Friday, 4 October 2013

EGO Kampung Boy

Bismillah.

Hari ni tiba-tiba teringat kisah-kisah waktu sekolah rendah di kampung aku, sungai tungku. Duduk di perumahan dalam kampung menyebabkan berlakunya kekeliruan identiti dalam diri. Aku ni orang kampung ke orang bandar?. Ketika di sekolah rendah, menjadi orang kampung adalah sesuatu kebanggaan. Mengaku sebagai orang kampung lebih dihargai berbanding dilabel sebagai orang bandar.

Berkawan dengan rakan-rakan yang memang rumahnya di kawasan sawah, ladang kelapa sawit dan parit menyebabkan aku kerap mahu menjadi orang kampung. Ketika di darjah 6, aku minta izin mak dan ayah untuk ke sekolah berbasikal bersama kawan-kawan. Keluar gelap-gelap jam 6.50 pagi dan berkayuh ke sekolah yang mengambil masa kira-kira 15 minit. Aku mula kerap berkunjung ke rumah kawan yang benar-benar duduk di kampung. Belajar memancing menggunakan udang dan katak, berkubang dan bersembang ikut cara diorang. Kadang-kadang apabila berada di masjid, kami akan keluar lepas solat untuk cari belalang dan katak. Kalau duduk dalam masjid, mesti ada sahaja permainan untuk dilakukan.

Masuk ke SEMESTI, KYUEM dan kemudiannya terbang belajar ke LEICESTER mendekatkan aku dengan begitu banyak orang cerdik berlatarbelakangkan bandar. Di SEMESTI suasana kampung itu masih segar  walaupun tidak seperti ketika di sekolah rendah. Namun aku sangat terasa betapa kampungnya aku apabila berada di KYUEM dan UOL. Menjadi hamba kepada pandangan mata orang sekeliling untuk berperangai seperti orang bandar. Belajar mencemburui orang lain kerana masing-masing di sini mahu menjadikan diri sebagai orang yang terbaik.

Berkawan dengan pelajar cemerlang PPC, bakal doktor mahupun Engineer, akauntan dan bakal-nakal korporat lain sentiasa mengajar diri "Jangan rasa cukup dengan diri". Slogan terbaik daripada manusia hebat yang sedikit sebanyak mencipta aku. Sentiasa outspoken dan menyuarakan kekecewaan apabila sesuatu yang mengacau/menyusahkan/menindas/menzalimi berlaku, itu juga yang banyak aku belajar dari golongan ini. MasyaAllah, memang HEBAT.

MENGANGGUR DI KAMPUNG

Kembali ke sungai tungku kali ini memberi impak berbeza kepada diri aku. Pergi ke masjid Al-Amjad, memenuhi jemputan kenduri dan menyelusuri kembali kawasan permainan ketika kecil mengajar aku sesuatu. Seronoknya menjadi orang kampung. Ada beberapa orang pak cik yang mengetuk hati aku.

Pak cik 1:
Seorang yang sangat-sangat kaya dengan aset. Ada sawah padi yang sangat luas, mesin dan jentera padi yang besar dan tanah yang besar untuk bercucuk tanam. Namun pergi ke surau pakaiannya biasa sahaja, motornya juga motor murah, rumahnya hanyalah rumah papan dengan dikelilingi anak-anak yang sudah berkeluarga. Pak cik ni letak duit bawah karpet masjid kalau-kalau ade nak kene derma ataupun orang nak pinjam. Pantang kalau ada kenduri, mesti dia akan bagi sesuatu. Ingat waktu kenduri ayah aku nak pergi masjid, dia bagi sampai 3 tandan pisang emas. Nak cerita, memang pemurah sangat orangnya.

Pak cik 2:
Seorang pak cik yang mungkin dah sampai pangkat atok untuk aku. Sejak kecil, aku selalu sangat nampak dia di masjid sampailah semalam, dia meninggal dunia. Dahsyatnya beliau walaupun umur dah lebih 80 tahun ialah masih istiqamah ke masjid dengan hanya berbasikal. Walaupun anak dah berjaya semua, namun still dengan basikal. Beliau bukanlah tok imam, ustaz mahupun mereka yang menggelar diri PEJUANG. Namun istiqamahnya dalam solat berjemaah sesuatu yang sangat sukar untuk ditiru orang-orang muda yang boleh ke masjid jauh lebih laju dengan kenderaan bermotor. Menarik, tak pernah aku dengar beliau merungut.

Pakcik-pakcik
Apabila datang sesuatu perintah, ilmu, pendapat agama kepada mereka, pasti mereka ikuti tanpa banyak bersoal. Orang bijak pandai mungkin menggelar mereka-mereka ini "PAK TURUT", namun aku memandang sesuatu yang positif daripada sikap ini. Tidak seperti orang "bandar" yang merasa diri lebih hebat, pakcik-pakcik ini mengikut kerana mereka rasa sangat rendah diri apatah lagi untuk mempertikaikan sesuatu.

BELAJAR DARI MEREKA.

Aku mahu kembali belajar dari mereka sifat-sifat sebegini. Setelah banyak yang aku belajar dari orang bandar, ternyata banyak masalah hati yang masih menyelubungi diri. Melihat kawan-kawan dari kolej mahupun di UK yang kerap mengejar kerjaya, gaji, selalu tak puas hati dengan itu ini, suka mendekati orang yang terkenal dan pelbagai lagi menyebabkan aku mungkin akan lari sedikit demi sedikit dari mereka. Bukan sikap tersebut tidak bagus, namun itu tidak banyak membantu aku mengubati hati yang kian EGO dan RIAK di hadapan manusia. Secara jujur, ini penyakit paling aku nak ubat sekarang.

Hebat orang kampung, sentiasa berasa cukup dengan PENDAPATAN SEDIKIT berbanding graduan-graduan kini yang sentiasa rasa tak cukup dengan PENDAPATAN YANG BANYAK.

Hebat orang kampung, selalu MEMBERI dengan yang sedikit, berbanding "bijak pandai" yang BERKIRA walaupun ada banyak.

Hebat orang kampung, mendapat wang dari apa yang mereka usahakan. Semakin banyak usaha, semakin banyak hasil mereka. Berbeza kita yang menerima wang tanpa kerja dari sponsor/rakyat, selalu sahaja rasa tak cukup.

Hebat orang kampung, rasa cukup walaupun diri masih kurang berbanding orang lain. Orang seperti kita sentiasa rasa tak cukup selagi diri tak lebih dari orang lain.

Sekiranya ada pangkat DG sampai 150, pasti rakan-rakan PPC aku akan mengejarnya.
Sekiranya ada lanjutan pengajian sampai 6 kali ganda lebih hebat dari pHD, pasti akan mereka ikuti.
Itu sifat orang-orang hebat, mudah-mudahan Allah membalasnya.

Namun EGO/RIA/UJUB/TAKABBUR dalam hati aku semakin membarah dengan keadaan sebegini. Mereka mungkin sesuai, namun tidak untuk orang berpenyakit hati seperti aku. Sangat menyayangi mereka, namun terpaksa aku tinggalkan sedikit demi sedikit supaya barah ini hilang. Dalam tempoh 5 tahun dari sekarang, mungkin mereka akan hilang dari kehidupan aku dan sebaliknya, lalu aku berangan-angan....

Aku hidup di kampung untuk terus menjadi orang kampung. Ceritakan kepada anak-anak mengenai kawan-kawan yang sudah masuk TV, menjadi orang besar-besar malah hidup kaya raya dengan DG52. Dan indahnya apabila semua itu aku ceritakan dalam keadaan hati rasa CUKUP tanpa rasa dengki dengan kejayaan rakan-rakan.



Sekian dari Syuib0809.

No comments:

Post a Comment