Saturday, 31 December 2016

Sejarah basikal

Bismillah

Minggu ini sibuk menguruskan perancangan untuk MEMORI. Macam-macam isu, yang aku kira berjaya tercatit sebagai pengalaman menarik buat mereka yang menjadi pemimpinnya. Sepatutnya semalam, aku perlu berangkat Kuala Terengganu. Bukan untuk rombongan meminang orang terengganu, sekadar percutian akhir bersama keluarga sebab adik aku dah habis belajar kat UNIZAR. Bas sepatutnya pukul 10, kul 8.30 malam aku dah sampai. Tunggu depan platform no.24 (SP BUMI), tetapi jam 9.45 yang sampai adalah bas untuk kul 9 punya tiket. Katanya jem sebab pesta pineng. Tunggu punya tunggu, aku akhirnya tunggu sampai jam 12.45 malam!!. Sakit hati, balik kolej terus.

Sebenarnya lama nak tulis pasal basikal ni.

Sejarah Basikal

Kalau ikut pembesaran 27 tahun ni, aku dari kecik memang jenis pakai basikal je. Waktu sekolah rendah, darjah 6 dah pergi sekolah kayuh basikal. Waktu tu, abah beli basikal warna merah dengan ungu. Merah aku punya, ungu kakak aku punya. Waktu sekolah asrama, basikal tu tersadai je kat rumah. Balik cuti baru pakai pergi main bola dengan kawan. Zaman sekolah menengah, aku tak dibenarkan bawak motor lansung. Macam biasa, kalau bawak pun curi-curi je. 

Habis sekolah menengah, aku masih belum ada lesen motor. So, menghidupkan kembali basikal merah yang ada di rumah dengan berkayuh ke pekan teluk intan 3 kali seminggu semata-mata untuk latihan memandu. Perjalanan yang memakan masa 35 minit, zaman itu sudah menjadi kepelikan untuk remaja berumur 18 tahun mengayuh basikal. Sebaik sahaja punya lesen, basikal-basikal itu terbiar, tersadai. Sudah tiada penghuni yang sudi mengayuhnya. Ke Lembah Beringin menyelesaikan A-Level, aku sudah tidak berbasikal lagi. Basikal itu akhirnya dibuang, dalam keadaan aku tiada satu pun gambar bersamanya. Sedih.

Meneruskan kehidupan di bumi asing, motorsikal seolah-olah sangat pelik untuk dilihat di negara empat musim itu. Mahu memiliki kereta, bayaran insurans yang pelbagai tersangatlah memakan belanja yang tinggi. Setelah hampir 6 bulan berjalan kaki ke University dan Bandar Leicester, aku akhirnya mengambil keputusan untuk membeli basikal. Antara sebab utamanya, terasa diri kosong berjauhan dengan masjid. Maka, punya basikal menyebabkan aku mengenal begitu banyak masjid di Leicester. Beli di carboot, basikal jenis "travelling" ni hanya bernilai 30pound ataupun RM150. Kisahnya boleh baca di sini


Sayangnya, basikal ini tidak bertahan lama. Aku sendiri tidak punya banyak kenangan bersamanya. Rumah kami dipecah masuk ketika cuti Summer 2010. Akibatnya, semua basikal yang tersimpan dalam rumah tanpa penghuni itu hilang tanpa dapat dikesan. Tidak mahu memutukan diri dengan komuniti muslim, aku kembali ke Carboot untuk mencari basikal yang baru. Dengan harga yang hampir sama, aku beroleh basikal jenis "racing/roadbike" yang tersangatlah ringan. Dan basikal ini biasanya aku bawak untuk perjalanan jauh dan luar dari Leicester. Boleh baca kisahnya di sini



Kekurangan basikal racing, ianya agak kurang sesuai untuk perjalanan berbatu, tidak rata dan juga kawasan berbukit. Akhirnya aku membeli sebijik lagi basikal bewarna biru. Tetapi dicuri keesokan harinya. Siot. Namun, aku kemudiaannya dipertemukan dengan Buroqs. Teman sejati yang menemani aku kemana-mana sahaja. Entah apa specialnya mengenai dirinya, memang aku selalu bawak dia je.

Waktu ni aku ke Nottingham. Terpaksa tinggalkan Buroqs kesejukan sebab kena naik bas ke dunkirk.  Sekali malam tu, salji turun. Kat Uk, memang ada parking khas untuk basikal. Banyak plak tu.

Satu-satunya gambar aku bersama Buroqs. 

Menjual buroqs di hari terakhir.

Sewaktu mahu pulang ke Malaysia, aku menjual semua basikal-basikal yang pernah menemani zaman-zamn belajar aku di Leicester. Buroqs adalah yang terakhir aku jual. Boleh baca kisahnya di sini. Saiz mereka yang besar, maka aku tidak berniat mahu membawa mereka pulang bersama. Malah, aku meyakini bumi Malaysia tidak sudi menerima mereka, kerana bukan budaya tanahnya. Terbukti benar, dari tahun 2012 hinggalah 2016 aku tidak lansung mengayuh mana-mana basikal. 

Pakaian rasmi berbasikal ketika musim sejuk. 

Sejak pengarah masuk, kolej seolah-olah bertukar menjadi tempat bersukan. Tiba-tiba pensyarah ada plak hari sukan sendiri. Tambahan baru, semua pensyarah asyik berbicara mengenai basikal. Aku yang seronok tengok pengarah berkayuh, berniat mahu berbasikal kembali. Akhirnya, merembat basikal ni di mudah.my. TRS Fastest. Harga RM699. First time naik, punyalah penat kayuh. Aku tak pasti aku berat atau basikal tu yang bermasalah, tapi memang pancit sungguh. Kali kedua kayuh, aku menuju ke Tasek Gelugor plak. Pergi balik dalam 16km. balik2 rumah ingatkan makin kurus, rupa-rupanya lagi selera makan. Haha. Khamis baru ni pergi plak vision park, bertam. Pergi kul 5.30 sampai rumah kul 6.45 petang. Lambat memang lambat tapi oklah dapat cover 12km. Ni basikalnya.

Letak kat bawah Quarters bersama motor. Orang lain sibuk suruh letak dalam rumah. Takut kena curi. Entahlah. Cam tak sesuai je letak dalam rumah..
Itu jela kot nak cerita. 

Sekian dari Syuib0809

Wednesday, 21 December 2016

Barakah: Cerita Malam Ini.

Bismillah.

Banyak perkara berlaku, banyak juga yang mahu diceritakan. Cuma malas benar mahu menulis. Minggu lepas, sebaik sahaja aku pulang ke kolej, terus disibukkan dengan dua program. Pertamanya sambutan Maulidur Rasul, manakala yang kedua ialah latihan kebakaran. Sepatutnya dibantu dan membantu Miss shak serta Ustaz, tetapi keduanya punyai hal yang lebih penting. Ustaz menguruskan isterinya yang baru selamat bersalin, manakala shak tiba-tiba mendapat perkhabaran yang ayahnya ditimpa kemalangan..

Lalu aku berseorangan, mengarah anak-anak pelajar untuk membantu secara paksa rela. Mahu meminta bantuan penyarah lain, terasa segan kerana majoritinya jauh lebih tua dari aku. huhu.

Cerita malam ni.

Semalam, gaji terakhir tahun ni masuk. Untuk gaji bulan depan, aku terpaksa menunggu sehingga tahun akan datang.

Oleh kerana BSN kepala batas dekat dengan masjid AtTaqwa Bertam Indah, maka aku terus menunaikan solat Maghrib berjemaah di situ. Selaku bujang, mengeluarkan RM200 dari ATM sudah cukup menampung perbelanjaan hidup. Pergi ke sunshine, aku sebenarnya hanya berniat membeli vitagen dan makanan kucing. Kesian kucing bawah rumah lama tak dapat makanan basah. Tetapi oleh kerana makanan kucing agak mahal berbanding longwan, aku sekadar menyambar vitagen, kacang panggang tin, serta sebotol air jus oren. Harganya sekitar RM10, dan aku masih punya baki RM190.

Sementara menunggu isyak, aku duk pusing-pusing pekan bertam dengan kereta MyVi merah sebelum akhirnya bergegas kembali ke kepala batas. Sampai di simpang tiga Perodua bertam Indah, lampu sudahpun hijau. Saat kereta lurus mengikut kereta hadapan, tiba-tiba belakang kereta aku dirempuh dari belah kanan oleh sebuah motor.

"dah, datang dari mana la plak motor ni?"

Aku memberhentikan kereta, saat melihat tubuh itu jatuh bersama dengan motor yang diboncengnya. Dalam keadaan terduduk di atas jalan raya, hidung dan hadapan mukanya jelas kelihatan berdarah. Perempuan. Motornya pula bengkok side mirror berserta pemijak gear. Aku mengalihkan motornya, manakala dirinya dipapah orang-orang yang turut memberhentikan kenderaan.

"ok ke, nak saya call ambulans?"

Wanita itu menggelengkan kepala. Aku syak umurnya sekitar 35 - 40 tahun. Sewaktu mengalihkan motornya, aku percaya motornya masih elok dan boleh berjalan.

"maaf ye bang, kereta abang ok?"

Siot, tua sangat ke muka aku. Hehe. 

"takde ape2, kemek sikit je... Cuma jangan buat lagilah ye..."

Wanita itu melanggar lampu yang sedang merah. Dan akhirnya melanggar tepi belakang kereta aku yang sekadar menghala lurus. Mahu marah dan meminta ganti rugi, aku rasa dirinya sudahpun menerima sesuatu yang lebih buruk dari itu. Maka melepaskan dirinya sudah cukup sebagai sedekah yang meringankan beban saudaranya.

Dari HR Muslim dan lainnya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
“Siapa yang menghilangkan kegelisahan seorang mukmin dari kegelisahan-kegelisahannya di dunia, niscaya Allah menghilangkan kegelisahan-kegelisahannya di hari kiamat. Dan siapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang dari kesulitan, Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama hamba-Nya itu memberi pertolongan kepada saudaranya.”

Sebaik dirinya sudah stabil, aku kembali ke kereta dan menuju ke Kompleks Kailan. Terasa semacam di bahagian belakang, aku memberhentikan kereta untuk melihat "makhluk" apa yang menumpang. Rupa-rupanya, Tayar belakang belah kanan yang dilanggar dah pecah.

"Kuat juga motor tu langgar. Sampai pecah teruk tayar abang ni.." siot. Sorang lagi panggil abang. Mekanik itu berfirasat yang motor tersebut laju dari simpang kanan. Cuma beruntung aku, motor itu benar-benar melanggar tepat di bahagian tayar, bukan di bahagian lain.

"Nak tukaq tayaq baru ka?"

"Okeh"

Sebaik selesai, aku ke kaunter bayaran. Melihat dalam resit yang ditulis, harga tayar termasuk GST itu berharga RM190.80.

"takpelah bang, RM190 je..."

RM200 yang baru dikeluarkan, lesap tidak sampai satu jam. Ia penanda yang harta itu bermasalah.

Muhasabah.

Dua minggu aku menangguh-nangguh membayar zakat harta. Lalu amaran dari Allah itu datang mengingatkan teruknya empunya diri. Sedangkan Abu Bakar sendiri memerangi mereka-mereka yang tidak mahu membayar zakat. Ijtihad yang sahabat-sahabat tidak bersetuju, namun abu bakar yang menggantikan Nabi itu lebih tahu dan pakar dalam urusan Agama.

Malulah atas dirimu, Izuan.
Ingatlah, Tuhan sentiasa ada untuk mengingatkanmu.

Okeh, esok pi pejabat agama.

Sekian dari Syuib0809.


Saturday, 10 December 2016

Niat dan Sabar

Bismillah.

Perancangan

Pagi tadi, aku bertolak dari rumah menuju kembali ke pulau pinang. Targetnya, sampai ke bukit mertajam jam 12.00 tgh hari. Walaupun cuti masih berbaki tiga hari, aku berazam besar memenuhi undangan anis farhana(partner muscom kat kolej) ke majlis perkahwinannya. Dalam keadaan semua orang menghebahkan majlis di FB dan whatsapp secara umum, anis mesej aku secara personal dan siap sms semua details lagi. So, keberiyaan tersebut menyebabkan aku berazam untuk hadir ke kenduri dia.

Ditakdirkan Allah, phone aku hilang dan semua maklumat-maklumat tu hilang, maka aku mengorek-ngorek di muka buku semua maklumat yang boleh diperolehi dan akhirnya berjumpa. Syukur dan aku pun meneruskan perjalanan pagi ni.

Dalam kepala kul 12.30 tgh hari dah boleh makan lauk kenduri. Selfie berlatarbelakangkan pengantin dan upload dalam blog sebagai bukti aku datang kenduri dia. Hehe

Niat dan Sabar.

Sampai di Tol Ipoh, semua laluan masuk dan keluar lebuhraya utara-selatan menghala ke kuala kangsar ditutup. Kesesakan yang sangat melampaui batas, menyebabkan aku masih berada di Ipoh jam 11.30 pgi. Mencari-cari jalan alternatif bagi menggantikan laluan popular terowong menora, aku akhirnya mengambil keputusan untuk ikut laluan lama chemor-sg siput-kuala kangsar. Dan yang hampehnya, dari 11.30 smpai 12.30 tgh, kereta aku masih ada kat Ipoh sebab semua kereta ikut jalan tu. Ate, bila nak sampainya.

Saat hati sudah mahu mula menyumpah seranah, tiba-tiba terdengar dari radio sinar fm soalan untuk dato' Dr Fadzilah Kamsah:

"assalamualaikum dato'. Nak tanya, kalaulah kita dah niat nak pergi solat jemaah kt masjid. Tiba-tiba nak start kereta tak boleh, nak start motor tak hidup, macam mana tu dato'?...."

Aku tak ingat ayat pjg jawapan dr fadzilah kamsah, yang aku ingat isi utamanya ialah:

Berniat itu sahaja dah dapat pahala.
Sabar dengan ujian ketika nak buat benda baik tu pun dapat pahala.
Walaupun benda baik itu kita tak buat/tak dapat buat.

Tersentak dengan jawapan itu, teringat hadith-hadith yang pernah dihafal ketika kerap menjad emcee di UK dulu.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau meriwayatkan dari Tuhannya, Tabaaraka wa ta’aala. Firman-Nya : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan”.


Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."

(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


Pulang.

Jam 12.45, aku tidak mampu mengira berapa jauh kereta aku dah jalan. Terasa macam tak jalan lansung. Kalau 1 kilometer dekat 15 minit, dengan jalan satu lorong, gamaknya dengan pelamin-pelamin sekali dah kemas waktu aku sampai kot.

Maka, aku terpaksa membatalkan perjalanan dan pulang kembali ke Teluk Intan. Balik teluk intan lancar je, 45 minit dah sampai rumah. Dan sepanjang perjalanan pulang, aku melihat betapa teruknya jem ke arah utara yang bermula dari Simpang Pulai. RUPA-rupanya ada lori minyak terbalik berhampiran terowong menora dan menutup penuh jalan. Tengok gambar, macam tumpah je minyak.

So, kepada Anis, maaf sangat-sangat ye. Nak mesej hang pun nombor dah hilang. Selamat Pengantin Baru. Mudah-mudahan menjadi Isteri yang Solehah, beroleh Zuriat yang comel dan baik, juga dikurniakan kebahagian keberkatan dalam kehdiupan berkeluarga.

Doakan aku menjadi hensem supaya ada orang minat. Hahaha.

Sekian dari Syuib0809.

Wednesday, 7 December 2016

HAJJAJ: Alim yang membingungkan

Bismillah.

Teringat ketika Perhimpunan "jemaah" sempena musim bunga, aku bertugas di dapur. 3 tahun berturut-turut hadir, tahun itu aku berniat mahu membantu di dapur menyediakan juadah untuk tetamu yang hadir sekitar 200-250 orang. Banyak masanya kami "menyanyi" dan bergurau untuk memeriahkan suasana di dapur. Namun ada masanya diskusi ilmiah mengisi ruang dalam keseronokan menyediakan juadah untuk rakan-rakan yang hadir. Itu kelebihan bersama jemaah, ilmu sentiasa di topup walaupun oleh ahli-ahli biasa.

Saat kami duduk-duduk mengupas bawang putih yang berguni, aku bercerita mengenai Hajjaj bin Yusuf. Seorang amir yang terkenal dengan kezalimannya, namun beliau juga seorang penghafal Quran dan Hadiths. Malah sebahagian ulama' menyatakan kelebihan hajjaj yang mampu membaca quran dengan terbalik. Gulpp. Dan diskusi kami ketika itu adalah bagaimana mahu menilai Hajjaj. Adakah beliau orang yang baik? Atau jahat?

Ketika itu aku hanya berbekalkan bacaan di internet dan juga mengikuti video Ustaz TITM yang suka sangat bawa cerita Hajjaj bersama seorang badwi yang sedang berpuasa. Malah dalam video tersebut, hajjaj digambarkan sebagai orang yang sangat kuat berpegang kepada Sunnah.

Kisah-kisah manusia bengis dan kejam

Jumaat lepas sempat sambar buku ni sebelum pergi ke Port Dickson. Waktu belek-belek, aku sudah tahu keseluruhan buku ini berkisar mengenai kekejaman dan kezaliman Hajjaj Bin Yusuf. Malah, penulis sendiri banyak menggunakan gelaran syaitan tsaqif kepadanya. Maka saat aku mula membaca buku ini, aku meletakkan mindset "positif" bagi melihat sisi-sisi baik pada hajjaj dan meneliti kepada asas bagi setiap perbuatannya.

Hajjaj terkenal kerana membunuh Abdullah bin Zubair yang memimpin mekah/madinah mengetepikan pemerintahan bani Umaiyyah ketika itu. Sebagai seorang yang sangat taat kepada khalifah, hajjaj merasakan siapa-siapa yang mengingkari khalifah atau mengancam kuasa khalifah patut dihapuskan. Mereka dianggap sebagai pembelot kerna cuba menggulingkan khalifah. Namun yang lebih menarik, kebencian Hajjaj kepada penduduk mekah/madinah yang mendalam adalah kerana marahnya dia diatas perbuatan orang mekah/madinah yang tidak melindungi saidina uthman affan ketika dibunuh pemberontak.

Kebencian kepada pemberontak yang membunuh Saidina Uthman ini berterusan apabila Hajjaj kemudiannya dihantar ke kawasan Iraq(kufah/basrah). Ini kerana, dari sinilah pemberontakan untuk membunuh saidina Uthman bermula. Malah, banyaknya berlaku pimpinan-pimpinan kawasan ini yang mahu melepaskan diri dari kekuasaan khalifah Malik bin Marwan, maka ketegasan Hajjah menyelesaikan masalah ini menyebabkan banyaknya pertumpahan darah berlaku sesama umat Islam. Banyak lagi kisah yang boleh dibaca, juga sebab disebalik setiap kekejamannya. Bacalah.

Namun yang peliknya, Abdullah bin Umar masih solat dibelakangnya. Dan tidak pernah sekalipun Hajjaj ingkar pada khalifah, malah Hajjaj sangat banyak berdiskusi dengan para ulama' tabiin ketika itu. Hinggakan orang-orang melihat hajjaj adalah orang yang dihantar oleh Allah untuk "membalas" perbuatan orang Iraq ketika itu.

‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu pernah berkata (berdoa):
“Ya Allah, aku telah memberi mereka amanah tetapi mereka mengkhianatiku, aku telah menasihati mereka tetapi mereka curang padaku. Maka kuasakanlah atas mereka seorang pemuda Tsaqif yang angkuh lagi sombong, yang memakan kesejahteraannya, yang memakai kulitnya, dan menerapkan hukum-hukum jahiliyyah atas mereka."
Al Hasan berkata, “Pada ketika itu Al Hajjaj belum lahir." (Al-Bidayah wa An Nihayah, 9/152. Ibnu ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/169)

“Al Hasan Al Bashri pernah berkata: “Sesungguhnya kemunculan Al Hajjaj adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri karena sesungguhnya Allah telah berfirman (maksudnya):
“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri." (Surah Al Mukminun, 23: 76)


Alim yang membingungkan.

Menariknya dalam buku ini juga, Hajjaj digambarkan sebagai orang yang selalu memuliakan Allah dan Rasul dalam setiap ucapan/surat dan khutbahnya. Mendengar cakap para alim ulama' ketika itu dan selalu bertanyakan ilmu(makna ayat quran) kepada tabiin ketika itu(juga terselit dalam buku ni). Malah diskusi-diskusinya menyebabkan beliau mengeluarkan arahan agar tanda-tanda pada Quran diletakkan bagi memudahkan pembacaan generasi akan datang.

Ketika zaman beliau juga, orang-orang kafir tidak berani memperlekehkan Islam kerana takutnya kepada Hajjaj bin Yusuf. Beliau sendiri Orang yang mencitai sunnah dan tidak berlebih-lebihan akan harta dan dunia. Aku sertakan beberapa riwayat untuk menggambarkan "kebaikan" Hajjaj


dari ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz, beliau berkata:
“Aku tidak sedikitpun merasa iri hati (dengki) terhadap Al Hajjaj si musuh Allah itu, melainkan terhadap sikapnya yang cinta kepada Al Qur’an dan sikap pemurahnya terhadap ahlul Qur’an, serta ucapannya sebelum wafat, “Ya Allah ampunilah aku, sesungguhnya manusia menyangka bahwa Engkau tidak bertindak." (Ibnu Katsir, Al Bidayah wa An Nihayah, 9/158)

Kata Al Hafizh Ibnu Katsir lagi:
“Diriwayatkan kepada kami dari beliau bahwa beliau meninggalkan hal-hal yang memabukkan, banyak membaca Al Qur’an, menjauhi larangan-larangan, dan tidak dikenali sebagai orang yang pernah terjerumus dalam urusan kemaluan, walaupun dia terlalu berani dalam hal menumpahkan darah. Maka Allah Ta’ala-lah yang lebih mengetahui kebenaran dan hakikat-hakikat segala urusan serta rahsia-rahsianya, serta hal-hal yang tersembunyi di dalam dada." (Ibnu Katsir, Al Bidayah wa An Nihayah, 9/153)

Al Ashma’i berkata: “Yang menakjubkan tentang Al Hajjaj, adalah apa yang beliau tinggalkan hanya 300 dirham." (Al-Bidayah wa An Nihayah, 9/159)


Buku yang sangat menarik untuk dibaca. Ada sebahagian ulama' mengatakan keburukan dirinya dilebih-lebihkan oleh orang syiah(iraq) agar dia dibenci. Tapi entahlah. Wallahualam.

Kadanga-kdang aku teringatkan Hang Tuah bila baca kisah dia. Banyak lagi cerita dia dengan sahabt nabi Asma', anas bin Malik dan Abdullah ibn Mas'ud.

Membacalah. Udah-udahlah dengan wassap dan facebuk tu. hehe

Sekian dari Syuib0809.

Friday, 2 December 2016

ZTE WEBE

Bismillah.

12 hari tanpa telefon..

Phone lenovo hilang 18/11/2016.
Hari jumaat lebih kurang 11.30 pagi.
Perjanjian dua hari, aku mencari sedaya upaya namun tidak berjumpa.
Selepas beberapa hari berlalu, aku masih belum mempoligamikannya.

Kira punya kira, sudah melebihi 10 hari kejadian itu berlalu. Dan dalam tempoh tersebut, aku meneruskan hidup tanpa makhluk bernama phone/smartphone/handphone. Makhluk yang menjadi nyawa untuk manusia moden hari ini. Tidak perlu terkejut kerana kanak-kanak umur 5 tahun juga sudah punya smartphone dan wassap.

10 hari itu, secara jujurnya hidup aku sangat tenang. Tidak berhajat kepada manusia. Malah, tiada kepeningan untuk menyempurnakan hajat manusia. Kembali kepada basic. Dan ajaibnya, aku masih boleh meneruskan hidup.

Berhajat untuk menjadi pengguna Iphone, namun rasanya berbulan aku makan nasi bujang kalau ianya berlaku. Oleh kerana itu hanya mampu memilih ini sebagai pengganti....

ZTE Blade V7.(30.11.2016)



Data dan WEBE...

Sudah menjadi buah mulut bahawasanya aku tidak memiliki whatsapp. Maka, jauh sekali untuk aku berjinak-jinak dengan insta, wechat, telegram dan yang seangkatan dengannya. Namun fakta yang lebih teruk menjadikan aku "si tua" ialah sepanjang hidup aku, aku tak pernah memiliki "data" pada telefon. Sampai sekarang pun aku tak tau macammana nak beli "data". Hehe. Cuma aku pasti ia hanyalah perkataan lain bagi menggunakan internet.

Dah ada wifi kat rumah, line internet kat pejabat, rasa macam tak perlu je nak sibuk2 pasal data ni.

Tapi, akhir-akhir ni abah asyik duk promote WEBE. Sebab sape2 yang ahli keluarganya telekom akan dapat potongan. Alang-alang simcard dah hilang, maka memulakan hidup dengan simcard yang baru ni macam agak menarik. Bulan2 bayar rm60 akan dapat:

Unlimited calls
Unlimited sms
Unlimited data(9,999,999GB)

Gila kan? So, takde sebab aku nak guna whatsapp sebab dah dapat sms free. Haha. Apela punya pikir macam ni.

Cuma oleh kerana WEBE ni agak baru, maka tak pasti apa kelebihan dan kelemahannya lagi.
Untuk bukan telekom kena bayar rm79 sebulan.



Phone yg ada bersama simcard webe ini penuh dengan kekosongan. Tiada satu pun contact number melainkan ahli keluarga. Student pertama yg mesej ialah si sufi. Kemudian diikuti ketua unit maths. Maka nombor berdua ini sahaja yg ada.

Sekiranya ada sape2 yang rasa dirinya penting untuk disimpan nombornya dalam ZTE ini, mohon mesej la eh. Senang ape-apehal nak contact nnt. Nombor masih no lama.

Sekian dari Syuib0809.


Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.