Saturday 25 June 2016

Ramadhan: Rutin Kuli

Bismillah...

Sedang sibuk menulis cerita baru. Lili jadi watak utama. Hahaha.. Saja nak menyakat dia. Tapi lepas raya la kot baru post. Kesempatan sedikit yg ada, mencatat rutin ramadhan untuk tahun ni.

Sebelum sesi ni bermula, aku sebenarnya berhajat untuk tidak lansung terlibat dengan ANC. Selain kemalasan, aku risau ikatan yang lama itu menyebabkan aku sukar melepaskan mereka kelak. Takut-takut kalau orang lain datang ambik, aku pula yang menjadi musuh kepada mereka. Ia barah yang sudah terlalu kerap terjadi pada daei. Aku berharap bila tiba masanya, aku terhindar dari penyakit hati itu.

Namun, sumbangan demi sumbangan menyebabkan aku terpaksa menggerakkan mereka untuk projek berbuka puasa. Mengharapkan diri sendiri, memang tidak mungkin aku mampu. Dan apabila aku sudah mula menyibuk, aku terpaksa akur yg aku pasti akan sibuk.

Setiap minggu, aku duk balik teluk intan. Rutin mingguan, aku pulang bukan sekadar mahu berjumpa keluarga, tetapi turut bertujuan untuk memborong buah tembikai di TF Teluk Intan. Harga di kepala batas yg mencecah RM3 sekilo, aku mengira-ngira untung rugi tatkala membandingkan harga tembikai yang hanya RM1.40 untuk setiap KG di teluk intan.

Minggu pertama ambik 11 biji.
Minggu kedua 16 biji.
Minggu ketiga 12 biji.
Dan berat setiap satunya dalam 7-8 kilo...

Saat mengisi biji-bijik itu dalam trolley, ada je insan peramah yang menegur...

"Buat berniaga ke?"

"Wah, banyak beli, macam mana nak tau buah elok eh?"

Cuma yang paling sakit hati bila dengar tukang timbang duk nyembang dengan pembantunya...

"ala, ni mesti nak jual ni...."

Lantak hangpa la... Cuma tak syoknya, kereta aku dah macam lori buah. Habis kotor sebab kesan tanah kat buah-buah ni ada lagi.

Idea asal projek ni sepatutnya beri air dan buah sahaja. Tapi Alhamdulillah, semakin ramai pensyarah yang menghulur dana hingga aku terpaksa memikirkan menu tambahan. Maka menjadi rutin sebaik sahaja pulang dari solat asar, aku akan menuju ke Bazaar dengan menaiki Buroqstu. Naik kereta memang idakle, menyakitkan hati.

Memborong murtabak berpuluh-puluh keping, roti John, karipap samosa beratus-ratus, aku seolah-olah kelihatan seperti si bapa yang punya anak berbelas-belas orang. Saat bilangan-bilangan itu seperti mengejutkan, aku kerap beroleh "hadiah".

" ni bang, kami bagi lebih tiga..."

" ni untuk abang..." juadah lebih itu dibungkus dalam plastik hijau berasingan..

Tapi setiap kali aku berniat mahu mengambilnya, kisah ini kerap memberi amaran...

satu kisah yang mengatakan pada suatu hari Rasulullah SAW ada menegur seorang sahabat Baginda, Ibnu al-Lutbiyah yang dilantik sebagai amil
Ðikatakan Rasulullah SAW menegurnya apabila dia pulang daripada mengutip zakat lalu diserahkan sebahagiannya kepada Baginda dan sebahagian lagi dikatakan sebagai hadiah yang diserahkan kepadanya ketika mengutip zakat berkenaan.
Baginda SAW menegur beliau dengan cara Baginda bangun dan berucap di atas mimbar lalu memuji Allah dan berkata: “Apakah seorang amil yang aku lantik untuk memungut zakat selepas dia pulang dia berkata ini untuk engkau dan ini dihadiahkan kepadaku, sedangkan kalaulah orang itu berada di rumah, apakah dia akan diberikan hadiah seperti itu?”

Jari jemari yang penuh itu, aku selalu gagal mencari juadah untuk diri sendiri. Bakul motor yang penuh, aku meredah terik mentari dalam keadaan yang sangat memenatkan. Apatah lagi, kalau hari itu, aku beroleh kelas sehingga 4 jam. Sebaik sahaja menghulur juadah kepada HES, baru aku mula mencari juadah sendiri di cafe-cafe kolej. Balik je rumah, terus pengsan...

Biasanya kul 7.00 petang dan selepas maghrib, aku kembali menjenguk-jenguk mereka. Risau takut apa-apa jadi nanti. Selain itu, meninjau suasana agar senang nak bagitahu penyumbang-penyumbang tentang sambutan program ni macam mana.

Dalam 8.20, menuju ke masjid pongsu seribu kembali. Dalam kul 10 malam dah balik. Lemah iman, aku buat 8 rakaat je, lepas tu cabut.. Hehe

Pukul 5 pagi, aku dah mula panaskan apa yang patut. Takat hari ni, tak pernah lagi aku miss sahur. Lepas sahur gosok baju kerja, lepas tu teruih mandi pi masjid.

Dan benda-benda ni berulang setiap hari kecuali hujung minggu..

Seminggu yang masih berbaki, semanagat menjadi kuli itu masih menebal.

Kepenatan yang terubat, tatkala anak-anak itu menjamah dengan senyuman, dan menambah tanpa perlu risau akan wang di tangan..

Sekian dari Syuib0809..

No comments:

Post a Comment