Sunday 30 December 2012

HAMAS: Pejuang Kota Suci BaitulMuqaddis

Bismillah.

Mari bercerita kembali mengenai buku. Seperti yang aku tulis sebelum ni, buku perang Arab-Israel sebelum ni agak pelik sedikit. Bila melihat kembali, aku baru sedar gerakan HAMAS di Palestin sangat sedikit disentuh dalam buku tersebut. Malah, perjuangan intifadah pertama dan kedua juga susah nak nampak dalam buku tersebut. Sebelum sempat habis buku Arab-Palestin tu, aku sudahpun merisik buku Ustaz Mazlee ni : HAMAS, Pejuang Kota Suci Baitul Maqdis.

Memang lama gak ambik masa nak habiskan buku ni. Padahal 194 m/s je.



Permulaan buku ni menceritakan mengenai gerakan Ikhwanul Muslimin yang melebarkan pengaruhnya ke Palestin. Menarik bilamana keahlian awal FATAH sendiri terdiri daripada beberapa orang kuat Ikhwanul Muslimin. Namun begitu, Fatah semakin "lari" hingga mendokong begitu banyak aliran seperti Sekularism, nasionalisme. Akhirnya, fatah berdepan dengan begitu banyak masalah Korupsi, pecah amanah, semakin tunduk dengan Zionis malah PA dilihat sebagai boneka Zionis dalam menentang HAMAS.

HAMAS yang mengambil masa membina kekuatan melalui Tarbiyah akhirnya muncul pada tahun 1987 hasil usaha Syeikh Ahmad Yassin dan rakan-rakannya di Gaza. Muncul juga fraksi-fraksi lain seperti Jihad Islami yang lebih tertumpu kepada usaha membebaskan Palestin dengan mengangkat senjata. HAMAS juga tidak meninggalkan perjuangan bersenjata malah berani mengatakan "Hanya perjuangan bersenjata sahaja yang dapat memerdekakan Palestin kita" setelah melihat begitu banyak kegagalan rundingan yang merugikan Palestin terutamanya OSLO 1993.

Di bahagian tengah pula banyak menunjukkan bagaimana HAMAS mampu menarik begitu banyak rakyat Palestin yang semakin kecewa dengan Fatah. Dari usaha kebajikan, membina generasi di masjid-masjid, sikap pemimpin yang ikhlas, akhirnya HAMAS memenangi pilihanraya 2006 tanpa diduga oleh mereka sendiri. Namun begitu, kerajaan ini mendapat tentangan seluruh dunia hingga menggelarkan HAMAS sebagai pengganas hanya kerana mereka melakukan gerakan bersenjata.

Mungkin perkara-perkara menarik yang boleh didapati dalam ni ialah strategi-strategi HAMAS ketika intifadah berlansung seperti strategi BOM manusia, gerakan terowong bawah tanah juga strategi pyramid yang digunakan untuk membalas segala serangan PA terhadap mereka. Antara lainnya juga, menarik bagaimana HAMAS masih mampu bertahan walaupun satu demi satu pemimpin mereka dibunuh secara kejam. Di BOM di pejabat, diserang oleh helikopter ketika berada dalam kereta, malah ada yang rumahnya di BOm semata-mata untuk membunuh seorang tokoh. Hebat.

Aku paling suka part akhir buku ni yang menceritakan sedikit biodata tokoh-tokoh hebat Palestin. Syeikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz Rantissi, Khaled Mesh'al, Ismail Haneyyah, Syeikh Salah Syahadah dan banyak lagi tokoh yang dinukilkan untuk muhasabah kita bersama. Mereka ini banyaknya adalah golongan professional seperti Doktor, guru Fizik, jurutera, namun belajar dan berguru dengan ulama' Hingga Allah mengangkat mereka menjadi tentera-tentera Allah yang sungguh ditakuti pihak musuh yakni Zionis.

Bayangkan, orang yang lumpuh seperti Syeikh AHmad Yassin pun ditangkap lebih tiga kali dan diburu zionis.


Cuti dah nak habis. Ni buku-buku yang insyaAllah akan cuba dihabiskan dalam masa sebulan sebelum ROS ni. Jemputlah semua untuk membeli buku-buku ni sekali.

Penglipur Lara seorang Majistret hasil karya Zabidi Mohamad
Hikmah yang Mengalir Daripada Sang Murabbi darippada Nik Abduh & Ridhuan Mad Nor
Indahnya Politik Cara Islam tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman
Umar Abdul Aziz karya Novel Abdul Latip Talib

Sekian dari Syuib0809.

Wednesday 26 December 2012

Budaya dan tandas

Bismillah.

X dapat nak habiskan baca buku apa-apa. Aku kongsikan sedikit penulisan kawan baik aku, si sopek. Menarik idea dan analoginya. Selamat Membaca!

Budaya itu adalah satu benda yang sukar difahami. Sukarnya ia untuk difahami atas sebab kepelbagaiannya di serata dunia. Yang A dengan budaya A, yang B dengan budaya B, masing-masing punya budaya sendiri. Walaubagaimanapun, salah satu cara mudah untuk memahami budaya dan manusia ialah dengan melihat tandas rumah anda semua. Ada tandas cangkung ada juga tandas duduk.

Budaya itu seperti tandas. Secanggih mana pun rekaan tandas, fungsinya tetap sama iaitu menjadi tempat pembuangan sisa tahi tubuh manusia. Juga berfungsi untuk melindungi kejelekan kita dari terdedah semasa melaksanakan urusan pembuangan sisa perut.Tidak pernah pula aku dengar ada tahi yang tiba-tiba menjadi wangi apabila dibuang di tandas yang canggih. Yang membezakannya hanyalah cara tandas itu berfungsi. Sama ada kita mencangkung atau duduk, terserah masing-masing. 

Budaya juga begitu, segala macam budaya di dunia ini berfungsi untuk melindungi kejelekan manusia. Cuma bagaimana manusia itu melaksanakan budaya itu berbeza. Bagi orang Melayu, supaya terlihat sopan, maka budaya berkias-kias itu dijadikan sandaran. Bagi masyarakat Barat pula, supaya terlihat sopan santun, budaya berterus terang itu menjadi asas. Fungsinya tetap sama untuk melindungi kejelekan pada diri mereka yang masih punyai kesombongan dan kebongkakan. lalu budaya sopan santun itu di bina.

Persoalannya, untuk yang sering mengguna tandas cangkung, apabila sampai ke rumah yang menggunakan tandas duduk, maka harus dia mencangkung atau duduk? Jika dia mencangkung pada tandas duduk itu, pasti dilabel sebagai kurang ajar. Dan jika duduk di tandas cangkung pula, digelar bodoh.

Budaya juga begitu, jika Melayu ke Barat dan masih terus berkias-kias, pasti Barat melihat itu sebagai satu kebodohan. Jika Barat pula datang kedunia Melayu dengan budaya berterus terang mereka, dianggap pula kurang ajar. Lalu fungsi budaya tadi berubah sebaliknya. Tidak lagi melindungi kejelekan, malah mempamirkan kejelakan itu sendiri.

Untuk itu, budaya hanyalah terhad untuk melindungi kejelakan sesuatu golongan kaum manusia itu. Tidak ada budaya yang sempurna. Lebih malang untuk mereka yang tidak menjumpai budaya. Seperti mereka yang tidak menjumpai tandas, lalu dengan selamba membuang najis di dalam semak mahupun di sungai. Kejelekan itu tersebar jelas dengan baunya, berserta pakej hurungan langau hijau. Jelek.

Mujur, Islam itu hadir. Hadir bukan sebagai tandas yang boleh kita duduk, atau mencankung. Islam itu hadir sebagai panduan supaya kita bijak untuk menggunakan tandas. Jika duduk, harus duduk. Jika mencangkung, harus mencangkung. Jika tidak berjumpa tandas, harus dilindungi najis yang wujud itu dengan tanah atau daun-daunan.

Bermaksud juga Islam hadir supaya kita menggunakan segala bentuk budaya itu dengan bijak tanpa perlu prejudis. Tanpa mengangkat mana-mana budaya sebagai yang paling bagus.

Tapi Islam itu mengangkat manusia itu lebih bagus dari budayanya. Tanpa perlu terkongkong dengan segala macam budaya. Logiknya, Islam mengangkat kita manusia ini lebih bagus dari tandas tadi. Kerana manusia tidak harus terkongkong dengan budaya yang menjadikan mereka mundur. Seperti budaya malu-malu yang tidak bertempat yang menyababkan kita malas bertanya dan lebih kepada mengesyaki. Budaya mengintai pasangan berkhalwat juga di salah tafsir sebagai budaya yang bagus padahal ia adalah budaya membuka aib. Sedangkan Islam mewajibkan kita menjaga aib.

Sekarang, kalian jelas bukan? Islam itu hadir bukan untuk membudayakan manusia, tapi Islam hadir untuk memanusiakan budaya. Atas sebab kita manusia ini, lebih elok dari budaya. Jauh lebih elok.

Wednesday 19 December 2012

Selagi Belum Kiamat

Bismillah.

Buku yang aku beli bersama buku tok guru minggu lepas bertajuk "Perang Arab-Israel : Selagi Belum Kiamat" karya Sabaruddin Hussein. Aku sendiri tak berapa kenal buku ni, tapi pasal nampak menarik tu yang teruih beli tu. Tapi paya betuih nak habiskan. Semalam dengan hari ni baru betul-betul semangat nak baca. Apapun, memang menarik.

Mereka yang masih samar-samar dengan kesengsaraan rakyat PALETIN, pelik bagaimana bangsa yang tiada negara tiba-tiba menjadi begitu kuat menguasai dunia, amatlah patut baca buku ni.


Bahagian awal buku ni menceritakan secara ringkas kemasukan bangsa yahudi ke tanah palestin ketika Palestin berada di bawah British sebaik sahaja termeterainya Perjanjian Balfour. Penjualan tanah Palestin kepada orang Yahudi bukan dilakukan oleh musuh Islam, tetapi oleh orang Arab sendiri. Harga tanah yang menaik begitu mendadak berjaya mengaburi mata pemilik tanah apatah lagi banyak mereka duduk di luar Palestin. PBB yang menjadi Boneka ISRAEL terus membenarkan kemasukan secara beramai-ramai ke orang Yahudi ke PALESTIN.

Walaubagaimanapun, kemasukan musuh-musuh manusia ini ditentang habis-habisan oleh negara-negara arab terutamanya Mesir, Syria dan Jordan. Israel yang dipimpin oleh David Ben Gurion mempunyai sumber motivasi paling penting iaitu kalau yahudi tidak memenangi peperangan ini, tiada tempat lain lagi untuk mereka pergi, maka memenangi peperangan adalah satu kewajipan. Perang Arab-Israel 1947/1948 menjadi bertambah sengit dengan kemasukan Arab Legion Army(ALA) di bawah  pimpinan Fawzi El kaukji, pasukan militari dari Lubnan. Perang yang turut diberi nama "Perang Kemerdekaan" berakhir dengan perjanjian damai yang menjatuhkan maruah umat Islam dengan Zionis berjaya meningkatkan kawasan mereka dari 55% ke 80% dari seluruh palestin dan hanya meninggalkan tanah tidak elok kepada umat Islam.

1956, peperangan kembali meletus bagi merebut terusan SUEZ. Britain, Perancis dan juga Israel bergabung tenaga bagi memerangi Mesir yang ketika itu berada di bawah pentadbiran Jamal Abdel Nasser. Israel yang tidak berminat dengan terusan Suez membantu dua sekutunya semata-mata untuk membuka Selat tiran bagi memudahkan perjalanan kapal Israel keluar masuk ke Asia dan Afrika. Paling menarik, ialah bagaimana permainan politik dan hubungan diplomasi yang digunakapakai dalam menangani Isu ni. Silalah baca.

banyak lagi kisah menarik yang ada. Perang 6 Hari(1967) antara yang sangat membuka mata bilamana peperangan dengan Israel penuh dengan kelemahan di pihak Bangsa Arab. Bukan setakat kisah perang, sedikit sebanyak mengenai pergulingan sistem beraja di Mesir turut diceritakan dalam buku ni. Seterusnya ada perang Yom Kippur di bawah Anwar Sadat (1973) yang semakin memburukkan keadaan. Harapan hanya kembali dalam perang Israel-Lubnan yang dipelopori oleh Hizbullah. Ternyata Hizbullah memberi kesan besar kepad Israel sehingga ke hari ini.

DI penghujung buku, penulis membuat sedikit analisis mengenai fenomena Arab Spring yang berlaku tahun lepas. buku ni memang agak berat dan sarat dengan Fakta. Dan tak keterlaluan untuk aku katakan, perlu berhati-hati untuk baca buku ni sebab ada beberapa "idea" yang mungkin menyebabkan salah faham.

Selamat membaca!!

Sekian dari syuib0809

Saturday 15 December 2012

Pemikiran Tuan Guru

Bismillah.

Minggu ni memang kurang semangat nak membaca buku. Duk lagho tengok video-video di youtube dan blog-blog. Akhirnya aku ambik keputusan pergi pustaka intan cari buku kot-kot ada yang baru. Aku sebenarnya teringin nak baca buku-buku karangan tok guru Nik Aziz atau Haji Hadi. Lepas pusing satu kedai, entah macam mana susah sungguh nak jumpa. Biasalah remaja sekarang, terpaksalah kedai tu penuh dengan buku novel je. Akhirnya, aku tanya orang kedai dan dia keluarkan semua buku berkaitan Tuan guru Nik Aziz. Aku hanya tertarik kat satu buku yang agak baru bertajuk "Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat". Ada satu lagi buku aku beli, tapi nantilah cerita ye.

Permulaan buku ni mencetak secara ringkas sejarah beberapa gerakan Islam di dunia seperti Ikhwanul Muslimin, FIS di algeria, PKS dan sedikit mengenai isu bangsa moro di Filipina. Tapi memang tak puas sungguh baca part ni sebab terlalu sikit yang disentuh. Paling aku tertarik ialah isu selatan filipina yang sebelum ni memang aku kurang sikit pendedahannya .



Bahagian seterusnya menceritakan serba sedikit mengenai keluarga dan sejarah pendidikan Tok Guru. Belajar di India selama 5 tahun, kemudian ke pakistan dan seterusnya ditawarkan belajar di Mesir selama 4 tahun, menjadikan tuan guru memang bukan calang-calang orang. Dan secara jujurnya, aku dapat rasakan betapa berkembang, terbukanya pemikiran tuan guru apabila berada di ketiga-tiga negara ni. Akhir-akhir ni, aku sedikit "geram' dengan graduan mesir semata-mata kerana budaya negatif yang ada di mesir seolah-olah mengongkong pemikiran ustaz-ustaz ni. Tambahan lagi, mesir adalah "perkampungan melayu" yang sukar membawa perubahan cara berfikir. Aku lebih gemar dengan ustaz-ustaz( UZAR, Ust Hasrizal, Haslin Bahrim, Ustaz Amin Dundae) yang meneruskan pelajaran di negara lain, yang muslimnya minoriti ataupun kehidupannya berlainan sedikit. Kerana sangat nampak, cara berfikir mereka sangat berlainan. Bagus belajar di Mesir, namun lebih cantik kalau dapat pergi tempat lain sepertimana tok guru alami.


Tetiba melalut plak.

Bahagian seterusnya banyak menceritakan keterlibatan tuan guru dalam Gerakan Islam utama di Malaysia iaitu PAS. Orang yang sangat banyak melihat dan merasa jatuh bangun PAS di arena politik Negara. Pernah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama dan kemudian pesuruhjaya PAS Kelantan. Seterusnya, menjadi Menteri Besar Kelantan selepas PAS menang tahun 1990.

Bahagian paling menarik sudah tentulah mengenai apa yang tuan Guru buat di Kelantan. Langkah pertama dan prinsip yang tok guru tekankan menjadi antara sebab utama buku ni antara buku WAJIP BACA untuk semua anak muda yang sayangkan ISLAM dan MALAYSIA. Seterusnya, buku ni menceritakan pemikiran tuan guru terhadap isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah, Non-muslim masuk masjid dan Kontroversi "Allah SAMSENG".

Apakah kehebatan TUAN GURU sehinggakan dihormati kawan dan Lawan? Hingga pengaruhnya sampai kepada orang bukan islam walaupun dengan serban di kepala? BACALAH buku ni ye.


Sedikit kata-kata Hassan AlBANNA dalam buku ni:

"Ada generasi  lahir daripada bangsa yang hidup aman dan sejahtera. Generasi ini lalu memiliki kuasa mantap dan kemajuan melimpah ruah. Tokoh yang lahir dalam suasana ini lebih mementingkan diri daripada mementingkan nasib bangsanya.

Sebaliknya, terdapat generasi lahir dalam negara yang bejuang kerana bangsa mereka dijajah. Bangsa itu berjuang bermati-matian bagi mengembalikan hak mereka yang dinafikan, khazanah mereka yg dirampas..................., Generasi ini adalah generasi yang sedar dan memiliki iltizam serta semangat juang yang tinggi"


Sekian dari Syuib0809

Wednesday 12 December 2012

Ledakan FB: Antara Pahala dan Dosa

Bismillah.

Sebenarnya segan nak tulis pasal buku satu ni. Waktu aku ke KL sabtu lepas, aku sempat ambik jap buku ni kat rak dan baca dalam keretapi ETS. Lepas baca separuh,  tetibe aku ter"bagi" buku ni kat kawan aku secara tak sedar. Bila balik rumah, gagal nak dapatkan buku ni balik. Tapi, kalau ikutkan aku dah abih baca part-part penting dalam buku ni. Hanya miss bahagian "Status FB Terbaik" dan part hujung buku je. Sebenarnya dah lama beli buku ni, tapi lebih cenderung baca buku lain.

Permulaan buku ni banyak menceritakan mengenai fakta-fakta mengenai FB dan beberapa pandangan Ulama' mengenai Laman Sosial berpengaruh ni. Memang benar ada di antara mereka yang kelas. Malah golongan agamawan dilihat kurang berjaya mendekati anak muda bila tidak berfacebook. Hakikatnya, memang sikit sahaja golongan agamawan yang menggunakan mediun ini berbanding ahli politik yang ingin nampak diri mereka berpengaruh.



"Dosa-Dosa dan Facebook" antara subtopik yang terdapat dalam buku ni, menarik untuk dibaca terutamanya oleh muslimat. Beberapa kebiasaan yang sebenarnya bercanggah dengan Islam hinggakan di FB lah tempat yang paling berkesan untuk menjatuhkan rumah tangga seseorang. Ustaz turut berkongsi bagaimana Membuka Aib menjadi satu kebiasaan di FB. Dosa dan Maksiat yang Allah tutup tapi kita sendiri yang menyerlahkannya di FB. Keinginan untuk berkongsi bertukar menjadi medan promosi maksiat diri. Contoh-contohnya bolehlah baca sendiri buku ni.

Antara tajuk yang terdapat dalam buku ni:

Hukum Facebook dan Blog, 
Dosa-Dosa dan Facebook, 
Facebook Menjadi Tempat Promosi Maksiat dan Buka Aib Sendiri, 
Panduan Berblog dan Facebook, 
 Blog dan Facebook Perantara Ulama dan Rakyat, 
Kaedah Mengambil Manfaat Daripada Facebook, 
Ceramah dan Blog Ilmuan, 
Fenomena puji, Ampu dan Bodek di Facebook.

Segala status yang kita kongsikan di FB boleh jadi saham sama ada untuk ke Syurga atau Neraka. Kadang-kadang kita seronok benar berkongi movie ini dan movie itu, event ini dan itu, tanpa kita sedari ada kalanya ia adalah kesinambungan untuk dosa kita terus bertambah. Bacalah buku ni, sekurang-kurangnya ada ilmu sebelum kita berbuat sesuatu perkara, hatta meng"LIKE" status seseorang. Murah je, 18 ringgit.

Aku dalam proses mendekati FB. Mengenali diri sendiri, menyebabkan aku ambik pendekatan yang lebih tegas. Manusia adalah objek yang perlu dipersalahkan, bukannya FB, twitter, Friendster, blog yang menjadi masalah utamanya. Banyak orang ber"alasan" supaya dapat keep in touch dengan kawan-kawan, tapi macam-macam benda merepek yang dilakukan secara "tidak sedar". Namun, aku tetap tabik spring kepada mereka yang berada di FB namun berfokus kepada kerja dakwah. Moga ianya menjadi saham besar ke Syurga.

Jangan pulak alasan berdakwah menjadi tempat menabur benih CINTA MUKA BUKU.

Sekian dari Syuib0809

Friday 7 December 2012

Mendidik Ummah di Taman Kisah

Bismillah.

Aku kongsikan sebuah lagi buku dari telaga biru bertajuk Benar Tapi Pelik. Karya Ustaz terkenal terutamanya di Radio IKIM iaitu Ustaz Zahazan. Selalu nampak kat kedai buku, tapi tak berminat nak beli sampailah terjumpa iklan pasal buku ni dalam majalah Solusi. Aku memang peminat kisah-kisah a.k.a sirah sahabat dan nabi.

Binatang dhab pernah beriman denganya
Pokok pernah memberi salam padanya
Batu pun pernah berkata-kata padanya
Tunggul pernah menangis mengongoi mengadu padanya
Lirik lagu Tihamah : Raihan

Kisah dalam buku ni dimulakan dengan crita arab Badwi yang akan beriman kalau Dhab yang dibawanya beriman kepada Nabi. Cabaran yang pada mulanya sekadar ejekan akhirnya benar-benar berlaku hinggakan arab badwi tadi terus beriman. Kisah pokok yang berjalan menuju ke arah Rasulullah ketika sedang tidur juga sangat menyentuh hati. Keinginan sebatang pokok yang sangat mencintai nabi hingga akhirnya diizankan oleh Allah S.W.T. Tapi dalam buku ni takde cerita pasal batu yang berkata-kata. Namun, sungguh menyayat hati bila tunggul pohon kurma menangis bagaikan seorang bayi tatkala diri tidak lagi menjadi tempat bersandar insan teragung. Akhirnya dibelai oleh nabi sehingga tenang. Siapa nak baca lebih lanjut bolehlah beli.

Gurauan Nabi.

Minggu lepas, sebelum aku beli buku ni, aku ade tertonton rancangan bersama Ustaz Zaharuddin




Aku tak pasti siapa tiru sapa, tapi kedua-duanya memang merujuk kepada sumber yang sama. Segala-contoh gurauan nabi yang dinukilkan dalam buku Pelik Tapi Benar ni diucapkan oleh Ustaz Zaharuddin dalam rancangan Assalamualaikum di atas. Gurauan-gurauan yang jarang kite dengar dalam sirah nabi, namun dicatatkan oleh ahli hadis sebagai panduan untuk kite bergurau. Tat larat nak tulis sini, jadi boleh baca tau dengar video di atas.

Aku jugak tertarik dengan kisah Uwais AlQarni yang aku kenal waktu kat kolej dulu. Bukan apa, sebab ade sorang kawan gune nama emel macam tu. Kisah femes anak soleh yang doanya mustajab hingga dicari oleh Umar dan juga Ali. Namun, dalam buku ni lebih detail lagi kisah-kisah die hingga saat beliau meninggal dunia. bilamana begitu ramai "orang" yang datang menguruskan mayat orang biasa tetapi luar biasa ni. Siapa orang-orang tersebut? Selamat membaca!

Apepun, aku tak nafikan buku ni agak mahal daripada biasa kalau ikut bilangan mukasurat dan tanpa warna di dalamnya. Jadi, mungkin ada yang keberatan. Namun begitu, pembaca dihadiahkan penanda buku untuk menggembirakan hati.



itu Sahaja

Sekian dari SYuib0809

Sunday 2 December 2012

Sebelas tahun.

Bismillah.

Teringat satu part dalam buku Ustaz Hasrizal, bagaimana seorang ayah sangat suka bercerita kisah-kisah lama ketika pulang ke kampung halaman. Pantang nampak sekolah lama, jalan lama, kedai lama, semua yang lama-lama akan diceritakan kembali kepada anak-anak secara paksa rela. Kisah yang sama barangkali diulang-ulang, namun apakah sebabnya. Dalam buku tu terangkan, excitednya seorang ayah untuk bercerita kepada anak-anaknya bukanlah untuk memberitahu mereka, namun lebih untuk kembali mengingati kisah-kisah lamanya. Menenangkan hati yang kembali kepada fikrah tatkala pulang ke kampung si ayah membesar.

Semalam, sungguh banyak kenduri yang berlansung di kawasan sungai tungku. Aku memang dah lama tak pergi orang kampung punye kenduri, selalu ke kenduri kawan-kawan mak ayah, ataupun saudara mara. Seronok bila dapat jumpa kawan-kawan sekolah rendah yang sangat lama tak jumpa. Aku sempat jumpe Syamsul dan Yazid, yang masing-masing dah sangat segan dengan aku. Aduih..

Semalam, aku menanam azam nak tangkap gambar "baru" menggantikan gambar lama ni:

 Aku, Naim, Syamsul dan Ija.

Kembar ni adalah rakan aku dari tadika, sekolah rendah, masih rapat walaupun sekolah menengah lain-lain, dan hampir setiap tahun berjumpa sebab rumah kami satu baris yang sama. Walaupun selalu jumpa dan main, kami memang tak pernah nak tangkap gambar ke apa. Dan gambar di atas ialah gambar terakhir kami bersama iaitu sebelas tahun yang lalu, waktu kami darjah 6. Semalam, aku sempat pergi kenduri kahwin kat kampung halaman diorang, jadi ambik peluang untuk snap satu gambar.

Naim, aku, Ija pada umur 23 tahun.

Diorang ni, adalah satu-satunya kelompok kawan aku yang masih panggil aku "wan", singkatan kepada Izuan. Generasi sekolah menengah sampai kolej, university dan maktab memang takde sorang pun kawan aku panggil aku "wan". Beberapa minggu yang lalu, aku ada jumpa diorang untuk kenduri arwah mak diorang. Terkejut gak aku atas berita kehilangan bonda diorang sebab baru je terserempak. Tapi alhamdulillah, diorang satu keluarga dapat jumpa arwah dan mengiringi jenazah dengan hati yang tabah.

Kadang-kadang, kampung sendiri terasa asing untuk diri aku. Dah susah nak jumpa kawan-kawan lama waktu sekolah rendah. Percakapan diorang yang kebanyakannya orang banjar pun semakin aku susah nak faham. Aduihh..

Sebenarnya yang paling aku sedih bila semua dah segan dengan aku.

Sekian dari Syuib0809.