Saturday, 19 July 2014

Kisah cuti Nuzul Quran: Dakwah tanpa adab

Bismillah.

Tertarik dengan status Saufi md Desa.

"Ramai orang kata, nak berdakwah paling penting kena ada ilmu. Tapi peliknya, aku tak rasa begitu. Bagi aku, perkara paling utama yang perlu ada ketika berdakwah ialah adab.

Tanpa adab, dakwah hanya akan membuatkan orang lebih jauh daripada Islam.

Adab itu sendiri adalah dakwah yang paling halus. Adab membuatkan Islam menjadi tinggi.
Tanpa adab, dakwah mati."

 Geli aku tengok gambar hang pek.


Kisah-kisah di hari cuti Nuzul Qur'an:

Selasa lepas, aku kumpulkan beberapa orang anak murid untuk sesi membiasakan latihan subjek matematik. Dalam 9 orang tersebut, ada seorang anak murid yang bergiat dalam badan dakwah kolej. Dalam masa yang sama, ada juga muslim biasa yang mungkin tersisih dari badan dakwah sebegitu. Lebih menarik, ada seorang anak murid yang dalam tak sedar mem"benci" badan dakwah dan orang yang berimej Islam. Hmm, menarik... Pengalaman berharga untuk para pendakwah.

Selesai sesi latihan, aku adakan sedikit debat antara dua orang anak murid ini sebagai sebuah pengalaman bagi mereka sementara masih muda. Antara yang amat mengejutkan ialah pelajar yang anti badan dakwah ini hakikatnya pernah menjadi pelajar sekolah tahfiz. Hmmmm...

Dalam perdebatan tersebut, ada 3 kisah yang menarik perhatian aku.

Sewaktu pelajar tu berada di sekolah tahfiz, ustaz sekolah panggil beliau dan mengeluarkan kata-kata sebegini:
 "Pusat tahfiz ni sebuah tempat yang suci. Oleh itu, sebarang kekotoran yang ada mesti dibersihkan dari tempat ini bagi menjaga kesuciannya. Dengan itu, saya perlu keluarkan kamu dari sekolah tahfiz ini...."
Bayangkan anak gadis yang berumur baru belasan tahun(menengah rendah) dihidangkan dengan kata-kata sebegini. Seronok kan?

Kisah kedua ialah mengenai "label" dari pendakwah terhadap mereka yang tidak bertudung labuh.
Gadis yang sama menceritakan ketika dia dan rakan-rakan keluar berjalan-jalan, ada salah seorang dari rakan mereka bertudung labuh. Sewaktu nak solat, mereka perasan yang budak tudung labuh tadi tak solat bersama-sama. Untuk husnuzzon, aku mengajukan persoalan "mungkin dia uzur.." Gadis tadi membalas, "tak cikgu, dia tak uzur. Dia memang tak solat. Tapi kami yang pakai tudung biasa-biasanya ni yang selalu dilabelkan sebagai budak teruk..."

Ayat ketiga yang menyebabkan aku tersentap ialah
"Sepanjang saya bergaul dengan orang-orang yang ajak saya berusrah, gi surau, takde sorang pun yang betul-betul ikhlas nak kawan dengan saya...."

Lepas baca kembali status sopek, aku terpaksa meng"ia"kan pendapat dia. Sudah berapa ramai orang yang lari, malah memusuhi umat Islam kerana adab yang dicabut dari pakaian pendakwah. Pendakwah yang memaki, mengherdik, me"neraka"kan manusia sebelum Tuhan menghisab. Pendakwah yang berdakwah dengan mengharapkan hasil express, dan meninggalkan mad'u bila perubahannya tersangat lambat. Semuanya bukan kerana mereka kurang ilmu, tetapi kurangnya adab dan kesabaran. Akibatnya, umat Islam dibenci. Dan fitnah-fitnah tersebut sampai kepada ulama' dan  nabi.



Teringat kata-kata ulama' Malaysia bernama Hadi Awang.

Sabar hadapi orang jahil, sabar ketika marah, sabar kepada yang buat zalim kepada kita, dan mengajak mereka dengan bahasa yang difahami, jangan dengan bahas yang tidak difahami,”


Ya Allah, maafkan kami..



Sekian dari Syuib0809

Saturday, 12 July 2014

Keletihan bergembira

Bismillah.

Diari ramadhan tahun ni dirakamkan buat pertama kalinya di Kolej Matrikulasi. Jika sebelum-sebelum ni Ramadhan berpesta dalam kehidupan sebagai seorang pelajar. Tapi kali ini aku melaluinya sebagai seorang guru, seorang pekerja, dan seorang yang benar-benar "bujang". Makan pun banyak di masjid. Hanya hujung minggu baru teringin nak masak dengan tangan sendiri. Merindui saat-saat menguruskan perjalanan Ramadhan ketika di Kolej dan IPG, namun tidak lagi merasai bila segalanya diserahkan kepada pelajar.



Secara jujurnya. aku sangat penat sepanjang Ramadhan ni. Bukan kerana puasa, tapi kerana sibuknya dalam urusan mengajar. Kehadiran borang biru, menyebabkan begitu banyak pelajar yang hadir ke bilik guru untuk bertanya. Pantang sahaja duduk atas kerusi, sudah ada yang menerjah. Yang benar-benar ikhlas bertanya memang cukup menghiburkan. Tetapi yang mengejar tandatangan, terasa ada sesuatu yang menyakitkan.

Mengingati kembali memori singkat bekerja di sekolah, menjadi guru adalah sesuatu kerja yang amat memenatkan. Kepenatan kerja sebagai "kerani", dipaksa ke kursus "lakonan" yang digelar LDP, mengisi cuping telinga dengan ugutan pihak atasan sudah pasti tidak pernah menghiburkan. Keseronokan mengajar yang semakin hilang akibat sistem pendidikan yang semakin bercelaru. Tidak pasti mahu menyalahkan sesiapa, tetapi guru kini "dipaksa" menghakis keikhlasan dalam diri. Dipaksa..

Seorang guru mengimpikan kejayaan pelajar, maka mereka tidak pernah berkira meluangkan masa bersama pelajar. Penat bagaimana sekalipun, pasti mereka gembira sekiranya ia untuk pelajar. Keseronokan melihat pelajar yang hadir bertemu untuk bertanya, hanya guru yang tahu. Kegembiraan yang masih dirasai di matrikulasi, namun mungkin semakin pupus di sekolah.

Kini aku merasainya..
Bersyukur kerana diri tidak disibukkan menjadi kerani
Sebuah kepenatan yang sangat menggembirakan
Khas untuk guru-guru

Moga Allah merahmati kalian.



Sekian dari Syuib0809

Friday, 4 July 2014

Putus

Bismillah

Mencari masa mengupdate, tapi tak jumpa.

Sebuah tulisan yang sudah dikarang 3 minggu yang lalu. Aku sertakan setelah dimarahi dua orang wanita, kerana mengecewakan hati seorang gadis. Jiwang kan bunyi..


Malam ini
Kamarku masih memutih
Tirainya ku tutup rapi
Penambah sunyi sang penyanyi
Yang Setia berputar menemaniku berduka

Putus
Aku sendiri kaku mengungkapnya
Kerna itu bukan apa yang aku mahukan
Tetapi sesuatu yang kamu perlukan

Bilamana kamu bersedih
Dirimu beranggapan aku gembira
Atau berkhayalan diriku tiada rasa
Sedangkan unggas menontonku
Menghiburkanku dengan muzik-muziknya
Supaya aku berhenti berduka
Tersenyum...
Terus gembira.

Rumah tangga kan tempang
Bila paksinya sekadar cinta
Benar 
dan akulah saksinya

Tatkala kamu bermonolog
Hisabku atas kepentingan diri 
Maka aku terlihat kejam
Sedang kalbu
Tidak putus memikirkan dirimu
Menyoal yang terbaik buat hidup
Bukan untuk ku
Tapi untuk mu

Saat ini
Fikiranku buntu
Mengukir penutup lukisan hati
Ingin benar aku terus mewarnainya
Kerna ia cerminan mimpiku
Namun ku alpa
Hingga lukisan itu kian tergantung
Sedang aku perlu memutuskan

Putus..

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.