Friday, 11 May 2018

Politik Hijau Putih

Bismillah.

Jarang benar diri menulis mengenai politik. Mengenangkan kegagalan diri menceburi bidang baitulmuslim, maka terasa benar tidak layaknya berbicara mengenai seni politik. Ia ilmu yang sangat sukar difahami. Hingga umat islam berbunuhan kerananya, malah syiah dan sunni itu juga terbelah asalnya kerana politik, sebelum kekal menjadi fahaman akidah.

Tahun 2013, pra PRU13, aku hadir ke program bersama pimpinan jemaah. Entah bagaimana boleh memberanikan diri, aku berdiri untuk menanyakan satu soalan yang menjadi bahan ketawa:

" pimpinan ada terfikirkah cara lain untuk mengambil alih pentadbiran selain dari menyertai pilihanraya?. Bukan apa, ana geram.. Sebab kalau nak berharap pada undian banyak sahaja, sampai bila pun takkan dapat sebab adat berjuang islam, mesti ramai orang tak suka.."

Soalan itu hadir kerana aku terlalu sedar akan masyarakat yang sudah tidak berminat dengan agama. Apatah lagi sebaik sahaja menceburi bidang pendidikan, aku melihat anak muda lebih berminat akan hiburan berbanding menghiburkan diri di surau. Kalau dulu, melihat adegan bercium di tv itu sesuatu yang janggal dan memalukan. Tapi hari ini ia sangat biasa. Malah jika adegan itu ditapis, anak muda yang punya bin dan binti itu akan mempersoalkan dengan sinis... "Relakslah, bukan ada apa pun. Takkan itu pun nak censored"

Mengajar di matrikulasi, aku sendiri selalu menyaksikan akan saf di surau yang tidak pernah penuh dua saf. Sedangkan ketika orientasi/MPPB, tak muat surau itu untuk menampung bilangan jemaah yang ada. Tetapi apabila berjalan program2 joget, nyanyian, senamrobik dan program hiburan yang lain, dewan itu penuh tanpa sedikit pun paksaan. Maka mahu bergantung pada kuantiti, sudah pasti ia sesuatu yang sangat mengaibkan bagi jemaah islam. Kerana sejak lahirnya manusia, yang minat berTuhan itu sentiasa sedikit. Malah jujurnya, anak-anak yang berkecimpung di dalam badan dakwah itu juga selalu dipandang "asing" oleh manusia sekeliling.

Oh lupa plak, aku tidak beroleh jawapan dalam program bersama pimpinan itu, kerana pimpinan tersebut hanyalah orang2 diperingkat bawahan(pemuda/universiti) sahaja.

Hijau Putih.

Apabila berlaku perpecahan yang sangat dahsyat pada tahun 2015, aku menyaksikan perkara yang sangat menyedihkan dalam jemaah. Rakan usrah, naqib, murabbi dan ramai senior yang aku hormati berpindah ke kapal baru bewarna oren. Mereka-mereka ini adalah orang bijak pandai yang sentiasa punya hujah di mulut. Cuma yang menyedihkan, mereka pergi membawa perasaan benci dan tidak puas hati yang sangat tnggi pada kapal lama bewarna hijau putih. Dan paling aku sedihkan, apabila melihat masing-masing keciciran adab seperti tidak pernah melalui proses tarbiyah.

Entah hati mana yang tidak terkilan, apabila sahabat berlaga pipi, makan setalam bersama, tidur bersama, berjaulah dan bertamrin sekali, tiba-tiba menjadi orang asing yang menyerang seperti musuh. Bahasa yang memalukan. Yang keluar dari mulut mereka adalah idea2 hebat yang mereka mahu jemaah laksanakan, sedangkan empunya diri tidak pernah mahu terjun ke medan sebenar. Dan kerana itu, aku menghadkan muka buku aku pada sahabat2 yang kerap turun ke medan, berbanding yang murai mulutnya dengan idea dimuka buku semata-mata. Belum dilihat lagi hinaan mereka kepada Tuan Guru, seolah-olah mereka lebih sempurna. Sedangkan bangun subuh pun, loceng yang kejutkan.

Masuk pula ke matrikulasi menyaksikan anak-anak muda yang penuh angan-angan dan impian, ia satu pengalaman yang sangat menarik. Mereka punya idea dan ego setinggi gunung. Manusia gemuk berwajah kampung seperti aku, mudah benar untuk dibodohkan. Kerana itu apabila mereka mempertahankan idea mereka, aku sangat suka membiarkan mereka sendiri merealisasikannya. Malas mahu berbalah. Kerana aku di mata mereka hanya si tua gemok yang bodoh. Menariknya selepas itu ialah tatkala menyaksikan betapa mudahnya mereka mengalah. Cuma yang lebih menarik, apabila mereka melarikan diri dengan idea yang pernah dipertahankan, tetapi gagal direalisasikan
oleh diri masing-masing.

King Maker.

Tuan Guru yang aku kagumi itu, biasanya lebih kerap dipandang rendah dan dihina manusia. Bagi anak muda yang modern dan maju kehadapan, imej dan idea Tuan Guru seperti tidak sedikit pun boleh dikagumkan. Ego mereka dengan idea masing-masing yang terasa hebat, menyebabkan mereka memandang rendah manusia-manusia hebat yang belum kelihatan hebat di mata mereka. Dan aku yang tidak hebat, mahu terus memandang hebat ulama' yang masih tersisa tidak dihargai ini.

Soalan aku tahun 2013 itu akhirnya dijawab oleh pimpinan yang sebenarnya. Bagaimana bilangan yang sedikit, menjadi pemenang  pada kumpulan yang memperoleh undian yang banyak. Ia situasi yang sangat menarik. Apabila kuantiti yang menjadi kayu ukur dalam pilihanraya, sudah tidak begitu penting melihatkan bilangan banyaknya. Hebat pemikaran ulama' yang kelihatan selekeh dengan jubahnya, menyusun atur bagaimana bilangan sedikit itu berupaya menjadi Raja.. Sayangnya, yang bawah-bawah itu masih setia dengan idea Badwinya.

Situasi semasa di Perak dan Kedah, aku melihat anak-anak muda dalam jemaah masih setia dengan ego dan ideanya. Memandah rendah manusia lain, adalah permulaan bagaimana mereka menjadi rendah di mata Tuhan. Bukankah permulaan kejahatan syaitan itu bermula dengan rasa "aku lebih baik dari kamu". Sumber: makjat. Haha

Anak-anak, tidak ingatkah kalian ketika menjadi barisan pimpinan kumpulan kecil dulu, begitu ramai orang-orang dibawah kalian yang tidak berpuas hati dengan kalian. Mereka menganggap, kalian orang yang bodoh dan tidak layak. Mereka berfirasat kalian selalu membuat keputusan yang salah. Mereka mempertikai kalian, sehingga kalian datang mengadu kepada aku, sedang aku sudah tidak mampu memujuk kalian.

Anak-anak, tidak ingatkah kamu. Ketika kamu mengharap semua orang dibawah itu untuk memahami kamu, sedang mereka masih tidak mahu faham sampai di penghujungnya, lalu terus memburuk-burukkan kamu. Mereka rasa, kamu yang berada dalam pimpinan mementingkan diri, membuat keputusan untuk diri sendiri. Sedang hanya kamu dan aku yang tahu, betapa yang kita fikirkan ketika membuat keputusan adalah untuk mereka. Mereka sahaja. tapi sayang, mereka tidak tahu. Lalu kamu menangis di hadapan aku. Kerana kamu dihukum atas apa yang kamu tahu, sedang mereka tidak tahu.

Tidak ingatkah kamu, ketika mereka sibuk memburuk-burukkan kamu di media sosial, kamu masih bersengkang mata bermesyuarat menyelesaikan masalah mereka. Dan semua itu, hanya aku dan kamu yang tahu.

Begitulah dengan barisan kepimpinan yang telah kalian lafazkan baiah kepadanya. Bersabarlah. Dan bertakwalah. Pengalaman yang aku berikan dulu bukan untuk dicoret menjadi cerita dongeng, tetapi besar harapan agar ia menjadi panduan ketika kalian runsing.

Mudah-mudahan kalian terus istiqomah.
Menang tak megah, kalah tak rebah.
Baca quran, jangan baca whatsapp je

Sekian dari Syuib0809

1 comment: