Monday, 23 October 2017

Bicara Hati untuk Hati

Bismillah.

" you punya telinga, dua-dua sudah tutup.. Maybe sebab kuman.."

Setelah tiga tahun berlalu, aku kembali membuat pemeriksaan kesihatan. Kesempatan yang ada, aku meminta doktor yang sudah dimamah usia memeriksa sekali telinga yang semakin tidak biasa. Semuanya kerana insurans perumahan. Tidak aku sangka kerenah birokrasinya lebih mencabar berbanding membina rumahtangga. Adapun mencari orang rumah, masih menjadi tugasan paling mencabar buat diri.

Telinga yang ada dua ini, bukan sebegini sejak azalinya. Semakin aku besar, semakin menjadi-jadi nakalnya. Cuma hikmahnya, kedua-duanya menjadikan aku semakin kurang nakal. Kalau dulu banyak benar sembangnya, banyak benar dengarnya, banyak benar kawannya, banyak juga dosanya. Cuma kini semuanya berlainan dari yang dulu. Aku sudah tidak banyak bersembang dengan manusia. Sudah tidak banyak berbuat kawan. Orang sekeliling yang tidak pernah melihat siapa aku dahulu, membilang aku anti sosial, tidak peramah dan serius sahaja orangnya.



Sedangkan aku, tidak gemar jika orang berminat dengan telinga yang tersembunyi rahsia ini. Tiada siapa bergembira digelar si pekak. Sedangkan si buta pun berkecil hati digelar si buta. Dan terbukti, OKU juga lebih berminat ditafsir sebagai kelainan upaya berbanding kurang upaya. Adapun yang sudah tahu dan sedang tahu, dihantar Tuhan bagi menjinakkan ego yang ada dalam diri.

Mengelakkan orang-orang biasa tahu, maka kurang bercakap dan bersembang adalah kuncinya. Jodoh mulut yang berbicara itu pasangannya adalah telinga. Telinga yang tidak menerima, maka tiada jawapan juga yang akan diterima. Ketika itu, rahsia tidak lagi tinggal rahsia. Kerana itu, aku memilih untuk kurang berbicara. Dan akibatnya, aku selalu tidak berjaya menghabiskan kuota dan kosa kata yang patut diucapkan manusia 3000-4000 sehari.

Penyelesaiannya, aku memilih untuk bercakap sebanyak-banyaknya dalam Dewan kuliah dan bilik tutorial. Hingga kadangkala, yang mendengar terpinga-pinga dengan apa yang aku bebelkan. Bila malam menjelma, aku terus berhenti berbicara. Duduk seorang diri. Melainkan ada urusan bersama ANC, barulah kouta patah perkataan yang berbaki dilengkapkan sepenuhnya.

Selebihnya, aku bicarakan dengan menulis. Kerana adat manusia, mesti mengadu apa yang dirunsingkan dalam hati. Jika dipendam, besar kelaknya menjadi penyakit. Oleh kerana tiada manusia, maka aku bicarakan sahaja dengan mencoret apa yang mampu. Cuma kehadiran pembaca yang masih belum matang, memerlukan aku untuk lebih berhati-hati tatkala menulis. Bahasa hati ini sebenarnya bukan untuk yang membaca, tetapi untuk hati yang menulisnya sendiri. Kerapkali aku membelek-belek kembali penulisan yang aku sahaja tahu makna penuhnya. Ia disusun mengikut darjatnya. Yang dinilai mengikut bahasa dan cerita disebaliknya. Selalu aku membacanya kembali. Buat peringatan untuk hati sendiri.

1. Putus
2. Mughith dan barirah.
3. Buah Hati Tamtam
4. Pondok Hutan
5. Kapitalis Dakwah.
6. Bisikan Buat Raja
7. Acuan dan Roda
8. Langgam Bakungtai
9. Sisi Hati Memori.
10. Bebas.

Top petikan yang menjadi tulang belakang

Bilamana kamu bersedih
Dirimu beranggapan aku gembira
Atau berkhayalan diriku tiada rasa
Sedangkan unggas menontonku
Menghiburkanku dengan muzik-muziknya
Supaya aku berhenti berduka
Tersenyum...
Terus gembira.




Bercintalah anak muda
Namun jangan leka dan alpa dengan cinta
Dunia ini tidak lebih dari mainan dan gurau senda
Cintamu kepada manusia selalu hampa
Kerna kamu rasa yang dicintai itu jodohmu
Sedangkan ketentuan Allah adalah kebaikan buatmu
Teruskan hidup
Moga terbentang jalan ke syurga buat kita





"Ishh cikgu ni.. 10 kali dah cakap, Sufi balik dengan parents dia la..."

Gadis bernama Wahyu ni, kalau wujud wataknya di SEMESTI  dulu, pasti benar menjadi musuh utama aku. Muka cantik, bahasa kasar, adalah golongan utama yang aku isytiharkan perang ketika zaman pramatang dahulu. Cuma kasarnya dia, pada semua manusia tanpa mengira rupa. Adapun gadis-gadis yang pernah aku jumpa, berlembut dihadapan pemuda mirip Fattah Amin, menjadi singa jika wajahnya cerminan Rahim Sepahtu. aduih. Dan telinga ini juga menjadi penyebabnya.



Hmmmm.. Jujur, diorg memang lawa. So, kene tutup muka. 



Baru-baru ini, aku berkunjung ke pantai timur kembali. Lama tidak ke sana. Jarak yang begitu jauh itu benar-benar menguji kesabaran walaupun aku tidak bergelar pemandunya. Membayangkan jika aku berjodoh dengan orang Terengganu, pasti ngeri bunyinya. Bergaduh jela gamaknya bila nak balik kampung kelak. Bukan giliran yang aku runsingkan, memikirkan jaraknya sahaja sudah mencipta  sebuah kerunsingan. Abaikan, itu cerita lama, asbab tatkala aku menulis "putus". 

Aku ke sana kerana konvokesyen adik perempuan aku di UNISZA. Dan rezeki, berjumpa bekas-bekas student. Cuma yang tidak dijangka, seorang gadis tiba-tiba menyapa. Tak silap aku nama dia Syuhadah, batch 14/15 modul tiga. Ambik Kimia Analisis. Aku tidak punya apa-apa topik untuk dibualkan dengannya, maka menamatkan perbualan adalah langkah yang terbaik. Noktah.

Anak-anak gadis ini apabila di kolej, kelihatan seperti kanak-kanak di mata aku. Baju kurung yang tidak diseterika sempurna, tudung senget dengan sos keropok losong tertumpah di atasnya, bau peluh sehaluan pelari pecut negara, menjadikan aku seperti bapa-bapa yang mengusik anak-anak daranya dengan mainan kata-kata. Namun di luar, mereka seperti gadis-gadis biasa, dan patut dilayan seperti gadis-gadis biasa. Dan aku sendiri perlu sedar, aku adalah lelaki asing(ajnabi) bagi mereka yang kelihatan tidak asing. Maka, halal haram yang terpelihara sejak dahulu perlu kembali didahulukan.

Seperti mana aku tidak pernah melayan dan berjenaka dengan gadis-gadis biasa, maka aku juga selalu "awkward" bila mahu berbual dengan mereka yang sudah bergelar gadis. Itu adalah aku yang bergelar aku, bosan dengan wanita dan membosankan wanita. Kawan adik-adik aku pun aku x bertegur sapa. Gila. Maka maafkan aku, kerana sudah terlampau biasa menjarakkan diri dengan kaum hawa.

Sori na..
Cukup sudah kuota malam ni

Sekian Dari Syuib0809


Thursday, 12 October 2017

Street dakwah: Isi dan Kulit.

Bismillah.

Mengimbau ingatan zaman-zaman belajar di sekolah dan matrikulasi, aku menjadi orang yang sangat tidak menghormati gadis-gadis sebaya. Entah kenapa tiada tenang melihat mereka. Besar sebabnya kerana akhlak, bahasa dan akal mereka yang meletakkan mereka sebegitu. Apabila masuk ke KYUEM, sikap panas baran aku pada wanita itu berubah secara drastik. Dan buat pertama kalinya aku sangat hormat pada gadis sebaya. Dan penghormatan itu terlampau menggila hingga lalu depan mereka pun aku tunduk. Dua oramg yang menduduki tempat teratas ialah Siti Fatimah Mokhtar dan Amira Mat Safar. Mereka adalah watak-watak yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Siti fatimah itu, pelajar terbaik SPM tahun 2006. Imejnya bertudung labuh, alquran melekat dalam kepalanya, dan dalam MUSCOM(badan dakwah) dia adalah antara bos-bos besar aku. Cuma yang selalu mengujakan ialah apabila orang-orang freehair, tudung pendek dan "kaki sosial" cukup sayang pada dirinya. Pertama kali aku melihat muslimah sebegitu. Malah apabila aku kembali ke surau setiap malam untuk menutup lampu, menjadi hobi mengintai dia dan rakan-rakan yang menegur pasangan-pasangan romantik di koridor kolej. Tiada isu dan diterima baik, teguran dia itu seperti jampi yang tiada silibus untuk dipelajari. Mereka punya seni dalam dakwah. Yang menyambung keberkesanan isi pada kecantikan kulit.

Sekumpulan gadis sebaya yang pernah dihormati

Street Dakwah: Kecantikan Kulit.

Hujung minggu lepas, aku kembali menguji ANC dengan projek baru, diberi nama sebagai street dakwah. Dua minggu berturut-turut yang menjadikan sabtu sebagai hari belajar dan bekerja, amat besar cabaran buat mereka untuk merancang dan melaksanakan projek kecil ini. Projek ini juga adalah program penutup anc untuk semester ini, sebelum mereka menempuh PSPM pada bulan november nanti.

ANC 2017/2018 ini adalah batch yang mendapat 1001 kemudahan dan kewangan hasil pengorbanan senior-senior mereka sebelum ini. Banyak kemudahan-kemudahan yang tidak ANC  sebelum2 ini rasa, dinikmati oleh batch ini. Malam street dakwah ini, dihiasi dengan gambaran yang belum pernah aku lihat pada anc sesi yang lepas-lepas. PA system yang 90% menggunakan mikrofon tanpa wayar, lighting system yang sangat canggih, projector baru, pentas pallet serbaguna(baru sampai), alat muzik temporari/moden, semua kemudahan peralatan ini membina imej yang sangat "gempaks" untuk ANC.



Malah pujian besar aku berikan kepada pengendalian teknikal bagi program ini, yang sangat komited dan rajin. Bayangkan sebaik sahaja kelas habis jam 5 petang, muslimin ANC terus bergotong royong angkat peralatan dan pentas ke depan koperasi. Hingga ada yang kekal berkemeja sehingga program tamat. Hebat!!.

Street Dakwah: Isi yang tertampal.

Program santai ini, mempersembahkan lagu menahan rindu(wany hasrita), peace be upon you(maher zain), kalimah cinta(inteam), potret(akim &majistret) dan ditutup dengan lagu Aisyah(projector band). Kemudiannya diselangi dengan sketsa, sedikit tazkirah dan kuiz "moral" sebagai tampalan kepada hiburan yang dipersembahkan. Dan sambutannya, sangat menggalakkan.

Antara penonton-penonton yang hadir.


Sketsa tipikal: Anak derhaka. Secara jujurnya, mereka kurang idea.

Namun yang merunsingkan aku ialah "rohnya". Barangkali aku sudah terlalu tua, atau mereka yang terlalu muda. Aku gagal mengesan "misi dakwah" yang sepatutnya menerajui projek ini. Hingga aku tersedar di penghujung persembahan mereka, penonton hanya beroleh hiburan, bukan pengisian.

Pencarian MC yang perlu diteruskan. Kesian asyik-asyik presiden ANC ni je yang kena kedepan. Sukarnya mahu mencari pengacara majlis yang mampu menyampaikan ilmu dengan unsur kecindannya sekali.


ANC sesi ini, baik-baik sahaja orangnya. Tiada apa-apa masalah besar seprti batch-batch sebelum ini. Dan aku gembira sahaja dengan mereka. Cuma sedikit sahaja kekecewaan aku, apabila melihat ada "jarak" antara mereka dengan orang awam. Jarak bunian itu menyebabkan nasihat dan pengisian tidak berjaya menembusi hati-hati orang awam yang mereka sisihkan. Kehilangan seni dakwah itu, seperti menyarung pakaian "malaikat", hingga sukar manusia-manusia biasa untuk merapati mereka. Natijah yang lebih besar, apabila mereka menyampaikan agama dengan bahasa-bahasa malaikat, pada manusia-manusia yang hanya paham dan menghayati bahasa manusia.

Seni Dakwah.

Dakwah yang tidak disertakan dengan amal oleh pelakunya, memisahkan cantiknya kulit dengan isi yang besar nilainya. Fatimah dan Amie yang aku hormati dulu, menyelit ditengah-tengah lautan manusia untuk memahami mereka. Di mana-mana sahaja program kolej, sama ada dipelopori oleh muslim dan non muslim, senyuman mereka pasti turut menziarahi orang-orang yang menjemput mereka itu. Amal-amal mereka, kecintaan mereka kepada ilmu dan Alquran, juga keindahan akhlak mereka, rindu benar untuk aku menontonnya kembali.

Amie(merah, fatimah(ungu). Waktu ni umur sebaya budak matrik je, tapi nampak aura diorang. Sekarang rasanya dah jadi mak orang. Kebanyakan program yang aku anjur mesti diorang ni menjadi tulang belakangnya sekali. Malah Fatimah yang satu rumah sukan(garnet) dengan aku, pernah join dikir barat mewakili House kami. Menarik.


Undur Diri.

Beberapa minggu ini, aku terlampau sibuk menguruskan hal rumah. Setelah gagal dalam usaha mencari orang rumah, aku rasa sangat baik untuk aku sekurang-kurangnya punya tempat berteduh kepunyaan diri sendiri. Menghitung hari, besar kebarangkaliannya aku akan berpindah keluar dari quarters kolej ketika MEMORI berlansung. Atau lebih selamatnya, sebulan selepas itu.

Pengalaman orang-orang lama di kolej berfirasat, komitmen aku akan pastinya berubah. Tidak sama seperti duduk di dalam. Menyediakan anak-anak itu untuk lebih berdikari, adalah langkah terbaik sebelum aku menjauhkan diri. Malah, tahun ini aku nampak en Saiful selaku penyelaras MEMORI agak bersemangat dan mampu membantu mereka. Cuma aku masih belum bertemu kekuatan mereka. Generasi Gajet dan android ini, nipis sungguh bakatnya, banyak benar cakapnya.

Kurang benar pastinya, adakah doa yang diperlukan kelak perlu ditujukan pada mereka, atau sebenarnya lebih berhak untuk aku.

Berdoalah, itu yang aku perlu dari kalian.
Kerana aku juga sedar, aku tidak lagi menjaga mereka sepertimana aku menjaga kalian.



Sekian dari Syuib0809.

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.