Saturday 25 June 2016

Ramadhan: Rutin Kuli

Bismillah...

Sedang sibuk menulis cerita baru. Lili jadi watak utama. Hahaha.. Saja nak menyakat dia. Tapi lepas raya la kot baru post. Kesempatan sedikit yg ada, mencatat rutin ramadhan untuk tahun ni.

Sebelum sesi ni bermula, aku sebenarnya berhajat untuk tidak lansung terlibat dengan ANC. Selain kemalasan, aku risau ikatan yang lama itu menyebabkan aku sukar melepaskan mereka kelak. Takut-takut kalau orang lain datang ambik, aku pula yang menjadi musuh kepada mereka. Ia barah yang sudah terlalu kerap terjadi pada daei. Aku berharap bila tiba masanya, aku terhindar dari penyakit hati itu.

Namun, sumbangan demi sumbangan menyebabkan aku terpaksa menggerakkan mereka untuk projek berbuka puasa. Mengharapkan diri sendiri, memang tidak mungkin aku mampu. Dan apabila aku sudah mula menyibuk, aku terpaksa akur yg aku pasti akan sibuk.

Setiap minggu, aku duk balik teluk intan. Rutin mingguan, aku pulang bukan sekadar mahu berjumpa keluarga, tetapi turut bertujuan untuk memborong buah tembikai di TF Teluk Intan. Harga di kepala batas yg mencecah RM3 sekilo, aku mengira-ngira untung rugi tatkala membandingkan harga tembikai yang hanya RM1.40 untuk setiap KG di teluk intan.

Minggu pertama ambik 11 biji.
Minggu kedua 16 biji.
Minggu ketiga 12 biji.
Dan berat setiap satunya dalam 7-8 kilo...

Saat mengisi biji-bijik itu dalam trolley, ada je insan peramah yang menegur...

"Buat berniaga ke?"

"Wah, banyak beli, macam mana nak tau buah elok eh?"

Cuma yang paling sakit hati bila dengar tukang timbang duk nyembang dengan pembantunya...

"ala, ni mesti nak jual ni...."

Lantak hangpa la... Cuma tak syoknya, kereta aku dah macam lori buah. Habis kotor sebab kesan tanah kat buah-buah ni ada lagi.

Idea asal projek ni sepatutnya beri air dan buah sahaja. Tapi Alhamdulillah, semakin ramai pensyarah yang menghulur dana hingga aku terpaksa memikirkan menu tambahan. Maka menjadi rutin sebaik sahaja pulang dari solat asar, aku akan menuju ke Bazaar dengan menaiki Buroqstu. Naik kereta memang idakle, menyakitkan hati.

Memborong murtabak berpuluh-puluh keping, roti John, karipap samosa beratus-ratus, aku seolah-olah kelihatan seperti si bapa yang punya anak berbelas-belas orang. Saat bilangan-bilangan itu seperti mengejutkan, aku kerap beroleh "hadiah".

" ni bang, kami bagi lebih tiga..."

" ni untuk abang..." juadah lebih itu dibungkus dalam plastik hijau berasingan..

Tapi setiap kali aku berniat mahu mengambilnya, kisah ini kerap memberi amaran...

satu kisah yang mengatakan pada suatu hari Rasulullah SAW ada menegur seorang sahabat Baginda, Ibnu al-Lutbiyah yang dilantik sebagai amil
Ðikatakan Rasulullah SAW menegurnya apabila dia pulang daripada mengutip zakat lalu diserahkan sebahagiannya kepada Baginda dan sebahagian lagi dikatakan sebagai hadiah yang diserahkan kepadanya ketika mengutip zakat berkenaan.
Baginda SAW menegur beliau dengan cara Baginda bangun dan berucap di atas mimbar lalu memuji Allah dan berkata: “Apakah seorang amil yang aku lantik untuk memungut zakat selepas dia pulang dia berkata ini untuk engkau dan ini dihadiahkan kepadaku, sedangkan kalaulah orang itu berada di rumah, apakah dia akan diberikan hadiah seperti itu?”

Jari jemari yang penuh itu, aku selalu gagal mencari juadah untuk diri sendiri. Bakul motor yang penuh, aku meredah terik mentari dalam keadaan yang sangat memenatkan. Apatah lagi, kalau hari itu, aku beroleh kelas sehingga 4 jam. Sebaik sahaja menghulur juadah kepada HES, baru aku mula mencari juadah sendiri di cafe-cafe kolej. Balik je rumah, terus pengsan...

Biasanya kul 7.00 petang dan selepas maghrib, aku kembali menjenguk-jenguk mereka. Risau takut apa-apa jadi nanti. Selain itu, meninjau suasana agar senang nak bagitahu penyumbang-penyumbang tentang sambutan program ni macam mana.

Dalam 8.20, menuju ke masjid pongsu seribu kembali. Dalam kul 10 malam dah balik. Lemah iman, aku buat 8 rakaat je, lepas tu cabut.. Hehe

Pukul 5 pagi, aku dah mula panaskan apa yang patut. Takat hari ni, tak pernah lagi aku miss sahur. Lepas sahur gosok baju kerja, lepas tu teruih mandi pi masjid.

Dan benda-benda ni berulang setiap hari kecuali hujung minggu..

Seminggu yang masih berbaki, semanagat menjadi kuli itu masih menebal.

Kepenatan yang terubat, tatkala anak-anak itu menjamah dengan senyuman, dan menambah tanpa perlu risau akan wang di tangan..

Sekian dari Syuib0809..

Friday 17 June 2016

Iftar Ramadhan Annur: Bandung Soda

Bismillah.

Semangat SYUIB yang masih berbaki, aku menanti kehadiran Ramadhan ini sejak berbulan-bulan lamanya. Memikirkan student yang bakal kelaparan tanpa elaun, surau yang sunyi maghribnya dek akibat kekenyangan, juga Ramadhan yang patut sentiasa meriah dengan pelbagai aktiviti. Maka ketika sesi lepas hampir melabuhkan tirai, aku "mereka-reka" kertas kerja yang bertajuk Iftar Ramadan Annur. Matlamat yang mudah, sekadar mahu melihat ketiga-tiga isu sebentar tadi diselesaikan dengan jayanya. Namun sayang, kertas kerja itu ditolak dengan "baik". Asbabnya, aku tidak punya pengaruh dan kuasa.

Pemberontak tegar, aku mengatur strategi kedua sepanjang cuti. Penolak yang lari dari pemberontak, aku memohon meletakkan tv agar mudah mencari dana sepanjang Ramadhan ini. Sekurang-kurangnya air manis sejuk dan buah sudah cukup meringankan beban anak-anak pelajar yang tidak bergaji. Sebab yang sukar mahu aku hadam, yang di atas-atas itu tidak membenarkan.

Diri yang merajuk, maka mudah benar memarahi hati...

"lantaklah diorang izuan, hang tak payah pikir la pasal surau tu. Lagi aman hidup hang..."

Cuma menarik, tiada tenang pada hati, tatkala akal tidak memikirkannya...

Saat putus asa itu berbaki, ustaz Hazrin datang dengan nasihat kecil yang membangkitkan. Duit RM500 yang dihulur, aku kemudian beroleh sekitar RM450 dari unit Fizik hasil bantuan shak. Duit itu digunakan sebaik-baiknya untuk membeli bahan mentah dan buah-buahan. Pulang ke Teluk Intan, projek ini beroleh pula sumbangan dari ibu-bapa sendiri sebanyak RM300. Alhamdulillah.. Akibatnya, penuh MyVi merah itu dengan tembikai beratus kilo, gula dua dozen, susu tin, kordial, limau dan bagai. Dah macam lori angkut barang plak jadinya..

Saat pulang kembali ke kolej, aku kembali menyusun strategi buat kali ketiga sepanjang perjalanan tiga jam itu.

Mengumpulkan lajnah HES petang ahad, aku memulakan "perang saraf" bersama-sama dengan mereka. Strategi yang masih belum boleh dibongkar, aku beroleh tambahan sekitar RM800 setelah empat hari projek itu berlansung. Manakala ANC pula membuat kejutan, apabila beroleh sekitar RM1050 dalam tempoh empat hari, tanpa satu pun tabung diletakkan di depan surau. MashaAllah. Ustaz pula berjaya dengan taktiknya sendiri, apabila Pusat Islam bersedia "menjamu" mereka-mereka yang di surau untuk empat malam berasingan.


Hari pertama projek berlansung, bilangan pelajar yang hadir agak menghampakan. Aku kira, barangkali hanya sekitra 40-60 orang yang hadir. Meningkatkan syarat, aku mewajipkan agar air yang terhidang itu perlu ada sekurang-kurang dua perkataan...

Maka terciptalah menu:

Isnin: Sirap limau
Selasa: Laici Lemon.
Rabu: Ice Lemon Tea
Khamis: Bandung Soda
Jumaat: Ribena Cincau..

Dua tahun mengajar di sini, aku tidak pernah berjaya mencari cincau petak. Puas mencari kat semua kedai, satu pun tak jumpa. Akhirnya, aku bertanya pada orang-orang lama di sini...

"cik wey, nak tanyalah. Cik wey tau tak kat mana ada jual cincau petak yang besaq tu? Puas saya cari, tak jumpe-jumpe..."

" cuba cari kat pasaq kepala batas, rasanya ada jual situ..."

"eh, kepala batas ada pasar ke cik wey?"

Dahsyat, dua tahun duduk kat sini, baru hari ni aku tahu kepala batas ada pasar. Ingatkan selama ni bahan mentah beli kat pasar malam je. Aduihh.. Kali pertama gi pasar tersebut, aku tiba-tiba menjadi ketagih untuk pergi buat kali yang kedua. Hahaha..

...........

Petang yang selalu kepenatan, aku menyerahkan urusan penyediaan air kepada Azrul dan junior-juniornya. Cuma setiap petang aku akan bekalkan mereka dengan bahan-bahan mentah.

Namun semalam, aku beroleh permintaan untuk membuat sendiri bandung soda tersebut.. Baju batik yang tidak bertukar, aku terus menuju ke surau sebaik membeli juadah tambahan (roti john(20) dan murtabak(40 keping)) untuk projek ini. Kepenatan yang melampau, namun mudah benar terubat tatkala melihat sambutan yang sangat menggalakkan dari pelajar. Bilangan yang mencecah 200 orang, bandung soda itu terpaksa dibackup dengan satu lagi tong air sirap limau bagi menampung jemaah-jemaah yang hadir.

Dan saat azan maghrib berkumandang, aku tersedar yang ada di tangan aku hanya ada roti John dan secawan bandung soda. terperasan, rupanya aku tiada apa-apa juadah lain untuk berbuka malam itu. Dan perasaan-perasaan menjadi syuib, memori2 menjadi tukang masak di program2 jemaah, perasaan ketika menjadi pembancuh air berbuka di IPG itu juga muncul kembali...

Hingga aku mengingat kembali kata-kata yang aku persembahkan dalam pertemuan pertama bersama lajnah HES sesi ini.

" kamu nak tengok benda-benda ajaib, tengoklah masa dalam ANC ni.. Kamu akan lihat hebatnya pertolongan dari Allah.... Kerja kamu yang susah, Allah permudahkan entah dari mana datang.. Orang yang keluar, lari, Allah gantikan dengan yang jauh lagi hebat... Tapi syaratnya kena IKHLAS. Kena sabar bila Allah uji nanti.... InshaAllah kalau kamu Istiqamah sampai akhir, macam-macam kamu akan belajar dan lihat dari ANC..."


Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya). (3) 

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(4)


(Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan - ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dengan keadaan kekal mereka di dalamnya, serta menghapuskan dosa-dosa mereka; dan adalah yang demikian itu pada sisi Allah merupakan kejayaan yang besar (untuk mereka);

 Alfath: 3 - 5Sekian dari Syuib0809




Friday 10 June 2016

Fitnah Ramadhan

Bismillah.

Ramadhan ini, pertama kali aku melihat sesi pendaftaran dan orientasi berlansung dengan pesertanya perlu berpuasa. Tiada fitnah, aku melihat wajah-wajah sukarelawan itu bersemangat sahaja sepanjang bekerja. Cuma geli hati melihat senior-senior yang mentertawakan gelagat junior-junior. Mereka terlupa, mereka juga pernah lahir dengan mata "tidak bersalah" yang sama.

Ramadhan kali ini, aku punya misi untuk tidak menjejakkan kaki ke bazaar ramadhan.. Pernah berjaya di bumi Inggeris(memang takde bazaar), sangat berjaya ketika di IPG, malah tahun pertma berkhidmat juga aku berjaya mengawalnya. Cuma tahun ni, terasa benar kegagalannya.

Rabu punya cerita, aku dikunjungi panggilan telefon di saat istirehat. Berita sensasi, seorang pelajar sesak nafas dan kebas satu badan. Maka, hospital tepi PPD itu sudah pasti menjadi destinasi utamanya. Namun tiada apa yang pelik, unit kecemasan itu tiada lansung cemas melihat pesakit yang masih boleh tersenyum. Berfikiran positif, aku memujuk sukarelawan yang mengiring agar ada usaha untuk menghasut. Maka, pesakit yang tidak kronik itu dilarikan. Disumbat kembali dalam MyVi merah.

Mengenali wanita, aku percaya fitnah yang berlegar mengenai mereka sebenarnya bukan cerita dongeng. Kata-kata orang, shopping itu ubat paling mujarab untuk kaum Hawa. Sebab itu nenek-nenek yang bertongkat, bertenaga sahaja di pusat membeli-belah.

Jam 6.30 petang, aku membawa si fasi dan pesakitnya ke bazaar Ramadhan. Aku pasti, jika mereka kembali ke kolej, tiada juadah yang berbaki untuk disambar. Maka bazaar itu tempat yang baik untuk dikunjungi. Cuma dahsyat benar orang perempuan, yang sakit-sakit itu berjaya juga tawaf keliling Bazaar. Ternyata, memang benar mujarab ubatnya.

Dalam kereta juga, si intan, syak dan nik duk sibuk bercerita pasal blog ni..
Maka aku mencadangkan mereka mulakan pembacaan dengan

1) Pensyarah Gatal..
2) StudentKu si Pemalu
3) Ibrah Buat Husna
4) Studentku Si Pemalu Akhir
5) Si Hensem and the Beast
6) Alkisah cinta tiga negeri..

Cuma menarik dengan soalan NIK. 

"betul ke cerita-cerita ni cikgu?"

Wallahualam

Sampai kolej, Hazli dan sahabat-sahabat lelakinya tertakdir berada di hadapan mata. Dan Nik Ezaity sudah bersedia dengan kenakalannya...

"Cikgu, terima kasih belanja!!!"

Jeritan yang lelaki-lelaki itu dengar. Aku pula sudah mula mendengus

"siot punya nik..."

Kerana aku yakin si Hazli akan berfirasat..

"cikgu, kalau muslimin tak nak belanja, muslimat boleh plak cikgu belanja..."

Aku dah kata ini semua fitnah... Aduih..

Pulang ke rumah dengan roti John di tangan, aku sudah ada niat untuk berbuka di masjid pongsu seribu. Bertatih-tatih mahu menjadi ahli Qariah, maka aku bersiap secepat yang mungkin. Bergerak laju dengan Buroqstu, aku sampai saat dulang-dulang sudah pun penuh dengan isinya. Menu malam itu, nasi mandy ayam. Satu talam yang dikongsi tiga, dua orang peneman itu masih belum aku kenal. Cuma ketika makan, aku meramahkan diri dengan soalan-soalan yang tidak penting. Dengan harapan, moga ada ukhwahnya..

Saat nasi sudah mula tidak kelihatan, teman bermisai setalam itu tiba-tiba bertanya soalan yang mengejutkan...

"Ustaz mengajaq kat mana?" jelas kelihatan confident pada wajahnya...

Erk...

Ustaz?

Aku dah kata ini semua fitnah.... Hahaha

Abaikan leher yang semakin tiada. Fokus kepada setitis kehenseman yang masih ada.

Sekadar risalah jenaka buat anak-anak yang baru membaca.
InshaAllah nanti akan dibekalkan dengan cerita bersiri baru...

Alangkah ngerinya andai kalian tahu apa itu fitnah

Sekian dari Syuib0809

Sunday 5 June 2016

Ramadhan: Mencari Hati

Bismillah.

Marhaban Ya Ramadhan..

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 183)
Ramadhan kali ini, aku mahu berjinak-jinak meninggalkan surau kolej, dan mahu menjadi buas sebagai ahli Qariah masjid pongsu seribu. Tahun sebelum ini, aku sudah pun mula meninggalkan surau Annur untuk waktu subuh. Cuma azam sesi ini, mungkin hanya 10% solat wajib yang ada lima itu aku sempurnakan di surau tersebut. Selebihnya, barangkali di masjid kampung yang berjiran dengan tanah kubur. Mahu mendidik hati, biar cepat tuanya...

Masjid pongsu seribu itu, banyak benar yang layak menjadi imamnya. Sepanjang mata memerhati, ada 6-7 orang yang sentiasa sudi ditolak untuk ke depan. Cuma mata yang sentiasa berdua, selalu tertarik dengan imam tua yang satu. Imam tua itu, tangan kanannya lumpuh. Entah sebab apa, aku tidak punya manfaat untuk tahu asbabnya. Cuma setiap kali Azan Fardhu berkumandang di masjid itu, aku tidak pernah berjaya untuk memintasnya. Kekurangan yang ada pada dirinya, tidak pernah menjadikan dirinya kalah dengan orang muda. Istiqamahnya, hanya tuhan yang punya gnjaran pada dirinya.

Imam tua ini, datangnya berjubah biasa sahaja. Pakaiannya, tidak pernah mahu menunjuk yang dirinya orang beriman. Tapi setiap kali Alfatihah dikhatamnya, surah yang mengiringi pasti luar biasa. Hafalannya sangat kuat. Aku yang masih muda, selalu buntu mahu meneka surah yang dibaca. Cuma aku selalu perasan, apabila ada imam-imam berbaki yang muncul sebaris dengannya, dia sentiasa berbesar hati untuk mengalah, dan menjadi makmum yang sangat setia dengan senyuman.

Setip kali solat fardhu, aku memaksa diri untuk merebut saf yang paling hampir dengan imam. Walaupun hakikatnya, tiada lansung pesaing dalam perlumbaan itu. Hampir setiap hari itu juga, ada seorang tua yang kerap berdiri di sebelah kiri aku. Rambut, uban, bulu kening yang sudah putih, aku yakin dirinya sudah hampir menerjah umur 70 tahun. Atau barangkali, lebih. Saat duduk-duduk tahyat, aku suka menjeling tangannya yang penuh dengan kedutan. Kedutan itu seolah membawa seribu makna. Cuma tertarik aku dengan dirinya, dia selalu "berebut" untuk duduk di sebelah aku. Bukan saja ketika solat, malah aku terperasan dia juga berada di sebelah ketika solat sunat rawatib dan ketika kuliah ilmu sedang berlansung. Hmmm

Namun tiada kepelikan, kami berdua masih belum pernah bertutur apa-apa kata. Malu yang belum berjumpa penawarnya, aku sekadar memberi senyuman saat bersalaman. Sebagai kaki drama, aku berharap pak cik tu punya anak gadis yang cantik dan solehah. Kahkahkah. Okeh, habis hilang serius.

Potret-potret tua yang bergerak ini, aku terasa senang dan tenang melihatnya. Mencari-cari irama hati yang sering kacau bilau membaca kerenah anak muda yang terasa bijak pandai.

Dunia alam maya yang serba canggih, aku suka mengikuti perkembangan rakan-rakan yang pernah aku  pandang tinggi satu ketika dahulu. Rakan-rakan satu kolej, yang majoritinya adalah pelajar-pelajar bijak pandai dari seluruh Malaysia ketika itu. Teringat kehebatan mereka-mereka ini berhujah. Tiada satu benda kecil yang terlepas, melainkan mesti menjadi isu. Solat pakai tshirt, isu tahlil, isu freemason, isu liberal, SIS,  dan apa-apa sahaja isu pasti ada yang dipersoal dan dicari jawapannya. Ketika itu, aku secara jujurnya terasa sangat hebat bersahabat dengan mereka. Melayan orang-orang memberontak seperti lili, terasa teruja mahu tahu dan mencari semua jawapan.

Tapi kini aku lelah. Aku terperasan, kami-kami ini seperti punya barah pada hati. Semua perkara yang dipersoal dan dibicarakan, hakikatnya hanya mainan kata. Amalnya entah ke mana. Menanam benih keraguan kepada orang-orang agama, dan mencari dalil-dalil menenangkan orang yang berlainan agama, aku terasa khuatir kepada siapa mahu kami berikan jawapan. Adakah pada manusia yang tidak pernah puas, atau pada Tuhan yang Hari Pertanyaannya pasti akan tiba.

Dan entah putus asa apa yang hadir, aku terasa mahu mula melupakan sahabat-sahabat bijak pandai itu. Kehidupan di KY yang serba mewah, aku ragu-ragu akan kemewahan hati penduduk-penduduknya. Mahu menjadi orang kampung yang sunyi dalam kemewahan amalnya. Aku berharap berjumpa hati yang tenang dalam kampung miskin ini.

Mudah-mudahan punya hati yang syukur dengan apa yang ada.
Juga hati yang bersangka baik dengan orang-orang agama.
Serta hati yang suka beramal, 
dan jauh dari mempersoalkan amal-amal.

Selamat memeriahkan Ramadhan.

Sekian dari Syuib0809