Saturday 31 May 2014

Bacaan Tanpa Kesudahan

Bismillah.

Lama tidak berkongsi. Bukan tiada cerita, namun terlampau fokus kepada kehidupan yang serba baru. Jadual hidup yang berubah, maka merombak juga segala bentuk aktiviti harian yang biasa. Antara yang paling aku terasa perubahannya ialah "jadual" membaca aku. Membaca di bilik pensyarah kali ni seperti janggal, terlampau banyak individu yang menegur. Bukan menegur negatif, namun perkataan seperti

"wah, rajinnya baca..",

"eh.. tak ngantuk ke baca lama-lama..." sedikit sebanyak agak merunsingkan dan menyebabkan aku berhenti membaca sebentar.

Sebaik sahaja dapat gaji, aku singgah ke Hasani untuk rembat beberapa buah buku. Sejak akhir-akhir ini banyak pulak buku terbitan karangkraf yang aku beli. Kalau diikutkan sebelum-sebelum ni aku memang agak kureng dengan buku diorang. Namun, banyak penulis terkenal yang mula menghiasi dunia karangkraf dan harganya boleh dikatakan agak murah. Antara yang aku nampak sangat banyak di kedai buku ialah buku Cerita Cinta Ahmad Ammar. Buku yang sangat tebal.


Buku ni bagi aku agak ringan untuk dihadam dan berbentuk santai. Pemuda yang hebat, mungkin tak ramai yang sedar kehidupan unik beliau. Maka pendekatan yang digunakan dalam buku ni sekaligus merubah mindset ibu-bapa terhadap definisi kejayaan anak-anak. Anak muda yang mencintai sejarah ketamadunan Islam, mencari kebenaran sejarah dalam dunia yang terfitnah dengan Mr. google pada hari ini. Hebat.. Tapi aku tak dapat nak habiskan buku ni bila menyedari terlampau banyak point yang diulang-ulang kerana penulis dalamnya yang berbeza-beza. Maaf.

Maka aku stop dari baca buku ni. Berhijrah ke sebuah lagi buku hebat "Menalar Makna Diri, Kembara Menjejak Imam Birgivi" dari Ustaz Hasrizal.



Aku sudah hadam lebih separuh buku ni. Isinya sangat-sangat "berani". InsyaAllah akan dikongsikan bila aku dah habis baca nanti. Cuma ada beberapa persoalan yang muncul bila aku baca buku ni. Dalam perjalanan tamadun Islam yang begitu panjang, Allah mengangkat masyarakat Turkey untuk menjadi "pemegang" amanah pemerintahan dan "mengetepikan" orang Arab buat sementara waktu(lebih 600 tahun). Namun, apabila bercakap mengenai dunia Islam, pandangan akan tertumpu kepada tanah Arab yang kini sangat dikenali dengan disiplin mereka yang rendah. Sedangkan umat Islam masih ada penduduk turki yang sangat lemah lembut, meraikan tetamu, menjaga kebersihan dan punyai disiplin yang tinggi. Bukankah lebih adil memandang turkey sebagai model terkini berbanding tanah arab kerana kepimpinan Islam berakhir di situ?

Namun lebih aku hairankan, dalam tempoh 600 tahun lebih Islam berpusat di Turki, berapa banyak ulama' mereka(turki Uthmaniyah) yang kita kenal dan terkenal? Hampir tiada?



...........................

MUSIM KAHWIN

Sudah dua minggu berturut-turut aku pulang ke rumah pada hari sabtu dan ahad. Kali ini berpeluang memenuhi kenduri-kenduri kawan yang padat sepanjang cuti sekolah ini. Hari ni aku sempat singgah di kenduri Adibah & Naim. Keluar dari rumah pukul 11.45. Kemudian ke kenduri syahir(cap) yang diberitahu secara mengejut. Datang dalam pukul 4 petang dan pulang selepas pukul 6. Hebat kawan aku sorang ni.

Orang dah takde senang nak ambil gambar.




Nampaknya akan pulang kembali ke Teluk Intan minggu hadapan. Seorang lagi rakan kelas 5ST bakal meraikan majlisnya di SEMESTI.



Sekian dari Syuib0809

Tuesday 13 May 2014

13 Mei : Terkenal tanpa dikenali

Bismillah.

Hari yang sangat menarik untuk rakyat Malaysia terutamanya penduduk negeri Terengganu.

Tidak mahu memberi pendapat kerana ruang info yang terlampau terhad untuk dianalisis. Sekadar seronok melihat seorang "budak" yang kerap menjadi watak utama pada hari ini. Terkenal tanpa dikenali.













Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Dari Abul Abbas, Sahel bin Sa'ad as-Sa'idi r.a. berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW seraya berkata, "Ya Rasulullah! Tunjukkanlah aku suatu amalan, jika aku kerjakannya, nescaya aku dicintai Allah, dan dicintai orang ramai". Bersabda Rasullulah SAW, "Berlaku zuhudlah di dunia, nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah kepada pada apa yang ada di tangan manusia, nescaya engkau dicintai orang ramai" – Hadis hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah

Sekian dari Syuib0809

Friday 9 May 2014

Korea Selatan, Islam dan Hedonisme

Bismillah          

Keberadaan di rumah buat sementara waktu kali ini menyebabkan aku me”manfaat”kan internet sepenuhnya. Sewaktu menjelajah youtube, tiba-tiba aku terjumpa video dengan gambar lelaki muda yang berjambang lebat. Tajuk video tersebut “Invincible Youth 2: Seoul Tour with Foreign Students”. Timbul seribu satu persoalan macam mana lelaki yang jelas kemuslimannya boleh menyesuaikan diri dengan Variety Show Korea yang penuh dengan percampuran lelaki perempuan serta makanan mereka yang kebiasaaannya berasaskan babi.



Mengenali korea selatan melalui beberapa Variety show, aku secara jujurnya memandang tinggi terhadap nilai budaya serta disiplin mereka dalam kerja dan ilmu. Sebagai sebuah negara yang terkesan dengan perang dan ancaman perang, korea selatan boleh dikatakan sebagai sebuah negara Asia yang cepat bangkit hingga mula dipandang oleh dunia selepas Jepun. Ketinggian adab dan budaya mereka berjaya memikat orang luar. Panggilan Hyung, Sunbaenim, Nuna, Onni, Oppa dan sebagainya menunjukkan betapa mereka menghormati generasi yang berbeza dengan mereka. Kebiasaan masyarakat asal mereka sendiri tidak menggalakkan lelaki dan wanita untuk bersalaman. Cukup sekadar tunduk. Sebelum makan, mereka akan ucapkan terima kasih pada makanan. Menarik

Namun begitu, Korea bukanlah sebuah negara yang terdedah dan percaya kepada agama. Walaupun ada sebahagian mereka yang menganut agama Kristian, namun kepercayaan tersebut lebih kepada satu ikutan terhadap Amerika Syarikat, negara yang dipandang tinggi oleh mereka. Malah, pengamalan agama kadang-kadang mampu menjadi bahan jenaka bagi mereka. Filem mereka mungkin dekat dengan cinta, namun jauh dari mesej agama. Atheis, mungkin itu nama paling dekat yang kita boleh berikan pada mereka. Namun, gelaran itu mungkin patut diselidik balik kerana mereka hakikatnya tidak tahu pun apa itu ISLAM.


Kenalkan ISLAM di Korea.

Walaupun ada sebuah masjid besar yang terletak di Itaewon, namun itu bukan penanda masyarakat sudah mengenali Islam. Barangkali, ia sekadar tempat berkumpulnya orang Islam di Seoul.


Kembali kepada kisah Invincible Youth tadi, remaja muslim tadi merupakan seorang lelaki Pakistan bernama Osman yang berumur 27 tahun. Apa yang menariknya, rancangan ini dirakamkan pada bulan Ramadhan, dimana Osman sedang berpuasa. Aku tertarik dengan pendekatan yang ditunjukkan oleh beliau sepanjang rakaman rancangan ini. Beliau tidak menunjukkan Islam itu susah dan payah, malah menarik perhatian selebriti korea yang lain untuk bertanya. Dan aku terkejut, bila crew penggambaran menayangkan Osman yang berhenti di tepi jalan untuk menunaikan solat Asar. MasyaAllah!!


Part aku suka minit 14:08 dan 38:30.

Terlampau banyak mesej yang disampaikan Osman mengenai Islam dalam masa yang pendek itu. Kata-kata beliau tidak menampakkan Islam sebagai sebuah agama yang “annoying” sepertimana yang kerap belaku dalam rancangan TV di tanah air. Malah di Malaysia, selebriti Islam sendiri memerli Islam yang tak boleh pegang tangan antara lelaki perempuan bukan mahram. Dalam rancangan tersebut, seorang selebriti perempuan menegur rakannya yang menarik tangan Osman bagi menunjukkan semangat sepasukan. Osman sebelum itu lagi sudah menerangkan dalam bas, namun bagi menghormati semangat tersebut beliau tidaklah menunjukkan muka berkerut atau bertindak kasar.


Menarik sebenarnya bagaimana mereka melayan Osman dalam rancangan ni. Tontonlah sendiri.
Memandang dalam sudut berlainan, mungkin aka ada sebahagian muslim yang mempertikaikan kehadiran Osman dalam rancangan TV tersebut. Memang tidak dinafikan dalam rancangan tersebut ada wanita yang pakaiannya seksi dan ada pula yang menari bagai. Namun aku melihat peranan Osman sangat besar dalam memperkenalkan Islam di Korea Selatan. Aku sendiri tidak dapat bayangkan betapa besarnya kesan sekiranya ada tetamu Islam yang dijemput dalam Variety show gergasi korea seperti RunningMan.

Hedonisme melampau.

Sayangnya, budaya K-POP yang semakin terkenal menghakis sedikit demi sedikit budaya positif yang ada di Korea Selatan. Kini, mereka sudah tidak segan silu berpelukan antara lelaki dan wanita. Malah, bercium di tepi jalan menjadi kebiasaaan di sana. Wanita korea yang dahulunya sopan malah terkenal dengan pakaian tradisional hanbok, kini membiasakan diri dengan seluar dan skirt pendek kerana pengaruh kPop. Anak-anak muda yang dahulunya dahagakan ilmu, membina empayar seperti Samsung dan Hyundai mula bercita-cita menjadi Idol(penyanyi dan penari) kerana begitu tergila-gilakan hiburan sebegitu.

Kesan Hedonisme tidak mudah kelihatan dalam jangka masa pendek, namun memberi impak besar dalam jangka panjang. Lihat sahaja kini, budaya Gangnam Style dan bahasa kotor sudah mula menular dalam masyarakat Asia. Sebagaimana Amerika Syarikat yang sudah biasa dengan seks bebas, fenomena hiburan lucah dari artis seperti Lady Gaga, tidak mustahil Hedonisme seperti itu bakal menjadi kebiasaan di negara berbudaya seperti Korea dan Malaysia.

Alangkah hebatnya kalau Ilmu adalah hiburan buat kita. Kan bagus kalau umat islam sendiri mampu menghasilkan rancangan TV yang tidak menjadikan wanita sebagai watak utama. This is my favourite Variety show sekarang. Menarik bagaimana mereka berjaya lahirka idea sebegini dan dapat sambutan hangat. 48 jam hanya bersama ayah. Return of Superman



Sekian dari Syuib0809.




Wednesday 7 May 2014

Mughith dan Barirah

Bismillah.

Sudah seminggu meninggalkan SMKTAR Nibong tebal. Dalam minggu terakhir tersebut, aku berjaya mengkhatamkan buku Dr MAZA bertajuk Aku Ingin Kembara Lagi. Mengumpulkan beberapa penulisan beliau semasa berada di Oxford, UK. Hampir kepada bentuk Travelog, namun sangat banyak artikel yang membentuk pemikiran. Menjadikan manusia kembali berfikir, tidak lagi sekadar mengikut tanpa usul periksa. Antara yang menarik ialah bagaimana agama sangat perlu dipisahkan dengan politik. Ceng3x, sekularkan bunyi? Isu ni dikupas dalam sudut pandangan berbeza. Banyak lagi perkongsian yang aku kira berjaya mengubah pandangan para Asatizah apabila berada di bumi "kafir" ni. Melihat bumi eropah dari kaca mata yang berbeza. Mengembaralah...



Dalam buku ni ada hadis tentang Cinta Mughith kepada bekas isterinya iaitu Barirah. Menarik kisahnya. Dah banyak kali jumpa, namun baru kini aku berjaya menghayatinya. Maka, aku tuliskan sedikit "madah" rabu minggu lepas sempena mengingati point utama kisah tersebut dan kisah aku yang kini berhijrah ke matrikulasi pulau pinang. Ada kisah dan wajah yang ingin aku ingati sepanjang berada di Nibong Tebal.
Mempersembahkan..

Mughith dan Barirah

Indah sungguh cinta Mughith
Mengundang perhatian kekasih Allah
Kehairanan sahabat bernama 'Abbas
Bagaimana cinta setinggi itu
Mudah ditolak oleh Barirah

Nabiku meraikan cinta
Kerna dalam cinta ada segala-galanya
Malah cinta penanda hatiku dan hatimu belum mati
Sama ada kerana dosa
Atau kerana dinista
Bercintalah..
Moga rohmu dibangkitkan bersama orang yang dicintai

Hari ini
Aku beredar dari bumi tiga negeri
Meninggalkan seraut wajah 
Yang pernah ku impi melihatnya sebelum ini
Empunya yang tiada jawapan
Sunyi... 
Bertemu tanpa suara
Berpisah tanpa bayangan wajah

Diari cinta sememangnya unik
Baru kini diri  mengerti
Apa makna mencintai tanpa sebab
Bukan kerana keperluan 
Apatah lagi kerna kebanggaan
Aneh, sekadar cinta

Cinta sejati nilainya hebat
Mengubah si nakal menjadi puitis
Merubah si pemalu menjadi berani
Biar pasti cinta ditolak
Namun masih terukir senyuman dibibir
Kerna cinta kuatnya pada memberi
Rapuhnya dek asyik menerima.

Mughith dan Barirah 
Lambang kasih suci dari sebelah pihak
Kisah yang tidak sesempurna Ayat-ayat Cinta
Apatah lagi seajaib Ketika Cinta  Bertasbih
Namun CINTA yang menjadi watak utamanya
Bukan Fahri, bukan juga mas Azzam
Cantiknya CINTA
Mengalahkan doktor Vivi
Ngak setanding si Anna Althafunnisa

Bercintalah anak muda
Namun jangan leka dan alpa dengan cinta
Dunia ini tidak lebih dari mainan dan gurau senda
Cintamu kepada manusia selalu hampa
Kerna kamu rasa yang dicintai itu jodohmu
Sedangkan ketentuan Allah adalah kebaikan buatmu
Teruskan hidup
Moga terbentang jalan ke syurga buat kita


Jiwang tak? Kah3x

Sekian dari Syuib0809