Friday, 15 June 2018

Kontraktor Ramadhan

Bismillah..

Ramadhan tahun ini, aku meneruskan projek berbuka puasa sendirian berhad yang sudahpaun masuk kali ke 4. Kali pertama aku merintisnya, hidangan yang mampu diberikan hanyalah air manis sejuk dan buah-buahan sahaja. Kali kedua, kehadiran kuih muih dan makanan ringan mengiringi iftar jamaei tersebut sebagai satu rahmat penambahbaikan. Cuma dua tahun pertama itu dugaannya berat kerana aku berseorangan dan di"tentang" hebat oleh orang lama dari pusat Islam. Cuma senyuman anak-anak yang hadir itu menyuntik semangat agar ianya tetap diteruskan walaupun dengan bajet yang sifar.

Kepayahan dulu-dulu itu akhirnya membuahkan hasil. Tahun ini, setiap hari kami menyediakan juadah nasi berlauk dan kuih muih. Banyak masanya, menu berat itu turut disertai lauk tambahan lain yang entah hadir dari mana. Keseronokan kali ini juga, mereka yang mahu menyumbang sudah tidak segan silu menghulurkan terus kepada aku. Tiada sangsi, dan tiada takut lagi. Malah pusat Islam dan pentadbiran kolej sendiri meraikan usaha yang tiada kertas kerja ini. Ia rahmat, dari Tuhan kepada makhluk yang benar-benar bergantung padanya.





Kemewahan limpahan rezeki tahun ini, hampir setiap hari menu yang dicoretkan ialah ayam golek, ayam percik, ayam goreng ala2 kfc dan macam-macam lagi. Jika punya banyak masa dan tenaga, aku dan anak-anak buah ANC akan memasak sendiri. Peralatan dapur yang dibeli sikit demi sikit itu akhirnya sudah mampu menampung jumlah jemaah yang ramai. Kami bermula dengan 250 orang, kemudian 350 orang dan untuk minggu terakhir mencecah 500 orang. Menambah rencah bayangan kemewahan, kami menutup program ihya ramadhan ini dengan moreh Pizza Hut dan juga satay untuk 800 orang(100 kotak). Gulpp.. Dan terima kasih pada ex2 student yang banyak membantu. Hingga beban yang ditanggung seorang diri itu sudah semakin ringan hasil membuli mereka.

Tukang masak dan tukang rasa. Censored sebab muka tak siap. Budak2 ni muka pakai bedak, muka dalam kamera dn muka depan2 memang lain.

Kontraktor.

Ramadhan kali ini juga, aku disibukkan dengan proses pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah. Setiap kali pulang dari bazar ramadhan, akan singgah rumah untuk lihat apa yang kontraktor dah buat dan membersihkan apa yang patut. Cuma jika proses menyediakan juadah berbuka itu mengambil masa yang lebih lama berbanding biasa, aku akan pergi check rumah tersebut sebelum solat isyak. Ataupun sebaik sahaja habis solat terawikh.

Kontraktor yang aku upah ada 4 kumpulan. Yang pertama namanya Wazer Bina ent. Awal-awal nampak macam punctual habis. So, aku berikan kepercayaan untuk dia buat kabinet dapur, tukar tiles tandas dan plaster ceiling. Awal-awal nampak smooths je. Lepas bagi duit 85%, diorang mula pindah untuk fokus projek customer lain. Nak mintak tolong benda kecik2, memang tak berapa nak buat. Sampailah dinding rumah aku bocor sebab diorang terlupa nak tutup atap genting balik, aku dah mula mengamuk. Paip pulak patah air bocor kat tandas dan sinki. Mintak diorang repair, mula duk kata bukan salah diorang la, diorg tak usik dan bla3 lagi. Sampailah aku ugut, barulah kelam kabut datang baiki. Sejujurnya diorang sebenarnya ok je, tapi sebab tamak habis semua jadi kacau bilau. Ooh, ni company melayu.



Kontraktor kedua, aku upah geng bangla yang kerja kat kedai hardware. Awal-awal mintak tolong pasangkan pagar dawai keliling rumah. Kemudian oleh kerana diorang kerja agak bagus dan upah murah, aku bagi diorang tukar semua frame pintu dan juga mintak diorang extend bahagian dapur rumah. Cuma diorang sudah ada kerja tetap di kedai hardware tu. So dapat datang buat rumah lepas habis kerja, takpun hujung minggu je. Tapi rajin diorang memang mashaAllah, kadang-kadang sampai 11 malam baru stop kerja. Dan diorang orang Islam, cuma kadang-kadang kantoi tak puasa. "Abang, banyak penatlah abang. Ini hari tak pusaha(puasa)"



Ketiga, aku panggil pak kordi. Orang indonesia yang sudah menetap lama di Malaysia. Umur lebih kurang bapak aku. Bagi pada dia untuk baiki atap, dan juga plaster siling bilik dan dapur yang telah rosak akibat kecuaian Wazer Bina. Dia punya rajin memang superb. Aku mintak tolong sikit je, macam-macam dia buat sampailah kepada membaiki flush2 jamban bagai. Cuma dalam masa yang sama aku kesian sungguh tengok kudrat dia, so tak berani nak bagi kerja berat-berat kat dia. Tapi memang recommended.

Sebab utama aku beli rumah "lama" ni.

Kontraktor keempat, orang melayu botak kimpalan besi. Mintak dia buat penghadang besi beserta pintu untuk belakang rumah. Sampai sekarang tak pasang-pasang lagi. Dia punya kutuk orang bangla bukan main lagi. Dia dan kontraktor pertama, wazer bina itu adalah penyebab kenapa aku fobia pada kaum sendiri.

Rumah aku sudah 95% siap. InshaAllah minggu depan dah nak masuk perabut sikit-sikit. Doakanlah semoga segalanya berjalan lancar. Nak buat open house, takde orang nak memasak dan nak melayan.

Apepun, selamat Hari Raya


Sekian dari Syuib0809

Sunday, 27 May 2018

Bunga Merah Putih

Bismillah

Sedih dan kecewa
Datang bukan untuk menyakiti
Jauh sekali dengan niat mengubati
Sekadar ingatan empunya diri
Agar terpujuk sekeping hati

Cantik benar dunia ini
Kerana ada engkau dan aku
Sebelum kenal menjadi asing
Sebaik senyum menjadi saing
Cuma asingnya terlalu lama
Sedang saingnya sedetik sahaja



Tiba kuntuman si merah putih
Seakan faham dan mengerti
Akan pertemuan yang sampai juga akhirnya
Lalu hidupnya menjadi kenangan
Walau hanya untuk seketika
Kerana gembira resam sementara
Sedang duka sangat panjang masanya

 

Wahai bunga si merah putih
Setiap musim aku menantimu
Walau biasa di mata manusia
Engkau di hatiku tersangat istimewa
Penanda neraca penutup cerita
Picisan hikayat pembuka bicara


Duhai bunga
Mekarlah untuk sehari lagi
Sungguh, aku belum puas melihatmu
Gugur engkau mengguris hati
Kerana bibir belum habis tersenyum
Merai sahabat yang kerap menyukakan
Membuang dunia yang sering melukakan


Merah putih yang mekar sehari
Esok hari jatuh ke tanah
Tidak terkutip dan tidak diendah
Sebaik manapun hatiku dan hatimu
Masih belum berpahala untuk memungutnya
Mirip kenangan yang aku lakarkan
Esok hilang tiada siapa peduli




Janji rahsia kita berdua
Mentafsir lupa umpama dosa
Sedang engkau akan tiada
Hanya bicara yang kekal ada
Itupun bukan pada suara
Cukup tulisan di hujung kaca




Bunga itu pergi jua
Walau puas aku memujuknya
Mahu menahan tiada rasa
Kerana yang mula,
Sudah sampai hujungnya
Siapa aku, kau akan lupa
Hanya teringat buat seketika
Pabila kaca menyampai cerita
Akan tanah yang disiram bunga
Berbatu putih tertulis nama

Selamat tinggal sang bunga
Seketika, dan selama-lamanya


Sekian dari Syuib0809

Friday, 11 May 2018

Politik Hijau Putih

Bismillah.

Jarang benar diri menulis mengenai politik. Mengenangkan kegagalan diri menceburi bidang baitulmuslim, maka terasa benar tidak layaknya berbicara mengenai seni politik. Ia ilmu yang sangat sukar difahami. Hingga umat islam berbunuhan kerananya, malah syiah dan sunni itu juga terbelah asalnya kerana politik, sebelum kekal menjadi fahaman akidah.

Tahun 2013, pra PRU13, aku hadir ke program bersama pimpinan jemaah. Entah bagaimana boleh memberanikan diri, aku berdiri untuk menanyakan satu soalan yang menjadi bahan ketawa:

" pimpinan ada terfikirkah cara lain untuk mengambil alih pentadbiran selain dari menyertai pilihanraya?. Bukan apa, ana geram.. Sebab kalau nak berharap pada undian banyak sahaja, sampai bila pun takkan dapat sebab adat berjuang islam, mesti ramai orang tak suka.."

Soalan itu hadir kerana aku terlalu sedar akan masyarakat yang sudah tidak berminat dengan agama. Apatah lagi sebaik sahaja menceburi bidang pendidikan, aku melihat anak muda lebih berminat akan hiburan berbanding menghiburkan diri di surau. Kalau dulu, melihat adegan bercium di tv itu sesuatu yang janggal dan memalukan. Tapi hari ini ia sangat biasa. Malah jika adegan itu ditapis, anak muda yang punya bin dan binti itu akan mempersoalkan dengan sinis... "Relakslah, bukan ada apa pun. Takkan itu pun nak censored"

Mengajar di matrikulasi, aku sendiri selalu menyaksikan akan saf di surau yang tidak pernah penuh dua saf. Sedangkan ketika orientasi/MPPB, tak muat surau itu untuk menampung bilangan jemaah yang ada. Tetapi apabila berjalan program2 joget, nyanyian, senamrobik dan program hiburan yang lain, dewan itu penuh tanpa sedikit pun paksaan. Maka mahu bergantung pada kuantiti, sudah pasti ia sesuatu yang sangat mengaibkan bagi jemaah islam. Kerana sejak lahirnya manusia, yang minat berTuhan itu sentiasa sedikit. Malah jujurnya, anak-anak yang berkecimpung di dalam badan dakwah itu juga selalu dipandang "asing" oleh manusia sekeliling.

Oh lupa plak, aku tidak beroleh jawapan dalam program bersama pimpinan itu, kerana pimpinan tersebut hanyalah orang2 diperingkat bawahan(pemuda/universiti) sahaja.

Hijau Putih.

Apabila berlaku perpecahan yang sangat dahsyat pada tahun 2015, aku menyaksikan perkara yang sangat menyedihkan dalam jemaah. Rakan usrah, naqib, murabbi dan ramai senior yang aku hormati berpindah ke kapal baru bewarna oren. Mereka-mereka ini adalah orang bijak pandai yang sentiasa punya hujah di mulut. Cuma yang menyedihkan, mereka pergi membawa perasaan benci dan tidak puas hati yang sangat tnggi pada kapal lama bewarna hijau putih. Dan paling aku sedihkan, apabila melihat masing-masing keciciran adab seperti tidak pernah melalui proses tarbiyah.

Entah hati mana yang tidak terkilan, apabila sahabat berlaga pipi, makan setalam bersama, tidur bersama, berjaulah dan bertamrin sekali, tiba-tiba menjadi orang asing yang menyerang seperti musuh. Bahasa yang memalukan. Yang keluar dari mulut mereka adalah idea2 hebat yang mereka mahu jemaah laksanakan, sedangkan empunya diri tidak pernah mahu terjun ke medan sebenar. Dan kerana itu, aku menghadkan muka buku aku pada sahabat2 yang kerap turun ke medan, berbanding yang murai mulutnya dengan idea dimuka buku semata-mata. Belum dilihat lagi hinaan mereka kepada Tuan Guru, seolah-olah mereka lebih sempurna. Sedangkan bangun subuh pun, loceng yang kejutkan.

Masuk pula ke matrikulasi menyaksikan anak-anak muda yang penuh angan-angan dan impian, ia satu pengalaman yang sangat menarik. Mereka punya idea dan ego setinggi gunung. Manusia gemuk berwajah kampung seperti aku, mudah benar untuk dibodohkan. Kerana itu apabila mereka mempertahankan idea mereka, aku sangat suka membiarkan mereka sendiri merealisasikannya. Malas mahu berbalah. Kerana aku di mata mereka hanya si tua gemok yang bodoh. Menariknya selepas itu ialah tatkala menyaksikan betapa mudahnya mereka mengalah. Cuma yang lebih menarik, apabila mereka melarikan diri dengan idea yang pernah dipertahankan, tetapi gagal direalisasikan
oleh diri masing-masing.

King Maker.

Tuan Guru yang aku kagumi itu, biasanya lebih kerap dipandang rendah dan dihina manusia. Bagi anak muda yang modern dan maju kehadapan, imej dan idea Tuan Guru seperti tidak sedikit pun boleh dikagumkan. Ego mereka dengan idea masing-masing yang terasa hebat, menyebabkan mereka memandang rendah manusia-manusia hebat yang belum kelihatan hebat di mata mereka. Dan aku yang tidak hebat, mahu terus memandang hebat ulama' yang masih tersisa tidak dihargai ini.

Soalan aku tahun 2013 itu akhirnya dijawab oleh pimpinan yang sebenarnya. Bagaimana bilangan yang sedikit, menjadi pemenang  pada kumpulan yang memperoleh undian yang banyak. Ia situasi yang sangat menarik. Apabila kuantiti yang menjadi kayu ukur dalam pilihanraya, sudah tidak begitu penting melihatkan bilangan banyaknya. Hebat pemikaran ulama' yang kelihatan selekeh dengan jubahnya, menyusun atur bagaimana bilangan sedikit itu berupaya menjadi Raja.. Sayangnya, yang bawah-bawah itu masih setia dengan idea Badwinya.

Situasi semasa di Perak dan Kedah, aku melihat anak-anak muda dalam jemaah masih setia dengan ego dan ideanya. Memandah rendah manusia lain, adalah permulaan bagaimana mereka menjadi rendah di mata Tuhan. Bukankah permulaan kejahatan syaitan itu bermula dengan rasa "aku lebih baik dari kamu". Sumber: makjat. Haha

Anak-anak, tidak ingatkah kalian ketika menjadi barisan pimpinan kumpulan kecil dulu, begitu ramai orang-orang dibawah kalian yang tidak berpuas hati dengan kalian. Mereka menganggap, kalian orang yang bodoh dan tidak layak. Mereka berfirasat kalian selalu membuat keputusan yang salah. Mereka mempertikai kalian, sehingga kalian datang mengadu kepada aku, sedang aku sudah tidak mampu memujuk kalian.

Anak-anak, tidak ingatkah kamu. Ketika kamu mengharap semua orang dibawah itu untuk memahami kamu, sedang mereka masih tidak mahu faham sampai di penghujungnya, lalu terus memburuk-burukkan kamu. Mereka rasa, kamu yang berada dalam pimpinan mementingkan diri, membuat keputusan untuk diri sendiri. Sedang hanya kamu dan aku yang tahu, betapa yang kita fikirkan ketika membuat keputusan adalah untuk mereka. Mereka sahaja. tapi sayang, mereka tidak tahu. Lalu kamu menangis di hadapan aku. Kerana kamu dihukum atas apa yang kamu tahu, sedang mereka tidak tahu.

Tidak ingatkah kamu, ketika mereka sibuk memburuk-burukkan kamu di media sosial, kamu masih bersengkang mata bermesyuarat menyelesaikan masalah mereka. Dan semua itu, hanya aku dan kamu yang tahu.

Begitulah dengan barisan kepimpinan yang telah kalian lafazkan baiah kepadanya. Bersabarlah. Dan bertakwalah. Pengalaman yang aku berikan dulu bukan untuk dicoret menjadi cerita dongeng, tetapi besar harapan agar ia menjadi panduan ketika kalian runsing.

Mudah-mudahan kalian terus istiqomah.
Menang tak megah, kalah tak rebah.
Baca quran, jangan baca whatsapp je

Sekian dari Syuib0809

Monday, 23 April 2018

Kawan Yang Ini

Bismillah.

Hujung minggu lalu, saat memandu pulang ke kampung halaman, aku tiba-tiba sahaja teringat akan lagu ini:

Tanya sama pokok, Apa sebab goyang
Nanti jawab pokok, Angin yang goncang
Tanya sama langit, apa sebab hujan
Nanti jawab langit, tanyalah awan

Awan nanti kata, aku kandung air
Sampai tempat sejuk, aku pun cair
Tengok dalam, nampak bayang-bayang
Campak satu batu, bayang pun hilang

Kawan ini.

Resam di penghujung ini, semua orang sedang meluangkan masa yang berbaki untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan seasrama, sekuliah, setutoran dan "se" yang lainnya.

Cuma perkara biasa, ada yang terlupa, akan kawan yang tidak punya kawan sebegitu, kerana mengutamakan kawan yang ini. Ada yang tidak pernah bertegur sapa dengan kawan sebilik, kerana selalu bersama kawan yang ini. Tidak punya sedetik pun kenangan dengan kawan setutoran, kerana asyik benar mencipta kenangan dengan kawan yang ini. Malah tidak kenal pun kawan sekuliah, kerana yang dia mahu kenal hanyalah kawan yang ini. Aduh, manisnya ukhwan sebegini.

Tetapi, apabila kawan ini mengutamakan kawan yang lainnya, kesedihan yang tidak pernah terasa pedihnya itu menghiris hingga zahirnya terlihat seperti mencipta musuh. Definisinya lebih besar dari cemburu dan kesunyian. Kerana mereka tidak punya kawan, melainkan kawan yang ini.




Beberapa minggu ini, aku melihat perkara sama berlaku seperti sesi yang lepas. Tidak lagi berkumpul seperti selalu. Mudah benar terasa dan terhiris hati. Bukan kerana tidak sayang, tetapi belum lagi tahu apa makna sayang. Lalu, masing-masing bersedih kerana meletakkan sebab kepada orang lain, seperti pokok yang menyalahkan angin,  dan langit yang menyalahi awan.

Itulah sayang.

Lagu yang awalnya seperti kebudak-budakan itu, menyambung madahnya semula...


Tanya sama hati, apa asal sayang
Adakah tandanya nampak dipandang.....
Kumbang rayu bunga, bulan dan bintangnya
Punya tanda-tanda hubungan mesra..

Tanya sama hati, pernahkah merindu
Ingat masa lena, apa mimpimu
Masa berjauhan, apa nan dikenang
Bila difahamkan, itulah sayang

Sayang itu rupa-rupanya bukan sekadar hubungan mesra semata-mata. Malah, maknanya belum tercapai kerana itu. Juga, tidak mampu terasa ketika bersama, makan bersama, lepak bersama dan tidur bersama. Maka, Pak Ramlee yang berseni itu meminta hati bertanya kepada diri sendiri. Cuma pertanyaannya unik, kerana ia penanda segalanya sudah terlambat. Sebab perasaan rindu tak hadir ketika bersama, hanya akan dirasai apabila semuanya sudah tiada.

Aku sejujurnya sangat kerap bermimpi. Hahaha. Jangan cakap orang, basikal aku kat UK pun selalu sungguh aku ingat masih ada. Ia penanda sayang. Cuma tak mungkin berjumpa lagi dengannya. Budak-budak ini, aku pun tak tahu nak buat apa untuk diorang berkumpul seperti selalu. Nak tak nak, diorang sendiri yang kena usahakan.

Yang paling aku risaukan ialah orang yang masih tertinggal di sini. Kerana yang masuk menggantikan nanti, serapat manapun, pasti dipanggil adik-adik. Ia tidak mungkin sama walaupun hati berusaha menyamakan. Kesedihan yang datang jangan dipandah rendah. Ebiet G Ade pun sudah melagukannya.

Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayangnya kau tak duduk 
disampingku kawan.
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan..

Lirik Berita kepada kawan

Sedih mereka bukan kerana tidak punya orang. Cuma mereka sudah hilang tempat bercerita dan mengkhabarkan. Barangkali itu adalah akibat, apabila kalian suka sangat bercerita, pada KAWAN YANG INI sahaja.

 Berkumpul juga akhirnya. Simpan di sini. Mudah-mudahan ingatlah kelak muka diorang.

Wida'

Waktu aku menulis ini, anak-anak muda tersebut sedang bersukaria di majlis perpisahan mereka. Wida' kali ini, aku memang tidak masuk campur lansung. Berbeza dengan tahun-tahun yang "susah" dahulu, majlis mereka kelihatan "grand" walaupun hanya diadakan di grandstand surau. Cuma menariknya, mereka menjemput pakcik dan makcik guard sebagai VIPnya.




Aku pula sejak zaman muda remaja, tidak suka hadir ke majlis-majlis sebegini. Teringat ketika bertamrin di UK, pantang jumpa rakan seusrah, pasti berpeluk dan berlaga pipi kerjanya. Tetapi sebaik sahaja doa wehdah habis dibacakan, aku melarikan diri tanpa orang sedari. Malah ketika reunion dengan rakan sekolah menengah pun, aku suka menghilangkan diri di hujung majlis, tatkala masing-masing sedang sibuk bersalaman meninggalkan majlis sebagai simbol perpisahan. Lebih dahsyat, ketika hari terakhir di UK pun, aku keluar dari rumah dengan senyap tanpa bertemu sapa-sapa pun sebelum menuju ke lapangan terbang.

Empat tahun di sini. Aku memang tidak pernah menghadiri Jamuan Wida' ANC. Detik sebegitu, tidak mahu aku tontonkan dalam wayang yang terpancar ketika tidur. Ia bukan jalan cerita yang mahu  diingati. Membawa masuk detik-detik pertemuan, pengenalan, dan bagaimana mereka rapat dengan aku, lebih pasti lenanya untuk dibuai di dalam mimpi. Maka disiplin itu akan terus aku pegang sampai hujungnya, agar azan subuh yang mengejutkan itu, mampu aku iringi dengan senyuman di pipi.

Entah bila nak keluarkan yang penuh, bagi sedutan kedua plak la:

Cantik benar dunia ini
Kerana ada engkau dan aku
Sebelum kenal menjadi asing
Sebaik senyum menjadi saing
Cuma asingnya terlalu lama
Sedang saingnya sedetik sahaja




Sekian dari Syuib0809

Saturday, 21 April 2018

Kenangan sesi 1718

Bismillah.

Sekadar catatan bergambar. Tidak punya banyak masa untuk menulis. Cukup sekadar ingatan akan sesi yang sudah pun tamat lebih awal dari apa yang dijangka. Sesi ini, aku ajar modul tiga dengan permintaan sendiri. Modul yang kerap dilabel seperti budak "kelas belakang", aku secara jujurnya lebih selesa dengan mereka berbanding dipaksa mengajar modul 1 pada sesi sebelumnya. Mengajar orang yang merendah diri, mengakui kelemahan dalam kebijaksanaan lebih menyeronokkan berbanding mengajar orang yang terasa bijak akan kebodohannya. Oleh kerana aku akan lupa, maka aku selitkan secukupnya sebagai rujukan kelak.

Kelas aku sem lepas. Semester ni en. suhaimi yang ajar. Yang aku ingat farhana, nadhirah, umairah, faiz, yus, firzana, AB, haida, Qaisarah.

Kelas favourite aku sem ni. Gila-gila, kuat main2, tetapi punya adab dan hati yang baik. Malah, mereka juga kerap datang ke surau walaupun pakaian mereka "biasa2" sahaja. Emma, emirah, nurin, zati, syafiqah, anas.

Kelas kedua yang aku suka. Cuma akademik memang lemah sikit. Tapi suka dengar cerita dan melayan cerita aku. Haha. aida, aqili, izzah, miza, Q azmi, aini, nani, zaman, husna, syamimi

Kelas paling mencabar sebab semuanya perempuan. Dan hampir setiap kali tutor, perangai semua macam kena senggugut. Haha. Diorang tak banyak cakap kat depan2, tapi kuat mengata kat belakang2. Kiranya macam generasi pelapis makcik bawang. Aisyah, amirah, dayang, ain afiqah, najwa, rasyidah, sakinah dan nazirah.

Kelas ni semua perempuan gak. Tapi takdelah pulak perangai macam atas. Aku ajar sem lepas. Cuma tak sempat tangkap gambar. "kelebihan" mengajar modul 3, memang lebih banyak gadis dari teruna.

Bergambar bersama lelaki kuliah K2. Jumlah diorang hanyalah 19 orang berbanding bilangan keseluruhan yang mencecah 100 orang. Orang yang tak tahu, akan ingat aku "gatal" sebab asyik tangkap gambar dengan pelajar perempuan je, Dah memang lelaki kat matriks ni pupus, nak buat macam mana.

Satusatunya kelas yang seimbang laki perempuan. ni diorang gabung dengan kelas kembar diorang. Lelaki kelas ni baik2. Dan kehadiran diorang berjaya mengurangkan masalah emosi orang perempuan. Tan, Nazreen, Aliff dan Imran.


Maka, itu je dulu.

Sekian dari Syuib0809

Sunday, 8 April 2018

Kasih dan Amanah

Bismillah

Jumaat baru-baru ini, aku mengambil cuti pertama kali buat tahun 2018. Sebab utamanya, perlu menghadiri walimatul urus sahabat baik ketika di sekolah dulu. Cuma sebab disebaliknya, aku berpendapat aku perlu meredakan beberapa tekanan yang kerap muncul dalam diri. Mahu berehat. Dan mahu berjumpa sahabat-sahabat yang sebaya juga setelah gagal melakukannya minggu sebelum itu.

KASIH.

Menuntut ilmu di tempat yang pelbagai ragam dan iklimnya, aku sudah bertemu dengan bermacam jenis orang. Berkawan dengan orang kampung di sekolah rendah, bersahabat dengan orang bijak pandai ketika mengambil A-level, berusrah dengan orang2 kuat agama ketika di luar negara, belum lagi dikira pengenalan dengan orang besar-besar, semuanya pernah aku lalui. Namun sejujurnya, yang paling aku selesa ialah rakan-rakan aku dari sekolah menengah.

Mereka-mereka ini adalah orang yang menjadi saksi akan kebodohan dan kejahilan aku bersama mereka. Mereka menjadi sahabat, tanpa sebab yang boleh dizahirkan. Bukan kerana hensem, bukan kerana mereka kaya, bukan kerana mereka kuat agama, jauh juga kerana sebab ilmu yang tinggi. Maka kasih yang lahir buat mereka juga tidak punya apa-apa sebab. Tidak ada sebab dunia untuk bertemu mereka Tetapi apabila bertemu, gembiranya terpancar entah datang dari mana. Ia bukti kasih. Dari seorang manusia kepada manusia lainnya.

Pehal lah aku berdiri sebelah kawan2 yang nampak muda. Silap betul. Okeh, kami sebaya.

Reunion B2.. Aku rasa baceh makin pendek. Dah sama tinggi semua


Majlis perkahwinan K.U( Ketua Umum batch kami) ini, aku datang tanpa harapan untuk berjumpa sapa-sapa. Malah niat awal aku adalah untuk pulang awal ke pulau pinang semula. Saat melihat caom dan bayern hadir bersama pasangan mereka, hati aku jadi seronok sungguh. Dan kemuncak kegembiraan aku ialah apabila Baceh tiba-tiba muncul dari pintu lift bersama isteri dan anaknya.. Gembiranya hanya Allah yang tahu. Dan tidak disangka begitu ramai rakan-rakan satu batch yang turut hadir. Aku jadi excited berlebih-lebih, sampai aku rasa macam bukan diri sendiri. Orang yang melihat pasti jadi annoying. Haha..

Jujurnya kami satu batch memang tak reti buat freestyle. Fail aje.

AMANAH.

Sebenarnya, aku berazam untuk menghadiri pertandingan futsal ASTI sabtu minggu sebelumnya. Memang sudah dikosongkan, apatah lagi kerana malam itu ada dinner batch buat pertama kalinya. Tiba-tiba minggu sebelumnya, ANC mengatur program MIAW pada jumaat minggu sama pertandingan futsal itu berlansung.. Program untuk muslimat itu bukan masalah besar kerana aku hanya pemerhati sahaja. Namun kejutan hadir, apabila kak Noreha nak buat teambuilding untuk sukarelawan MPBB kelak. Oleh kerana bajet yang sangat terhad, maka aku meng"volunteer"kan diri untuk memasak bagi kapasiti 120 orang.

Ada gambar poster je. Yang bestnya bila aku bawak paperwork ke timbalan, dia gelak terus.

Kesedihan tidak dapat join reunion terbesar itu, aku redakan dengan menggalas amanah untuk anak-nak pelajar yang bakal keluar kelak. Malah ketika membuat pilihan, aku lihat keringat aku lebih diperlukan di sini berbanding di sana. Maka, sabtu itu, aku menyibukkan diri membeli bahan mentah untuk kegunaan keesokan harinya. 5.30 dah mula masak sarapan... Aduih.

3 anak dara ni yang menjadi pembantu dapur aku. Dan menarik, aku tak mengajar kuliah atau tutor mereka. Kami ditakdirkan berjumpa. Lebih menarik, dua yang disebelah kanan aku itu adalah budak SEMESTI. Kiranya aku super senior diorang.

Menu:
Sarapan: Macaroni bolognese. Tapi macaroni lembik sebab xde orang jaga.
Tengahari: Ayam kicap kari berlada, kubis goreng kunyit, nasi putih.

Tengah hari balik terus terbongkang penat gila..

Teguran buat rewang.

Dari kenduri kahwin tadi, aku terus bergegas pulang ke kepala batas semula. Malam hari yang sama, ada jamuan untuk AJK Memori yang bertungkus lumus menjayakannya januari lalu. Dah 2 tahun jamuan ini tidak diadakan. Kali terakhir ialah ketika tahun pertama aku di sini. Keberanian mereka untuk menganjurkannya, maka aku meraikan sahaja apa yang patut. kali ini, kapasiti jamuan itu adalah untuk 220 orang.

Pada asalnya aku tidak mahu masuk campur pada hari kejadian. Biar mereka yang mengusahakan segala-galanya untuk aktiviti terakhir mereka ini. Entah kenapa aku tak berapa sedap hati. Sebaik sahaja sampai di kolej jam 7 petang, aku bersiap untuk ke masjid dan singgah sebentar melihat persiapan mereka. Hmmm.. Tidak seperti yang aku jangkakan.

Sebaik sahaja solat maghrib, aku kembali ke dewan dan menegur apa yang patut. Persiapan mereka kelam kabut. Sedangkan setiap orang dalam dewan itu sedang bekerja dengan sangat penatnya. Jumlah 30-40 orang itu sebenarnya sudah sangat mencukupi, tetapi pengurusan yang tidak tersusun menyebabkan masing-masing sedang menyusahkan diri. Melakukan kerja dua kali, memilih jalan kerja menyusahkan dan menghabiskan keringat membetulkan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Akhirnya semua jadi stress dan yang paling jelas aku nampak ialah afrina, si aini dan izzati razib.

Baru balik solat, memang berkain pelekat la gamaknya. Budak2 ni paksa tangkap gambo padahal tengah sibuk nak kemas. Gaya tu pun diorg paksa. Tapi mantap gila kamera diorg, boleh meng"kurus"kan manusia. Haha


Namun pujian untuk rewang(gelaran jamuan) itu ialah hiasan backdrop dan photobooth yang cantik. Makanan yang sangat-sangat pelbagai dan sedap. Ada cendol, abc, bihun sup dan tomyam, spaghetti bolognese dan carbonara, buah cicah coklat, brownies, polkadot dan macam2 lagi. Dan kepenatan yang sangat-sangat dahsyat, mereka membasuh pinggan sampai pukul 3 pagi. Haha. Sorilah, rasanya  ni last buat jamuan untuk memori, lepas ni dah xde dah. Selang dua tahun baru ada balik kot.


Jamuan itu adalah penghujung bukti kasih akan kehidupan mereka di kolej yang sudah sampai di penghujungnya. Hari-hati yang pernah bersatu itu akan berpisah. Mengucapkan selamat jalan dalam bentuk menghiburkan barangkali menjadi pendekatan terbaik agar hati masing-masing tidak bersedih.

Entah mana yang sedih, meninggalkan atau ditinggalkan?

Aku sudah hampir siap dengan karya buat mereka yang akan pergi ini. Bagi sedutan dulu:


Janji rahsia kita berdua
Mentafsir lupa umpama dosa
Sedang engkau akan tiada
Hanya bicara yang kekal ada
Itupun bukan pada suara
Cukup tulisan di hujung kaca
Selamat pergi sang bunga
.....


Sekian Dari Syuib0809

Sunday, 18 March 2018

Kesalahan dan Teguran

Bismillah.

Lama tidak menulis. Sedangkan terlampau banyak untuk dituliskan. Beberapa minggu dan bulan ini, aku disibukkan dengan perkara yang pelbagai. Menguruskan sukarelawan dengan bantuan ANC, dengan entah tiba-tiba dilantik pula sebagai AJK untuk majlis APC tahun ini, menuju ke USM kerana terlibat dengan pameran sains astronomi yang dianjurkan oleh puan Halimah. Cuma aku menjarakkan diri kerana sudah bertimbun tanggungjawap yang hadir. Kemudiannya, kembali dengan tugasan projek KIK sebagai ajk perhubungan pelajar untuk pengagihan zakat. Dan baru semalam, turun ke padang menasihati kelab Ukhwah(proksi Ikram kolej) yang menganjurkan Malam Apresiasi Islam(MAI). Cuma aku berlebih-lebih gak lah menasihat sebab penasihat betulnya macam pelik je. Haha

Dan jujur, aku suka dengan kerja2 ni. Haha

Dalam kepenatan dan kesibukan itu, hujung minggu aku masih mampu ke sana ke mari bersama budak-budak ni. Menghilangkan stress dengan memenatkan diri akan perkara yang disukai. Malah sempat juga memasak beberapa menu untuk santapan mereka-mereka yang penat lelah menyumbang keringat. Memasak untuk skala 40-60 orang. Menu-menunya:

1) ayam masak kicap kari
2) mee goreng.
3) ayam masak lemak nenas.
4) udang/sotong masak tepung sweet sour.

Cuma kebanyakan kuah x berapa nak pekat sebab bawang tak banyak. Ramai malas tolong kupas. Haha.

Mandi manda di Taiping. Bukan senang nak jumpa dugong dalam sungai. Nampak tak?

Pekena cendol. Usah tergoda dengan pipi pau itu.

Bukit bendera

Pi pekena nasi kandaq line clear. Semua menyesal. Hahaa



Kesalahan dan Teguran

Beberapa minggu lepas juga, aku kembali menjadi perbualan hangat dengan isu yang baru. Cuma hangatnya belum sampai ke pihak atasan. Alkisahnya bermula apabila aku dipertontonkan video anak-anak gadis bawah didikan aku menari dengan pakaian yang menjolok mata dan lenggok yang agak tidak senonoh. Sejujurnya orang-orang "baik" pasti menggeleng kepala akan tarian yang seperti tiada peradaban itu. Dan kerana itu, aku masuk ke dalam dewan kuliah dengan teguran yang keras buat pertama kalinya. Dan nasihat itu bermula dengan mengetepikan hujah AGAMA:

"Saya tidak mahu cerita pasal dosa dan pahala, kerana kamu bukan orang yang memikirkannya. Tidak juga bercakap perihal syurga dan neraka, kerana kamu semua bukan orang yang mengejarnya. Dan saya tak nak kaitkan dengan Allah, kerana kamu bukan orang yang mempercayaiNya.."

"Pertamanya, apa yang kamu buat itu menyebabkan kamu menjadi rendah di mata lelaki-lelaki baik. Saya tidak mengatakan akan lelaki soleh yang pergi surau selalu, tetapi lelaki2 baik yang sentiasa suka akan benda baik-baik. Dan sangat pasti, mereka tidak menyukai perbuatan kamu yang tidak kelihatan baik itu.."

"Kedua, kamu di mata lelaki-lelaki jahat yang bernafsu itu, sedang menjadi tumpuan mereka dan usah terkejut jika saya katakan video kamu yang tersebar itu akan mereka simpan, menjadi pelengkap keinginan nafsu mereka. Dan akhirnya, kamu akan dikejar oleh lelaki-lelaki bernafsu sebegitu hinggakan kamu pula yang terpesona dengan ayat-ayat godaan mereka. Membawa ke rumah tangga dan dikhianati oleh nafsu mereka hingga musnah rumah tangga kamu kelak"

"Ketiganya, kamu berjaya membuktikan yang tudung kamu itu sudah tidak punya nilai apa-apa. Hingga orang jahil yang menonton kamu menjadi keliru, sampai ada yang berpendapat wanita-wanita bertudung itu juga boleh sahaja menari sebegitu.. Dan fahaman yang kamu mulakan itu, akan ada yang mengikutnya. Apatah lagi persembahan itu diangkat sebagai pemenang tempat pertama. Fitnah itu bersambung kerana kamu yang menghidupkannya.."

Berbanding marah, lebih tepat untuk aku katakan yang aku sangat kecewa. Dan nasihat itu aku berikan kerana aku pasti mereka akan menyesal apabila sudah betul-betul matang kelak. Video yang bakal ditonton anak-anak mereka kelak, pasti benar mengaibkan. Cuma nasihat seperti itu acapkali disalah ertikan, hingga pensyarah2 islam yang memusuhi agenda islamisasi menanam benci akan nasihat seperti itu. Lalu melabel pemberi2 nasihat agar manusia yang bersalah itu tidak berasa salah dan kemudian menyalahkan orang yang menasihati. Sebelum perasaan benci itu semakin menggunung, aku kembali ke kuliah dengan nasihat untuk orang2 yang disayangi.

"Kesalahan kamu itu, saya sangat2 kena tegur walaupun saya tahu kamu akan marah kat saya. Dan dahsyat sebenarnya, bagaimana satu nasihat itu menjadikan saya kelihatan seperti musuh di mata kamu. Cuma saya nak kamu tahu, kesalahan kamu itu tidak sikit pun menyebabkan saya benci pada kamu. Kerana itu saya berharap, teguran saya juga tidak menyebabkan kamu benci pada saya"


Susah nak tegur orang ni. Dan fitnah yang melanda si penegur, menyebabkan dunia kepupusan manusia yang mahu menegur atas dasar iman. Huru hara dunia ini kerana seribu satu syarat diletakkan untuk orang yang mahu menegur, dan tiada satu pun syarat dikenakan kepada orang yang berseronok melakukan kesalahan pada Tuhan.

Abang nak tegur

ANC dihujung2 ini juga dilanda seribu satu fitnah. Maka sedikit demi sedikit ahlinya melarikan diri kerana tidak tahan dan tidak mahu mempertahankan. Mahu menyelesaikan, kelihatan sudah terlampau dekat penghujungnya. Entahlah

Sekian dari Syuib0809.

Tuesday, 27 February 2018

Harimau dan Nyamuk

Bismillah.

Bercadang menyampaikah tazkirah ini weekend yang lalu. Lama aku tidak mencedok semula analogi ini, kali terakhir 4 tahun lalu di IPG. Cuma sayangnya, ia tidak terluah. Anak-anak itu masih belum terbiasa menyelit ilmu-ilmu akhirat pada aktiviti-aktiviti dunia mereka.

Oleh kerana tidak semua pengisian berkesan untuk dilaksanakan secara lisan, aku rasa penulisan juga mampu menyuntik ibrah akan hujung minggu yang bermanfaat itu. Cuma ia dipendekkan, point-point penting saja diambik.

Harimau dan Nyamuk.

Dua binatang ini, kerapkali disebut namanya apabila manusia masuk ke dalam hutan. Satunya berbadang besar, lebih berat dari manusia, dan punya taring yang jelas di mata tanpa hijab. Sedang satu lagi kalau ditepuk, berkecai badannya. Tak perlu alat tajam untuk membunuhnya, cukup sekadar semburan. Malah manusia-manusia pengotor dan pemalas, sangat suka menternaknya di rumah. Soalan mudahnya, yang mana satu kita takutkan? Harimau, atau Nyamuk?

Harimau yang kita sekadar jumpa di zoo itu, menyebut namanya saja sudah menyeramkan. Mahu bermanja jarang sekali. Kalau ternampak, baik cepat-cepat cabut lari. Sedang nyamuk yang hari-hari kita jumpa dalam jaga dan lena, berbeza pula reaksinya. Bahkan sejujurnya, kita adalah pembunuh tegar haiwan kecil yang sungguh menjengkelkan ini. Takutnya kita pada si sado yang berbadan besar, tidak sama sekali pada nyamuk kecil yang tidak berbadan. Sedangkan..

Kalau kita buka laman web rasmi denggi Malaysia, awal tahun 2018 sampai ke hari ini sahaja, sudah 17 orang mati kerana denggi. Usah cerita yang terkena, statistiknya bukan ratusan, tetapi ribuan. Sakit kerana apa? Hanya kerana terkena gigitan makhluk kecil ini. Sedang harimau, barangkali dalam satu tahun, 3-4 cerita sahaja kita dengar, itupun masih asing untuk menuju kematian. Malah harimau juga, banyak masanya akan lari apabila terserempak dengan manusia. Kadang-kadang, kita pulak yang pelik, bila harimau boleh jadi manja dengan manusia, hehe


"Anak-anak, apa yang kamu takut dan risau dalam kehidupan kamu?"


Tak semua orang paham makna sekeping gambar. Dan tak semua orang mampu menghargai betapa pentingnya sekeping gambar yang kelak menjadi sejarah. Aku dah mula stresss dgn kualiti gambar yg dihantar melalui whatsapp. Tapi nak menagih janji, letak jelah dulu.


Rezeki dan Amal.

Yang kita takutkan ialah keputusan akademik kita, yang kita sanggup berjaga malam, ialah untuk assignment kita. Tiru pun tirulah. Yang kita risau ialah kita tidak diterima oleh mana-mana universiti kelak. Hingga bersambung yang kita risaukan ialah kerja apa yang kita akan dapat dan berapa gajinya kelak. Imam Hassan Al-Basri apabila ditanya kenapa dirinya sentiasa zuhud dan tenang berbicara


Aku tahu rezeki ku tidak akan diambil orang lain, karena itu hatiku selalu tenang. Aku tahu amal ku tidak akan dikerjakan orang lain, karena itulah aku sibuk beramal soleh. Aku tahu ALLAH Ta’ala
selalu memerhatikan ku, karena itulah aku malu jika ALLAH melihat ku sedang dalam maksiat.
Dan aku tahu kematian itu sudah menunggu ku, karena itulah aku selalu menambah bekal untuk hari pertemuan ku dengan ALLAH……..



Hari ini kita mengkhianati makna ilmu kerana risau akan rezeki kita. Sedangkan rezaki itu bukan duit sahaja. Dan rezeki tidak hadir kerana akademik semata-mata. Sampaikan zalimnya kita kepada diri, apabila meninggalkan amal kerana ketakutan kepada akademik. Sedangkan rezeki datang dari pemberian Tuhan, apabila kita memperhambakan diri kepadaNya, dan jauh dari berTuhankan hambaNya. Kerana itu tolonglah agama Allah, tolong manusia-manusia yang ada disekeliling kita dengan jasad serta ilmu yang kita ada. Nescaya, rezeki kita kelak Allah salurkan melalui tangan-angan orang yang pernah kita bantu tanpa mengharapkan sedikit pun balasan. Dan benar, itulah sebaik-baik amal

Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan(8), Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.(9) Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. (10) Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Alinsaan 8 - 11

Ingatlah, manusia tidak jatuh miskin dan mati kerana bilangan A yang tidak diperolehinya, tetapi ramai yang mencabut nyawa sendiri kerana menyisihkan kehadiran Tuhan dalam dirinya. Tapi..

Janganlah bersila tatkala bertemu dengan si belang. Ketakutan yang hadir untuk si nyamuk, tidak sama sekali memansuhkan rasa takut pada harimau. Lalu, takutnya kita pada kepapaan amal, jangan dibuang kegigihan usaha membaikkan akademik kita. Kerana akademik juga, menjadi jalan untuk kita bertemu Tuhan.

Dari Mutharrif dari ayahnya , ia berkata:
Aku mendatangi nabi  dan baginda tengah membaca: “Bermegah-megahan telah melalaikanmu. (At Takaatsur: 1), beliau bersabda: “Anak cucu Adam berkata: Hartaku, hartaku. Beliau meneruskan: Hartamu wahai anak cucu Adam tidak lain adalah Apa yang kau makan lalu kau habiskan, Apa yang kau kenakan lalu kau usangkan atau Apa yang kau sedekahkan lalu kau habiskan.”
[HR. Muslim]
..........

Ia kisah motivasi yang kerap aku tuturkan ketika zaman "hebat" dulu.



Hebat.

Baru-baru ini, dua orang ustaz menghubungi aku untuk tujuan yang sama. Cuma seorang ustaz ni, sudah empat tahun tidak berhubung sapa. Malam itu, lama benar aku bersembang dengannya. Cuma ada satu ayat yang keluar dari mulutnya menyebabkan aku riak dan tersentak:

"Enta pun hebat jugak, cuma enta je yang taknak tonjolkan diri"

Zaman-zaman mahu menjadi hebat itu sudah aku buang dalam diri. Ia kesesatan berbicara yang membinasakan hati dan diri. Berdiri di khalayak ramai seperti tidak punya dosa. Berbahas berbalah dengan impian menaikkan diri. Dosa menjadi Hebat. Menyembunyi dan menghina diri lebih berpahala.

Biarkan sahaja semua itu menjadi sejarah.



Sekian dari Syuib0809.

Thursday, 8 February 2018

Pening MEMORI bhgian akhir: Kuli Manusia

Bismillah.

Empat tahun menyaksikan memori, aku selalu berfirasat dikalangan ajk-ajknya pasti punya orang yang mustajab doanya. Kerana ramai antara mereka yang tidak kisah pun mengenai markah koko, malah sanggup menabur duit dalam keadaan elaun yang masih tertahan. Seperti tahun-tahun sebelum ni, aku melihat cuaca yang mengikut sunnatullah itu seperti meminta izin pada Tuhannya. Hujan yang kerap turun di siang hari minggu sebelumnya, lebat angin dan airnya bukan biasa-biasa. Tetapi untuk ekspo memori yang berlansung, cantik benar cuacanya dengan terik mentari. Dan sebaik sahaja ekspo dijadualkan tamat jam 5.00 petang, air hujan mula menitis menghalau peniaga dan urusetia yang sudah lelah sepanjang hari.

Aku ingat ia cuaca yang sudah berubah dari kebiasaan. Barangkali juga tiada doa yang mengaturnya. Tetapi apabila hujan mencurah-curah pada pagi isnin dan hari-hari berikutnya, memang benar keyakinan aku, ada doa yang sudah sampai pada Tuhannya. Berdoalah, Allah pasti mendengarnya.

Bergambar dgn manusia2 yg mustajab doanya.


Empat tahun ini juga, aku orang yang terkenal sebagai insan di sebalik tabir memori. Tiada hitam putih, tiada wajah pada iklan, apatah lagi sijil untuk diriakkan sebagai rasuah dalam proses kenaikan pangkat. Tiada siapa melantik, dan aku juga tidak melantik diri sendiri. Kerana itu, tiada sebab untuk pelajar yang punya pangkat itu mendengar atau mematuhi arahan dari aku. Maka tiada logik untuk kecewa akan apa yang berlaku, kerana aku hanyalah seorang kuli.

KULI.

Sejak zaman sekolah, aku memang orang yang suka menyorok di belakang tabir. Muka kuli yang terlukis itu, memang patut benar untuk tidak dikedepankan. Angkat meja, susun kerusi, main alat muzik iringan, peluh yang jatuh itu kerap hadir disamping pakaian lusuh yang tidak pernah lansung mahu mengikut fesyen terkini. Sebaik habis program, aku juga orang yang akan mengemas dewan dan memastikan barang-barang yang dipinjam dikembalikan ke tempat asalnya. Sedang rakan-rakan yang punya rupa dan kemalasan, menyibukkan diri bergambar bersama gadis-gadis sebaya yang penuh nafsunya. Haha

Malam berlansungnya majlis pembukaan MEMORI, aku masih setia dengan kurta dan kain pelekat. Memantau perjalanan majlis itu dibelakang tabir sahaja. Tiba-tiba terlalu depan pengarah dan ketua-ketua jabata, teruih cabut lari smbil pegang kain pelekat. Hahaha.

Pakaian rasmi zaman berzaman.


Keesokan harinya, selepas subuh terus bergegas ke kawasan ekspo untuk setup PA sistem. Tiba-tiba alat-alat ni meragam, maka dekat dua jam jugaklah baru habis setup. Seperti tahun-tahun sebelum ni, aku akan ambik masa berehat dalam pukul 12 tengah hari smpailah jam 2.30 petang baru kembali ke sana. Tapi kali ni, lepas zohor baru aku rehat sebab risau apa-apa jadi. Tapi jujurnya kali ni, tak banyak kerja dah. Semua berjalan dengan sangat lancar.

Cuma belah malamnya, aku mula mencampuri urusan makanan vip. Ke hulu ke hilir mencari makanan yang lain pula agar sesuai dengan namanya. Kalau tidak asyik mee goreng, nasi goreng dan adik segorengan yang lain. Maka, malam terakhir tertukarlah menu menjadi mee tomyam. Cuma kelam kabut sebab terpaksa mencari mangkuk dan senduk kat pekan kepala batas.

MANUSIA.


Khamis pagi, ustaz tetiba mai dekat aku:

"Izuan, unit koko bising budak2 ni nyorok banner dengan hiasan bunga kat belakang dewan..."

"Pagi forum tu, lepas guna office saya, habis biar mcam tu je..."

Antara disiplin-disiplin besar aku sebelum ni, ialah memastikan memori yang meriah itu seolah-olah tidak pernah terjadi sebaik sahaja semuanya tamat. Keadaan sebelum, biar sama selepas tamatnya. Tiada saki baki, sampah, apa sahaja yang menyakitkan mata perlu dilenyapkan dari pandangan mata. Dan aku akan menjadi orang terakhir berada di tempat kejadian sebaik sahaja semuanya tamat. Cuma tahun ni, aku sedaya upaya tidak mahu masuk campur kerana mereka sudah ada penyelaras mereka sendiri.

Tetapi seperti dijangka, perkara seperti ni berlaku kembali. Alat-alat muzik aku yang diberi pinjam, semua dicampakkan sahaja di kawasan belakang surau. Meja bilik tutor pula masih tersadai di kawasan berhampiran tandas surau. Malah alatan PA sistem yang aku beri pinjam, aku sendiri yang perlu mengumpulkannya kembali. Terpaksa memuraikan mulut untuk memastikan barangan yang berharga ribuan ringgit itu kembali kepada empunya diri. Cuma oleh kerana dada aku masih sakit, bantuan dari anak-anak ini sangatlah diperlukan..

"Tapi cikgu, takkan asyik kami je yang kena angkat.."


Rungutan itu dari manusia yang baik-baik sahaja orangnya. Terhasil Kerana terpaksa melayan kerenah manusia yang ketika meminjam penuh janji manis dan tenaga, tetapi sebaik sahaja habis guna, penuh alasan dan kemalasan yang mengiringi. Tak bagi pinjam, bising mengutuk mengalahkan mulut si murai. Encik wan yang mendengar perbualan aku dan ustaz kemudiaannya menyampuk.

"Jangan cakap budak, pensyarah pun serupa tu jugak.."

Haha. Itulah manusia.

BUKTI

Ahad pagi, saat memori masih rancak berjalan, aku menyampaikan pengisian buat sekumpulan manusia:

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asy’ari r.a. beliau berkata: Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir AlhamduliLlah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan AlhamduliLlah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah bukti. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan (memelihara) dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya. (Hadith riwayat al-lmam Muslim)

Simbol yahudi apa entah diorg buat ni. Ish3x


Sepanjang memori berlansung, mata aku ligat menyaksikan manusia. Ada yang kuat agama, ada yang belum kuat agamanya. Yang terlihat kuat agama itu, sangat suka untuk aku menguji mereka. Saat setiap sorangnya masih mengira saki baki yang seperti tiada dalam dompet masing-masing, aku masih memaksa agar ianya disumbangkan pada projek memori yang mereka cipta ini. Bukan jumlahnya yang aku mahu saksikan, cukup sekadar keasanggupan. Ia sudahpun menjadi bukti.

Adapun yang belum nampak beragama itu, kegembiraan melihat mereka menyumbangkan tenaga dan apa yang mereka ada untuk kerja agama yang belum nampak betul-betul beragama itu. Cukuplah ia menjadi bukti bahawa mereka punya sayang untuk diucapkan pada Tuhan di akhirat kelak. Mudah-mudahan jual beli itu menguntungkan mereka dan menjadi titik mula untuk mereka terus menjual diri  pada kerja-kerja agama kelak.


Team jualan.


Sekian dari Syuib0809