Monday 23 April 2018

Kawan Yang Ini

Bismillah.

Hujung minggu lalu, saat memandu pulang ke kampung halaman, aku tiba-tiba sahaja teringat akan lagu ini:

Tanya sama pokok, Apa sebab goyang
Nanti jawab pokok, Angin yang goncang
Tanya sama langit, apa sebab hujan
Nanti jawab langit, tanyalah awan

Awan nanti kata, aku kandung air
Sampai tempat sejuk, aku pun cair
Tengok dalam, nampak bayang-bayang
Campak satu batu, bayang pun hilang

Kawan ini.

Resam di penghujung ini, semua orang sedang meluangkan masa yang berbaki untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan seasrama, sekuliah, setutoran dan "se" yang lainnya.

Cuma perkara biasa, ada yang terlupa, akan kawan yang tidak punya kawan sebegitu, kerana mengutamakan kawan yang ini. Ada yang tidak pernah bertegur sapa dengan kawan sebilik, kerana selalu bersama kawan yang ini. Tidak punya sedetik pun kenangan dengan kawan setutoran, kerana asyik benar mencipta kenangan dengan kawan yang ini. Malah tidak kenal pun kawan sekuliah, kerana yang dia mahu kenal hanyalah kawan yang ini. Aduh, manisnya ukhwan sebegini.

Tetapi, apabila kawan ini mengutamakan kawan yang lainnya, kesedihan yang tidak pernah terasa pedihnya itu menghiris hingga zahirnya terlihat seperti mencipta musuh. Definisinya lebih besar dari cemburu dan kesunyian. Kerana mereka tidak punya kawan, melainkan kawan yang ini.




Beberapa minggu ini, aku melihat perkara sama berlaku seperti sesi yang lepas. Tidak lagi berkumpul seperti selalu. Mudah benar terasa dan terhiris hati. Bukan kerana tidak sayang, tetapi belum lagi tahu apa makna sayang. Lalu, masing-masing bersedih kerana meletakkan sebab kepada orang lain, seperti pokok yang menyalahkan angin,  dan langit yang menyalahi awan.

Itulah sayang.

Lagu yang awalnya seperti kebudak-budakan itu, menyambung madahnya semula...


Tanya sama hati, apa asal sayang
Adakah tandanya nampak dipandang.....
Kumbang rayu bunga, bulan dan bintangnya
Punya tanda-tanda hubungan mesra..

Tanya sama hati, pernahkah merindu
Ingat masa lena, apa mimpimu
Masa berjauhan, apa nan dikenang
Bila difahamkan, itulah sayang

Sayang itu rupa-rupanya bukan sekadar hubungan mesra semata-mata. Malah, maknanya belum tercapai kerana itu. Juga, tidak mampu terasa ketika bersama, makan bersama, lepak bersama dan tidur bersama. Maka, Pak Ramlee yang berseni itu meminta hati bertanya kepada diri sendiri. Cuma pertanyaannya unik, kerana ia penanda segalanya sudah terlambat. Sebab perasaan rindu tak hadir ketika bersama, hanya akan dirasai apabila semuanya sudah tiada.

Aku sejujurnya sangat kerap bermimpi. Hahaha. Jangan cakap orang, basikal aku kat UK pun selalu sungguh aku ingat masih ada. Ia penanda sayang. Cuma tak mungkin berjumpa lagi dengannya. Budak-budak ini, aku pun tak tahu nak buat apa untuk diorang berkumpul seperti selalu. Nak tak nak, diorang sendiri yang kena usahakan.

Yang paling aku risaukan ialah orang yang masih tertinggal di sini. Kerana yang masuk menggantikan nanti, serapat manapun, pasti dipanggil adik-adik. Ia tidak mungkin sama walaupun hati berusaha menyamakan. Kesedihan yang datang jangan dipandah rendah. Ebiet G Ade pun sudah melagukannya.

Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayangnya kau tak duduk 
disampingku kawan.
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan..

Lirik Berita kepada kawan

Sedih mereka bukan kerana tidak punya orang. Cuma mereka sudah hilang tempat bercerita dan mengkhabarkan. Barangkali itu adalah akibat, apabila kalian suka sangat bercerita, pada KAWAN YANG INI sahaja.

 Berkumpul juga akhirnya. Simpan di sini. Mudah-mudahan ingatlah kelak muka diorang.

Wida'

Waktu aku menulis ini, anak-anak muda tersebut sedang bersukaria di majlis perpisahan mereka. Wida' kali ini, aku memang tidak masuk campur lansung. Berbeza dengan tahun-tahun yang "susah" dahulu, majlis mereka kelihatan "grand" walaupun hanya diadakan di grandstand surau. Cuma menariknya, mereka menjemput pakcik dan makcik guard sebagai VIPnya.




Aku pula sejak zaman muda remaja, tidak suka hadir ke majlis-majlis sebegini. Teringat ketika bertamrin di UK, pantang jumpa rakan seusrah, pasti berpeluk dan berlaga pipi kerjanya. Tetapi sebaik sahaja doa wehdah habis dibacakan, aku melarikan diri tanpa orang sedari. Malah ketika reunion dengan rakan sekolah menengah pun, aku suka menghilangkan diri di hujung majlis, tatkala masing-masing sedang sibuk bersalaman meninggalkan majlis sebagai simbol perpisahan. Lebih dahsyat, ketika hari terakhir di UK pun, aku keluar dari rumah dengan senyap tanpa bertemu sapa-sapa pun sebelum menuju ke lapangan terbang.

Empat tahun di sini. Aku memang tidak pernah menghadiri Jamuan Wida' ANC. Detik sebegitu, tidak mahu aku tontonkan dalam wayang yang terpancar ketika tidur. Ia bukan jalan cerita yang mahu  diingati. Membawa masuk detik-detik pertemuan, pengenalan, dan bagaimana mereka rapat dengan aku, lebih pasti lenanya untuk dibuai di dalam mimpi. Maka disiplin itu akan terus aku pegang sampai hujungnya, agar azan subuh yang mengejutkan itu, mampu aku iringi dengan senyuman di pipi.

Entah bila nak keluarkan yang penuh, bagi sedutan kedua plak la:

Cantik benar dunia ini
Kerana ada engkau dan aku
Sebelum kenal menjadi asing
Sebaik senyum menjadi saing
Cuma asingnya terlalu lama
Sedang saingnya sedetik sahaja




Sekian dari Syuib0809

Saturday 21 April 2018

Kenangan sesi 1718

Bismillah.

Sekadar catatan bergambar. Tidak punya banyak masa untuk menulis. Cukup sekadar ingatan akan sesi yang sudah pun tamat lebih awal dari apa yang dijangka. Sesi ini, aku ajar modul tiga dengan permintaan sendiri. Modul yang kerap dilabel seperti budak "kelas belakang", aku secara jujurnya lebih selesa dengan mereka berbanding dipaksa mengajar modul 1 pada sesi sebelumnya. Mengajar orang yang merendah diri, mengakui kelemahan dalam kebijaksanaan lebih menyeronokkan berbanding mengajar orang yang terasa bijak akan kebodohannya. Oleh kerana aku akan lupa, maka aku selitkan secukupnya sebagai rujukan kelak.

Kelas aku sem lepas. Semester ni en. suhaimi yang ajar. Yang aku ingat farhana, nadhirah, umairah, faiz, yus, firzana, AB, haida, Qaisarah.

Kelas favourite aku sem ni. Gila-gila, kuat main2, tetapi punya adab dan hati yang baik. Malah, mereka juga kerap datang ke surau walaupun pakaian mereka "biasa2" sahaja. Emma, emirah, nurin, zati, syafiqah, anas.

Kelas kedua yang aku suka. Cuma akademik memang lemah sikit. Tapi suka dengar cerita dan melayan cerita aku. Haha. aida, aqili, izzah, miza, Q azmi, aini, nani, zaman, husna, syamimi

Kelas paling mencabar sebab semuanya perempuan. Dan hampir setiap kali tutor, perangai semua macam kena senggugut. Haha. Diorang tak banyak cakap kat depan2, tapi kuat mengata kat belakang2. Kiranya macam generasi pelapis makcik bawang. Aisyah, amirah, dayang, ain afiqah, najwa, rasyidah, sakinah dan nazirah.

Kelas ni semua perempuan gak. Tapi takdelah pulak perangai macam atas. Aku ajar sem lepas. Cuma tak sempat tangkap gambar. "kelebihan" mengajar modul 3, memang lebih banyak gadis dari teruna.

Bergambar bersama lelaki kuliah K2. Jumlah diorang hanyalah 19 orang berbanding bilangan keseluruhan yang mencecah 100 orang. Orang yang tak tahu, akan ingat aku "gatal" sebab asyik tangkap gambar dengan pelajar perempuan je, Dah memang lelaki kat matriks ni pupus, nak buat macam mana.

Satusatunya kelas yang seimbang laki perempuan. ni diorang gabung dengan kelas kembar diorang. Lelaki kelas ni baik2. Dan kehadiran diorang berjaya mengurangkan masalah emosi orang perempuan. Tan, Nazreen, Aliff dan Imran.


Maka, itu je dulu.

Sekian dari Syuib0809

Sunday 8 April 2018

Kasih dan Amanah

Bismillah

Jumaat baru-baru ini, aku mengambil cuti pertama kali buat tahun 2018. Sebab utamanya, perlu menghadiri walimatul urus sahabat baik ketika di sekolah dulu. Cuma sebab disebaliknya, aku berpendapat aku perlu meredakan beberapa tekanan yang kerap muncul dalam diri. Mahu berehat. Dan mahu berjumpa sahabat-sahabat yang sebaya juga setelah gagal melakukannya minggu sebelum itu.

KASIH.

Menuntut ilmu di tempat yang pelbagai ragam dan iklimnya, aku sudah bertemu dengan bermacam jenis orang. Berkawan dengan orang kampung di sekolah rendah, bersahabat dengan orang bijak pandai ketika mengambil A-level, berusrah dengan orang2 kuat agama ketika di luar negara, belum lagi dikira pengenalan dengan orang besar-besar, semuanya pernah aku lalui. Namun sejujurnya, yang paling aku selesa ialah rakan-rakan aku dari sekolah menengah.

Mereka-mereka ini adalah orang yang menjadi saksi akan kebodohan dan kejahilan aku bersama mereka. Mereka menjadi sahabat, tanpa sebab yang boleh dizahirkan. Bukan kerana hensem, bukan kerana mereka kaya, bukan kerana mereka kuat agama, jauh juga kerana sebab ilmu yang tinggi. Maka kasih yang lahir buat mereka juga tidak punya apa-apa sebab. Tidak ada sebab dunia untuk bertemu mereka Tetapi apabila bertemu, gembiranya terpancar entah datang dari mana. Ia bukti kasih. Dari seorang manusia kepada manusia lainnya.

Pehal lah aku berdiri sebelah kawan2 yang nampak muda. Silap betul. Okeh, kami sebaya.

Reunion B2.. Aku rasa baceh makin pendek. Dah sama tinggi semua


Majlis perkahwinan K.U( Ketua Umum batch kami) ini, aku datang tanpa harapan untuk berjumpa sapa-sapa. Malah niat awal aku adalah untuk pulang awal ke pulau pinang semula. Saat melihat caom dan bayern hadir bersama pasangan mereka, hati aku jadi seronok sungguh. Dan kemuncak kegembiraan aku ialah apabila Baceh tiba-tiba muncul dari pintu lift bersama isteri dan anaknya.. Gembiranya hanya Allah yang tahu. Dan tidak disangka begitu ramai rakan-rakan satu batch yang turut hadir. Aku jadi excited berlebih-lebih, sampai aku rasa macam bukan diri sendiri. Orang yang melihat pasti jadi annoying. Haha..

Jujurnya kami satu batch memang tak reti buat freestyle. Fail aje.

AMANAH.

Sebenarnya, aku berazam untuk menghadiri pertandingan futsal ASTI sabtu minggu sebelumnya. Memang sudah dikosongkan, apatah lagi kerana malam itu ada dinner batch buat pertama kalinya. Tiba-tiba minggu sebelumnya, ANC mengatur program MIAW pada jumaat minggu sama pertandingan futsal itu berlansung.. Program untuk muslimat itu bukan masalah besar kerana aku hanya pemerhati sahaja. Namun kejutan hadir, apabila kak Noreha nak buat teambuilding untuk sukarelawan MPBB kelak. Oleh kerana bajet yang sangat terhad, maka aku meng"volunteer"kan diri untuk memasak bagi kapasiti 120 orang.

Ada gambar poster je. Yang bestnya bila aku bawak paperwork ke timbalan, dia gelak terus.

Kesedihan tidak dapat join reunion terbesar itu, aku redakan dengan menggalas amanah untuk anak-nak pelajar yang bakal keluar kelak. Malah ketika membuat pilihan, aku lihat keringat aku lebih diperlukan di sini berbanding di sana. Maka, sabtu itu, aku menyibukkan diri membeli bahan mentah untuk kegunaan keesokan harinya. 5.30 dah mula masak sarapan... Aduih.

3 anak dara ni yang menjadi pembantu dapur aku. Dan menarik, aku tak mengajar kuliah atau tutor mereka. Kami ditakdirkan berjumpa. Lebih menarik, dua yang disebelah kanan aku itu adalah budak SEMESTI. Kiranya aku super senior diorang.

Menu:
Sarapan: Macaroni bolognese. Tapi macaroni lembik sebab xde orang jaga.
Tengahari: Ayam kicap kari berlada, kubis goreng kunyit, nasi putih.

Tengah hari balik terus terbongkang penat gila..

Teguran buat rewang.

Dari kenduri kahwin tadi, aku terus bergegas pulang ke kepala batas semula. Malam hari yang sama, ada jamuan untuk AJK Memori yang bertungkus lumus menjayakannya januari lalu. Dah 2 tahun jamuan ini tidak diadakan. Kali terakhir ialah ketika tahun pertama aku di sini. Keberanian mereka untuk menganjurkannya, maka aku meraikan sahaja apa yang patut. kali ini, kapasiti jamuan itu adalah untuk 220 orang.

Pada asalnya aku tidak mahu masuk campur pada hari kejadian. Biar mereka yang mengusahakan segala-galanya untuk aktiviti terakhir mereka ini. Entah kenapa aku tak berapa sedap hati. Sebaik sahaja sampai di kolej jam 7 petang, aku bersiap untuk ke masjid dan singgah sebentar melihat persiapan mereka. Hmmm.. Tidak seperti yang aku jangkakan.

Sebaik sahaja solat maghrib, aku kembali ke dewan dan menegur apa yang patut. Persiapan mereka kelam kabut. Sedangkan setiap orang dalam dewan itu sedang bekerja dengan sangat penatnya. Jumlah 30-40 orang itu sebenarnya sudah sangat mencukupi, tetapi pengurusan yang tidak tersusun menyebabkan masing-masing sedang menyusahkan diri. Melakukan kerja dua kali, memilih jalan kerja menyusahkan dan menghabiskan keringat membetulkan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Akhirnya semua jadi stress dan yang paling jelas aku nampak ialah afrina, si aini dan izzati razib.

Baru balik solat, memang berkain pelekat la gamaknya. Budak2 ni paksa tangkap gambo padahal tengah sibuk nak kemas. Gaya tu pun diorg paksa. Tapi mantap gila kamera diorg, boleh meng"kurus"kan manusia. Haha


Namun pujian untuk rewang(gelaran jamuan) itu ialah hiasan backdrop dan photobooth yang cantik. Makanan yang sangat-sangat pelbagai dan sedap. Ada cendol, abc, bihun sup dan tomyam, spaghetti bolognese dan carbonara, buah cicah coklat, brownies, polkadot dan macam2 lagi. Dan kepenatan yang sangat-sangat dahsyat, mereka membasuh pinggan sampai pukul 3 pagi. Haha. Sorilah, rasanya  ni last buat jamuan untuk memori, lepas ni dah xde dah. Selang dua tahun baru ada balik kot.


Jamuan itu adalah penghujung bukti kasih akan kehidupan mereka di kolej yang sudah sampai di penghujungnya. Hari-hati yang pernah bersatu itu akan berpisah. Mengucapkan selamat jalan dalam bentuk menghiburkan barangkali menjadi pendekatan terbaik agar hati masing-masing tidak bersedih.

Entah mana yang sedih, meninggalkan atau ditinggalkan?

Aku sudah hampir siap dengan karya buat mereka yang akan pergi ini. Bagi sedutan dulu:


Janji rahsia kita berdua
Mentafsir lupa umpama dosa
Sedang engkau akan tiada
Hanya bicara yang kekal ada
Itupun bukan pada suara
Cukup tulisan di hujung kaca
Selamat pergi sang bunga
.....


Sekian Dari Syuib0809