Tuesday 28 August 2018

Pekak 2.0: Menggembirakan Sunyi

Bismillah.

Balik sahaja daripada program di kolej lama, minggu-minggu aku berikutnya terisi dengan pelbagai perkara. Cuti seminggu yang tidak terisi dengan apa-apa itu rupa-rupanya hiatus sementara agar kembali bertenaga untuk hari-hari yang menjelang tiba.

Menggembirakan.

Minggu pertama sebaik sahaja pulang, aku sudah disibukkan dengan karnival sains. Selaku pensyarah matematik, aku sebenarnya tidak punya apa-apa pertalian darah dengan karnival sains ni. Tetapi aku, memang tabiatnya suka menyibuk. Dan jujur, aku gemar menggunakan medium-medium sebegini untuk melatih ahli-ahli ANC yang belum teruji ini. Maka, kami yang bukan ajk ini, berlebih-lebih menjadi ajknya. Sepanjang raptai perlu ada, malah ada yang perlu stay sampai 12.30 malam untuk menyiapkan hiasan pentas.

Syakinah yang kepelikan, mengajukan soalan pelik kepada aku.

"Kenapa cikgu nak tolong benda-benda macam ni?"



Dari Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Setiap ruas tulang pada manusia wajib atasnya bersedekah setiap hari mulai terbitnya matahari. Seseorang yang mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah dan menolong seseorang untuk menaiki kenderaan tunggangannya lalu mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaan tunggangannya adalah sedekah dan ucapan yang baik adalah sedekah dan setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan membuangkan sesuatu yang boleh menyakiti atau menghalangi orang dari jalan adalah sedekah".(HR Bukhari No: 2767) Status: Hadis Sahih



Sebaik sahaja habis karnival sains, aku mula kembali menyiapkan rumah di taman rupawan. Ramai tetamu yang akan hadir untuk hujung minggu kedua itu. Entah rezeki mana, aku terjumpa sofa kayu terpakai yang murah. Terjumpa di dalam rumah rangka katil yang sudah 5 tahun terpisah dan dituduh rosak. Maka, aku bertukang sepanjang minggu itu demi memastikan tetamu yang hadir itu beroleh sedikit selesa dengan rumah yang serba kekurangan itu.

Tetamu yang tak sempat dilayan. Buat masa ni, rumah tu di" wakaf"kan kepada mereka dahulu. Woi, sapa ambik charger phone saya!!

"Trailer" dulu. InshaAllah akan tulis pasal rumah ni bila tiba masa yang sesuai


Minggu ketiga, aku menyibukkan diri dengan sambutan Aidiladha yang direka sendiri. Buat pertama kalinya, kolej tidak beroleh cuti tambahan untuk raya terbesar umat Islam itu. Hanya satu hari. Menyebabkan ramai pelajar yang tidak pulang beraya dan terpaksa menghabiskan hari raya sehari itu di kolej sahaja. Maka aku, merancang majlis mirip ketika belajar di luar negara dahulu. Maka, aku memutuskan untuk menyediakan makanan dengan ehsan dari manusia pemurah yg masih berbaki di kolej. Penatnya usah dikata. Tapi ia menyeronokkan. Kerana seperti apa yang berlaku dalam minggu2 sebelum itu, ia kepuasan yang hadir kerana menggembirakan manusia.

Persembahan qasidah sebaik sahaja habis solat/khutbah hari raya. Sambil tu makan mee sup. Ramai gak datang.



Namun minggu itu juga, permulaan kepada kisah sunyi yang menggerunkan.

Pekak 2.0: Sunyi

Malam ceramah Aidiladha, aku sudah mula demam. Demam itu bukanlah satu yang merisaukan, lagi-lagi semua family ada menemankan di rumah. Cuma yang merisaukan ialah gejala pekak yang pasti mengiringi apabila badan mula terasa tak sedap. Dan seperti dijangka, musim pekak itu kembali.

Cuma kali ni, pekaknya sangat dahsyat. Membuat pengiraan, rasanya hampir 90 peratus kebolehan mendegar aku hilang. Bunyi printer pun xboleh dengar. Duduk di rumah, semuanya terasa sangat sunyi. Volume tv yang biasanya di paras 25, aku naikkan sehingga 53. Baru mampu menembusi gegendang telinga. Keperitan yang aku jangka sekejap itu berlarutan agak lama, hingga aku membuat keputusan untuk ke klinik.

Decide untuk beli teruih benda ni. Nasib baik murah je, rm30. Best. Cerek air bunyi kat dapur pun boleh dengar. Guna utk kecemasan je. Malu nak pakai

Apabila ujian sebegini datang, aku akan menjarakkan diri dengan manusia. Kerana itu, ketika persiapan jamuan Aidiladha peringkat kolej, aku menyembunyikan diri. Hanya menghantar anak-anak buah anc untuk membantu ustaz khadri yang tidak cukup kakitangan. Aku tidak kisah pun digelar pekak. Tetapi yang paling menyedihkan ialah bila orang buat muka annoying sebab terpaksa ulang cakap berkali-kali. Aku memang sensitif bila tengok muka marah yang disebabkan diri sendiri. Kerana selalunya, aku lebih kerap gemar menggembirakan wajah manusia. Bila benda ni berlaku, maka aku rasa memang benar, aku sangat tidak sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Kalau nak gak, kena cari orang yang sabar dia tahap gila2. Erk, Mana wujud dah perempuan macam tu. Huhu

Ustazah izna kata: "muka tak lawa tak payah pakai purdah takpe". Sedih kak sha kamu cakap macam tu. Okeh, batu api.


Bersabarlah, itu je yang mampu buat masa ni.

Mudah2an kalian berhujung menjadi orang yang menggembirakan, tanpa mengharap sedikit pun balasan dari tangan2 manusia.


Sekian dari Syuib0809

Monday 13 August 2018

Tempat Jatuh Tarbiyah

Bismillah..

Penghujung cuti pertengahan semester, aku menuju kembali ke kolej persediaan A-level yang sudah begitu lama ditinggalkan. Kali terakhir aku terlibat dengan mereka ialah pada tahun 2014. Selepas itu, aku berhenti ambil tahu, dengan harapan generasi muda yang sepatutnya menjadi pelapis mampu mengambil alih. Tapi sayang, ianya seperti hampir tiada. Dan ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

Kolej Yayasan UEM ini adalah tempat yang paling aku nak elak ingat. Inilah tempat aku mengenal manusia bijak pandai di Malaysia, cuma bijak pandai itu banyaknya selalu membinasakan. Suka mengangkat diri sendiri, merasa diri betul kerana kepandaian yang Allah beri dan jujurnya kebanyakan mereka sangat mementingkan diri. Namun disebalik semua itu, di sini juga tempat aku mengenal Tarbiyah. Mengenal Usrah. Dan diajar menggunakan kelebihan diri untuk menyumbang kepada islam. Maka, terhutang budi pada golongan minoriti itu menyebabkan aku bertekad untuk kembali.

Tempat jatuh usah dikenang
Khuatir mimpi mahu kembali
Benar batunya masih sama
Namun isinya lain sekali

Petikan asal sebelum disesuaikan dengan hikayat manjero.

Surau Assaad.


Induction Week.

Aku hadir sempena program orientasi untuk pelajar baharu. Ia adalah pertama kali orientasi ini melibatkan Alumni. Tempat yang aku takuti ini sudah semakin hilang adab disebalik akal ahlinya yang bijak. Sifat merasakan diri betul itu menyebabkan mereka hilang hormat pada yang lebih tua walaupun si tua itu hanyalah pembantu pejabat semata2. Kerana itu, pihak kolej sendiri yang mohon bantuan Alumni gar budaya2 lama yang menggembirakan manusia itu boleh diterapkan kembali.

Barisan fasilitator. Hampir separuh aku tak kenal sbb gap jauh dgn diorg. Dan menariknya semua kerja KL dn duduk KL. Aku je dari Penang. Terkejut bila sesi taaruf diorg dgr aku dr penang

Aku tidak terlibat dengan pembinaan modul. Sebagai permulaan, mahu melihat sahaja apa yang sudah dirancang. Terkejut, modul-modul dibina oleh alumni-alumni tua yang sudahpun menjadi fasi ketika aku adalah pesertanya. Dan alumni-alumni istiqamah itu tidak semena-mena meminta aku untuk menjadi pengacara majlis sepanjang program. Menolak dengan baik, aku secara jujurnya mahu tugas sebegitu diambik oleh mereka yang lebih muda. Aku adalah batch 10, manakala peserta adalah batch ke 21. Maka biarlah yg menjadi MC itu beza 5 tahun sahaja dengan mereka. Dan lagi satu, aku sangat takut mahu berbahasa inggeris dengan mereka2 yang petah itu.

Debate dlm bahasa Inggeris. Aku buat2 paham je. Kolej ni memang open sikit. Dari pakaian sampailah pemikiran 


Bersabar dari pagi, aku rasa suasana dewan itu terlalu tua dan hambar. Dari LDK, kemudian ke forum, sampailah lagunya semuanya kelihatan tidak menceriakan. MCnya berpakaian kemeja, hensem dan berbahasa inggeris, namun belum mampu menarik perhatian Audience. Kak Madihah yang sudah bersama2 aku berprogram dari tahun 2011-2014, memohon aku mengambil microphone tersebut. Dan akibatnya, satu dewan itu bergelak sakan, sedangkan aku hanya berbicara dalam bhasa melayu. Pengarah program, bro hazman hadi tetiba salam aku sebab seronok. Dan paling syok, junior2 alumni yang tidak pernah berjumpa aku dan takut nak tegur sebuat aku saja buat2 pendiam dengan muka garang, tiba2 menghampiri dan panggil "abang"

Okeh, cukuplah banggakan diri. Hehe.

Menyibuk dekat LDK Amir. Aku xde kumpulan sbb xjadi fasi full time



Tempat Jatuh.

Tempat mewah itu, sudah menjadi semakin mewah. Kalau dulu, tandas yang punya dua dikongsi 4 orang, kali ini tandasnya sorang satu. Surau yang aku jaga dulu, sudah punya aircond. Dan disebalik semua perubahan itu, masih ada wajah yang aku kenal dan mengenali aku. Dan sangat menarik, semuanya sudah mula penuh dengan uban.. Tapi yang paling tak bestnya, semuanya tanya dah kahwin ke. Yang paling power Makcik dewan makan lah

"Muka dah macam bapak orang, bila nak kahwinnya?" Haha

Cuma yang menyedapkan hati, bila makcik tu kata:

"Makcik ingat ko punya senyum tu... "

Tu dia makcik belakang tu


Adab dengan manusia yang sering dipandang rendah itu sudah semakin hilang. Yang masih punya adab itu, biarpun aneh, pasti diingati manusia. Dan bila kau makin besar, diingati oleh orang biasa-biasa itu lebih besar nilainya daripada diingati orang besar-besar yang sukan mengecilkan.

2018

2009


Sekian dari Syuib0809.

Wednesday 1 August 2018

ALC 2018: Generasi

Bismillah.

"Man, tolong tanya kak Amani kamu mai tak.. Saya nak request sungguh dia ni.."

"Assalamualaikum cikgu. InsyaAllah malam ni sy bertolak ke penang. Tapi saya bawa teman deh cikgu, syuhada batch 14/15.."

Generasi.

Barisan fasilitator untuk kem ANC kali ini terdiri daripada empat generasi yang sudahpun meninggalkan kolej buat selama-lamanya. Kehadiran Syuhada itu menyebabkan aku teringat akan kawan2nya. Batch tersebut adalah batch pertama yang aku sukar untuk kawal kerana aku sendiri masih baru. Mereka lebih dekat dengan pengaruh senior PDT mereka ketika itu. Cuma ada beberapa orang yang sangat sekepala dengan aku seperti syuhada, syazrin, azrin dan Widad. Cuma semuanya sudah hilang entah ke mana. Satu berita pun x dengar dah.

Sorang lagi pelik, ialah si Azri. Lama tak jumpa


Batch pertama itu tidak meninggalkan apa2 harta untuk diwarisi generasi seterusnya. Malah yang diturunkan ialah seribu satu masalah hingga ANC era si Amani kehilangan separuh dari Majlis Tertingginya. Kerana itu aku menubuhkan usrah sendiri, mengumpul kembali mereka-mereka yang masih bersemangat dengan bantuan Amani, Hazli dan rakan-rakannya. Kemiskinan yang melanda badan dakwah ini, menjadikan mereka batch pertama yang mula mewariskan harta dan aset untuk kegunaan anc seterusnya. Kerana itu, jangan disoal sayang aku pada mereka

Hazli awal beno baliknya. Diorg BBq malam tu


Sampai era si Nik Aziatie, semangat itu masih utuh untuk diteruskan. Cuma mereka terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang mahu setia tetapi penuh dengan masalah. Aku menggelar mereka sebagai batch "gatal" sebab banyak sungguh masalah muslimin muslimat. Namun dalam seribu satu masalah itu, setiap event yang dirancang berjalan dengan sangat baik. Dan menarik juga, sampai ke hujung juga masalah2 itu terbiar dan tidak diselesaikan. Menarik sebenarnya batch diorg.

Tiba era Mak Jat, mereka tidak terikat dengan pengaruh PDT. Malah Athila dn Kak Sha juga sangat-sangat berlembut dalam menguruskan adik-adik mereka. Sejujurnya, batch Mak Jat ini adalah batch yang paling dahsyat ukhwahnya. Cuma mereka, punya disiplin yang kurang "sihat" terutamanya dalam akademik. Dan diorang juga punya jadual tidur yang merisaukan. Diorang suka tidur pada waktu yang tak sepatutnya, dan susah untuk dikejutkan. Yang peliknya, gejala tidur tersebut seolah2 bukan satu masalah sebab setiap tugasan yang aku berikan pada diorang selalunya disempurnakan dengan baik.

Budak-budak laki batch ni macam-macam benda boleh buat. Boleh repair motor, baiki paip, nyanyi, jaga PA dan macam2 lagi. Meon xde dalam ni sebab aku dh angkut balik


MODUL.

Tahun ini, modul yang dilaksanakan bagi aku agak baik dan dekat dengan peserta. Malah ia kelihatan lebih matang dan tidak mengarut. Cuma modul tersebut lebih sesuai dengan peserta perempuan berbanding peserta lelaki. Aku sangat suka dengan LDK yang mana fasi boleh berkongsi dengan peserta, berbanding mendengar ceramah semata-mata. Kerana itu, hanya satu sahaja slot ceramah untuk sesi kali ini iaitu dari Ustaz Ghani. Selain itu, masalah air menyebabkan perjalanan solat berjemaah agak kelam kabut hinggakan muslimat tak dapat ikut bersama-sama imam.

Tahun ini, aku juga memperkenalkan slot celik yang diuruskan oleh batch Luqman. Slot ni lebih kepada slot energizer tetapi dibuat dengan lebih tersusun. Aku tak sangka idea-idea diorang sangat mantap. Jelas kelihatan peserta terhibur dan gembira dengan slot tersebut. Aku rasa ia slot yang berbaloi diadakan sebab kem komandan si Hadi yang hensem ni agak hambar time jadi MC. Haha.

Team Celik. Aku tak tau apa motif diorang tangkap gambar dengan si Salman ni. Tapi budak sorang ni pun favourite aku. Just pelik sikit je


Cuma kelemahan yang boleh dibaiki ialah fasi kurang habiskan masa dengan peserta di waktu lapang. Ia waktu terbaik untuk rapat dengan mad'u. Sayangnya, waktu senggang itu banyak dihabiskan fasilitator bersama rakan sebaya mereka. Takpelah, memang itu je tempat melepas rindu.

Hilang Cinta, Hilang Amanah.

Kebanyakan fasilitator yang hadir itu, punya hajat untuk bertemu sahabat-sahabat lama yang mereka cintai, barangkali kerana Allah. Hadir mereka, kerana cinta yang masih ada. Kerana itu, batch pertama yang gagal aku ikat itu tidak punya kesungguhan untuk hadir. Malah batch Nik yang terpecah dua itu juga, menerima kunjungan majoritinya dari kumpulan yang satu lagi sahaja. Dan aku tidak terkejut dengan kehadiran batch mak jat yang begitu ramai, kerana aku tahu mereka memang kuat sungguh sayang antara satu sama lain.

Susah gila nak tangkap gambar dengan diorang ni. Menjerit2 panggil. Last2 aku kata kat ain takpayahla.



Anas Radhiyallahu anhu mengatakan, “Kami tidak pernah merasakan kebahagiaan sebagaimana kebahagiaan kami ketika mendengar sabda Rasûlullâh , ‘Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.’
Anas Radhiyallahu anhu lalu mengatakan, ‘Aku mencintai Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam , Abu Bakr dan Umar. Aku berharap dapat bersama mereka dengan sebab kecintaanku kepada mereka meskipun aku tidak mampu melakukan amalan yang mereka lakukan

Kehilangan rasa cinta itu, menyebabkan manusia sukar untuk berkumpul menunaikan amanahnya. Ketika batch amani, aku melihat ukhwah pernah sedikit terhakis sesama PDTnya tatkala menerima adik2 yang baru. Ada yang semakin layu, tetapi alhamdulillah dapat diselamatkan. Ketika zaman Nik, aku sendiri menghidu bagaimana Nik tidak berapa sebulu dengan PDT yang lainnya. Akibatnya, ada yang selalu ponteng liqa' walaupun memegang amanah sebagai MT dan PDT. Malah mereka selalu tidak bersependapat. Sampai pada Athila dan Sha, keadaan sangat baik hingga membaikkan adik-adik dibawah jagaan mereka.

Beberapa isu yang berlaku akhir-akhir ini, aku risau perkara yang aku bimbangkan itu berlaku kembali. Bukan mudah mahu percaya pada manusia, apatah lagi mencintainya. Maka apabila ia dikhianati, bukan cinta itu sahaja yang pergi, malah amanah yang digalas itu juga turut mengiringi hingga terhapus menjadi debu. Bimbang adik-adik ini kehilangan akak2 hebat yang tidak maksum, aku harap akak-akak itu belum berputus asa untuk terus mengasihi antara satu sama lain. Jujur, aku juga terkesan. Cuma bezanya, aku tidak pernah berhenti menyayangi, walaupun masalah yang hadir itu selalu berbeza. Ataupun sebenarnya, masih sama dengan yang lama.

Semoga kalian Istiqomah.

Biarpun berbeza, cintanya sama
Tidak berkurang biarpun lama
Kalau esok engkau meminta
Biarpun habis, ku cari juga

Hilang Cinta, Hilang Amanah
Puteri kayangan pun sedih berpisah
Inikan pula kau dari tanah
Asal debu pulang berdebu
Mudah-mudahan tetapi bertemu



Sekian dari Syuib0809