Thursday 29 October 2015

Si hensem and the Beast.... Bhgian 1

Bismillah

Menulis untuk seorang rakan baik yang bakal naik pelamin weekend ini. InshaAllah akan ada 4 part. Ada kisah cinta, ada kisah lama, ada konflik dan ada juga kisah hari ini. Terimalah.

Si Hensem And The Beast.

Petang di Semesti, benar-benar dihantui sebuah sumpahan. Bilik darjah tanpa penghawa dingin, namun masih berjaya menjadi syurga buat anak muda melelapkan mata. Muda yang kononnya penuh tenaga, entah mengapa mudah benar syahid dalam medan menuntut ilmu. Kelas aku itu penuh orang pintar. Penuh juga figura berpengaruh. Insan-insan berjawatan besar menjadi penghuninya. Yang tiada "nama" boleh dibilang dengan jari. Namun sehebat-hebat mereka, lena juga dibuai mimpi petang itu.

 Project menangkap gambar orang tido dalam kelas. Kami siap tangkap video lagi. hahaha.

Gambar terpaksa di"tapis" bagi mengelakkan aib zaman ketidakmatangan

Mahu lari dari kepanasan, aku mengajak Bayern ke perpustakaan sekolah. Walaupun petanya paling atas dan hujung, kami sentiasa sanggup. Haba yang serupa musim dingin, menyegarkan badan yang penuh seribu bau kelesuan.

"Yern, kita duduk kat bawah aircond tulah..." jari aku halakan pada meja di dinding yang betul-betul terletak bawah penghawa dingin.

Bayern hanya mengikut.
Buku yang ada di tangan sekadar retorik. Hakikatnya, kami hanya mahu berehat.

Setelah beberapa minit, bayern tiba-tiba bersuara.

"kau tak rasa sejuk ke....?" suhu yang begitu sejuk itu terasa menusuk ke tulang. Aku yang berisi pun terpaksa mengakuinya.

"rileksla. Ni baru betui feel luar negara. Kita berlatih la kat sini, kot2 dapat pegi nanti... InshaAllah" aku hanya bergurau. Angan-angan itu datang, bilamana senior(alumni) yang menuntut di luar negara berkongsi keseronokan belajar di sana. Motivasi tanpa teori itu seolah-olah menjadi.

Impian belajar di luar negara hanya gurauan mustahil untuk aku. Namun bukan untuk Bayern. Kami berdua jauh berbeza akalnya. Walaupun bersahabat lama, kebijakannya begitu ketara mendahului aku. Bayern yang acapkali tersenarai sebagai Top-top student batch 19th, aku pula tiada nombor yang boleh diingati oleh mana-mana guru. Satu kelas dari tingkatan 1 hingga 5, namun sukar benar hendak mendahuluinya. Hanya pernah setara ketika PMR, itupun nasib baik tidak terzahir markahnya.

Kami hanya anak desa, berjiran kampung. Bersekolah agama rakyat bersama, aku mengenali Bayern sebelum umur kami mencecah dua angka. Dua angka yang bermula seterusnya diisi dengan tuisyen bersama di rumah cikgu Marashin sempena UPSR. Bilangan ahli tuisyen yang sedikit, menyebabkan kami bertambah rapat. Bila masuk ke SEMESTI, hubungan itu diteruskan walaupun kami punya personaliti yang sangat-sangat berbeza.

Bayern kaki perempuan
Bain anti perempuan.

"Pehal perangai kau macam perempuan s@&£/%#*$¥.... tut... Tut... Bapak kau tak pernah @&£%#$..." aku menengking rakan permpuan sekelas. Entah syaitan mana yang merasuk. Bahasa-bahasa hina itu terpaksa aku censored, agar tiada ganjaran yang bersambung ke neraka.

Berjalan tanpa senyuman di hadapan perempuan, benci itu benar-benar meresap dalam diri. Kemuncak kepada anti itu ialah apabila Buzai(kaunselor) memanggil aku ke biliknya. Gadis-gadis itu membuat laporan kepadanya. Sedikit demi sedikit nasihat diberikan, sedang hati aku sekadar bergelak. Aku bukan Psycho, bukan juga budak bermasalah, apatah lagi calon budak ganas. Cuma aku tidak "mesra" dengan wanita. Ada matlamat agama yang mahu dilentur, namun tidak berhasil dengan cara lembut. Gadis sebatch yang tahu perangai "lembut" aku hanya sedikit... Sangat-sangat sedikit.


          Tu dia muka tak reti senyum. gadis yang menjadi "musuh" ketat aku ada 3 orang. Dua orang yang duduk depan hujung sekali. Satu lagi yang berdiri hujung sekali. Hahaha. Arwah mak jah antara yang aku jarang sangat marah. Sebab dia memang baik.

Bayern pula sebaliknya. Gosip liar tentang dia dan perempuan sentiasa berlegar walaupun tanpa kehadiran Facebook. Setiap tahun, berubah-ubah peminatnya. Satu batch, senior, lebih-lebih lagi junior, ada sahaja yang dikenan dan berkenan. Kadang-kadang aku pulak yang kena teman dia berjumpa "fan club" dia. Gadis yang tersenyum melihatnya, tiba-tiba berkerut dahi melihat aku yang ada di sebelah. Barangkali mereka bermonolog

"macam mana la raksasa sorang ni boleh berkawan dengan abang hensem ni. Ish... Menyampah betul!!..."

Baiknya Bayern pada perempuan ada seni tersendiri. Seni yang mencuri hati, namun masih terjaga pergaulan zahirnya. Aku sekadar suka menonton gelagatnya, tidak mungkin mengikut jejak langkahnya.

Namun kadang-kadang aku juga teruji...

Pernah suatu hari aku bertemu seorang gadis...
Putih, labung tudumgnya. Cermin mata yang dipakai seperti ustazah-ustazah pilihan.

"assalamualaikum, boleh tak nak mintak pindah...."

Bersambung..

 Nah. Gambar sopek tengah korek hidung. Bayern baju biru cerah tepi aku.

Sekian dari Syuib0809

Saturday 24 October 2015

Merapu: berfoya-foya

Bismillah...

Menjadi kebiasaan di musim exam, unit matematik akan menghidangkan makanan untuk ahli-ahli pejabatnya. Mengurangkan masa keluar mencari makanan, tenaga pengajar yang ada benar-benar dikorbankan untuk para pelajar. Selaku orang bujang, benda ni tersangat-sangatlah menggumbirakan hati aku. Inilah masa nak rasa makanan lain dari yang lain nya pun. Hari biasa, aku terlalu banyak mengisi perut dengan karbohidrat sahaja.

"Bagi saya nasi jelah kak..." makanan yang berlebihan, aku sekadar mahukan nasi hujan panas itu. Mahu makan seorang diri, malas badan nak basuh beras, apatah lagi mahu mencuci periuk nasi.

"takkan nasi je kot, lauk tak nak ke?... Nak makan dengan apa nanti..." kak Jamaliah dan Kak Atirah mempelawa bekalan lebih. Mereka adalah tuan rumah untuk hari itu.

"takpe kak... Saya masak sendiri nanti...". lauk yang berasaskan kari itu aku tolak dengan baik. Bukan tak nak makan, tapi aku bukanlah penggemar kari. Ditambah pula, tangan asyik gatal mahu memegang senduk dan kuali.

Pulang ke rumah, aku menyiapkan ayam masak lemak cili padi. Santan kotak yang masih berbaki itu perlu dihabiskan. Jika terus menunggu, ke tong sampah jugalah bertemu penghujungnya pasti. Ayam yang dipotong kecil mempercepatkan perjalanan masakan. Dan memakannya panas-panas bersama salad "tesco", telur dadar, serta nasi hujan panas benar-benar menjinakkan nafsu. Pelik, namun itulah aktiviti "berfoya-foya" yang menggembirakan hati.

Melihat kembali jadual diri sepanjang study week ini.

7.45 pagi - masuk ofis
4.30 ptg - keluar ofis
5.00 ptg - balik dari solat asar/rehat/masak/riadah
7.00 ptg - Solat maghrib
8.45 mlm - Balik dari masjid/surau
9.00 mlm - kelas tambahan/library(tolong student)/usrah
10.30 mlm - balik/ layan internet
11.30 mlm - tidoq

Tidak seperti si bujang lain, aku tiada kesempatan "berfoya-foya" dengan mana-mana gadis. Apatah lagi mahu ber "papa mama". Sepanjang duduk di sini, masih belum menjejakkan kaki ke panggung wayang. Makanan yang terbeli diluar, aku lebih selesa membawa pulang berbanding duduk berfoya-foya di kedai makan. Lebih mencuit hati, ke pasar raya pun aku berkain pelekat seperti orang tua. Malam-malam lah ye.. Ape ke jadah pagi-pagi pakai kain pelekat.

Kebiasaan yang sudah menjadi biasa sejak zaman Universiti dahulu. Aku terlatih sehingga ke hari ini. Belajar di negeri orang putih, pekan mereka sunyi di malam hari. Hanya pub dan club yang dipenuhi manusia. Itupun sekadar di dalam bangunan, tidak di jalanan. Di tanah air, malamnya meriah dengan pelbagai sketsa jalanan. Pasar malam, bazaar, gerbang malam, karnival, ekspo, apa sahaja yang mampu menarik si dara dan teruna. Kerana itu, kehidupan beruniversiti di sini pasti lebih mencabar agama berbanding negara yang tiada agama.

Ruang-ruang yang ada itu, menjadi tempat mujarab menghilangkan malu antara teruna dan dara. Dosa yang diraikan bukan lagi berdua, tetapi mula dilakukan secara berjemaah. "Ramah mesra" itu tidak lagi berlegar di tempat sembunyi dan sunyi, tetapi  sudah mula dipertontonkan di khalayak ramai. Menayangkan diri tanpa kemaluan di alam maya, entah apa binasa yang mahu dijemput. Malu dalam diri yang sudah tercabut, mudah-mudahan masih berbaki rasa BerTuhan dalam hati.

Kalam buat anak-anak pelajar yang sedang berjinak-jinak di alam Universiti. Berfoya-foyalah dengan panduan agama. Mudah-mudahan gembira dan suka-ria itu membawa kamu ke Syurga.

Sesungguhnya dunia ini manis lagi hijau, dan sungguh Allah menjadikan kalian sebagai khalifah di atasnya, lalu Dia akan melihat bagaimana kalian berbuat. Maka berhati-hatilah kalian terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, karena awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya.” (HR. Muslim no. 6883)

Baik hangpa travel, dari duk layan lawak si jantina berlawanan.

F1P06.

Sekian adari Syuib0809

Saturday 17 October 2015

Usaha Si Manja

Bismillah

Aku yang sepatutnya berada di tempat lain, ditakdirkan bertugas sebagai felo hari ni. Mencari pengganti, namun tiada yang sudi. Besok pula ditugaskan menjadi "pak guard" untuk satu program matematik. Sadis


Penghujung semester pertama yang sudah hampir, aku kerap berkongsi dalam ruang-ruang kecil kelas terakhir tutoran. Motivasi yang menjadi atau tidak, barangkali diri hanya syok sendiri. Melihat anak-anak pelajar yang bersungguh-sungguh memanjakan diri, aku risau memikirkan entah bila mereka akan menemui kematangan.

"tak faham la cikgu, macam mana nak buat latihan...." keluhan mereka..

keluhan zaman berzaman...

Beberapa post yang pernah ditulis sekitar 4 tahun yang lalu, mengimbau serba sedikit kenangan sebagai seorang pelajar.



Catatan Musim Peperiksaan
5 hari lagi.
Meniru dan belajar
Meniru dan belajar2


Aku bukan budak bijak. Di sekolah, mahu dapat top40 dalam batch pun merangkak. Pernah sekali je sepanjang 5 tahun. Masalah mata, telinga dan percakapan banyak menguji kesukaran belajar dalam bahasa penjajah. Menyedari kekurangan seperti itu, usaha aku menjadi agak luarbiasa berbanding kebiasaan rakan-rakan di sekeliling. Memaksa diri agar menjadi matang.

Usaha pelik ketika di luar negara, aku kerap mengalih bahasa nota yang ada.  Lili mungkin antara orang yang pernah melihat nota alih bahasa aku. Mengambil masa berjam-jam, aku sedaya upaya cuba memahami, agar nota yang berbahasa penjajah, mampu diringkaskan ke dalam bahasa ibunda.Nota ringkas buatan sendiri memang sentiasa  penuh di tangan.Warnanya hanya dua. Sama ada hitam, atau merah. Budak lelaki...

Subjek pembuktian(pure maths) sememangnya antara subjek yang paling banyak melibatkan "karangan" membunuh. Sebagai pelajar lemah, aku sukar benar memahami, apatah lagi mahu menghafal. Oleh kerana aku tak faham lansung semua proof, aku bertekad menyalin semula semua nota di atas testpad murah sebanyak 7 ke 8 kali. Kalau tidak silap pernah juga mencecah 12 kali. Memaksa diri, aku berseorangan menyalin segala-galanya setiap hari di Clinical Science Library. Usaha yang kelihatan bodoh, namun itu sahaja yang mampu aku usahakan agar tidak terus beralasan seperti orang bodoh.

Salinan pertama dan kedua sudah tentu tidak membuahkan hasil
Salinan kelima, baru minda terbuka melihat flow tentang apa yang disalin
Salinan ke tujuh/lapan akhirnya aku serba sedikit mula memahami apa yang berlaku

Penatnya, hanya Allah yang tahu. Setiap kali keluar dari library, jari sudah terlalu lenguh mahu memegang "steering" basikal.

Aku masuk ke kuliah tanpa mampu memahami apa-apa.
Seperti itik yang bergurukan ayam, aku hanya mampu menyalin apa yang ditulis di papan putih.
Namun si itik itu ada seribu satu usaha di luar kelasnya
Tidak sekadar menguek-nguek membuat bising
Ada usaha yang kelihatan bodoh untuk menjayakannya

Semester ini. Aku seolah-olah bias. Mungkin penyakit pensyarah baru. Semangatnya tidak seperti tahun sebelumnya. Sayangnya juga tidak sama seperti yang diberikan pada batch pertama. Aku masih belum bertemu pengganti si pembuat nota tahun lepas.

K1P02. Kelas ni baik sangat. So, susah nak rapat.

Merindui gelagat si pembuat nota dan rakannya yang berketurunan Istana. Kenakalan dalam kebaikan yang sukar ditemui. Mereka berdua kerap menjadi orang "kepercayaan" aku. Moga kalian istiqamah dalam Iman.

Sebenarnya mahu menulis dua cerita. tapi tak tahu nak pilih mana satu.
1) Kisah tentang orang Terengganu (Tajuk: Cinta Dua Logo)
2) Kisah tentang "crush" dari zaman sekolah, kolej dan Universiti. (Tajuk: Cinta Pekan Condong, Musafir Bumi Inggeris)

Kah3x. Main taram je tajuk.

Sekian dari Syuib0809

Tuesday 6 October 2015

Diari Bujang: Kertas Dinding

Bismillah.

Berkongsi sebuah "hobi" baru. Moga-moga ada manfaatnya.

Akhir-akhir ni kegilaan aku kepada wallpaper semakin menjadi-jadi. Buang tabiat kot. Eksperimen demi eksperimen yang aku pun tak tahu sama ada berjaya mencantikkan, atau sekadar mencomotkan dinding. Oleh kerana mungkin ada sebahagian yang mencari-cari perbezaan antara wallpaper, maka aku kongsikan pengetahuan yang sememangnya sedikit di sini.

Secara asasnya, wallpaper terbahagi kepada 2, iaitu yang boleh pasang sendiri(self-adhesive) dan yang satu lagi dipasang menggunakan gam khas(biasanya upah orang pasang).

Kelebihan jenis self-adhesive ni ialah dia mudah untuk ditampal sendiri dan mudah juga untuk dicabut. Oleh kerana rumah aku ni rumah kerajaan, maka aku hanya akan fokus pada jenis ni jelah kot. Kalau jenis yang lagi satu tu dia menggunakan gam khas, menyebabkan lebih kekal lama. Kertas dia pun lebih mahal, dan tebal.

Saiz Gulung.

Untuk mereka-mereka yang tak pernah lansung beli wallpaper, wallpaper ni biasanya dijual dalam gulung. Satu gulung biasanya bersaiz 45cm x 10 meter. Untuk yang 3D, biasanya dijual dengan gulungan bersaiz 60cm x 10 meter. Setakat pengalaman aku memasang wallpaper seorang diri(bujang kan), satu gulung tu tak pernah cukup untuk satu dinding. Biasanya akan makan sampai dua gulung. So, kalau nak pasang dalam semua dinding dalam satu bilik, mungkin akan makan dalam 8 gulung. Perghhh, kau ingat murah benda ni?

Harga...

Nak cerita pasal harga yang self-adhesive ni, panjang gak ceritanya. Sebab ada yang murah, ada yang berpatutan, dan ada jugak yang mahal sungguh. Ni beberapa harga yang pernah aku beli.

Murah punya:
RM8 untuk panjang 5 meter. Aku beli kat DIY. Kualiti tak yah ceritalah. Antara kelemahan yang murah ni ialah mudah berkedut. So kalau nak tampal memang susah sungguh. Satu lagi mudah koyak. Satu lagi, nak bagi sama corak memang cukup2 menyeksa diri.

Sederhana(standard):
Setakat ni yang paling aku selalu beli ialah kat kedai wallpaper GIANT Teluk Intan. Dia jual satu gulung(10 meter) dalam RM66. Bagi aku kualiti dan coraknya paling berpatutan. Dan memang senang nak pasang. Raya Haji baru ni sempat pergi GM Klang. Kat sini lagilah thorbaik. 3 gulung dapat RM100 je. Kualiti sama. Silalah serbu.

Mahal punya.
Yang mahal ni biasanya kerana coraknya lebih cantik, berbentuk 3D, lebih lebar, ataupun kerana lebih tebal. Biasanya jenis-jenis ni, harga dia sekitar RM110 segulung(60cm x 10M). Kualitinya memang mantaplah. Cuma mungkin bagi aku agak membazirlah untuk orang-orang yang tak mengejar kemewahan dunia ni. Hahaha...

Yang coklat corak kayu tu mahal punya. Merah bawah tu murah punya. Coklat bata ruang tamu tu sederhana mahal. Cadangnya ruang makan ni nak tema ala-ala kampung, sekali entah apa jadi aku pn tak tau.
Cabaran.
Setakat ni aku pasang wallpaper semuanya seorang diri. Paling menyakitkan hati ialah nak samakan dia punya corak. Oleh kerana lebar dia hanya 45cm, jadi si pemasang kenalah berusaha gigih memastikan corak bersambung dengan betul. Malah proses menyambungkan corak ini juga bakal menyebabkan pembaziran. Corak batu-bata dan bunga antara yang sangat sukar untuk disamakan. So, mungkin better  ialah corak belang ke bawah macam dua ni..

Meja "study". Bajet nak buat macam zaman uni dulu. Maaf, gambar buruk
Percubaan menghias bilik tido utama. Bankrap.

Orang kata, self adhesive ni boleh bertahan selama 4 tahun. Tapi aku sendiri tak pernah melaluinya lagi. Antara tips-tips nak pasang benda ni ialah:

1) ukur dulu saiz dinding dan potong wallpaper tu siap-siap ikut panjang yg diukur.
2) pastikan dinding tiada habuk atau kotoran yang menyebabkan wallpaper sukar nak melekat.
3) mulakan dari bucu, bukak kertas pelekat.
4) pastikan wallpaper ditampal dengan lurus dari atas lagi. Kalo x, smpai bawah dah senget habis.
5) untuk tampalan berikutnya, tindihkan  sedikit(dalam 1 cm) dengan wallpaper sebelumnya.
6) pastikan gunting dan pisau berada dekat dengan tangan(senang  nak potong lebihan.)
7) bertawakallah kepada Allah mudah-mudahan hasilnya cantik. Nak cabut balik memanglah rugi


Haha

Dan elaklah beli yang bercorak binatang (benda hidup)

Dari Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata Aisyah:"Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w kembali bertanya:"Bantal-bantal apakah itu?" Jawab Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk mu atau tempat untukmu bersandar." Sabda Rasulullah s.a.w:"Pelukis gambar-gambar ini akan disiksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka:"Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda:"Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Muslim)


Itu sahaja,

Sekian dari Syuib0809