Thursday 24 November 2016

Juara

Bismillah.

Alhamdulillah, KAKOM 2016 sudahpun melabuhkan tirainya semalam. Tahun ini, kami menjadi tuan rumah. Dan kerana itu aku kembali diamanahkan menjaga pasukan bola tampar kolej.

Memori dalam ingatan yang masih berbaki, aku catatkan di sini mengenai semua perlawanan kami.

Isnin(Hari pertama).

KMPP vs KMKualaNerang.
set pertama: 25 - 19
set kedua: 25 - 19

KMPP vs KMTeknikalKedah.
Set pertama: 25 - 19
Set kedua: 25 - 7

KMPP vs KMkelantan
Set pertama: 25 - 20
set kedua: tak ingat(tapi menang)

Selasa(hari kedua)

KMPP vs KMPerak
Menang kedua-dua set dengan membawa masuk pemain2 simpanan.
Dua player utama disimpan untuk semifinal. Kami dinobatkan sebagai Johan Kumpulan. Tetapi time game ni seorang player utama(zack) injured pergelangan tangan dan dibawa ke hospital. Hilang sorang lagi player.

Semifinal
KMPP vs KMKedah
Set pertama: tak pernah leading sampailah mata yang ke 22. Kami akhirnya menang 25 - 22
Set kedua: menang dengan agak mudah 25 - belas2.(16 kalo tak silap)
Set ketiga: kalah tipis
Set keempat: 25 - 22. Player utama(no. 8) jatuh tulang bahu. Kami ke final.
Game starat 4.40 petang(sebab hujan) dan habis pukul 6.25 petang. Giler

Final(Kekuatan Individu vs berkumpulan)

Tahun ini, kami beroleh beberapa orang pemain negeri. Dan dalam beberapa orang ini, yang paling hebat ialah seorang pemain kaum cina bernombor 8. Sejak mini Kakom lagi aku sudah melihat perkembangannya. Ketika mini Kakom, hanya dia dan setter yang bermain berdua mengabaikan pemain-pemain yang lain. Maka, aku kurang gemar akan dirinya walaupun ketika itu kumpulannya adalah juara mini Kakom. Bagi aku semangat berpasukan/berjemaah adalah sangat penting berbanding beraksi berseorang sebegitu.

Penyakit dirinya berterusan ketika latihan. Dan sangat menyerlah apabila kami buat friendly dan masuk Open UITM. Kerana mata yang ketinggalan, dirinya hilang kawalan dan kepercayaan kepada rakan-rakan. Semua bola yang diterima dari pihak lawan akan direbut dirinya hingga sanggup menolak rakan-rakan yang lain. Dan paling aku geram bila tengok dia tengking rakan-rakan sepasukan ketika game masih berlansung.

Ditakdirkan Allah, ketika KAKOM berlansung dia baru pulih dari kecederaan buku lali. Maka, aku menggunakan alasan itu untuk tidak memasukkan dirinya dalam setiap set pertama. Bukan kerana benci, tetapi aku mahu mereka belajar percaya bahawa setiap ahli-ahli yang lain juga mampu menyumbang dengan kelebihan masing-masing dalam pasukan. Tidang bergantung kepada mana-mana individu semata-mata. Dan keazaman aku itu berhasil apabila semua game kami menang.

Ketika final(KMPP vs KMKulim), bahunya yang terjatuh sudah dimasukkan kembali. Selaku pemain paling hebat, sudah pasti dirinya diperlukan untuk game penentuan ini. Namun ketika sesi memanaskan badan, bahunya jatuh kembali dan dirinya tidak boleh bermain. Satu pasukan down sebab kehilangan dua pemain utama dan hebat. Bayangkan 7 serves tak masuk. Akibatnya kami kalah set yang pertama di gelanggang sendiri dan di depan penyokong sendiri.

Bersama KMKulim. Couch dia memang pemain Negeri Sembilan. Aku plak main untuk kolej dengan sekolah je. Puihh


Aku percaya ketiadaan dia membawa pengajaran yang lebih besar. Maka untuk set kedua, aku meminta encik Azlan menukar kedudukan beberapa orang pemain. Dan kami menang besar untuk set yang kedua. Bersambung di set ketiga juga, kami sekali lagi menang dengan agak selesa. Manakala di set yang keempat, KMKulim mendahului sepanjang game sehinggalah mata yang ke 19. Namun semangat berjemaah itu penuh dengan hikmah apabila kami memenangi set terakhir itu dengan 25-21.

Senang cerita, kami dapat emas. Wow!!

Baju aku sendat, Terpaksa pakai luar baju lain. Aduihhh


Muhasabah Kaum.

Tahun ini juga, kami beroleh pemain kaum cina yang agak ramai. Kepelikan ketika kakom berlansung, hanya kami yang jelas punya pemain cina teramai(4 orang) berbanding pasukan lain yang semuanya muka-muka melayu. Ingat awal-awal training luqman asri sampai sound budak-budak ni sebab duk cakap cina dalam court. Secara jujurnya memang mereka kurang fasih berbahasa melayu kecuali zack Tetapi semakin hampir dengan KAKOM aku melihat bagaimana seronoknya mereka begurau senda, makan bersama, siap duk belajar baca doa lagi. Hahaha. Di zaman isu perkauman semakin dimain-mainkan, pengalaman mereka memahami perbezaan kamu ini sesuatu yang sangat manis dan mungkin sukar untuk beroleh semula di masa akan datang.

Aku dah letih sokmo. Muka dah hitam.
Tapi kami belum bercuti.
Hati aku dan meronta-ronta nak balik kampung.
Bayangkan 4 minggu dah tak balik rumah.
Phone plak hilang tak dapat nak call mak. Arghh..

Okeh, tahniah.

Warren, Fikri, Radzi, Amirul, Acap, Nash, Raf, Naim, Khar lok, Khar Hao, Amir, Zack.


Sekian dari Syuib0809


Friday 18 November 2016

Putus hubungan

Bismillah..

Phone hilang.
Bukan tertinggal, barangkali tercicir..
Kekalutan menguruskan pasukan KAKOM, mudah benar bencana terjadi.

Jadi, paham2lah ye kalau panggilan tak berangkat.
Ataupun barangkali menerima mesej pelik-pelik.
Usah beranggapan negatif.
Sebab yang terjadi hari ni masih punya sisi positif.

Terputus sebentar dengan orang-orang jauh.
Masa terbaik merapatkan hubungan dengan yang dekat guna cara lama.
Kalau dua hari akan datang masih belum beroleh sebarang berita
InshaAllah akan terbelilah alat komunikasi yang baru.

Sekian..

Friday 11 November 2016

Sibuk. Subuh. Tua.

Bismillah.

Semester satu 2016/2017 yang sudah melabuhkan tirai. Hanya exam yang berbaki untuk dilansungkan. Cuma aku tidak menyangka study week kali ini boleh menjadi begitu sibuk.

Hari isnin selesai hantar 3 set soalan kuiz beserta skema untuk ditaksir.
Hari selasa menyelesaikan laporan headcount PB yang tebalnya mengalahkan kamus oxford.
Hari rabu hantaq laporan PLC yang tiba-tiba dimaklumkan oleh kak nana sehari sebelumnya.
Ingatkan dah boleh tarik nafas lega, sekali Ustaz plak mai bagi kerja. Aduihh.
Maka hari khamis melengkapkan paperwork latihan kebakaran untuk diluluskan pengarah
Hari terakhir(jumaat) pula menguruskan surat kepada abam bomba.. Fuhh..

Nama je surat, tapi kerjanya bukan main banyak.
Yang syoknya, seronok tengok surat tu tulis tarik 11 November 2016

Sepanjang minggu ni, meja seperti biasa diserbu oleh student-student yang nafsu studynya semakin membuak-buak. Cuma banyak gak masa yang ditarik dek kerana briefing exam, bengkel felo, bukak kotak soalan yang menyebabkan masa aku terhad bersama pelajar.

Menebus kesalahan tersebut, maka aku memenuhi permintaan students untuk mengadakan kelas tambahan ahad malam, selasa malam dan rabu malam. Bermula jam 9.00 malam dan tamat 10.30 malam. Pancit gile.

Sem ni tak banyak tangkap gambar. Sebab minggu terakhir tu aku demam. Tu belum kira pekaknya.

Okeh.. Comel. H5P13/14

Subuh.

Secara jujurnya dua tiga minggu lepas, solat subuh berjemaah aku agak terjejas. Pertamanya, sebab iman aku semakin menipis. Yang keduanya sebab hari tu diserang cirit birit dekat 5 hari. Kemudian saat pulang dari pulau pangkor, aku diserang demam, selsema dan batuk. Maka, mahu mengembalikan momentum itu agak payah sungguh. Ketiganya, aku dah tawar hati nak ambik tahu pasal anc dan surau kolej. So, hubungan dengan surau kolej memang ke laut habis. Banyak solat kat luar je.

Cuma saat aku kembali menunaikan solat Isyak di surau kolej, tertarik dengan imam yang suaranya seperti orang-orang tua. Menjeling sepintas lalu, rupa-rupanya pengarah kolej yang baru.

"pengarah memang selalu datang solat kat surau ke?" aku bertanya si Ammar sebaik solat hajat selesai ditunaikan.

"selalu gak cikgu. Selalunya subuh dengan Isyak mesti ada.." 

Tertarik ingin tahu, aku menghabiskan 4 dari 5 solat subuh dalam minggu ini di surau kolej. Ternyata pengarah baru ini kerap menjadi orang pertama yang merasmikan pintu surau di saat subuh menjelma. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menjadi imam memimpin anak-anak pelajar sperti subuh pagi tadi. Hebat...

Cuma aku, sudah hilang kepercayaan pada orang atasan. Maka, menjarakkan diri terlebih dahulu adalah langkah terbaik sebelum fitnah yang lebih buruk berlaku. Malah, aku juga berusaha menjarakkan diri dari KJPP baru. Hehe.

Cuma lawak baru-baru ni, semua staf dapat emel.

"Hasil pemantauan saya melalui CCTV, didapati beberapa orang pensyarah dan kakitangan sokongan telah melakukan perkara-perkara berikut :

  1. Mengetik kad perakam waktu lebih daripada satu kad;
  2. Mengetik kad perakam waktu pada waktu yang meragukan contohnya 6 pagi dan 11.30 malam dengan berpakaian seperti kain pelikat, jubah dan dll (pakaian yang bukan pakaian ke pejabat);

Saya telah pun mengenalpasti pegawai-pegawai berkenaan dan jika perkara ini masih berterusan, tindakan yang bersesuaian akan diambil TANPA NOTIS AMARAN."



Okeh, balik subuh memang aku pakai kain pelekat. Gulp.



Tua.

Sudah setahun tarikh ini berlalu. Dalam satu tahun ini, aku mencuba banyak benda baru. Antaranya aku mula berjinak-jinak dalam sistem Audio. Belajar bermain dan mengurus sukan memanah. Belajar audit. Macam-macam lagi yang tidak memerlukan pengejaran sijil. Cukup sekadar ilmu. 

Namun satu tahun ini juga, tahun paling dahsyat aku kena fitnah. Nama diburukkan dan menerima labelan yang entah dari mana. Dan waktu briefing exam yang melibatkan semua pensyarah, KJ dan Pengarah tiga hari lepas, nama aku disebut-sebut sebagai satu-satunya pensyarah yang tiada wassap. Okeh, femes kejap.

Melepasi 27 tahun, aku menyedari diri sudah tua. Satu tahun yang akan berlalu, aku mahu kembali berjinak-jinak dalam dunia basikal. Seronok tengok pengarah kayuh basikal petang-petang. At least, leh bakar lemak sikit. Mahu belajar pasal lighting stage. Dapat ada aset sikit pun jadila. Mahu kembali travel. Target nak pi korea jumpa si Widad. Nak mintak dia jadi  planner. Hehe. Rindu plak kat minah ni dengan kawan dia si ani yang masuk air. 


Timaon 700cc. RM550. Tengah kumpul duit nak beli benda ni. Haha. Tak sabar nak perap benda ni kat rumah.

Kahwin? Setakat ni tiada dalam perancangan lansung. Melepasi umur 25 tahun, hanya kegilaan kepada seseorang sahaja yang menyebabkan aku perlu memikirkannya kembali. Kali terakhir ia berlakupun disebabkan oleh studentku si pemalu. Selepas dirinya, tiada lagi. 

Malam ulang tahun kelahiran, aku punya impian menikmati menu kegemaran. Namun beberapa hari ini aku menyedari yang aku tidak lagi mampu makan sebanyak dulu. Cepat sangat kenyangnya. Maka, hanya sempat singgah big bob cafe sahaja malam ini. Tiada kek yang berminat untuk dibeli dari kedai. Cuma ada beberapa orang students duk tinggalkan kek dalam raga motor aku. Nasib baik kucing tak makan kek.

Dapat hadiah dompet kulit dari seorang pensyarah bio. Itupun sebab aku mengajar anak dia. Macam tau-tau dompet lama aku dah koyak rabak. Hehe.

Mudah-mudahan tahun yang mendatang ini lebih baik penyudahnya..


Okeh.. Saranghae..


Sekian dari Syuib0809.

Saturday 5 November 2016

Gajah Bergajah-gajah, Pelanduk Mati Tersepit

Bismillah.

Berkongsi sebuah penulisan. Bagi aku, ia sebuah bahan bacaan yang sangat baik. Pernah memiliki beberapa buah buku mengenai afghanistan, turkistan, syria dan perang arab Israel. Kesemuanya membawa mesej besar yang sama. Buat rakan-rakan dan anak-anak yang masih ketagih dengan ikramnya, PANnya, PEMBINAnya, JIM, ABIM dan sebagainya, kita semua sedang menuju penghujung yang sama. Masa sahaja yang menentukan.. Bila tiba masanya, apa yang dimomok dalam tamrin kalian hanya menjadi mimpi semata-mata. Nak bentang RUU355 pun dah macam-macam benda negatif dari kalian, inikan pula mahu membangunkan pemerintahan Islam.



GAJAH BERGAJAH-GAJAH, PELANDUK MATI TERSEPIT

Oleh: Abu Ubaidah
Walaupun peperangan yang melibatkan kuasa-kuasa besar sudah lama berakhir, dunia hari ini tetap dikhianati oleh beberapa kelompok negara berkepentingan. Perang saudara di Syria hari ini adalah satu bukti yang jelas. Pelbagai persoalan timbul di dalam benak pemikiran saya; Mengapa ia terjadi? Mengapa ianya masih lagi belum berakhir? Mungkin persoalan-persoalan ini akan dirungkai di dalam penulisan yang agak panjang ini.
Segalanya bermula hasil daripada perkembangan Arab Spring 2011. Perlu untuk difahami bahawa majoriti penduduk tanah Syria adalah Sunni Muslim, dan berpusat di kawasan-kawasan timur Syria seperti di Homs, Hama dan Aleppo. Manakala hanya 13 peratus yang lain merupakan campuran Muslim yang berideologi Alawit, Syiah dan lain-lain agama. Basyar Al-Assad yang kini memegang kerusi presiden di Syria merupakan seorang Alawit. Beliau yang mewakili parti pemerintah Ba’ath telah pun, mengikut sejarah, melakukan perubahan di dalam perlembagaan negara.
Perubahan yang dimaksudkan adalah berkait dengan kepimpinan presiden, bahawasanya seorang presiden yang dilantik kini tidak perlu lagi untuk berlatarbelakangkan agama Islam – satu perubahan yang mendadak berbanding dengan perlembagaan sebelumnya. Ibarat menuang air di atas minyak yang panas, majoriti Muslim di timur Syria mengamuk dan menyimpan dendam yang mendalam. Ada lagi beberapa perkara lain yang menyebabkan Sunni bersifat geram dengan kepimpinan Basyar tetapi cukup untuk kita memahami yang hubungan masyarakat Sunni terhadap kepimpinan Basyar sudah mula regang.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata jangan sesekali. Mungkin tepat sekali saya fikir peribahasa Melayu itu dalam perenggan ini. Di sebuah bandar bernama Daraa, di selatan Damascus, beberapa kanak-kanak menulis grafiti yang berbunyi ‘Kami mahukan rejim anda (Basyar) tumbang!’ Kanak-kanak itu, yang sudah tentu amat mentah, ditahan pihak berkuasa. Hasil daripada perkembangan pantas media sosial, ditambah pula dengan motivasi hasil daripada Arab Spring di rantau tersebut, maka penduduk bandar keluar melata, bersemangat tinggi dan penuh yakin akan berjaya menjatuhkan Basyar seperti yang terjadi di Libya dan Mesir.
Cukup untuk saya kata bahawa konflik dan pertumpahan darah mula untuk merebak. Syria pada waktu itu terbelah dua, satu yang menyokong Basyar dengan teguhnya dan satu lagi yang sudah tentu mengharapkan kejatuhan Basyar dan inginkan kerajaan demokrasi baru. Apabila pergaduhan mula untuk melibatkan penggunaan senjata api (kisah berlaku pada bulan September di mana pos pasukan keselamatan diserang oleh pihak penentang kerajaan lalu menyebabkan kematian) – sudah jelas bahawa ianya tidak akan berakhir dengan mudah di meja rundingan. Free Syrian Army (FSA) ditubuhkan di bawah pantauan Syrian National Coalition (SNC) yang berpangkalan di Istanbul, Turki untuk mengemudi pemberontakan.
Masalah mula timbul apabila konflik yang bersifat dalaman ini, mula untuk merebak ke luar seperti satu kanser yang tidak akan mati. Saya pada mulanya berpendapat bahawa masalah di dalam negara perlu diselesaikan di dalam negara tanpa melibatkan campur tangan luar, namun tanggapan saya meleset.

Free Syrian Army yang agak terdesak mula untuk mencari bantuan antarabangsa dengan berpihak dengan kerajaan Turki. Turki pula turut mempunyai kepentingannya di dalam Syria. Sempadan utara Syria dipenuhi dengan barisan pemberontak berbangsa Kurdi yang amat tidak rapat dengan polisi-polisi Presiden Erdogan. Pemberontak Kurdi ini, atau Kurdish People’s Protection Unit (YPG) merupakan golongan militia yang berpengaruh di utara Syria. Erdogan akan menggunakan bantuan yang diberikan kepada Free Syrian Army sebagai satu platfom bagi memastikan perkembangan pemberontak Kurdish dijaga dengan rapi.

Pada masa yang sama juga, kekuatan Free Syrian Army ditingkatkan dengan bantuan daripada kesatuan NATO (North Atlantic Treaty Organisation – persetujuan pertahanan beberapa negara Eropah) yang telah menghantar bantuan senjata dan logistik kepada FSA. Basyar, yang berada dalam keadaan tertekan akibat daripada bantuan yang disampaikan kepada pihak musuh, mempunyai dua pilihan; sama ada menyerah kalah seperti yang berlaku di negara-negara lain dan berakhir dengan kematian di tali gantung, atau turut mencari ‘coalition partners’ lain yang mampu menyokongnya daripada belakang.

Hasilnya adalah Hezbollah daripada Lebanon dan pasukan tentera Iran. Mereka kemungkinan menyokong Basyar hasil daripada latar belakang kerajaan yang diketuai oleh seorang Syiah. Boleh dikatakan bahawa Syria hari ini telah pun menjadi medan di mana kuasa-kuasa besar dunia bermain di dalam satu permainan peperangan proksi. Teater peperangan kemudiannya dihangatkan dengan kemasukan pengganas ekstremis daripada Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) dari negara jiran timur Iraq, yang kini menggunakan kelemahan sistem persempadanan Syria untuk menyebarkan pengaruhnya. Dan mereka boleh dikatakan berjaya.
Kini terdapat tiga pemain utama di dalam Syria – di pihak Basyar adalah kerajaannya, Iran dan Lebanon, manakala di pihak Free Syrian Army pula adalah Turki (yang saya rasa mempunyai agenda lain), dan beberapa negara NATO seperti Perancis dan Belgium. Satu lagi adalah pemain tambahan ISIL yang mula berkembang pantas daripada selatan timur Syria berdekatan Ar-Raqqah.

Keadaan mula untuk menjadi lebih parah apabila kuasa negara utama dunia mula untuk turut campur tangan. Amerika Syarikat melihat kelibat kemaraan ISIL di Syria sebagai satu ancaman yang cukup besar kepadanya lalu mengambil keputusan secara rasmi pada 28 September 2014 untuk menghantar pesawat pengebomnya ke Syria.
Sebulan kemudian pada 10 Oktober 2014, Amerika Syarikat sekali lagi, seperti biasa, mengambil tempat duduk utama untuk mengkoordinasikan serangan ke atas ISIL melalui penubuhan Combined Joint Task Force – Operation Inherent resolve (CJTF-OIR) yang diketuai oleh komander Leftenan Jeneral Stephen J. Townsend, seorang graduan daripada US. Army Command & General Staff College (USACGSC), sekolah ketenteraan ternama.
Melihat kemasukan Amerika Syarikat yang banyak terlibat di dalam banyak operasi luar perantau, dan dengan pengalaman melihat Amerika mengucar-kacirkan negara-negara timur tengah seperti di Libya di bawah seliaan US Central Command (USCENTCOM), pihak Rusia diketuai Presiden Vladimir Putin pula tiba mengambil tempat duduk di belakang Basyar. Rusia pula meminta bantuan sekutu rapatnya China untuk membekalkan bantuan senjata kepada pihak kerajaan Basyar. Negara United Kingdom pula meluluskan di dalam parlimennya untuk tidak lagi bersikap kecuali dan mengundi penuh untuk turut melibatkan diri di dalam teater perang Syria melalui Operation Sheder. Begitulah nasib negara Syria yang kini menjadi tempat permainan kuasa-kuasa dunia. Benarlah pepatah, gajah bergajah-gajah, pelanduk mati ditengah.



Yang menarik adalah Turki. Turki boleh dikatakan berada di dalam dilema yang berpanjangan. Sudah tentu ia mahu untuk menentang ISIL dan pihak pemberontak Kurdish di Syria, tetapi kepada siapakah ia mahu memberikan kesetiaanyya? Jika diberikan kepada Amerika Syarikat dan NATO, krisis baru-baru ini menunjukkan bahawa coup de’tat yang dilancarkan ke atas presiden seolah-olah disokong barat, menunjukkan bahawa Turki hanyalah menjadi satu patung permainan yang digerakkan oleh pihak barat. Namun pada masa yang sama, Turki sudah tentu merasai kepentingan untuk melindungi pihak Sunni Muslim di Syria yang lebih dekat dengannya. Masa akan menentukan.

Pada masa yang sama, dalam menganalisi situasi ini, ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar. Pertama adalah untuk meletakkan rasionaliti melebihi semangat yang melampau. Golongan Islamis di dalam teater ini telah berpecah kepada hampir 32 bahagian yang berbeza-beza. Sikap tidak puas hati di dalam diri mereka tidak dapat membawa mereka untuk berbincang mengenai perbezaan mereka. Akhirnya mereka kini, menjadi lauk yang sedang dipanggang oleh beberapa negara yang sudah tentunya, lebih berteknologi tinggi dan terancang. Alangkah malangnya umat Islam hari ini. Bukan sahaja tidak mampu untuk memahami ‘the big picture’, malah turut tidak berilmu di dalam agama mereka dan ilmu sains dan kini begitu senang terpengaruh pula dengan emosi di dalam perjuangan mereka. Bukankah Allah menyuruh kita untuk berperang di dalam keadaan yang tersusun rapi?


Melihatkan kepada artikel Tuan Guru Presiden yang mahukan umat Islam kembali berhubung kukuh sama ada dalam kalangan Sunni atau Syiah, mungkin sekali ada betulnya di situ. Kini perjuangan Islam di dalam negara kita semakin dilihat tidak tersusun dan berterabur, adakah akan sampai giliran kita pula untuk dimainkan oleh kuasa asing? Jika ya, siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama yang meminta bantuan asing untuk mencapai cita dan ego diri sendiri?