Saturday, 4 December 2010

Hibernasi dan Emas yang diketuk

Bismillah

Kadang-kadang bila masa kite lapang, memang kita suka sibukkan diri. Tapi kadang-kadang, walaupun kita sepatutnya sibuk, saja je kite jadikan ianya lapang dengan menangguhkan semua kerja kita. Musim sejuk kadang-kadang memang menjadikan manusia malas dengan hanya berhibernasi di rumah. Jadi, takdelah syuib0809 ni akan bercerita mengenai jalan-jalan lagi gamaknya. Tunggu Allah beri keizinan untuk ke Spain 19-26 disember ni. X sabar sungguh rasanya nak tengok kehebatan peninggalan kerajaan Islam. Tapi dalam hati masih risau sebab cuaca tahun ni memang agak pelik.

Nampakkah itu salji turun?

Oleh kerana aku pernah kata nak kongsi satu artikel, jadi aku pun tunaikanlah dulu janji aku untuk hari ni. ARTIKEL ni bertajuk "KITE IBARAT EMAS YG DIKETUK"

...............................................................
Seorang yang berperibadi kuat seumpama besi waja, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh dan tajam untuk menghadapi hidup; sebaliknya, seorang yang berperibadi lemah laksana timah apabila terkena api ia akan hancur, apabila terketuk oleh cabaran hidup ia akan berkecai

Ayam kampung perlukan sepuluh orang untuk menangkapnya. Ia akan lari sekeliling kampung. Sepuluh orang mengepung di sana, menghambat di sini, menerpa di sana dan tersungkur di sini, namun ayam kampung masih gagah lari menyelamatkan diri. Setelah berhempas pulas sepuluh orang baru dapat menewaskan seekor ayam. Tatkala ayam itu disembelih, tiba-tiba ia bangkit, berjalan keliling rumah dengan kepalanya sekali-sekala terkulai ke bawah. Ia berjalan lagi hingga akhirnya rebah.Maka tamatlah riwayat seekor ayam kampung.

Seekor ayam bandar (sangkar) dikeluarkan dari dalam sangkar. Ia diletakkan di luar dan dibiarkan lepas. Ayam bandar ini terteleng-teleng, melihat sana, melihat sini. Kemudian dia melangkahkan kaki, masuk kembali ke dalam sangkarnya. Dia tidak pernah tahu bahawa selama mana berada di dalam sangkar semudah itu nyawanya akan melayang, selama mana dia berada di luar peluang untuk dia lari menyelamatkan diri lebih terbuka luas. Itulah berbezanya ayam kampung dengan ayam bandar.

Cabaran hidup telah menjadikan ayam kampung begitu bertenaga, berani dan punya wawasan, sedangkan ayam bandar tidak nampak peluang dan menjadi begitu lemah lagi malas. Kesusahan sentiasa menjadi penunu untuk seseorang itu muncul luar biasa bagus dan hebat sekali, sebaliknya kesenangan pasti akan menyebabkan kelemahan, bukan sahaja tubuh badan kadang-kadang dalam soal peribadahan. Orang yang hidup dalam tekanan adalah umpama besi waja. Ia keras dan sukar dikalahkan.

Seseorang yang hidup dalam tekanan dan kepayahan sebenarnya sentiasa lebih kuat dan padu daripada mereka yang hidup dalam kesenangan. Maka itu, seorang yang miskin kadang-kadang lebih hebat peribadinya daripada seorang yang berada. Kekayaan adalah kekuatan dalam kelemahan, sedang kemiskinan kelemahan dalam kekuatan. Jadi, usahlah marah dengan keadaan jika anda tidak tergolong dalam kalangan orang senang.

Pada satu segi anda lebih kuat dan lebih hebat daripada orang senang. Kadang-kadang orang senang terlalu lemah hinggakan untuk menukar kepala paip yang sudah longgar perlukan orang kurang senang untuk melakukannya. Bukan disebabkan dia terlebih wang tetapi benar-benar kerana memang tidak pandai. Orang yang tidak pernah teruja oleh cabaran selalunya menjadi kian lemah sebaliknya orang yang hidup dalam ujian selalu bertambah kuat. Seorang gila selalunya tidak terurus segala hal, dia merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat.

Pakaiannya tidak pernah berganti, makan minumnya apa-apa saja yang dijumpai. Tidurnya tidak menentu, tetapi dia kelihatan sihat. Jarang nampak orang gila terlantar sakit, tetapi hospital menjadi tumpuan orang normal dan hidup senang. Usah rasa tidak selesa dengan cabaran sebab cabaran sentiasa memberikan kekuatan. Hanya orang yang lemah akan menganggap cabaran melemahkan.

Cabaran bukanlah nasib malang tetapi ia membuka peluang. Jika peluang tidak terlihat ia tetap bernilai pengalaman. Pengalaman itu tidak ternilai harganya, ia tiada dijual, ia hanya ada pada orang yang mengalami. Semakin kesusahan itu mengetuk, semakin ia membentuk, ibarat seorang tukang emas menempa emas untuk dijadikan perhiasan wanita, semakin diketuk semakin berharga, semakin diketuk semakin tinggi harganya.

Apakah kita seperti emas yang sedang diketuk itu?

.......................................................

Salam winter dari snowman Malaysia

Sekian dari syuib0809..

3 comments:

  1. Salam abg Izuan,

    Sy sgt kagum, impressed dan amat bersetuju dgn entry kali ini sama ada dari segi idea atau method penyampaiannya.

    Dari perspektif idea, tulisan ini telah melihat asas kepada pembentukan kecekalan dan jati diri manusia dari sudut yg sangat kreatif dan bersifat unik. Sungguh, kecekalan dan jati diri harus dibina dan dilatih; ia tidak datang bersama ketika seseorang dilahirkan. Beruntunglah org yg berpeluang utk mengalami ujian2 hidup.

    Dari aspek penyampaian, tulisan ini telah diolah dgn santai, teratur, koheren serta bersifat tersendiri. Abg Izuan sebenarnya ada bakat penulisan yang terpendam. Teruskan menulis supaya bakat itu dapat dibentuk sebagaimana tukang emas membentuk emas. Kalau emas boleh dijadikan perhiasan, bakat penulisan abg Izuan boleh dijadikan satu manhaj berdakwah kpd khalayak.

    Sy sungguh bersyukur krn telah dipertemukan dgn weblog abg Izuan. Semoga abg Izuan dpt terus menulis entry yg lebih 'pergh', bersifat membuka minda dan dpt menyemaikan sifat2 positif dalam diri pembaca, seterusnya menjadi lebih dekat kepada Pencipta.

    Wsm

    Lorenz

    ReplyDelete
  2. Wahai adik lorenz, artikel diatas bukan saya yang tulis. Kan saya ade bagitahu yg hari tu saya belek2 internet, sekali terjumpa artikel tu.

    Hmm, mana dapat tau blog ni?

    ReplyDelete
  3. Sowi abg Izuan, xperasan lak yg artikel di atas dipetik dari satu artikel di internet. Anyway well done sbb kongsikan satu artikel yg menarik.

    Saya cari lah. Kalau tak masakan nak tau blog ni. LoL.

    ReplyDelete