Dengan penat lelah yang sungguh dipenuhi dengan nafsu, aku akhirnya berjaya menghabiskan buku CATATAN SEORANG PEJUANG karya Ustaz Nasrudin Tantawi. Seorang yang sangat aku sanjungi kerana peribadi beliau yang sangat sukar untuk dicari dalam diri pemuda melayu mutakhir ini. Dengan tema " Tiada Siapa Kata Perjuangan Islam ini Mudah", maka sudah tentu buku ini menceritakan serba sedikit mengenai catatan pesanan-pesanan beliau di dalam FB untuk anak-anak buah yang sedang berjuang.
Buku ini merupakan salah satu buku dari pakej yang aku beli dari VIVENTURE. Sekali lagi, salah satu usaha tidak mensia-siakan segala yang tercatat di mukabuku. Namun, mungkin sebahagian dari ahli ilmiah tidak begitu memandang berat buku sebegini. Itu cukup difahami...
Secara keseluruhan, terdapat tiga perkara besar yang aku lihat cuba dibawakan dalam buku ni. Orang lain mungkin melihat gambaran motif yang berlainan, maka bebas sahaja untuk menyimpulkannya mengikut pandangan masing-masing.
Pertama, sangat jelas apa yang Ustaz Nasrudin cuba bawakan ialah berkenaan dengan akhlak PEMUDA GERAKAN ISLAM apabila berhadapan dengan musuh, mad'u, juga orang yang masih belum mengetahu tentang perjuangan ini. Sentiasa cuba elakkan caci maki, tuduh menuduh, buruk memburukkan orang ketika mana kita tidak sependapat dengan mereka. Memang sangat sukar, namun cuba bersungguh-sungguh apabila berhujah biarlah dengan fakta dan sentiasa ingat kita berjuang untuk Allah.
Kedua, sebahagian besar buku ini memaparkan harapan Ustaz mengenai amal Islami para pemuda agar selari dengan amal seorang pejuang yang mendambakan kemenangan. Syarat mahukan kemenangan mesti berjuang. Apabila berjuang tidak semestinya akan menang namun mudah-mudahan Allah menerima perjuangan tersebut. Banyakkan menghadiri tamrin, mukhayyam, baca Quran, Qiyamullail dan segalanya yang mampu membina jiwa seorang pendamba kemenangan.
Ketiga, bahagian akhir buku ini jelas memaparkan mengenai HUKUM HUDUD. Walaupun ringkas, namun penting untuk tatapan orang awam yang masih jarang mahu memahami. Beberapa salah faham tentang hudud turut dirungkai antaranya hak orang bukan Islam dalam perlaksanaan hukum Hudud. Paling aku jelas, bagaimana HUDUD hakikat sebenarnya bukanlah menghukum, namun satu pembebasan dari hukuman Allah apabila di akhirat kelak. Maka, tidak hairanlah ketika zaman Rasulullah datang orang mengadu dirinya berzina dan minum arak, namun nabi tidak membenarkan sahabat untuk mencaci mereka. Hakikatnya taubat mereka jauh lebih hebat daripada kita SANG PENDOSA.
PEMERGIAN USTAZ AZIZAN
Minggu lepas, dua hari air mata bercucuran membaca kisah pemergian Ustaz Azizan. Setiap kali buka Harakahdaily, mesti tidak terlepas membaca artikel mengenai Allahyarham Ustaz Azizan. Ketika mana begitu banyak konflik dalaman jemaah melanda arwah beberapa tahun lalu, aku selalu meletakkan diri menyokong beliau. Walaupun tidak pernah bertemu, aku selalu tengok video utube bagaimana beliau bercakap, berhujah dan menjawap sesuatu isu. Ternyata, ketegasan beliau sentiasa menunjukkan keikhlasan beliau dalam berkhidmat kepada Ummah. Ketika di UK, aku banyak postkan video beliau dalam blog ini.
Berbeza beliau dengan Ustaz-ustaz dan tokoh-tokoh lain ialah beliau selalu membalas KEJAHATAN dengan KEBAIKAN. Sepertimana pesan Hassan albanna, biar kita jadi seperti pokok buah. Apabila orang baling batu kat kita, kita berikan buah yang sedap kepada mereka. Ini yang buat aku begitu terpikat dengan beliau. Malah banyak aku lihat tokoh UMNO kedah yang begitu menghormati beliau.
Pemergian beliau sesuatu yang patut ditangisi. Aku sendiri tak pasti mengapa aku menangis bila baca kisah-kisah beliau, bagi aku hanya orang yang merasai kemanisan berjuang sahaja akan cemburu dengan beliau. Beliau pergi dengan meninggalkan begitu banyak sumbangan kepada ummah. Beliau berjuang dengan begitu banyak mehnah dan dugaan bukan sahaja dari musuh namun dari orang-orang dalam Jemaah sendiri. Beliau pergi diratapi begitu banyak pejuang-pejuang Islam. Adakah MAMPU untuk kita jadi sehebat beliau?
Ya Allah, terimalah amalan pejuang-pejuang ini.....
Sekian dari Syuib0809.
No comments:
Post a Comment