Thursday 31 January 2013

ROS (rancangan orientasi sekolah)

Bismillah

Sungguh lama tak menulis kat blog ni. Kalau diikutkan macam-macam yang dah berlaku. 2 minggu ni memang penuh dengan debaran dan benda-benda yang mencabar hati. Tapi tak dapat nak cerita kat sini. Pasal buku plak, aku dah berjaya habiskan buku Hikmah yang Mengalir daripada Sang Murabbi karangan Ustaz Nik Abduh dan Ustaz Ridhuan mohamad Nor. Part awal mungkin kurang menarik sebab banyak tulisan diambil dari blog. Tapi part belakang tentang guru memang best. Aku paling suka dengan analogi kata-kata tok guru. Terbaik!




Aku tetiba terfikir supaya jadikan blog ni tempat menulis journal/diari untuk ROS aku dua minggu ni. Meh lompat terus ke hari ke-3.

Perjalanan hari ke tiga.

Hari ni aku sampai sebelum 7.20 pagi seperti biasa. Menghala terus ke pejabat untuk bertemu orang paling atas dalam pentadbiran iaitu Encik Yussof. Mudah-mudahan untuk hari ke tiga di sekolah ni, ada sesuatu kerja yang menarik untuk dikongsikan dalam Fail ROS. Tetapi sedikit hampa sebab En. Yussof tiada di pejabat. Jadi, aku terus menghala ke Bilik Guru dengan berpakaian batik, pakaian budaya untuk hari khamis. Seperti biasa, semua cikgu lelaki akan bersalaman di pagi hari sebelum memulakan tugas masing-masing.

Matlamat pagi ni ialah untuk jumpa Puan Roszainani untuk dapatkan folio mengenai sejarah sekolah ni, tapi beliau tiada di bilik guru kanan. Lepas berulang alik beberapa kali, aku akhirnya dimaklum yang beliau tidak hadir sekolah hari ni sebab ada urusan lain. Aku seterusnya menuju ke Pusat Sumber untuk cari bahan tentang Komponen yang kedua dalam tugasan ROS iaitu PRASARANA.

Setibanya waktu rehat, aku menuju semula ke bilik guru dan terserempak dengan Pn Arishah, kounselor SMK Sungai Manik. Beliau maklumkan yang selepas ni akan ada program untuk pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 di dewan jam 10.30 pagi. Jadi, aku hadir ke slot motivasi tersebut yang disampaikan oleh pensyarah daripada Kolej Tunku Abdul Rahman, kampar. Ternyata memang susah nak kawal pelajar-pelajar ni untuk diam dan penuhkan ruang dihadapan. Sewaktu aku duduk di belakang bersama-sama pelajar-pelajar, kebanyakan mereka melukis dan bersembang seolah-olah membuktikan mereka memang tidak berminat dengan program tersebut.

Aku meninggalkan dewan 11.45 kerana terpaksa menggantikan Pn. Aminah untuk kelas sivik beliau. Bukan mengajar, sekadar kelas relief. Rata-rata pelajar yang ada dalam kelas 3 Amanah tu sudah aku dengar ceritanya dari emak aku. Malah, semalam sempat masuk kelas diorang untuk tengok guru mengajar. Kelas yang pelajarnya pintar, tapi sangat nakal dan malas. Masa 80 minit yang ada aku manfaatkan untuk beri sedikit perkongsian supaya sedar kenapa perlu belajar. Juga, berkongsi bahawa tiada manusia yang tak pandai, cuma masing-masing mempunyai kepandaian berbeza. Dan yang terakhir aku beritahu, TIDAK FAHAM bukanlah satu masalah, tetapi ianya menjadi MASALAH bila kita tidak bertanya, dan tak mahu berusaha untuk tukar TIDAK FAHAM menjadi FAHAM.

Minta-mintalah diorang FAHAM.

Jam 1.10 tengah hari, aku kembali ke Pusat Sumber. Sepatutnya aku akan masuk ke kelas 5 Amanah untuk tengok cikgu Masdiwi ajar Matematik, tapi program motivasi di dewan menyebabkan kelas tu cancel. jadi, hari ni tak dapat nak tengok mana-mana guru mengajar.Seperti biasa, jam 2 petang aku ke surau untuk solat zohor bersama guru-guru dan pelajar. Ada seorang pelajar yang cuba untuk lari tak nak solat, tapi cikgu Nasir sempat panggil sebelum dia lari lagi jauh. menarik tengok cikgu-cikgu ni kawal budak.

2.30 petang.. Pulang.

Sekian dari Syuib0809

Saturday 12 January 2013

Indahnya Politik Cara Islam

Bismillah.

Fuhh, selepas dua minggu, aku akhirnya berjaya menghabiskan buku Indahnya Politik Cara Islam karangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman a.k.a UZAR. Memang cukup lama nak habiskan buku ni berbanding buku sebelum ni yang hanya makan masa tiga hari. Melihat pada nama sahaja sudah cukup menterjemahkan buku ni sebagai sebuah buku yang agak berat dan sangat padat dengan fakta. Memang aku sendiri mencari kekuatan untuk membacanya.

Tapi, tak dinafikan buku ni mempunyai banyak bahagian-bahagian menarik di dalamnya.


Permulaan buku ni, menceritakan perbezaan Negara Islam dan juga Negara Harb. Sebuah gelaran yang sebenarnya sangat baru setelah hilangnya sistem Khalifah dan juga pemerintahan berbentuh penjajahan. Ada yang mendefinisikan Negara Islam sebagai sebuah negara yang mana orang Islam aman di dalamnya, ada yang mengolahkan sebagai negara yang mana dakwah bebas dilakukan. Namun, ramai juga menyimpulkan ia sebagai sebuah negara yang tertegaknya hukum Islam dan syiar Islam di dalamnya. Dalam keadaan Dunia hari ni, mungkin gelaran ini sukar untuk dinisbahkan kepada mana-mana negara sebab di UK sendiri, Islam bebas untuk disebarkan dan sangat dihormati.

Kisah-kisah Pelik 

Aku secara jujurnya memang sangat suka baca kisah-kisah sahabat ataupun sejarah Islam berbanding masalah Fiqh dan tauhid. Walaupun dalam buku ni banyak membincangkan Fiqh politik dan muamalat, beberap kisah menarik turut diselitkan bagi memahami kefahaman para sahabat terhadap segala tindakan Rasulullah S.A.W. Antara kisah yang banyak disentuh ialah mengenai keengganan Umar r.a membahagikan tanah yang dirampas kepada tentera. Umar juga pernah menghentikan perlaksanaan hudud kepada pencuri pada tahun kebuluran. Macam-macam lagi kisah yang menjadikan buku ini sangat berbaloi untuk dibaca.

Politik, Demokrasi dan Pilihan raya.

Buku ini serba sedikit menceritakan mengenai pilihan raya yang kadang-kala boleh menjadi hukum haram apabila menyertainya. HAMAS sendiri pernah tidak menyertai pilihanraya Palestin yang dilihat sangat-sangat tidak telus. Namun di Malaysia hari ini, pilihanraya dilihat sebagai satu amanah penting untuk setiap pengundi  keluar memilih ketua dan wakil mereka. Di bahagian ini juga, diperjelaskan beberapa kekeliruan terutamanya mengenai hadis mentaati pemerintah, hukum berdemonstrasi, lompat parti dan macam-macam lagi yang InsyaAllah akan membuka minda pembaca untuk suka kepada politik cara Islam.

Ada juga isu-isu lain seperti rasuah, mogok lapar, fenomena Ahli politik dan Hadiah, Undi Calon atau Parti?, Berbilang Jemaah dalam persoalan Daulah yang dikupas dalam memahamkan Umat Islam terhadap keadaan politik semasa.

Poltitik Teladan Para Shabat r.a dan Tabi'in.

Bahagian kedua akhir ni mungkin menjadi penarik untuk golongan muda membaca buku ni. Melihat kembali kisah-kisah Khalifah Umar r.a yang sangat amanah terhadap urusan pentadbirannya, keras terhadap sebarang peluang fitnah daripada terjadi, menjadikan pembaca seolah-olah mengidamkan kembali seorang Ketua yang beperwatakan seperti Umar. Walaupun kisah tersebut sudah aku baca dalam Zaharuddin.net, ianya masih tetap menyentuh hati aku. Turut dimuatkan, kisah-kisah Imam Abu Hanifah ketika pemerintahan Abu Jaafar.

Akhir kata, selamat membaca.

 UZAR berdiri paling kanan waktu angkat barang rumah Abang Farid

Sekian dari Syuib0809

Wednesday 9 January 2013

Guru, pangkat dan gaji

Bismillah.

Pagi tadi, seorang pensyarah kami bercerita mengenai kenaikan pangkat, gaji, DG dan sebagainya. Bercahaya je mata semua budak-budak kelas bertanya dan mendengar penjelasan cikgu matematik kami tu. Aku tidak pasti kalau ada budak lain yang seperti aku, tapi memang aku sangat tak berminat dengan tajuk tersebut. Bukan aku tak suka duit. Bukan juga sebab aku tak mahu jadi kaya. Tapi aku rasa, kerja dengan kerajaan(duit rakyat) bukanlah tempat untuk membuat dan mengumpul kekayaan. Poyo kan aku?

Waktu cuti hari tu, aku sangat terkesan dengan kata-kata dari seorang senior aku bernama Amin. Walaupun dah ada pekerjaan yang bagus dalam bidang gali minyak, dia cadang nak kerja sendiri bila tiba masanya sebab takut kerja makan gaji yang kadang-kadang kita selalu berlaku khianat dalam mengerjakannya. Dapat gaji, tapi datang kerja lambat dan asyik lepak makan-makan. Dapat duit sebulan penuh, walaupun kita cuti hampir separuh bulan dan macam-macam lagilah yang menyebabkan kita mengambil duit orang lain tanpa sumbangan yang begitu jelas.

Aku tertarik dalam buku Dr MAZA: Fitnah terhadap para sahabat. Uthman bin Affan menceritakan bagaimana kehidupannya yang terkenal dengan kekayaan dan memilik unta yang sangat banyak di Madinah, sebelum menjadi khalifah. Setelah beberapa tahun menjadi khalifah, hanya dua saja unta yang dimilikinya sekaligus membuktikan jawatan yang beliau ada tidak digunakan untuk mengumpul harta. Kalau nak tengok pangkat, memang kompem jauh lebih besar dari DG54 bagai.

Dalam buku tentang Tuan guru Nik Aziz, beliau sendiri menunjukkan contoh terbaik kepada wakil-wakil rakyat kelantan, bahawa jawatan yang mereka pegang bukanlah lesen untuk mereka mengumpul kekayaan. Malah tuan guru sendiri membahagikan sejumlah yang besar dari pendapatannya untuk perjuangan Islam, malah menghapuskan budaya memberi hadiah kepada Menteri Besar ketika berlansungnya upacara-upacara kerajaan Negeri.

Banyak lagi kisah menarik yang ada mengenai gabenor-gabenor ketika era Khulafah Ar-Rasyidin. Namun, tak larat untuk dikongsikan di sini. Antara kisah popular sudah tentulah mengenai Said Amir Aljumahi.

Aku bukanlah anti kepada mereka-mereka yang tak sabar-sabar nak naik pangkat. Tapi meletakkan itu sebagai salah satu target utama sebenarnya umpama membuka pintu kepada syaitan merasuk kehidupan duniawi kita. Tidak hairanlah bilamana guru-guru sibuk claim semua benda yang dibuat sehingga sanggup berhelah. Berkira nak bantu anak murid yang susah, tak masuk kelas kerana sibuk mengejar guru cemerlang. Buat tuisyen bagai nak rak, tapi kelas sendiri diajar sambil lewa.

Mungkin ramai akan mengatakan, itu hak kita.
Sejak aku dapat elaun di UK, aku sendiri kurang pasti benarkah itu hak aku yang aku ambil dari duit orang? Betulkah duit yang kita dapat itu setimpal dengan apa yang sedang kita buat? terngiang-ngiang kisah Abu Bakar dalam ingatan aku. Suatu hari beliau teringin nak makan daging, tapi tak cukup duit. Hasil dari gaji yang diperoleh apabila menjadi khalifah akhirnya dibahagikan sebahagian kecilnya untuk dikumpulkan bagi membeli daging. Setelah beberapa lama, isteri beliau yang ditugaskan menyimpan duit tersebut memberikannya semula kepada Abu bakar sebagai belanja untuk membeli daging. Bila melihat duit tersebut, Abu Bakar menyedari rupa-rupanya gaji yang diperolehinya dari baitulmal itu sudah terlebih dari keperluannya lalu meminta gajinya dikurangkan. Pelik, tak kan jawatan yang besar seperti itu pun tidak layak menerima sejumlah wang yang hanya cukup-cukup untuk beli daging? Sumber: Fadha'il Amal

Entri ni bukan bermaksud aku tak mahukan kenaikan gaji ataupun pangkat. Tapi sekadar renungan untuk mengawal diri dari tergila-gilakan duit. Buatlah kerja sungguh-sungguh dan pastikan apa yang kita dapat itu setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Dan zuhudlah dengan apa yang ada di dunia, nescaya manusia akan menyanyangi kamu.

Sekian dari syuib0809.

Sunday 6 January 2013

Catatan Penglipur Lara Sang Majistret

Bismillah.

Bukan satu perkara biasa untuk ada internet di asrama baru kali ni. Menjadikan usaha untuk mengupdate blog agak tergendala sepanjang minggu ni. Buku yang aku baca sebaik sampai di maktab ialah Catatan Penglipur Lara Sang Majistret karya Zabidi Mohamed. Buku pertama beliau Arqam, tersungkur di pintu syurga adalah penyebab utama aku membeli buku ni. Sewaktu di luar negara, aku terbaca buku Al-Arqam ni sewaktu berkunjung ke rumah Firdaus Rahim. Dan buku tersebut sangat-sangat mantop.

Buku kali ni, dapat aku simpulkan memang sangat rasa tak puas untuk dibaca. Walaupun mengandungi 255 muka surat, tapi terasa macam sangat cepat aku baca dan memang rasa nak tahu lagi pengalaman-pengalaman beliau yang lain ketika menjadi seorang Majistret.


Buku ni memuatkan kisah-kisah lucu yang penuh dengan pengajaran dan juga ilmu. Ada empat kisah utama yang dimulakan dengan warna-warni sebatan di penjara pudu. Diikuti pula kisah seorang mak cik yang menyeludup beras. Mungkin ramai akan gemar dengan kisah seorang pensyarah tabligh yang terlibat dengan kemalangan di kelantan. Dan kisah terakhir, juga tak terlepas dari menarik minat pembaca iaitu kisah tiga orang penagih dadah yang hanya berseluar dalam mahu merompak kereta mercedes.

Pengalaman Zabidi mohamed sebagai penulis skrip mungkin menjadikan buku ni sangat menarik dan sesuai untuk dibaca para remaja. Buku yang ringan, namun bagi aku mempunyai banyak isi yang mudah untuk diingati. Dan aku sangat galakkan untuk semua beli dan baca.

Sekian dari Syuib0809