Saturday, 18 October 2014

Guru Muda

Bismillah

5 bulan berlalu. Sebuah fasa bagi aku belajar untuk mengajar. Mengingati kembali ilmu-ilmu yang sudah pun menyorok di ceruk-ceruk minda. Lebih dahsyat lagi, terpaksa mengajar sesuatu yang tidak pernah dipelajari. Mungkin pernah belajar, tapi lupa yang menghampiri sifar. Akhirnya, aku perlu berhadapan dengan dua pilihan. Sama ada menyombongkan diri, lalu memperbodohkan pelajar. Atau merendahkan hati hingga kelihatan bodoh di mata pelajar. Memang berat nak ungkapkan..

"Maaf, saya tak tahu, cuba tanya cikgu lain.."

Perbezaan umur tidak sampai sepuluh tahun menjadikan aku sebahagian daripada generasi mereka. Ungkapan, mimik muka, lawak, minat, alasan mahupun tipu helah, segala-galanya amat mudah untuk difahami. Pendekatan guru muda yang begitu berbeza dengan guru lama. Lebih happy, banyak lawak, tidak menekan, boleh bergurau senda dalam kelas, pelajar pun boleh bahan cikgu. Tapi, adakah ia benar-benar berkesan?

Melihat kepada pensyarah-pensyarah berpengalaman dalam pejabat, mereka jauh lebih bijak berjenaka dan baik hati berbanding aku. Tapi apabila berada dalam kelas, mereka pasti menjadi orang lain dihadapan pelajar. Tegas, tak banyak buat lawak. Bila student tak buat kerja, memang teruk kena. Suatu perubahan yang diperlukan dan mungkin tidak keterlaluan untuk aku katakan bahawa ia lebih berkesan. Perubahan yang pasti dilalui oleh seorang guru. Entah bila ia akan berlaku, Wallahualam.



Menjadi guru, perkara-perkara kecil boleh menjadi besar. Hati makin sensitif terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh pelajar. Beberapa kali aku rasa marah, kecewa, sedih bila pelajar masuk kelas, tapi tak buat assignment. Masuk kelas lambat dengan alasan mengarut, berborak-borak macam aku takde kat depan, buat muka tak puas hati bila dimarahi, keluar masuk kelas sesuka hati. Bila suruh tulis kat depan boleh pula degil. Lebih menyakitkan bila lepas tegur, selamba je gelak dan buat balik kesalahan.

Namun, hati kembali terubat dengan perkara-perkara kecil yang juga dilakukan oleh pelajar. Diorang minta izin pergi tandas pun hati dah rasa seronok. Diorang senyum bila jumpa pun dah macam sebuah penghargaan yang besar. Hati paling seronok bila tengok students datang berjemaah di surau dan ubah gaya pemakaian kepada yang lebih sopan. MasyaAllah, sesuatu yang aku tak pernah rasa keseronokannya. Mungkin seorang pelajar memandangnya remeh, tapi cukup besar untuk seorang guru.

Salah satu kelas yang selalu menghiburkan hati. Walaupun ada yang berat beno nak buat kerja sekolah, tapi sikap dan adab mereka mengubati. Kak Long kelas ni yang tudung merah baris ke tiga. Nak buat apa-apa memang kena minta izin minah tu dulu.

Sebenarnya ada sebuah puisi yang sedang disiapkan. Tapi tak dapat nak letak sebab ada beberapa orang pelajar yang dah terjumpa blog ni. Sekadar cebisan dari puisi tersebut.

Pekan itu penuh taman
Dan dalam setiap taman 
pasti ada puisinya
Dalam puisi ada kisah
Dan dalam setiap kisah 
tersemat rasa suka dan duka

Menjadi sebahagian daripada warga pendidik, ada banyak perkara yang orang luar tidak mungkin mampu untuk faham. Antara yang dimuhasabah, kesalahan nak murid tidak pernah menimbulkan rasa benci seorang guru. Sekadar kecil hati yang kemudian hilang bila anak murid mula kembali menguntum senyuman. Keletihan juga kerap terubat bila anak murid hadir bertanyakan sesuatu. Seorang guru tidak melihat kepada bijak pandai sebagai kriteria menjadi "jambu". Cukup sekadar usaha. Usaha menjadi lebih baik. InshaAllah,

 Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan menjagamu. Jagalah Allah (nescaya ) kamu akan dapati Dia di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon bantuan maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jikalau seluruh umat berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak berupaya untuk memberi manfaat kepada kamu melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan sekiranya umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu melainkan apa yang telah di takdirkan Allah ke atas kamu.


Pemenang gambar terbaik. Dah nampak macam power rangers.


Sekian dari Syuib0809

No comments:

Post a Comment