Disember yang sepatutnya menjadi bulan percutian, berubah menjadi bulan yang begitu menyibukkan. Mahu pulang ke kampung, tetapi tidak berkesempatan.
Minggu pertama menuju ke program.
Minggu kedua diburu Headcount dan kelas tambahan
Minggu ketiga menjadi penyibuk untuk program yang sepatutnya di uruskan oleh pelajar (MEMORI)
Berhadapan dengan anak-anak muda yang mula bergerak dalam organisasi secara profesional, penuh dengan pelbagai ragam. Tidak ubah seperti cerminan kepada aku dan rakan-rakan ketika di kolej persediaan. Cuma kali ini, ada satu perkara yang cukup menarik perhatian aku. Satu sindrom emosi yang mengganggu kerja, perjalanan program, serta merosakkan hubungan dalam organisasi. Sindrom yang hadir kerana ketidakmatangan, atau mungkin sekadar gangguan dalam proses mematangkan remaja. Lalu kemudiannya menjadi jenayah yang menserabutkan orang lain.
Merajuk....
Sangat-sangat membinasakan...
Tapi, mengapa?
Ramai orang mengatakan konflik merasa diri tidak dihargai menjadi sebabnya. Namun, adakah cukup sekadar itu?
Muhammad Rasul Allah! Dan orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia daripada Allah dan keredaan; tanda-tanda mereka pada wajah mereka daripada bekas sujud. Demikianlah perumpamaan (sifat-sifat) mereka dalam Tawrat dan perumpamaan (sifat-sifat) mereka dalam Injil, seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka ia menguatkannya, lalu ia menjadi besar, maka ia tegak di atas batangnya, menakjubkan penanam-penanamnya kerana Dia (Allah) hendak menjengkelkan orang kafir kepada mereka. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih antara mereka keampunan dan pahala yang besar (Surah AlFath)
Ulama' mentafsirkan keras itu dengan cara mempamerkan kehebatan kepada orang kafir. Manakala lembut yang dinukilkan bukanlah bermaksud "sotong" dan cakap mendayu-mendayu. Sebaliknya, perkataan itu memberitahu orang Islam agar sentiasa merendah diri apabila berhadapan dengan saudara-saudara yang seakidah. Merendah diri, yang tidak sikit pun merasakan diri lebih baik dari rakan-rakan lain.
Perasaan tinggi diri, menjadi racun yang memaksa orang lain menerima pendapat dan idea yang dikemukakan. Merasakan apa yang diutarakan sebagai yang terbaik, menyebabkan kita begitu mudah merendahkan pendapat-pendapat lain dalam perbincangan. Hingga bilamana idea kita ditolak, kita menjadi diri yang terlaknat dengan melaknat orang lain. Mengutuk pandangan sahabat di luar perbincangan dan lebih teruk lagi, mengugut rakan sendiri..
"Aku malas dah nak join korang, aku cakap bukan korang nak dengar.."
"Aku tak nak dah buat video.. lantak la apa jadi. Korang cari lah orang lain."
Ayat-ayat merajuk yang menunjukkan seolah-olah diri begitu penting, hingga tiada yang mampu mengganti. Kononnya diri jauh lebih baik dari ahli-ahli yang sedia ada berkhidmat dalam pasukan. Kesombongan yang begitu membinasakan.. Bukan sekadar membinasakan pasukan, tetapi lebih teruk kesannya kepada diri sendiri.
“Tidak masuk surga seseorang yang di dalam hatinya ada kesombongan seberat biji atom.” Seorang sahabat bertanya: “Sesungguhnya ada orang yang menyukai jika bajunya bagus dan sandalnya (juga) bagus.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya Allah adalah jamil (Maha Indah), Dia cinta pada keindahan. (Tetapi yang dimaksud) sombong itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang.” (Hadith riwayat Muslim)
Remaja penuh dengan seribu satu pemberontakan. Oleh itu, jadilah remaja yang memudahkan, bukan menyusahkan. Tanamkan dalam hati untuk menyenangkan, bukan merunsingkan. Jenayah Rajuk hanya untuk orang-orang sombong. Yang berdakwah bukan untuk ummah, tetapi untuk mengangkat diri sendiri. Maka, jagalah hati..
MEMORI 2014 sudah melabuhkan tirai. Walaupun tidak berada dalam pusat Islam, aku begitu beriya mahu menjayakannya. Menghabiskan tenaga dan masa yang begitu banyak, tidak pasti untuk apa. Kadang-kadang hati kecil juga mahu merajuk, menyedari tiada satu pun foto kenangan bersama "tanzim" MEMORI yang berjaya diusahakan. Terdengar syaitan membisikkan "engkau tu penyibuk je kat memori ni izuan weyhh.."
Kelakar, aku sudah begitu tua untuk berfikiran sebegitu..
Berhentilah merajuk, penghargaanmu dari Tuhan, bukan hamba..
Tiga sahabat hebat yang cukup merendah diri. So, memang tak segan nak ajak datang rumah lagi. Rasa tak beriman plak tetibe sorang je tak pakai kopiah. haha
No comments:
Post a Comment