Saturday, 5 November 2016

Gajah Bergajah-gajah, Pelanduk Mati Tersepit

Bismillah.

Berkongsi sebuah penulisan. Bagi aku, ia sebuah bahan bacaan yang sangat baik. Pernah memiliki beberapa buah buku mengenai afghanistan, turkistan, syria dan perang arab Israel. Kesemuanya membawa mesej besar yang sama. Buat rakan-rakan dan anak-anak yang masih ketagih dengan ikramnya, PANnya, PEMBINAnya, JIM, ABIM dan sebagainya, kita semua sedang menuju penghujung yang sama. Masa sahaja yang menentukan.. Bila tiba masanya, apa yang dimomok dalam tamrin kalian hanya menjadi mimpi semata-mata. Nak bentang RUU355 pun dah macam-macam benda negatif dari kalian, inikan pula mahu membangunkan pemerintahan Islam.



GAJAH BERGAJAH-GAJAH, PELANDUK MATI TERSEPIT

Oleh: Abu Ubaidah
Walaupun peperangan yang melibatkan kuasa-kuasa besar sudah lama berakhir, dunia hari ini tetap dikhianati oleh beberapa kelompok negara berkepentingan. Perang saudara di Syria hari ini adalah satu bukti yang jelas. Pelbagai persoalan timbul di dalam benak pemikiran saya; Mengapa ia terjadi? Mengapa ianya masih lagi belum berakhir? Mungkin persoalan-persoalan ini akan dirungkai di dalam penulisan yang agak panjang ini.
Segalanya bermula hasil daripada perkembangan Arab Spring 2011. Perlu untuk difahami bahawa majoriti penduduk tanah Syria adalah Sunni Muslim, dan berpusat di kawasan-kawasan timur Syria seperti di Homs, Hama dan Aleppo. Manakala hanya 13 peratus yang lain merupakan campuran Muslim yang berideologi Alawit, Syiah dan lain-lain agama. Basyar Al-Assad yang kini memegang kerusi presiden di Syria merupakan seorang Alawit. Beliau yang mewakili parti pemerintah Ba’ath telah pun, mengikut sejarah, melakukan perubahan di dalam perlembagaan negara.
Perubahan yang dimaksudkan adalah berkait dengan kepimpinan presiden, bahawasanya seorang presiden yang dilantik kini tidak perlu lagi untuk berlatarbelakangkan agama Islam – satu perubahan yang mendadak berbanding dengan perlembagaan sebelumnya. Ibarat menuang air di atas minyak yang panas, majoriti Muslim di timur Syria mengamuk dan menyimpan dendam yang mendalam. Ada lagi beberapa perkara lain yang menyebabkan Sunni bersifat geram dengan kepimpinan Basyar tetapi cukup untuk kita memahami yang hubungan masyarakat Sunni terhadap kepimpinan Basyar sudah mula regang.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata jangan sesekali. Mungkin tepat sekali saya fikir peribahasa Melayu itu dalam perenggan ini. Di sebuah bandar bernama Daraa, di selatan Damascus, beberapa kanak-kanak menulis grafiti yang berbunyi ‘Kami mahukan rejim anda (Basyar) tumbang!’ Kanak-kanak itu, yang sudah tentu amat mentah, ditahan pihak berkuasa. Hasil daripada perkembangan pantas media sosial, ditambah pula dengan motivasi hasil daripada Arab Spring di rantau tersebut, maka penduduk bandar keluar melata, bersemangat tinggi dan penuh yakin akan berjaya menjatuhkan Basyar seperti yang terjadi di Libya dan Mesir.
Cukup untuk saya kata bahawa konflik dan pertumpahan darah mula untuk merebak. Syria pada waktu itu terbelah dua, satu yang menyokong Basyar dengan teguhnya dan satu lagi yang sudah tentu mengharapkan kejatuhan Basyar dan inginkan kerajaan demokrasi baru. Apabila pergaduhan mula untuk melibatkan penggunaan senjata api (kisah berlaku pada bulan September di mana pos pasukan keselamatan diserang oleh pihak penentang kerajaan lalu menyebabkan kematian) – sudah jelas bahawa ianya tidak akan berakhir dengan mudah di meja rundingan. Free Syrian Army (FSA) ditubuhkan di bawah pantauan Syrian National Coalition (SNC) yang berpangkalan di Istanbul, Turki untuk mengemudi pemberontakan.
Masalah mula timbul apabila konflik yang bersifat dalaman ini, mula untuk merebak ke luar seperti satu kanser yang tidak akan mati. Saya pada mulanya berpendapat bahawa masalah di dalam negara perlu diselesaikan di dalam negara tanpa melibatkan campur tangan luar, namun tanggapan saya meleset.

Free Syrian Army yang agak terdesak mula untuk mencari bantuan antarabangsa dengan berpihak dengan kerajaan Turki. Turki pula turut mempunyai kepentingannya di dalam Syria. Sempadan utara Syria dipenuhi dengan barisan pemberontak berbangsa Kurdi yang amat tidak rapat dengan polisi-polisi Presiden Erdogan. Pemberontak Kurdi ini, atau Kurdish People’s Protection Unit (YPG) merupakan golongan militia yang berpengaruh di utara Syria. Erdogan akan menggunakan bantuan yang diberikan kepada Free Syrian Army sebagai satu platfom bagi memastikan perkembangan pemberontak Kurdish dijaga dengan rapi.

Pada masa yang sama juga, kekuatan Free Syrian Army ditingkatkan dengan bantuan daripada kesatuan NATO (North Atlantic Treaty Organisation – persetujuan pertahanan beberapa negara Eropah) yang telah menghantar bantuan senjata dan logistik kepada FSA. Basyar, yang berada dalam keadaan tertekan akibat daripada bantuan yang disampaikan kepada pihak musuh, mempunyai dua pilihan; sama ada menyerah kalah seperti yang berlaku di negara-negara lain dan berakhir dengan kematian di tali gantung, atau turut mencari ‘coalition partners’ lain yang mampu menyokongnya daripada belakang.

Hasilnya adalah Hezbollah daripada Lebanon dan pasukan tentera Iran. Mereka kemungkinan menyokong Basyar hasil daripada latar belakang kerajaan yang diketuai oleh seorang Syiah. Boleh dikatakan bahawa Syria hari ini telah pun menjadi medan di mana kuasa-kuasa besar dunia bermain di dalam satu permainan peperangan proksi. Teater peperangan kemudiannya dihangatkan dengan kemasukan pengganas ekstremis daripada Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) dari negara jiran timur Iraq, yang kini menggunakan kelemahan sistem persempadanan Syria untuk menyebarkan pengaruhnya. Dan mereka boleh dikatakan berjaya.
Kini terdapat tiga pemain utama di dalam Syria – di pihak Basyar adalah kerajaannya, Iran dan Lebanon, manakala di pihak Free Syrian Army pula adalah Turki (yang saya rasa mempunyai agenda lain), dan beberapa negara NATO seperti Perancis dan Belgium. Satu lagi adalah pemain tambahan ISIL yang mula berkembang pantas daripada selatan timur Syria berdekatan Ar-Raqqah.

Keadaan mula untuk menjadi lebih parah apabila kuasa negara utama dunia mula untuk turut campur tangan. Amerika Syarikat melihat kelibat kemaraan ISIL di Syria sebagai satu ancaman yang cukup besar kepadanya lalu mengambil keputusan secara rasmi pada 28 September 2014 untuk menghantar pesawat pengebomnya ke Syria.
Sebulan kemudian pada 10 Oktober 2014, Amerika Syarikat sekali lagi, seperti biasa, mengambil tempat duduk utama untuk mengkoordinasikan serangan ke atas ISIL melalui penubuhan Combined Joint Task Force – Operation Inherent resolve (CJTF-OIR) yang diketuai oleh komander Leftenan Jeneral Stephen J. Townsend, seorang graduan daripada US. Army Command & General Staff College (USACGSC), sekolah ketenteraan ternama.
Melihat kemasukan Amerika Syarikat yang banyak terlibat di dalam banyak operasi luar perantau, dan dengan pengalaman melihat Amerika mengucar-kacirkan negara-negara timur tengah seperti di Libya di bawah seliaan US Central Command (USCENTCOM), pihak Rusia diketuai Presiden Vladimir Putin pula tiba mengambil tempat duduk di belakang Basyar. Rusia pula meminta bantuan sekutu rapatnya China untuk membekalkan bantuan senjata kepada pihak kerajaan Basyar. Negara United Kingdom pula meluluskan di dalam parlimennya untuk tidak lagi bersikap kecuali dan mengundi penuh untuk turut melibatkan diri di dalam teater perang Syria melalui Operation Sheder. Begitulah nasib negara Syria yang kini menjadi tempat permainan kuasa-kuasa dunia. Benarlah pepatah, gajah bergajah-gajah, pelanduk mati ditengah.



Yang menarik adalah Turki. Turki boleh dikatakan berada di dalam dilema yang berpanjangan. Sudah tentu ia mahu untuk menentang ISIL dan pihak pemberontak Kurdish di Syria, tetapi kepada siapakah ia mahu memberikan kesetiaanyya? Jika diberikan kepada Amerika Syarikat dan NATO, krisis baru-baru ini menunjukkan bahawa coup de’tat yang dilancarkan ke atas presiden seolah-olah disokong barat, menunjukkan bahawa Turki hanyalah menjadi satu patung permainan yang digerakkan oleh pihak barat. Namun pada masa yang sama, Turki sudah tentu merasai kepentingan untuk melindungi pihak Sunni Muslim di Syria yang lebih dekat dengannya. Masa akan menentukan.

Pada masa yang sama, dalam menganalisi situasi ini, ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar. Pertama adalah untuk meletakkan rasionaliti melebihi semangat yang melampau. Golongan Islamis di dalam teater ini telah berpecah kepada hampir 32 bahagian yang berbeza-beza. Sikap tidak puas hati di dalam diri mereka tidak dapat membawa mereka untuk berbincang mengenai perbezaan mereka. Akhirnya mereka kini, menjadi lauk yang sedang dipanggang oleh beberapa negara yang sudah tentunya, lebih berteknologi tinggi dan terancang. Alangkah malangnya umat Islam hari ini. Bukan sahaja tidak mampu untuk memahami ‘the big picture’, malah turut tidak berilmu di dalam agama mereka dan ilmu sains dan kini begitu senang terpengaruh pula dengan emosi di dalam perjuangan mereka. Bukankah Allah menyuruh kita untuk berperang di dalam keadaan yang tersusun rapi?


Melihatkan kepada artikel Tuan Guru Presiden yang mahukan umat Islam kembali berhubung kukuh sama ada dalam kalangan Sunni atau Syiah, mungkin sekali ada betulnya di situ. Kini perjuangan Islam di dalam negara kita semakin dilihat tidak tersusun dan berterabur, adakah akan sampai giliran kita pula untuk dimainkan oleh kuasa asing? Jika ya, siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama yang meminta bantuan asing untuk mencapai cita dan ego diri sendiri?


1 comment: