Thursday 18 April 2019

Tamat sesi 2018/2019

Bismillah

Sudah seminggu sesi 2018/2019 melabuhkan tirai. So, sempena memperingati sejarah-sejarah ulangan, aku sertakan beberapa keping gambar sebagai rujukan kelak. Seronok ada blog, jadi "pendrive" online. Senang nak cari bila-bila.

Ni beberapa praktikum yang aku ajarin:

H4P05

H5P05

H2P05

Kelas feveret H2P05 ni aku suka sebab adab baguih. Nonmuslim pun sangat-sangat pandai menghormati dan rendah diri. Dan diorang adalah kelas yang buat dua kali jamuan, dan dua-duanya aku datang. Kelas ni ikhtilat power. Memang laki takkan duduk sebelah perempuan. Hahaha.

Seterusnya ialah cochee(ala mentor mentee) H6P01. Semester satu aku ajar, so rapatlah gak. Tapi bila fah masuk 2nd semester, memang tak berusik diorang ni. Dan aku juga sibuk macam-macam benda. Terutamanya ANC yang sentiasa menjadi keutamaan aku. Kesian gak diorang. Takde jamuan proper. Minggu study week panggil makan pizza kat dataran. Eh, diorang yang belanja


Mula-mula gambar tepi qasdina. Tapi pelik dan awkward sangat. Qasdina kot. So, bubuh gambar ni jelah.

Sekian dari Syuib0809


Friday 12 April 2019

Pendakwah Sampah

Bismillah.

Ayuh bercerita tentang sampah.
Aku sebaik sahaja keluar dari sekolah menengah, mengenali dakwah di kolej persediaan A level. Dari zero, kenal sikit-sikit dengan senior badan dakwah yang sangat-sangat profesional. Ketika di sekolah, badan dakwah yang ada bukanlah badan dakwah rasmi, lebih kepada kumpulan tabligh sahaja. Aku dan Sopek sangat anti pada mereka. Berbicara soal agama, tetapi hidupnya dikelilingi sampah dan integriti disiplin yang sangat menyedihkan.

Masuk kyuem, majoriti senior badan dakwah itu sangat dahsyat budaya kerjanya. Malah mereka kebanyakannya adalah pimpinan pelajar di sekolah hebat-hebat. Di kolej, orang islam bukanlah minoriti. Cuma keterbukaan kolej swasta itu menyebabkan bukan islam dan islam liberal kelihatan kuat mendominasi. Kerana itu, matlamat muscom(badan dakwah) di sana sentiasa berusaha menampakkan ISLAM sebagai yang terbaik.

Aku suka menjadi orang islam yang minoriti. Dikelilingi majoriti bukan islam yang berakhlak tinggi ketika di UK, kami sentiasa malu untuk buat sesuatu yang memalukan ISLAM. Nak buang sampah merata-rata memang tidaklah. Tetapi hebatnya lagi di sana, orang putih akan clear meja makan sendiri sebaik sahaja habis makan di kedai. Jalan-jalan bersih dari sampah-sarap. Jika ada, mereka akan kutip dengan sendirinya dan masuk ke dalam tong sampah. Melihat itu, maka terasa malu untuk ajarkan ISLAm yang bersih kepada mereka.

SAMPAH DAN AGAMA.

Kewujudan Islam liberal terhasil apabila orang Islam tidak lagi melihat islam sebagai penyelesaian atau mampu menyelesaikan masalah. Masuk majlis ilmu, liqa', usrah, tamrin, tetapi kekal berperangai mementingkan diri seperti manusia jahiliyah. Malah, komuniti masjid yang aktif dengan majlis ilmu, masih lagi meletakkan sampah sebagai landskap utamanya, parking sesuka hati, malah kejiranan tidak tenang dengan sikap ketidaktamadunan mereka.

Lalu wujud NGO islam yang tidak mahu pakai tudung, tapi memenuhi hujung minggu dengan aktiviti membersihkan sampah kejiranan. NGO anti-hudud yang menghabiskan malam-malam mereka memberi makan pada gelandangan. Malah SIS yang difatwakan sesat itu disayangi manusia kerana pertolongan yang dihulurkan kepada wanita-wanita tertindas akibat keganasan rumah tangga. Dan kau, masih mahu bercerita soal agama?

PENDAKWAH SAMPAH

Mengubah masyarakat bukan sesuatu tugas yang mudah. Membentuk generasi, maka aku suka bermula dengan ANC. Setiap kali ada event, seronok melatih mereka bekerja dengan sangat profesional. Biar anak-anak pelajar yang pernah anti pada badan dakwah, terasa teruja melihat hasil kerja dan disiplin mereka. Cuma ada masanya, ia mengecewakan. Banyak yang semakin berjinak dengan perasaan malu, tetapi banyak juga yang masih kekal dengan badwinya.

Bersempena dengan PSPM yang sudahpun berakhir hari ni, kami membuka ruang belakang surau itu untuk ulangkaji pelajaran. Biar ramai yang hadir surau, seronok ke surau dan selesa dengan persekitarannya. Malah untuk aktiviti road to pspm, bertungkus lumus ajk menyediakan makanan agar para pelajar berpagian dengan wajah surau sebagai gambaran pertamanya. Tapi terkejut, surau itu jadi pusat sampah.

Dahsyat. Lepas makan buang macam tu je

Buat surau macam rumah sendiri. Takde nak kemasnya lepas guna.


Budak-budak surau yang berusrah itu, yang solat berjemaah itu, yang update status islamik itu, suka menghasilkan sampah dan selesa dikelilingi sampah. Jangan ditanya tentang hatinya. Jika luarnya selesa berkehidupan dengan sampah, maka hatinya tidak banyak berbeza. Yang mendukacitakan bukan itu, yang menyedihkan ialah tiada sedikit perasaan malu mentontonkan kepada masyarakat bahawa ISLAM adalah agama sampah. Dan kemudian dengan peliknya berkata "biasalah cikgu, memang orang tak suka dengan badan dakwah".

Walaupun aku berbangga dengan kerajinan dan kesungguhan mereka membantu, kekecewaan itu masih menebal. Masuk bilik markas macam tongkang pecah, kemudahan yang diberikan disalahgunakan. Harta ANC yang sepatutnya jadi medium dakwah, digunakan untuk kepentingan diri sendiri.

Tetapi itulah manifesti sayang. Semakin kau sayang kepada manusia, semakin kau mudah kecewa kepadanya. Makin kau berharap sesuatu kepadanya, makin tinggi pengkhianatan yang kau alami. Tetapi hebatnya Allah cipta manusia, punya iman dan pemahaman yang boleh turun dan naik. Maka besar harapan, agar iman dan akhlaknya naik selaras dengan usianya.

Kerana teguran dari orang yang sayang kepada orang yang disayangi bukan untuk menghinanya, tetapi sebuah paparan kekecewaan agar dirinya menjadi lebih baik. Anak-anak, janganlan selesa menjadi pendakwah sampah. Kerana kalian jauh lebih mulia dari itu.



Selamat pergi.
Mudah-mudahan kekal kembali.