Hujung minggu lalu, saat memandu pulang ke kampung halaman, aku tiba-tiba sahaja teringat akan lagu ini:
Tanya sama pokok, Apa sebab goyang
Nanti jawab pokok, Angin yang goncang
Tanya sama langit, apa sebab hujan
Nanti jawab langit, tanyalah awan
Awan nanti kata, aku kandung air
Sampai tempat sejuk, aku pun cair
Tengok dalam, nampak bayang-bayang
Campak satu batu, bayang pun hilang
Kawan ini.
Resam di penghujung ini, semua orang sedang meluangkan masa yang berbaki untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan seasrama, sekuliah, setutoran dan "se" yang lainnya.
Cuma perkara biasa, ada yang terlupa, akan kawan yang tidak punya kawan sebegitu, kerana mengutamakan kawan yang ini. Ada yang tidak pernah bertegur sapa dengan kawan sebilik, kerana selalu bersama kawan yang ini. Tidak punya sedetik pun kenangan dengan kawan setutoran, kerana asyik benar mencipta kenangan dengan kawan yang ini. Malah tidak kenal pun kawan sekuliah, kerana yang dia mahu kenal hanyalah kawan yang ini. Aduh, manisnya ukhwan sebegini.
Tetapi, apabila kawan ini mengutamakan kawan yang lainnya, kesedihan yang tidak pernah terasa pedihnya itu menghiris hingga zahirnya terlihat seperti mencipta musuh. Definisinya lebih besar dari cemburu dan kesunyian. Kerana mereka tidak punya kawan, melainkan kawan yang ini.
Beberapa minggu ini, aku melihat perkara sama berlaku seperti sesi yang lepas. Tidak lagi berkumpul seperti selalu. Mudah benar terasa dan terhiris hati. Bukan kerana tidak sayang, tetapi belum lagi tahu apa makna sayang. Lalu, masing-masing bersedih kerana meletakkan sebab kepada orang lain, seperti pokok yang menyalahkan angin, dan langit yang menyalahi awan.
Itulah sayang.
Lagu yang awalnya seperti kebudak-budakan itu, menyambung madahnya semula...
Tanya sama hati, apa asal sayang
Adakah tandanya nampak dipandang.....
Kumbang rayu bunga, bulan dan bintangnya
Punya tanda-tanda hubungan mesra..
Tanya sama hati, pernahkah merindu
Ingat masa lena, apa mimpimu
Masa berjauhan, apa nan dikenang
Bila difahamkan, itulah sayang
Sayang itu rupa-rupanya bukan sekadar hubungan mesra semata-mata. Malah, maknanya belum tercapai kerana itu. Juga, tidak mampu terasa ketika bersama, makan bersama, lepak bersama dan tidur bersama. Maka, Pak Ramlee yang berseni itu meminta hati bertanya kepada diri sendiri. Cuma pertanyaannya unik, kerana ia penanda segalanya sudah terlambat. Sebab perasaan rindu tak hadir ketika bersama, hanya akan dirasai apabila semuanya sudah tiada.
Aku sejujurnya sangat kerap bermimpi. Hahaha. Jangan cakap orang, basikal aku kat UK pun selalu sungguh aku ingat masih ada. Ia penanda sayang. Cuma tak mungkin berjumpa lagi dengannya. Budak-budak ini, aku pun tak tahu nak buat apa untuk diorang berkumpul seperti selalu. Nak tak nak, diorang sendiri yang kena usahakan.
Yang paling aku risaukan ialah orang yang masih tertinggal di sini. Kerana yang masuk menggantikan nanti, serapat manapun, pasti dipanggil adik-adik. Ia tidak mungkin sama walaupun hati berusaha menyamakan. Kesedihan yang datang jangan dipandah rendah. Ebiet G Ade pun sudah melagukannya.
Perjalanan ini
Terasa sangat menyedihkan
Sayangnya kau tak duduk
disampingku kawan.
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan..
Lirik Berita kepada kawan
Sedih mereka bukan kerana tidak punya orang. Cuma mereka sudah hilang tempat bercerita dan mengkhabarkan. Barangkali itu adalah akibat, apabila kalian suka sangat bercerita, pada KAWAN YANG INI sahaja.
Berkumpul juga akhirnya. Simpan di sini. Mudah-mudahan ingatlah kelak muka diorang.
Wida'
Waktu aku menulis ini, anak-anak muda tersebut sedang bersukaria di majlis perpisahan mereka. Wida' kali ini, aku memang tidak masuk campur lansung. Berbeza dengan tahun-tahun yang "susah" dahulu, majlis mereka kelihatan "grand" walaupun hanya diadakan di grandstand surau. Cuma menariknya, mereka menjemput pakcik dan makcik guard sebagai VIPnya.
Aku pula sejak zaman muda remaja, tidak suka hadir ke majlis-majlis sebegini. Teringat ketika bertamrin di UK, pantang jumpa rakan seusrah, pasti berpeluk dan berlaga pipi kerjanya. Tetapi sebaik sahaja doa wehdah habis dibacakan, aku melarikan diri tanpa orang sedari. Malah ketika reunion dengan rakan sekolah menengah pun, aku suka menghilangkan diri di hujung majlis, tatkala masing-masing sedang sibuk bersalaman meninggalkan majlis sebagai simbol perpisahan. Lebih dahsyat, ketika hari terakhir di UK pun, aku keluar dari rumah dengan senyap tanpa bertemu sapa-sapa pun sebelum menuju ke lapangan terbang.
Empat tahun di sini. Aku memang tidak pernah menghadiri Jamuan Wida' ANC. Detik sebegitu, tidak mahu aku tontonkan dalam wayang yang terpancar ketika tidur. Ia bukan jalan cerita yang mahu diingati. Membawa masuk detik-detik pertemuan, pengenalan, dan bagaimana mereka rapat dengan aku, lebih pasti lenanya untuk dibuai di dalam mimpi. Maka disiplin itu akan terus aku pegang sampai hujungnya, agar azan subuh yang mengejutkan itu, mampu aku iringi dengan senyuman di pipi.
Entah bila nak keluarkan yang penuh, bagi sedutan kedua plak la:
Cantik benar dunia ini
Kerana ada engkau dan aku
Sebelum kenal menjadi asing
Sebaik senyum menjadi saing
Cuma asingnya terlalu lama
Sedang saingnya sedetik sahaja
Sekian dari Syuib0809
jazakallahu khairan kathira cg
ReplyDelete