Baru-baru ni aku dikejutkan dengan "pengakuan", rupa-rupanya ada seorang pensyarah Matematik kolej kami adalah senior sekolah aku. Walaupun kami dipisahkan dengan jarak 9 tahun, segala persoalan pelik mengenai tingkah lakunya akhirnya terjawap. Jawapan yang hanya budak-budak SEMESTI sahaja yang mampu memahami, sekolah bertradisi itu memang unik. Negatif atau positif, terpulang kepada mata yang melihat. Tak percaya, boleh bezakan contoh mesej-mesej ni.
Ni contoh mesej dari seorang student sekolah biasa.
"Assalamualaikum... Guru, dalam ajarnya ada HARAPAN, dalam tegurnya ada DOA, dalam marahnya ada SAYANG, dalam diamnya ada BIJAKSANA, berbahagialah menjadi seorang guru.. "
Ni contoh dari student ex-SEMESTI
"Assalamualaikum cikgu! Selamat Hari Guru. terima kasih untuk semua ilmu yang dicurahkan selama ni. Aiseh skema bukan(emoticon)..."
Tapi paling ganas macam biasalah, dari Nawal
"selamat hari guru cikgu!masheh ajar maths drpd fail jd B. wahahah."
Tradisi SEMESTI, orientasi, budak rugby, sodorm, buli, kakak angkat, inspection, nama gelaran junior senior yang diwariskan, aku kira ada satu lagi "warisan" yang entah berdosa atau tidak untuk dinukilkan di sini. Gelaran pada guru..
Gaban... (cikgu kamalludin)
Berger... (cikgu azhar)
Senak.... (ustaz Azli)
Pojo.... (cikgu Fauzi)
Bopan... (cikgu daud)
Mappley (pengetua)
Banyak lagi list...
Tapi yang paling aku takut ialah Ustaz Jamatullail (diorg panggil jamat). Aku pernah menyaksikan depan mata bagaimana dia tampar, tendang, flykick, tumbuk student dan macam-macam lagi. Pernah sekali, semua pelajar lelaki main waktu hujan tengah lebat. Lebat yang bahasa mudahnya "haram" untuk keluar bermain. Namun muda-muda, mana pernah mahu ingat tentang mati.. Kami semua teruskan bermain. Tiba-tiba dari jauh, kereta hitam ustaz menghampiri pagar Aspura(Asrama Putera). Buat pertama kali aku melihat bagaimana semua pelajar lelaki berlari lintang pungkang meninggalkan padang seolah-olah lari dari Tsunami. Bola yang ditendang tidak berkutip. Semua lari menyelamatkan diri... Ketakutan untuk membayangkan bagaimana jika tertangkap.
Namun beliau ada Aura yang sangat menyenangkan....
Memori yang mengubah...
Di SEMESTI, aku bukan budak nerd. Bukan jugak budak nakal. Bukan budak jiwang, bukan juga budak surau. Aku tak pernah kena baca doa kat sekolah, tak pernah masuk tabligh2 bagai, juga jarang jadi imam sebab pelat. Oleh itu, aku bukanlah kegemaran/kenalan para Asatizah. Tambahan kekeliruan di usia pramatang, zikir dan carutan selalu berselang-seli di bibir tanpa makna. Cuma disiplin yang ada sejak kecil, aku sangat mudah bangun subuh. Walaupun berada di Upper Form, aku masih mudah bangun seawal 5.45 pagi, mengalahkan semua junior2 yang sepatutnya masih suci
Disiplin masa itu aku simpan, menyebabkan aku selalu menjadi yang terawal berada di dewan makan setiap pagi. Bukan sahaja di sekolah, malah ketika di KYUEM.
Zaman-zaman muda itu, ayat sebegini sudah menjadi biasa...
" ala janji melayu je tu... Kalo cakap 8.30, pukul 9 la tu mula..."
Di pihak penganjur pula..
" kalo nak start kul 9, kita kena cakap kat diorang berkumpul pukul 8.30 pagi..." itu ayat biasa yang keluar dari mulut pengawas.
Aku seperti benci dengan ucapan itu.. Sebab itu rakan-rakan yang mengenali akan tahu yang aku pasti datang pada masa yang di"sebut" bukan pada masa yang di"jangka". Walaupun kelihatan "bodoh" seperti tertipu, ia disiplin yang akhirnya berjaya aku amal di bumi UK.
Cuma pernah suatu hari, jam aku hilang. Maka, peredaran masa aku kira dan susun hanya di kepala. Sudah siap awal, aku menelefon sebentar mak dengan menggunakan public phone. Perbualan yang tidak pasti lama/tidak, aku seolah pasti yang aku masih punya banyak masa sebelum program motivasi untuk tingkat tiga itu bermula. Sampai di kawasan sekolah, aku masuk ke kelas 3S yang bersebelahan dengan Dewan Besar. Menunggu kawan-kawan lain untuk pergi bersama. Tapi sorang pun tak muncul. Tiba-tiba, beberapa orang rakan satu batch berlari-lari anak ke dewan besar. Jelas ketakutan pada wajahnya. Dan aku pasti, mereka belum mandi.
"eh, pehal ni? Dah mula ke.." aku terus menuju ke Dewan.
Rupa-rupanya program tu sudah 15 minit bermula. Dan ketakutan itu sudah bermula.
Aku dan mereka-mereka yang lambat duduk di kerusi belakang, paling hampir dengan pintu. Ustaz dengan muka yang maha "dahsyat" duduk di belakang kami. Pelajar-pelajar "target" yang sudah menjadi pelanggan utama kerusi-kerusi itu ditatapnya satu per satu. Dari belakang, mereka-mereka itu dicubit, ditumbuk belakang badan, dihantuk kepala dengan penampar, dan aku risau bila giliran aku akan bermula.
Sebaik habis program, semua yang lambat itu diminta tunggu sebentar. Kawalan rapi, tiada satu pun dari kami(termasuk perempuan) berjaya meloloskan diri. Tiada siapa yang berani, kerana natijahnya pasti lebih besar. 20 hingga 30 pelajar itu diminta berdiri dalam satu baris. Tiada siapa yang engkar. Ustaz duduk menyekak pinggang dari atas pentas. Marah yang jelas kelihatan pada wajah, sebotol air berisi separuh penuh dilemparkan kepada pelajar perempuan dari atas. Gadis-gadis itu termasuk diantara yang sangat aku anti di sekolah. Antaranya yang pernah aku nukil dalam Hemsem and the beast.
Ustaz turun dari pentas, dengan segulung kertas keras. Kali ini tiba giliran pelajar lelaki. Kertas keras itu menjadi senjata, dan kepala-kepala menjadi tempat singgahnya. Sebahagian yang sudah biasa, pelempang pula yang menambah perisa. Aku menanti giliran ditengah-tengah barisan yang tersepit. Muka yang seudah berkerut, badan pula dikeraskan sebagai persediaan mengawal kesakitan..
Kertas itu tidak singgah di kepala. Badan aku tidak lansung disentuh. Aku seperti terlepas dengan sengaja. Selepas "selamat" semuanya dikerjakan, ustaz beri amaran dan nasihat. Aku pula seperti bersyukur, kerana aku sangat pasti, semua yang didenda tengah hari itu beroleh hadiah yang tidak diundang.
Pulang ke dorm, aku mengingat kembali apa yang terjadi. Adakah aku terlepas? Sengaja dilepaskan? Ke ustaz tak sanggup.. Menguatkan kepastian, aku bertanya pada rakan "seperjuangan" yang berada dalam barisan tadi. Ternyata tiada satu pun yang terlepas dari penangannya.
Ketika itu aku seperti sedar, rupa-rupanya ustaz bukan marah pada orang yang suka buat salah, bukan juga pada orang yang terbuat salah.. tapi marah pada orang yang tidak pernah berusaha memperbaiki kesalahan yang pernah mereka buat.
Dari Ibnu Abbas radiallahuanhuma : Sesungguhnya Rasulullah saw. bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah memaafkan 1 untukku daripada umatku akan perkara yang dilakukan dengan tersilap 2, perkara yang dilakukan dengan terlupa 3 dan perkara yang mereka dipaksa melakukannya.”
(Hadith hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Baihaqi dan lainnya)
Keganasan ustaz jamat itu, senior aku sekolej itu juga tahu. Malah, kami juga tahu, yang ustaz sudah selalu dikenakan macam-macam atas tindakannya itu. Namun, sehingga kini beliau masih utuh untuk peduli urusan budak-budak asrama. Guru-guru diatas yang diberi gelaran/nama timang-timangan itu itu juga punya banyak kisah dengan kami. Gelaran itu mereka peroleh kerana pedulinya mereka tentang kami. Peduli itu juga, menyebabkan kata-kata nasihat mereka lebih mudah untuk diingati. Marah mereka terlalu ikhlas. Kerana itu dalam ganas-ganas mereka, terzahir yang mereka sangat-sangat sayang.Maka tidak hairan, setiap kali budak-budak SEMESTI berjumpa kembali, nama-nama ini tidak pernah lekang dari bibir untuk diceritakan. Mereka pencoret kenangan, marah mereka pengukir senyuman di kemudian hari.. Denda mereka menjadi kisah dongengan untuk generasi yang mendatang. Peduli mereka membina si tidak matang untuk menjadi insan.
Dan tidak berlebihan untuk aku katakan, mereka-mereka ini amat disayangi oleh kami semua.
Denda itu bukti besar guru yang peduli
Terutama, pada anak-anak yang sering tidak dipeduli.
Jangan tatkala didenda, baru ibu bapa nak ambil peduli..
Kehilangan guru-guru yang peduli
Bukan kerana tiada sayang
cuma banyaknya terlalu takut untuk ambil peduli.
denda dan peduli yang sering disalah erti.
natijah masyarakat yang sudah semakin tuli..
Selamat Hari Guru buat warden-warden yang kerap disalah ertikan.
Juga buat semua guru yang pernah mendidik.
Dari pendidik yang tidak pernah diraikan di hari guru.
Sebab 16 Mei je mesti matriks cuti...
Sekian dari Syuib0809..
Haha.....selamat hari guru cikgu...terima kasih sbb ajarkan saya math...cg klu nk dismbut tukrlah mngjr di sklh mngh...konfem meriah...haha
ReplyDeletemane ade ganas mesej tu . grrrr
ReplyDeletei like this post...
ReplyDelete