Wednesday, 25 September 2013

Murabbiku

Bismillah.

Mengenang Murabbiku: Ustaz Dahlan Mohd Zain merupakan bsebuah buku yang ditulis oleh Hilal Asyraf. Ketika berMYC hari tu, aku berkesempatan untuk beli sebab Hilal hanya bawa buku ni dan dia bagi potongan RM15. Bagi orang awam, nama Ustaz Dahlan mungkin bukan satu nama biasa yang di dengari mahupun dikenali. Namun, bagi mereka-mereka yang berada dalam Gerakan Islam di Malaysia, ini merupakan nama yang biasa disebut-sebut, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau adalah seorang yang sangat disegani.

Secara keseluruhan, buku ini menceritakan mengenai peribadi beliau, kenangan bersama MATRI, kisah keluarga dan beberapa kata-kata menarik dari beliau. Berharga RM50, bagi aku sangat mahal untuk dinilai dari sudut isi kerana buku ini tidak begitu banyak menceritakan mengenai perjuangan sebenar Ustaz Dahlan. RM50 ringgit mungkin berbaloi kerana fizikal buku yang berwarna dan berkulit tebal.





Namun buku ini sangat baik untuk dibaca kerana memang sangat susah nak jumpa personaliti seperti beliau. Orang yang berpengalaman luas dalam bidang dakwah. Malah, aku sanggup beli buku ni kerana melihat orang-orang HALUAN yang rata-ratanya sangat baik dan lemah lembut. Di awal buku ini, Ustaz Mazlee sendiri mengakui sifat-sifat positif mereka terutamanya dari sudut disiplin dakwah. Lepas baca buku ni, memang aku sendiri tertarik dengan Arwah Ustaz Dahlan yang bagi aku sangat-sangat memberi kesan bagi sesiapa sahaja yang pernah bertemu dengannya. Dakwah melalui teladan, jauh lebih hebat dari berkata-kata.

Antara kata-kata menarik: "Batu yang bergerak tidak mudah dihinggapi lumut"

RENDAH DIRI YANG HEBAT

Aku ketika berada di IPG KPP sempat bertemu beberapa orang Ustaz Muda keluaran MESIR. Ada sebahagian kecilnya menyebabkan hati aku terluka dan kecewa. Bukan ilmu mereka tidak hebat, bukan kata-kata mereka tidak bermanfaat, namun sikap mereka menyebabkan aku hampir kepada sikap anti-ustaz MESIR. Memburukkan orang yang tidak sefikrah dengan mereka, melawan kejahatan dengan kejahatan, kerap melabel orang dan merasakan diri mereka lebih HEBAT daripada golongan Profesional. Itu yang sangat-sangat merunsingkan aku. Sukarkah mahu merendahkan diri?? Tambah sedih, bila ilmu agama digunakan sebagai sumber kewangan utama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukanlah orang yang kata-katanya berapi seperti Anwar Ibrahim, namun sikapnya menjadikan dirinya sangat disegani. Merendah diri, berpakaian biasa walaupun berjawatan tinggi, meraikan semua orang, menjadi orang biasa walaupun beliau ulama' serta pemimpin dan segala-galanya mengenai beliau sangat-sangat menyentuh hati mereka yang berada di sekelilingnya. Tidak hairanlah walaupun begitu banyak Ustaz yang tidak menyertai PAS secara langsung, namun mereka pasti menyanjungi TGNA. Inilah Murabbi dan Ulama' sebenar, sentiasa merendah diri.





Teringat sebuah cerita, bagaimana beberapa bulan yang lalu apabila Tuan Guru dimasukkan ke Hospital. Perkara pertama yang beliau tanya apabila sedar ialah "Macam mana saudara-saudara kita di Mesir?".. Perghh..

Selain TGNA dan TG Haji Hadi, antara Ustaz yang sangat aku hormati ialah Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Sikap positif dia terhadap orang lain, kawan dan lawan sememangnya patut dicontohi. Walaupun dia bergelar Ketua Penerangan PAS, jarang nak lihat dia kutuk habis-habisan pihak lawan dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Sentiasa ada adab dan paling menarik hati aku bila dia selalu TAK rasa diri dia LAYAK untuk sesuatu jawatan. SubhanAllah. Ini antara ceramah beliau yang baru aku dengar..



Ya Allah, engkau turunkanlah mereka-mereka yang benar-benar AMANAH terhadap agamamu. Mereka-mereka yang hebat ilmunya, namun sentiasa takut dan tunduk kepadamu. Mereka-mereka yang berjalan di atas muka bumimu dengan begitu merendah diri. Ya Allah, kami perlukan lebih banyak orang sepeti Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dunia ini untuk kami contohi. Sekiranya Engkau menjemputnya bersamamu, gantikanlah ulama' kami ini dengan orang yang sepertinya atau yang lebih HEBAT dari itu. Aamin..


Sekian dari Syuib0809.

Sunday, 22 September 2013

Senyumlah 1: Hidup dengan Fikiran Positif

Bismilllah.

Senyumlah pertama: cetakan ketiga yang dinanti-nanti telah selamat aku khatamkan. Tak pasti apa yang berlaku, aku hanya berjaya menghabiskan buku ni setelah dua minggu membaca. Nak cakap sibuk, aku hanyalah seorang penganggur. Buku ni aku beli bersama dengan buku Senyumlah 2 dan Catatan seorang pejuang yang diletakkan dalam satu pakej oleh Viventura. Hanya berharga 45 ringgit termasuk kos penghantaran. So, sangat murah.

Secara keseluruhan, memang banyak yang aku dapat daripada buku ni. Walaupun sesetengah orang berkata buku ni sekadar perkongsian kata-kata di FB, aku masih melihat ianya sebuah buku yang patut dibeli dan tinggi nilai kata-katanya. Namun, sangkaan aku mungkin sedikit meleset. Aku menjangkakan buku ini memuatkan banyak cerita seperti dalam artikel-artikel Ustaz TITM di HarakahDaily. Malah, mungkin setiap yang dibawakan aku rasa bakal berbentuk cerita dan bernada seperti dalam Senyumlah 2: Wahai Anakku. Namun, aku sedikit hampa. Aku kecewa, kerana ia tidak seperti yang aku harapkan...

Ini salah satu perkara yang dibawakan dalam buku ini.





Kita marah, kecewa kepada orang/kawan/barang/aktiviti apabila semua perkara-perkara ini tidak berlaku seperti apa yang kita harapkan. Kita mungkin harap orang ingat dan beri hadiah pada hari jadi kita, lalu kita berasa sedih. marah dan tidak dihargai apabila ianya tidak berlaku. Bagi aku, penerangan ini sangat menarik.

Lalu sampai kepada fasa kemaafan, kita begitu sukar memaafkan seseorang. Sedangkan, memberi maaf atau tidak, mana mungkin mengubah apa yang telah terjadi. Malah, kita hanya bermain dengan emosi apabila tidak memaafkan seseorang. Bayangkan apabila seseorang terlanggar kereta kita, lalu dia meminta maaf. Sama ada kita maaf atau tidak, kita masih tidak boleh mengubah bahawa kereta kita sudahpun rosak kerana dilanggar. Boleh kah kita mengubah supaya kejadian melanggar kereta kita tidak terjadi dengan cara tidak memaafkan?

Lalu kemaafan hakikatnya ialah sebuah pelepasan daripada harapan di hati agar perkara yang telah lepas berlaku dengan lebih baik. MENARIK!!

Selaku seorang penganggur, buku ni aku baca memang pada masa yang sesuai. Aku mula sedar mengapa aku begitu runsing dengan urusan JODOH beberapa minggu lepas. Kerana hakikatnya, aku terlampau banyak membazirkan masa. Orang yang tidak berbuat apa-apa, akan sentiasa berfikir benda-benda menakutkan untuk masa akan datang dan mengingati perkara-perkara lepas yang mengundang keresahannya. Maka, sibukkanlah diri dan sentiasa fokus pada kerja yang dilakukan hari ini, inshaAllah kita akan terus terSENYUM...

Buku ni banyak mengajak untuk berfikir secara positif. Bercakap benda-benda positif kerana air yang paling terdekat dengan kita ialah air liur. Cukup dengan yang sedikit, pasti mengundang syukur apabila diberikan nikmat yang lebih banyak. Bukan mudah untuk berhadapan dengan perkara negatif dengan cara positif. Kata-kata lama yang terselit kembali dalam buku ini:

Kejahatan dibalas kejahatan ialah dendam.
Kebaikan dibalas dengan kebaikan, itu adalah perkara biasa.
Kebaikan dibalas kejahatan, ini adalah zalim.
Kejahatan yang dibalas kebaikan, itu adalah sifat mulia dan terpuji.

Di bahagian belakang pula dipenuhi mutiara kata yang singkat-singkat buat renungan semua pembaca.

Kata-kata terakhir dari buku ini yang sungguh menyedarkan aku mengenai tanggungjawab terhadap jemaah:

Amat malang bagi sesebuah jemaah apabila ahlinya kaya, sedangkan jemaah dalam keadaan miskin. Berusahalah dengan menginfakkan harta agar JEMAAH menjadi kaya sekaya ahlinya. Hebat di Zaman Rasululullah, Sahabat berada dalam keadaan miskin, sedangkan JEMAAH Islam berada dalam keadaan Kaya-raya. Bolehkah kita menjadi seperti mereka?


Seronok dengar berita positif. Caom nak kahwin!!

Sekian dari Syuib0809.


Friday, 20 September 2013

Di Sebalik Tabir MYC 2013

Bismillah.

Mari bercerita di sebalik Tabir MYC.

Pengarah modul MYC tahun ni ialah Shauqi Soberi dari batch 13 yang kini baru tahun pertama di Lancaster University. Mungkin kerana adin (pengarah MYC sebelum ni) merupakan senior seuniversiti dengan beliau, maka tugas itu diamanahkan dengan lebih berkesan kepada Shauqi. Kumpulan pembuat modul juga terdiri daripada budak-budak batch diorang seperti Wan Irwan, Kamil, Syuhadah, Ainaa dan dibantu senior atas mereka seperti Hannan, Lee. Aku kenal diorang sebab tahun sebelum-sebelum ni aku banyak bersama diorang dalam program MYC/MOC.

Shauqi Soberi.. Kurus sungguh. haha

Oleh kerana tarikh MYC agak lewat berbanding tahun-tahun sebelum ni, maka kesukaran mendapatkan Fasilitator agak menekan untuk 2013 ni. Rata-rata yang pulang bercuti musim panas sudah kembali ke UK manakala cuti hujung minggu yang panjang pula digunakan pasangan-pasangan yang baru berkahwin untuk ke rumah ibu bapa. Ditambah lagi, inilah musim-musim umur sebaya aku nak kahwin. Namun alhamdulillah Allah kurniakan barisan Fasilitator yang komited dan bersemangat meluangkan masa bersama. Bayangkan sahaja, ramai yang datang bukanlah dari KL/Selangor. Ada dari Terengganu, Kelantan dan Johor. Antara yang aku paling terkejut ialah Syukri Sapuan yang sanggup datang dari Johor walaupun sedang berpraktikum.


Sebagai orang yang tahu keperitan berpraktikum, memang respect sungguh kat syuk. Ustaz malikie pun terkejut dengar dia datang.

Dan pemenang anugerah Fasi paling dahsyat ialah kak Nik Madihah yang dalam keadaan sarat mengandung masih boleh datang dengan suami dan anak. Allahuakhbar, kurniakan aku semangat seperti beliau.

Penceramah

Di sebalik kehadiran penceramah yang ramai di MYC, sebenarnya ia hasil daripada kepeningan setelah beberapa siri cubaan mencari penceramah gagal. Rasanya, hampir 20 puluh senarai nama UStaz/Ustazah yang dicadangkan, namun majoritinya ada urusan yang tersangat-sangat penting. Aku difahamkan tarikh MYC ini bertindih dengan sebuah program besar Ulama di Kota Sarang Semut, Alor Setar. Maka, banyak para ustaz yang terpaksa mengalah untuk hadir ke program ini. Kebanyakan ceramah sebenarnya menyeronokkan, tapi keadaan dewan yang sangat-sangat sedap untuk tidur kerap kali mengganggu usaha murni peserta.

Ustaz Affuan. First time jumpa.

Ustaz farhan. Dhasyat, tengah penat sebenarnya dia ni, tapi sanggup datang. Antara ceramah MYC yang best

Modul.

Kerja-kerja memikir, menyedia, merancang modul sudah bermula dari awal sebenarnya. Dengan slot Celik, Riang Ria, LDK dan HAQ yang disediakan, aku melihat kebanyakan ahli kumpulan modul banyak terkesan dari modul MYC 2010 yang mereka hadiri. Tetiba aku bangga. Haha. Namun, suasana tempat 2013 ternyata jauh berbeza dengan MYC 2010. Walaupun tempat 2010 sangat dhaif, namun perjalanan program begitu padat dengan pelbagai aktiviti kerana dalam sebuah bilik kayu, kami menjalankan semua aktiviti. Solat, makan, buat kuih, ceramah dan main, semuanya dibuat dalam "dewan" tersebut yang ternyata menjimatkan masa serta merapatkan Ukhuwah(semua bersempit).

Namun aku terpaksa mengakui kelemahan tahun ini ialah tempat terlampau MEWAH. Ini bukanlah statement tidak bersyukur. Diberikan dewan Kuliah yang bertingkat-tingkat, menyebabkan peserta duduk berjauhan, sukar membuat aktiviti LDK dan permainan, malah penceramah susah mendapatkan respon peserta kerana keadaan dewan. Paling aku sedih, terlampau banyak masa dihabiskan untuk makan. Buffet lah katakan. Biasanya sampat 45 minit masa dihabiskan untuk makan dan jadual MYC sedikit terganggu dengan waktu makan yang diperuntukkan felda Residence. Dari pandangan aku, itu sememangnya satu kerugian apatah lagi dua LDK terpaksa dibatalkan kerana kesempitan masa. Ini sekadar muhasabah, tiada siapa yang salah.


Muslimin yang mai semuanya junior

Permainan.

Aku kongsikan modul permainan Riang Ria yang simple namun menarik.

Semua peserta perlu mencari pembayang bagi Sahabat nabi yang bakal diteka dihujung sesi. Mereka perlu ke stesyen-stesyen yang disediakan dan menyelesaikan cabaran yang ada. Sekiranya gagal, mereka tidak akan diberikan pembayang. Slot ini menjadi ringkas kerana peserta tidak perlu mencari stesyen(masa dah jimat di sini) dan jarak stesyen tidaklah begitu jauh. Cara lain bagi menjimatkan masa ialah menghadkan masa ataupun jumlah cubaan. Cabaran-cabaran yang disediakan juga tidak memerlukan modal yang banyak. Contoh-contoh cabaran:

- Baling kasut(guna kaki) pada aras tangga yang ditetapkan,
- Pindahkan tisu guna bahu. Idea asal takleh guna tangan dan kaki
- Baling 3 benda yang berat berbeza dalam bekas
- Terbalikkan duit syiling yang diletakkan atas buku. Kena tepuk.
- Selesaikan puzzle tangan (boleh diperbaiki lagi)
- Cantumkan gambar puzzle (agak makan masa, boleh diubahsuai)

Baling kasut. Lagi tinggi lagi susah kot.

 Game ukhwah paling menarik perhatian aku. Pindah tisu.

 Baling cawan plastik, tin dan botol. Berat berlainan susah nak bajet.

Terbalikkan duit Syiling dengan menepuk

Modalnya hanyalah tisu, duit syiling, barangan terbuang seperti botol air, tin dan plastik. Sahabat nabi yang dikongsikan ialah Saad Abi Waqash, Zubair Awwam, Mus'ab bin Umair, Abu Ayub alAnsari, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan lupe plak. Setiap kumpulan dapat pembayang untuk satu sahabat sahaja. Kalau diorang teka betul dapat 5 markah, kumpulan lain dapat jawap juga dapat 3 marakah. Okeh, markah tak penting.



Secara keseluruhannya, aku berpuas hati dengan modul tahun ni. Cuma kadang kala, kesempitan, kemiskinan, kurangnya kemudahan mendatangkan makna yang jauh lebih berkesan berbanding kemewahan. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan situasi sebegitu menjadikan kenangan jauh lebih manis dan menarik untuk dikongsikan. Lihat sahaja seorang ayah miskin yang pulang ke rumah dengan makanan tidak seberapa. Pulangnya di nanti anak-anak, makannya dikongsi bersama ahli keluarga. Berbeza dengan sebahagian orang kaya. Pulangnya tidak diendahkan oleh anak-anak, makannya kerap sahaja berseorangan.

Ayuh, fikir-fikirkan...


Kami sebaya. Siapa nampak lagi muda?

Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 17 September 2013

Muslim Youth Camp 2013 Trolak

Bismillah.

Alhamdulillah, MYC 2013 telah berakhir dengan jayanya semalam. Ayat Lazim...

Kali ke 5 rasanya aku join MYC anjuran Muscom atau nama panjangnya Muslim Youth Camp yang mana kali ni terletak sangat-sangat berdekatan dengan rumah iaitu 45 minit. Tema tahun ini ialah " Self-Empowerment, Towards Betterment". Menambahbaikkan diri, menggunakan potensi diri, memperbaiki amalan yang mana segala impian ini diletakkan sebagai modal untuk menyumbang kepada islam. Mengenal diri adakah benar-benar sudah menyedari mengapa gelaran muslim melekat pada diri.

Mewah Sokmo

Sebenarnya ini kali pertama aku datang ke Felda Residence walaupun selalu sangat lalu depan kawasan diorang. Hadir awal, maka aku pun pusing-pusing. Aku sekadar menjangka ini tempat biasa-biasa sahaja untuk berprogram. Sehinggalah apabila diberi kunci bilik, fasilitator berkongsi dua orang satu bilik manakala peserta paling ramai 5 orang satu bilik. Bilik dia memang macam hotel, yang mana tak pernah lansung berlansung dalam MYC-MYC sebelum ni. Dewan dia pula seperti bilik kuliah dengan aircond yang tersangat sejuk serta kerusi tebal yang sunggu selesa. Duk pikiaq balik, sebelum ni kadang-kadang fasilitator tidur kat lantai je. Allahuakhbar.

Tapi part paling best, makan dia buffet. Memang sungguh mewah nampaknya berprogram kali ni. Pagi-pagi dah penuh makanan orang putih. Cereal, Roti, Baked Bean, Scrambled Egg dan paling pelik,,Tembikai?


Ni tempat makan, nama je dah Restoran Anjung, bukan dewan makan.

Hari Kedua yang Singkat.

Tumpuan bagi mana-mana program 3 hari dua malam sudah tentunya tertumpu pada hari kedua. Pagi-pagi lagi sudah dimulakan dengan aktiviti Celik yang diberi nama Amigos yang bertujuan mengenali rakan-rakan dengan lebih rapat. Riang Ria pula memainkan permainan Buta, Bisu, Pekak yang dimainkan seperti telefon berkarat. Ceramah kemudiannya berkisar mengenai Maza Yakni.

Selepas solat Zuhur, kami menjalankan aktiviti Outdoor yang aku kira sebagai  aktiviti tumpuan, pertama kali dijalankan dalam MYC. Peserta diberi peluang mengikuti aktiviti High Ropes dan Pond Rafting. Slot ni berjalan agak lama dari 2.30 sampai 6.30 petang. Terlampau banyak masa dihabiskan untuk menunggu individu melakukan High Ropes dan aku kategorikan ini sebagai sangat merugikan masa. Namun pond rafting ternyata satu pengalaman baru yang menarik buat peserta ditambah lagi kami melakukan praktikal solat berjemaah di padang kerana waktu asar yang sudah hampir ke penghujungnya. Oleh itu, aku meletakkan slot ini sebagai SLOT KEGEMARAN MYC dari sudut pandangan aku.

 Muka kebosanan menunggu High Rope. Naik adalah dalam 2 minit, tunggu dan tengok orang sampai 2 jam

Pond rafting yang sangat menarik. Bukan setakat naik, malah kena buat sendiri secara berkumpulan. Ada 3 buah kumpulan yang tong rakitnya terpisah. Kumpulan yang aku consult paling tahan diorang punya rakit. hehe.. taktik nak bangga




Ceramah kemudian diteruskan lagi dari seorang brother bernama Faridzul yang tersangatlah Hensem. Batch KISAS yang sebaya dengan Imran Koyube dan Izwan Nordin.

SLOT paling berkesan bagi aku ialah slot terakhir hari kedua ini. Sesi muhasabah yang dimulakan sekitar 10.45 malam dan berakhir pada pukul 11.30 malam. Pada mulanya semua malu-malu nak beri pandangan dan berkongsi apa yang mereka dapat. Terpaksa panggil nama atau beri mic baru nak berkongsi. Namun setelah beberapa orang berlalu, mula ramai berani menyatakan pendapat. Kalau muslimat angkat tangan mungkin fenomena biasa, tapi apabila muslimin yang senyap pun mula ingin berkongsi, maka aku kira itu adalah satu sesi muhasabah yang sangat-sangat berjaya. Bila tengok ada sebahagian peserta yang sebak, maka aku sangat berharap MYC ini benar-benar memberikan sesuatu kepada mereka.




SLOT BARU: RunningMan MYC.

Hari ketiga, Hilal Asyraf menghiasi MYC sekali lagi dengan ucapan beliau yang senada dengan anak muda. Dah memang muda pun, sebaya aku je. Cuma suasana dewan yang mewah menyebabkan ada peserta tidur tidak seperti kehadiran beliau pada tahun lepas. Aku sempat baca beli buku beliau mengenai ustaz Dahlan. Namun, apa yang menarik bagi aku ialah slot baru yang dijalankan sebelum Talk Hilal Asyraf ni. Riang Ria Runningman.

 Permainan ringkas yang menarik. InshaAllah aku ulas dalam post seterusnya. Ukhwah boh

Tak berpeluh pun game ni, lepas main boleh masuk dewan dengan selesa. Tapi still mencabar.

Ramai penmbuat modul yang selalu penat bilamana nak buat aktiviti outdoor seperti explorace dan mencari harta karun. Dengan barang/modal yang banyak, memakan masa yang lama dan ruang besar menyebabkan aktiviti-aktiviti seperti ini sedikit memenatkan. Oleh kerana dalam MYC ni kami ada slot kosong yang memakan masa satu jam, maka team modul hadir dengan permainan-permainan simple untuk mendapatkan pembayang mengenai SAHABAT NABI. Apa yang aku boleh katakan mengenai slot baru ni ialah SIMPLE, FUN and BERMAKNA. Sebab aku sangat muak dengan permainan yang selalunya seronok tapi tak menambahkan ilmu pengetahuan. Aku kira boleh diteruskan pada masa akan datang, malah boleh jadikan backup slot.

Kesimpulan MC MYC.

Sekali lagi aku diberi amanah untuk menjadi MC untuk MYC kali ini. Walaupun jarak umur aku dengan peserta agak jauh dalam 6 tahun, namun aku sangat berharap mereka terhibur dengan MYC kali ini dan melihat program-program sebegini sebagai program yang sangat menyeronokkan. Rata-rata peserta pertama kali bertemu dengan aku sebab majoritinya adalah junior yang baru masuk bulan Julai yang lalu.



Peserta kali ni seramai 40 orang. Rata-ratanya memang dari scholar gempak-gempak, muka hensem-hensem namun ternyata jenis merendah diri dan suka program-program agama. Walaupun sedikit pasif sepanjang sesi ceramah, aku merasakan mereka akan belajar dan mampu memperbaikinya selepas beberapa lama berada di KYUEM. MYC kali ini mungkin banyak kelemahan terutamanya daripada sudut pembaziran masa, namun terlampau banyak kelebihan yang patut dilihat serta dihargai. Terima kasih kepada barisan fasilitator yang bertungkus-lumus menjayakan MYC kali ini. Tak sangka junior-junior yang dulunya datang program bawah kendalian aku kini sudah bersama dalam barisan Fasilitator. Mudah-mudahan Allah terima amalan kita semua.



Sekian dari Syuib0809


Sunday, 8 September 2013

Luahan kepenatan

Bismillah

Wahai Isteriku..
Di manakah dirimu? Siapakah dirimu?
Bagaimanakah untuk aku bertemu dengan dirimu?

Wahai Isteriku...
Sentiasa dalam doaku, aku berharap Allah permudahkan untuk aku bertemu denganmu. Lalu aku berusaha, dan kerana itu juga aku akhirnya selalu kecewa..

Wahai isteriku...
Seringkali aku merasa sangat hampir untuk bertemu dirimu.
Aku menyangka si dia adalah dirimu yang dicari.
Namun ternyata Allah mentakdirkan dirimu bukanlah si dia.

Wahai isteriku...
Aku selalu melihat orang memilih buah tembikai berdasarkan luarannya. Maka, yang elok rupanya sering menjadi pilihan walaupun tiada jaminan keelokan isinya. Tembikai yang terserlah kekurangan rupanya hanya dibiarkan atau diambil sebagai pilihan terakhir. Aku kerapkali melihat diriku tidak ubah seperti tembikai ini. Yang cacat luarannya, apatah lagi mahu memberi jaminan keelokan dalamannya.
Maaf, kerana sudi menerimaku.

Wahai isteriku...
Pernah beberapa kali aku fikirkan..
Mungkin Allah akan menjemputku sebelum aku sempat bertemu mahupun diijab kabulkan denganmu. Lalu aku berdoa, agar Allah menjadiku diriku dan dirimu sebagai sebahagian ahli-ahli syurga.

Wahai isteriku...
Aku mempercayai dirimu kerana aku percaya kepada Tuhan yang menciptakanmu
Malahan aku mencintai dirimu kerana atas cintanya lah aku bertemu denganmu.
Walaupun hakikatnya, aku masih belum bertemu dirimu, isteriku.

Moga engkau bertemu karya kecilku ini, dari izuan yang menyayangimu.

Sekian dari Syuib0809

Friday, 6 September 2013

Tuan Mydin dan Ustaz Azhar Idrus

Bismillah.

Duduk melangut di rumah agak menarik sebenarnya. Boleh baca buku dengan tenang dan tenteram.  Haha. Sedikit sahaja beberapa buku yang dibaca beberapa hari ni.

MYDIN: DI SEBALIK TABIR.

Tak berniat lansung sebenarnya nak beli bku ni. Waktu bosan-bosan menunggu keluarga membeli belah di pasar payang, aku pun pusing-pusing dalam MYDIN. Tetiba jumpa buku tebal ni dengan harga murah tak sampai 13 Ringgit. Sekadar nak tahu pasar sejarah MYDIN.

Bahagian buku ni yang paling menarik hanyalah di bahagian sejarah Tuan MYDIN dari datuknya sehinggalah pembukaan kedai di Kota Bharu. Menarik, bagaimana seorang peruncit kecil-kecilan mampu menimba ilmu jauh lebih hebat daripada mereka yang berPHD. Kisah lain yang menarik ialah hubungan kekeluargaan MYDIN yang erat serta bagaimana kelebihan Ameer Ali yang pernah bekerja di Ambank memberi impak besar kepada perkembangan pasaraya MYDIN.


Namun,bagi aku penulisan buku ni sangat kurang berkualiti. Macam baca karangan budak sekolah menengah. Tak pasti pula kalau ini adalah kesan alih bahasa. Buku ni juga nampak macam katalog mempromosikan Syarikat Mydin semata-semata. Apa Mydin buat, di mana ada Mydin, aktiviti pekerja Mydin, sumbagan Mydin dan yang sewaktu dengannya. Masuk bakul, angkat sendiri. Mungkin kerana isteri En. Ameer Ali sendiri yang tulis buku ni, penulisan menjadi semakin "awkward".

Apa-apa pun, pujian bagi MYDIN kerana terus menyokong produk bumiputra apatah lagi produk orang Islam.



USTAZ AZHAR IDRUS: LIVE

Aku tak pasti boleh atau tidak kategorikan buku ni sebagai komik. Namun, sangat menarik bagi mereka-mereka yang berada di sekolah Menengah/pemuda dan juga pak cik mak cik. Buku santai yang mencuit hati, malah penuh dengan kata-kata nasihat untuk semua yang semakin dekat dengan Islam. Ada sahaja bahagian yang keras, mungkin sukar bagi sesetengah pembaca menerimanya. Hakikatnya, itu adalah sebahagian ketegasan dalam Islam. Supaya kita tidak ambil mudah dalam semua perkara.

Buku ni bukan aku beli. Tetiba terjumpa kat rak buku rumah. Pasal tiada benda dah nak buat, bacalah kejap. Tak sampai satu jam, dah habis. Sangat bagus kalau ada dermawan yang boleh berikan kepada anak-anak remaja di luar sana.



Tahniah juga kepada pelukis dia yang bagi aku sangat memberi sumbangan besar kepada dakwah islam. Allahu Akhbar. Ayuh ibu bapa, galakkan anak-anak cari apa sahaja pekerjaan yang mampu menyumbang kepada Islam.

Sekian dari Syuib0809

Thursday, 5 September 2013

Motivasi Tarbiah Islamiah

Bismillah.

Gatal tangan untuk menulis. Tambahan pula baru dapat gambar dari rakan semalam.

Seperti yang aku selitkan sebelum ni, pelajar KPLI diminta mengadakan beberapa siri motivasi sebagai pengisian minggu terakhir kami di IPG. Sepanjang perkenalan aku dengan budak KPLI batch ni, rata-rata bersemangat sahaja untuk buat program-program sebegini. Namun, taklimat dari HEP pada pagi isnin sangat-sangat menyakitkan hati. Aku ingat aku seorang je yang geram, rupanya ramai lagi. Kami seolah-olah diugut supaya tak melarikan diri dan ikut semua program yang HEP rancang untuk kami. Alangkah baik mengajak orang buat sesuatu dengan galakan. Hodoh sungguh bunyinya apabila berdakwah dengan ugutan.

Kami dibahagikan kepada  kumpulan terdiri daripada 14 orang, dan dua kumpulan 9 orang. Masing-masing dihantar ke sekolah yang berlainan. Kumpulan aku terdiri daripada Yasir, Hanun, Fiza, Isha, Nova, Diyana, Farahusna dan Shakira dan dihantar ke Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah, Kampung Rawa. Satu-satunya kumpulan dalam pulau.


Pengalaman lama yang dibarukan.

Sewaktu tahun pertama, aku banyak mengadakan kem motivasi apabila pulang bercuti musim panas. Satu program untuk tingkatan 5, satu untuk tingkatan 4, dua untuk darjah 6 dan yang terakhir untuk untuk rumah anak yatim. Waktu tu, memang ada sesuatu yang ingin aku kongsikan dengan mereka. Usaha memotivasikan manusia aku teruskan apabila mencuri kelas relief sepanjang berpraktikum. Biasanya jumlah murid/pelajar melebihi 50 orang untuk program sebegini.

Menariknya kali ini, sekolah yang diberikan kepada kami hanya terdiri daripada 15 orang peserta. 8 orang lelaki dan selebihnya perempuan. Maka, seorang fasilitator akan dapat paling banyak dua orang. WOW!!.

Sekolah ni merupakan sekolah bantuan kerajaan yang berasaskan modul ISLAM. Mencipta sekolah di dunia untuk melahirkan manusia berjaya hingga ke AKHIRAT. Sekolah yang sangat kecil, dengan bilangan pelajar tingkatan 3 tidak melebihi 15 orang, namun serba lengkap bagi aku. Secara jujur memang aku sangat suka sekolah sebegini. Pagi-pagi dah mula dengan bacaan Quran. Kantin dia adalah tempat mereka berhimpun, tempat guru bermesyuarat, tempat mereka bersolat dan macam-macam lagi kegunaan.

Pengisian.

Oleh kerana ini merupakan program "last minutes", perancangan kami mungkin sedikit lemah. Tempoh sehari sahaja diberikan. Mungkin ini cabaran, namun aku tak suka budaya sebegini yang seolah-olah sudah menjadi budaya wajib IPG. Kami akhirnya membahagikan kepada beberapa sesi iaitu slot permainan, slot motivasi, slot pengajaran berpusat dan kemudian berkumpulan. Aku tanpa segan silu diberi amanah untuk pegang slot motivasi. Ke aku yang mintak? Lupa..

Tiga isi utama aku untuk hari pertama:

1. Jika kita tak dapat apa yang kita mahukan, mungkin kerana kita tidak betul-betul mahu ataupun kita tidak cukup berkorban untuk dapat apa yang kita mahu. Aku bawakan video ni:



2. Percaya sebelum berjaya. Aku bawakan kisah sindrom anak gajah.

3. Berubah.

Keesokan harinya, aku kongsikan secara ringkas mengenai cita-cita. Tiada pekerjaan yang bertaraf "rendah" dan berlabel miskin. Yang paling penting pekerjaan tersebut HALAL. Kerana pekerjaan halal pasti kaya. Kalau tidak kaya dengan wang, pasti kaya dengan barakah. Petani boleh jadi jutawan, tukang cuci boleh sahaja kaya dengan membina syarikat pembersihannya sendiri malah tukang kutip sampah pun boleh memiliki lori sampah yang jauh lebih besar dari kereta ALPHARD. Manusia yang meng"KAYA"kan pekerjaan mereka. Maka, caranya mesti ada ilmu.


ERTI HIDUP PADA MEMBERI.

Masing-masing pulang ke IPG dengan perasaan tidak puas untuk memberi. Apatah lagi, kami perlu pulang awal pada hari yang kedua. Barangkali itu nikmat dengan memberi. Sekiranya kumpulan lain sekadar menjadi fasi dengan modul yang sudah sedia ada, kami pula terpaksa berusaha sendiri mencurah idea untuk perkara tersebut. Kumpulan lain mungkin berhadapan depan beratus-ratus pelajar di dalam sebuah dewan yang besar, tapi kami hanya berhadapan dengan berbelas-belas pelajar di dalam kelas yang sangat-sangat sempit. Maka, hubungan jauh lebih rapat.

Pelajarnya barangkali tidak se"pintar" pelajar MRSM atau SBP, tetapi kemahuan mereka menjadi pintar jauh membuktikan mereka adalah pelajar CELIK. Celiknya hati kerana hidup bersama AlQuran.

Terima kasih kerana sudi MEMBERI kepada bakal-bakal cikgu ini.


Berdiri: Hajar, Fatin, Fatimah, Nabilah, Farhana , Fatihah
Duduk : Syamil, Danial, Khusairi, Acap, Ikmal ,Nuqman, Amir, Huzaifah

Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 3 September 2013

Refleksi Anak Dewasa

Bismillah.

Rasa nak sangat menulis tiba-tiba. Beberapa hari berada di Kuala Terengganu menyebabkan aku sering memikirkan perkara-perkara pelik. Mungkin kerana tiada banyak benda besar untuk difikirkan, perkara-perkara "kecil" ini kerapkali mengganggu emosi aku. Dan aku terpaksa akui, memang ubah "mood" aku sepanjang berada di sana. Ini bukanlah rintihan, namun sesuatu yang perlu difikirkan bersama.

Dalam hidup seseorang, pasti ada beberapa perkara yang sangat dibenci, atau tidak disukai. Aku selaku manusia yang bermasalah hati, kerap kali meletakkan perkara ini sebagai "manusia" yang perlu dibenci.

1. Perempuan marah lelaki baik.
Sejak di sekolah menengah, aku paling pantang perempuan duk marah lelaki. Semakin cantik perempuan tu, semakin membuak kemarahan aku kerana merasakan perempuan sebegini perasan bahawa mereka seolah-olah ada kredit untuk marah lelaki. Apabila berada dalam umur sekarang, aku cukup pantang tengok isteri marah suami, terutamanya suami yang baik. Melihat perkara kecil mengundang leteran si isteri menyebabkan aku rasa nak terajang sahaja wanita tersebut. Maaf cakap, kamu sepatutnya bersyukur punyai suami yang baik. Ada sebahagian perempuan beralasan "nak buat macam mana, perempuan memang macm tu.." Kalau kamu melihat syurga dan neraka, pasti kamu hormati suami kamu.

2. Mereka yang asyik bersangka buruk
Aku sakit hati bilamana andaian buruk menjadi keutamaan apabila sesuatu perkara berlaku. Apatah lagi, buruk itu diletakkan pada orang yang tidak pernah dikenali. Andaian-andaian seperti "dia gaduh dengan suami lah tu", "diorang ni ingat boleh rendah-rendahkan kita la tu", "aku rasa dia ni kurang hajar", #Laki bini ni macam nak kenakan kita je" dan boleh lah sambung panjang senarainya menyebabkan aku rasa nak mencarut apabila mendengarnya. Kenapa perlu buruk sangka terhadap benda-benda yang kita tak pasti? Apatah lagi dalam urusan harta/tanah/keluarga. Mengapa perlu untuk bersangka buruk dengan keputusan/kata-kata mereka? Hakikatnya, sudah banyak keluarga berpecah belah kerana ini.

3. Mengumpat
Semua yang mengenali aku, memang tahu ini benda yang sangat aku benci. Kurangnya pergaulan aku dengan manusia adalah disebabkan perbuatan ini. Dalam blog ni pun berpuluh kali aku menulis pasal ini. Keadaan sebegini juga kerapkali menjadikan aku seorang yang pendiam dalam "sembang-sembang" namun petah dalam memberi ucapan. Jumpa sahaja mengumpat, ziarah sahaja mengumpat, cakap sahaja mengumpat. Secara sedar, itu sahaja modal kita apabila bersembang.

4. Orang tidak sensitif mengenai masa.
Sensitif terhadap masa ialah sifat yang aku warisi dari ayah aku sejak kecil. Cuma, aku kadang-kala lebih tegas daripada ayah aku. Aku memang tak mungkin tunggu kawan yang tak sensitif pasal masa. Itu memang menjadi sebab mengapa aku kerapkali dilihat berseorangan apabila ke mana-mana. Mereka yang berada dalam gerakan dakwah juga patut diherdik sekiranya tidak mengambil berat urusan masa. Sensitif pada masa berbeza dengan menepati masa kerana aspek sensitif jauh lebih luas maksudnya. Ia berkait rapat dengan sifat kita sama ada tergolong dalam mukminin atau munafiqin.

Musafir Kuala Terengganu.
Sepanjang 3 hari tersebut, aku banyak berhadapan dengan perkara-perkara di atas. Waah, sungguh-sungguh mengacau emosi aku. Dosa terseksa yang menjadi semakin biasa. Panas telinga yang mendengar namun tak mampu untuk berkata apa-apa. Sekadar mengerutkan mimik muka. Terlampau banyak benda yang tidak dipersetujui dengan generasi lain, menjadikan kita sering terganggu.

Kaum ibu dan bapa sentiasa merungut mengenai anak-anak mereka yang sudah membesar atau masuk alam remaja. Pemalas! Bangun lambat! Main internet je kerja! Menjawap!!. Ini mungkin perkara biasa yang disembangkan apabila orang tua kita bertemu. Tidak bolehkah bersyukur dengan anak-anak dan berkata yang baik-baik sahaja mengenai mereka? Bangga dengan mereka supaya mereka membanggakan kita.

Anak-anak muda juga tidak terlepas membalas kerana dunia mereka jauh lebih global. Mereka terbuka kepada pelbagai jenis ibu bapa diluar sana. membandingkan ibu-bapa mereka dengan ibu bapa lain akhirnya memberi kesimpulan: Mak abah mengongkong! Sikit-sikit nak dengar cakap diorang! Tak payah la ikut sangat orang melayu, menyusahkan je! Lantak lah, Diam jelah kalo diorang cakap...
Ayuh, anak-anak.. Ibu bapa adalah DOA kita.

Soalannya, generasi mana yang betul??

Selepas setahun pulang dari UK, aku menyedari berjumpa jarang-jarang dengan keluarga kadang-kala memberi makna yang lebih besar berbanding berjumpa selalu. Layanannya juga pasti berbeza kerana pertemuan itu begitu dihargai.Terlampau banyak perkara yang boleh dipersetujui dalam masa singkat, namun begitu banyak perkara untuk tidak dipersetujui apabila masa tersebut berlarutan. Aku terpaksa berharap untuk dipostingkan jauh-jauh. Minta maaf sentiasa menjadi perkara yang baik, namun lebih baik sekiranya kita mengurangkan sebab untuk meminta maaf tersebut.

Tidak membuat kesalahan barangkali lebih baik daripada meminta maaf kerana melakukan kesalahan. Sangat kecewa apabila merasakan diri terlampau banyak mengecilkan hati mereka. Maka, berjauhan mungkin penyelesaian yang sesuai untuk mengurangkan kebarangkalian melakukan dosa tersebut. Aku rasa lebih bertanggungjawab apabila berjauhan dengan mereka. Kehilangan tanggungjawab apabila berada di rumah dilihat seperti satu dosa. Dosa anak kepada ibu-bapa, tidak jauh dari dosa kepada Tuhan mereka,

Banyaknya menulis di sini, mungkin akibat kurangnya bertahajud kepad Allah.



Sekian dari Syuib0809

Seraut Kata dan Jesus adalah muslim

Bismillah

Baru pulang dari Kuala Terengganu. Dikongsikan dua buku yang telah dibaca untuk memudahkan siapa-siapa yang nak beli buku ni.

Seraut Kata Selaut Rasa

Secara asasnya, buku ni sama sahaja konsepnya dengan buku Ustaz Hasrizal, Erti Hidup pada memberi yang dah dikongsikan dahulu. Cuma, kata-kata Ustaz Pahrol Juoi ini lebih panjang dan banyak berkisar mengenai  hati. Banyak kata-kata menarik apatah lagi memalingkan kembali kata-kata kita kepada diri kita sendiri. Mungkin yang paling berkesan di hati ialah kata-kata umar: Kamu sentiasa ada cara untuk bersangka baik dengan kata-kata saudaramu. Tak mampu nak ulas banyak sebab bagi aku kena baca buku-buku Ustaz pahrol yang menerangkan kata-kata dia ni. Namun, ada sahaja yang boleh ditafsirkan dan direnungkan sendiri.



Dan aku dah bagi kat orang buku ni, jadi tak dapat nak kongsikan sangat kat sini contoh kata-kata beliau.

Jesus adalah muslim

Buku ni aku beli waktu raya di Melaka, namun tertinggal kat rumah waktu nak balik IPG. Jadi, masa yang ada di Kuala Terengganu aku gunakan untuk habiskan buku ni. Buku ini sudah tentu menceritakan mengenai Jesus dan juga beberapa isi kitab Injil. Tertarik dengan 4 karangan Gospel yang ternyata berlainan antarasatu sama lain. Kisah-kisah pengubahan isi, tauhid, fiqah(cara beribadah) ternyata memberi sedikit input supaya mampu berkongsi dengan rakan-rakan bukan beragama Islam. Dalam buku ni mengisahkan beberapa pertikaian seperti benarkah Jesus, atau Judas yang di Salib. Jesus sebagai anak Tuhan? Parthenogenesis? dan terakhir sekali adakah Jesus Muslim?

Dah lama sebenarnya tak baca buku-buku perbandingan agama ni. Menarik juga bila tahu mengenai Yahudi samiri, konsep tiga sesembahan, trimurti yang akhirnya memberi impak kepada sistem Jahiliyah dan Kristian. Dahsyatnya bagaimana Tauhid Kristian ditentukan oleh satu pertemuan diketuai Constantine. Pernahkah terfikir mengapa pusat bagi agama ini adalah di Itali, bukan di Jurusalem? 

Namun, tak galakkan kanak-kanak baca. Sangat tak galakkan...






Sekian sahaja dari Syuib0809