Bismillah.
Pagi tadi, seorang pensyarah kami bercerita mengenai kenaikan pangkat, gaji, DG dan sebagainya. Bercahaya je mata semua budak-budak kelas bertanya dan mendengar penjelasan cikgu matematik kami tu. Aku tidak pasti kalau ada budak lain yang seperti aku, tapi memang aku sangat tak berminat dengan tajuk tersebut. Bukan aku tak suka duit. Bukan juga sebab aku tak mahu jadi kaya. Tapi aku rasa, kerja dengan kerajaan(duit rakyat) bukanlah tempat untuk membuat dan mengumpul kekayaan. Poyo kan aku?
Waktu cuti hari tu, aku sangat terkesan dengan kata-kata dari seorang senior aku bernama Amin. Walaupun dah ada pekerjaan yang bagus dalam bidang gali minyak, dia cadang nak kerja sendiri bila tiba masanya sebab takut kerja makan gaji yang kadang-kadang kita selalu berlaku khianat dalam mengerjakannya. Dapat gaji, tapi datang kerja lambat dan asyik lepak makan-makan. Dapat duit sebulan penuh, walaupun kita cuti hampir separuh bulan dan macam-macam lagilah yang menyebabkan kita mengambil duit orang lain tanpa sumbangan yang begitu jelas.
Aku tertarik dalam buku Dr MAZA: Fitnah terhadap para sahabat. Uthman bin Affan menceritakan bagaimana kehidupannya yang terkenal dengan kekayaan dan memilik unta yang sangat banyak di Madinah, sebelum menjadi khalifah. Setelah beberapa tahun menjadi khalifah, hanya dua saja unta yang dimilikinya sekaligus membuktikan jawatan yang beliau ada tidak digunakan untuk mengumpul harta. Kalau nak tengok pangkat, memang kompem jauh lebih besar dari DG54 bagai.
Dalam buku tentang Tuan guru Nik Aziz, beliau sendiri menunjukkan contoh terbaik kepada wakil-wakil rakyat kelantan, bahawa jawatan yang mereka pegang bukanlah lesen untuk mereka mengumpul kekayaan. Malah tuan guru sendiri membahagikan sejumlah yang besar dari pendapatannya untuk perjuangan Islam, malah menghapuskan budaya memberi hadiah kepada Menteri Besar ketika berlansungnya upacara-upacara kerajaan Negeri.
Banyak lagi kisah menarik yang ada mengenai gabenor-gabenor ketika era Khulafah Ar-Rasyidin. Namun, tak larat untuk dikongsikan di sini. Antara kisah popular sudah tentulah mengenai Said Amir Aljumahi.
Aku bukanlah anti kepada mereka-mereka yang tak sabar-sabar nak naik pangkat. Tapi meletakkan itu sebagai salah satu target utama sebenarnya umpama membuka pintu kepada syaitan merasuk kehidupan duniawi kita. Tidak hairanlah bilamana guru-guru sibuk claim semua benda yang dibuat sehingga sanggup berhelah. Berkira nak bantu anak murid yang susah, tak masuk kelas kerana sibuk mengejar guru cemerlang. Buat tuisyen bagai nak rak, tapi kelas sendiri diajar sambil lewa.
Mungkin ramai akan mengatakan, itu hak kita.
Sejak aku dapat elaun di UK, aku sendiri kurang pasti benarkah itu hak aku yang aku ambil dari duit orang? Betulkah duit yang kita dapat itu setimpal dengan apa yang sedang kita buat? terngiang-ngiang kisah Abu Bakar dalam ingatan aku. Suatu hari beliau teringin nak makan daging, tapi tak cukup duit. Hasil dari gaji yang diperoleh apabila menjadi khalifah akhirnya dibahagikan sebahagian kecilnya untuk dikumpulkan bagi membeli daging. Setelah beberapa lama, isteri beliau yang ditugaskan menyimpan duit tersebut memberikannya semula kepada Abu bakar sebagai belanja untuk membeli daging. Bila melihat duit tersebut, Abu Bakar menyedari rupa-rupanya gaji yang diperolehinya dari baitulmal itu sudah terlebih dari keperluannya lalu meminta gajinya dikurangkan. Pelik, tak kan jawatan yang besar seperti itu pun tidak layak menerima sejumlah wang yang hanya cukup-cukup untuk beli daging? Sumber: Fadha'il Amal
Entri ni bukan bermaksud aku tak mahukan kenaikan gaji ataupun pangkat. Tapi sekadar renungan untuk mengawal diri dari tergila-gilakan duit. Buatlah kerja sungguh-sungguh dan pastikan apa yang kita dapat itu setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Dan zuhudlah dengan apa yang ada di dunia, nescaya manusia akan menyanyangi kamu.
Sekian dari syuib0809.
No comments:
Post a Comment