Wednesday 25 July 2018

ALC 2018: Hikayat Manjero

Bismillah.

Hari yang penting. Mengurus cinta di dalam kereta. Yang dituduh bercinta tak tahu pun cinta. Yang tak pernah bercinta fobia dengan cinta. Yang sedang bercinta, mengkhianati cinta. Yang pernah bercinta, malu plak nak ungkit kisah lama waktu kera bercinta. Lawak anak muda, tapi ia membinasakan. Nah, lagu cinta untuk korang





Oleh kerana aku masih belum pun mula menulis perkara yang paling penting, maka aku utamakan yang ini dulu. Cuma hikayat kali ini tidaklah menyedihkan. Ia hanya cerita. Moga yang cuba faham, mampu memahami. Mempersembahkan..

HIKAYAT MANJERO

Kasihan Manjero
Dia kampung tiada penghuni
Tepian kontang fitnahan nama
Hadapan laut menongkak langit
Pahlawan bertarung tiada keris
Menyeru kekasih supaya menjelma
Hodoh siulan iringan tangisan
Aneh burungnya terpikat juga

Sumpah Manjero usah kau seru
Makbul jadian bukan kecindan
Jika di sana engkau bercinta
Disitu juga hati kau kecundang
Hayatus sore istana hutan
Pulang kau ingat songkokmu beruban

Kampung kau tuduh gersang dan kontang
Sekejap sahaja penuh dengan cinta
Si muda mudi entah dari mana
Mahu ketemu yang bukan saudara
Padahal berpisah tak cukup lama
Biarkan sahaja, sebelum putus selama-lamanya.

Bisik manjero
Tunjuklah kasihmu
Ini sahaja masanya
Cukuplah bersedih
Masamu tak lama
Pagi ini engkau bertemu
Esok paginya sudah tiada

Cinta sebesar itu
Belum boleh aku zahirkan
Cukuplah kiasan menjadi hiasan
Biarpun berbeza, cintanya sama
Tidak berkurang biarpun lama
Kalau esok engkau meminta
Biarpun habis, ku cari juga

Pesan Manjero
Jangan kau kenang tempat bertemu
Khuatir mimpi mahu kembali
Benar batunya masih sama
Tapi isinya lain sekali

Kalau esok engkau merindu
Memori yang ada kau buat lagu
Biarpun nanti kau lupa nama
Irama kau dengar kan putar cerita
Detik manisnya kau duduk bersama
Di bawah anjung, manjero tua

Hikayat manjero berhenti di sini
Adat bersimpuh temukan mati
Bukan yatim bukan piatu
Hilang cinta hilang amanah
Puteri kayangan pun sedih berpisah
Inikan pula kau dari tanah
Asal debu pulang berdebu
Mudah-mudahan tetap bertemu

Selamat tinggal manjero
Terima kasih untuk kisahmu itu


Sekian dari syuib0809

Friday 20 July 2018

ALC2018: Dapur Kampung

Bismillah.

Menyambung kisah ALC di anjung Manjero, kali ini inshaAllah akan berkisar mengenai dapur, menu, dan team masakannya. Seperti tahun sebelum ini, kami masih masak sendiri, tidak upah atau tempah pada mana-mana khidmat katering. Sejujurnya, walaupun ianya adalah kebiasaan bagi kami ketika di UK, tetapi masak sendiri ketika berprogram ini masih agak asing di bumi Malaysia. Ada orang melihat ia sebagai proses penjimatan, tetapi aku lebih suka melihatnya sebagai penghidup suasana dengan aktiviti seolah-olah bergotong-royong disaat anak-anak muda lainnya sedang sibuk berprogram,

Suasana dapur ALC2018.


Apepun, jom tengok menu-menunya:

Sabtu:
Sarapan ringkas: roti dan air mineral
Minum pagi: nasi goreng + teh o
Makan tengahari: ayam kari, udang galah masak lemak, sayur campur, papadom
Minum petang: cempedak goreng(30 kilo)
Makan malam: Ayam masak kicap, mentarang asam pedas, sotong sambal.
Makan tengah malam: Pizza Hut. Ye, sumpah..

Ahad:
Sarapan: Sandwich telur
Minum pagi: spaghetti bolognese tak jumpa ayam. Haha
Tengah hari: Ayam BBQ(owner sponsor), siakap sweet sour, lala masak lemak, kupang masak tiram(khas utk fasi), sayur campur dgn sotong

Dahsyat tak?


Makanan Laut.

Antara yang menarik dalam menu kali ini ialah makanan lautnya. Hari pertama sahaja sudah disajikan dengan udang galah yang aku beli dari kepala batas lagi. Dalam perjalanan ke tempat kem, aku melalui pasar merbok. Singgah sebentar sebab memang biasanya banyak makanan laut di situ. Jumpa sotong kurita yang sangat banyak dan aku borong semua teruih. Melepasi pekan merbok, aku dan meon melalui tanjung jaga dan terjumpa makanan laut yang sangat "rare". Mentarang, kupang lala dan siput panjang. Kami decide untuk beli mentarang yang sejujurnya pertama kali aku tengok. Tiada lansung jangkaan bahawa makhluk ciptaan Allah ini begitu menguji kesabaran.


Mentarang, makhluk rapuh penguat hati


Proses membersihkan udang galah sudah dibuat pada jumaat malam. Esok harinya, wan nazurah dan izzah mengetuai proses membersihkan ayam 15 ekor. Akibat ketiadaan air, semua proses pembersihan dibuat di sungai berdekatan mcm orang dulu-dulu. Mereka kemudiannya membersihkan sotong dalam kepenatan untuk menu makan malam. Kami yang lelaki pula membersihkan mentarang seberat 20kilo. Selepas satu jam setengah, macam tak berkurang mentarangnya. Setengah kotak pun tak sampai. Kulit dia yang rapuh menyebabkan kami tak boleh menggunakan kekerasan dan kelajuan. Dan dalam dia plak ada macam cangkuk baju kecik yang mesti dikeluarkan takut orang termakan. Oleh kerana aku dah menyampah, aku terus melarikan diri. Menguji kesabaran sungguh benda ni. Boleh masuk dlm modul tamrin. Haha..

Musim Buah.

Rezeki kami juga ketika ALC, sekeliling kawasan Yan itu dipenuhi dengan buah durian, manggis dan juga rambutan. Entah macam mana terjumpa beberapa gerai buah org kampung yang agak murah, aku borong beberapa puluh kilo sebagai santapan fasilitator dan juga peserta. Biar lepas geram. Tapi diorang ni boleh tahan hantu durian gak. Terutamanya si asmak dengan nad. Badan je kecik, habis semua diorg rembat.

Hantu durian

Buah kedua yang aku borong ialah cempedak sebab nak buat cempedak goreng petang tu. Dekat 30 kilo gak lah ambik sebab mengenangkan bilangan manusia kat kem tu yang mencecah 150 orang. Sekali si izzah tak larat nak goreng sebab terlampau banyak sangat dan dapur dah mula nak guna untuk menyediakan menu makan malam. So, selebihnya goreng keesokan harinya untuk sarapan pagi. Buah lain tak borong. Malas.

Bukti ada durian. Lupa nak tangkap yang berlonggok punya

Seminggu sebelum ALC, balun durian free kat balik pulau, rumah meon


Team Dapur.

Aku secara personal melantik Fatin Jazmina sebagai ketua team dapur, dibantu si Afrina dan si Izzah sebagai pembantu. Sebabnya usah ditanya, aku rasa anak-anak dara profesional yang cantik ini sudah perlu mula berjinak2 di dapur. Biar lengkap pakejnya. Haha. Pujian aku berikan kepada mereka kerana perancangan diorang sangat rapi dan baik. Cuma masing-masing mula naik angin kerana ketiadaan air dan kepenatan melampau sebab bekerja tanpa henti. Biasalah kecik-kecik lagi, proses menyiang dan membersihkan itu mengambil masa yang lebih lama berbanding makcik2 bawang yang sudah expert. Dapat plak kawan-kawan yang kuat mengelat, lagilah pening kepala. Haha.

Aku pun tak faham mana si afrina ni belajar masak pakai jubah. Aku rasa si wahyu la yang duk mulakan trend ni dari tahun lepas.

Tudung hitam yang paling power mengelatnya. tengok2 dah hilang


Untuk tukang masak, ustaz khadri dan isteri mengambil tempat utama. Antara yang diorang masakkan ialah ayam masak kari dan ayam masak kicap serta sambal kicap. Manakala aku plak masak udang galah masak lemak, sayur campur, mentarang asam pedas, siakap sweet sour dan sotong masak lemak. Cuma yang lawaknya, sotong/lala masak lemak aku jadi warna hijau sebab budak-budak ni tak basuh bersih. Memang pelik habis.

Nampak benda hijau?

Manakala budak-budak ni masak nasi goreng, kerja goreng-goreng, sandwich, spaghetti, buat air dan tanak nasi putih. Penatnya jangan dibuat main. Biarpun penat, aku rasa ia proses pembelajaran yang sangat baik sebagai permulaan agar mereka menjadi anak gadis yang meraikan fitrahnya.

Kelemahan.

Walaupun makanannya kelihatan mewah, tapi kuantitinya masih belum mengenyangkan. Mereka meletakkan satu talam perlu dikongsi 8 orang yang bagi aku agar ramai jumlahnya. Sedang makanan yg dibubuh dalam talam itu mungkin sesuai untuk 5-6 orang sahaja. Kerana itu, ramai peserta muslimin yang masih mengadu lapar. Barangkali kepenatan, mungkin team dapur ini tak alert sebab memang lauk banyak lagi lebih sebenarnya.

Gambaran talam-talam ini beroperasi

Nak kena maki, try la cari pasal dgn dua orang ni

Aku mengenali anak-anak dara cantik ini sebagai mereka yang masih "kuat tidur". Hehe. Ahad pagi, aku sudah menanti seawal jam 5.15 pagi untuk tengok proses penyediaan sarapan pagi. Siot, satu batang hidung pun tak nampak. Kadang-kadang aku selalu menyalahkan diri sebab memaksa mereka yang belum cukup matang ini untuk terus bekerja seperti orang matang. Sedangkan mereka yang kelihatan besar ini sebenarnya masih kecik. Jujur, masih kecil.

Budak kecik. Mentarang dgn mengkarung tak reti beza

Keseluruhannya, proses memasak di dapur ini sangat-sangat berjalan dengan baik. Malah aku perlu mengakui aku agak relaks berbanding kem ALC sebelum ni sebab sufi n the geng suka melarikan diri. Haha. Cuma, masalah air sedikit sebanyak mengganggu jadual dan perancangan yang telah diorang susun dari awal. Juga pujian aku berikan pada Fatin Jazmina yang sanggup berkorban menerima tugas berat ini. Tahniah. Mudah-mudahan bermanfaat.



Sekian dari Syuib0809

Wednesday 18 July 2018

ALC2018: Anjung Manjero

Bismillah

ANC Leadership Camp 2018 akhirnya melabuhkan tirai hari ahad yang lalu. Berkampung dua hari satu malam di Yan, Kedah, ini adalah program ALC kali yang kedua selepas buat pertama kalinya berlansung sesi lepas. Menghilangkan rasa kekok sesama ahli ANC yang baru sahaja dilantik, aku kira itu yang paling menjadi agenda utama program ini diadakan. Maka besar sungguh harapan, agar selain daripada MEMORI, ALC ini juga boleh menjadi program Tahunan walaupun selepas ketiadaan aku lagi di kolej.

Limpahan Manusia.

Tahun ini, aku mengubah cara perlantikan ANC buat pertama kalinya. Proses perlantikan yang sangat memenatkan, tetapi hasil dan masalahnya sentiasa sama. Maka pembaharuan perlu dilakukan. Kesan daripada itu, bilangan yang mahu mengikuti kem ini menjadi sangat ramai. Entah apa semangat yang mereka perolehi, hampir semua yang menjadi ANC itu tidak punya banyak kerenah untuk pergi walaupun dikenakan bayaran rm5. Pada awalnya aku hanya meletakkan bajet sekitar 80 orang sahaja yang akan pergi. Tetapi sangat dahsyat, bilangan yang mendaftar itu menjangkau 107 orang!!

Hati kecil aku berbisik.. "Alah, mesti ada tarik diri last2 minit nanti". Walaupun benar, tetapi yang tarik diri hanyalah dua orang, yang menjadikan aku sedikit kagum dengan ANC kali ini.

Peserta lelaki yang dari awal pagi dah tolong angkat semua benda


Bilangan manusia itu tidak terhenti di situ sahaja. Kem ANC kali ini juga dilimpahi puluhan alumni yang datang dari pelusuk tanah air untuk membantu program ini secara sukarela. Sebahagiannya menjadi fasilitator, menjadi urusetia dan sebahagiaanya hadir untuk bersama. Dan bilangan mereka mencecah 45 orang, menjadikan perkampungan kecil itu seperti sedang berpesta dengan jumlah keseluruhan seramai 150 orang. Hehe


Penuh dengan perempuan je


Fasilitator dari anc 16/17

Anjung Manjero.

Untuk ALC kali ini, aku memilih Anjung Manjero Resort, Yan sebagai tempat untuk berkampung. Banyak pilihan yang diberikan oleh AJK Urusetia. Kebanyakannya di Baling, Yan dan Sungai petani. Cuma aku bila berprogram, sangat suka suasana kampung yang membawa tenang, berbanding bangunan-bangunan batu yang lebih menyenangkan. Dan jika punya sungai, ia adalah nilai tambah yang sangat menggembirakan.

Selain itu, yang paling aku titik beratkan ialah tempat tidurnya. Walaupun biasanya aku hanya membenarkan peserta pulang ke bilik waktu malam, tapi aku mahu tempat rehat itu benar-benar tempat yang boleh berehat selepas berpenat lelah sepanjang hari. Alhamdulillah, anjung manjero yang berkonsepkan chalet ini, punya penghawa dingin pada setiap kediamannya. Cuma mereka tidak memiliki dewan dan surau yang mampu menampung 100 orang peserta. Dengan kebijaksanaan manusia yang ada, kami mengubahsuai beberapa tempat untuk dijadikan "dewan" tempat peserta berkumpul.

Cuma yang tak bestnya, bilangan peserta yang melimpah ruah itu menyebabkan aku tiada tempat berehat. Semuanya sudah dipenuhi dengan urusetia, peserta dan fasilitator. Yang tinggal hanyalah dorm usang bawah surau, itupun hanya sempat aku baring dari jam 2 pagi hingga 5.30 pagi sahaja. Walaupun bergelar pensyarah dan guru pengiring, aku sudah biasa dilayan seperti orang-orang bawahan. Haha.

Bergambar dengan Meon memang best, tak nampak diri tua sangat. Haha. Kalau ada luqman asri, mesti lagi nampak muda.


Susah vs Senang.

Secara jujurnya, proses persediaan dan perjalanan ALC ini sangat mudah dan tidak punya banyak masalah. Urusan birokrasi dengan pihak pentadbiran kolej juga tidak pernah semudah ini. Apabila bilangan peserta bertukar dari 80 kepada 100 lebih orang, aku agak pening macam mana nak bawa mereka ke sana. Bila minta tambahan van dari kolej, terus lulus tanpa banyak karenah. Dan penghujung kesenangan itu ialah apabila para peserta semuanya datang awal pada hari bertolak itu. Bagus disiplin mereka, tiada seorang pun yang perlu ditunggu. Malah bas yang dijadualkan jam 7.30 pagi sudah boleh bertolak jam 7.40 pagi tanpa sebarang masalah.

Bersembang dengan ustazah izna yang masuk koir, pagi sebelum bertolak ke yan kedah. Dia tukang angkut orang sebab masih ada beberapa peserta yang tak muat masuk bas.


Tetapi kesenangan2 itu seperti kekok untuk terus dibiarkan melanda program2 agama seperti ini. Maka, ALC kali ini diuji dengan ketiadaan air di tempat kem, Anjung Manjero tersebut. Macam-macam sebab yang diberikan oleh pihak pengurusan kem. Tetapi sehingga tamat program, masalah air itu masih belum boleh diselesaikan. Akibatnya, program tersebut terpaksa diubahsuai sedikit untuk memberi ruang kepada peserta yang ketiadaan air untuk mengambil wuduk.

Peserta laki xde masalah, boleh terjun je dalam kolam

Yang menjadi kerisauan aku ialah anak-anak dara ni. Perempuan kan complicated.


Apepun kali ini, aku sedikit lapang dan tenang kerana kehadiran anak-anak buah yang boleh diharap. Hampir semuanya mereka yang uruskan walaupun umur masih belasan tahun. Cuma macam-macam benda yang mahu aku cerita. InshaAllah total 4 post yang akan aku tulis. Antaranya bakal menyajikan ini:

Sumpah Manjero usah kau seru
Makbul jadian bukan kecindan
Jika disana engkau bercinta
Disitu juga hati kau kecundang
Hayatus sore istana hutan
Pulang kau ingat songkok beruban


ALC 2018 bersama Ustaz Ghani dan Ustaz Hazrin. Aku bukan ustaz. haha


Bersambung.....