Tuesday, 31 May 2016

Buroqstu.

Bismillah.

Menerima kehadiran peneman hidup yang baru. Sekadar catatan kecil supaya mudah dirujuk pada masa akan datang.

Nama Penuh: Buroqstu tanpa Bin
Kad pengenalan: PMN 8377
Keturunan: Honda
Bangsa: Wave Alpha
Tempat Pungut: Lean Huat Motor Sdn Bhd.
Tarikh Pungut: 31 May 2016
Warna Kulit: Merah Hitam.
Destinasi Pertama: Stesyen Minyak Petronas.
Destinasi Kedua.: KMPP
Destinasi Ketiga: Masjid Pongsu Seribu.
Moto Hidup: Takkan Mati di tengah Jalan

Teringat akan Buroqs pertama yang masih di bumi Inggeris. Warna yang sama, mudah-mudahan fungsinya juga sama. Memeriahkan Ramadhan Tahun ini.

Takde mood nak tulis panjang-panjang
Sekian dari Syuib0809

Friday, 27 May 2016

Cebisan minggu pertama.

Bismillah.

Matrikulasi yang sudah mula terbuka. Cuma sayang, pelanggannya masih belum ada. Unit matematik menerima 8 orang penghuni baru, 3 orang daripadanya lelaki dan 2 daripada 5 masih cik. Bilangan lelaki yang bertambah, maka kekosongan 1 tahun setengah akhirnya terisi. Meja kembar aku sudah mula ada penyewanya. Menariknya mengenai si penyewa, beliau adalah pemilik blog "lagunamerbok" yang agak terkenal.

Minggu pertama ini, aku agak sukar untuk melelapkan mata di malam hari. Kul 11.30 masuk bilik, tapi dalam pukul 1 pagi baru boleh terlena. Jadual tidur yang terganggu akibat cuti tiga minggu, aku sedang berusaha memulihkan keadaan. Mencapai Ipad, membelek pdf2 lama yang sudah semakin usang. Terjumpa risalah kecil "Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah" dari Ustaz Fathi Yakin.. Menarik.. Dan aku berjaya tidur akhirnya....



Orang beriman sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.


Tidur-tidur itu, aku asyik bermimpi akan bumi Inggeris. Entah rindu apa yang tersangat. Watak utama yang selalu menghiasi ialah Izwan Nordin. Entah mana ntah dia skrang. Diikuti wajah si Daus Rahim, Cha dan Akmal Amri. Nak cakap tidur tak basuh kaki, satu badan aku dah basuh.

Alhamdulillah kejutan di minggu pertama, cik syak menyampaikan berita yang beliau berjaya menjejaki firdaus Rahim sekeluarga. Naqib kesayangan itu bertugas di Hospital Kepala Batas. 5 minit je dari kolej ni. Dahsyat... Hati yang termakbul doanya.

Hari pertama sesi ni, aku bersemangat menggosak baju kemeja dan seluar hitam yang sudah beminggu tersepuk dalam almari. Tanpa sebarang keraguan, aku menyarungkan ke badan dan terus menuju ke pejabat. Sampai je pintu pejabat, hampir semua orang pandang pelik. Aku buat dek je bila ada sorang ustaz nak menyakat.

Apeke jadah semua orang pakai baju sukan, aku je yang pakai baju kemeja? Siot...

Rupa-rupanya pagi tu ada senamrobik dan gotong royong... Puihh.. Hilang keyakinan aku di pagi hari pertama.

Waktu-waktu macam ni, aku terasa sungguh akan ketiadaan Wawa. Selalunya, dia yg inform macam-macam kat aku. Ditambah pula printer2 unit yang tengah bermasalah, aku selalunya mintak tolong si wawa printkan. Apakan daya, dirinya sudah tiada.

Rasanya, aku perlu pertimbangkan untuk adakan "whatsapp" balik kot. Hehe

Usaha tuan guru dan pasukannya di medan siasah, aku tidak sangka begitu banyak orang yang akan memeranginya. Bekas sekutu yang terbuka kebenciannya. Bekas pimpinan yang terbuka aib akhirnya. Dahsyat benar pertolongan Allah buat orang yang Istiqamah. Sekurang-kurangnya ruang kelabu itu semakin jelas hitam putihnya. Bukan sekadar jelas kafir yang memeranginya, bukan juga hanya terpampang munafik yang membencinya, tetapi Allah tunjukkan juga siapa mukmin yang dengki pada dirinya.

Sekian dari Syuib0809.

Monday, 16 May 2016

Denda & Peduli

Bismillah

Baru-baru ni aku dikejutkan dengan "pengakuan", rupa-rupanya ada seorang pensyarah Matematik kolej kami adalah senior sekolah aku. Walaupun kami dipisahkan dengan jarak 9 tahun, segala persoalan pelik mengenai tingkah lakunya akhirnya terjawap. Jawapan yang hanya budak-budak SEMESTI sahaja yang mampu memahami, sekolah bertradisi itu memang unik. Negatif atau positif, terpulang kepada mata yang melihat. Tak percaya, boleh bezakan contoh mesej-mesej ni.

Ni contoh mesej dari seorang student sekolah biasa.
"Assalamualaikum... Guru, dalam ajarnya ada HARAPAN, dalam tegurnya ada DOA, dalam marahnya ada SAYANG, dalam diamnya ada BIJAKSANA, berbahagialah menjadi seorang guru.. "

Ni contoh dari student ex-SEMESTI
"Assalamualaikum cikgu! Selamat Hari Guru. terima kasih untuk semua ilmu yang dicurahkan selama ni. Aiseh skema bukan(emoticon)..."

Tapi paling ganas macam biasalah, dari Nawal
"selamat hari guru cikgu!masheh ajar maths drpd fail jd B. wahahah."

Tradisi SEMESTI, orientasi, budak rugby, sodorm, buli, kakak angkat, inspection, nama gelaran junior senior yang diwariskan, aku kira ada satu lagi "warisan" yang entah berdosa atau tidak untuk dinukilkan di sini. Gelaran pada guru..

Gaban... (cikgu kamalludin)
Berger... (cikgu azhar)
Senak.... (ustaz Azli)
Pojo.... (cikgu Fauzi)
Bopan... (cikgu daud)
Mappley (pengetua)
Banyak lagi list...

Tapi yang paling aku takut ialah Ustaz Jamatullail (diorg panggil jamat). Aku pernah menyaksikan depan mata bagaimana dia tampar, tendang, flykick, tumbuk student dan macam-macam lagi. Pernah sekali, semua pelajar lelaki main waktu hujan tengah lebat. Lebat yang bahasa mudahnya "haram" untuk keluar bermain. Namun muda-muda, mana pernah mahu ingat tentang mati.. Kami semua teruskan bermain. Tiba-tiba dari jauh, kereta hitam ustaz  menghampiri pagar Aspura(Asrama Putera). Buat pertama kali aku melihat bagaimana semua pelajar lelaki berlari lintang pungkang meninggalkan padang seolah-olah lari dari Tsunami. Bola yang ditendang tidak berkutip. Semua lari menyelamatkan diri... Ketakutan untuk membayangkan bagaimana jika tertangkap.

Namun beliau ada Aura yang sangat menyenangkan....

Memori yang mengubah...

Di SEMESTI, aku bukan budak nerd. Bukan jugak budak nakal. Bukan budak jiwang, bukan juga budak surau. Aku tak pernah kena baca doa kat sekolah, tak pernah masuk tabligh2 bagai, juga jarang jadi imam sebab pelat. Oleh itu, aku bukanlah kegemaran/kenalan para Asatizah. Tambahan kekeliruan di usia pramatang, zikir dan carutan selalu berselang-seli di bibir tanpa makna. Cuma disiplin yang ada sejak kecil, aku sangat mudah bangun subuh. Walaupun berada di Upper Form, aku masih mudah bangun seawal 5.45 pagi, mengalahkan semua junior2 yang sepatutnya masih suci

Disiplin masa itu aku simpan, menyebabkan aku selalu menjadi yang terawal berada di dewan makan setiap pagi. Bukan sahaja di sekolah, malah ketika di KYUEM.

Zaman-zaman muda itu, ayat sebegini sudah menjadi biasa...

" ala janji melayu je tu... Kalo cakap 8.30, pukul 9 la tu mula..."

Di pihak penganjur pula..

" kalo nak start kul 9, kita kena cakap kat diorang berkumpul pukul 8.30 pagi..." itu ayat biasa yang keluar dari mulut pengawas.

Aku seperti benci dengan ucapan itu.. Sebab itu rakan-rakan yang mengenali akan tahu yang aku pasti datang pada masa yang di"sebut" bukan pada masa yang di"jangka". Walaupun kelihatan "bodoh" seperti tertipu, ia disiplin yang akhirnya berjaya aku amal di bumi UK.

Cuma pernah suatu hari, jam aku hilang. Maka, peredaran masa aku kira dan susun hanya di kepala. Sudah siap awal, aku menelefon sebentar mak dengan menggunakan public phone. Perbualan yang tidak pasti lama/tidak, aku seolah pasti yang aku masih punya banyak masa sebelum program motivasi untuk tingkat tiga itu bermula. Sampai di kawasan sekolah, aku masuk ke kelas 3S yang bersebelahan dengan Dewan Besar. Menunggu kawan-kawan lain untuk pergi bersama. Tapi sorang pun tak muncul. Tiba-tiba, beberapa orang rakan satu batch berlari-lari anak ke dewan besar. Jelas ketakutan pada wajahnya. Dan aku pasti, mereka belum mandi.

"eh, pehal ni? Dah mula ke.." aku terus menuju ke Dewan.

Rupa-rupanya program tu sudah 15 minit bermula. Dan ketakutan itu sudah bermula.

Aku dan mereka-mereka yang lambat duduk di kerusi belakang, paling hampir dengan pintu. Ustaz dengan muka yang maha "dahsyat" duduk di belakang kami. Pelajar-pelajar "target" yang sudah menjadi pelanggan utama kerusi-kerusi itu ditatapnya satu per satu. Dari belakang, mereka-mereka itu dicubit, ditumbuk belakang badan, dihantuk kepala dengan penampar, dan aku risau bila giliran aku akan bermula.

Sebaik habis program, semua yang lambat itu diminta tunggu sebentar. Kawalan rapi, tiada satu pun dari kami(termasuk perempuan) berjaya meloloskan diri. Tiada siapa yang berani, kerana natijahnya pasti lebih besar. 20 hingga 30 pelajar itu diminta berdiri dalam satu baris. Tiada siapa yang engkar. Ustaz duduk menyekak pinggang dari atas pentas. Marah yang jelas kelihatan pada wajah, sebotol air berisi separuh penuh dilemparkan kepada pelajar perempuan dari atas. Gadis-gadis itu termasuk diantara yang sangat aku anti di sekolah. Antaranya yang pernah aku nukil dalam Hemsem and the beast.

Ustaz turun dari pentas, dengan segulung kertas keras. Kali ini tiba giliran pelajar lelaki. Kertas keras itu menjadi senjata, dan kepala-kepala menjadi tempat singgahnya. Sebahagian yang sudah biasa, pelempang pula yang menambah perisa. Aku menanti giliran ditengah-tengah barisan yang tersepit. Muka yang seudah berkerut, badan pula dikeraskan sebagai persediaan mengawal kesakitan..

Kertas itu tidak singgah di kepala. Badan aku tidak lansung disentuh. Aku seperti terlepas dengan sengaja. Selepas "selamat" semuanya dikerjakan, ustaz beri amaran dan nasihat. Aku pula seperti bersyukur, kerana aku sangat pasti, semua yang didenda tengah hari itu beroleh hadiah yang tidak diundang.

Pulang ke dorm, aku mengingat kembali apa yang terjadi. Adakah aku terlepas? Sengaja dilepaskan? Ke ustaz tak sanggup.. Menguatkan kepastian, aku bertanya pada rakan "seperjuangan" yang berada dalam barisan tadi. Ternyata tiada satu pun yang terlepas dari penangannya.

Ketika itu aku seperti sedar, rupa-rupanya ustaz bukan marah pada orang yang suka buat salah, bukan juga pada orang yang terbuat salah.. tapi marah pada orang yang tidak pernah berusaha memperbaiki kesalahan yang pernah mereka buat.


Dari Ibnu Abbas radiallahuanhuma : Sesungguhnya Rasulullah saw. bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memaafkan 1 untukku daripada umatku akan perkara yang dilakukan dengan tersilap 2, perkara yang dilakukan dengan terlupa 3 dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya.”

(Hadith hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Baihaqi dan lainnya)
Keganasan ustaz jamat itu, senior aku sekolej itu juga tahu. Malah, kami juga tahu, yang ustaz sudah selalu dikenakan macam-macam atas tindakannya itu. Namun, sehingga kini beliau masih utuh untuk peduli urusan budak-budak asrama. Guru-guru diatas yang diberi gelaran/nama timang-timangan itu itu juga punya banyak kisah dengan kami. Gelaran itu mereka peroleh kerana pedulinya mereka tentang kami. Peduli itu juga, menyebabkan kata-kata nasihat mereka lebih mudah untuk diingati. Marah mereka terlalu ikhlas. Kerana itu dalam ganas-ganas mereka, terzahir yang mereka sangat-sangat sayang.

Maka tidak hairan, setiap kali budak-budak SEMESTI berjumpa kembali, nama-nama ini tidak pernah lekang dari bibir untuk diceritakan. Mereka pencoret kenangan, marah mereka pengukir senyuman di kemudian hari.. Denda mereka menjadi kisah dongengan untuk generasi yang mendatang. Peduli mereka membina si tidak matang untuk menjadi insan.

Dan tidak berlebihan untuk aku katakan, mereka-mereka ini amat disayangi oleh kami semua.

Denda itu bukti besar guru yang peduli
Terutama, pada anak-anak yang sering tidak dipeduli.
Jangan tatkala didenda, baru ibu bapa nak ambil peduli..

Kehilangan guru-guru yang peduli
Bukan kerana tiada sayang
cuma banyaknya terlalu takut untuk ambil peduli.
denda dan peduli yang sering disalah erti.
natijah masyarakat yang sudah semakin tuli..

Selamat Hari Guru buat warden-warden yang kerap disalah ertikan.
Juga buat semua guru yang pernah mendidik.

Dari pendidik yang tidak pernah diraikan di hari guru.

Sebab 16 Mei je mesti matriks cuti...



Sekian dari Syuib0809..

Thursday, 12 May 2016

Orang Kampung: 2 Hari 1 Malam

Bismillah...

Membelek-belek sebuah buku di minggu kedua. Aku secara jujurnya sudah semakin renggang dengan dunia buku. Entah kenapa, saat membelek-belek beberapa post di blog ini, aku terasa kerugian besar tidak meneruskan pengkosian seperti zaman dahulu kala.

Buku terbitan PTS: yang bertajuk  Keagungan Surah Yassin, aku jumpa kat almari rumah. Walaupun sebelum ni aku pernah berkongsi tafsir At-Tibyan surah Yassin dari TG Haji Hadi, buku tebal berwarna merah ini masih berjaya menambah manfaat dalam ilmu yang tidak pernah cukup.

Dua ayat yang menarik perhatian aku:

إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ وَخَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ ۖ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَأَجْرٍ كَرِيمٍ

Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
(Yaa Siin 36:11)

Bukan mudah mencari Ikhlas. Apatah lagi di zaman manusia tidak perlu bersemuka untuk menunjuk-nunjuk. Zaman dunia di hujung jari ini, semua manusia menjadi takut di media massa. Seharian yang dilalui ditontonkan di pelbagai media, sedangkan diri bukan artis. Pendapat yang mencari-cari like, hakikatnya manusia sudah tidak "berani" untuk bersendiri. Kerana kehidupan dunia bergadjet bukan lagi untuk dialog sendiri, tetapi berasbab untuk mencari redha orang-orang yang tidak pasti pintar atau sonsang dalam pemikirannya.

Dua prasyarat besar untuk hati kita sedia menerima "peringatan". Satu, kita kekal taat/bertakwa ketika tiada orang di sisi. Dan kita kekal bertakwa, walaupun sekeliling kita aman, juga saat kita sedang bersenang-lenang tanpa menjadi saksi kepada sebarang malapetaka.

اتَّبِعُوا مَن لَّا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
(Yaa Siin 36:21)

Sudah beberapa kali aku membaca ayat ini, malah aku sendiri pernah suarakan ia di dalam usrah. Namun kali ini, ayat ini benar-benar "makan dalam".. Meneruskan tugas Nabi, barangkali kita juga perlu melakukannya dengan hati yang sama. Tidak mengharap balasan. Tidak salah mengambil upah, namun apabila berlebihan, ia banyak mencipta musuh kepada para Asatizah.

" ustaz ****** tu, kalo nak panggil kene bayar lima ribu... Doalah supaya tak jadi macam tu..." seorang pensyarah menyuarakan kekecewaan dalam sembang-sembang ketika aku menjalankan tugas sebagai Ketua Pengawas PSPM. Secara jujurnya, ustaz tersebut memang tersangat terkenal.

Aku sendiri berdepan dengan seorang penceramah yang agak mengejutkan. Terlihat posternya di sebuah masjid, aku sekadar mahu bersembang.

"Nampak gambar ***** kat masjid tu, memang setiap bulan bagi ke?"

"owh, masjid yang ceramah kat luaq tu ke. Memang selalu bagi. Tapi masjid tu tak pandai hargai ustaz-ustaz.. Depa bagi Rm50 je..." 

Aku dah macam "erk"..

Orang-orang seperti itu mencacatkan imej para Asatizah dan Ulama'. Sedangkan terlampau ramai yang aku jumpa sebenarnys sangat Ikhlas. Mereka berceramah untuk menhidupkan surau dan masjid. Juga menyampaikan fikrah supaya semua orang Islam menyokong perjuangan Islam. Malah, banyak yang menggunakan "imbuhan" berceramah demi mendirikan pusat Tahfiz. Menghabiskan segala pendapatan mereka untuk mengisi perut anak-anak yatim dan meneruskan kelansungan dakwah di Malaysia. Cuma menjadi kebiasaan, wajah majoriti ini selalu dirosakkan oleh setitik Nila yang akhirnya mencipta musuh. Dan musuh-musuh ini yang akhirnya melabel Asatizah/ulama' dengan bermacam-macam gelaran negatif lagi. Ayuh Istighfar...

Minggu kedua ini juga, aku banyak meng"khatam"kan 2D1N musim ke tiga. Dulu musim kedua pernah jenguk2, tapi tak berminat. Namun musim ini agak menarik. Aku tidak pernah malu untuk mengakui aku peminat Variety Show Korea. Kerana aku rasa rancangan mereka agak "islamik" berbanding rancang tv Malaysia yang didominasi oleh orang Islam. Apatah lagi, 2D1N ini ahli-ahlinya semua adalah lelaki. Dan mesej yang dibawakan disebalik gelak ketawa mereka juga sangat-sangat besar. Banyak episod yang mengusik hati dan menyusun kerunsingan akal, namun 3 episod ini yang teringin benar untuk aku kongsikan. Mengalir alir mata melihat "IKHLAS" orang-orang kampung yang tidak beragama. Mudah-mudah yang beragama seperti kita mampu belajar sesuatu..





Sekian dari syuib0809.

Saturday, 7 May 2016

Archery Haji Bakhil

Bismillah.

Sudah mula berkampung di Teluk Intan. Cuti paling panjang bagi kolej kali ni, aku tidak punya sebarang perancangan yang rapi. Untuk minggu pertama, aku cuba mengkhatamkan DOTS yang begitu banyak orang-orang suarakan di alam maya. Memang menarik. Bagaimana cerita patriotik/perang/kerjaya/kemanusian diolah dalam bentuk cinta yang tidak memuntahkan. Aku sendiri percaya cerita ini tidak merosakkan, kecuali pada muda-mudi yang akalnya memang sudah rosak.

Target minggu pertama, aku mahu melengkap projek memanah yang pernah aku bayangkan kepada mereka sebagai penubuhan "Briged alQassam ANC". Aku yang tidak pernah berminat dengan sukan ini, malah aku percaya masyarakat melayu juga masih "awkward" dengan kemahiran memanah jika dibanding dengan bola, badminton, basketball dan tennis. Keseronokan menguruskan benda-benda baru sebegini, aku beroleh keuntungan untuk belajar sesuatu yang baru. Maka, berkongsi ilmu yang cetek ini, harap-harap dapat membantu badan-badan dakwah yang berkeinginan menghidupkan sunnah Nabi ni.

Cuma amaran keras, archery/memanah yang dikongsikan di sini hanya untuk beginner dan amatur sahaja. Yang nak masuk pertandingan, olimpik dan sebagainya sangat-sangat tidak patut membacanya.

Busur/Bow

Benda paling utama dalam sukan ini sudah tentulah busur memamanah. Aku secara jujurnya hairan kenapa jarang benar tengok sukan memanah kat dalam kolej. Sesi 2015/16, dua kali orang luar dipanggil untuk ajar memanah ni kat students. First, time memori, second waktu minggu sains. Paradigma aku bermonolog, mungkin memanah ni kena ada lesen kot. Sebab merbahaya.. Tapi rupa-rupanya tidak. Semua orang boleh main dengan aman melainkan untuk berburu dan bow yg profesional.

Untuk beginner, set bow pertama yang aku jumpa berharga rm260. Aku ingatkan inilah yang paling murah. Survey punya survey, akhirnya aku jumpa yang rm160 punya. Menyerahkan urusan pada Luqman dan Hazli yang lebih punya pengalaman, mereka akhirnya memilih Bow Jati Arrouha yang dibuat dari Fiberglass. Sangat ringan dan tidak banyak makan ruang. Cantik pun cantik. Diorang beli 7 batang, yang mana 5 daripadanya adalah untuk ANC. RM160x7, kiralah sendiri...

Beberapa sesi "shooting" di penghujung sem 15/16, aku melihat 5 busur itu agak menyesakkan. Maka pencarian diteruskan dengan budget sendiri. Aku jumpa busur yang dibuat dari PVC di mudah.my berharga rm70. Aku ambik 3 dan sampai selepas dua minggu. Harga yang sangat berbeza, busur ini lebih berat, kurang kemas dan agak besar. Yang sedikit mengecawakan aku, tali yang diberi adalah tali kasut yang agak besar dan kurang sesuai dengan arrow. Akhirnya, aku terpaksa mencari tali dacron 48" yang bernilai RM25. Aku pun tak tahu ape pasal mahal sangat tali ni, padahal tak smpai dua meter pun. So, total untuk kos busur PVC ni ialah RM95. Overall ok je, sebab sukan memanah ni bukan  pertandingan busur tercantik pun.

 Yang warna merah arrow fiberglas arrouha. Warna hitam tu PVC. Tali putih tu tali paracord yg tak sesuai untuk busur. So, kenalah tukar tali dacron. Jarak shoot dalam 50 meter je. Nak jauh sikit cari coumpound atau recurve. Ni amatur.


Arrow.

Untuk anak panah pula, hazli dan luqman beli 36 fiberglass arrow yang setiap satunya berharga Rm10. Mereka yang baru berjinak-jinak, pasti akan nampak pelik, takkanlah smpai rm10 satu batang. Yang mainan punya 10 ringgit pun leh dapat 5-6 batang. Sedangkan fiberglass adalah jenis yang paling murah, kalau buluh dalam rm20-23 sebatang, dan karbon lebih mahal lagi.Selaku "haji bakhil", aku berusaha mencari arrow yang sama dengan harga murah tanpa menggunakan trivago. akhirnya jumpa gak satu kedai kat teluk intan yang jual rm8 sebatang dengan standard panjang 31". Aku rembat 25 batang, yang mana 5 adalah untuk ANC. Arrow ni kena banyak-banyak, sebab lepas shoot nak kena kutip balik. Takkan shoot 5, nak teruih kutip. Penat nak jalan. Dan arrow ni agak mudah rosak lagi-lagi bila terkena batu.

Aku pilih arrow ungu putih dan hijau putih. Warna Oren untuk ANC sebab sebelum ni diorang dah beli warna merah. Paling mudah tercabut ialah Nock arrow yg kat hujung tu. So, silalah pilih yang senang nak cari bila jatuh. Dan bekas isi arrow pun jangan lepas pandang. orang profesional panggil Quiver(RM50-200). Aku plak gune plan holder/tube mcm dalam gambar yang tak sampai pun rm20. hehe.


Target.

Lepas beli busur dan anak panah, aku ingatkan dah settle. Rupa-rupanya ada beberapa perkara lagi yang perlu disettlekan. Pada awal percubaan dengan muslimat ANC, kami hanya letak kotak untuk ditarget. Agak comot dan tidak menguji kemahiran dengan baik. Maka, kami memikirkan cara kedua untuk menjimatkan kos. Mencari span-span dikedai perabot yang barangkali boleh digunakan semula. Dapat satu guni, tapi pelbagai masalah lagi muncul. Untuk pengetahuan, target sahaja terdiri daripada tiga komponen, pertama dia punya stand. Kedua bahan papan target(foam/polisterin/kayu lembut/span) dan yang ketiga ialah target paper.

Aku survey stand je pun dan dekat rm100 satu set. Foam yang dah siap 60x60cm pun sama, rm80 satu. Kalo yang kosong pe foam rm180 untuk saiz 1mx2m dengan tebal 5 cm. Aku dah macam, apehal mahal sokmo, bukan ke benda ni akan dirobek2 dan dimusnahkan. Sayang pulak rasa. Survey plak kat kedai perabut, span perabut 3x6 kaki, rm90. Kirenya boleh potong tiga. Tapi si Hazli takut arrow tak tembus sebab nampak kenyal span tu. Akhirnya aku memusing-musing teluk intan dan terjumpa polisterin setebal 4 inch dengan saiz 0.6mx1.5m yang berharga RM14. Boleh potong dua untuk setiap set. Cuma kekurangan polisterin ialah ia cepat hancur, dan akan keluarkan banyak "habuk putih" bila cabut arrow. So, balutlah dengan wrap dulu sebelum tembak.

Untuk stand, aku membuat keputusan untuk menggunakan easel atau tripod lukisan je. Survey easel tripod kat seberang jaya rm88, online dalam rm50 termasuk post. Pusing teluk intan, akhirnya jumpa Rm39.00 yang agak tinggi la gak. Sangat-sangat berbaloi.


Ni target face yang aku beli. Tripod Easel yang digunakan boleh mencapat tingi 1.5 meter. Boleh tengok comparison dengan adik aku. Dan easel ni pun tak mudah jatuh.

Untuk target face, murah je. Rm9 dah boleh dapat 60x60cm. Tapi aku cdg nak print banner supaya tahan lama sikit. RM40 boleh dapat 3 Target face. So total untuk target aku

rm39(easel)+rm7(polisterin)+rm14(canvas target)= rm60

Compare versi sepatutnya:

Rm80(stand kayu)+Rm80(PE foam)+rm9(target paper)=rm169

Bakhil bun bakhil la yop. Benda nak buang je pun.

Pencarian fizikal yang sudah berakhir, aku harap projek baru ni boleh diuruskan oleh badan dakwah untuk sesi akan datang. Tak sabar nak tengok bakat dan perangai orang-orang dakwah yang akan datang. Untuk minggu kedua cuti, aku bercadang menyiapkan beberapa kertas cadangan untuk program-program sesi akan datang. Sudah ada 6 datang kepala. Tengoklah berjaya tak diuruskan.

Antara yang baru:

Weekend With Sunnah
ANC Booksale.
Air Mata Syria: Lupa Aleppo
Dikir Zikir 1.0: Mari Dengar ANC Bercerita

Nak tak nak ia banyak bergantung kepada mereka-meraka yang akan datang. Pencarian Fizikal seterusnya ialah mencari TV atau LED Display supaya senang nak sampaikan apa-apa mesej/program/tazkirah dekat surau. Aku berhajat agar surau itu menjadi tempat  pelajar-pelajar bergantung untuk mendapatkan maklumat terkini. Surau sebagai pusat kepada segala-galanya. Terkesan dengan pengisian Ustaz Hariyanto kat AlKuliyyah semalam. Paradigma orang surau/masjid yang sangat-sangat perlu diubah.

Terima kasih kepada mak Syuib0809 yang sudi menyumbang stand bracket untuk TV tersebut.

Sekian dari Syuib0809.


Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.