Sunday 24 May 2015

Review tiga buku: Mei 2015

Bismillah.

Aku mula mengenali Cat steven ketika di Kolej Persedian, KYUEM. Itupun kerana aku mula melibatkan diri dengan badan dakwah. Sebagai orang yang tidak "membesar" dari sekolah agama, malah tiada asas dalam mana2 badan dakwah, pembelajaran dakwah kerapkali menemukan kisah Yusuf Islam sebagai rujukan modern. Malah, kalau menonton video-video ahmad deedat di eropah, pasti akan kelihatan kelibat beliau. Buku ini pada awalnya menceritakan detik-detik bagaimana beliau mengenali Islam. Menarik dan lebih sahih, kerana beliau sendiri yang menceritakannya. Cabaran memeluk Islam ketika Islam masih "asing" di UK. Ditambah pula, Islamophobio meletakkan beliau dalam keadaan yang sukar. Kemuncaknya ialah ujian mengenai isu Salman Rushdie yang diputarbelitkan dalam temubual di BBC.

Zaman-zaman masih ber"hingus" dalam badan dakwah.

Namun kini, Islam sudah begitu masuk dalam masyarakat di UK. Sekolah-sekolah Islam yang dibuka sudah begitu banyak dan cat steven tidak lagi berseorangan seperti dahulu. Sebahagian besar buku ini kemudiannya menceritakan kenapa Yusuf Islam kembali dalam seni "hiburan". Perbincangan mengenai hukum hiburan dalam Islam yang lebih membawa kepada kesimpulan "islam tidak melarang". Ada beberapa perkara aku mampu bersetuju, terutamanya dalam suasana hari ini yang sentiasa memerlukan hiburan. Hari guru, hari penyampaian hadiah, kursus, macam-macam lagi event, kerap berakhir dengan hiburan "mengarut" yang bertentangan dengan Islam. Kenapa? Kerana kita yang faham Islam tidak pernah memikirkan penyelesaiannya. Sikit-sikit nasyid. Sikit-sikit ceramah.

Buku "Mengapa saya masih memetik gitar" ini saiz dia besar sikit dari buku biasa.

Yusuf Islam berpendapat Islam tidak sepatutnya menampakkan dirinya seolah-olah "menakutkan". Malah lagu beliau yang kebanyakannya berunsur nasihat mampu mengubah persepsi non muslim terhadap ajaran Islam yang sebenar. Namun, aku mungkin kurang bersetuju bila melihat konsert-konsert beliau mungkin tidak se"islamik" yang beliau harapkan. Apepun, buku ni sangat menarik untuk dimiliki. Banyak perkara yang membuka mata dan "sentap" untuk kita-kita yang mewarisi Islam.

Kisah Cinta Dalam Al-Quran


Kisah dalam buku ini sebenarnya diluar jangkaan aku. Malah cinta yang ditafisrkan bukan sekadar cinta lelaki dan perempuan, tetapi lebih dari itu. Kisah-kisah yang sekaligus menambahkan pengetahuan kita mengenai tafsiran kisah dalam AlQuran. Kisah yang menarik perhatian aku ialah kisah Yusuf dan Zulaikha yang aku selalu terlepas dari mengikutinya. Kita mungkin sudah terbiasa dengan kisah Zulaikha yang menggoda yusuf, namun mungkin tidak berapa mengikuti kisah bagaimana Nabi Yusuf pula yang tergila-gilakan Zulaikha. Sangat-sangat menarik.

Di bahagian tengah buku ini banyak menceritakan mengenai dua orang wanita hebat, iaitu Fatimah(anak nabi) dan juga rabiatul adawiyah(wali Allah). Fatimah adalah "icon" kepada sikap buat baik yang tidak berpada-pada. Dua kisah utama mengenai beliau ialah kisah baju dari jibril serta kisah nazar beliau ketika Hassan dan Hussin sakit. Di punghujung pula banyak menceritakan mengenai kehebatan ahli-ahli sufi dan Tasawwuf. Belilah, sangat-sangat berbaloi.


Dah lama tidak membaca buku perbezaan lelaki dan wanita. Aku membaca buku ini untuk melihat sudut pandang orang barat yang hakikatnya bersetuju dengan fitrah manusia yang telah digariskan oleh Islam. Malah, menjadi kebiasaan buku-buku ini lebih "Islamik" kerana mematuhi Sunnatullah. Secara keseluruhan, buku ini ditujukan kepada kaum wanita untuk mengenali lelaki. Sifat-sifat lelaki yang hakikatnya sangat simple, namun sangat sukar difahami oleh wanita yang  dilahirkan berfikiran complex. Tujuan? Mengelak wanita untuk menjadi mangsa penipuan lelaki la kot. Itu yang boleh aku simpulkan.

Ada beberapa perkara "islamik" yang mampu aku simpulkan. Antaranya ialah kenapa Islam meletakkan wali bagi "menapis" sebuah perkahwinan. Buku ini mengakui hanya lelaki yang boleh membaca pemikiran seorang lelaki. Adakah benar mereka benar-benar serius ataupun sekadar main-main. Selain itu, buku ini juga merestui keperluan poligami bagi sesetengah lelaki. Namun oleh kerana pilihan tersebut tidak ada pada agama lain, penulis(bukan Islam) seolah-olah mencadangkan wanita(isteri) untuk cuba menerima hakikat yang suaminya perlu kepada seks bebas dengan wanita lain. Mengarut?

Waktu aku menulis post ini, bacaan aku baru sahaja sampai pada mukasurat 157/193. Dan secara jujurnya aku agak "muak" untuk meneruskannya. Buku ni boleh menyebabkan orang perempuan meng"harap"kan terlalu banyak daripada seorang lelaki.Terutamanya dalam sudut menguji seorang lelaki itu serius atau main-main. Mungkin sebab aku dah selalu sangat kena macam ni kot. Sikit-sikit kata aku main-main... Tapi mungkin ada betulnya. Sebab aku memang selalu masukkan unsur "main-main" supaya tak malu bila kena reject. Haha. Ayat biasa kalau nak "cover"

"Eh, aku main-main jela. Takkanlah aku nak kahwin dengan orang macam tu kot..."

Ok.. Mengarut..

Tetiba nak upload balik semua gambar waktu kat UK. Rindu. Muka orang tak pandai ngorat. Sodeh..

Dah usha2 buku "dari penjara Taliban Menuju Iman".. Macam best.

Sekian dari Syuib0809

Monday 18 May 2015

Ibrah Buat Husna

Bismillah.

Sudah lama sebenarnya menulis post ni. Sebelum tamat kisah Studentku Si Pemalu lagi. Ibrah khas buat seorang student yang sangat bijak. Aku, rakan dan anak buah tak berjaya menyalurkan dia ke usrah yang bersistem. Pernah pada awal semester pertama, aku setupkan usrah untuk dia dan rakan-rakan, namun ter"gantung". Maka, nasihat ini untuk beliau dan semua anak pelajar yang membaca blog ini. Penulisannya sedikit serius... Mudah-mudahan beroleh sesuatu.


Ibrah buat Husna.


Wahai anakku Husna,

Dunia Islam sentiasa berhadapan dengan persoalan-persoalan baru, yang memerlukan ummah untuk terus-menerus berfikir. Kerana itu, Khalifah Umar sentiasa bersama para Sahabat yang alim, bersyura di Madinah tentang perkara-perkara baru yang muncul tatkala Islam membebaskan Rom dan juga Parsi. Mereka berfikir, sedangkan wahyu sudah pun terputus. Dan kini ummah semakin tenat, kerana buat pertama kalinya mereka tidak lagi dijaga oleh seorang khalifah. Lebih menyedihkan, para pemuda tidak lagi berminat dengan sistem pemerintahan Islam. Mereka berkata "owh, ini bukan urusan kami..". "owh, belum tiba masanya untuk kami ambil tahu..", "eh, malas untuk aku masuk campur. Banyak lagi perkara yang aku perlu fikir..." walhal mereka sebenarnya tidak lansung memikirkan apa-apa.

Oleh itu, jangan kamu mengambil mudah persoalan baru yang datang kepadamu. Aku risau, yang kamu tutur selama ini bukanlah sebuah jawapan, tetapi hanyalah satu alasan. Hingga akhirnya kamu berhenti berfikir. Persoalan kecil yang kuberikan kepadamu kerapkali disambut "acuh tak acuh" oleh masyarakat. Mereka alpa, tidak memikirkannya sudah menjemput seribu satu masalah pada generasi muda Islam hari ini. Tatkala dirimu sedang berehat, aku titipkan persoalan baru melaluimu. Tanyakanlah ia pada insan lain. Aku sangat pasti, yang akan kamu perolehi bukanlah jawapan, tetapi sebuah lagi alasan.

"Sesungguhnya Allah membangkitkan untuk umat ini pada setiap awal 100 tahun orang yang memperbarui/memperbaiki untuk mereka agama mereka.(Shahih). Abu Dawud


Kepada anakku Husna.

Menjadi muda, adalah masalah aku dan kamu. Kerana tika ini, kita semua tidak fasih berfikir panjang. Masalah yang ada, cuba diselesaikan dalam satu malam. Hingga anak muda selalu ditegur "melulu" oleh orang-orang tua. Bersabarlah. Tidakkah kamu membaca mengenai wahyu yang tertahan memberikan jawapan mengenai Aisyah? Tidakkah kamu mendengar bagaimana Surah Alkahfi dilewatkan penurunannya hanya kerana tertinggalnya ucapan "InshaAllah"? Sedangkan tiada apa yang mampu menghalang Tuhanmu dari menyampaikannya. Namun, itulah latihan "masa" yang Allah berikan kepada hambanya. Agar manusia bersabar, kerana  sesungguhnya sabar itu sangat hampir dengan takwa.

And never say of anything, "Indeed, I will do that tomorrow,"(23) Except [when adding], "If Allah wills." And remember your Lord when you forget [it] and say, "Perhaps my Lord will guide me to what is nearer than this to right conduct."(24).      AlKahfi: Ayat 23-24

Kerana itu, ambillah masamu. Fikirlah sebaik-baiknya sebelum membuat sesuatu keputusan, ataupun ketika kamu lelah mencari sebuah jawapan. Persoalan-persoalan yang hadir selepas ini tidak lagi semudah soalan tutoran yang mampu kamu cari jawapannya dalam satu malam. Persoalan-persoalan hidup yang bakal merunsingkan dirimu, aku harap kamu tenang menghadapinya. Jangan mudah memberi atau menerima jawapan, sebelum kamu benar-benar memikirkannya. Lagu ini kutitipkan buat dirimu.




Wahai adikku Husna,

Aku selalu menyoal keimananku kepada Tuhan.  Adakah aku benar-benar percaya kepadaNya?Kerapkali aku cemburu kepada Fatimah. Baju pengantinnya hadiah dari Jibril, yang tiada satu pun manusia mampu membelinya. Percayanya Umar kepada Tuhan, hingga surat yang dinukilkan kepada Sungai Nil menyebabkan Nil berterusan mengalirkan air hingga ke hari ini. Tidak kagumkah kamu melihat Rabiatul Adawiyah? dirinya mampu menukar seorang pencuri menjadi Abid dengan izin Allah dalam satu malam sahaja. Hinggakan Hassan Basri sendiri begitu menyanjunginya. Pernahkah engkau melihat para syuhada'? senyuman melekat pada wajah-wajah mereka, sedangkan mereka sudahpun menjadi jenazah. Mereka semua beroleh keajaiban, kerana ajaibnya cinta mereka kepada Rabb. Percaya mereka, jauh dari percayanya kita kepada Tuhan.

Kepercayaan sebegitu mahu aku tunjukkan kepadamu, kerana aku dan kamu sentiasa tahu akan jawapan gadis itu. Malah semua manusia biasa sudah mampu mengagak jawapannya. Namun aku mahu kamu percaya, bahawa setiap apa yang berlaku adalah di bawah kehendak Allah. Percayalah, tatkala semua manusia sedang bercanggah denganmu, kamu masih ada Tuhan yang menentukan segala-galanya. Ke"ajaib"an yang kuharapkan dalam jodohku masih belum muncul. Kisahku yang panjang tidak mampu kuceritakan dalam ruang sekecil ini. Hanya ini yang dapat ku titipkan kepadamu. Berharaplah kepada Allah dengan harapan yang manusia sendiri akan mentertawakanmu. Kerana engkau akan percaya dengan sepenuh percaya, sedangkan mereka hanya percaya seperti permainan yang mereka sendiri tidak percaya.

"...percaya selepas melihat sesuatu itu tidak ada apa-apa nilai yang significant, tetapi yang hebat ialah percaya sebelum melihat sesuatu & kita bekerja untuk melihat apa yang kita percaya..."

"kekangan yang besar yang berlaku
dalam masyarakat kita untuk berjaya ialah pada soal kemampuan untuk percaya..."

"...syurga hanya menerima orang-orang yang hebat untuk menyertainya..."
 
Ustaz Hasrizal


Wahai Husna,

Carilah Ilmu. Jadikan buku dan majlis ilmu teman rapatmu. Kamu tidak akan dapat lihat perkara yang jauh lebih berharga, melainkan nilai secebis ilmu yang membaluti iman. Senyumlah kamu di hadapan manusia walaupun kamu sedang bersedih. Kerana masalah itu adalah ujian buatmu, yang hadiahnya akan kamu terima khas dari Tuhan. Buatlah orang di sekelilingmu tersenyum, kerana itulah sedekah yang sangat menggembirakan hatimu. Jenaka yang aku hadiahkan kepada kamu dan rakan-rakan adalah cerminan sebuah azam, walaupun aku sendiri kerap berada dalam kedukaan.

Mudah-mudahan Allah berikan yang terbaik buatmu.

.........

Blog ini sudah menghampiri usia 7 tahun. Dengan lebih 500 penulisan yang aku isikan buat pembaca. Pelawatnya sering berubah-ubah. Dimulakan dengan ahli keluarga yang dulunya jauh di tanah air. Kemudian rakan-rakan Leicester yang sebahagian kecilnya "berkecil hati" dengan penulisan di sini. Rakan-rakan sekolah menengah yang kemudiannya membaca dengan senyap, juga rakan sekolah rendah yang terlewat menjumpainya. Terkini, ia dibaca oleh anak-anak pelajar dan juga pensyarah yang kebanyakannya sebaya dengan aku. Aku tidak pernah malu untuk menulis, kerana hasil ini sebagai peringatan untuk diriku sendiri. Malah semua yang terjadi tidak menjemukan aku untuk menulis, sehinggalah pembaca sendiri yang jemu untuk mengikutinya.


Mula menulis review untuk tiga buah buku. InsyaAllah dalam masa terdekat akan dipost.

Sekian dari Syuib0809.


Tuesday 12 May 2015

StudentKu Si Pemalu... Bahagian Akhir

Bismillah.

"cikgu, kat sini takde daging cincang la..." si Widad yang ekspresi mukanya mengalahkan watak-watak dalam drama korea, datang mengadu.

"eh yeke?. Saya baru je nampak daging cincang dalam freezer tu..." jari telunjuk kuhalakan ke kawasan frozen Hypermarket terbesar Bertam itu.

"tu daging lembu cikgu, kami nak ayam..." aku sendiri konfius dengan bahasa ustazah sorang ni.

"takpe2, lepas ni kita singgah kat Sunshine kejap."

Hujung minggu itu, lajnah publisiti dan akademik ANC buat jamuan terakhir, dan aku menjadi "mangsa"nya. Sebaik sahaja sampai di Mydin, aku terus duduk di atas kerusi kayu. Membelek buku Transformasi Ramadhan yang menjadi peneman tatkala menunggu. Membawa pelajar perempuan ke Hypermarket sebegitu sudah cukup mencabar keimanan. Mereka boleh menghabiskan sekurang-kurangnya dua jam "membeli-belah" di sana. Bayangkan kalau diorang masuk shopping Mall sebesar QueensBay. Mungkin aku perlu tempah hotel untuk menunggu.

Selepas beberapa minit, aku terperasan Husna n the geng bersama Miss Shak mereka memasuki pintu utama Hypermarket. Gadis pemalu itu juga ada. Saat semua rakan-rakannya me"negur"ku, dia berada paling jauh, bersembunyi dengan sifat malunya di sebalik rakan-rakan. Pakaiannya serba hijau. Itulah kali pertama aku melihat dia berpakaian "outing". Cantik? Sangat-sangat cantik!!!

Tidak lama selepas menyambung pembacaan, aku masuk ke dalam ruang membeli-belah. Risau akan budak-budak yang tak pernah masuk dapur ni. Ternampak dari jauh, gadis bertujung hijau tadi. Pasaraya yang dipenuhi orang ramai itu terasa kosong, kerana dirinya benar-benar mencuri perhatian. Angin yang membisikkan lagu, seolah-olah memperlahankan masa. Benar kata Aamir Khan dalam filem 3 Idiots " Yang kelihatan merepek dalam movie pasti akan berlaku dalam dunia realiti, jikalau kamu benar-benar dilamun cinta..."

Itu memori lama, yang menjadikan perbualan aku dan rakan-rakannya semakin serius.

"cikgu ni serious ke nak kahwin dengan dia ni? Cikgu jangan main-main..." amaran dari si Afiqah itu masih aku ingat. Wajahnya tanpa mekap pagi tu kelihatan seperti watak ahli sihir dalam cerita "Snow White". Sedikit menakutkan.


Berhelai-helai surat
Terbiar di depanku..
Tak dapat aku utuskan
Ku ramas semua
Dan kubuangkan jauh
Dari pandangan....

Lalu aku kesal
Ku kumpul semula
Tak dapat ku nyatakan 
apa yang ku rasa
Andai engkau tahu
Di dalam hatiku
Pastinya kau sambut
jeritan batinkan

Tapi ku percaya
Semua telah tertulis
Dan niat suciku takkan disiakan

Lebih empat tahun tidak bertemu, lagu M. nasir ini selalu mengubati rindu. Ada masanya air mata menitis mengenangkan tugas sebagai seorang suami yang tidak mampu disempurnakan. Hanya nafkah berbentuk wang yang aku kirimkan.. Berita darinya ku sekat, supaya aku istiqamah dalam menepati janji.

Lamunan di meja pejabat itu dikejutkan dengan salam dari seorang gadis.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumsalam w.r.t..."

"Tumpang tanya encik, meja sebelah ni kosong ke? Atau memang ada pensyarah duduk?". Gadis bertudung labuh itu begitu manis senyumannya.

Meja sebelah yang ditanyakan itu sudah terlalu lama kosong. Itu adalah meja Chong yang terpaksa dikosongkan secara tiba-tiba sewaktu tahun pertama aku di sini. Semua pensyarah baru matematik yang masuk ke kolej ini pula sentiasa perempuan. Menyebabkan meja itu kekal kosong hingga ke hari ini. Bebola mata aku masih melihatnya, janji "tidak melihat gadis lain" selepas kahwin bagaikan  lenyap begitu sahaja.

"eh, takde2,.. Meja ni memang kosong lama dah..."

"hah izuan, ni pensyarah baru ni. Bekas student sini gak. Hang jangan nak menggatai plak ye..." kak Azimah tiba-tiba menerjah dengan cawan plastik di tangannya. Baru pulang dari cafe barangkali.

"eh2, takde makna nya kak... Ni jiwa kental ni..." aku sekadar berseloroh. Mahu atau tidak, aku sedikit pelik dengan keberanian pensyarah baru ni yang tiada masalah duduk sebelah aku. Dah lah tudung labuh. Berfikiran positif, mungkin sebab memang dah tiada tempat kosong lagi kot. Nak duduk tepi cikgu Suhaimi, macam bahaya je..

"Student KMPP tahun bila ni?" aku meramahkan diri..

"2014/2015" balasnya ringkas.

"eh, saya dah ada kat sini dah time tu... Macam tak pernah perasan je kamu ni. Nama siapa?"

Tahun pertama di kolej ini, terlalu banyak kenangan yang aku cuba simpan sebaik-baiknya. Ramai pelajar yang aku rakamkan gambar mereka dalam minda. Aku perhatikan pensyarah baru itu, barangkali aku mungkin pernah mengajarnya.

Mata pensyarah muda itu kemerahan, seolah-seolah sedang berkaca.

"Alamak, aku ada buat salah ke apa ni? Tula Izuan, entah-entah memang anak murid kau".. hati aku serba salah.

"Nama saya Fatin, cikgu..."

"Fatin ........ binti .........."

Nama itu adalah perkataan indah yang pernah aku lafazkan di hadapan seorang wali. Orang yang pernah dicintai, sedang dicintai, dan selama-lamanya wajip untuk aku cintai. Tiba-tiba aku gagal untuk mengenalinya. Wajahnya yang semakin matang, berbeza dengan gambarnya yang aku sembunyikan dalam dompet usang. Gambar yang ditatap setiap hari, hingga aku menyangka wajah saat pernikahan itu tidak akan berubah buat selama-lamanya. Umurnya pasti 24 tahun, sedangkan aku pula sudah semakin tua dengan cinta yang masih setia. 

"MasyaAllah..." aku hanya mampu memberikan senyuman kepadanya. 

Pertemuan yang tidak disangka-sangka, hanya Allah yang tahu perasaannya.
Wajahnya ku tatap sepuas-puasnya walaupun kami bakal bertemu setiap hari. Empat tahun menjadi orang asing, kerinduan itu akhirnya diubati.



"cikgu, yang duduk kat meja sebelah cikgu tu pensyarah baru eh? Suka la tengok dia..." pelajar yang mirip Nawal Aqilah itu berkunjung ke meja untuk bertanyakan soalan.

"Apa yang kamu suka beno tengok dia?" loghat perak aku sedikit terkeluar.

"Takdela, dah lah cantik, baik plak tu. Selalu nampak dia solat dhuha kat surau... Cikgu tak nak try ngorat dia ke?"

"Nak wat apa ngorat, dah memang kompem dapat..." aku cuba mematikan perbualan lagho budak sorang ni.

"Eee, perasannya cikgu ni. Dah tua-tua pun gatal lagi..."

"Dah2, kamu nak tanya soalan ke tak ni? Asal datang je nak bergosip. Karang saya ngorat dia, kamu nangis plak kat kompel. Meh sini soalan..."



Entah kenapa,  aku tiba-tiba teringatkan drama "Suami Sebelah Rumah" yang dimainkan di kaca tv sekitar tahun 2015. Lakonan Izzue Islam. Menyambut kegembiraan bertemu, otak nakal aku tiba-tiba terfikir:

"Nampaknya aku kena tulis drama baru la kat blog aku ni. Isteri Sebelah Meja?..." hahaha.


TAMAT.

.......................................

Bersama student paling ganas, peminat blog ni. Si nawal. Penat fikir macam mana nak masukkan dia dalam cerita ni. mirip pun bolehlakan.



Hangpa jangan nak pandai-pandai fill in the blank ye..

InshaAllah, tinggal satu lagi post untuk melengkapi cuti kali ini. Ibrah khas buat seorang student.
Sekian dari Syuib0809.

Saturday 9 May 2015

Studentku Si Pemalu... Bahagian 3

Bismillah.

"Sebenarnya mak cik, saya datang dengan hajat yang sangat besar..." aku terpinga-pinga bagaimana mahu memulakan bicara.

Perjalanan ke rumahnya tidak mengambil masa yang lama. Alamat itu aku ambil dari butiran peribadinya yang aku simpan dari semester pertama. Memang menjadi kebiasaan aku menyimpan maklumat pelajar secara offline. Bimbang juga, takut-takut alamat yang diberikan itu salah.

"Selama ini mak cik, duit yang saya ada, saya simpan sebahagian besarnya untuk mendirikan rumah tangga. Tapi aturan Allah, urusan jodoh saya tak pernah selesai, sentiasa bertemu jalan buntu. Ada saja ujian yang datang, sampai saya stop untuk fikirkannya. Barangkali, Allah sedang aturkan sesuatu yang jauh lebih baik untuk saya. Sesuatu yang saya tak pernah terfikir..." hati aku seolah-olah mahu menangis melepaskan segalanya.

"Lepas jumpa anak mak cik, saya tak pasti apa yang berlaku. Allah berikan saya petunjuk, yang usaha saya itu sepatutnya jauh lebih bernilai daripada sekadar sebuah perkahwinan.." tubuhku sedikit menggeletar. Kipas angin yang berputar laju itu seolah-seolah sedang memanaskan badan. Peluh yang keluar tidak berjaya dijinakkan. Akal ligat menyusun ayat. Mudah-mudahan usaha yang "tidak normal" ini diterima dan difahami.



"Sebenarnya cikgu, anak mak cik dah beritahu semuanya..." ibu gadis pemalu itu mula bersuara.

"Bagi mak cik, dia terlalu muda untuk berkahwin. Biarlah dia habis belajar betul-betul dulu..." naluri keibuannya sangat aku fahami. Kerisauan memikirkan yang terbaik buat anaknya.

"Soal itu, saya sendiri sangat memahami perasaan mak cik. Sebab itu saya datang dengan lamaran yang sangat berbeza..."

"Maksud cikgu?"

"Mas kahwin itu nanti mak cik gunakanlah untuk biaya pengajiannya. Belanjanya pasti tinggi. Yang pasti ia milik anak mak cik sepenuhnya. Soal dirinya, saya serahkan kepada mak cik. Sebaik sahaja akad nikah, saya akan bawak diri. Biarlah perkahwinan ini tidak mengganggu pelajarannya, seperti yang kita semua harapkan. Biarlah tiada siapa yang tahu.... InshaAllah, rahsianya saya simpan sebaik-baiknya "

Niat aku hanya mahu membantu. Wang hantaran yang kerapkali dibazirkan untuk kenduri besar-besaran, lebih baik aku salurkan kepada "isteri" yang memerlukan manfaatnya. Apatah lagi bagi tujuan menuntut ilmu, yang Islam "iktiraf" sebagai salah satu cabang Jihad. Dalam keadaan ekonomi "rakyat" yang terlampau mendesak, meminjam PTPTN hanya bakal menggelapkan masa hadapan. Aku kira itu(petunjuk) yang Allah mahu aku lakukan.

"Kenapa cikgu nak buat macam tu?" soal ibunya. Kerutan pada dahinya jelas kelihatan.

"Saya sudah terasa tua untuk mencari jodoh. Anggaplah yang saya mahu hanyalah sehelai sijil pernikahan. Moga dengannya saya tidak lagi melihat gadis lain, dan sejujurnya, dia saja yang mampu menjadikan saya seperti itu. Anak mak cik itu benar-benar saya cintai, namun tiada apa yang saya harapkan sebagai balasan darinya. Dirinya sentiasa milik mak cik. Saya tak akan ganggu, atau tuntut apa-apa hak. Dia akan sentiasa suci, seperti bersihnya hati yang ada bersamanya sekarang. Lepas habis belajar, saya serahkan apa yang bakal berlaku kepada mak cik kembali... Janji ini saya pegang dengan Allah sebagai Hakimnya."

Gadis yatim itu benar-benar pencuri hati. Aku terlalu mahu menjadi pencinta halalnya yang setia. Entah kenapa, barangkali benar kata pujangga. " Jika kamu mencintai seseorang, maka kamu tidak perlu ada sebab untuk mencintainya.."


Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ.
 

“Wahai para pemuda! Barangsiapa di antara kalian berkemampuan untuk menikah, maka menikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan pandangan, dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia shaum (puasa), kerana puasa itu dapat membentengi dirinya.”



Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa diberi Allah seorang isteri yang solehah, sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya. Dan hendaklah bertaqwa kepada Allah separuh lainnya.” (HR. Baihaqi).







......


Sah! Sah!...  Majlis itu sangat persis seperti mimpiku. 

Sebelum beredar, aku mohon satu gambar kami dirakamkan bersama. Hanya itu sahaja "bekal" yang akan aku bawa pulang. Pelajarku yang berjubah putih, kelihatan seperti bidadari di mata cikgunya ini. Aku imamkan solat sunat dengan doa dipenghujung. 

"Ya Allah, Dunia ini sebuah kepenatan, yang kami selalu lelah dalam mengejarnya. Kerna itu, ampunkanlah dosa-dosa kami. Ya Allah, perkahwinan ini usaha kami mengejar RedhaMu, maka tabahkanlah hati-hati ini, yang jasadnya akan mula berpisah tidak lama lagi. Engkau pemilik cinta yang tersemat dalam sanubari kami, maka kami serahkan urusan cinta ini kepadamu. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pencipta. Sebaik-baik Pencinta... Rabbana aatina..."

Kami bersalaman. Menyedari, itulah simbolik kepada sebuah "perpisahan".

Tatkala wajahnya sampai ke tanganku, aku bisikkan satu perkataan pada telinganya

"Maaf..."

....

Bersambung...



Tempat belajar yang dikenang-kenang.



Sekian dari Syuib0809

Wednesday 6 May 2015

Studentku Si Pemalu... Bahagian 2

Bismillah.


Hujan turun sangat lebat. Selepas solat asar, aku hanya mampu berkurung dalam rumah.

"cikgu, cikgu tau tak siapa felo bertugas hari ni?" Aisyatul yang "meriah" itu memulakan bicara.

"saya yang bertugas, kenapa?"

"roommate saya terjatuh kat tandas, kepala dia terhantuk. Dia kata sakit sangat, boleh tak cikgu bawakkan pergi hospital..."

"ok, ok... Tunggu saya kat belakang cafe A. 5 minit saya sampai". Kunci kereta Myvi ku ambil dari atas meja makan.

Seperti biasa, aku sampai dulu dari mereka. Menanti di cafe A, aku sekadar memerhatikan student-student lain yang sedang melepak. Si Faizatul n the geng pun ada. Dari jauh duk sengih-sengih. Aku sekadar membalasnya dengan senyuman. Kali ni, penantiannya tidak begitu lama. Pelajar-pelajar itu ku"sumbat"kan ke dalam kereta dan terus menuju ke Hospital Kepala Batas.

Selepas bacaan AlKahfi dan AlMulk, aku menyambung tazkirah yang sudah lama tertangguh. Dua kisah yang masih berbaki, selepas bahagian pertamanya aku kongsikan liku-liku pemuda Kahfi dan kisah Nabi Musa yang mengembara bersama Khidir. Ibrah Alkahfi ini aku tutup dengan kisah ringkas Pemilik Dua Kebun, juga penguasa yang Allah berikan kelebihan kepadanya, Zulkarnain. Kisah yakjuj Makjuj hanya mengambil bahagian kecil dalam pengisian ringkas tersebut.

[83] Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya. [84] Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. 
 Surah al-Kahfi: ayat 83-85

"cikgu, kami dah settle..." Aisyatul menelefon dari hospital.

"Owh... Ok2, bagi saya 10 minit"

Pelajar yang berkerut menahan kesakitan petang tadi pulang dengan gelak ketawa. Setakat jatuh terhantuk, memang tidak perlu sepatutnya pergi ke hospital. Pengaruh drama barangkali, mereka membayangkan jatuh sebegitu boleh menyebabkan short term memory loss. Menjadi kebiasaan, aku hanya akan turunkan student di belakang cafe dan terus pulang ke rumah. Namun kali ini hati memaksa aku mematikan enjin, mengarah jasad berjalan masuk ke cafe A. Sedangkan perut lansung tidak berasa lapar.

Melangkah dengan berhati-hati di atas lantai yang licin, aku terperasan seorang gadis bertudung labuh hitam yang duduk bersama rakannya. Tangannya menutup wajah yang kecil, mengelak daripada dilihat. "Alahai budak pemalu ni, jumpa lagi hari ni. Penanda jodoh ni..." aku hanya bergelak di dalam hati. Sekali lagi aku ber"lakon" tidak melihatnya. Tubuhnya yang tinggi berbanding rakan-rakannya, menyebabkan dia lebih menyerlah. Namun perwatakan uniknya yang telah  dirakam dalam hati menjadikan aku begitu mudah mengenalinya. Terima kasih Ya Allah!!.

Pulang ke rumah dengan hati yang bersiul.

I've tried playing it cool
But when I'm looking at you
I can't ever be brave
'Cause you make my heart race


Eh, macam tahu-tahu plak radio MyVi ni.

...

"cikgu, ni jawapan kawan saya yang pemalu tu"... mesej dari Husna terpapar di screen Iphone.

"pertama, dia mohon maaf sepanjang menjadi anak murid cikgu..."

"katanya, dia tak bersedia nak menghadapi sesuatu yang besar, seperti kahwin ni. Perjalanan dia masih jauh. Kalau saya pun, saya takkan kahwin sekarang. Hoho.."

"mak aih Una, tak backup lansung cikgu kamu ni..."aku sekadar berseloroh di mulut seorang diri

"ketiga, dia rasa masih tak cukup matang untuk terima cikgu... Cikgu kan hebat."

"eh, eh, perli nampak.. Kalau hebat dah lama saya kahwin dah.." bisik hati.

Jawapannya lansung tidak mengejutkan. Pada umur 19 tahun, gadis-gadis melayu generasi Y tidak mungkin berfikir mengenai perkahwinan. Perihal kahwin sangat "hina" untuk dibicarakan berbanding kemanisan berpacaran. Anak-anak gadis yang menyatakan kesediaan untuk berkahwin disimpul "gatal", manakala yang memuat naik gambar-gambar bersama teman lelaki dipuji "sweet". Namun gadis pemalu ni lain. Keunikan dan kehebatannya menanam benih kepercayaan bahawa aku juga bakal menerima jawapan yang "unik".

"drama sangat jawapan kawan kamu ni. Takpela Una. Terima kasih..." aku menutup perbualan. Remah kayu yang menusuk jari tidak pernah terasa pedih seperti hati ini.

Membulatkan tekad, aku perlu juga ke sana. Cuti yang sepatutnya dihabiskan di Teluk Intan kupendekkan, lalu pulang ke kolej.

Keesokan harinya, kereta merah membelah dingin pagi menuju ke utara semenanjung. Bertemu keluarganya adalah usaha terakhir yang mampu difikirkan. Cinta yang terlampau membunuh, tidak mungkin aku sekadar membatukan diri. Pakaian "malu" yang kerap di sarung, kutanggalkan buat seketika.

Pintu rumah kampung itu ku ketuk..

"Assalamualaikum...."

Bersambung.....

...............


Sedang menghabiskan buku ini. InshaAllah isinya akan aku selitkan dalam kisah ini. Sangat-sangat menarik.

Mereka-mereka ini tahu betapa TAK hebatnya aku. Tak pernah aku cuba ber"lakon" dengan mereka. Bak kata si Adam :
"They are those who know the naughtiest, craziest, wildest and silliest you from that trying period of the teenage years..when you transition from a boy to a man. Those who keep your (darkest) secrets..ones that you yourself might have forgotten. "

Sekian dari Syuib0809

Monday 4 May 2015

Studentku Si Pemalu... Bahagian 1

Bismillah...



"Assalamualaikum cikgu. Kawan saya demam panas. Mak dia nak bawa dia balik. Boleh ke cikgu?"

"Jumpa saya kat cafe B, saya nak tengok dulu. Kalo setakat demam biasa saya bawak pi hospital je..." balas aku ringkas.

Minggu ini sahaja, aku perlu bertugas sebagai felo(warden) untuk tiga malam berturut-turut. Semalam, hari ini dan esok malam. Perlu peka dengan telefon bimbit di tangan. Tidak seperti hari-hari biasa yang aku sendiri tidak pasti dimana si Iphone ni berada. Bawah katil, bawah kusyen, mana-mana sahaja yang mampu aku campakkan. Bergegas ke cafe B dengan perjanjian 5 minit, aku sentiasa berusaha menepatinya.

Sampai di cafe B, kelihatan ramai pelajar perempuan melepak, dengan wajah "pelik" yang memandang. Memang aku jarang berada di cafe perempuan waktu-waktu macam ni. Ketiadaan mood menyebabkan aku tak perasan si hitam manis Arieza dan kawannya Irdina wani sedang duduk di meja bersebelahan. Hati yang menahan sedikit kemarahan, namun terpaksa akur dengan sifat-sifat wanita. "Sekejap" membawa maksud mereka boleh mandi, lilit-lilit tudung, pakai make-up dan mungkin sempat bergosip dengan kawan-kawan. Owh perempuan!!!

"Traffic light 90saat. Lelaki termenung. Perempuan tukar style tudung, topap lipstick, pakai mascara, update swarmp & update status salam perantauan." ‪#‎HCL‬(Himpunan Cerita Lawak)

Entah macam mana, gelagat seorang pelajar perempuan yang sedang berjalan menarik perhatian aku. Tidak pasti mengapa, "cinta" mungkin menyebabkan aku menyedarinya. Sepertimana sayangnya Rasulullah kepada Bilal bin Rabah hingga mampu mengenali bunyi tapak kakinya di syurga... Si pemalu itu sedang "lari" daripada cikgunya. Lintasan yang perlu dilalui untuk menyeberangi cafe menuju blok A, cukup sekadar berjalan di hadapan aku. Tapi dia boleh pusing punyalah jauh di belakang aku, takut-takut cikgunya ni ternampak. Mahu menepati "ramalan"nya, aku berpura-pura tidak nampak, walaupun hati sudah tergelak lebih awal dari mulut. Hati yang kelesuan tiba-tiba berbunga, "Ya Allah, kurniakanlah aku isteri sepertinya.. Eh, bagi dia ni terus je pun lagi bagus"... pintas hati.


"Nah, bagi surat kebenaran ni kat budak tu... " Lepas 10 minit baru diorang ni nak sampai. Nasib baik crush baru lalu, kalau tidak dah lama kena "bahan" dah.



"Kita ni Una, selalu percaya dengan tidak "percaya" kepada Allah. Istikharah kita bukan mohon petunjuk, tetapi mahu Allah tunjukkan apa yang kita mahukan sebagai petunjuk. Hingga doa kita menjadikan kita Tuan kepada Tuhan, bukan Hamba yang mengharap kepada Tuhan. Saya tidak mengatakan she is the one, saya sekadar usaha. Supaya bila Allah tanya, saya boleh beritahu itulah usaha saya. Kalau Allah aturkan dia jadi isteri saya, maka itu adalah yang terbaik dariNya. kalau kena reject pun itu adalah terbaik. Kena tanam apa sahaja yang Allah aturkan, itulah yang terbaik untuk kita. Gadis sehebat itu, saya hanya mampu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Mahal kan orang macam tu" itu jawapan yang aku berikan kepada Husna isnin lepas. Gadis pemalu tu sepatutnya datang bersama mereka, tapi terus larikan diri bila nampak Husna n the geng tengah lepak kat meja aku.

Alahai budak ni, ni yang lemah iman dibuatnya..

Salwa yang duduk ditepi hanya berdiam diri, wajahnya menampakkan bahawa dia memang tak berminat "benda-benda" macam ni.


"Kamu kena tolong saya Una.."

..
...

"Macam mana saya nak tolong cikgu?..."

Bersambung...

Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu semuanya berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum. Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri.

..........


Gambar yang telibat:

 
 Dua orang belah kiri. Irdina(tudung hitam), Arieza( tudung ungu)

 Orang-orang bujang. Kecuali Adam. Mengambil kata-kata sopek
 "Kawan - Tidak kisah walau ke mana berjalan, apa yang dimakan, asal bersama kawan, boleh seronok sampai kena sawan"

InsyaAllah akan ada empat bahagian.
  
Sekian dari Syuib0809.

Saturday 2 May 2015

Mem"buku"kan diri

Bismillah.

Post sebelum ni punyalah dahsyat viewnya. Anak-anak pelajar yang menerjah blog ni, memang minat benar dengan kisah-kisah cinta. Remajalah katakan. So, nanti aku sambung menulis kisah tersebut. Tengok sweet ke tak sweet cikgu diorang ni. Dapat tak agaknya bezakan cerita rekaan dengan realiti. Nak bagi tajuk baru: "Studentku Si Pemalu". Haha. Tapi kita tinggalkan dulu benda-benda dunia ni, meh cerita pasal BUKU.


Sepanjang musim study week/exam, aku berjaya menghabiskan 3 buah buku ni. Ulul Albab dari Dr Danial ni aku beli sebab harganya murah. Sangat ringkas, pengisiannya lebih sesuai untuk pelajar-pelajar sekolah menengah kerana banyak istilah yang diterangkan sudahpun diketahui oleh peringkat umur 20-an. Menyambar kembali Transformasi Ramadhan yang sudah bersawang di sebalik rak buku, karya ustaz hasrizal sememangnya tidak pernah mengecewakan. Teringat waktu di sekolah, selalu sahaja aku dan rakan-rakan berpuasa sebab makanan tgh hari dewan makan tak sedap. Biasanya lauk paling tak sedap ialah ikan "longkang". Nak pegi kantin, duit manalah ada. Maka kami berpuasa dan puasa sebegitu tidaklah memberi signifikan yang besar. Point utama buku ni beritahu, hebatnya kesan amalan berpuasa bilamana kita punya keupayaan untuk makan sedap-sedap, tetapi kita memilih untuk menahan lapar, sebagai satu latihan. Latihan yang sekaligus memberi impak kepada keupayaan kita dalam mengawal nafsu dalam urusan-urusan lain.

 Hadith al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”.

Buku ketiga, Beduk diketuk Lagi adalah hasil titik peluh aku menge"pau" baucher buku pelajar, si Faizatul. Pelajar-pelajar sini biasanya habiskan Bb1M tu untuk beli makanan kat koperasi, yang secara jujurnya sangatlah merugikan. So, aku bawa faizatul n the geng pergi kedai buku, biar bermanfaat sikit benda tu. Apa-apapun, buku ustaz pahrol ni berkisar mengenai kehidupan manusia(muslim khususnya), yang paradigma hariannya perlu diperbetulkan. Pelbagai kata-kata yang menjadi ilmu penting untuk membersihkan hati. Dan memang itu pun tujuan aku baca buku ni. Aku kongsikan satu pesanan yang menarik perhatian aku.

" Antara tanda-tanda ikhlas ialah bilamana pujian tidak menyebabkan amalanmu bertambah, dan kejian/cacian orang tidak menyebabkan amalanmu berkurang." Saidina Ali.

Habis je baca, aku bagi balik kat Tuannya...

Ni tuannya. Terima kasih. Ni kita panggil "pau" berhemah

Nilai Sebuah Buku.

Sebelum PSPM, aku pesan kepada anak-anak pelajar untuk letak kat meja aku buku rujukan yang diorang tak nak simpan. Boleh pass kat student akan datang. Hanya sebilangan kecil yang beri, dan hasilnya sekadar belasan buku sahaja. Aku simpulkan mereka masih "sayang" pada buku. Sebaik sahaja pelajar pulang petang selasa, aku naik ke asrama selepas maghrib untuk periksa keadaan kompel. Terkejut, sedih bercampur marah bila melihat keadaan buku dan kertas-kertas yang berselerakan. Buku terbiar, ada yang dikoyak, ada dalam keadaan seolah-olah dicampak, dan buku-buku terbiar itu riwayat pengakhirannya sudah pastinya di tong-tong sampah. MashaAllah, macamna la kalian nak dapat keberkatan dalam menuntut ilmu.

Ahmad bin Hanbal rahimahullahyang berpesan “Umat manusia sangat memerlukan ilmu jauh lebih banyak daripada keperluan mereka terhadap makanan dan minuman. Karena makanan dan minuman diperlukan cukup sekali atau dua kali dalam sehari. Adapun ilmu, maka ia diperlukan sebanyak hembusan nafas.”

Aku capai beg kecil yang dibuang dicelah-celah katil, kutip semua-semua buku terbiar yang usia kebanyakannya tidak sampai pun satu tahun. Dari atas menghala ke tingkat bawah, aku berseorangan mengutip, mengangkat, memindahkannya ke dalam kereta. Selepas isyak sambung jelajah dua blok lagi. Badan yang sudah sangat keletihan mengangkat buku-buku tu di sebelah malam, aku berehat dan menyambung usaha selepas subuh keesokan harinya. Hasilnya, 83 buah buku berjaya dikumpulkan dengan beberapa naskah AlQuran yang juga terbiar dalam locker mereka. Tu baru blok lelaki, bayangkan kalau mampu aku kutip kat asrama perempuan yang jumlahnya 3 kali ganda dari pelajar lelaki. Anak-anak, kalian perlu menghargai sebuah buku. Keberkatan mudah tercabut hinggakan ilmu tidak lagi mampu memperbaiki akhlak serta amalan kalian. Malah lebih teruk dari itu, kalian akan mempergunakan ilmu untuk membenarkan segala kesalahan kalian. Saat itu, fitnah berleluasa dan kalian akan menjadi sebahagian daripada kebobrokan manusia yang rosak pada hari ini.

Pesta buku PWTC 2015.

Pertama kali menghadiri "pesta" ni. Sejak balik dari UK, tak pernah lansung berkesempatan nak hadir. Ramainya orang punyalah dahsyat. Hanya 6 buah buku yang berjaya dirembat. PTS punya diskaun agak tak berbaloi. Pelik... Macam biasa, penerbit kegemaran aku ialah kemilau Publika. Cuma nak pergi ke gerainya perlu merempuh lautan manusia yang sungguh.... So, ini hasil pengembaraan kali ni:

1. Mengapa Saya Masih Memetik Gitar - Yusuf Islam/Cat Steven.
2. Dari Penjara Taliban Menuju Iman. - Anton Kurnia
3. Why We Want You To Be Rich - Donald Trump. R. kiyosaki
4. Act like A Lady, Think like A Man - Steve Harvey
5. Kisah Cinta dalam AlQuran - Misbah Em Majidy
6. Stop Neraka! - Misbah Em Majidy.

Saja aku pilih dua buku ala-ala Travelog/kisah hidup, dua buku ilmu kehidupan harian dan dua buku agama. Rasanya lengkaplah semua karya Misbah Em Majidy yang aku ada. Balik dari PWTC, jem punyalah teruk. Sambar buku Yusuf Islam dan aku berjaya khatamkan pagi ni. Menarik bukunya. Nantilah review. Mahu menghabiskan cuti ini dengan menulis dan membaca. Tengoklah mampu istiqamah ke tak.


Tudung biru antara yang banyak bagi buku. Dua orang budak ni aku ganti kelas diorang sekali je. Tapi baguih dua-dua ni, tak segan lansung nanye soalan.

Itu saja.
Sekian dari Syuib0809.