Bismillah.
Rasa nak sangat menulis tiba-tiba. Beberapa hari berada di Kuala Terengganu menyebabkan aku sering memikirkan perkara-perkara pelik. Mungkin kerana tiada banyak benda besar untuk difikirkan, perkara-perkara "kecil" ini kerapkali mengganggu emosi aku. Dan aku terpaksa akui, memang ubah "mood" aku sepanjang berada di sana. Ini bukanlah rintihan, namun sesuatu yang perlu difikirkan bersama.
Dalam hidup seseorang, pasti ada beberapa perkara yang sangat dibenci, atau tidak disukai. Aku selaku manusia yang bermasalah hati, kerap kali meletakkan perkara ini sebagai "manusia" yang perlu dibenci.
1. Perempuan marah lelaki baik.
Sejak di sekolah menengah, aku paling pantang perempuan duk marah lelaki. Semakin cantik perempuan tu, semakin membuak kemarahan aku kerana merasakan perempuan sebegini perasan bahawa mereka seolah-olah ada kredit untuk marah lelaki. Apabila berada dalam umur sekarang, aku cukup pantang tengok isteri marah suami, terutamanya suami yang baik. Melihat perkara kecil mengundang leteran si isteri menyebabkan aku rasa nak terajang sahaja wanita tersebut. Maaf cakap, kamu sepatutnya bersyukur punyai suami yang baik. Ada sebahagian perempuan beralasan "nak buat macam mana, perempuan memang macm tu.." Kalau kamu melihat syurga dan neraka, pasti kamu hormati suami kamu.
2. Mereka yang asyik bersangka buruk
Aku sakit hati bilamana andaian buruk menjadi keutamaan apabila sesuatu perkara berlaku. Apatah lagi, buruk itu diletakkan pada orang yang tidak pernah dikenali. Andaian-andaian seperti "dia gaduh dengan suami lah tu", "diorang ni ingat boleh rendah-rendahkan kita la tu", "aku rasa dia ni kurang hajar", #Laki bini ni macam nak kenakan kita je" dan boleh lah sambung panjang senarainya menyebabkan aku rasa nak mencarut apabila mendengarnya. Kenapa perlu buruk sangka terhadap benda-benda yang kita tak pasti? Apatah lagi dalam urusan harta/tanah/keluarga. Mengapa perlu untuk bersangka buruk dengan keputusan/kata-kata mereka? Hakikatnya, sudah banyak keluarga berpecah belah kerana ini.
3. Mengumpat
Semua yang mengenali aku, memang tahu ini benda yang sangat aku benci. Kurangnya pergaulan aku dengan manusia adalah disebabkan perbuatan ini. Dalam blog ni pun berpuluh kali aku menulis pasal ini. Keadaan sebegini juga kerapkali menjadikan aku seorang yang pendiam dalam "sembang-sembang" namun petah dalam memberi ucapan. Jumpa sahaja mengumpat, ziarah sahaja mengumpat, cakap sahaja mengumpat. Secara sedar, itu sahaja modal kita apabila bersembang.
4. Orang tidak sensitif mengenai masa.
Sensitif terhadap masa ialah sifat yang aku warisi dari ayah aku sejak kecil. Cuma, aku kadang-kala lebih tegas daripada ayah aku. Aku memang tak mungkin tunggu kawan yang tak sensitif pasal masa. Itu memang menjadi sebab mengapa aku kerapkali dilihat berseorangan apabila ke mana-mana. Mereka yang berada dalam gerakan dakwah juga patut diherdik sekiranya tidak mengambil berat urusan masa. Sensitif pada masa berbeza dengan menepati masa kerana aspek sensitif jauh lebih luas maksudnya. Ia berkait rapat dengan sifat kita sama ada tergolong dalam mukminin atau munafiqin.
Musafir Kuala Terengganu.
Sepanjang 3 hari tersebut, aku banyak berhadapan dengan perkara-perkara di atas. Waah, sungguh-sungguh mengacau emosi aku. Dosa terseksa yang menjadi semakin biasa. Panas telinga yang mendengar namun tak mampu untuk berkata apa-apa. Sekadar mengerutkan mimik muka. Terlampau banyak benda yang tidak dipersetujui dengan generasi lain, menjadikan kita sering terganggu.
Kaum ibu dan bapa sentiasa merungut mengenai anak-anak mereka yang sudah membesar atau masuk alam remaja. Pemalas! Bangun lambat! Main internet je kerja! Menjawap!!. Ini mungkin perkara biasa yang disembangkan apabila orang tua kita bertemu. Tidak bolehkah bersyukur dengan anak-anak dan berkata yang baik-baik sahaja mengenai mereka? Bangga dengan mereka supaya mereka membanggakan kita.
Anak-anak muda juga tidak terlepas membalas kerana dunia mereka jauh lebih global. Mereka terbuka kepada pelbagai jenis ibu bapa diluar sana. membandingkan ibu-bapa mereka dengan ibu bapa lain akhirnya memberi kesimpulan: Mak abah mengongkong! Sikit-sikit nak dengar cakap diorang! Tak payah la ikut sangat orang melayu, menyusahkan je! Lantak lah, Diam jelah kalo diorang cakap...
Ayuh, anak-anak.. Ibu bapa adalah DOA kita.
Soalannya, generasi mana yang betul??
Selepas setahun pulang dari UK, aku menyedari berjumpa jarang-jarang dengan keluarga kadang-kala memberi makna yang lebih besar berbanding berjumpa selalu. Layanannya juga pasti berbeza kerana pertemuan itu begitu dihargai.Terlampau banyak perkara yang boleh dipersetujui dalam masa singkat, namun begitu banyak perkara untuk tidak dipersetujui apabila masa tersebut berlarutan. Aku terpaksa berharap untuk dipostingkan jauh-jauh. Minta maaf sentiasa menjadi perkara yang baik, namun lebih baik sekiranya kita mengurangkan sebab untuk meminta maaf tersebut.
Tidak membuat kesalahan barangkali lebih baik daripada meminta maaf kerana melakukan kesalahan. Sangat kecewa apabila merasakan diri terlampau banyak mengecilkan hati mereka. Maka, berjauhan mungkin penyelesaian yang sesuai untuk mengurangkan kebarangkalian melakukan dosa tersebut. Aku rasa lebih bertanggungjawab apabila berjauhan dengan mereka. Kehilangan tanggungjawab apabila berada di rumah dilihat seperti satu dosa. Dosa anak kepada ibu-bapa, tidak jauh dari dosa kepada Tuhan mereka,
Banyaknya menulis di sini, mungkin akibat kurangnya bertahajud kepad Allah.
Sekian dari Syuib0809
No comments:
Post a Comment