajar menerjah. Tup tap tup tap dah sampai mukasurat 77. Oleh kerana penat, aku agak kurang menghayati isinya.

Keesokan paginya, hujan turun membasahi kmpp dan suasananya memang sangat Ughmm. Buka je buku ni, macam-macam perkara yang mengusik hati. Himpunan kisah-kisah pendek yang direka, diubahsuai dari kisah-kisah alim ulama', ada yang hampir sama dengan kisah-kisah dari hadis nabi, juga kisah dari zaman kanak-kanak kita. Tapi yang menjadikan buku ni benar-benar menarik ialah endingnya banyak yang sukar untuk kita duga. Tidak seperti kisah-kisah drama di TV yang mudah disimpulkan, kisah pendek senyumlah 3 sesuatu yang jarang dilakukan manusia biasa, tetapi kerap diterjemahkan oleh ahli syurga.



Secara ringkasnya, kisah-kisah dalam buku ni boeh dikategorikan kepada beberapa bahagian. Pertama, kisah-kisah yang mengajak kita memperbaiki hati. Berlatih bersangka baik, kurangkan bercerita keburukan orang, bersyukur dan sabar dengan apa yang Allah aturkan untuk kita. Antara kata-kata simple yang berbekas dalam diri:

"Kalaulah hidup di dunia ini mudah, masakan sabar itu menjadi satu pintu daripada pintu-pintu syurga.."

Kategori kedua ialah kisah-kisah politik yang dianalogikan agar pembaca sedar bahawa kita sudah lama ditipu oleh pemerintah yang zalim. Malah, sebahagian masyarakat kadang-kadang mempertuhankan PEMERINTAH, seolah-olah rezeki yang datang dari ALLAH boleh disekat leh pemerintah. Walaupun kisah-kisah tersebut dimuatkan dalam bahasa sindiran, ia sesuatu yang patut difikirkan bersama. Cuma yang membuatkan aku ketawa kecil ialah watak-watak yang digunakan. Contohnya, Taykar, Omnu, Abang Kelios, kereta Blue N, kereta PackR, kak Mahros.. Aduih..

Kategori ketiga ialah kisah-kisah keluarga atau lebih tepatnya kisah pengorbanan Ibu dan Ayah. Antara yang hampir menyebabkan air mata aku turun ialah "Alkisah Secawan teh" dan "Alkisah Tangan Mak". Tapi air mata tak sempat turun sebab aku baca kat pejabat. Gila apa tak pasal-pasal nanti dituduh lelaki Feminin sebab nangis kat pejabat.

Manakala kategori lainnya ialah bahagian motivasi hidup. Menarik..

"Sesuatu situasi yang tenang, boleh menjadi satu keresahan- jadi situasi tenang itu bukan kunci kepada ketenangan... Ketenangan sebenarnya adalah seperti ibu burung. Disebalik suasana yang tidak tenang, hati ia tenang berehat di dalam sarangnya. Itulah ketenangan sebenar"

Apa kaitan dengan ibu burung? Bacalah kalau nak tahu..

"Najis binatang, diletak ditempat salah, ia busuk dan merosakkan pandangan. Jika diletak pada tanaman, ia menyebabkan pokok berbuah.."

Kisah yang pendek, hati belum puas untuk menikmatinya. Moga dapat hadir lagi dengan buku baru. Tahniah Ustaz!


Sekian dari Syuib0809.


Friday, 1 August 2014

Selamatkah Hari Raya?

Bismillah.

Selamat Hari Raya.

Balik kampung(melaka) hujung minggu lepas. Hari pertama sudah mendapat khabar pemergian seorang kenalan keluarga. Kereta dipandu anaknya tak berjaya memotong kereta hadapan dan bertembung dengan kereta dari arah bertentangan. Hmmm.. Mudah bunyinya. Menjelang perayaan, begitu banyak kemalangan yang direkodkan. Beribu kemalangan dengan ratusan kematian. Lebih tepat lagi, 139 kematian dan 10,349 kemalangan dalam masa 8 hari Ops Selamat. Menakjubkan, ketiadaan syaitan lebih men"syaitan"kan manusia barangkali.

Belum lagi dilihat kepada kes-kes jari putus, badan melecur, mata buta dan rumah terbakar akibat mercun. Seolah-olah malam pencarian lailatulQadar adalah 10 malam terbaik untuk mengorbankan anggota badan dan kembali ke rahmatullah. Mindset yang menarik.. Aku sebenarnya tak kisah pun orang nak main mercun ni sebab aku kecik-kecik pun main mercun. Tapi kalau dah sampai duk buat mercun sendiri, main tengah-tengah malam time orang nak tidur.. memang panas hati.

Dari sudut keduniaan sendiri, Hari raya sudah tidak Selamat.

3 Pesanan sebelum pulang bercuti..

Minggu terakhir sebelum pulang beraya, aku titipkan 3 perkara dalam semua kelas yang aku masuk. Sekurang-kurangnya untuk peringatan diri sendiri.

1) "Harap yang perempuan janganlah pakai seksi-seksi. Nanti ramai plak orang datang rumah nak beraya. Kalau nak pakai kain terbelah, pastikan ada seluar track kat dalam..." Dosa biasa di hari raya, masing-masing ingin nampak menarik.

2) "Elakkan salam dengan yang bukan mahram. Tok sah lah ngada-ngada duk salam abang sedara, kakak sedara. Ada plak yang salam abang sedara yang hensem je. Yang tak hensem tegur pun tak. Alang-alang tak salam yang hodoh, biar tak salam semua.. Cuba elakkan eh.." Kasaq bahasa cikgu na..

3) "Datang rumah orang elakkan mengumpat. Ni dak, asal ziarah je buat dosa. Betul dak? tak pernah lagi saya dengar orang datang beraya cakap.. Allah berfirman... Dari abu hurairah meriwayatkan.. Raya bukan masa dihalalkan mengumpat."

Bicara tentang hari raya, seolah-olah kesalahan-kesalahan di atas dibenarkan syarak. Walaupun barangkali sudah berkurang, namun masalah-masalah lain pula mula muncul. Zaman moden dengan dunia dalam genggaman. Datang ziarah tapi duk main tablet. Mak ayah kenal dengan tetamu. Tapi anak-anak haram nak cuba berkenalan dengan anak tetamu. Masing-masing sibuk mengupload gambar raya, tengok status "cacat" rakan masing-masing di telefon pintar. Allah..

"Barangsiapa percaya pada Allah dan hari kemudian hendaklah berkata ia dengan kebajikan atau diam diri. Barang siapa percaya pada Allah dan hari kemudian hendaklah muliakan segala jirannya, Barang siapa percaya pada Allah dan hari kemudian hendaklah ia muliakan tetamunya." 
.........(H.R. Bukhari dan Muslim)



Benarkah kita selamat beraya dengan kecelekaan di dunia dan hukuman Allah di Akhirat?

Anak murid banyak perempuan, Tu yang banyak nasihat lebih kepada perempuan.

Sekian dari Syuib0809