Friday 28 August 2015

Penghulu

Bismillah.

Minggu yang padat. Dipenuhkan dengan kursus yang semuanya berpusat di utara. Ada 3 kursus dan dua daripadanya sudah pun berlalu. Akibat kepenatan pulang dari kursus, aku tak berkesempatan menulis di sini. So, ruang yang ada ni aku catatkan sedikit sebagai kenangan.

Kursus Teambuilding PPSMI

Kursus yang secara jujurnya sangat-sangat sempoi. Aku selaku orang yang jarang "minum kopi", menggunakan peluang ni sebaik-baiknya untuk rapat dengan pensyarah-pensyarah lain. Lokasi Batu Hampar ni plak memang cantik sungai dia. Bolehlah lepas ni nak berjiwang dekat sini. Haha. Kumpulan aku dari awal dah pillih "station" yang kena terjun kolam. So, memang dari awal terpaksa bukak kasut dan berlari dengan baju basah lenjun. Tengah hari, aku, en suhaimi, haji hashim, mr chai mun dan rodhi pi bahagian atas bukit, melepak tengok air terjun. Kejap je.

Sedikit perkara yang tak syoknya ialah, kaki aku kena sengat waktu duk main musang berjanggut. Waktu bersihkan diri, pacat duk relaks je hisap darah. Bila aku cabut, darah keluar tak berhenti-henti menyebabkan habis kain pelekat aku kena darah. Pulang ke kolej sekitar pukul 6 petang, aku mengharungi malam seorang diri dengan kaki yang semakin membengkak akibat sengatan. Sebagai lelaki maskulin, aku biarkan je.. Perghhh..

PTM IPG..

Berehat sebentar hari ahad dengan membasuh baju dan mengemas rumah, aku menyambung kursus kali ini selama 5 hari di IPG Pulau Pinang. Sebaik sahaja solat subuh, aku terus bergerak dari kolej sekitar 6.30 pagi. Dan waktu bertolak itu menyusul hampir sama setiap hari. Sampai sekitar pukul 7 pagi, aku kemudian melepas rindu kat taman tun sardon. Duk balun sandwich dia yang memang susah nak jumpa kat tempat lain. Mengarutnya kursus kali ini ialah aku kena jadi Penghulu. Siot. Ni sebabnya.

 Menghabiskan buku ni sepanjang kursus. Bahan elak mengantuk. Berjaya sampai muka surat 352/400++ dalam masa 5 hari. Nilah kelebihan kursus ni. Haha. Eh, bukan buku ni sebabnya.

Ni sebabnya.........

"nak ambil tak nak, nak ambik ke tak nak". Aku sekadar bercakap dalam hati. Setelah selesai menyusun semua kerusi di dinding, bahagian tengah dewan tu menjadi kosong. Kelihatan beberapa helai kertas di kawasan lapang itu yang menyakitkan mata. Mahu diambil macam obvious sangat je tetiba aku bangun. Aku menunggu peluang.

"rapatkan lagi kerusi..." penceramah tersebut minta kami bangun angkat kerusi bagi menutup ruang kosong. Sepantas kilat aku sambar kertas-kertas yang berada di depan mata. Setelah beberapa minit berlalu, keadaan kembali tenang.

Tiba-tiba.

" saya jemput cikgu izuan ke depan..." penceramah tersebut tiba-tiba panggil nama aku.

"berikan tepukan untuk cikgu izuan..."

"Apehal la plak minah ni..." aku mengeluh dalam hati.

"Akibat" aku mengutip sampah(kertas) tersebut, publisiti murahan pun berlaku. Hingga akhirnya aku dilantik menjadi penghulu dalam "mesyuarat" yang berlansung bersama ketua-ketua kumpulan. Aku tak berapa minat benda ni pasal aku tak boleh buat "nakal" dan akan terpaksa "menonjol". Asyik kena panggil je..

Gambar ehsan dari anis farhana(partner syuib0809). Terkejut jumpa Hazwani Jalil perut punya besar dah 8 bulan. Dahsyat.

Di akhir sesi, aku sampaikan ucapan penutup. Membawa "analogi" yang digunakan oleh Robert T kiyosaki bagi melambangkan hebatnya tugas pendidik.



 

"kita mungkin boleh bantu orang miskin dengan memberi mereka  ikan(makanan), namun ia bukanlah bantuan yang terbaik. Habis ikan, si miskin kembali lapar. 

Alangkah bagusnya jikalau kita boleh ajar si miskin bagaimana menangkap ikan, dan inilah yang saya yakin, rakan-rakan sedang lakukan.

 Namun, ada satu lagi yang lebih teruk berbanding kedua-dua ini. Iaitu kita bukan sekadar tak ajar, malah tak beri mereka ikan pun, sebaliknya kita gunakan kelemahan si miskin ini dengan menjual ikan kepadanya. Hingga sikap pentingkan diri ini dinukilkan oleh orang putih sebagai sellfish(menjual ikan). Mudah-mudah kita dijauhkan daripadanya...."







Sebenarnya aku dah packing, letak baju semua dalam kereta sebelum bertolak pagi. Niat hati nak cabut terus balik kampung lepas habis. Dalam kepala, mungkin pukul 3.30 petang dah habih.

Sekali dalam pukul 5 petang baru nak habis. MC plak ajak tangkap gambar. Nak cabut awal, tapi aku penghulu. Aduihh. Lepas solat asar, aku bertolak dan jem punyalah teruk. Hujan yang turun renyai-renyai menyebabkan aku rasa lebih baik aku balik dulu quarters. Tido awal, esok pagi-pagi baru bertolak balik teluk intan.

Menyambung kursus.

Kursus kahwin. Kah3x..


Unit Matematik. 
Dah macam Teddy Bear plak aku tengok orang belakang aku ni. Haha. Bye

Sekian dari Syuib0809

Monday 17 August 2015

Dulu...

Bismillah.

Dulu...

Selalu sahaja aku runsing. Runsing si hingusan belasan tahun. Entah apa yang dirunsingkan. Setiap kali runsing itu datang, aku akan menuju ke dewan besar sekolah. Berseorangan. Menekan si hitam putih yang menyusun bunyian indah. Tiada siapa yang tahu. Ada kalanya di awal pagi hujung minggu. Ada masanya di ambang senja yang sunyi sepi. Lagu ini yang paling kerap aku mainkan. Melodinya sungguh indah. Meredakan sebentar ribut yang melanda hati.




Dulu...

Tatkala aku runsing, pasti akan ku sambar si Buroqs. Yang sentiasa setia menemaniku merayap. Saat aku berbicara dengan pekan tua, buroqs hanya sepi membisu. Menyimpan seribu satu rahsia pengayuhnya. Pernah beberapa kali, aku tidak pasti ke mana destinasi yang mahu dituju. Lalu aku biarkan buroqs menjadi tuan. Meredah lorong-lorong baru, taman-taman hijau yang menenangkan semula kesedihan hati. Buroqs tidak ikut aku pulang. Sini bumi asing baginya. Rindu aku pada dia dan pekan tua selalu muncul, bila aku kembali berduka.



Dulu...

Aku punya ramai teman bicara. Untuk aku berkongsi cerita. Atau sekadar mendengar cerita. Suara si naqib selalu menenangkan hati. Pesan murabbi pula menghubungkan hati dengan Ilahi. Sembang-sembang di dapur dengan Izwan, pelbagai cerita darinya yang mencuit hati. Menyebabkan aku lupa akan duka sebentar. Tapi mereka-mereka ini entah di mana... Menghilang.. Kerana aku sendiri malu mahu mencari mereka.


Dulu..

Taman-taman menjadi tempat melepas rindu. Pemandangan hijau itu selalu berjaya menjadi penawar hati. Kadang-kala, aku berbaring di atasnya melihat awan biru. Ratu putih yang dari tadi bermain air, seolah-olah bersketsa menghiburkan penontonnya. Bunganya pula berubah mengikut musim. Aku tidak berjumpa taman itu di tanah air. Rupa yang persis, hanya menjadi tempat teruna dan dara melepaskan gian melupakan Tuhan.

 

Itu semua kisah dulu.
Yang semakin jauh meninggalkan aku.
Rinduku, entah bila akan bertemu...



Tulisan ini kerana  aku sudah terlalu lelah dan letih

...

Tiba-tiba teringat sebuah kisah. Saat Mekah dibuka, Nabi menunggang kembali al-qashwa. Sampai saja di kampung halaman, tali qashwa terus dilepaskan. Unta itu dibiarkan menentukan destinasi. Saat qashwa berhenti, nabi menuruninya dengan penuh rasa kerinduan. Sahabat melihat kekasih Allah itu menitiskan air mata. Rindu Qashwa membawa Muhammad kepada insan kesayangannya. Unta itu rindu kepada Khadijah. Kekasih yang selalu menenangkan Muhammad. Para sahabat akhirnya bertemu jawapan. Kerana sudah terlalu kerap nabi berkata: " Aku rindukan seseorang di Mekah"

Rasulullah s.a.w bersabda " Dia (Khadijah) beriman kepadaku ketika manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika orang-orang mendustakanku dan dia membantuku dengan hartanya ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa..Allah mengurniakanku anak darinya dan tidak mengurniakan anak dari yang lain.

Aku rasa aku pun rindukan seseorang. Dan aku fikir rangkap ke lima luahan ini mungkin lebih mudah terjadi dalam pencarian ini.

Sekian dari Syuib0809.

Tuesday 11 August 2015

Lawatan mengejut: Gunung Jerai

Bismillah.

"Salam. Aku, bijan dan arman solat jumaat kat masjid kolej ko. ada sini ke?" mesej Bayern yang masuk hanya sempat aku baca sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

Rakan-rakan semesti aku ni buat perangai lagi. Datang dengan mengejut. Aku yang masih perlu ke pejabat petang nanti tak tau  lansung diorang ni nak datang. Ditambah lagi tak bersedia nak masak apa-apa sebab minggu ni memang biasanya dapur aku tak berasap.Lebih banyak makan luar. Berjimat sebab dah boros sangat time raya. Haha. Dalam "marah-marah" tu, hanya Allah sahaja yang tahu betapa seronoknya hati aku, yang memang selalu berharap rakan-rakan sekolah sudi datang ke rumah aku ni. Dan inilah kali pertama selain bijan.

Okeh, kawan-kawan aku memang nampak muda.

Diorang ni sebenarnya nak pergi Gunung Jerai. Zizan yang memang cuti hari jumaat, bertolak dari johor dan kemudian ambik bayern, reman, kat Shah Alam. Reman(Arman) yang ber"cuti" sebentar setelah tamat pengajian perubatan di India, mahu menyambung kembali ukhwah. Kali terakhir aku sembang dengan reman tahun 2010, dan ada terserempak kejap di kenduri Balang. Dah lama, tapi sama je perangai dia. Haha. Muka pun sama je.

Diorang ajak ikut bermalam di Regency Hotel. Aku yang sudah merancang untuk buat pre-UPS malam tersebut, terpaksa menolak. Ditambah pula ada pelajar yang mintak buat kelas keesokan harinya, aku sememangnya keberatan. Lagipun dah berberapa kali aku pergi sana.Tapi aku memang lemah dengan si Bayern ni. Kami kenal lama. Bermula di Tadika, bersambung ke sekolah rendah agama rakyat, tuisyen sama-sama, kemudian duduk kelas yang sama dari form 1 sampai form 5. Dan ayat dia kalau "pujuk" orang memang siot. Bekas "playboy" lah katakan.

Aku batalkan semua kelas. Sebaik sahaja habis meeting felo petang tu, teruih cabut dengan kelam-kabutnya.

  

Petang di Gurun yang basah menyebabkan puncak Gunung Jerai menjadi sangat sejuk. Kami sampai lewat petang. Oleh kerana semua lapar dan risau nak balik tengah-tengah malam, kami teruih keluar mencari makanan sebelum maghrib. Meredah kabus tebal yang secara jujurnya merisaukan. Perjalanan mencari kedai makan tidak lama, kami ter"goda" dengan hiasan sebuah kedai yang nampak gempak. Niat asalnya nak makan "besar", tetapi kedai ni hampir 70% menu dia tak hidup. So, kami tempah je apa yang ada. Order sebelum maghrib, tapi 8.15 malam makanan masih tak sampai. Sedangkan ada tiga meja saja yang berpelanggan. Aku masih boleh menahan sabar. Ape ntah susah beno nak buat nasi pataya dengan mee goreng. Tapi hati makin panas bila dia kata menu yang aku dan zizan tempah tak masuk dalam list tempahan. So, terus aku cancel je aku punya. Maaf Restoran Pohon's Kitchen, terpaksa berkata benar untuk anda. Rasanya banyak saja review yang baik untuk restoran ni di alam maya. Terpulang.... 

Perjalanan "mendaki" bukit malam tu agak menyeramkan. Sepanjang 11 km tu, sekali je kami jumpa kereta. Malamnya, sesi luahan perasaan di anjung dengan pandangan malam yang sungguh-sungguh-sungguh cantik. Sumpah!

 Berkongsi kisah cinta masing-masing. haha. Sir zizan dan sir izuan je yang berkain pelekat. hehe. Minum milo panas dan burger. Marah doktor reman tengok pemakanan kami.

 Dua jejaka baby face.

12,30 malam kami masuk semula ke dalam bilik. Bilik tu sebenarnya kecil je, untuk dua orang. So, selaku tetamu tambahan, aku hanya tidur di kerusi. Lena gak sebenarnya. Keesokan harinya, kami ambil angin pagi selepas subuh. Pagi tu, aku tidak berniat untuk ikut diorang breakfast. Buffet pagi tu hanya untuk dua orang. Aku selaku orang yang jarang makan pagi, rasa macam tak berbaloi nak habiskan rm25 untuk seorang. Tapi bayern punya pujuk memang aku kalah sekali lagi. Ditakdirkan Allah, akulah yang makan paling banyak sekali. Hahaha.

 Itu dia!!! Sapa suruh ajak makan.

Kepenatan makan, dan aku perlukan tidur yang lebih baik berbanding malam tadi. Sebaik sahaja check out, kami menuju ke Pendang, rumah abang Zizan. Melatak breakfast selama tiga jam, kami disajikan pula makan tengah hari di rumah abang Zizan, seorang ustaz. Haha... Lawak. Usai solat tengah hari, kami menuju pula ke rumah Dania. Yang ni paling aku awkward. Walaupun minah ni junior aku di KYUEM dan Uni Leicester, aku sangat-sangat tak rapat dengan dia. Dan sepanjang di rumah dia, paling aku risaukan ialah si Reman. Doktor sorang ni mungkin boleh "survive" sembang dengan orang dalam masa sekejap, tapi kalau lama memang dia ni stress. Haha.. Senang je nak tengok, telinga dia akan jadi merah.

Sebenarnya si Ferd yang suruh datang rumah si Dania ni. Yang peliknya, kami sembang sesama kami(aku, ferd, azri, zizan) je, si Bayern dengan Reman selaku "orang luar" pulak yang kena "layan" mak ayah si Dania. Sabar ye reman. Kami dihidangkan dengan mee seafood dan aiskrim cocktail. Memang pecah perut.

Ziarah terkejut yang sungguh mengejutkan. Paling aku terkejut mendengar perkhabaran seorang junior semesti yang dulunya bertudung litup, selalu tunduk, agak alim, tiba-tiba tanpa segan silu berbikini dengan lelaki kulit hitam. Teringat kisah Bal'am bin baurah dan Abdullah ibn abi Sahr(penulis wahyu) yang aku bawakan dalam usrah hujung minggu lepas. Mudahnya Allah nak tarik.

"Dan kalau Allah menghendaki, niscaya Dia menjadikanmu satu umat (saja dan memaksamu untuk beriman). Tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan." An Nahl: ayat 93

Kegembiraan yang mengubat kesunyian. Kami berpisah hampir jam 6 petang. Harap-harap dapat datang lagi ye.


Sekian dari Syuib0809.

Saturday 8 August 2015

Deco Syok Sendiri

Bismillah.

Raya hari tu, aku dapat cuti seminggu lebih. Tapi hari khamis dah balik semula ke kolej. Kesian nengok adik aku yang terpaksa tidur dekat lantai setiap kali aku bermalam kat rumah. Dan parents pun sibuk kerja, maka aku fikir lebih banyak manfaat untuk aku kembali ke penang lebih awal. Beberapa agenda yang ada dalam kepala, antaranya membetulkan Iphone yang mati sebentar, dan juga sambung meng"hias" rumah. Okeh... Lawak.

Sebelum balik, sempat curi pasu bunga dari rumah. Sebagai penyeri melengkapkan ruang tamu yang masih tergendala. Maka inilah hasil orang bujang mendeco.


Waktu bulan puasa, aku tiba-tiba terajin mencari kabinet tv sebab meja tempat letak tv makan ruang yang sungguh besar. Duk survey harga sekitar rm300-400. Memang diluar bajet sungguh. So aku D.I.Y sendiri. Pada asalnya hanya menggunakan 3 rak kecil  tiga tingkat yang masing-masing berharga rm14. Keesokan harinya waktu aku pergi e gate penang untuk betulkan Iphone, terjumpa rak kasut kayu kat tesco. So, inilah hasilnya. 2 jam gak aku ambik nak buat benda ni.

Rak kasut yang tengah-tengah tu harga 30 ringgit je. So total "kabinet tv" aku ni hanya 58ringgit.Tolong janganlah bandingkan dengan yang harga rm300 tu ye. Sejadah hijau itu diletakkan di situ bagi mengimbangi dunia dan akhirat. Haha. Cadangnya nak bubuh alas bunga2 kat "kabinet" ni, tapi nampak feminin sangat. Satu je kelemahan ialah kayu dia macam ada bau. So, kena fikir macamna nak bagi hilang bau.

Kelebihan, ruang tamu(tempat lepak) jadi lebih besar.


Hujung minggu, aku menuju ke sungai petani. Mencari wallpaper di D.I.Y yang kononnya dikhabarkan murah di internet. Sebelum pergi, aku check kembali bilik paling belakang rumah. Terperasan, rupa-rupanya katil dalam bilik tu boleh tarik bawahnya. Lepas duduk setahun baru nak perasan. Maka, aku pun mengubah susunan perabot dalam bilik tersebut. Kat D.I.Y sempat rembat 3 gulung wallpaper yang masing-masing beharga sekitar rm8. So, memang murahlah. Ini hasil perjuangan.

gambar belang-belang sebab kamera rosak. Cuma tak ketara sangat.
Tu dia wallpaper bunga-bunga kecil yang aku pilih. Penyeksaan terbesar ialah nak bagi sama dengan sebelah. Sampai akhirnya aku putus asa. Tampal je teruih. Kekurangan wallpaper murah.

Keesokan harinya pula banyak fokus kepada bilik satu lagi. Bilik paling aku suka lepak sebab ia melambangkan "kekosongan". Memang tenang duduk bilik ni. Aku menambah tikar getah bewarna putih. Juga mengubah kedudukan katil agar lebih ruang untuk solat. Kerusi untuk rehat. So, tiada apa yang dideco sangat. Paling teringin ialah nak buang almari besar yang memang menyemakkan bilik kecil ni. Tapi apakan daya, milik kerajaan.

Bilik "kosong", juga bilik menjemur baju. haha

Hmmm, ada beberapa ruang lain yang aku mula "baiki", tetapi tergendala kerana tiada bajet. Antaranya tandas yang lantainya memang kelihatan comot dan tak boleh buat apa. Dapur mungkin aku tak berapa usik sebab itu bahagian yang terlalu "aktif". Master bedroom yang aktif pun mungkin menerima nasib yang sama.

Saja aku sematkan di sini. Seronok melihat kembali bilik-bilik ketika belajar dulu. Sayang sebab aku tidak pernah ambil gambar bilik di IPG dulu. Ni contoh post dulu-dulu.

Bilik Tahun satu

Bilik tahun dua

Bilik tengah semak

Gotong royong rumah.

Menerima kunjungan mengejut sahabat sekolah yang mengubah hujung minggu dan "bajet". Haha
InsyaAllah akan menulisnya dalam masa singkat ni.

Sekian dari Syuib0809.