Saturday 31 December 2016

Sejarah basikal

Bismillah

Minggu ini sibuk menguruskan perancangan untuk MEMORI. Macam-macam isu, yang aku kira berjaya tercatit sebagai pengalaman menarik buat mereka yang menjadi pemimpinnya. Sepatutnya semalam, aku perlu berangkat Kuala Terengganu. Bukan untuk rombongan meminang orang terengganu, sekadar percutian akhir bersama keluarga sebab adik aku dah habis belajar kat UNIZAR. Bas sepatutnya pukul 10, kul 8.30 malam aku dah sampai. Tunggu depan platform no.24 (SP BUMI), tetapi jam 9.45 yang sampai adalah bas untuk kul 9 punya tiket. Katanya jem sebab pesta pineng. Tunggu punya tunggu, aku akhirnya tunggu sampai jam 12.45 malam!!. Sakit hati, balik kolej terus.

Sebenarnya lama nak tulis pasal basikal ni.

Sejarah Basikal

Kalau ikut pembesaran 27 tahun ni, aku dari kecik memang jenis pakai basikal je. Waktu sekolah rendah, darjah 6 dah pergi sekolah kayuh basikal. Waktu tu, abah beli basikal warna merah dengan ungu. Merah aku punya, ungu kakak aku punya. Waktu sekolah asrama, basikal tu tersadai je kat rumah. Balik cuti baru pakai pergi main bola dengan kawan. Zaman sekolah menengah, aku tak dibenarkan bawak motor lansung. Macam biasa, kalau bawak pun curi-curi je. 

Habis sekolah menengah, aku masih belum ada lesen motor. So, menghidupkan kembali basikal merah yang ada di rumah dengan berkayuh ke pekan teluk intan 3 kali seminggu semata-mata untuk latihan memandu. Perjalanan yang memakan masa 35 minit, zaman itu sudah menjadi kepelikan untuk remaja berumur 18 tahun mengayuh basikal. Sebaik sahaja punya lesen, basikal-basikal itu terbiar, tersadai. Sudah tiada penghuni yang sudi mengayuhnya. Ke Lembah Beringin menyelesaikan A-Level, aku sudah tidak berbasikal lagi. Basikal itu akhirnya dibuang, dalam keadaan aku tiada satu pun gambar bersamanya. Sedih.

Meneruskan kehidupan di bumi asing, motorsikal seolah-olah sangat pelik untuk dilihat di negara empat musim itu. Mahu memiliki kereta, bayaran insurans yang pelbagai tersangatlah memakan belanja yang tinggi. Setelah hampir 6 bulan berjalan kaki ke University dan Bandar Leicester, aku akhirnya mengambil keputusan untuk membeli basikal. Antara sebab utamanya, terasa diri kosong berjauhan dengan masjid. Maka, punya basikal menyebabkan aku mengenal begitu banyak masjid di Leicester. Beli di carboot, basikal jenis "travelling" ni hanya bernilai 30pound ataupun RM150. Kisahnya boleh baca di sini


Sayangnya, basikal ini tidak bertahan lama. Aku sendiri tidak punya banyak kenangan bersamanya. Rumah kami dipecah masuk ketika cuti Summer 2010. Akibatnya, semua basikal yang tersimpan dalam rumah tanpa penghuni itu hilang tanpa dapat dikesan. Tidak mahu memutukan diri dengan komuniti muslim, aku kembali ke Carboot untuk mencari basikal yang baru. Dengan harga yang hampir sama, aku beroleh basikal jenis "racing/roadbike" yang tersangatlah ringan. Dan basikal ini biasanya aku bawak untuk perjalanan jauh dan luar dari Leicester. Boleh baca kisahnya di sini



Kekurangan basikal racing, ianya agak kurang sesuai untuk perjalanan berbatu, tidak rata dan juga kawasan berbukit. Akhirnya aku membeli sebijik lagi basikal bewarna biru. Tetapi dicuri keesokan harinya. Siot. Namun, aku kemudiaannya dipertemukan dengan Buroqs. Teman sejati yang menemani aku kemana-mana sahaja. Entah apa specialnya mengenai dirinya, memang aku selalu bawak dia je.

Waktu ni aku ke Nottingham. Terpaksa tinggalkan Buroqs kesejukan sebab kena naik bas ke dunkirk.  Sekali malam tu, salji turun. Kat Uk, memang ada parking khas untuk basikal. Banyak plak tu.

Satu-satunya gambar aku bersama Buroqs. 

Menjual buroqs di hari terakhir.

Sewaktu mahu pulang ke Malaysia, aku menjual semua basikal-basikal yang pernah menemani zaman-zamn belajar aku di Leicester. Buroqs adalah yang terakhir aku jual. Boleh baca kisahnya di sini. Saiz mereka yang besar, maka aku tidak berniat mahu membawa mereka pulang bersama. Malah, aku meyakini bumi Malaysia tidak sudi menerima mereka, kerana bukan budaya tanahnya. Terbukti benar, dari tahun 2012 hinggalah 2016 aku tidak lansung mengayuh mana-mana basikal. 

Pakaian rasmi berbasikal ketika musim sejuk. 

Sejak pengarah masuk, kolej seolah-olah bertukar menjadi tempat bersukan. Tiba-tiba pensyarah ada plak hari sukan sendiri. Tambahan baru, semua pensyarah asyik berbicara mengenai basikal. Aku yang seronok tengok pengarah berkayuh, berniat mahu berbasikal kembali. Akhirnya, merembat basikal ni di mudah.my. TRS Fastest. Harga RM699. First time naik, punyalah penat kayuh. Aku tak pasti aku berat atau basikal tu yang bermasalah, tapi memang pancit sungguh. Kali kedua kayuh, aku menuju ke Tasek Gelugor plak. Pergi balik dalam 16km. balik2 rumah ingatkan makin kurus, rupa-rupanya lagi selera makan. Haha. Khamis baru ni pergi plak vision park, bertam. Pergi kul 5.30 sampai rumah kul 6.45 petang. Lambat memang lambat tapi oklah dapat cover 12km. Ni basikalnya.

Letak kat bawah Quarters bersama motor. Orang lain sibuk suruh letak dalam rumah. Takut kena curi. Entahlah. Cam tak sesuai je letak dalam rumah..
Itu jela kot nak cerita. 

Sekian dari Syuib0809

Wednesday 21 December 2016

Barakah: Cerita Malam Ini.

Bismillah.

Banyak perkara berlaku, banyak juga yang mahu diceritakan. Cuma malas benar mahu menulis. Minggu lepas, sebaik sahaja aku pulang ke kolej, terus disibukkan dengan dua program. Pertamanya sambutan Maulidur Rasul, manakala yang kedua ialah latihan kebakaran. Sepatutnya dibantu dan membantu Miss shak serta Ustaz, tetapi keduanya punyai hal yang lebih penting. Ustaz menguruskan isterinya yang baru selamat bersalin, manakala shak tiba-tiba mendapat perkhabaran yang ayahnya ditimpa kemalangan..

Lalu aku berseorangan, mengarah anak-anak pelajar untuk membantu secara paksa rela. Mahu meminta bantuan penyarah lain, terasa segan kerana majoritinya jauh lebih tua dari aku. huhu.

Cerita malam ni.

Semalam, gaji terakhir tahun ni masuk. Untuk gaji bulan depan, aku terpaksa menunggu sehingga tahun akan datang.

Oleh kerana BSN kepala batas dekat dengan masjid AtTaqwa Bertam Indah, maka aku terus menunaikan solat Maghrib berjemaah di situ. Selaku bujang, mengeluarkan RM200 dari ATM sudah cukup menampung perbelanjaan hidup. Pergi ke sunshine, aku sebenarnya hanya berniat membeli vitagen dan makanan kucing. Kesian kucing bawah rumah lama tak dapat makanan basah. Tetapi oleh kerana makanan kucing agak mahal berbanding longwan, aku sekadar menyambar vitagen, kacang panggang tin, serta sebotol air jus oren. Harganya sekitar RM10, dan aku masih punya baki RM190.

Sementara menunggu isyak, aku duk pusing-pusing pekan bertam dengan kereta MyVi merah sebelum akhirnya bergegas kembali ke kepala batas. Sampai di simpang tiga Perodua bertam Indah, lampu sudahpun hijau. Saat kereta lurus mengikut kereta hadapan, tiba-tiba belakang kereta aku dirempuh dari belah kanan oleh sebuah motor.

"dah, datang dari mana la plak motor ni?"

Aku memberhentikan kereta, saat melihat tubuh itu jatuh bersama dengan motor yang diboncengnya. Dalam keadaan terduduk di atas jalan raya, hidung dan hadapan mukanya jelas kelihatan berdarah. Perempuan. Motornya pula bengkok side mirror berserta pemijak gear. Aku mengalihkan motornya, manakala dirinya dipapah orang-orang yang turut memberhentikan kenderaan.

"ok ke, nak saya call ambulans?"

Wanita itu menggelengkan kepala. Aku syak umurnya sekitar 35 - 40 tahun. Sewaktu mengalihkan motornya, aku percaya motornya masih elok dan boleh berjalan.

"maaf ye bang, kereta abang ok?"

Siot, tua sangat ke muka aku. Hehe. 

"takde ape2, kemek sikit je... Cuma jangan buat lagilah ye..."

Wanita itu melanggar lampu yang sedang merah. Dan akhirnya melanggar tepi belakang kereta aku yang sekadar menghala lurus. Mahu marah dan meminta ganti rugi, aku rasa dirinya sudahpun menerima sesuatu yang lebih buruk dari itu. Maka melepaskan dirinya sudah cukup sebagai sedekah yang meringankan beban saudaranya.

Dari HR Muslim dan lainnya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
“Siapa yang menghilangkan kegelisahan seorang mukmin dari kegelisahan-kegelisahannya di dunia, niscaya Allah menghilangkan kegelisahan-kegelisahannya di hari kiamat. Dan siapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang dari kesulitan, Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama hamba-Nya itu memberi pertolongan kepada saudaranya.”

Sebaik dirinya sudah stabil, aku kembali ke kereta dan menuju ke Kompleks Kailan. Terasa semacam di bahagian belakang, aku memberhentikan kereta untuk melihat "makhluk" apa yang menumpang. Rupa-rupanya, Tayar belakang belah kanan yang dilanggar dah pecah.

"Kuat juga motor tu langgar. Sampai pecah teruk tayar abang ni.." siot. Sorang lagi panggil abang. Mekanik itu berfirasat yang motor tersebut laju dari simpang kanan. Cuma beruntung aku, motor itu benar-benar melanggar tepat di bahagian tayar, bukan di bahagian lain.

"Nak tukaq tayaq baru ka?"

"Okeh"

Sebaik selesai, aku ke kaunter bayaran. Melihat dalam resit yang ditulis, harga tayar termasuk GST itu berharga RM190.80.

"takpelah bang, RM190 je..."

RM200 yang baru dikeluarkan, lesap tidak sampai satu jam. Ia penanda yang harta itu bermasalah.

Muhasabah.

Dua minggu aku menangguh-nangguh membayar zakat harta. Lalu amaran dari Allah itu datang mengingatkan teruknya empunya diri. Sedangkan Abu Bakar sendiri memerangi mereka-mereka yang tidak mahu membayar zakat. Ijtihad yang sahabat-sahabat tidak bersetuju, namun abu bakar yang menggantikan Nabi itu lebih tahu dan pakar dalam urusan Agama.

Malulah atas dirimu, Izuan.
Ingatlah, Tuhan sentiasa ada untuk mengingatkanmu.

Okeh, esok pi pejabat agama.

Sekian dari Syuib0809.


Saturday 10 December 2016

Niat dan Sabar

Bismillah.

Perancangan

Pagi tadi, aku bertolak dari rumah menuju kembali ke pulau pinang. Targetnya, sampai ke bukit mertajam jam 12.00 tgh hari. Walaupun cuti masih berbaki tiga hari, aku berazam besar memenuhi undangan anis farhana(partner muscom kat kolej) ke majlis perkahwinannya. Dalam keadaan semua orang menghebahkan majlis di FB dan whatsapp secara umum, anis mesej aku secara personal dan siap sms semua details lagi. So, keberiyaan tersebut menyebabkan aku berazam untuk hadir ke kenduri dia.

Ditakdirkan Allah, phone aku hilang dan semua maklumat-maklumat tu hilang, maka aku mengorek-ngorek di muka buku semua maklumat yang boleh diperolehi dan akhirnya berjumpa. Syukur dan aku pun meneruskan perjalanan pagi ni.

Dalam kepala kul 12.30 tgh hari dah boleh makan lauk kenduri. Selfie berlatarbelakangkan pengantin dan upload dalam blog sebagai bukti aku datang kenduri dia. Hehe

Niat dan Sabar.

Sampai di Tol Ipoh, semua laluan masuk dan keluar lebuhraya utara-selatan menghala ke kuala kangsar ditutup. Kesesakan yang sangat melampaui batas, menyebabkan aku masih berada di Ipoh jam 11.30 pgi. Mencari-cari jalan alternatif bagi menggantikan laluan popular terowong menora, aku akhirnya mengambil keputusan untuk ikut laluan lama chemor-sg siput-kuala kangsar. Dan yang hampehnya, dari 11.30 smpai 12.30 tgh, kereta aku masih ada kat Ipoh sebab semua kereta ikut jalan tu. Ate, bila nak sampainya.

Saat hati sudah mahu mula menyumpah seranah, tiba-tiba terdengar dari radio sinar fm soalan untuk dato' Dr Fadzilah Kamsah:

"assalamualaikum dato'. Nak tanya, kalaulah kita dah niat nak pergi solat jemaah kt masjid. Tiba-tiba nak start kereta tak boleh, nak start motor tak hidup, macam mana tu dato'?...."

Aku tak ingat ayat pjg jawapan dr fadzilah kamsah, yang aku ingat isi utamanya ialah:

Berniat itu sahaja dah dapat pahala.
Sabar dengan ujian ketika nak buat benda baik tu pun dapat pahala.
Walaupun benda baik itu kita tak buat/tak dapat buat.

Tersentak dengan jawapan itu, teringat hadith-hadith yang pernah dihafal ketika kerap menjad emcee di UK dulu.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau meriwayatkan dari Tuhannya, Tabaaraka wa ta’aala. Firman-Nya : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan”.


Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."

(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


Pulang.

Jam 12.45, aku tidak mampu mengira berapa jauh kereta aku dah jalan. Terasa macam tak jalan lansung. Kalau 1 kilometer dekat 15 minit, dengan jalan satu lorong, gamaknya dengan pelamin-pelamin sekali dah kemas waktu aku sampai kot.

Maka, aku terpaksa membatalkan perjalanan dan pulang kembali ke Teluk Intan. Balik teluk intan lancar je, 45 minit dah sampai rumah. Dan sepanjang perjalanan pulang, aku melihat betapa teruknya jem ke arah utara yang bermula dari Simpang Pulai. RUPA-rupanya ada lori minyak terbalik berhampiran terowong menora dan menutup penuh jalan. Tengok gambar, macam tumpah je minyak.

So, kepada Anis, maaf sangat-sangat ye. Nak mesej hang pun nombor dah hilang. Selamat Pengantin Baru. Mudah-mudahan menjadi Isteri yang Solehah, beroleh Zuriat yang comel dan baik, juga dikurniakan kebahagian keberkatan dalam kehdiupan berkeluarga.

Doakan aku menjadi hensem supaya ada orang minat. Hahaha.

Sekian dari Syuib0809.

Wednesday 7 December 2016

HAJJAJ: Alim yang membingungkan

Bismillah.

Teringat ketika Perhimpunan "jemaah" sempena musim bunga, aku bertugas di dapur. 3 tahun berturut-turut hadir, tahun itu aku berniat mahu membantu di dapur menyediakan juadah untuk tetamu yang hadir sekitar 200-250 orang. Banyak masanya kami "menyanyi" dan bergurau untuk memeriahkan suasana di dapur. Namun ada masanya diskusi ilmiah mengisi ruang dalam keseronokan menyediakan juadah untuk rakan-rakan yang hadir. Itu kelebihan bersama jemaah, ilmu sentiasa di topup walaupun oleh ahli-ahli biasa.

Saat kami duduk-duduk mengupas bawang putih yang berguni, aku bercerita mengenai Hajjaj bin Yusuf. Seorang amir yang terkenal dengan kezalimannya, namun beliau juga seorang penghafal Quran dan Hadiths. Malah sebahagian ulama' menyatakan kelebihan hajjaj yang mampu membaca quran dengan terbalik. Gulpp. Dan diskusi kami ketika itu adalah bagaimana mahu menilai Hajjaj. Adakah beliau orang yang baik? Atau jahat?

Ketika itu aku hanya berbekalkan bacaan di internet dan juga mengikuti video Ustaz TITM yang suka sangat bawa cerita Hajjaj bersama seorang badwi yang sedang berpuasa. Malah dalam video tersebut, hajjaj digambarkan sebagai orang yang sangat kuat berpegang kepada Sunnah.

Kisah-kisah manusia bengis dan kejam

Jumaat lepas sempat sambar buku ni sebelum pergi ke Port Dickson. Waktu belek-belek, aku sudah tahu keseluruhan buku ini berkisar mengenai kekejaman dan kezaliman Hajjaj Bin Yusuf. Malah, penulis sendiri banyak menggunakan gelaran syaitan tsaqif kepadanya. Maka saat aku mula membaca buku ini, aku meletakkan mindset "positif" bagi melihat sisi-sisi baik pada hajjaj dan meneliti kepada asas bagi setiap perbuatannya.

Hajjaj terkenal kerana membunuh Abdullah bin Zubair yang memimpin mekah/madinah mengetepikan pemerintahan bani Umaiyyah ketika itu. Sebagai seorang yang sangat taat kepada khalifah, hajjaj merasakan siapa-siapa yang mengingkari khalifah atau mengancam kuasa khalifah patut dihapuskan. Mereka dianggap sebagai pembelot kerna cuba menggulingkan khalifah. Namun yang lebih menarik, kebencian Hajjaj kepada penduduk mekah/madinah yang mendalam adalah kerana marahnya dia diatas perbuatan orang mekah/madinah yang tidak melindungi saidina uthman affan ketika dibunuh pemberontak.

Kebencian kepada pemberontak yang membunuh Saidina Uthman ini berterusan apabila Hajjaj kemudiannya dihantar ke kawasan Iraq(kufah/basrah). Ini kerana, dari sinilah pemberontakan untuk membunuh saidina Uthman bermula. Malah, banyaknya berlaku pimpinan-pimpinan kawasan ini yang mahu melepaskan diri dari kekuasaan khalifah Malik bin Marwan, maka ketegasan Hajjah menyelesaikan masalah ini menyebabkan banyaknya pertumpahan darah berlaku sesama umat Islam. Banyak lagi kisah yang boleh dibaca, juga sebab disebalik setiap kekejamannya. Bacalah.

Namun yang peliknya, Abdullah bin Umar masih solat dibelakangnya. Dan tidak pernah sekalipun Hajjaj ingkar pada khalifah, malah Hajjaj sangat banyak berdiskusi dengan para ulama' tabiin ketika itu. Hinggakan orang-orang melihat hajjaj adalah orang yang dihantar oleh Allah untuk "membalas" perbuatan orang Iraq ketika itu.

‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu pernah berkata (berdoa):
“Ya Allah, aku telah memberi mereka amanah tetapi mereka mengkhianatiku, aku telah menasihati mereka tetapi mereka curang padaku. Maka kuasakanlah atas mereka seorang pemuda Tsaqif yang angkuh lagi sombong, yang memakan kesejahteraannya, yang memakai kulitnya, dan menerapkan hukum-hukum jahiliyyah atas mereka."
Al Hasan berkata, “Pada ketika itu Al Hajjaj belum lahir." (Al-Bidayah wa An Nihayah, 9/152. Ibnu ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 12/169)

“Al Hasan Al Bashri pernah berkata: “Sesungguhnya kemunculan Al Hajjaj adalah disebabkan dari azab Allah, maka janganlah kamu melawan azab Allah dengan tangan-tangan kamu. Akan tetapi wajib bagi kamu untuk tunduk dan memohon dengan merendah diri karena sesungguhnya Allah telah berfirman (maksudnya):
“Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan azab kepada mereka, maka mereka tidak tunduk kepada Rabb mereka, dan (juga) tidak memohon (kepada-Nya) dengan merendahkan diri." (Surah Al Mukminun, 23: 76)


Alim yang membingungkan.

Menariknya dalam buku ini juga, Hajjaj digambarkan sebagai orang yang selalu memuliakan Allah dan Rasul dalam setiap ucapan/surat dan khutbahnya. Mendengar cakap para alim ulama' ketika itu dan selalu bertanyakan ilmu(makna ayat quran) kepada tabiin ketika itu(juga terselit dalam buku ni). Malah diskusi-diskusinya menyebabkan beliau mengeluarkan arahan agar tanda-tanda pada Quran diletakkan bagi memudahkan pembacaan generasi akan datang.

Ketika zaman beliau juga, orang-orang kafir tidak berani memperlekehkan Islam kerana takutnya kepada Hajjaj bin Yusuf. Beliau sendiri Orang yang mencitai sunnah dan tidak berlebih-lebihan akan harta dan dunia. Aku sertakan beberapa riwayat untuk menggambarkan "kebaikan" Hajjaj


dari ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz, beliau berkata:
“Aku tidak sedikitpun merasa iri hati (dengki) terhadap Al Hajjaj si musuh Allah itu, melainkan terhadap sikapnya yang cinta kepada Al Qur’an dan sikap pemurahnya terhadap ahlul Qur’an, serta ucapannya sebelum wafat, “Ya Allah ampunilah aku, sesungguhnya manusia menyangka bahwa Engkau tidak bertindak." (Ibnu Katsir, Al Bidayah wa An Nihayah, 9/158)

Kata Al Hafizh Ibnu Katsir lagi:
“Diriwayatkan kepada kami dari beliau bahwa beliau meninggalkan hal-hal yang memabukkan, banyak membaca Al Qur’an, menjauhi larangan-larangan, dan tidak dikenali sebagai orang yang pernah terjerumus dalam urusan kemaluan, walaupun dia terlalu berani dalam hal menumpahkan darah. Maka Allah Ta’ala-lah yang lebih mengetahui kebenaran dan hakikat-hakikat segala urusan serta rahsia-rahsianya, serta hal-hal yang tersembunyi di dalam dada." (Ibnu Katsir, Al Bidayah wa An Nihayah, 9/153)

Al Ashma’i berkata: “Yang menakjubkan tentang Al Hajjaj, adalah apa yang beliau tinggalkan hanya 300 dirham." (Al-Bidayah wa An Nihayah, 9/159)


Buku yang sangat menarik untuk dibaca. Ada sebahagian ulama' mengatakan keburukan dirinya dilebih-lebihkan oleh orang syiah(iraq) agar dia dibenci. Tapi entahlah. Wallahualam.

Kadanga-kdang aku teringatkan Hang Tuah bila baca kisah dia. Banyak lagi cerita dia dengan sahabt nabi Asma', anas bin Malik dan Abdullah ibn Mas'ud.

Membacalah. Udah-udahlah dengan wassap dan facebuk tu. hehe

Sekian dari Syuib0809.

Friday 2 December 2016

ZTE WEBE

Bismillah.

12 hari tanpa telefon..

Phone lenovo hilang 18/11/2016.
Hari jumaat lebih kurang 11.30 pagi.
Perjanjian dua hari, aku mencari sedaya upaya namun tidak berjumpa.
Selepas beberapa hari berlalu, aku masih belum mempoligamikannya.

Kira punya kira, sudah melebihi 10 hari kejadian itu berlalu. Dan dalam tempoh tersebut, aku meneruskan hidup tanpa makhluk bernama phone/smartphone/handphone. Makhluk yang menjadi nyawa untuk manusia moden hari ini. Tidak perlu terkejut kerana kanak-kanak umur 5 tahun juga sudah punya smartphone dan wassap.

10 hari itu, secara jujurnya hidup aku sangat tenang. Tidak berhajat kepada manusia. Malah, tiada kepeningan untuk menyempurnakan hajat manusia. Kembali kepada basic. Dan ajaibnya, aku masih boleh meneruskan hidup.

Berhajat untuk menjadi pengguna Iphone, namun rasanya berbulan aku makan nasi bujang kalau ianya berlaku. Oleh kerana itu hanya mampu memilih ini sebagai pengganti....

ZTE Blade V7.(30.11.2016)



Data dan WEBE...

Sudah menjadi buah mulut bahawasanya aku tidak memiliki whatsapp. Maka, jauh sekali untuk aku berjinak-jinak dengan insta, wechat, telegram dan yang seangkatan dengannya. Namun fakta yang lebih teruk menjadikan aku "si tua" ialah sepanjang hidup aku, aku tak pernah memiliki "data" pada telefon. Sampai sekarang pun aku tak tau macammana nak beli "data". Hehe. Cuma aku pasti ia hanyalah perkataan lain bagi menggunakan internet.

Dah ada wifi kat rumah, line internet kat pejabat, rasa macam tak perlu je nak sibuk2 pasal data ni.

Tapi, akhir-akhir ni abah asyik duk promote WEBE. Sebab sape2 yang ahli keluarganya telekom akan dapat potongan. Alang-alang simcard dah hilang, maka memulakan hidup dengan simcard yang baru ni macam agak menarik. Bulan2 bayar rm60 akan dapat:

Unlimited calls
Unlimited sms
Unlimited data(9,999,999GB)

Gila kan? So, takde sebab aku nak guna whatsapp sebab dah dapat sms free. Haha. Apela punya pikir macam ni.

Cuma oleh kerana WEBE ni agak baru, maka tak pasti apa kelebihan dan kelemahannya lagi.
Untuk bukan telekom kena bayar rm79 sebulan.



Phone yg ada bersama simcard webe ini penuh dengan kekosongan. Tiada satu pun contact number melainkan ahli keluarga. Student pertama yg mesej ialah si sufi. Kemudian diikuti ketua unit maths. Maka nombor berdua ini sahaja yg ada.

Sekiranya ada sape2 yang rasa dirinya penting untuk disimpan nombornya dalam ZTE ini, mohon mesej la eh. Senang ape-apehal nak contact nnt. Nombor masih no lama.

Sekian dari Syuib0809.


Thursday 24 November 2016

Juara

Bismillah.

Alhamdulillah, KAKOM 2016 sudahpun melabuhkan tirainya semalam. Tahun ini, kami menjadi tuan rumah. Dan kerana itu aku kembali diamanahkan menjaga pasukan bola tampar kolej.

Memori dalam ingatan yang masih berbaki, aku catatkan di sini mengenai semua perlawanan kami.

Isnin(Hari pertama).

KMPP vs KMKualaNerang.
set pertama: 25 - 19
set kedua: 25 - 19

KMPP vs KMTeknikalKedah.
Set pertama: 25 - 19
Set kedua: 25 - 7

KMPP vs KMkelantan
Set pertama: 25 - 20
set kedua: tak ingat(tapi menang)

Selasa(hari kedua)

KMPP vs KMPerak
Menang kedua-dua set dengan membawa masuk pemain2 simpanan.
Dua player utama disimpan untuk semifinal. Kami dinobatkan sebagai Johan Kumpulan. Tetapi time game ni seorang player utama(zack) injured pergelangan tangan dan dibawa ke hospital. Hilang sorang lagi player.

Semifinal
KMPP vs KMKedah
Set pertama: tak pernah leading sampailah mata yang ke 22. Kami akhirnya menang 25 - 22
Set kedua: menang dengan agak mudah 25 - belas2.(16 kalo tak silap)
Set ketiga: kalah tipis
Set keempat: 25 - 22. Player utama(no. 8) jatuh tulang bahu. Kami ke final.
Game starat 4.40 petang(sebab hujan) dan habis pukul 6.25 petang. Giler

Final(Kekuatan Individu vs berkumpulan)

Tahun ini, kami beroleh beberapa orang pemain negeri. Dan dalam beberapa orang ini, yang paling hebat ialah seorang pemain kaum cina bernombor 8. Sejak mini Kakom lagi aku sudah melihat perkembangannya. Ketika mini Kakom, hanya dia dan setter yang bermain berdua mengabaikan pemain-pemain yang lain. Maka, aku kurang gemar akan dirinya walaupun ketika itu kumpulannya adalah juara mini Kakom. Bagi aku semangat berpasukan/berjemaah adalah sangat penting berbanding beraksi berseorang sebegitu.

Penyakit dirinya berterusan ketika latihan. Dan sangat menyerlah apabila kami buat friendly dan masuk Open UITM. Kerana mata yang ketinggalan, dirinya hilang kawalan dan kepercayaan kepada rakan-rakan. Semua bola yang diterima dari pihak lawan akan direbut dirinya hingga sanggup menolak rakan-rakan yang lain. Dan paling aku geram bila tengok dia tengking rakan-rakan sepasukan ketika game masih berlansung.

Ditakdirkan Allah, ketika KAKOM berlansung dia baru pulih dari kecederaan buku lali. Maka, aku menggunakan alasan itu untuk tidak memasukkan dirinya dalam setiap set pertama. Bukan kerana benci, tetapi aku mahu mereka belajar percaya bahawa setiap ahli-ahli yang lain juga mampu menyumbang dengan kelebihan masing-masing dalam pasukan. Tidang bergantung kepada mana-mana individu semata-mata. Dan keazaman aku itu berhasil apabila semua game kami menang.

Ketika final(KMPP vs KMKulim), bahunya yang terjatuh sudah dimasukkan kembali. Selaku pemain paling hebat, sudah pasti dirinya diperlukan untuk game penentuan ini. Namun ketika sesi memanaskan badan, bahunya jatuh kembali dan dirinya tidak boleh bermain. Satu pasukan down sebab kehilangan dua pemain utama dan hebat. Bayangkan 7 serves tak masuk. Akibatnya kami kalah set yang pertama di gelanggang sendiri dan di depan penyokong sendiri.

Bersama KMKulim. Couch dia memang pemain Negeri Sembilan. Aku plak main untuk kolej dengan sekolah je. Puihh


Aku percaya ketiadaan dia membawa pengajaran yang lebih besar. Maka untuk set kedua, aku meminta encik Azlan menukar kedudukan beberapa orang pemain. Dan kami menang besar untuk set yang kedua. Bersambung di set ketiga juga, kami sekali lagi menang dengan agak selesa. Manakala di set yang keempat, KMKulim mendahului sepanjang game sehinggalah mata yang ke 19. Namun semangat berjemaah itu penuh dengan hikmah apabila kami memenangi set terakhir itu dengan 25-21.

Senang cerita, kami dapat emas. Wow!!

Baju aku sendat, Terpaksa pakai luar baju lain. Aduihhh


Muhasabah Kaum.

Tahun ini juga, kami beroleh pemain kaum cina yang agak ramai. Kepelikan ketika kakom berlansung, hanya kami yang jelas punya pemain cina teramai(4 orang) berbanding pasukan lain yang semuanya muka-muka melayu. Ingat awal-awal training luqman asri sampai sound budak-budak ni sebab duk cakap cina dalam court. Secara jujurnya memang mereka kurang fasih berbahasa melayu kecuali zack Tetapi semakin hampir dengan KAKOM aku melihat bagaimana seronoknya mereka begurau senda, makan bersama, siap duk belajar baca doa lagi. Hahaha. Di zaman isu perkauman semakin dimain-mainkan, pengalaman mereka memahami perbezaan kamu ini sesuatu yang sangat manis dan mungkin sukar untuk beroleh semula di masa akan datang.

Aku dah letih sokmo. Muka dah hitam.
Tapi kami belum bercuti.
Hati aku dan meronta-ronta nak balik kampung.
Bayangkan 4 minggu dah tak balik rumah.
Phone plak hilang tak dapat nak call mak. Arghh..

Okeh, tahniah.

Warren, Fikri, Radzi, Amirul, Acap, Nash, Raf, Naim, Khar lok, Khar Hao, Amir, Zack.


Sekian dari Syuib0809


Friday 18 November 2016

Putus hubungan

Bismillah..

Phone hilang.
Bukan tertinggal, barangkali tercicir..
Kekalutan menguruskan pasukan KAKOM, mudah benar bencana terjadi.

Jadi, paham2lah ye kalau panggilan tak berangkat.
Ataupun barangkali menerima mesej pelik-pelik.
Usah beranggapan negatif.
Sebab yang terjadi hari ni masih punya sisi positif.

Terputus sebentar dengan orang-orang jauh.
Masa terbaik merapatkan hubungan dengan yang dekat guna cara lama.
Kalau dua hari akan datang masih belum beroleh sebarang berita
InshaAllah akan terbelilah alat komunikasi yang baru.

Sekian..

Friday 11 November 2016

Sibuk. Subuh. Tua.

Bismillah.

Semester satu 2016/2017 yang sudah melabuhkan tirai. Hanya exam yang berbaki untuk dilansungkan. Cuma aku tidak menyangka study week kali ini boleh menjadi begitu sibuk.

Hari isnin selesai hantar 3 set soalan kuiz beserta skema untuk ditaksir.
Hari selasa menyelesaikan laporan headcount PB yang tebalnya mengalahkan kamus oxford.
Hari rabu hantaq laporan PLC yang tiba-tiba dimaklumkan oleh kak nana sehari sebelumnya.
Ingatkan dah boleh tarik nafas lega, sekali Ustaz plak mai bagi kerja. Aduihh.
Maka hari khamis melengkapkan paperwork latihan kebakaran untuk diluluskan pengarah
Hari terakhir(jumaat) pula menguruskan surat kepada abam bomba.. Fuhh..

Nama je surat, tapi kerjanya bukan main banyak.
Yang syoknya, seronok tengok surat tu tulis tarik 11 November 2016

Sepanjang minggu ni, meja seperti biasa diserbu oleh student-student yang nafsu studynya semakin membuak-buak. Cuma banyak gak masa yang ditarik dek kerana briefing exam, bengkel felo, bukak kotak soalan yang menyebabkan masa aku terhad bersama pelajar.

Menebus kesalahan tersebut, maka aku memenuhi permintaan students untuk mengadakan kelas tambahan ahad malam, selasa malam dan rabu malam. Bermula jam 9.00 malam dan tamat 10.30 malam. Pancit gile.

Sem ni tak banyak tangkap gambar. Sebab minggu terakhir tu aku demam. Tu belum kira pekaknya.

Okeh.. Comel. H5P13/14

Subuh.

Secara jujurnya dua tiga minggu lepas, solat subuh berjemaah aku agak terjejas. Pertamanya, sebab iman aku semakin menipis. Yang keduanya sebab hari tu diserang cirit birit dekat 5 hari. Kemudian saat pulang dari pulau pangkor, aku diserang demam, selsema dan batuk. Maka, mahu mengembalikan momentum itu agak payah sungguh. Ketiganya, aku dah tawar hati nak ambik tahu pasal anc dan surau kolej. So, hubungan dengan surau kolej memang ke laut habis. Banyak solat kat luar je.

Cuma saat aku kembali menunaikan solat Isyak di surau kolej, tertarik dengan imam yang suaranya seperti orang-orang tua. Menjeling sepintas lalu, rupa-rupanya pengarah kolej yang baru.

"pengarah memang selalu datang solat kat surau ke?" aku bertanya si Ammar sebaik solat hajat selesai ditunaikan.

"selalu gak cikgu. Selalunya subuh dengan Isyak mesti ada.." 

Tertarik ingin tahu, aku menghabiskan 4 dari 5 solat subuh dalam minggu ini di surau kolej. Ternyata pengarah baru ini kerap menjadi orang pertama yang merasmikan pintu surau di saat subuh menjelma. Tidak cukup dengan itu, beliau juga menjadi imam memimpin anak-anak pelajar sperti subuh pagi tadi. Hebat...

Cuma aku, sudah hilang kepercayaan pada orang atasan. Maka, menjarakkan diri terlebih dahulu adalah langkah terbaik sebelum fitnah yang lebih buruk berlaku. Malah, aku juga berusaha menjarakkan diri dari KJPP baru. Hehe.

Cuma lawak baru-baru ni, semua staf dapat emel.

"Hasil pemantauan saya melalui CCTV, didapati beberapa orang pensyarah dan kakitangan sokongan telah melakukan perkara-perkara berikut :

  1. Mengetik kad perakam waktu lebih daripada satu kad;
  2. Mengetik kad perakam waktu pada waktu yang meragukan contohnya 6 pagi dan 11.30 malam dengan berpakaian seperti kain pelikat, jubah dan dll (pakaian yang bukan pakaian ke pejabat);

Saya telah pun mengenalpasti pegawai-pegawai berkenaan dan jika perkara ini masih berterusan, tindakan yang bersesuaian akan diambil TANPA NOTIS AMARAN."



Okeh, balik subuh memang aku pakai kain pelekat. Gulp.



Tua.

Sudah setahun tarikh ini berlalu. Dalam satu tahun ini, aku mencuba banyak benda baru. Antaranya aku mula berjinak-jinak dalam sistem Audio. Belajar bermain dan mengurus sukan memanah. Belajar audit. Macam-macam lagi yang tidak memerlukan pengejaran sijil. Cukup sekadar ilmu. 

Namun satu tahun ini juga, tahun paling dahsyat aku kena fitnah. Nama diburukkan dan menerima labelan yang entah dari mana. Dan waktu briefing exam yang melibatkan semua pensyarah, KJ dan Pengarah tiga hari lepas, nama aku disebut-sebut sebagai satu-satunya pensyarah yang tiada wassap. Okeh, femes kejap.

Melepasi 27 tahun, aku menyedari diri sudah tua. Satu tahun yang akan berlalu, aku mahu kembali berjinak-jinak dalam dunia basikal. Seronok tengok pengarah kayuh basikal petang-petang. At least, leh bakar lemak sikit. Mahu belajar pasal lighting stage. Dapat ada aset sikit pun jadila. Mahu kembali travel. Target nak pi korea jumpa si Widad. Nak mintak dia jadi  planner. Hehe. Rindu plak kat minah ni dengan kawan dia si ani yang masuk air. 


Timaon 700cc. RM550. Tengah kumpul duit nak beli benda ni. Haha. Tak sabar nak perap benda ni kat rumah.

Kahwin? Setakat ni tiada dalam perancangan lansung. Melepasi umur 25 tahun, hanya kegilaan kepada seseorang sahaja yang menyebabkan aku perlu memikirkannya kembali. Kali terakhir ia berlakupun disebabkan oleh studentku si pemalu. Selepas dirinya, tiada lagi. 

Malam ulang tahun kelahiran, aku punya impian menikmati menu kegemaran. Namun beberapa hari ini aku menyedari yang aku tidak lagi mampu makan sebanyak dulu. Cepat sangat kenyangnya. Maka, hanya sempat singgah big bob cafe sahaja malam ini. Tiada kek yang berminat untuk dibeli dari kedai. Cuma ada beberapa orang students duk tinggalkan kek dalam raga motor aku. Nasib baik kucing tak makan kek.

Dapat hadiah dompet kulit dari seorang pensyarah bio. Itupun sebab aku mengajar anak dia. Macam tau-tau dompet lama aku dah koyak rabak. Hehe.

Mudah-mudahan tahun yang mendatang ini lebih baik penyudahnya..


Okeh.. Saranghae..


Sekian dari Syuib0809.

Saturday 5 November 2016

Gajah Bergajah-gajah, Pelanduk Mati Tersepit

Bismillah.

Berkongsi sebuah penulisan. Bagi aku, ia sebuah bahan bacaan yang sangat baik. Pernah memiliki beberapa buah buku mengenai afghanistan, turkistan, syria dan perang arab Israel. Kesemuanya membawa mesej besar yang sama. Buat rakan-rakan dan anak-anak yang masih ketagih dengan ikramnya, PANnya, PEMBINAnya, JIM, ABIM dan sebagainya, kita semua sedang menuju penghujung yang sama. Masa sahaja yang menentukan.. Bila tiba masanya, apa yang dimomok dalam tamrin kalian hanya menjadi mimpi semata-mata. Nak bentang RUU355 pun dah macam-macam benda negatif dari kalian, inikan pula mahu membangunkan pemerintahan Islam.



GAJAH BERGAJAH-GAJAH, PELANDUK MATI TERSEPIT

Oleh: Abu Ubaidah
Walaupun peperangan yang melibatkan kuasa-kuasa besar sudah lama berakhir, dunia hari ini tetap dikhianati oleh beberapa kelompok negara berkepentingan. Perang saudara di Syria hari ini adalah satu bukti yang jelas. Pelbagai persoalan timbul di dalam benak pemikiran saya; Mengapa ia terjadi? Mengapa ianya masih lagi belum berakhir? Mungkin persoalan-persoalan ini akan dirungkai di dalam penulisan yang agak panjang ini.
Segalanya bermula hasil daripada perkembangan Arab Spring 2011. Perlu untuk difahami bahawa majoriti penduduk tanah Syria adalah Sunni Muslim, dan berpusat di kawasan-kawasan timur Syria seperti di Homs, Hama dan Aleppo. Manakala hanya 13 peratus yang lain merupakan campuran Muslim yang berideologi Alawit, Syiah dan lain-lain agama. Basyar Al-Assad yang kini memegang kerusi presiden di Syria merupakan seorang Alawit. Beliau yang mewakili parti pemerintah Ba’ath telah pun, mengikut sejarah, melakukan perubahan di dalam perlembagaan negara.
Perubahan yang dimaksudkan adalah berkait dengan kepimpinan presiden, bahawasanya seorang presiden yang dilantik kini tidak perlu lagi untuk berlatarbelakangkan agama Islam – satu perubahan yang mendadak berbanding dengan perlembagaan sebelumnya. Ibarat menuang air di atas minyak yang panas, majoriti Muslim di timur Syria mengamuk dan menyimpan dendam yang mendalam. Ada lagi beberapa perkara lain yang menyebabkan Sunni bersifat geram dengan kepimpinan Basyar tetapi cukup untuk kita memahami yang hubungan masyarakat Sunni terhadap kepimpinan Basyar sudah mula regang.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata jangan sesekali. Mungkin tepat sekali saya fikir peribahasa Melayu itu dalam perenggan ini. Di sebuah bandar bernama Daraa, di selatan Damascus, beberapa kanak-kanak menulis grafiti yang berbunyi ‘Kami mahukan rejim anda (Basyar) tumbang!’ Kanak-kanak itu, yang sudah tentu amat mentah, ditahan pihak berkuasa. Hasil daripada perkembangan pantas media sosial, ditambah pula dengan motivasi hasil daripada Arab Spring di rantau tersebut, maka penduduk bandar keluar melata, bersemangat tinggi dan penuh yakin akan berjaya menjatuhkan Basyar seperti yang terjadi di Libya dan Mesir.
Cukup untuk saya kata bahawa konflik dan pertumpahan darah mula untuk merebak. Syria pada waktu itu terbelah dua, satu yang menyokong Basyar dengan teguhnya dan satu lagi yang sudah tentu mengharapkan kejatuhan Basyar dan inginkan kerajaan demokrasi baru. Apabila pergaduhan mula untuk melibatkan penggunaan senjata api (kisah berlaku pada bulan September di mana pos pasukan keselamatan diserang oleh pihak penentang kerajaan lalu menyebabkan kematian) – sudah jelas bahawa ianya tidak akan berakhir dengan mudah di meja rundingan. Free Syrian Army (FSA) ditubuhkan di bawah pantauan Syrian National Coalition (SNC) yang berpangkalan di Istanbul, Turki untuk mengemudi pemberontakan.
Masalah mula timbul apabila konflik yang bersifat dalaman ini, mula untuk merebak ke luar seperti satu kanser yang tidak akan mati. Saya pada mulanya berpendapat bahawa masalah di dalam negara perlu diselesaikan di dalam negara tanpa melibatkan campur tangan luar, namun tanggapan saya meleset.

Free Syrian Army yang agak terdesak mula untuk mencari bantuan antarabangsa dengan berpihak dengan kerajaan Turki. Turki pula turut mempunyai kepentingannya di dalam Syria. Sempadan utara Syria dipenuhi dengan barisan pemberontak berbangsa Kurdi yang amat tidak rapat dengan polisi-polisi Presiden Erdogan. Pemberontak Kurdi ini, atau Kurdish People’s Protection Unit (YPG) merupakan golongan militia yang berpengaruh di utara Syria. Erdogan akan menggunakan bantuan yang diberikan kepada Free Syrian Army sebagai satu platfom bagi memastikan perkembangan pemberontak Kurdish dijaga dengan rapi.

Pada masa yang sama juga, kekuatan Free Syrian Army ditingkatkan dengan bantuan daripada kesatuan NATO (North Atlantic Treaty Organisation – persetujuan pertahanan beberapa negara Eropah) yang telah menghantar bantuan senjata dan logistik kepada FSA. Basyar, yang berada dalam keadaan tertekan akibat daripada bantuan yang disampaikan kepada pihak musuh, mempunyai dua pilihan; sama ada menyerah kalah seperti yang berlaku di negara-negara lain dan berakhir dengan kematian di tali gantung, atau turut mencari ‘coalition partners’ lain yang mampu menyokongnya daripada belakang.

Hasilnya adalah Hezbollah daripada Lebanon dan pasukan tentera Iran. Mereka kemungkinan menyokong Basyar hasil daripada latar belakang kerajaan yang diketuai oleh seorang Syiah. Boleh dikatakan bahawa Syria hari ini telah pun menjadi medan di mana kuasa-kuasa besar dunia bermain di dalam satu permainan peperangan proksi. Teater peperangan kemudiannya dihangatkan dengan kemasukan pengganas ekstremis daripada Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) dari negara jiran timur Iraq, yang kini menggunakan kelemahan sistem persempadanan Syria untuk menyebarkan pengaruhnya. Dan mereka boleh dikatakan berjaya.
Kini terdapat tiga pemain utama di dalam Syria – di pihak Basyar adalah kerajaannya, Iran dan Lebanon, manakala di pihak Free Syrian Army pula adalah Turki (yang saya rasa mempunyai agenda lain), dan beberapa negara NATO seperti Perancis dan Belgium. Satu lagi adalah pemain tambahan ISIL yang mula berkembang pantas daripada selatan timur Syria berdekatan Ar-Raqqah.

Keadaan mula untuk menjadi lebih parah apabila kuasa negara utama dunia mula untuk turut campur tangan. Amerika Syarikat melihat kelibat kemaraan ISIL di Syria sebagai satu ancaman yang cukup besar kepadanya lalu mengambil keputusan secara rasmi pada 28 September 2014 untuk menghantar pesawat pengebomnya ke Syria.
Sebulan kemudian pada 10 Oktober 2014, Amerika Syarikat sekali lagi, seperti biasa, mengambil tempat duduk utama untuk mengkoordinasikan serangan ke atas ISIL melalui penubuhan Combined Joint Task Force – Operation Inherent resolve (CJTF-OIR) yang diketuai oleh komander Leftenan Jeneral Stephen J. Townsend, seorang graduan daripada US. Army Command & General Staff College (USACGSC), sekolah ketenteraan ternama.
Melihat kemasukan Amerika Syarikat yang banyak terlibat di dalam banyak operasi luar perantau, dan dengan pengalaman melihat Amerika mengucar-kacirkan negara-negara timur tengah seperti di Libya di bawah seliaan US Central Command (USCENTCOM), pihak Rusia diketuai Presiden Vladimir Putin pula tiba mengambil tempat duduk di belakang Basyar. Rusia pula meminta bantuan sekutu rapatnya China untuk membekalkan bantuan senjata kepada pihak kerajaan Basyar. Negara United Kingdom pula meluluskan di dalam parlimennya untuk tidak lagi bersikap kecuali dan mengundi penuh untuk turut melibatkan diri di dalam teater perang Syria melalui Operation Sheder. Begitulah nasib negara Syria yang kini menjadi tempat permainan kuasa-kuasa dunia. Benarlah pepatah, gajah bergajah-gajah, pelanduk mati ditengah.



Yang menarik adalah Turki. Turki boleh dikatakan berada di dalam dilema yang berpanjangan. Sudah tentu ia mahu untuk menentang ISIL dan pihak pemberontak Kurdish di Syria, tetapi kepada siapakah ia mahu memberikan kesetiaanyya? Jika diberikan kepada Amerika Syarikat dan NATO, krisis baru-baru ini menunjukkan bahawa coup de’tat yang dilancarkan ke atas presiden seolah-olah disokong barat, menunjukkan bahawa Turki hanyalah menjadi satu patung permainan yang digerakkan oleh pihak barat. Namun pada masa yang sama, Turki sudah tentu merasai kepentingan untuk melindungi pihak Sunni Muslim di Syria yang lebih dekat dengannya. Masa akan menentukan.

Pada masa yang sama, dalam menganalisi situasi ini, ada beberapa perkara yang boleh diambil iktibar. Pertama adalah untuk meletakkan rasionaliti melebihi semangat yang melampau. Golongan Islamis di dalam teater ini telah berpecah kepada hampir 32 bahagian yang berbeza-beza. Sikap tidak puas hati di dalam diri mereka tidak dapat membawa mereka untuk berbincang mengenai perbezaan mereka. Akhirnya mereka kini, menjadi lauk yang sedang dipanggang oleh beberapa negara yang sudah tentunya, lebih berteknologi tinggi dan terancang. Alangkah malangnya umat Islam hari ini. Bukan sahaja tidak mampu untuk memahami ‘the big picture’, malah turut tidak berilmu di dalam agama mereka dan ilmu sains dan kini begitu senang terpengaruh pula dengan emosi di dalam perjuangan mereka. Bukankah Allah menyuruh kita untuk berperang di dalam keadaan yang tersusun rapi?


Melihatkan kepada artikel Tuan Guru Presiden yang mahukan umat Islam kembali berhubung kukuh sama ada dalam kalangan Sunni atau Syiah, mungkin sekali ada betulnya di situ. Kini perjuangan Islam di dalam negara kita semakin dilihat tidak tersusun dan berterabur, adakah akan sampai giliran kita pula untuk dimainkan oleh kuasa asing? Jika ya, siapakah di antara kita yang akan menjadi orang pertama yang meminta bantuan asing untuk mencapai cita dan ego diri sendiri?


Sunday 30 October 2016

Bebas

Bismillah

Menulis minggu lepas. Aku sendiri kurang pasti kenapa dan apa yang mahu aku luahkan daripada nukilan kali ini. Barangkali mahu menggambarkan diri yng kuat memberontak. Atau mungkin sudah semakin menyampah melihat generasi muda yang malas mahu berfikir. 


Alhamdulillah, ustaz sudah memimpin hal ehwal pelajar. Maka, aku rasa urusan anak-anak muda ini akan bertambah mudah. Yang pasti, banyak benda akan berlaku. Apepun, usah terasa.

Usia muda
Nafsu teringin untuk bebas
Tersalah tafsir binasa diri
Bukan berbuat sesuka hati,
Tetapi berbakti sepuas hati..

Orang  muda
Dirinya mesti  bebas. 
Bukan pada pegangan agama
Tetapi pada idea dan buah fikiran yang waras
Terluncur dari cengkaman budaya dan tradisi
Akal yang bebas memikirkan fleksibiliti
Sesuai dengan masa, masyarakat serta lokasi.

Orang muda..
Langkahnya mesti bebas.
Bukan kerana engkau buat, maka aku kena buat..
Bukan kerana engkau suruh buat, lalu aku perlu buat.
Engkau bukan Tuan, sebab aku sudah berTuhan.
Dan aku bukan hambamu, sebab engkau juga sekadar Hamba.

Lagak orang muda,
Protokal menjadi musuh kebebasan.
Hormat penyembah tiada ikhlas, bicara lidah tiada bebas.
Kerana bebas adalah diri, dan ikhlas hanya dalam hati
Engkau tidak mungkin mampu melihatnya
Kerna hati sentiasa bebas dari pandangan mata manusia
Kuat terikat dengan mata Tuhan

Di usia muda
Pendapatmu perlu bebas
Bukan kerana aku benar
Dan bukan kerana engkau salah
Tetapi kerana selepas dari ini, mulutmu akan terkunci
Yang benar kelak akan kamu bisukan
Dan yang salah pula akan dirimu anggukkan
Ini saja masanya...
Gunakanlah

Anak muda Annur yang sudah terkubur...
Tidak aku sangka membawa sekali jatinya...
Akal besar yang semakin menyempit..
Ternyata semakin hilang mahu mendefinisi
Si muda yang sepatutnya belajar menunjuk
Semakin diketuk untuk angguk dan tunduk
Rasalah bencana menjadi muda
Kerana merasa tua itu kelaknya pasti
Usah dikejar, takut-takut tercepat mati.

Didikan yang kuharap kelak kalian berdikari
Tidak disangka akhirnya terjerumus menjadi kuli
Si bebas yang sudah terikat.
Hanya kasihan tatkala melihat kebobrokan pelangi arahan.
Kerna itu, berhenti sebentar aku menjadi warnanya.

Selamat tinggal buat yang terikat.
Kerana aku mencari burung yang terbang di awangan
Melihat besar dan meriahnya dunia.
Bukan yang membuat bising di dalam sangkar
Sambil mendengar siulan bodoh tuannya.

Bebas..

Sunday 23 October 2016

Racun hujung minggu

Bismillah.

Tahun 2009..

Lama tidak merasa makanan orang miskin, aku membeli sebungkus nasi putih bersama telur mata kerbau di cafe kolej. Kicap manis dicurahkan sebagai pelengkap rasa. Makanan percuma yang selalunya tiga lauk, ada masanya makanan berbeli sesimple ini pula diidam oleh lidah.

Saat menjamah kuning telur, aku khuatir sebentar kerana kemasamannya. Tidak pernah rasa kuning telur semasam itu. Dalam hati aku berbisik...

"ala makan jela, kalau dah basi esok sakitla. Kalau tak basi, takde apela..." 

Bodoh bisikan itu tidak menunggu lama.

Malam itu juga aku muntah-muntah. Cirit-birit yang entah berapa kali. Nasib baik tandas hanya di sebelah bilik. Bertambah dahsyat ketika itu, aku tidak boleh bangun dari katil. Buat pertama kali solat duduk di dalam bilik akibat tidak boleh berdiri.

Dan lebih menarik ketika itu, hari tersebut termasuk dari 5 hari untuk aku study paper economics yang terakhir untuk exam A level.

Hari pertama ke klinik kolej, tapi masih belum sembuh. Pergi ke klinik tg malim diberi ubat arang makin bertambah sakit. Akhirnya aku dibawa pulang ke rumah untuk dua hari. Dan pulih betul2 sehari sebelum paper ekonomi. Alhamdulillah boleh fly. Hehe.

Itu kisah 7 tahun lalu.
Dan 2 hari lepas aku mengulanginya...

Membeli air soya tepi jalan, tiada apa-apa rasa yang memelikkan.

Sebaik sahaja memantau orang-orang yang sedang memanah, perut aku tiba-tiba memulas.

Selepas maghrib, episod muntah-memuntah dan cirit-birit pun bermula.

5 kali muntah.
Cirit-birit setiap jam. Kul 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi dan sampailah subuh menjelma.

Semalam, Matematik ada program SAL, dan aku perlu menjaganya. Dan sepanjang berjaga dalam kelas, tulang belakang duk sakit, lutut lemah akibat cirit birit berpanjangan dan peningnya hanya Allah yang tahu. Mintak keluar awal lepas jaga 2 jam. Duk tanya student.

"hangpa tau ubat apa nak bagi elok sakit perut?"

"pil chi kit teck aun cikgu... Kat koop ade jual.. Ubat dia bulat2 kecik2..."

Lepas makan ubat tu, aku berbaring dengan tenang dan kesakitan lain pula yang datang.

Perut masuk angin plak. Dari jumaat petang sampailah petang sabtu, aku tak makan apa-apa melainkan roti gardener bersama air milo. Akibatnya, sekali lagi malam tadi tak boleh tidoq. Perut yang berangin, tetapi anginnya tak mau keluar, puas berguling atas katil..

Pagi ini, gagahkan juga buat kelas untuk anak-anak pelajar yang meminta. Disambung kelas petang pula, dengan mengetepikan jamuan felo yang sedang berlansung di bandar bertam, padahal sakit di perut masih belum hilang sepenuhnya. Waktu kelas keluar masuk tandas. Sabo jela.

Jadi cikgu ni, aku rasa lebih suka bersama student berbanding rakan sejawat.
Entah kenapa, student dulu..

Maaflah ye.. Mengarut dengan diari yang menggelikan.
Orang semua duk cerita pasal RUU355
Pasal bajet 2017
Pasal USA vs UAS
Aku plak cerita pasal cirit birit.
Tak larat dah nak dengar pasal kebencian.
Susah sangat ke nak hargai usaha baik orang lain?

Please...

Sekian dari Syuib0809.


Wednesday 19 October 2016

Cuit-cuit Syuib0809... Bhgian 3

Bismillah..

Subuh di kolej persediaan UEM,, penghujungnya selalu terisi dengan tazkirah ringkas. Banyak masanya, kumpulan-kumpulan kecil duduk bersama membaca almathurat. Aku yang dari sekolah sekular, selalu sahaja lari selepas subuh. Cuma kadangkala, aku meluangkan masa sebentar, sementara menunggu dewan makan dirasmikan.

Mak cik dewan makan sendiri seolah-olah sudah termuntah, asyik si gemuk ini saja yang menjadi perasmi senduk yang tidak terusik lagi.

Pagi itu, aku bersubuh seperti biasa. Sebaik sahaja salam diberikan, wirid-wirid ringkas mmenghiasi bibir-bibir teruna yang hadir. Muslimat di atas, aku belum mengenal penghuninya. Cuma aku pasti, mereka juga ada menghiasi pagi yang penuh dengan rezeki itu.

Doa yang menjadi penutup, aku tiba-tiba ditolak oleh senior-senior yang hadir. Masuk lewat, duduk terasing dari perkampungan lelaki, wajah yang selalu ke surau sahaja menjadi sebab mengapa lelaki bersongkok ini ditolak kedepan untuk memberikan tazkirah. Mereka terfitnah, barangkali menyangka aku punya sejarah "beragama"..

"erk..."

"kita mulakan dengan ummul kitab, alfatihah...."

Ayat merasmi itu sudah sebati dalam menjadi pembuka bicara

" ahli-ahli  jemaah sekalian, agak-agaknya kenapa kita duk mandi tiap-tiap hari?"

"kenapa yer?"

Mereka-mereka yang hadir, terpinga-pinga dengan soalan aku..barangkali mereka bermonolog

"ini tazkirah ke apa ni?"

Aku menyambung pertanyaan..

"akak-akak yang ada di atas, kenapa pergi kelas je mesti nak makeup, sembur minyak wangi bagai... Busuk sangat ke?"

Respon yang sedikit ada, aku mendengar bisikan

" suka hati je kata kami busuk..."

Aku meneruskan bicara

"akak-akak, abang-abang, setuju tak kalau saya katakan, kita mandi sebab kita nak bersih, dan kenapa kita nak bersih? Sebab kita tak cukup bersih.... Bahasa kasarnya, kita kotor la!"

"akak-akak setuju tak kalau saya katakan kita pakai make up sebab nak nampak lawa? Kenapa nak nampak lawa? Sebab akak2 tak cukup lawa... Hehe... Sabo2"

Aku tidak pasti di mana lawaknya, cuma yang di atas dan dibawah sudah terbahak-bahak mendengar tazkirah yang tidak berdalilkan Quran dan hadiths itu. Dan aku pasti, gadis-gadis itu pasti tidak puas hati dengan statement tersebut... Selaku bekas penggerak kempen anti-perempuan di sekolah, kata-kata sebegitu mudah sahaja aku lontarkan dari mulut yang terbuka.

"hakikatnya kak, abang, kita mandi setiap hari bukan kerana kita kotor, tetapi kerana kita mahu diri sentiasa bersih..." kita makeup bukan kerana kita tak lawa, tetapi kita sentiasa mahu kelihatan lawa.. Dan kita pakai minyak wangi bukan sebab kita busuk, tetapi kerana kita mahu orang sentiasa selesa dengan bau badan kita yang wangi..."

Aku meredakan kembali ketidakpuashatian mereka...

"begitu juga dengan solat... Jangan solat sebab kita rasa berdosa sahaja.... Alangkah cantiknya solat yang kita dirikan Dengan harapan diri sentiasa kelihatan "baik" dihadapan Allah.. Biar ibadah jadi punca berterusan agar hari-hari kita sentiasa dalam Redha Allah S.W.T.... Kan lebih baik mencari-cari alasan untuk amal yang berterusan, daripada mencari-cari sebab untuk kita berhenti melakukan sesuatu amal yang selalu diteruskan..."

Aku sendiri sudah lupa penutup yang aku bekalkan. Yang pasti, tiada dalil Quran dan hadiths yang menghiasi tazkirah pertama itu..

Dan sejak itu, nama aku terhias sebagai "orang surau"...

Tazkirah-tazkirah yang selalu menghiasi surau, ia menyuburkan budaya perkongsian ilmu dan peringatan. Si pengongsi yang tidak maksum, kesalahan kecil ketika berbicara dimaafkan, manfaat sebesar kuman diraikan. Hingga selalu, orang yang "bukan surau" juga diberi peluang berkongsi pemikiran mereka. Fitrah manusia, suka benar dirai.

Surau kecil kolej sekular itu, mengajar aku besarnya manfaat meraikan, berbanding menghukum semata-mata. Sifat daie yang dicari-cari, agar kurang caci-maki dari insan-insan yang tidak sebulu dengan diri.

Jadilah daei yang merai, bukan daei yang memaki.. Hehe

*sebenarnya ni post yang dah tertangguh berbulan-bulan. So tetibe sertakan sebab malas nak tulis. Hehe.

Sekian dari Syuib0809.

Thursday 6 October 2016

Maal Hijrah B2K

Bismillah...

Cuti tiga hari...
Aku berdegil untuk adakan sambutan Maal Hijrah..

"tak kisah lah ANC bubar ke tak bubar, saya akan on gak maal hijrah ni. Apeke jadah orang islam tak kesah pasal tahun baru sendiri..." kasar bahasa saat kepanasan

Maal hijrah, bukanlah dikira besar pada sambutannya. Cuma ia salah satu hari istimewa untuk mempertontonkan dan memperketengahkan cebisan-cebisan Islam. Seperti mana kita menziarah sanak-saudara ketika istimewanya hari raya. Pergi ke kubur ketika pagi syawal. Maka, Istimewanya 1 syawal itu bukanlah kerana sambutannya. Namun, ketika hari-hari "special" inilah menjadi masa yang paling sesuai untuk kita mempromosikan budaya "ziarah-menziarahi" dan "melawat si mati". Kerna "budaya" yang diajar islam ini begitu hambar untuk dipromosikan pada hari-hari biasa.

Maalhijrah seperti itu juga.
Menjadi  asbab agar kisah hijrah itu diputar berulang-ulangkali..
Juga hari terbaik agar anak-anak muda meneruskan kekaguman mereka akan hebatnya hubungan Ansar dan muhajirin saat peristiwa hijrah itu berlaku

Cuma sambutan kali ini, promosinya sedikit berbeza.

"cikgu, HEP bagi buat sambutan maal hijrah..."

"tapi bukan bawah ANC lah, sebab ANC dah bubar..."

"habis bawah sapa?"

"kena letak dalam paperwork, program ni bawah Biro Kerohanian JPP"

Aku sudah tidak kisah pasal nama.. Letaklah bawah sapa-sapa pun, takdenya diorang nak datang. Kalo menari2, nyanyi2 lajula diorang. Arghh... Geram

....

Cuti tiga hari itu juga,
Aku sudah berniat balik ke kampung...
Mahu membiarkan mereka-mereka yang berkerohanian itu berdikari..

Tetapi oleh kerana yang meluluskan sekadar membiarkan, maka aku khuatir mahu meninggalkan.
Yela2, bahasa lainnya aku memang suka menyibuk..

Rindu sungguh nak main balik percussion-percussion ni. Bersama team Qasidah.

Cuti tiga hari, pelajar-pelajar dibenarkan pulang
Dan banyak sungguh budak-budak yang pulang..
Lalu, tenaga yang mahu menguruskan semakin berkurang
Dan tetamu yang hadir juga pastinya akan berkurang.
Dahsyat, yang duk kelantan terengganu pun ramai yang balik.

Tetapi alhamdulillah, hiasan pentas kali ini sangat menarik.

Muhajirin ansar yang tinggal sejarah. Maalhijrah kali ini menyuntik peduli akan saudara-saudara yang terseksa di bumi Aleppo. Sebenarnya aku nak tunjuk stool oren tu je. Hehe. Baru beli tapi letak kat bilik felo.

Hmmm.... Ala-ala tadika gitu.

Pentas utama yang dibuat daripada rak buku. Pallet aku dah kena buang oleh pentadbiran kolej.

Malam maalhijrah ni, bagi aku agak meriah walaupun student ramai yang balik. Dan aku sendiri seronok menyaksikan dari jauh. Malas nak pi dekat, nanti banyak diorang ni tanye macam-macam. Atleast boleh berdikari buat keputusan sendiri. Aturcara malam itu:

Buat kek batik
Doa akhir dan awal tahun
Baca yassin

Lepas Isyak:

Qasidah
Kuiz muiz
Tazkirah 30 minit dari Ustaz Hazrin
Tayangan Aleppo
Promote baju untuk dana Aleppo
Doa Rabithah

Ada jual makanan.
Jual button Badge..
Untuk majlis sekecil itu, bagi aku dah macam-macam budak-budak ni buat.


MC skema yang masuk air. Bersama ustaz Hazrin yang sanggup meluangkan masa untuk memeriahkan majlis.
pemandangan yang menyeronokkan. Tak sangka agak ramai yang hadir walaupun sedang cuti.

Event yang hampir 100% diuruskan oleh para pelajar, aku melihat banyaknya ilmu yang mereka pelajari sepanjang menguruskan program ini. Pembelajaran luar kelas yang lebih efektif, ini sahaja tempat terbaik untuk mereka menjadi kreatif dan lebih berinovatif. Walaupun projeknya berskala kecil, sekurang-kurangnya mereka berupaya mengawal emosi dan mental yang kerap teruji dengan sumber tenaga dan kewangan yang sangat-sangat terhad. Tahniah!


Hijrah yang dipromosikan. ANC juga  sudah di"hijrah"kan namanya kepada Biro Kerohanian JPP. Oleh kerana namanya agak menggelikan, maka aku mencadangkan agar disingkatkan menjadi B2K(Biro Kerohanian Km*p). Hehe.

Selamat tahun baru.

Gambar terkini. Semakin membulat dengan rambut botak.. Okeh, menggelikan

Sekian dari Syuib0809..

إِنَّ الَّذِينَ ءَامَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَةَ اللَّهِ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Qs.2:218.