Tuesday, 29 October 2013

Hilang Islam dengan bahasa

Bismillah.

Sedikit sahaja mahu berkongsi beberapa maklumat daripada buku NOORAH. Supaya aku boleh ingat bila aku menulis di sini.

Di bahagian kedua buku ni banyak menceritakan hubungan ilmu antara Orang Islam dan Eropah. Kehebatan mereka mempelajari bahasa semata-mata kerana ilmu. Namun, ilmuwan tidak terus menggalakkan semua hasil ilmu dipelajari dalam bahasa asing, sebaliknya memanfaatkan kemahiran menterjemah agar orang awam pula mampu menguasainya. Seterusnya, menghapuskan kebergantungan kepada bangsa lain dalam sudut keilmuan. Ini yang berlaku apabila begitu ramai ilmuan islam memanfaatkan ilmu-ilmu dari Tamadun Yunani.

Keadaan agak menarik berlaku apabila Eropah berada dalam zaman kegelapan. Sebahagian kecil yang gilakan ilmu akhirnya menjadikan orang Islam sebagai ikutan mereka. Lahirnya golongan MOZARAB yang bertutur dan berbudaya arab. Mereka tidak berhenti di situ sahaja. Apa yang mereka dapat akhirnya di"tukar" kepada bahasa mereka agar kesan ISLAM itu hilang. Mereka bangun dengan Renaissance.

Lalu.....
al-kimya menjadi alchemy
al-kuhl menjadi alcohol
al-qali menjadi alkali
al-jabr menjadi algebra
sukkar kepada sugar

Mereka kemudian memperkembangkan ilmu-ilmu ini sepertimana yang dibuat oleh Umat Islam sebelum-sebelum itu. Bukan sekadar copy dan paste, atau larut dalam kehebatan bahasa ilmu terbabit. Mereka memperhebatkan bahasa mereka menjadi bahasa ILMU. Ilmuan Islam seolah-olah hilang dalam kamus dunia.

Rupa-rupanya..
Ibnu-Sina menjadi orang putih bernama Avicenna
Al-Farghani tiba-tiba dikenali sebagai Alfarganus
Jabir Aflah berubah jadi Geber Aflae
Ar-Razi bertukar kepada Rhazes
Ibn al-Haytam tup tup jadi Alhazen 

Umat yang terlampau bergantung kepada bahasa bangsa lain, tidak akan mampu memotong bangsa yang mereka ikuti.



Sekian dari Syuib0809

Sunday, 27 October 2013

Noorah Menang!!

Bismillah.

Okeh, aku update terus pasal 3 buah buku. Asyik tertangguh je kejenya. Kita ikut susunan masa.

SOLAT: Kebaikan dari perspektif Sains

Buku ni dibahagikan kepada 7 bahagian. Dimulakan dengan apa itu solat dan pergerakan yang terlibat di dalamnya. Kemudian mengenai beberapa istilah pengukuran badan yang berkaitan dengan beberapa tabiat solat sempurna. Bab-bab seterusnya bagaimana amalan/pergerakan solat memberi kesan kepada jantung, pinggang, otak, otot dan fungsi seksual. Secara keseluruhan, buku ni kurang menetapi jangkaan aku dan mungkin tidak keterlaluan aku katakan pembaca boleh sekadar membaca penutup di mukasurat 109, kerana itu sudah menyatakan segala-galanya mengenai buku ni.


Namun, pujian patut diberikan kepada usaha pengkaji-pengkaji UM ini yang berjaya menunjukkan fakta, bukan lagi kata-kata kosong mengenai kebaikan solat. Buku ni juga boleh menambah pengetahuan serba sedikit mengenai istilah-istilah perubatan. Buku nipis sekitar 110 mukasurat ni berharga RM29.90. Mahal gak lah sebenarnya. Mungkin kerana kulit bewarna yang kertasnya tebal.

100 Pesanan Terakhir Rasulullah.


Buku ni aku jumpa kat rumah, tak tahu siapa yang beli. Cop best seller menyebabkan aku pun bacalah buku ni. Buku yang tebal dengan 416 m/s, tetapi aku stop pada mukasurat 150. Aku tertanya-tanya apa yang bestsellernya kat malaysia ini. Memang apa yang dinukilkan perkara-perkara baik dan bagus, namun aku sukar menemui 'roh' penulisannya. Mungkin hati aku yang kian mati menyebabkan aku tidak begitu menjiwai apa yang cuba disampaikan. Pertama kali aku baca buku penulisan Ustaz Nasruddin Dasuki, maka label Bestseller menyebabkan aku menjangkakan sesuatu yang BOMBASTIK!!. Buku ni menceritakan mengenai beberapa amalan, sikap, akhlak yang perlu kita contohi dari Nabi dan para sahabat. Beberapa petikan ayat Al-Quran dan potongan hadis menghiasi hampir setiap pesanan. InsyaAllah, orang lain mungkin pandang sesuatu yang aku tidak nampak dari buku ni, wallahualam.


NOORAH.

Simple sahaja tajuk buku ni. Karya Ummu Hani. Aku dah lama nak beli buku ni sebab Solehati(kawan sekolah) kata buku ni best. Tapi sukar nak jumpa kat kedai biasa. Entah macam mana, boleh terserempak dekat RnR Sungai Buloh. Tak fikir panjang, terus aku rembat. Aku bawak buku ni semalam dalam perjalanan ke Pulau Pangkor. Ada buku yang memang kita akan rasa seronok je baca, dan aku habiskan buku ni hari ni. 293 mukasurat untuk dua hari, maksudnya buku ni memang MANTOP!!

Buku ni menceritakan mengenai seorang gadis britain beragama kristian yang mula tidak lagi percaya kepada TUHAN kerana kehidupannya yang sangat menyakitkan. Namun, akhirnya mendapat nikmat Iman dan mendalami Islam jauh lebih hebat dari orang Islam sendiri. Waktu ni, memang terbukti akhlak muslim adalah pendekatan dakwah yang acap kali menandingi kemahiran berkata semata-mata. Perasaan marah membuak-buak bilamana begitu banyak orang Islam yang menzalimi wanita ini. Suami pertama beliau dari Libya melarikan anak-anaknya. Orang yang disangka alim rupa-rupanya panas baran dan punyai akhlak yang sungguh menyakitkan hati. Membaca kisah sampai di sini sahaja sudah menyuntik begitu banyak perasaan dan muhasabah diri.



Kisah disambung dengan pelbagai ujian yang dialami Noorah terutamanya masalah kesihatan dan ujian keluarga. Antara yang aku tertarik ialah mengenai sekumpulan rakyat Malaysia yang bernasyid di Hyde park, kemudian menjadikan beliau berkampung sebentar di Malaysia, di Sungai PENCHALA!!. Walaupun tidak disebutkan dalam buku ni mengenai Al-Arqam, aku masih kagum dengan kehebatan kumpulan ni mewujudkan suasana Islam dalam perkampungan ni. Teringin aku nak tengok kehebatan tersebut. Youtube semata-mata tidak mencukupi.

Dibahagian akhir, buku ni sarat dengan fakta sejarah kehebatan islam yang sekali lagi menarik perhatian pembaca. Bagaiman Islam di eropah, kemasukannya di Britain, dakwah dan segala-galanya yang menjadikan buku ni bukan sekadar sebuah travelog. Penceritaan buku ni yang berlansung di UK, menjadikan buku ni begitu dekat di hati. Aku masih merindui negara tersebut. Negara orang bukan Islam, yang kerajaannya jauh lebih Islamik dari sudut kebajikan. Kebebasan berdakwah begitu luas dan pelbagai. Allahuakhbar.

Berbaloi sangat beli buku ni. Cuma aku tak menangis membaca buku ni sebab suasana tempat tak begitu optimum. Lokasi pembacaan ialah di AEON manjung, Pantai Teluk Nipah(pangkor) dan atas ferri. Haha. Banyak lagi benda best yang tak mampu diceritakan di sini.



Itu sahaja.

Sekian dari Syuib0809.




Monday, 21 October 2013

Kejutan itu perkhabaran dari Allah.

Bismillah.

Ada perkara yang sangat-sangat perlu kita catatkan. 4 hari yang tidak pernah dirancang dalam diari HIDUP. Berlaku dalam sekelip mata, lalu merubah kehidupan beberapa orang yang masih HIDUP.

17 Oktober 2013

Aku duk pergi ambil adik aku kat sekolah. Oleh kerana dia sangat lambat keluar dari sekolah, maka aku tinggalkan die untuk balik dengan mak aku nanti. Sampai saja di rumah, adik aku bagitahu mak long (kakak mak aku) jatuh pengsan di sekolah. Telefon mak aku, tapi tak berangkat. Tiba-tiba Pak Teh(adik mak aku) telefon bagitahu keadaan sudah bertambah buruk. Urat di kepala dah pecah, satu effect daripada penyakit darah tinggi. Maka, kami sekeluarga bergegas ke Hospital Seremban. Rancangan untuk ke KYUEM terpaksa dibatalkan.

Sampai sudah hampir pukul 9 malam, maka sangat sukar untuk masuk ke dalam wad. Emak minta bersungguh-sungguh dan akhirnya dibenarkan masuk. Kemudian, anak Mak Long, Fadhli pula baru sampai dari Matriks dan meminta kebenaran untuk masuk. Kak Atiqah, sudah berada dalam wad sepanjang masa menemani ibunya. Jam 11.00 malam, kami beredar ke rumah Port Dickson untuk makan dan berehat.

18 Oktober 2013

Sejak malam tadi, mak duk bercerita mengenai keadaan Mak Long sebab kami yang lain tak dapat masuk. Keadaan sudah menjadi sangat teruk kerana begitu banyak salur darah di kepala yang pecah dan ia memenuhi bahagian tengah otak yang banyak melibatkan saraf Deria. Lobus Occipital dan Lobus Parietal merupakan bahagian otak yang mampu menyebabkan kecacatan penglihatan sekiranya diganggu. Maka, doktor tidak menyarankan pembedahan dijalankan kerana akan bawa kesan yang buruk dengan kebarangkalian hidup terlampau rendah. Kak Atiqah berada bersama Mak Long sepanjang hari.

Tengah hari selepas makan, kami terus bertolak ke hospital dan sampai sekitar jam 12 tengah hari. Oleh kerana kami masih tak boleh masuk, kami yang lelaki bergegas ke masjid negeri untuk menunaikan solat Jumaat. Habis solat, kami terus ke hospital dan naik ke atas. Walaupun tidak mengalirkan air mata, namun hati sebak melihat mak cik yang begitu banyak mencurahkan kasih sayang terbaring tidak sedarkan diri. Hanya alat bantuan pernafasan dan jarum-jarum membantu kehidupan. Aku duduk di sebelah, usap tangan sambil mulut mendoakan yang terbaik. Sebelum pergi, sempat aku cium tangan mak long.

Pelawat yang sangat ramai menyebabkan aku jarang berada di wad. Bagi aku apa yang paling mak long perlukan ialah DOA. Maka, itu sahaja yang mampu aku berikan. Bukan doa cepat sembuh, tetapi doa agar Allah berikan yang terbaik. Petang tu di cafe, sempat bersembang dengan Kak Atiqah yang semalaman tak makan. Kejutan yang masih belum reda. Masa yang ada aku luangkan membaca buku SOLAT: Kebaikan dari Perspektif Sains.

19 Oktober 2013

Emak terus bercerita mengenai keadaan Mak Long yang semakin panas. Suhu badan meningkat, situasi sama seperti yang aku baca dalam buku Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan. Lalu aku beritahu emak yang aku menjangkakan Mak Long akan "pergi" dalam beberapa hari ni insyaAllah. Bukan berprasangka buruk atau mendoakan sebegitu, namun aku harap agar mak dan orang lain bersedia dan faham. Emak sudah tunaikan tanggungjawap melawat, namun lebih baik berikan ruang kepada Pak Long selaku suami dan Nenek selaku emak untuk berada di samping Mak Long. Paling penting, biar anak-anak Mak Long bersama sepanjang tempoh ini. Mereka lebih berhak. Kedegilan untuk berada di samping mak long, banyak mengorbankan Suami, Emak dan Anak-anak yang lebih berhak untuk berbakti.

Jam 12.10 tgh hari, aku berjaya masuk ke wad tanpa ditahan mak guard. Oleh kerana bukan waktu melawat, maka tidak ramai yang berada di samping mak long. Aku bacakan surah Yassin dan doa, sambil anak-anak perempuan Mak Long mengelap badannya yang sangat-sangat panas. Aku pegang kaki mak long dan cadangkan untuk lap sekali bahagian badan yang panas dengan pakaian tebal. Sebelum balik, aku cium tangan mak long sekali lagi. Kami sekeluarga perlu pulang sebab Nabila nak balik Terengganu. Hari yang sememangnya memenatkan. Kami sampai di rumah jam 7.30 malam.

Lepas melayari internet dan update blog, aku terus tidur. Ayah aku adalah orang yang paling penat sebab memandu dari Seremban-Shah Alam, Shah Alam- Teluk Intan. Sekitar jam 1-2 pagi, adik aku kejutkan aku bagitahu Mak Long sudah pun meninggal dunia. Inna Lillah, wainna Ilahhiraju'uun. Namun, kami tidak bergegas balik kerana abah masih kepenatan. Kami dimaklumkan juga, jenazah akan dikebumikan lepas Asar.

20 Oktober 2013

Lepas solat Subuh, kami terus bergegas ke Port Dickson. Alhamdulillah, jenazah akan dikebumikan lepas Zuhur. Emak dan aku secara jujurnya merasakan lepas Asar terlampau lewat. Kami sampai sekitar jam 10 pagi dan rumah Mak Long sudah dipenuhi orang. memang kami je yang termasuk golongan "orang jauh". Aku tak dapat nak tengok mak long sebab rumah dipenuhi orang perempuan. Sebagai anak buah, aku berazam mahu menunaikan tanggungjawap yang masih berbaki. Lepas Jenazah Mak Long dimandikan, aku tolong anak-anak mak longa angkat jenazah masuk ke dalam rumah.

Waktu cium mayat, tetiba hati rasa sangat-sangat sebak dan aku sendiri tak tahu mengapa. Mungkin aku membesar melihat mak long, maka banyak kenangan yang masih berkesan di hati. Ketika mahu dimaksukan ke van jenazah, aku berebut untuk angkat jenazah sekali lagi hinggalah dipindahkan ke dalam masjid. Apa sahaja yang boleh aku tunaikan, aku cuba rebut sebaik mungkin. Semenatara menunggu azan zohor, aku duduk sebelah jenazah sambil membacakan surah Yassin. Sedih tengok jenazah keseorangan. Angin bertiup kuat menerbangkan kain yang menutupi keranda. Lalu aku ambil dan tutupkan kembali.

Selepas solat jenazah, kami bergegas ke tanah perkuburan. Aku bersama adik-adik naik kereta Fauzi. Sampai je, aku terus turun kereta sebab nak angkat keranda mak long. Pak cik yang uruskan kemudian minta anak-anak untuk turun sambut jenazah dalam lubang kubur. Abangah, Fauzi, Fadli turun dan ternyata perlukan seorang lagi. Aku agak takut untuk turun sebab tak pernah buat, tapi sebab Pak Long mintak turun maka aku pun turun dengan baju pakistan aku. Ditakdirkan aku perlu sembut bahagian kepala Mak Long. Bahagian paling penting.

Anak-anak mak long lain hanya perlu sambut, manakala aku kena buka ikatan kain kafan di kepala. Secara jujurnya memang aku takut-takut tak tahu apa nak buat. Nasib baik ada abang Jiji bagi tunjuk ajar. Satu demi satu lilitan di kepala dibuka dan kelihatan muka Mak Long. Aku rapatkan muka mak long ke dinding liang lahad dan letakkan ketulan tanah bagi menahannya. Rasa ber"tuah" diberi peluang berbakti sampai sebegitu sekali buat kali yang terakhir. Pengalaman pertama kali ini bagi aku sangat berguna untuk aku sendiri uruskan kematian keluarga aku kelak InsyaAllah.

Lepas bacaan talkin, ahli keluarga lain taburkan bunga dan siramkan air. Harap-harap semua orang faham kenapa benda ni dibuat, bukan duk main ikut je. Ada sahaja beberapa perkara yang aku kurang gemar sepanjang pengebumian, namun aku diamkan sahaja. Itu lebih memenuhi Adab. Sebaik sahaja selesai, kami pergi makan sebab sangat-sangat lapar. Pulang semula ke rumah Mak Long yang baru selesai kenduri tahlil. Lepas bertegur sapa dan bersembang seketika, kami sekeluarga minta diri terlebih dahulu kerana takut sampai lewat di Teluk Intan. Jam 9.30 malam, kami sampai di rumah.

Hebat ketentuan Allah. Mak Long hanya jatuh pengsan, kemudian koma dan menghembuskan nama yang terakhir selang beberapa hari. Sedangkan baru sahaja bertemu meraikan raya Aidiladha di Melaka dua hari sebelumnya. Maka, itu sememangnya satu KEJUTAN.

Gambar terakhir bersama ketika Hari Raya Aidilfitri tahun ni.

Memang benar, SAKIT dan TUA bukan syarat kematian. Kita yang hidup sentiasa impikan untuk bersama orang tersayang yang telah pergi meninggalkan kita di dunia. Sekiranya mahu bersama di Syurga, maka doakan SYURGA untuk mereka dan beramallah kita dengan amalan AHLI SYURGA.

Hanya doa orang berTAKWA yang diterima. Beramallah sekiranya kita berTAKWA.

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;

 (Al-Maidah 5:27)

Sekian dari Syuib0809

Saturday, 19 October 2013

Contoh Cerpen Kanak-kanak.

Bismillah.

Al kisah seorang pemuda bernama Zu. Hidupnya dihabiskan bermati-matian untuk sebuah persatuan yang disertainya semenjak Aqil baligh. Minat yang sama, cara berfikir yang sama, gerak kerja yang padu menyebabkan Zu begitu sayang persatuan ini. Mari kita labelkan persatuan ini sebagai kumpulan OREN. Kumpulan OREN begitu sibuk membuat seribu satu aktiviti untuk masyarakat, maka hubungan sesama mereka sentiasa rapat. Masa lapang, sentiasa diluangkan untuk aktiviti bermanfaat bersama ahli kumpulan. Oh ye, kumpulan ini peminat setia menu Ayam masak Merah.

Pesaing utama kumpulan ini ialah kumpulan Merah Jambu. Errkk.. Mendengar namanya saja sudah menyebabkan Zu dan rakan-rakan naik menyampah. Kumpulan Merah Jambu juga tidak jauh berbeza seperti kumpulan OREN. Mereka juga banyak menyumbang kepada masyarakat dengan pelbagai aktiviti menarik yang bermanfaat. Namun, cara dan pendekatan mereka sangat berbeza. Oren dan Merah Jambu tiada masalah apa-apa apabila membuat aktiviti. Tiada provokasi antara satu sama lain.

Keadaan menjadi keruh apabila mereka mahu mengajak Junior-junior mereka yang baru masuk PEjABAT untuk menyertai mereka. Arghh.. sangat menakutkan..

Dalam kumpulan Merah Jambu, ada seorang gadis bernama Ati yang punyai semangat sama seperti Zu. Di pejabat, Ati terkenal sebagai seorang yang sangat memilih perihal Jodoh. Wajahnya yang cantik dan perwatakan solehahnya, sudah pasti mengundang perhatian mereka-mereka yang berada di pejabat. Namun, ramai yang tidak berani mendekati kerana tahu Ati hanya mahu pemuda dari kumpulan Merah Jambu. Mimpinya INDAH... berkongsi makanan kegemaran yang sama dengan suami, iaitu Ayam masak Kicap.

Sebagai seorang yang senior dalam kumpulan OREN, Zu selalu menasihati rakan-rakan dan juniornya agar mencari pasangan yang berkongsi pandangan sama, yang sudah tentunya gadis dari kumpulan mereka sendiri. Bertahun-tahun Zu selitkan nasihat tersebut kerana Zu sangat masak terhadap masalah, apabila pasangan yang dipilih bukan dari kumpulan Oren. Saban hari, Zu mencari pasangannya dari kumpulan Oren. Namun, tidak juga berjumpa. Itulah akibat bila orang tak HENSEM. Haha.

Dalam pejabat, Zu selalu kacau Ati kerana sifat gadis tersebut yang terlalu memilih. Walaupun mereka berada pada kumpulan yang berbeza, namun hubungan mereka baik-baik sahaja. Kerap kali Zu berkata kepada Ati "Weyh Ati, jom kahwin dengan aku nak tak!". Kadang-kadang Zu turut menambah "Ati, kalau aku nak masuk meminang, berapa mas kahwin mak ayah kau mintak eh?".. Pelbagai lagi gurauan yang Zu sendiri sudah pasti tidak akan menjadi kenyataan. Siapa tak kenal si Ati, kumpulan Merah Jambu je eh..

Gurauan Zu akhirnya memakan diri.. Dia jatuh cinta......... pada gadis yang bukan dari kumpulan Oren..

Si Ati.

Rakan-rakan Zu dari kumpulan Oren memandang serius gurauannya. Mereka malah membantu kerana mereka tidak "sekeras" Zu dalam perihal Jodoh. Ati pula seolah-olah memberi respon positif. Ibu bapa Ati dan Zu masing-masing tidak punyai masalah memiliki menantu dari mana-mana kumpulan. Malah mereka tidak sabar menanti mahu menimang cucu.

Masalah utamanya ialah Zu.
Kerap kali bermain dalam Minda Zu "Adakah Allah mahu menguji apa yang selalu aku cakapkan selama ini? Tak malu ke kau Zu, dulu bukan main kata jangan kahwin dengan kumpulan lain"

Melihat dari sudut positif, Zu berkata dalam diri
"Mungkin ini teguran Allah kepada kau Zu, tak salah kahwin dengan kumpulan lain. Next time, berhati-hati bila nak promote sumething" "Apa masalahnya makan ayam masak kicap pun?"

Akhirnya Zu senyap sahaja. Berhenti mengorat Ati, walaupun hatinya sekarang hanya ada Ati.
Siapalah yang nak tolong buatkan keputusan untuk Zu? Penghalang utama bukan orang lain, hanyalah Zu..

CINTA YANG TERHALANG KERANA DIRI SENDIRI..

Tamat... Haha.
Dahsyat cerita budak-budak, macam manalah bayangan macam ni boleh ada dalam fikiran diorang?


Sekian dari Syuib0809

Wednesday, 16 October 2013

Rahsia Islam di China

Bismillah.

Alhamdulillah, selesai sudah membaca buku Rahsia ISLAM di China, Gemilang di Sebalik Tembok Besar. Pertama kali aku beli buku Ann Wan Seng yang rata-ratanya akan terpapar namanya di kedai buku. Memang beliau banyak menulis buku ni. Buku ni bukanlah buku baru, tahun 2008 sudah diterbitkan. Aku banyak tau pasal Ann Wan Seng ni tahun 2011 bila tengok video dia bagi Talk kat pejabat Harakah. Lepas dengar cerita dia, terus aku search video-video muslim di China.



Buku ni sangat menarik untuk dibaca apatah lagi bagi mereka-mereka yan racist. Separuh buku ni banyak menceritakan mengenai kedatangan Islam dan keadaan mereka di setiap Dinasti. Dinasti pertama yang menerima kedatangan Islam ialah Dinasti Tang, selari dengan zaman pemerintahan Khulafa Arrasyidin. Tercatat nama Saad bin Abi Waqqash, namun terlampau lemah untuk mengaitkan nama ini dengan sahabat nabi tersebut. Mungkin orang lain yang mempunyai nama serupa.

Dari buku ni, kita boleh tahu sedikit sebanyak mengenai Dinasti-dinasti di China yang sememangnya bermula sangat lama. Menarik bilamana Dinasti Tang jatuh kerana layanan teruk terhadap pedagang Islam di penghujung permerintahan. Kerugian yang ketara kerana peralihan/pemindahan umat Islam akhirnya menyebabkan Dinasti Sung/Song mengambil Alih. Kesedaran mengenai kepentingan pedagang arab mengukuhkan penyebaran Islam di bumi China. Antara part yang sangat menarik juga ialah mengenai kerajaan Mongol yang ketika itu memegang gelaran Dinasti Yuan. Mereka yang terkenal sebagai gergasi tentera yang kejam hakikatnya hanya pandai menakhluk dan memusnahkan sesebuah negara. Lemah dalam usaha pentadbiran menyebabkan mereka menyerahkan banyak jawatan pentadbiran kepada orang Islam. Berbeza dengan dasar mereka pada kerajaan Abbasiyah. Banyak lagi cerita menarik dalam ni...

Aku mula menyedari bagaimana orang Turkey boleh ada muka sedikit kecina-cinaan melalui buku ni. Banyak sebenarnya orang Turkey yang menjalankan perniagaan di China, malah sebahagian muslim di China boleh bertutur dengan percampuran bahasa yang dikenali sebagai Turki-Altaic. Antara masyarakat muslim terbesar di China ialah Etnik Hui dan Uyghur. Melihat kepada dokumentari, mungkin kita akan mempersoalkan amalan Islam mereka yang kelihatan sedikit ber"celaru" atau lemah. Melalui buku ni, kita akan faham bagaimana perkara tersebut boleh berlaku bermula dari beberapa fahaman yang masuk ke China, hinggalah sekatan dari kerajaan Republik Kuomintang serta Revolusi Kebudayaan(1966-1968) oleh Komunis.

Cara penulisan buku ni yang kerap berulang-ulang memudahkan pembaca untuk mengingati beberapa fakta penting kerana istilah-istilah Cina agak luar biasa bagi kita, orang melayu. Nak hafal nama yang pelik-pelik memang sangat sukar. Cuma biasanya nama tokoh-tokoh muslim dia akan mula dengan Ma yang bermaksud Muhammad. Sedikit kritikan dari aku ialah buku ni seolah-olah kesan pencampuran maklumat dalam buku lain yang dipersembahkan dalam satu buku. Mungkin lebih menarik dan Ilmiah sekiranya ia merupakan kajian penulis dan penulis sendiri pergi ke sana meneliti kisah sebenar. Wallahualam.





Sekian dari Syuib08009.

Monday, 14 October 2013

Random awal Zulhijah

Bismillah

Tiga buah buku yang baru dibeli-belahkan semalam. Satu buku sejarah, satu buku sains Islam dan satu buku sunnatullah lelaki dan wanita. Punyalah banyak buku dekat POPULAR manjung ni, tapi tiga ni yang berkenan di hati. InsyaAllah akan ulas buku ni bila dah habis baca.


 

Aku memang teringin nak tahu pasal Umat islam di China. Waktu kat UK, aku pernah dengar talk dari Ann Wan Seng dan tengok beberapa dokumentari Islam di China melalui youtube. Memang menarik. Buku Sains Solat tu pula aku beli sebab Dr fadzil HEP IPG promote waktu tazkirah Ramadhan Zohor beberapa bulan yang lalu. Aku takde minat sangat, tapi baca jelah dulu. Buku Why Men don't listen..... tu plak aku aku beli sebab teringat kepada seorang junior IPG, azizi yang beriya sangat cari buku ni. Sekadar memahami manusia dengan lebih mendalam. Tiada niat nak jadi pengorat ke apa.

Baru-baru ni memang aku tak banyak fikir pasal kahwin, banyak aku fikir pasal RUMAH je. Ntah, tak tahu pasal apa aku banyak terbayang rumah kecil yang ingin dibina. beberapa design berlegar dalam kepala. Antara design yang turut diambil kira ialah design chalet KYUEM dan design bilik Felda Residence yang baru-baru ni aku pergi. Tema rumah ialah rumah bujang yang kecil dan murah, namun dibina atas tapak yang luas supaya boleh tambah-tambah bila dah banyak duit.

Bukan apa, teringin nak ada meja kerja, kawasan berehat sendiri seperti di UK.



Hmm, banyak benda nak cerita namun tak berapa menarik. Dua hari lepas sempat bertemu sahabat-sahabat SEMESTI yang lama tak berjumpa. Ada yang kereta masuk dalam sungai, ada yang bercerita pasal kerjaya dan ada juga cerita mengenai rakan-rakan yang pelbagai ragam lagi. Cuma menariknya, pertemuan tersebut diakhiri dengan dua undangan majlis walimah yang bakal berlansung hujung tahun ni. Bila tengok kawan kahwin, memang teringin nak kahwin. Dan waktu ni lah niat kahwin selalu salah. Apepun 22hb dan 28hb Disember majlis tersebut bakal berlansung, maka memang lengkaplah setiap minggu akan ada sahaja kenduri untuk dihadiri. Tahniah!!




Sekian dari Syuib0809.

Wednesday, 9 October 2013

Mustahil!! Ingatlah Tempatmu di Akhirat

Bismillah.

Seronok menganggur..
Alhamdulillah, selesai sebuah buku dari tuan guru Nik Abdul Aziz. Ingatkan buku ni buku baru, rupa-rupanya dah tiga tahun dah dikeluarkan. Aku beli buku ni bersama dengan dua buah buku lain iaiatu "jesus adalah muslim" dan Nota fikir untuk zikir. Cuma tertangguh nak baca. Tajuk buku ni "Ingatlah, Tempatmu di Akhirat".

Melihat kepada kulit dan bentuk tulisan, mungkin mengundang prasangka buku ni kurang menarik. Namun hakikatnya sangat mudah untuk diikuti segala yang diterangkan oleh Tuan Guru. Kehebatan TGNA dalam menerangkan AlQuran dan Hadith mengikut bahasa orang Melayu. Maka, buku ini menjadi ringan untuk dibaca. Secara keseluruhan, buku ini mengaitkan manusia dengan Alam Akhirat, Syurga dan Neraka.



Ada beberapa perkara menarik yang aku tandakan di buku ni.

Kadang-kadang kita sendiri sukar mempercayai hebatnya Syurga dan Neraka. Orang kafir juga mungkin mengejek bagaimana begitu hebatnya nikmat di syurga dan dahsyatnya hukuman di neraka yang kita percaya. Kalimah "mustahil" ini hakikatnya sudah pun kita percaya sejak di dunia lagi. Bayangkan Hang Tuah mungkin separuh gila kalau melihat "Ipad" dan "Internet" yang sedang digunakan dunia hari ini. Kita juga mungkin tak terbayang bagaimana orang dulu-dulu boleh hidup tanpa elektrik. Sekiranya perbezaan Zaman pun kita sudah meletakkan kalimah MUSTAHIL, apatah lagi perbezaan ALAM. Pastinya lebih banyak perkara mustahil!!

Ihsan, bahasa orang melayu ialah Ikhlas.
Mengabdikan diri jauh lebih luas maknanya daripada beribadah

Antara kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku ni ialah mengenai Pengislaman Panglima Khalid Al-Walid, si pedang Allah. Pertama kali aku dengar, maka sangat-sangat menarik. Selain itu, terdapat juga kisah sahabat bernama Abu ad-Dahdah. AllahuAkhbar, hebat sungguh beliau dan keimanannya terhadap hari Akhirat. Kebun al-Haninah menjadi tiket untuk Abu ad-Dahdah bersama isteri, anak-anaknya di syurga. kalau orang lain kena keluar rumah kerana dihalau, tanah tergadai, namun ad-Dahdah meninggalkan rumahnya dengan cara paling tak mungkin ada pada diri kita. Bacalah..

Kisah lain yang menarik ialah kisah seorang wali bernama Ibrahim bin Adham. Kisah ini mirip dengan sebuah kisah dari buku angguk geleng sebelum ini. Dalam buku Ustaz Pahrol tu, seorang raja sedang berehat-rehat lalu terpandang seorang pengembala kambing di atap istananya. Dalam buku ni pula, Ibrahim b Adham yang begitu bersenang dengan kekayaannya pula terserempak penternak lembu dibumbung rumahnya. Mesej dari penternak/pengembala sangat HEBAT. Mereka sedang mencari binatang ternakan mereka di bumbung rumah. MUSTAHIL!!

MUSTAHIL kamu kata kamu mahu syurga, sedangkan kamu begitu bersenang-lenang dalam kehidupan kamu di dunia ini. Itu sahaja mesejnya. Mengubah raja menjadi HAMBA, mengubah si kaya menjadi WALI.

Hebat buku ni, beli dan bacalah.



Sekian dari Syuib0809

Sunday, 6 October 2013

Belajar tanpa kitab

Bismillah

Aku kongsikan sebuah lagi buku Ustaz Pahrol iaitu ANGGUK GELENG: Himpunan Kisah Dakwah Satira yang juga dihasilkan bersama saudari Husna Hassan. Walaupun dah lama sebenarnya tengok buku ni, tapi tak terasa nak beli sebab menganggap buku ni mesti banyak bermain kata-kata. Namun, sangat menarik untuk dibaca dan mengimbau memori lama.

Ketika di KYUEM, kami selalu dihidangkan dengan tazkirah-tazkirah pendek selepas solat Subuh dan Asar. Biasanya penyampai-penyampai akan banyak membawa kisah analogi yang banyak memberi pengajaran kepada pendengar. Mungkin memang tahap ketika itu, hanya sebahagian kecil lepasan KISAS atau MAAHAD yang akan membawa pengisian yang lebih berat. Kebanyakan kisah analogi yang aku dengar di kolej majoritinya dinukilkan dalam buku ini.

Antara kisah-kisah yang pernah aku dengar ialah Ritual tanpa Spiritual, Syirik kerana sebatang pokok, paku yang lekat di hati, Doaku untuk mu dan banyak lagi. Namun, membacanya sekali lagi masih menyeronokkan dan memberi begitu banyak motivasi. Antara kisah yang menjadi kegemaran aku ialah "apabila monyet menjadi HAKIM" dan "Dengar dengan hati". Pertama kali dengar..



Buku ini sangat sesuai untuk remaja yang berjinak-jinak dalam dakwah. Ketika ini, semangat remaja berada pada tahap yang sangat tinggi namun kekurangan "bahan" untuk dikongsikan. Maka sangat-sangat mencadangkan buku ringan ini untuk dihadam dan dikongsikan sebagai bahan dakwah. Mengajar HIKMAH kepada manusia tanpa kitab. Ada sebahagian cerita yang nampak seperti "tangkap muat" kerana mutu cerita yang pelik, namun itu boleh sahaja diabaikan. Mungkin ramai lagi yang akan nampak dan dapat sesuatu dari cerita tersebut berbanding aku. InsyaAllah.

BUKU LISA NURISHA.

Antara buku-buku terkini yang aku ingin dapatkan ialah buku Oh London! dan Andalusia, Here We Come. Dua buku ni ditulis oleh seorang kenalan perempuan yang 4 tahun aku belajar dengan dia, namun sangat awkward. Entah macam mana aku nak dapatkan buku ni kat Teluk Intan. Nak beli direct dari dia, macam "felik".. haha



Teringin sebenarnya nak baca hasil-hasil penulisan kawan yang kita kenal. Kadang-kadang nampak kawan kita macam biasa saja, namun hakikatnya mungkin luar biasa. Dan kenal seseorang setelah berjumpa sangat-sangat berlainan apabila berkenalan dengan tulisannya. Mudah-mudahan beliau berjaya InshaAllah.

Sekian dari Syuib0809.

Friday, 4 October 2013

EGO Kampung Boy

Bismillah.

Hari ni tiba-tiba teringat kisah-kisah waktu sekolah rendah di kampung aku, sungai tungku. Duduk di perumahan dalam kampung menyebabkan berlakunya kekeliruan identiti dalam diri. Aku ni orang kampung ke orang bandar?. Ketika di sekolah rendah, menjadi orang kampung adalah sesuatu kebanggaan. Mengaku sebagai orang kampung lebih dihargai berbanding dilabel sebagai orang bandar.

Berkawan dengan rakan-rakan yang memang rumahnya di kawasan sawah, ladang kelapa sawit dan parit menyebabkan aku kerap mahu menjadi orang kampung. Ketika di darjah 6, aku minta izin mak dan ayah untuk ke sekolah berbasikal bersama kawan-kawan. Keluar gelap-gelap jam 6.50 pagi dan berkayuh ke sekolah yang mengambil masa kira-kira 15 minit. Aku mula kerap berkunjung ke rumah kawan yang benar-benar duduk di kampung. Belajar memancing menggunakan udang dan katak, berkubang dan bersembang ikut cara diorang. Kadang-kadang apabila berada di masjid, kami akan keluar lepas solat untuk cari belalang dan katak. Kalau duduk dalam masjid, mesti ada sahaja permainan untuk dilakukan.

Masuk ke SEMESTI, KYUEM dan kemudiannya terbang belajar ke LEICESTER mendekatkan aku dengan begitu banyak orang cerdik berlatarbelakangkan bandar. Di SEMESTI suasana kampung itu masih segar  walaupun tidak seperti ketika di sekolah rendah. Namun aku sangat terasa betapa kampungnya aku apabila berada di KYUEM dan UOL. Menjadi hamba kepada pandangan mata orang sekeliling untuk berperangai seperti orang bandar. Belajar mencemburui orang lain kerana masing-masing di sini mahu menjadikan diri sebagai orang yang terbaik.

Berkawan dengan pelajar cemerlang PPC, bakal doktor mahupun Engineer, akauntan dan bakal-nakal korporat lain sentiasa mengajar diri "Jangan rasa cukup dengan diri". Slogan terbaik daripada manusia hebat yang sedikit sebanyak mencipta aku. Sentiasa outspoken dan menyuarakan kekecewaan apabila sesuatu yang mengacau/menyusahkan/menindas/menzalimi berlaku, itu juga yang banyak aku belajar dari golongan ini. MasyaAllah, memang HEBAT.

MENGANGGUR DI KAMPUNG

Kembali ke sungai tungku kali ini memberi impak berbeza kepada diri aku. Pergi ke masjid Al-Amjad, memenuhi jemputan kenduri dan menyelusuri kembali kawasan permainan ketika kecil mengajar aku sesuatu. Seronoknya menjadi orang kampung. Ada beberapa orang pak cik yang mengetuk hati aku.

Pak cik 1:
Seorang yang sangat-sangat kaya dengan aset. Ada sawah padi yang sangat luas, mesin dan jentera padi yang besar dan tanah yang besar untuk bercucuk tanam. Namun pergi ke surau pakaiannya biasa sahaja, motornya juga motor murah, rumahnya hanyalah rumah papan dengan dikelilingi anak-anak yang sudah berkeluarga. Pak cik ni letak duit bawah karpet masjid kalau-kalau ade nak kene derma ataupun orang nak pinjam. Pantang kalau ada kenduri, mesti dia akan bagi sesuatu. Ingat waktu kenduri ayah aku nak pergi masjid, dia bagi sampai 3 tandan pisang emas. Nak cerita, memang pemurah sangat orangnya.

Pak cik 2:
Seorang pak cik yang mungkin dah sampai pangkat atok untuk aku. Sejak kecil, aku selalu sangat nampak dia di masjid sampailah semalam, dia meninggal dunia. Dahsyatnya beliau walaupun umur dah lebih 80 tahun ialah masih istiqamah ke masjid dengan hanya berbasikal. Walaupun anak dah berjaya semua, namun still dengan basikal. Beliau bukanlah tok imam, ustaz mahupun mereka yang menggelar diri PEJUANG. Namun istiqamahnya dalam solat berjemaah sesuatu yang sangat sukar untuk ditiru orang-orang muda yang boleh ke masjid jauh lebih laju dengan kenderaan bermotor. Menarik, tak pernah aku dengar beliau merungut.

Pakcik-pakcik
Apabila datang sesuatu perintah, ilmu, pendapat agama kepada mereka, pasti mereka ikuti tanpa banyak bersoal. Orang bijak pandai mungkin menggelar mereka-mereka ini "PAK TURUT", namun aku memandang sesuatu yang positif daripada sikap ini. Tidak seperti orang "bandar" yang merasa diri lebih hebat, pakcik-pakcik ini mengikut kerana mereka rasa sangat rendah diri apatah lagi untuk mempertikaikan sesuatu.

BELAJAR DARI MEREKA.

Aku mahu kembali belajar dari mereka sifat-sifat sebegini. Setelah banyak yang aku belajar dari orang bandar, ternyata banyak masalah hati yang masih menyelubungi diri. Melihat kawan-kawan dari kolej mahupun di UK yang kerap mengejar kerjaya, gaji, selalu tak puas hati dengan itu ini, suka mendekati orang yang terkenal dan pelbagai lagi menyebabkan aku mungkin akan lari sedikit demi sedikit dari mereka. Bukan sikap tersebut tidak bagus, namun itu tidak banyak membantu aku mengubati hati yang kian EGO dan RIAK di hadapan manusia. Secara jujur, ini penyakit paling aku nak ubat sekarang.

Hebat orang kampung, sentiasa berasa cukup dengan PENDAPATAN SEDIKIT berbanding graduan-graduan kini yang sentiasa rasa tak cukup dengan PENDAPATAN YANG BANYAK.

Hebat orang kampung, selalu MEMBERI dengan yang sedikit, berbanding "bijak pandai" yang BERKIRA walaupun ada banyak.

Hebat orang kampung, mendapat wang dari apa yang mereka usahakan. Semakin banyak usaha, semakin banyak hasil mereka. Berbeza kita yang menerima wang tanpa kerja dari sponsor/rakyat, selalu sahaja rasa tak cukup.

Hebat orang kampung, rasa cukup walaupun diri masih kurang berbanding orang lain. Orang seperti kita sentiasa rasa tak cukup selagi diri tak lebih dari orang lain.

Sekiranya ada pangkat DG sampai 150, pasti rakan-rakan PPC aku akan mengejarnya.
Sekiranya ada lanjutan pengajian sampai 6 kali ganda lebih hebat dari pHD, pasti akan mereka ikuti.
Itu sifat orang-orang hebat, mudah-mudahan Allah membalasnya.

Namun EGO/RIA/UJUB/TAKABBUR dalam hati aku semakin membarah dengan keadaan sebegini. Mereka mungkin sesuai, namun tidak untuk orang berpenyakit hati seperti aku. Sangat menyayangi mereka, namun terpaksa aku tinggalkan sedikit demi sedikit supaya barah ini hilang. Dalam tempoh 5 tahun dari sekarang, mungkin mereka akan hilang dari kehidupan aku dan sebaliknya, lalu aku berangan-angan....

Aku hidup di kampung untuk terus menjadi orang kampung. Ceritakan kepada anak-anak mengenai kawan-kawan yang sudah masuk TV, menjadi orang besar-besar malah hidup kaya raya dengan DG52. Dan indahnya apabila semua itu aku ceritakan dalam keadaan hati rasa CUKUP tanpa rasa dengki dengan kejayaan rakan-rakan.



Sekian dari Syuib0809.

Wednesday, 2 October 2013

Ustaz Nasrudin: Catatan Seorang Pejuang

Bismillah

Dengan penat lelah yang sungguh dipenuhi dengan nafsu, aku akhirnya berjaya menghabiskan buku CATATAN SEORANG PEJUANG karya Ustaz Nasrudin Tantawi. Seorang yang sangat aku sanjungi kerana peribadi beliau yang sangat sukar untuk dicari dalam diri pemuda melayu mutakhir ini. Dengan tema " Tiada Siapa Kata Perjuangan Islam ini Mudah", maka sudah tentu buku ini menceritakan serba sedikit mengenai catatan pesanan-pesanan beliau di dalam FB untuk anak-anak buah yang sedang berjuang.

Buku ini merupakan salah satu buku dari pakej yang aku beli dari VIVENTURE. Sekali lagi, salah satu usaha tidak mensia-siakan segala yang tercatat di mukabuku. Namun, mungkin sebahagian dari ahli ilmiah tidak begitu memandang berat buku sebegini. Itu cukup difahami...





Secara keseluruhan, terdapat tiga perkara besar yang aku lihat cuba dibawakan dalam buku ni. Orang lain mungkin melihat gambaran motif yang berlainan, maka bebas sahaja untuk menyimpulkannya mengikut pandangan masing-masing.

Pertama, sangat jelas apa yang Ustaz Nasrudin cuba bawakan ialah berkenaan dengan akhlak PEMUDA GERAKAN ISLAM apabila berhadapan dengan musuh, mad'u, juga orang yang masih belum mengetahu tentang perjuangan ini. Sentiasa cuba elakkan caci maki, tuduh menuduh, buruk memburukkan orang ketika mana kita tidak sependapat dengan mereka. Memang sangat sukar, namun cuba bersungguh-sungguh apabila berhujah biarlah dengan fakta dan sentiasa ingat kita berjuang untuk Allah.

Kedua, sebahagian besar buku ini memaparkan harapan Ustaz mengenai amal Islami para pemuda agar selari dengan amal seorang pejuang yang mendambakan kemenangan. Syarat mahukan kemenangan mesti berjuang. Apabila berjuang tidak semestinya akan menang namun mudah-mudahan Allah menerima perjuangan tersebut. Banyakkan menghadiri tamrin, mukhayyam, baca Quran, Qiyamullail dan segalanya yang mampu membina jiwa seorang pendamba kemenangan.

Ketiga, bahagian akhir buku ini jelas memaparkan mengenai HUKUM HUDUD. Walaupun ringkas, namun penting untuk tatapan orang awam yang masih jarang mahu memahami. Beberapa salah faham tentang hudud turut dirungkai antaranya hak orang bukan Islam dalam perlaksanaan hukum Hudud. Paling aku jelas, bagaimana HUDUD hakikat sebenarnya bukanlah menghukum, namun satu pembebasan dari hukuman Allah apabila di akhirat kelak. Maka, tidak hairanlah ketika zaman Rasulullah datang orang mengadu dirinya berzina dan minum arak, namun nabi tidak membenarkan sahabat untuk mencaci mereka. Hakikatnya taubat mereka jauh lebih hebat daripada kita SANG PENDOSA.



PEMERGIAN USTAZ AZIZAN

Minggu lepas, dua hari air mata bercucuran membaca kisah pemergian Ustaz Azizan. Setiap kali buka Harakahdaily, mesti tidak terlepas membaca artikel mengenai Allahyarham Ustaz Azizan. Ketika mana begitu banyak konflik dalaman jemaah melanda arwah beberapa tahun lalu, aku selalu meletakkan diri menyokong beliau. Walaupun tidak pernah bertemu, aku selalu tengok video utube bagaimana beliau bercakap, berhujah dan menjawap sesuatu isu. Ternyata, ketegasan beliau sentiasa menunjukkan keikhlasan beliau dalam berkhidmat kepada Ummah. Ketika di UK, aku banyak postkan video beliau dalam blog ini.

Berbeza beliau dengan Ustaz-ustaz dan tokoh-tokoh lain ialah beliau selalu membalas KEJAHATAN dengan KEBAIKAN. Sepertimana pesan Hassan albanna, biar kita jadi seperti pokok buah. Apabila orang baling batu kat kita, kita berikan buah yang sedap kepada mereka. Ini yang buat aku begitu terpikat dengan beliau. Malah banyak aku lihat tokoh UMNO kedah yang begitu menghormati beliau.

Pemergian beliau sesuatu yang patut ditangisi. Aku sendiri tak pasti mengapa aku menangis bila baca kisah-kisah beliau, bagi aku hanya orang yang merasai kemanisan berjuang sahaja akan cemburu dengan beliau. Beliau pergi dengan meninggalkan begitu banyak sumbangan kepada ummah. Beliau berjuang dengan begitu banyak mehnah dan dugaan bukan sahaja dari musuh namun dari orang-orang dalam Jemaah sendiri. Beliau pergi diratapi begitu banyak pejuang-pejuang Islam. Adakah MAMPU untuk kita jadi sehebat beliau?

Ya Allah, terimalah amalan pejuang-pejuang ini.....

Sekian dari Syuib0809.