Saturday, 11 November 2017

Sebelas sebelas

Bismillah.

Hari ni aku tengok banyak betul promosi barangan atas talian sempena tarikh sebelas sebelas. Entah apa istimewa aku pun tak tau. Lazada antara yang ketara iklannya sampai masuk tv. Yang kurang terkenal seperti ezbuy dan shopee aku peroleh maklumannya melalui internet. Namun dalam banyak-banyak laman sesawang perniagaan atas talian ni, yang aku paling selalu guna hanyalah SGShop.com.my je kot. Bagi aku sangat-sangat berbaloi, banyak pilihan, selamat dan memang dijamin murah. Tapi rasanya tak ramai yang tahu. So berpagi-pagian pada hari istimewa ini, aku pun ber"shopping" di alam maya dengan menggunakan telefon semata-mata. Hehe

Hari ni, aku rasa aku sorang je yang buat kelas/kuliah untuk pelajar-pelajar yang bukan pelajar aku. Erk.. Lagi dua hari nak peperiksaan besar, jelas benar tak ramai yang bersedia untuk kertas matematik. Dari pukul 10 pagi ke 12 tengah hari, aku memberi tema pada kelas tambahan itu dengan tema "Back to Basics". Membincangkan soalan-soalan simple yang diorang pun baru tersedar rupa-rupanya diorang tak boleh buat. Aduih. Menariknya kuliah tambahan ni ialah diorang yang request, bukan aku yang nak buat. Baguih.

Selepas tamat kelas, aku bertanya pada Izzah

"Budak hari tu dah balik ke?"

"Dah cikgu, dia lepak bilik lain plak. Kesian Qai kena lepak tempat lain sebab takut"

Budak yang aku bicarakan ini, terkena gangguan(histeria) dua minggu lepas. Ketika itu, kolej terputus bekalan elektrik untuk proses-proses penyelenggaraan. Aku yang sudah berhenti menjadi felo tiba-tiba dipanggil untuk membantu. Aku sumbat budak tu dalam kereta bersama-sama dengan izzah sebagai pembantu dan dua orang lainnya. Bermacam-macam perkara lucu, menakutkan dan mendebarkan yang tak sanggup aku nak ceritakn. Cuma keesokan harinya, pertama kali aku kena demam panas pelik, badan menggigil, sampai terpaksa berselimut seorang diri. Menambah khurafat, tetibe perut plak kena cirit birit sampai tiga hari. Aduih. Ingatkan aku sorang je kena. Rupanya semua yang ada dalam kereta aku pun demam gak kecuali Izzah. Siot.

Habis sahaja kelas tengah hari tadi, aku memecut ke sungai petani mencari makanan kegemaran, ayam golek. Beli setengah ekor je. Makan dengan coleslaw KFC dan roti kegemaran dari Giant SP. Tersedar aku tidak lagi berada pada zaman kegemilangan dulu. Dulu seekor ayam aku boleh telan dalam masa sejam je. Haha. Sekarang ni, separuh pun dah kenyang sampai satu hari. Dugaan betul. Ingat nak beli kek, tapi takut buang macam tu je sebab tak larat nak makan.

Petang pulak, menjadi tukang jahit. Seluar dah banyak rosak dan koyak, so kenalah repair sendiri sebab takde orang rumah. Sedih.

Tarikh sebelas-sebelas kali ni, aku genap dua puluh lapan. Tiada siapa yang tahu dan sedar kecuali keluarga, kerana aku masih memboikot majoriti aplikasi sosial. Hadiah? Aku dapat choki-choki dari si Fatin satu paket. Haha. Tulislah gak kat sini.

Mengimbau kembali setahun yang berlalu, aku rasa majoriti yang aku nukilkan berjaya aku capai secara materialistiknya kecuali travel ke korea. Untuk tahun yang mendatang, aku rasa aku bakal memiliki rumah, dan mahu fokus pada meng"indah"kannya agar berasa habuk2 dari syurga. Dan untuk satu tahun akan datang ini juga, rasanya sangat perlu untuk aku memperbaiki diri kembali. Rasanya, dalaman aku dah rosak teruk. Minggu ni sahaja, dua kali subuh aku dirikan di rumah. Kemalasan ke surau dan masjid itu semakin menjadi-jadi. Besar sebabnya, aku tiada lagi vitamin yang mampu menggalakkan. So,tahun mendatang ini juga aku berimpian mahu menghafal kembali surah sekurang-kurang satu. Target terdekat surah Al-munafiqun. Dah takde orang paksa ni memang jadi payah sungguh. Arghh.

Selamat bertambah umur buat diri sendiri.
Sekadar catatan untuk hari yang istimewa ini.
Agar mampu aku membeleknya kelak dengan hati yang lebih baik.
Maaf, memang tiada impian mendirikan rumah tangga buat tahun yang mendatang ini.
Hanya keajaiban yang mampu membantu merealisasikannya barangkali

Sekian dari Syuib0809.

Monday, 23 October 2017

Bicara Hati untuk Hati

Bismillah.

" you punya telinga, dua-dua sudah tutup.. Maybe sebab kuman.."

Setelah tiga tahun berlalu, aku kembali membuat pemeriksaan kesihatan. Kesempatan yang ada, aku meminta doktor yang sudah dimamah usia memeriksa sekali telinga yang semakin tidak biasa. Semuanya kerana insurans perumahan. Tidak aku sangka kerenah birokrasinya lebih mencabar berbanding membina rumahtangga. Adapun mencari orang rumah, masih menjadi tugasan paling mencabar buat diri.

Telinga yang ada dua ini, bukan sebegini sejak azalinya. Semakin aku besar, semakin menjadi-jadi nakalnya. Cuma hikmahnya, kedua-duanya menjadikan aku semakin kurang nakal. Kalau dulu banyak benar sembangnya, banyak benar dengarnya, banyak benar kawannya, banyak juga dosanya. Cuma kini semuanya berlainan dari yang dulu. Aku sudah tidak banyak bersembang dengan manusia. Sudah tidak banyak berbuat kawan. Orang sekeliling yang tidak pernah melihat siapa aku dahulu, membilang aku anti sosial, tidak peramah dan serius sahaja orangnya.



Sedangkan aku, tidak gemar jika orang berminat dengan telinga yang tersembunyi rahsia ini. Tiada siapa bergembira digelar si pekak. Sedangkan si buta pun berkecil hati digelar si buta. Dan terbukti, OKU juga lebih berminat ditafsir sebagai kelainan upaya berbanding kurang upaya. Adapun yang sudah tahu dan sedang tahu, dihantar Tuhan bagi menjinakkan ego yang ada dalam diri.

Mengelakkan orang-orang biasa tahu, maka kurang bercakap dan bersembang adalah kuncinya. Jodoh mulut yang berbicara itu pasangannya adalah telinga. Telinga yang tidak menerima, maka tiada jawapan juga yang akan diterima. Ketika itu, rahsia tidak lagi tinggal rahsia. Kerana itu, aku memilih untuk kurang berbicara. Dan akibatnya, aku selalu tidak berjaya menghabiskan kuota dan kosa kata yang patut diucapkan manusia 3000-4000 sehari.

Penyelesaiannya, aku memilih untuk bercakap sebanyak-banyaknya dalam Dewan kuliah dan bilik tutorial. Hingga kadangkala, yang mendengar terpinga-pinga dengan apa yang aku bebelkan. Bila malam menjelma, aku terus berhenti berbicara. Duduk seorang diri. Melainkan ada urusan bersama ANC, barulah kouta patah perkataan yang berbaki dilengkapkan sepenuhnya.

Selebihnya, aku bicarakan dengan menulis. Kerana adat manusia, mesti mengadu apa yang dirunsingkan dalam hati. Jika dipendam, besar kelaknya menjadi penyakit. Oleh kerana tiada manusia, maka aku bicarakan sahaja dengan mencoret apa yang mampu. Cuma kehadiran pembaca yang masih belum matang, memerlukan aku untuk lebih berhati-hati tatkala menulis. Bahasa hati ini sebenarnya bukan untuk yang membaca, tetapi untuk hati yang menulisnya sendiri. Kerapkali aku membelek-belek kembali penulisan yang aku sahaja tahu makna penuhnya. Ia disusun mengikut darjatnya. Yang dinilai mengikut bahasa dan cerita disebaliknya. Selalu aku membacanya kembali. Buat peringatan untuk hati sendiri.

1. Putus
2. Mughith dan barirah.
3. Buah Hati Tamtam
4. Pondok Hutan
5. Kapitalis Dakwah.
6. Bisikan Buat Raja
7. Acuan dan Roda
8. Langgam Bakungtai
9. Sisi Hati Memori.
10. Bebas.

Top petikan yang menjadi tulang belakang

Bilamana kamu bersedih
Dirimu beranggapan aku gembira
Atau berkhayalan diriku tiada rasa
Sedangkan unggas menontonku
Menghiburkanku dengan muzik-muziknya
Supaya aku berhenti berduka
Tersenyum...
Terus gembira.




Bercintalah anak muda
Namun jangan leka dan alpa dengan cinta
Dunia ini tidak lebih dari mainan dan gurau senda
Cintamu kepada manusia selalu hampa
Kerna kamu rasa yang dicintai itu jodohmu
Sedangkan ketentuan Allah adalah kebaikan buatmu
Teruskan hidup
Moga terbentang jalan ke syurga buat kita





"Ishh cikgu ni.. 10 kali dah cakap, Sufi balik dengan parents dia la..."

Gadis bernama Wahyu ni, kalau wujud wataknya di SEMESTI  dulu, pasti benar menjadi musuh utama aku. Muka cantik, bahasa kasar, adalah golongan utama yang aku isytiharkan perang ketika zaman pramatang dahulu. Cuma kasarnya dia, pada semua manusia tanpa mengira rupa. Adapun gadis-gadis yang pernah aku jumpa, berlembut dihadapan pemuda mirip Fattah Amin, menjadi singa jika wajahnya cerminan Rahim Sepahtu. aduih. Dan telinga ini juga menjadi penyebabnya.



Hmmmm.. Jujur, diorg memang lawa. So, kene tutup muka. 



Baru-baru ini, aku berkunjung ke pantai timur kembali. Lama tidak ke sana. Jarak yang begitu jauh itu benar-benar menguji kesabaran walaupun aku tidak bergelar pemandunya. Membayangkan jika aku berjodoh dengan orang Terengganu, pasti ngeri bunyinya. Bergaduh jela gamaknya bila nak balik kampung kelak. Bukan giliran yang aku runsingkan, memikirkan jaraknya sahaja sudah mencipta  sebuah kerunsingan. Abaikan, itu cerita lama, asbab tatkala aku menulis "putus". 

Aku ke sana kerana konvokesyen adik perempuan aku di UNISZA. Dan rezeki, berjumpa bekas-bekas student. Cuma yang tidak dijangka, seorang gadis tiba-tiba menyapa. Tak silap aku nama dia Syuhadah, batch 14/15 modul tiga. Ambik Kimia Analisis. Aku tidak punya apa-apa topik untuk dibualkan dengannya, maka menamatkan perbualan adalah langkah yang terbaik. Noktah.

Anak-anak gadis ini apabila di kolej, kelihatan seperti kanak-kanak di mata aku. Baju kurung yang tidak diseterika sempurna, tudung senget dengan sos keropok losong tertumpah di atasnya, bau peluh sehaluan pelari pecut negara, menjadikan aku seperti bapa-bapa yang mengusik anak-anak daranya dengan mainan kata-kata. Namun di luar, mereka seperti gadis-gadis biasa, dan patut dilayan seperti gadis-gadis biasa. Dan aku sendiri perlu sedar, aku adalah lelaki asing(ajnabi) bagi mereka yang kelihatan tidak asing. Maka, halal haram yang terpelihara sejak dahulu perlu kembali didahulukan.

Seperti mana aku tidak pernah melayan dan berjenaka dengan gadis-gadis biasa, maka aku juga selalu "awkward" bila mahu berbual dengan mereka yang sudah bergelar gadis. Itu adalah aku yang bergelar aku, bosan dengan wanita dan membosankan wanita. Kawan adik-adik aku pun aku x bertegur sapa. Gila. Maka maafkan aku, kerana sudah terlampau biasa menjarakkan diri dengan kaum hawa.

Sori na..
Cukup sudah kuota malam ni

Sekian Dari Syuib0809


Thursday, 12 October 2017

Street dakwah: Isi dan Kulit.

Bismillah.

Mengimbau ingatan zaman-zaman belajar di sekolah dan matrikulasi, aku menjadi orang yang sangat tidak menghormati gadis-gadis sebaya. Entah kenapa tiada tenang melihat mereka. Besar sebabnya kerana akhlak, bahasa dan akal mereka yang meletakkan mereka sebegitu. Apabila masuk ke KYUEM, sikap panas baran aku pada wanita itu berubah secara drastik. Dan buat pertama kalinya aku sangat hormat pada gadis sebaya. Dan penghormatan itu terlampau menggila hingga lalu depan mereka pun aku tunduk. Dua oramg yang menduduki tempat teratas ialah Siti Fatimah Mokhtar dan Amira Mat Safar. Mereka adalah watak-watak yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Siti fatimah itu, pelajar terbaik SPM tahun 2006. Imejnya bertudung labuh, alquran melekat dalam kepalanya, dan dalam MUSCOM(badan dakwah) dia adalah antara bos-bos besar aku. Cuma yang selalu mengujakan ialah apabila orang-orang freehair, tudung pendek dan "kaki sosial" cukup sayang pada dirinya. Pertama kali aku melihat muslimah sebegitu. Malah apabila aku kembali ke surau setiap malam untuk menutup lampu, menjadi hobi mengintai dia dan rakan-rakan yang menegur pasangan-pasangan romantik di koridor kolej. Tiada isu dan diterima baik, teguran dia itu seperti jampi yang tiada silibus untuk dipelajari. Mereka punya seni dalam dakwah. Yang menyambung keberkesanan isi pada kecantikan kulit.

Sekumpulan gadis sebaya yang pernah dihormati

Street Dakwah: Kecantikan Kulit.

Hujung minggu lepas, aku kembali menguji ANC dengan projek baru, diberi nama sebagai street dakwah. Dua minggu berturut-turut yang menjadikan sabtu sebagai hari belajar dan bekerja, amat besar cabaran buat mereka untuk merancang dan melaksanakan projek kecil ini. Projek ini juga adalah program penutup anc untuk semester ini, sebelum mereka menempuh PSPM pada bulan november nanti.

ANC 2017/2018 ini adalah batch yang mendapat 1001 kemudahan dan kewangan hasil pengorbanan senior-senior mereka sebelum ini. Banyak kemudahan-kemudahan yang tidak ANC  sebelum2 ini rasa, dinikmati oleh batch ini. Malam street dakwah ini, dihiasi dengan gambaran yang belum pernah aku lihat pada anc sesi yang lepas-lepas. PA system yang 90% menggunakan mikrofon tanpa wayar, lighting system yang sangat canggih, projector baru, pentas pallet serbaguna(baru sampai), alat muzik temporari/moden, semua kemudahan peralatan ini membina imej yang sangat "gempaks" untuk ANC.



Malah pujian besar aku berikan kepada pengendalian teknikal bagi program ini, yang sangat komited dan rajin. Bayangkan sebaik sahaja kelas habis jam 5 petang, muslimin ANC terus bergotong royong angkat peralatan dan pentas ke depan koperasi. Hingga ada yang kekal berkemeja sehingga program tamat. Hebat!!.

Street Dakwah: Isi yang tertampal.

Program santai ini, mempersembahkan lagu menahan rindu(wany hasrita), peace be upon you(maher zain), kalimah cinta(inteam), potret(akim &majistret) dan ditutup dengan lagu Aisyah(projector band). Kemudiannya diselangi dengan sketsa, sedikit tazkirah dan kuiz "moral" sebagai tampalan kepada hiburan yang dipersembahkan. Dan sambutannya, sangat menggalakkan.

Antara penonton-penonton yang hadir.


Sketsa tipikal: Anak derhaka. Secara jujurnya, mereka kurang idea.

Namun yang merunsingkan aku ialah "rohnya". Barangkali aku sudah terlalu tua, atau mereka yang terlalu muda. Aku gagal mengesan "misi dakwah" yang sepatutnya menerajui projek ini. Hingga aku tersedar di penghujung persembahan mereka, penonton hanya beroleh hiburan, bukan pengisian.

Pencarian MC yang perlu diteruskan. Kesian asyik-asyik presiden ANC ni je yang kena kedepan. Sukarnya mahu mencari pengacara majlis yang mampu menyampaikan ilmu dengan unsur kecindannya sekali.


ANC sesi ini, baik-baik sahaja orangnya. Tiada apa-apa masalah besar seprti batch-batch sebelum ini. Dan aku gembira sahaja dengan mereka. Cuma sedikit sahaja kekecewaan aku, apabila melihat ada "jarak" antara mereka dengan orang awam. Jarak bunian itu menyebabkan nasihat dan pengisian tidak berjaya menembusi hati-hati orang awam yang mereka sisihkan. Kehilangan seni dakwah itu, seperti menyarung pakaian "malaikat", hingga sukar manusia-manusia biasa untuk merapati mereka. Natijah yang lebih besar, apabila mereka menyampaikan agama dengan bahasa-bahasa malaikat, pada manusia-manusia yang hanya paham dan menghayati bahasa manusia.

Seni Dakwah.

Dakwah yang tidak disertakan dengan amal oleh pelakunya, memisahkan cantiknya kulit dengan isi yang besar nilainya. Fatimah dan Amie yang aku hormati dulu, menyelit ditengah-tengah lautan manusia untuk memahami mereka. Di mana-mana sahaja program kolej, sama ada dipelopori oleh muslim dan non muslim, senyuman mereka pasti turut menziarahi orang-orang yang menjemput mereka itu. Amal-amal mereka, kecintaan mereka kepada ilmu dan Alquran, juga keindahan akhlak mereka, rindu benar untuk aku menontonnya kembali.

Amie(merah, fatimah(ungu). Waktu ni umur sebaya budak matrik je, tapi nampak aura diorang. Sekarang rasanya dah jadi mak orang. Kebanyakan program yang aku anjur mesti diorang ni menjadi tulang belakangnya sekali. Malah Fatimah yang satu rumah sukan(garnet) dengan aku, pernah join dikir barat mewakili House kami. Menarik.


Undur Diri.

Beberapa minggu ini, aku terlampau sibuk menguruskan hal rumah. Setelah gagal dalam usaha mencari orang rumah, aku rasa sangat baik untuk aku sekurang-kurangnya punya tempat berteduh kepunyaan diri sendiri. Menghitung hari, besar kebarangkaliannya aku akan berpindah keluar dari quarters kolej ketika MEMORI berlansung. Atau lebih selamatnya, sebulan selepas itu.

Pengalaman orang-orang lama di kolej berfirasat, komitmen aku akan pastinya berubah. Tidak sama seperti duduk di dalam. Menyediakan anak-anak itu untuk lebih berdikari, adalah langkah terbaik sebelum aku menjauhkan diri. Malah, tahun ini aku nampak en Saiful selaku penyelaras MEMORI agak bersemangat dan mampu membantu mereka. Cuma aku masih belum bertemu kekuatan mereka. Generasi Gajet dan android ini, nipis sungguh bakatnya, banyak benar cakapnya.

Kurang benar pastinya, adakah doa yang diperlukan kelak perlu ditujukan pada mereka, atau sebenarnya lebih berhak untuk aku.

Berdoalah, itu yang aku perlu dari kalian.
Kerana aku juga sedar, aku tidak lagi menjaga mereka sepertimana aku menjaga kalian.



Sekian dari Syuib0809.

Sunday, 17 September 2017

Dikir Zikir: Gema Aidiladha

Bismillah.

Sekadar catatan akan dikir zikir yang berlansung minggu lepas. Event pertama berbentuk "persembahan+dakwah" yang mereka kelolakan. Adapun aktiviti-aktiviti lain berlansung seperti biasa. sambutan agak memberansangkan. Tak muat grand stand tu. Yang lain-lain secara jujurnya biasa-biasa sahaja.

Persiapan pentas.

Seperti biasa, aku selitkan hiasan-hiasan pentas yang kelak mampu menjadi sumber rujukan junior-junior. Urusan pentas diserahkan pada Fatin Jazmina and team Lajnah dakwahnya. Simple, cantik, cuma kain-kain di belakang agak kurang kemas.

Hiasan pentas kali ini. Aku tak fokuskan lampu kat sini. MCnya si meor yang agak nerd. Hahaha. Kesian budaknya, tak lawak tapi baik.

Lighting.

Sudah berkali-kali nak tulis pasal lighting ni tapi malas sungguh. Aku secara jujurnya sudah memliki lampu mencecah 15 unit. Macam-macam jenis. Led par, flat par, moving head 60, moving head 108 dan lampu tong. Menarik sebenarnya belajar benda2 yang orang tak tau ni. Dan ia juga sebenarnya menguji kreativiti si pengendali. Ada masanya lampu2 ni sesuai letak kat tiang lampu, ada masanya kat palang truss, cuma kali ni aku memilih untuk letak di bawah dan mewarnai dewan. ini hasilnya.

Itu dia. Nampak grand sikit. Letak lampu kat kawasan dewan

Tahun lepas aku banyak fokus lampu-lampu kat pentas. Ni MC2 sem lepas yang hensem, lawak tapi terlebih sangat masuk airnya.

Ni lampu-lampu aku yang dipasang pada palang truss. Kekurangan lampu-lampu ni ialah dia pakai socket yang sangat banyak, penat nak pasang, dan penat jugak nak kemas. Dan harga dia memang mashaAllah jauh lebih mahal berbanding PA system.

PA sistem.

Setiap tahun bertukar pelajar dan tanzim, aku secara jujurnya penat jugak nak ajar budak2 ni. Apatah lagi yang memang takde asas lansung. Oleh itu, aku memilih orang-orang yang rajin, mulut tak bising dan kemas(kot). Maka memilih si muaz dan mus sebagai pengendali PA aku untuk sesi kali ni. Sempena malam dikir zikir ini juga, aku tambah lagi mic cordless bagi jadi 4. Dan tak semena-mena digunakan juga untuk majlis sambutan kemerdekaan kolej.

Malam kemerdekaan kolej. Aku terpaksa pasang 4 cordless mic dan lampu moving head aku untuk sketsa. Nampak sebaya kan? Okeh, tak perlu buat muka menyampah



Kelebihan ANC tahun ini, hubungan mereka dengan Pusat Islam sangat baik dan mengembirakan. Ditambah pula ustaz zrin juga ambik berat benda-benda agama ni selepas menjadi KJPP, dan aku pula dimasukkan dalam pusat Islam. Namun, kelebihan-kelebihan ini tidak memansuhkan sunnah akan sukarnya kerja-kerja agama sebegini. Dan ia juga tidak menjanjikan kerja-kerja mereka ini tenang dan senang sahaja.

 Buat pertama kalinya diorang jemput ustaz ghani untuk event di grand stand. Pembukaan kepada episod2 baik pada masa akan datang InshaAllah.

Sambutan generasi android pada agama yang agak membimbangkan. ANC tahun ini juga berhadapan dengan mas'ul2 yang lembik dan ego, berbekalkan akal mereka yang kurang fasihnya. Lalu tidak pelik, banyaknya nasihat dan amanah lebih suka aku bekalkan pada barisan mas'ullah mereka sahaja. Entah mengapa, lelaki-lelaki mereka kurang sungguh jantannya. Aduih.

Haha. Dua-dua kepala aku buang. Pi lah tengok tangan sorang tu. Marah sikit, dah ugut nak keluar dari ANC. Pantang kena tegur, melenting aje kerja. Generasi sebegini, masuk ke company2 besar, tidak mungkin mampu berdepan dengan tekanan dari majikan. Okeh, besar pulak perut aku.

Doakan sahaja yang baik-baik buat mereka.

Mudah-mudahan penghujung mereka baik-baik belaka.

Malam Dikir zikir ni sebenarnya aku dah demam sungguh dah. Si Iqbal(mas'ul HES) duk bagi panadol ape benda tah sumbat dalm air tu. Dalam banyak2 mas'ul, Si Iqbal nilah yang bagi aku paling "jantan" sekali. Mudah-mudahan tidak berjangkit penyakit2 hati yang pelik pada dirinya.



Sekian dari Syuib0809

Sunday, 10 September 2017

ALC 2017: Pondok Hutan

Bismillah

Selalu Bersama.

ALC kali ini, menerima kunjungan daripada super senior yang sudahpun meninggalkan kolej dan hidup sebagai mahasiswa. Memujuk hati mereka yang sudahpun terlalu lembut, pengorbanan mereka sesuatu yang sungguh menggembirakan. Putus hubungan dengan batch Widad, aku beranggapan perlu ada sesuatu untuk dipertanggungjawapkan kepada batch bawah mereka agar ada sisa2 hubungan yang berbaki untuk dihubungkan kembali.

Barisan fasilitator yang memilih diri mereka sendiri ini, hadir dengan lagu tema buat adik-adik. "Selalu Bersama" yang menjadi retorik semata-mata, hubungan mereka ini tidak mungkin kekal sama selama-lamanya. Cuma besar harapan aku, agar ukhwah yang pernah mereka ikat ketika di kolej dulu  mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun selepas mereka berpisah. Adapun tahun-tahun mendatang, mereka sudah pasti tidak mampu menyayangi rakan-rakan seperjuangan dan guru yang sekadar hadir dalam hidup mereka tidak sampai satu tahun. Dan aku juga perlu berbesar hati untuk menerima bahawa kami tidak mungkin selalu bersama.

Lagu ini, aku bekalkan sebagai "soundtrack" buat mengiringi nukilan kecil kali ini. Entah sesuai atau tidak, hanya hati suci yang mampu menghayati dan memahami.





Pondok Hutan



Sepi di pondok hutan
Tiangnya kayu lantainya papan
Usia muda wajahnya tua
Firasat nujum kerana berduka
Aneh wajahnya selalu ketawa
Entah kah benar penglipurlar
Atau sekadar jadian biasa



Rindu yang bukan mainan

Kerap meneman si pondok hutan

Malam dan siang mengukur senja

Sedangkan bukan tiada manusia

Sekadar menagih cerita setia

Untuk bertemu di pondok tua





Kalian yang dulunya bertatih
Semakin fasih menjadi pelatih
Tahi di muka angkara lalat
Kecil besarnya sentiasa aku ingat
Pencuri masa pencipta dusta
Agar janji  bertemu kota
Agar rindu mengubat jiwa
Agar hati sudi bernyawa


Tutur bahasa yang kalian hiaskan
Aku balas dengan seribu kiasan
Kerana janji kininya menjadi pemanis bibir
Kelak pasti bersulam dalih
Saat si pondok tua di usung rindu
Dimakan anai dalil yang palsu
Semua janji menjadi dongeng
Dan Indahnya khabar berubah menjadi angin




Saat yang bahagia itu
Datangnya pasti sekejap sahaja
Senyuman kekal benarnya di syurga
Tangisan darah ancaman buat ahli neraka
Sketsa Jenaka yang aku tontonkan di pondok tua
Hanyalah dzikiran buat seketika
Agar aku tahu aku sangat menyanyangi
Dan kamu sedar kamu pernah disayangi




Wusta yang sudah jelas berselisih
Menjadi penutup di pondok kecil
Saat anak muda menjadi imamku
Air mata tertumpah bersama titisan wuduk
Entah sedih apa aku dihadapan Tuhan
Barangkali kerana terlalu suka
Atau berharap duka itu dusta
Sedang pertemuan sudah sampai di penghujungnya
Dan tiada lagi janji bersua muka






Alunan sungai dan muziknya
Menjadi hiburan si pondok tua
Bicara unggas, ulat si rama
Berbisik bibit gosip yang sama
Bahawa jasadnya akan disisihkan
Diingat kelak sesaat di kuburan
Kerana benar janji Tuhan
akan penghujung segala pertemuan



Pondok usang yang kembali sepi

Meneruskan hidup seorang diri

Kerana aku adalah pondok hutan

Yang setia bercinta dengan kenangan.
Dan berlipurlara dengan senyuman

Selamat tinggal 
Dari si tua, 
si pondok hutan.





Sekian Dari Syuib0809.

Saturday, 26 August 2017

ALC 2017: Dari Dapur ALC

Bismillah

Kem ALC Kali ni, dibuat dengan bajet yang sungguh sedikit. Kawasan kem yang sudah hampir mencecah RM2000, maka aku sangat perlu berjimat untuk makanan. Bertanya kepada pemilik2 kem, rata-ratanya mintak RM2400 untuk 100 orang. Itupun 6 Kali makan sahaja. Maka aku membuat keputusan untuk masak sendiri sebab aku memang xleh tengok orang datang kem makan cincai2 ni. Teringin nak buat macam kat UK dulu. Masak Dan makan tak ingat akhirat. Dan akhirnya terhasillah ayat-ayat yang xpernah didengari di tempat-tempat kem.

"Mewahnya makanan diorang cikgu..."

"First time saya pi kem makan banyak macam ni cikgu..."

"Cikgu masak banyak sangat.. Tak larat kami nak habiskan..."

Nak tau ape yg mewahnya?

MENU ALC2017


SABTU

Sarapan: nasi lemak+teh o. Tempah kat luar sebelum bertolak.
Minum pagi: Spaghetti bolognese + air teh o ais.
Makan tengah hari: nasi Putih, ayam kari, kepah tomyam, papadom, telur dadar gergasi, ulam+sambal belacan. Buah tembikai. Air bandung

Memang pecah perut diorang. Cuma nasi first batch tak berapa masak dengan baik sebab adeke patut sheikh pi bubuh 10kg dalam satu periuk. Kepah aku jumpa kat pasar merbok murah sangat. Tu yg tetibe tu.

Minum pagi dan makan tengah hari.


Minum petang: sandwich isi ketam+telur dan air teh susu.
Makan malam: Nasi Putih, ayam masak kicap, kobis goreng kunyit dn air strawberri.
Makan tengah malam: burger ayam/daging, air teh panas

AHAD.
Sarapan: bihun goreng+ teh o. Tempah kat makcik kem sebab xlarat nak masak pagi2.
Minum pagi: mee goreng kaki ayam, cempedak goreng(untuk fasi je)+ teh susu buatan sheikh
Makan pagi sesi kedua: roti jem blueberry, strawberries, peanut butter ,kaya dn lain2
Makan tengah hari: Nasi Putih, sambal sotong Dan ayam goreng setengah ekor(bubuh DLM talam)+ air Oren sunquick.

Lepas mandi pekena mi goreng dengan cempedak goreng. Memang perghh. Tetiba aku jadi mengidam nak makan cempedak balik ni

Menariknya lepas aku kira, semua kos-kos makanan ni tak sampai pun RM2300. Murah kan? Tapi penatnya, hanya Allah yang tahu.


Chef Dan team dapur.

Chef utama: ustaz Khadri dan rakan-rakannya
Pembantu Chef: Asmak dan Wahyu serta sheikh
Pembeli barang-barang dapur: Sufi dan Nad
Pembantu Am: Adam Malik dan Hakimi
Aku plak adalah pengurus/penyelaras dapur. Mengurus bajet dan menu, serta pembahagian tugas.

Ustaz khadri and the geng. Ada sorang lagi. Semangat sungguh masak. Tapi menunya asyik berubah-rubah. Tak berani aku nak bagitahu peserta makan apa. Apepun, sedap.

Anak-anak dara. Yang Amani dan budak batch dia banyak fokus pada tugasan fasi dan modul. Si wahyu paling legend. Pi keje kat dapur, basuh pinggan semua pakai jubah. Hipster..

Kerenah Dapur ALC2017..

Sudah biasa bekerja di dapur, maka aku sudah menjangkakan kepenatan yang teramat daripada projek memasak ini. Tetapi anak-anak didik yang baru pertama kali memasak untuk manusia seramai ini, terkejut dengan kepenatan yang mereka alami.

Menyediakan bahan masakan, kupas bawang siang ayam bagai. Kemudian baru pergi kepada proses memasak(nasib baik ada team ustaz khadri). Kemudian menghidang plak. Bersambung dengan mengemas dan mencuci pinggan mangkuk. Proses itu berulang untuk 7 kali juadah makanan yang perlu kami masak sendiri.. Kepenatan yang sudah pernah aku rasai, aku hanya berhenti sebentar pada jam 2.30 petang sebelm menyambung kembali tugas menyediakan sandwich isi ketam untuk minum petangnya. Yang lain semua dah mula nak mengelat macam-macam. Si anak dara dah mula merungut. Lagi-lagi si Sufi(Oklah hari tu dah puji)

Untuk menu malam, kami bertungkus lumus bawak makanan dari tempat kem bawah ke tempat kem atas. Hinggalah sebaik sahaja peserta habis makan, aku tersedar yang ayam masak kicap dah habis dan fasi masih belum makan malam. Ustaz khadri tersilap bajet. Maka aku terpaksa turun ke kem bawah duk goreng ayam sorang2 untuk fasi makan. Manakala pembantu lain sibuk uruskan burger untuk makan malam(supper). .


si sheikh ni senyap-senyap duk hilang pi tiduq kat bilik. Rajin memang rajin, tapi tak berapa nak bertahan lama. Leka sikit je, entah hilang ke mana mamat ni.

Keesokan paginya, aku banyak menghabiskan masa di atas(lembah bujang) sahaja. Meninggalkan sebentar ruang dapur, membiarkan asmak dan ustaz khadri menguruskan apa yang patut. Lagipun menunya agak ringkas. Sebaik sahaja habis mandi-manda di sungai, aku kembali ke dapur melihat apa yang patut. Oleh kerana ustaz khadri and the geng perlu pulang awal, aku kembali menyambung kerja-kerja memasak diorang. Dan tersadailah aku di dapur tu sampai pukul 2.45 petang. Dan paling perit sudah tentulah mengemas. Arghh..

Cuma seronoknya bekerja di dapur ini, boleh bergosip. gulpp.

Anak-anak buah aku ni rupa-rupanya majoritinya pernah bercintan-cintun ketika zaman monyet mereka dahulu. Lawak mendengar kisah masing-masing yang pastinya boleh dimaafkan. Cuma pengalaman mereka itu, membentuk diri dan hati mereka pada hari ini. 

"tak sangka korang semua dah tak suci...kahkahkah" aku menyakat mereka

"Meh sini budak-budak yang pernah dinodai.." normal lah budak-budak hensem dan cantik macam mereka pernah menjadi sebegitu. Muka tak hensem macam aku memang forever alone..

Seronok bekerja di dapur ni, selera makan aku jadi rendah sungguh. Rasa kenyang je perut dek kerana gembira tengok budak-budak ni makan. Jujurnya, aku banyak minum air sahaja hari sabtu tu. Lepas pukul 3 petang tak makan apa-apa, hanya sentuh burger je. Ia sebuah nikmat. Perasaan yang Allah berikan kepada manusia, apabila mereka memaknakan diri dengan memberi.


Sekian dari Syuib0809

Wednesday, 23 August 2017

ALC 2017: ANC Leadership Camp


Bismillah

ANC Leadership Camp akhirnya melabuhkan tirai pada 20hb ogos baru-baru ini. Bagi mengingatinya, aku catatkan 3 posts, yang mana dua laginya akan menyusul kelak inshaAllah.

1) ALC 2017: ANC Leadeship Camp
    Bercerita tentang gambaran ringkas keseluruhan program

2) ALC 2017: Dari dapur ALC
    Cerita pasal menu, kerenah di dapur dan tukang masaknya

3) ALC 2017: Pondok Hutan
    "sajak" bagi menghargai fasi-fasi yang hadir. Dah siap tulis. Akan di post bila diorang masuk universiti minggu depan

ANNUR LEADERSHIP CAMP.

Nama asal program ni ialah annur leadership camp. Terhasil sebaik sahaja aku masuk meeting Pusat Islam buat pertama kalinya. Walaupun ini tahun keempat aku pegang ANC, tetapi aku tak pernah pergi mana-mana kem ANC sebab duk pegang diorang secara haram. Oleh kerana bersimpati dengan batch ANC16/17 yang hanya ber"kem" dalam kolej, maka aku cuba mencadangkan agar ianya dibuat di luar walaupun dalam keadaan kewangan yang sangat terhad. Dan Alhamdulillah, Pusat Islam bersetuju untuk sponsor buat kem sebanyak RM3000. Selebihnya pandai-pandailah sendiri. Dengar kata sebelum ni bajet sampai RM8000. Tapi oleh kerana aku pakar bab2 buat kem bajet rendah ni, maka memang on sungguh la.

DUA TEMPAT, SATU KEM.

Pada asalnya, tempat yang dicadangkan ialah kompleks AnNahdhoh sebab murah dan last2 minit. Tetapi akhirnya terpaksa diubah ke merbok kerana memikirkan kompleks tersebut sangat tidak sesuai untuk berkampung. Maka aku bersama Afiq pergi terus ke merbok untuk survey tempat. Menarik dan gilanya kem kepimpinan kali ini ialah ianya dibuat di dua tempat yang berbeza. Siangnya di Kem Merbok Indah, manakala malamnya di Rimba Kota Resort. Ada sebab yang sangat pelbagai, antaranya kerana masalah penginapan dan tempat masak yang masing-masing berlawanan antara satu sama lain.

Kalau satu ok, satu lagi tak ok. Maka alang-alang ambik jelah dua-dua.


 
Kem Merbok Indah. Aku suka pondok dewan dia yang besar dan feeling habis sebab tepi sungai. Tapi penginapan dia memang mashaAllah sungguh. Tidur atas papan. Maka terpaksalah cari tempat lain nak tidur.


Malamnya berpindah ke sini sebab penginapan dia lebih proper. Ada tilam dan bantal, juga beraircond!. Harga sangat berpatutan. Cuma dewan dia kecik sikit dan nak guna tempat masak kena bayar lain.

 
Jarak antara kedua-dua kem ni lebih kurang 1 km gak la. dan nak pergi sana kena mendaki dan lalu sungai. Best!!

Pengisian dan Modul.

Mendengar berita mengenai kem-kem ANC sebelum ini, aku dengar banyaknya ceramah dan ceramah sahaja. LDK pula adalah perbincangan yang sudah biasa dibuat seperti dalam mana-mana kem kepimpinan sebelum ini. Oleh kerana aku sendiri agak "benci" dengan kem-kem seperti itu, maka aku membuat perubahan yang agak drastik untuk kali ini. Ceramah dua je iaitu daripada Ustaz Ghani dan Ustaz Kaspol. Manakala dua tazkirah ringkas selepas maghrib dan selepas subuh dari ustaz Yaakob dan Ustaz Nasir. Selebihnya? Main dan gaduh!

Team modul kali ini diketuai oleh Afiq ANC 1516 dan dibantu oleh rakan-rakannya. Mahu perbincangan yang lebih mematangkan, Permainan yang memfokuskan kepada Ukhwah dan banyaknya tempat untuk senior dan junior berkongsi antara satu sama lain. Dan sejujurnya, walaupun modulnya nampak simple, suasana yang dibina sangat superb!


LDK berdebat, ANC Yang tak komited: Pujuk atau Lucut!!. Biar diorang sendiri rasa macamna susahnya nak selesaikan masalah diorang.

Aku sebenarnya tak dapat satu pun slot. Sebab memang sibuk dan penat sungguh kat dapur. Ni tengah briefing perjalanan balik dari Lembah Bujang ke Kem Merbok Indah..



Seronok sebenarnya tengok gambar-gambar macamni. Adik-adik ada akak-akak sebagai tempat meluahkan perasaan dan dapat semangat. Tapi korang takleh lawan akak tudung biru yang cun tu.

Lembah Bujang.

Antara sebab lain kami berpindah ke atas adalah kerana banyak aktiviti yang akan dilakukan di tapak arkeologi Lembah Bujang. Selepas mendapat kelulusan dari pihak diorang, kami pun menjalankan aktiviti malam yang agak psyco kepada para peserta. Dan malam tu ada sorang budak histeria. waktu aku datang tengok tetiba dia cakap kat aku:

"cikgu, benda tu ada kat sini, dia ada kat sini..." siot

Esok paginya, para peserta diajak berexplorace di kawasan candi lembah bujang. Aktiviti yang agak santai dan untuk kuatkan Ukhwah semata-mata. Alang-alang bolehlah diorang tengok lembah bujang yang dulunya pernah mtercatat dalam buku-buku sejarah mereka.

Dodgeball. Diorang main macam nak gaduh. Ukhwah pekebendanya

"saya nak dalam modul kalau boleh biar diorang banyak sentuh sesama diorang". ni hasilnya 

Ujian Buat Hati

"cikgu, kenapa tak wajipkan je semua orang pergi. ramai yang tak nak pergi cikgu sebab nak exam..." mesej dari si Aqlina terpapar pada smartphone jenama ZTE aku.

Lama sungguh tidak bekerja kembali dengan Aqlina. Aku melantik dia kembali menjadi AJK tertinggi untuk kem ALC kali ini. Kenangan bersama senior2 maktab mahmudnya menyebabkan aku begitu percaya pada dirinya. ANC yang ahlinya melebihi 100 orang itu sengaja tidak aku wajipkan untuk pergi. Ada perang besar yang perlu mereka hadapi untuk melawan nafsu dalam diri masing-masing. Mereka perlu ditapis. Dan aku merasakan nilai 100 itu terlampau ramai untuk mereka mengenal makna ukhwah.

Hingga akhirnya hanya 67 orang sahaja yang pergi. Jumlah kecil itu tidak sedikitpun menggusarkan aku. Ia tapisan yang terhasil dari diri mereka sendiri. Yang aku menjadi sedih dan terkejutnya apabila Aqlina kembali dengan sms yang sungguh mengecewakan.

"Maaf cikgu. saya tak pergi kem sebab mak ayah saya tak bagi dan saya memang tak nak pergi kem tu cikgu..."

Alasan itu memberi tanda besar yang keluaran maktab-maktab mahmud seperti ini mementingkan diri sendiri. Dan ia menyedarkan aku, yang aku perlu berputus asa dalam mengajar erti dakwah dalam dirinya.

"ajak je sapa-sapa yang bukan ANC tapi rapat dan komited dengan ANC. Orang-orang yang beralasan itu pasti akan ALlah gantikan dengan yang lebih baik..."

67 orang yang hadir itu, pulang dengan senyuman yang menggembirakan hati-hati siapa sahaja yang melihatnya. Ada yang menggagahkan diri walaupun dalam keadaan demam panas. Ada yang Allah uji dengan penyakit serius. Lalu yang hadir adalah hati mereka, bukan jasad-jasad mereka. Adapun mereka-mereka yang teruji dengan penyakit itu, tidak ada marah aku kepada mereka. malah bertambah sayang aku pada mereka tatkala air mata mereka jatuh kerana terlalu ingin untuk bersama.


Lalu, tahniah aku ucapkan buat mereka-mereka yang hadir. Mudah-mudahan bertambah semangat dan kefahaman kalian.

 

Sekian dari Syuib0809

Sunday, 30 July 2017

BBI: Kapitallis Dakwah

Bismillah.

Petang tadi sempat bertemu bekas "budak-budak izuan". Aku rasa ini gelaran baru buat ahli-ahli anc yang rapat dengan aku. Ingatkan sesi ni bertambah tenanglah perjalanannya. Sekali memang lumrah manusia yang duk pilih jalan sebegini, ada sahaja yang perlu disabarkan dalam hatinya. Aku yang sudah semakin lali, membiarkan sahaja ianya berlalu seperti angin. Adapun yang baru bersuai kenal dengan jalan ini, sudah gelisah seperti abang dan kakak mereka sebelum ini.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku, biasanya menjadikan Hamba lebih kuat dan yakin untuk meneruskan perjalanan bertemu Tuhannya. Namun bukan semua latihan-latihan itu berhasil. Ada kalanya ia juga bisa mengecewakan.

Rehlah yang terkubur tanpa penangguh, tamrin yang disambut acuh tak acuh oleh penganjurnya, ajakan yang sering dibalas sepi, pertanyaan serta perbincangan yang disertai minoriti, penyakit itu sudah mula berjangkit pada diri mereka. Ada yang melihatnya bukan penyakit. Ada yang merayu untuk tidak dipanggil dengan gelaran pesakit. Silakan.

KAPITALIS DAKWAH

Aku menulis Kapitalis Dakwah pada tahun 2014, sebelum beroleh kerja di sini, dan sebelum aku mengenali ANC. Ia terhasil apabila aku melihat barisan fasilitator yang hadir untuk program2 "agama" anjuran MUSCOM terdiri daripada muka-muka yang sama saja setiap tahun. Pelik akan orang-orang bijak pandai yang ditarbiyah itu, alasan cerdik sentiasa berzikir pada bibir. Barangkali mereka beranggapan muka sama yang memberi komitmen itu tidak punya pekerjaan seperti mereka, tidak punya hobi seperti mereka, tidak punya anak seperti mereka, tidak punya ibu ayah yang menjadi penghalang mereka.

Dan penyakit-penyakit menyakitkan hati seperti itu sudah mula berjangkit pada bekas "budak-budak izuan" yang pernah ditarbiyah itu. Oleh kerana aku yakin kalian membaca, aku sertakan kembali nasihat ini sebagai wasiat. Mudah-mudahan kalian sedar, yang kalian sedang berpenyakit!!

Bilamana dakwah disulam untuk menaikkan dirimu
Terpanalah kamu dengan pujian manusia
Hingga kamu melakukan yang terbaik 

Namun bilamana kamu terpesona dengan harta dan dunia
Dakwahmu tercabut seperti kemuncup
Kerna penduduk langit tidak mendoakanmu
Yang hanya berfikir untuk diri sendiri

Sedarlah anakku
Bilamana kamu tidak rasa cukup dengan yang sedikit
Maka kamu tidak akan puas dengan harta yang banyak
Yang dicari rohmu ialah keberkatan
Bukan pada kuantiti, tidak juga pada kualiti
Kerana ketenangan lahir dari pemberian Tuhanmu
Bila kamu dekat denganNya
Dan jauh dari bertuhankan hambaNya.

Wahai anakku
Carilah ilmu
Namun jangan kamu pandang rendah insan lain.
Yang kuharap bukan amalan hebatmu
Tetapi istiqamahnya amalan harianmu
Biar manusia di bumi tidak mengenalmu.
Kerna penduduk langit pasti mencintaimu

Nukilan ini dikala dirimu runsing
Walhal kamu sedang memikirkan dirimu sendiri
Kapitalis hadir bila kamu mengabaikan orang lain
Atau kamu lupa Tuhan yang sedang melihatmu
Bertenanglah wahai anakku
Bilamana kamu membantu agamanya.
Maka Allah pasti membantumu


Untuk yang nak tengok versi asal dan penuh boleh baca di sini

Kapitalis dakwah



Beberapa hari lepas si syafiq PDT tiba-tiba mengadu, 

"cikgu, haritu kami satu kelas masuk lambat dalam kuliah miss rara. Tetibe miss rara kata:

"Namanya je ANC, tapi asyik datang lambat je..."

"miss rara memang anti ANC ke cikgu?"

"alahai kamu ni, xde apala miss rara tu. dah memang orang suka attack badan-badan dakwah ni. Tulah sebab hati kena kental. Baru sikit tu..."

Kuman yang menjadi Gajah di depan mata. Sungguh menarik manusia dan isinya yang mengaku berakidah pada Tuhan.



Orang comel-comel pun korang nak takut. Rileks udah

Sekian dari Syuib0809..

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.