Saturday 18 June 2022

100 hari

 Bismillah

Alkisahnya

Aku ada seorang adik lelaki yang berbeda bakat dan minatnya.

Orang lain suka ubah motor, dia suka gubah bunga.

Orang lain pakar sepahkan bilik, dia berseronok menghias bilik.

Orang lain gelojoh makan kambing, dia kenyang dengan coklat

Budak2 U, cuti sem baru nak balik, dia hampir setiap minggu balik rumah.

Kerana itu, dia jadi orang paling lama dan kerap berada di rumah di kalangan adik beradik. 

Duduk di rumah, ada sahaja coklat terselit di celah2 almari dan peti sejuk. Adik beradiknya juga merasa.

Apabila kami balik, katil sudah ditukar cadar. Bunyi vacuum berkumandang di siang hari, dan lantai basah bila semua orang sudah masuk tido. Vacuum dan mop itu bukannya aktiviti mingguan, ia adalah rutin harian adik laki yg sorang ni.












Ketika aku akhirnya berjumpa jodoh, tidak ada yang aku risaukan bagi urusan risikan dan hantaran. Semua dulang hiasan adalah hasil tangannya.

Hinggalah satu hari, kelihatan satu tompok merah dibelakang badannya.

Kemudian merebak ke seluruh badannya. Tubuh dia jadi lemah. Walaupun kerap berbaring, masih sempat membasahkan lantai di malam hari.

Cuma ketika PKP, kesihatannya semakin merosot. Selepas terkena covid, dia sukar untuk bangun dari katil. Sendunya jadi sgt kuat, dan susah mengawal derianya. Kami fikir, ia "biasa".


100 hari berlalu


100 hari yang lepas, ketika sedang menonton tv, dapat panggilan dari adik perempuan..


"Angah, angah doalah untuk ateh. Doktor kata ateh kena ditidurkan.."

"Nak angah balik tak"

"Xpayah ngah, nak angah doa je untuk ateh..."

Selepas dapat panggilan tersebut, aku pun bagitahu pada isteri..


"Kemas baju dulu.. ready je."


Terjaga jam 2 pagi, tengok banyak miss call. Kami berdua terlena. Aku sudah menjangka apa yang berlaku. Terus call abah.

"Wan, azim dah takde.."

"Innalillah wa inna ila hirojiun.."

2.30 pagi bertolak, kami sampai ke rumah teluk intan jam 5.30 pagi. Hari pertama tersebut masih tiada apa yang boleh dibuat, kerana jenazah ditahan pihak hospital untuk pengesahan covid19. Sebagai ahli keluarga, sudah tentu teringin sangat nak tengok jenazah, sebab memang dah 3 minggu tak dapat ziarah berikutan prosesur covid19.

Alhamdulillah, hari jumaat malam, doktor bagitahu kematian adzim bukan disebabkan covid 19. 

Pagi-pagi sabtu dah berada di hospital. Segala proses mandi, kafan dan solat semuanya di hospital. Mudah, dan yang paling penting proses menyimpan dipercepatkan. Dan sepanjang proses itu, aku ada disampingnya.

Cuma begitulah, oleh kerana aku yang paling "kurang rapat" dalam family, maka aku jugalah yang paling cepat "redha" dengan pemergiannya. Dan aku melihat perginya pada malam jumaat sudah cukup baik. Dan kesakitan yang dialaminya berakhir. 


مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ


Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [Musnad Ahmad, no. Hadith 6359]


Tetapi adik beradik lain yang memang sangat rapat dengannya masih bersedih. Banyak kenangan yang mengingatkan tentang dirinya. Namun begitulah kisah sebuah pinjaman. Engkau pinjam, dan engkau pulangkan. Bukan adzim sahaja, tetapi semua yang sedang seronok hidup di atas dunia ini pasti melaluinya.

100 hari ini, ada sebahagian melihatnya sebagai sebuah bidaah dan karut marut. Namun aku melihat ia budaya orang dulu-dulu yang disusun berseni agar sebuah kematian tidak terlalu mudah dilupakan. 


Engkau boleh berkata apa sahaja.

Bila engkau melalui, baru engkau mengerti


Itulah kisah si mati

Beribu kali engkau mimpi

Tetap tak akan mungkin kembali

Selamat hari jadi

Buat engkau yang telah pergi