Marhaban Ya Ramadhan..
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Ramadhan kali ini, aku mahu berjinak-jinak meninggalkan surau kolej, dan mahu menjadi buas sebagai ahli Qariah masjid pongsu seribu. Tahun sebelum ini, aku sudah pun mula meninggalkan surau Annur untuk waktu subuh. Cuma azam sesi ini, mungkin hanya 10% solat wajib yang ada lima itu aku sempurnakan di surau tersebut. Selebihnya, barangkali di masjid kampung yang berjiran dengan tanah kubur. Mahu mendidik hati, biar cepat tuanya...
Masjid pongsu seribu itu, banyak benar yang layak menjadi imamnya. Sepanjang mata memerhati, ada 6-7 orang yang sentiasa sudi ditolak untuk ke depan. Cuma mata yang sentiasa berdua, selalu tertarik dengan imam tua yang satu. Imam tua itu, tangan kanannya lumpuh. Entah sebab apa, aku tidak punya manfaat untuk tahu asbabnya. Cuma setiap kali Azan Fardhu berkumandang di masjid itu, aku tidak pernah berjaya untuk memintasnya. Kekurangan yang ada pada dirinya, tidak pernah menjadikan dirinya kalah dengan orang muda. Istiqamahnya, hanya tuhan yang punya gnjaran pada dirinya.
Imam tua ini, datangnya berjubah biasa sahaja. Pakaiannya, tidak pernah mahu menunjuk yang dirinya orang beriman. Tapi setiap kali Alfatihah dikhatamnya, surah yang mengiringi pasti luar biasa. Hafalannya sangat kuat. Aku yang masih muda, selalu buntu mahu meneka surah yang dibaca. Cuma aku selalu perasan, apabila ada imam-imam berbaki yang muncul sebaris dengannya, dia sentiasa berbesar hati untuk mengalah, dan menjadi makmum yang sangat setia dengan senyuman.
Setip kali solat fardhu, aku memaksa diri untuk merebut saf yang paling hampir dengan imam. Walaupun hakikatnya, tiada lansung pesaing dalam perlumbaan itu. Hampir setiap hari itu juga, ada seorang tua yang kerap berdiri di sebelah kiri aku. Rambut, uban, bulu kening yang sudah putih, aku yakin dirinya sudah hampir menerjah umur 70 tahun. Atau barangkali, lebih. Saat duduk-duduk tahyat, aku suka menjeling tangannya yang penuh dengan kedutan. Kedutan itu seolah membawa seribu makna. Cuma tertarik aku dengan dirinya, dia selalu "berebut" untuk duduk di sebelah aku. Bukan saja ketika solat, malah aku terperasan dia juga berada di sebelah ketika solat sunat rawatib dan ketika kuliah ilmu sedang berlansung. Hmmm
Namun tiada kepelikan, kami berdua masih belum pernah bertutur apa-apa kata. Malu yang belum berjumpa penawarnya, aku sekadar memberi senyuman saat bersalaman. Sebagai kaki drama, aku berharap pak cik tu punya anak gadis yang cantik dan solehah. Kahkahkah. Okeh, habis hilang serius.
Potret-potret tua yang bergerak ini, aku terasa senang dan tenang melihatnya. Mencari-cari irama hati yang sering kacau bilau membaca kerenah anak muda yang terasa bijak pandai.
Dunia alam maya yang serba canggih, aku suka mengikuti perkembangan rakan-rakan yang pernah aku pandang tinggi satu ketika dahulu. Rakan-rakan satu kolej, yang majoritinya adalah pelajar-pelajar bijak pandai dari seluruh Malaysia ketika itu. Teringat kehebatan mereka-mereka ini berhujah. Tiada satu benda kecil yang terlepas, melainkan mesti menjadi isu. Solat pakai tshirt, isu tahlil, isu freemason, isu liberal, SIS, dan apa-apa sahaja isu pasti ada yang dipersoal dan dicari jawapannya. Ketika itu, aku secara jujurnya terasa sangat hebat bersahabat dengan mereka. Melayan orang-orang memberontak seperti lili, terasa teruja mahu tahu dan mencari semua jawapan.
Tapi kini aku lelah. Aku terperasan, kami-kami ini seperti punya barah pada hati. Semua perkara yang dipersoal dan dibicarakan, hakikatnya hanya mainan kata. Amalnya entah ke mana. Menanam benih keraguan kepada orang-orang agama, dan mencari dalil-dalil menenangkan orang yang berlainan agama, aku terasa khuatir kepada siapa mahu kami berikan jawapan. Adakah pada manusia yang tidak pernah puas, atau pada Tuhan yang Hari Pertanyaannya pasti akan tiba.
Dan entah putus asa apa yang hadir, aku terasa mahu mula melupakan sahabat-sahabat bijak pandai itu. Kehidupan di KY yang serba mewah, aku ragu-ragu akan kemewahan hati penduduk-penduduknya. Mahu menjadi orang kampung yang sunyi dalam kemewahan amalnya. Aku berharap berjumpa hati yang tenang dalam kampung miskin ini.
Mudah-mudahan punya hati yang syukur dengan apa yang ada.
Juga hati yang bersangka baik dengan orang-orang agama.
Serta hati yang suka beramal,
dan jauh dari mempersoalkan amal-amal.
Selamat memeriahkan Ramadhan.
Sekian dari Syuib0809
No comments:
Post a Comment