Ada perkara yang sangat-sangat perlu kita catatkan. 4 hari yang tidak pernah dirancang dalam diari HIDUP. Berlaku dalam sekelip mata, lalu merubah kehidupan beberapa orang yang masih HIDUP.
17 Oktober 2013
Aku duk pergi ambil adik aku kat sekolah. Oleh kerana dia sangat lambat keluar dari sekolah, maka aku tinggalkan die untuk balik dengan mak aku nanti. Sampai saja di rumah, adik aku bagitahu mak long (kakak mak aku) jatuh pengsan di sekolah. Telefon mak aku, tapi tak berangkat. Tiba-tiba Pak Teh(adik mak aku) telefon bagitahu keadaan sudah bertambah buruk. Urat di kepala dah pecah, satu effect daripada penyakit darah tinggi. Maka, kami sekeluarga bergegas ke Hospital Seremban. Rancangan untuk ke KYUEM terpaksa dibatalkan.
Sampai sudah hampir pukul 9 malam, maka sangat sukar untuk masuk ke dalam wad. Emak minta bersungguh-sungguh dan akhirnya dibenarkan masuk. Kemudian, anak Mak Long, Fadhli pula baru sampai dari Matriks dan meminta kebenaran untuk masuk. Kak Atiqah, sudah berada dalam wad sepanjang masa menemani ibunya. Jam 11.00 malam, kami beredar ke rumah Port Dickson untuk makan dan berehat.
18 Oktober 2013
Sejak malam tadi, mak duk bercerita mengenai keadaan Mak Long sebab kami yang lain tak dapat masuk. Keadaan sudah menjadi sangat teruk kerana begitu banyak salur darah di kepala yang pecah dan ia memenuhi bahagian tengah otak yang banyak melibatkan saraf Deria. Lobus Occipital dan Lobus Parietal merupakan bahagian otak yang mampu menyebabkan kecacatan penglihatan sekiranya diganggu. Maka, doktor tidak menyarankan pembedahan dijalankan kerana akan bawa kesan yang buruk dengan kebarangkalian hidup terlampau rendah. Kak Atiqah berada bersama Mak Long sepanjang hari.
Tengah hari selepas makan, kami terus bertolak ke hospital dan sampai sekitar jam 12 tengah hari. Oleh kerana kami masih tak boleh masuk, kami yang lelaki bergegas ke masjid negeri untuk menunaikan solat Jumaat. Habis solat, kami terus ke hospital dan naik ke atas. Walaupun tidak mengalirkan air mata, namun hati sebak melihat mak cik yang begitu banyak mencurahkan kasih sayang terbaring tidak sedarkan diri. Hanya alat bantuan pernafasan dan jarum-jarum membantu kehidupan. Aku duduk di sebelah, usap tangan sambil mulut mendoakan yang terbaik. Sebelum pergi, sempat aku cium tangan mak long.
Pelawat yang sangat ramai menyebabkan aku jarang berada di wad. Bagi aku apa yang paling mak long perlukan ialah DOA. Maka, itu sahaja yang mampu aku berikan. Bukan doa cepat sembuh, tetapi doa agar Allah berikan yang terbaik. Petang tu di cafe, sempat bersembang dengan Kak Atiqah yang semalaman tak makan. Kejutan yang masih belum reda. Masa yang ada aku luangkan membaca buku SOLAT: Kebaikan dari Perspektif Sains.
19 Oktober 2013
Emak terus bercerita mengenai keadaan Mak Long yang semakin panas. Suhu badan meningkat, situasi sama seperti yang aku baca dalam buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan. Lalu aku beritahu emak yang aku menjangkakan Mak Long akan "pergi" dalam beberapa hari ni insyaAllah. Bukan berprasangka buruk atau mendoakan sebegitu, namun aku harap agar mak dan orang lain bersedia dan faham. Emak sudah tunaikan tanggungjawap melawat, namun lebih baik berikan ruang kepada Pak Long selaku suami dan Nenek selaku emak untuk berada di samping Mak Long. Paling penting, biar anak-anak Mak Long bersama sepanjang tempoh ini. Mereka lebih berhak. Kedegilan untuk berada di samping mak long, banyak mengorbankan Suami, Emak dan Anak-anak yang lebih berhak untuk berbakti.
Jam 12.10 tgh hari, aku berjaya masuk ke wad tanpa ditahan mak guard. Oleh kerana bukan waktu melawat, maka tidak ramai yang berada di samping mak long. Aku bacakan surah Yassin dan doa, sambil anak-anak perempuan Mak Long mengelap badannya yang sangat-sangat panas. Aku pegang kaki mak long dan cadangkan untuk lap sekali bahagian badan yang panas dengan pakaian tebal. Sebelum balik, aku cium tangan mak long sekali lagi. Kami sekeluarga perlu pulang sebab Nabila nak balik Terengganu. Hari yang sememangnya memenatkan. Kami sampai di rumah jam 7.30 malam.
Lepas melayari internet dan update blog, aku terus tidur. Ayah aku adalah orang yang paling penat sebab memandu dari Seremban-Shah Alam, Shah Alam- Teluk Intan. Sekitar jam 1-2 pagi, adik aku kejutkan aku bagitahu Mak Long sudah pun meninggal dunia. Inna Lillah, wainna Ilahhiraju'uun. Namun, kami tidak bergegas balik kerana abah masih kepenatan. Kami dimaklumkan juga, jenazah akan dikebumikan lepas Asar.
20 Oktober 2013
Lepas solat Subuh, kami terus bergegas ke Port Dickson. Alhamdulillah, jenazah akan dikebumikan lepas Zuhur. Emak dan aku secara jujurnya merasakan lepas Asar terlampau lewat. Kami sampai sekitar jam 10 pagi dan rumah Mak Long sudah dipenuhi orang. memang kami je yang termasuk golongan "orang jauh". Aku tak dapat nak tengok mak long sebab rumah dipenuhi orang perempuan. Sebagai anak buah, aku berazam mahu menunaikan tanggungjawap yang masih berbaki. Lepas Jenazah Mak Long dimandikan, aku tolong anak-anak mak longa angkat jenazah masuk ke dalam rumah.
Waktu cium mayat, tetiba hati rasa sangat-sangat sebak dan aku sendiri tak tahu mengapa. Mungkin aku membesar melihat mak long, maka banyak kenangan yang masih berkesan di hati. Ketika mahu dimaksukan ke van jenazah, aku berebut untuk angkat jenazah sekali lagi hinggalah dipindahkan ke dalam masjid. Apa sahaja yang boleh aku tunaikan, aku cuba rebut sebaik mungkin. Semenatara menunggu azan zohor, aku duduk sebelah jenazah sambil membacakan surah Yassin. Sedih tengok jenazah keseorangan. Angin bertiup kuat menerbangkan kain yang menutupi keranda. Lalu aku ambil dan tutupkan kembali.
Selepas solat jenazah, kami bergegas ke tanah perkuburan. Aku bersama adik-adik naik kereta Fauzi. Sampai je, aku terus turun kereta sebab nak angkat keranda mak long. Pak cik yang uruskan kemudian minta anak-anak untuk turun sambut jenazah dalam lubang kubur. Abangah, Fauzi, Fadli turun dan ternyata perlukan seorang lagi. Aku agak takut untuk turun sebab tak pernah buat, tapi sebab Pak Long mintak turun maka aku pun turun dengan baju pakistan aku. Ditakdirkan aku perlu sembut bahagian kepala Mak Long. Bahagian paling penting.
Anak-anak mak long lain hanya perlu sambut, manakala aku kena buka ikatan kain kafan di kepala. Secara jujurnya memang aku takut-takut tak tahu apa nak buat. Nasib baik ada abang Jiji bagi tunjuk ajar. Satu demi satu lilitan di kepala dibuka dan kelihatan muka Mak Long. Aku rapatkan muka mak long ke dinding liang lahad dan letakkan ketulan tanah bagi menahannya. Rasa ber"tuah" diberi peluang berbakti sampai sebegitu sekali buat kali yang terakhir. Pengalaman pertama kali ini bagi aku sangat berguna untuk aku sendiri uruskan kematian keluarga aku kelak InsyaAllah.
Lepas bacaan talkin, ahli keluarga lain taburkan bunga dan siramkan air. Harap-harap semua orang faham kenapa benda ni dibuat, bukan duk main ikut je. Ada sahaja beberapa perkara yang aku kurang gemar sepanjang pengebumian, namun aku diamkan sahaja. Itu lebih memenuhi Adab. Sebaik sahaja selesai, kami pergi makan sebab sangat-sangat lapar. Pulang semula ke rumah Mak Long yang baru selesai kenduri tahlil. Lepas bertegur sapa dan bersembang seketika, kami sekeluarga minta diri terlebih dahulu kerana takut sampai lewat di Teluk Intan. Jam 9.30 malam, kami sampai di rumah.
Hebat ketentuan Allah. Mak Long hanya jatuh pengsan, kemudian koma dan menghembuskan nama yang terakhir selang beberapa hari. Sedangkan baru sahaja bertemu meraikan raya Aidiladha di Melaka dua hari sebelumnya. Maka, itu sememangnya satu KEJUTAN.
Gambar terakhir bersama ketika Hari Raya Aidilfitri tahun ni.
Memang benar, SAKIT dan TUA bukan syarat kematian. Kita yang hidup sentiasa impikan untuk bersama orang tersayang yang telah pergi meninggalkan kita di dunia. Sekiranya mahu bersama di Syurga, maka doakan SYURGA untuk mereka dan beramallah kita dengan amalan AHLI SYURGA.
Hanya doa orang berTAKWA yang diterima. Beramallah sekiranya kita berTAKWA.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
(Al-Maidah 5:27)
Sekian dari Syuib0809
takziah~mati itu pasti, hidup InsyaAllah.
ReplyDelete