Banyak perkara berlaku, banyak juga yang mahu diceritakan. Cuma malas benar mahu menulis. Minggu lepas, sebaik sahaja aku pulang ke kolej, terus disibukkan dengan dua program. Pertamanya sambutan Maulidur Rasul, manakala yang kedua ialah latihan kebakaran. Sepatutnya dibantu dan membantu Miss shak serta Ustaz, tetapi keduanya punyai hal yang lebih penting. Ustaz menguruskan isterinya yang baru selamat bersalin, manakala shak tiba-tiba mendapat perkhabaran yang ayahnya ditimpa kemalangan..
Lalu aku berseorangan, mengarah anak-anak pelajar untuk membantu secara paksa rela. Mahu meminta bantuan penyarah lain, terasa segan kerana majoritinya jauh lebih tua dari aku. huhu.
Cerita malam ni.
Semalam, gaji terakhir tahun ni masuk. Untuk gaji bulan depan, aku terpaksa menunggu sehingga tahun akan datang.
Oleh kerana BSN kepala batas dekat dengan masjid AtTaqwa Bertam Indah, maka aku terus menunaikan solat Maghrib berjemaah di situ. Selaku bujang, mengeluarkan RM200 dari ATM sudah cukup menampung perbelanjaan hidup. Pergi ke sunshine, aku sebenarnya hanya berniat membeli vitagen dan makanan kucing. Kesian kucing bawah rumah lama tak dapat makanan basah. Tetapi oleh kerana makanan kucing agak mahal berbanding longwan, aku sekadar menyambar vitagen, kacang panggang tin, serta sebotol air jus oren. Harganya sekitar RM10, dan aku masih punya baki RM190.
Sementara menunggu isyak, aku duk pusing-pusing pekan bertam dengan kereta MyVi merah sebelum akhirnya bergegas kembali ke kepala batas. Sampai di simpang tiga Perodua bertam Indah, lampu sudahpun hijau. Saat kereta lurus mengikut kereta hadapan, tiba-tiba belakang kereta aku dirempuh dari belah kanan oleh sebuah motor.
"dah, datang dari mana la plak motor ni?"
Aku memberhentikan kereta, saat melihat tubuh itu jatuh bersama dengan motor yang diboncengnya. Dalam keadaan terduduk di atas jalan raya, hidung dan hadapan mukanya jelas kelihatan berdarah. Perempuan. Motornya pula bengkok side mirror berserta pemijak gear. Aku mengalihkan motornya, manakala dirinya dipapah orang-orang yang turut memberhentikan kenderaan.
"ok ke, nak saya call ambulans?"
Wanita itu menggelengkan kepala. Aku syak umurnya sekitar 35 - 40 tahun. Sewaktu mengalihkan motornya, aku percaya motornya masih elok dan boleh berjalan.
"maaf ye bang, kereta abang ok?"
Siot, tua sangat ke muka aku. Hehe.
"takde ape2, kemek sikit je... Cuma jangan buat lagilah ye..."
Wanita itu melanggar lampu yang sedang merah. Dan akhirnya melanggar tepi belakang kereta aku yang sekadar menghala lurus. Mahu marah dan meminta ganti rugi, aku rasa dirinya sudahpun menerima sesuatu yang lebih buruk dari itu. Maka melepaskan dirinya sudah cukup sebagai sedekah yang meringankan beban saudaranya.
Dari HR Muslim dan lainnya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
“Siapa yang menghilangkan kegelisahan seorang mukmin dari kegelisahan-kegelisahannya di dunia, niscaya Allah menghilangkan kegelisahan-kegelisahannya di hari kiamat. Dan siapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang dari kesulitan, Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama hamba-Nya itu memberi pertolongan kepada saudaranya.”
Sebaik dirinya sudah stabil, aku kembali ke kereta dan menuju ke Kompleks Kailan. Terasa semacam di bahagian belakang, aku memberhentikan kereta untuk melihat "makhluk" apa yang menumpang. Rupa-rupanya, Tayar belakang belah kanan yang dilanggar dah pecah.
"Kuat juga motor tu langgar. Sampai pecah teruk tayar abang ni.." siot. Sorang lagi panggil abang. Mekanik itu berfirasat yang motor tersebut laju dari simpang kanan. Cuma beruntung aku, motor itu benar-benar melanggar tepat di bahagian tayar, bukan di bahagian lain.
"Nak tukaq tayaq baru ka?"
"Okeh"
Sebaik selesai, aku ke kaunter bayaran. Melihat dalam resit yang ditulis, harga tayar termasuk GST itu berharga RM190.80.
"takpelah bang, RM190 je..."
RM200 yang baru dikeluarkan, lesap tidak sampai satu jam. Ia penanda yang harta itu bermasalah.
Muhasabah.
Dua minggu aku menangguh-nangguh membayar zakat harta. Lalu amaran dari Allah itu datang mengingatkan teruknya empunya diri. Sedangkan Abu Bakar sendiri memerangi mereka-mereka yang tidak mahu membayar zakat. Ijtihad yang sahabat-sahabat tidak bersetuju, namun abu bakar yang menggantikan Nabi itu lebih tahu dan pakar dalam urusan Agama.
Malulah atas dirimu, Izuan.
Ingatlah, Tuhan sentiasa ada untuk mengingatkanmu.
Okeh, esok pi pejabat agama.
Sekian dari Syuib0809.
No comments:
Post a Comment