Mengimbau ingatan zaman-zaman belajar di sekolah dan matrikulasi, aku menjadi orang yang sangat tidak menghormati gadis-gadis sebaya. Entah kenapa tiada tenang melihat mereka. Besar sebabnya kerana akhlak, bahasa dan akal mereka yang meletakkan mereka sebegitu. Apabila masuk ke KYUEM, sikap panas baran aku pada wanita itu berubah secara drastik. Dan buat pertama kalinya aku sangat hormat pada gadis sebaya. Dan penghormatan itu terlampau menggila hingga lalu depan mereka pun aku tunduk. Dua oramg yang menduduki tempat teratas ialah Siti Fatimah Mokhtar dan Amira Mat Safar. Mereka adalah watak-watak yang aku akan ingat sampai bila-bila.
Siti fatimah itu, pelajar terbaik SPM tahun 2006. Imejnya bertudung labuh, alquran melekat dalam kepalanya, dan dalam MUSCOM(badan dakwah) dia adalah antara bos-bos besar aku. Cuma yang selalu mengujakan ialah apabila orang-orang freehair, tudung pendek dan "kaki sosial" cukup sayang pada dirinya. Pertama kali aku melihat muslimah sebegitu. Malah apabila aku kembali ke surau setiap malam untuk menutup lampu, menjadi hobi mengintai dia dan rakan-rakan yang menegur pasangan-pasangan romantik di koridor kolej. Tiada isu dan diterima baik, teguran dia itu seperti jampi yang tiada silibus untuk dipelajari. Mereka punya seni dalam dakwah. Yang menyambung keberkesanan isi pada kecantikan kulit.
Sekumpulan gadis sebaya yang pernah dihormati
Street Dakwah: Kecantikan Kulit.
Hujung minggu lepas, aku kembali menguji ANC dengan projek baru, diberi nama sebagai street dakwah. Dua minggu berturut-turut yang menjadikan sabtu sebagai hari belajar dan bekerja, amat besar cabaran buat mereka untuk merancang dan melaksanakan projek kecil ini. Projek ini juga adalah program penutup anc untuk semester ini, sebelum mereka menempuh PSPM pada bulan november nanti.
ANC 2017/2018 ini adalah batch yang mendapat 1001 kemudahan dan kewangan hasil pengorbanan senior-senior mereka sebelum ini. Banyak kemudahan-kemudahan yang tidak ANC sebelum2 ini rasa, dinikmati oleh batch ini. Malam street dakwah ini, dihiasi dengan gambaran yang belum pernah aku lihat pada anc sesi yang lepas-lepas. PA system yang 90% menggunakan mikrofon tanpa wayar, lighting system yang sangat canggih, projector baru, pentas pallet serbaguna(baru sampai), alat muzik temporari/moden, semua kemudahan peralatan ini membina imej yang sangat "gempaks" untuk ANC.
Malah pujian besar aku berikan kepada pengendalian teknikal bagi program ini, yang sangat komited dan rajin. Bayangkan sebaik sahaja kelas habis jam 5 petang, muslimin ANC terus bergotong royong angkat peralatan dan pentas ke depan koperasi. Hingga ada yang kekal berkemeja sehingga program tamat. Hebat!!.
Street Dakwah: Isi yang tertampal.
Program santai ini, mempersembahkan lagu menahan rindu(wany hasrita), peace be upon you(maher zain), kalimah cinta(inteam), potret(akim &majistret) dan ditutup dengan lagu Aisyah(projector band). Kemudiannya diselangi dengan sketsa, sedikit tazkirah dan kuiz "moral" sebagai tampalan kepada hiburan yang dipersembahkan. Dan sambutannya, sangat menggalakkan.
Antara penonton-penonton yang hadir.
Sketsa tipikal: Anak derhaka. Secara jujurnya, mereka kurang idea.
Pencarian MC yang perlu diteruskan. Kesian asyik-asyik presiden ANC ni je yang kena kedepan. Sukarnya mahu mencari pengacara majlis yang mampu menyampaikan ilmu dengan unsur kecindannya sekali.
ANC sesi ini, baik-baik sahaja orangnya. Tiada apa-apa masalah besar seprti batch-batch sebelum ini. Dan aku gembira sahaja dengan mereka. Cuma sedikit sahaja kekecewaan aku, apabila melihat ada "jarak" antara mereka dengan orang awam. Jarak bunian itu menyebabkan nasihat dan pengisian tidak berjaya menembusi hati-hati orang awam yang mereka sisihkan. Kehilangan seni dakwah itu, seperti menyarung pakaian "malaikat", hingga sukar manusia-manusia biasa untuk merapati mereka. Natijah yang lebih besar, apabila mereka menyampaikan agama dengan bahasa-bahasa malaikat, pada manusia-manusia yang hanya paham dan menghayati bahasa manusia.
Seni Dakwah.
Dakwah yang tidak disertakan dengan amal oleh pelakunya, memisahkan cantiknya kulit dengan isi yang besar nilainya. Fatimah dan Amie yang aku hormati dulu, menyelit ditengah-tengah lautan manusia untuk memahami mereka. Di mana-mana sahaja program kolej, sama ada dipelopori oleh muslim dan non muslim, senyuman mereka pasti turut menziarahi orang-orang yang menjemput mereka itu. Amal-amal mereka, kecintaan mereka kepada ilmu dan Alquran, juga keindahan akhlak mereka, rindu benar untuk aku menontonnya kembali.
Amie(merah, fatimah(ungu). Waktu ni umur sebaya budak matrik je, tapi nampak aura diorang. Sekarang rasanya dah jadi mak orang. Kebanyakan program yang aku anjur mesti diorang ni menjadi tulang belakangnya sekali. Malah Fatimah yang satu rumah sukan(garnet) dengan aku, pernah join dikir barat mewakili House kami. Menarik.
Undur Diri.
Beberapa minggu ini, aku terlampau sibuk menguruskan hal rumah. Setelah gagal dalam usaha mencari orang rumah, aku rasa sangat baik untuk aku sekurang-kurangnya punya tempat berteduh kepunyaan diri sendiri. Menghitung hari, besar kebarangkaliannya aku akan berpindah keluar dari quarters kolej ketika MEMORI berlansung. Atau lebih selamatnya, sebulan selepas itu.
Pengalaman orang-orang lama di kolej berfirasat, komitmen aku akan pastinya berubah. Tidak sama seperti duduk di dalam. Menyediakan anak-anak itu untuk lebih berdikari, adalah langkah terbaik sebelum aku menjauhkan diri. Malah, tahun ini aku nampak en Saiful selaku penyelaras MEMORI agak bersemangat dan mampu membantu mereka. Cuma aku masih belum bertemu kekuatan mereka. Generasi Gajet dan android ini, nipis sungguh bakatnya, banyak benar cakapnya.
Kurang benar pastinya, adakah doa yang diperlukan kelak perlu ditujukan pada mereka, atau sebenarnya lebih berhak untuk aku.
Berdoalah, itu yang aku perlu dari kalian.
Kerana aku juga sedar, aku tidak lagi menjaga mereka sepertimana aku menjaga kalian.
Sekian dari Syuib0809.
No comments:
Post a Comment