Wednesday, 20 December 2017

ZTE Nubia

Bismillah.

Isnin baru ni, phone aku jatuh. Cuma oleh kerana aku demam, kepekakan yang bertambah itu meredhokan kejatuhannya. Aku sebenarnya sedar ada benda jatuh, tapi entah kenapa aku membiarkannya. Pelik. Setelah lebih kurang 30 minit, aku kembali ke tempat smartphone itu jatuh. Yang tinggal hanya "casing" sahaja. Simcard plak sudah ditarik keluar barangkali. Aduh, terdesak betul orang Malaysia ni. 

Berbeza dengan kehilangan sesi lepas, ketiadaan phone kali ini benar-benar merunsingkan sebab banyak sangat urusan yang memerlukan telefon tersebut. Antaranya kerana urusan penghantaran barang yang dibeli dan juga urusan rumah. Lalu aku tidak mengambil masa yang panjang. Pukul 5.30 bertolak ke sunshine dan terus punya telefon baru.

ZTE NUBIA NX597J.

Menyedari setiap tahun aku kehilangan dan bertukar-tukar telefon bimbit, maka aku rasa tiada keperluan untuk mencari telefon yang mahal. Antara "syarat" yang aku tetapkan ialah ia mesti ada 4G, selebihnya tiada apa yang aku perlukan termasuk kamera. Dan alhamdulillah dipertemukan dengan adik-beradik ZTE iaitu Nubia yang sangat "mirip" dengan phone lama . Dengan harga bawah RM500, aku rasa kecanggihan yang mengiringi sangat-sangat menjadikan ianya berbaloi-baloi...




Menarik kali ini, aku memuatnaik aplikasi whatsapp sebagai aplikasi pertama untuk phone nobia tersebut. Sebab sementara menunggu simcard webe diganti, terpaksa guna simcard maxis yang kena topup bagai. Apeke jadah, baik berjimat dengan guna wifi rumah je. Haha. Tapi nombor maxis ni hanya beberapa orang je yang tahu kot, dan aku dah "haram"kan diorang bgtau kat super senior diorang. Dan kadang2 kesian gak tengok diorg berhabis duit sms aku. 

Apepun simcard webe/unifi dengan nombor lama sudah sampai dan digunakan semula. Mohon yang membaca post ni mesej la kembali sebab memang kosong lansung senarai contact dalam phone ni. Maaf.

GAMBAR.

Apabila aku memberitahu rakan sepejabat, en. Saiful mengenai kehilangan phone, antara yang dia risaukan ialah gambar dalam phone tersebut. Ia benda yang tak mungkin akan dapat kembali. Cuma keberuntungan diri, aku tidak banyak menggunakan kamera phone untuk menangkap gambar. Malah, aku tidak punya whatsapp sebagai medan perkongsian untuk memuatnaik gambar. Kebanyakan gambar akan dihantar oleh rakan-rakan atau pelajar melalui emel. Dan syukur alhamdulillah, kehilangan telefon bimbit itu tidak membawa kesan yang besar kerana masih tersimpan rapi gambar2 itu dalam ruangan inbox.


  1. Kebanyakan gambar-gambar penting yang aku peroleh, aku suka sematkan dalam blog ini. Kerana aku tahu, bila hard disk rosak, komputer diserang virus atau apa sahaja kemalangan yang berlaku, blog ini masih punya secebis kenangan bergambar untuk ditatap semula dihari kemudian. Malah hanya kerana sekeping gambar, aku sanggup menulis panjang lebar, semata-mata bagi memberi ruang agar gambar itu punyai sebab untuk diselit dalam blog kerdil ini

Dan dalam banyak-banyak gambar "penting" yang pernah diemelkan pada aku, gambar ini yang masih belum sempat aku selitkan sehingga kini. Maka rasanya sudah tiba masa ia menyerikan blog ini.

Kelebihan duduk depan, berseri wajah





Semoga kalian sihat-sihat sahaja.

Sekian dari Syuib0809.

Thursday, 7 December 2017

Penutup Alkisah Cinta Tiga Negeri: SANGKAAN

Bismillah.

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah, dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam. Dan (neraka Jahannam) itulah sejahat-jahat tempat kembali. Surah alfath: ayat 4-6

Surah di atas ini, adalah surah yang pernah menjadi tugasan kepada kami ketika menghadiri tamrin di  negara orang putih. Kalau tidak silap, itu adalah tamrin tahun pertama, yang mana kami diwajipkan menghafal ayat 1-10 surah al-fath sebagai intipati utama sepanjang program berlansung. Menarik sungguh surahnya, hingga aku menyambung mendalaminya dengan mendengar huraian Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyambung kaitannya dengan perjuangan Islam pada zaman moden ini. Ia kisah lama, lebih 5 tahun dahulu. Hinggalah baru-baru ni, Tuan Guru Hadi Awang membawa kembali tafsiran surah ini sebagai jawapan akan gelaran "parti suci" yang diberikan kepada sebuah jemaah Islam di Malaysia.

Zaman ni, tak boleh nak tangkap gambar dengan rakan-rakan seperjuangan sekali. Disiplin yang sangat ketat waktu tu. Aku pun dah lupa kat mana tempatnya.


Orang-orang bakal diazab oleh Allah itu kenal benar kita akan ciri-cirinya. Musyrikin itu sudah tentu benar orang yang tidak mahu menyembah Alllah "sahaja". Kejelasannya di muka bumi tidak perlu disuluh lagi. Yang terbaru sudah tentu mengenai isu baitulmaqdis yang mahu dijadikan ibu negara bagi Israel. Adapan musuh yang sukar kelihatan, adalah orang-orang munafik. Mereka solat dan berpuasa seperti orang Islam yang lainnya, tetapi menyembunyikan di dalam hati mereka akan kebencian kepada agama. Adapun cakap-cakap buruk mereka pada agama adalah bisikan sesama mereka. Sukar dinilaikan. Namun zaman moden ini, wujud umat Islam yang mungkin solat, tetapi menentang pengamalan Islam secara terang-terangan. Maka ia sesuatu yang sangat memeningkan. Siapakah mereka? Munafik? Musyrikin?



Apabila meneliti kembali latar belakang orang-orang sebegini, kebanyakan mereka punyai pengalaman sebagai "orang agama", atau paling tidakpun pernah hidup bersama orang yang "kuat beragama". Tidak hairan, sekiranya mereka adalah produk-produk sekolah agama, maahad, pondok dan sebagainya. Malah mungkin mereka adalah anak-anak kepada ustaz-ustaz yang sangat terkenal agamanya. Kebosanan mereka kepada agama, hingga merasa kehidupan beragama sebagai amalan ritual yang mengongkong dang membodohkan, adalah sangkaan buruk yang mereka letakkan kepada Allah dan Rasulnya. Hingga di penghujungnya, semua syariat yang telah Allah tetapkan dilihat sebagai kejam, menindas kaum wanita, dimomokkan sebagai jumud dan tidak memajukan negara. Ia sangkaan yang membinasakan, dan jangan terkejut, kita juga mungkin salah seorang darinya.

Kerisauan aku melihat langit yang begitu terbuka, kecanggihan internet itu membina seribu satu paradigma negatif pada anak-anak muda yang sedang memilih jalan dalam hidup mereka. Mereka-mereka ini mudah benar melihat yang salah sebagai benar, dan yang benar sebagai salah. Bermula dengan sangkaan-sangkaan buruk mereka kepada orang beragama, ia pasti berlanjutan apabila tersebar luasnya di muka buku akan keseronokan hidup orang yang tidak beragama. Hingga mereka menjadi musuh kepada orang-orang yang pernah seagama dengan mereka, dek kerana ber"sangka" mereka dibenci saudara seagama, dan menyangka pula yang tidak beragama itu lebih "menyayangi" mereka. Ia kuasa sangkaan, yang bukan sekadar menentu balasan syurga neraka di akhirat, tetapi turut menentukan ketenangan dan kegelisahan manusia sepanjang dirinya hidup di dunia.

Penutup Alkisah Cinta Tiga Negeri.

Beberapa hari ini, aku mengayuh basikal yang kerap terkubur di kawasan bawah rumah. Cuti-cuti ni, rasa best plak bawak. Kalau hari bekerja, balik rumah je dah penat. So tak larat. Tambah lagi, sakit punggung lepas bawak lama-lama. Hari selasa, aku berbasikal menghala ke pekan kepala batas. Semalam, berkayuh mengelilingi kawasan permatang buluh dan kampung aman. Sambil tu singgah pasar malam dekat simpang tiga masjid kampung aman. Tengah berpeluh-peluh tu, tetiba aku terjumpa "Ustazah bersejarah" yang pernah aku ceritakan dulu.

Siapa-siapa yang pernah mengikuti siri Alkisah Cinta Tiga Negeri, pasti mengenali watak "ustazah" yang aku maksudkan tu. Entah kenapa senang benar aku mengecamnya. Rasanya bukan kerana cinta dah. Haha. Memang wajahnya senang nak cam, apatah lagi kalau nampak giginya. Hehe. Kecik benar dunia ni. Dia pakai tudung merah maroon. Cuma kali ini, dia berjalan bersama suami dan anak yang kelihatan belum sampai satu tahun usianya.. Aku tak pasti dia baca tak blog ni, tapi kalau bukan puan orang yang saya jumpa tadi, tolong bagitahu ye. Hahaha. kalau betul itu puan, tahniah!!

Musim berkahwin ni, aku lebih suka bersangka baik sahaja dengan Tuhan. Melihat satu demi satu orang yang pernah disukai mendirikan rumah tangga, tidak lagi mendatangkan gelisah pada diri. Lepas ni nak tunggu orang terengganu dan studentku si pemalu tu pulak naik pelamin. Haha. Mudah-mudahan mereka berjodoh dengan orang yang baik-baik.

Doa Jodoh.

Secara jujurnya, aku jarang berdoa pada Allah untuk dipertemukan jodoh. Aku risau aku kelak akan bersangka dengan sangkaan yang kurang baik pada Allah. Kerana itu, aku lebih gemar memohon agar Allah mengaturkan yang terbaik untuk hidup aku. Biarlah apa sahaja yang berlaku kelak dipandang sebagai aturan yang baik. Ia sangkaan baik yang perlu diletakkan kepada Tuhan, supaya kita sedar yang kita bukan Tuan yang menentukan perjalanan hidup kita. Sebab itu aku meletakkan kata-kata yang menjadi moto blog ni: "Kalaulah kita tahu apa yang terbaik untuk kita, pasti kita tidak akan pernah bersedih".

Baru-baru ni hantar mak abah pi Umrah. Kebiasaannya, orang akan mintak untuk didoakan bertemu jodoh di tempat-tempat mustajab doa, tapi aku melanggar kebiasaan itu. Haha. Biarlah mak abah je yang doa, doa mereka lebih mustajab. Entah kenapa, aku selalu rasa akan bertemu ajal dulu sebelum bertemu jodoh. Kerana aku rasa meninggalkan orang yang kita sayang ketika dia bergembira menyanyangi orang lain adalah lebih baik daripada meninggalkan orang yang kita sayang berlinangan dengan air mata kerana menyayangi diri kita. Pergh... Ayat. Kena buat copyright ni. Cia3x

Lama tak buat drama. Haha



Sekian dari Syuib0809.




Tuesday, 28 November 2017

Akak, PA dan Whatsapp

Bismillah

Beberapa minggu ni, aku memulakan proses pembersihan dan penambahbaikan alat PA sistem yang aku ada. Oleh kerana urusan rumah sudah tidak memerlukan komitmen diri untuk beberapa bulan ini, maka aku rasa sangat perlu untuk kepala ini disibukkan dengan sesuatu. Azamnya, mahu menukar sistem yang berpaksikan power mixer kepada power amplifier sebagai sumber utamanya. Banyak sebabnya, antara yang utama ialah aku lihat power mixer tersebut tidak mampu memaksimumkan kuasanya untuk majlis-majlis besar yang menggunakan banyak mikrofon. Akibatnya ketika dikir zikir, banyak input yang tidak berfungsi hingga terpaksa kami menggunakan audio mixer yang lain.

Proses-proses ini belanjanya bukan sedikit. Cuma pengalaman kecil yang aku ada, menyebabkan aku lebih matang dalam menilai harga yang ditawarkan. Juga, sudah semakin mahir mencari barangan pada tempat dan harga yang sepatutnya. Teringat awal-awal dulu, beribu-riban duit dikeluarkan, tetapi bunyi dan kemudahannya masih belum memuaskan telinga. Nerd ketika itu sebab takde ilmu pasal bende-bende ni. Bersempena MEMORI yang bakal berlansung bulan Januari nanti, aku rasa ini sahaja yang aku mampu sumbang untuk menggempakkan program itu nanti inshaAllah. Target aku, akhir disember ini proses penambahbaikan alat-alat ini akan disempurnakan.

Bagi menampung kos besar itu juga, aku melakukan pembersihan barang-barang lama yang hakikatnya masih elok lagi. Sayang memang sayang, tetapi bila memikirkan ruang terhad dan belanja yang perlu dikorbankan, ia satu keputusan positif yang perlu diambil. Lalu aku mengiklankannya di mudah.my.




Hmmm, ramai sungguh yang berminat. Setakat ini aku rasa dah lebih 10 orang yang tanya. Tetapi yang menyampahnya, sorang pun tak datang nak tengok dan test barang. Ia pengalaman yang menarik. Banyak yang sekadar suka bertanya, sedangkan tiada kemampuan. Dan yang sangat menarik, majoritinya akan bertanya:

"Bro, ada whatsaap tak?" Haha

Whatsapp

Aku sendiri kurang pasti, adakah whatsaap itu benar-benar membantu atau "menyesakkan". Memandang dari sudut "positif", kebanyakan yang bermain-main dalam pertanyaan akan berhenti menghantar sms pada aku selepas 2-3 kali dibalas. Ia brangkali menjadi tanda, yang mereka tidak sanggup "membayar" untuk setiap pertanyaan tidak serius mereka. Adapun yang serius, menghantar mesej-mesej yang penting sahaja, jauh dari sebarang soalan merapu yang menguji kesabaran. Ia eksperimen yang menarik. Dan aku menambah keterujaan tersebut...

Aku memuatnaik aplikasi whatsapp setelah 6 tahun memboikotnya. Gulpp.

Saja mahu bereksperiment. Adakah akan ada yang bertanya dlm aplikasi tersebut? Ada tak orang sedar yang aku ada whatsApp. Dan menariknya selepas dua hari, masih tiada siapa yang perasan. Haha. Masuk hari ketiga, si sufi tetiba dapat kesan aku berwhatsapp. Sebagai orang yang jahil, aku pun x tau macam mana diorg detect. Dan selang beberapa jam, terus aku uninstall balik. Hahaha. Merapu gila aku tengok status-status student aku ni. Kalau zaman aku dulu, akan kami panggil status2 sebegitu sebgai "poyo". Puihhh.

Akak.

Aku kembali berkampung di KL untuk urusan semakan. Macam biasa, orang yang " menjaga" aku akan tercari-cari sebab aku takdak WhatsApp. Sebenarnya, Lama tak jumpa orang-orang yang dalam lingkungan sebaya. Kali ini, banyak senior2 dan junior aku yang turut serta. Dalam semua yang aku kenal itu, 90 peratusnya tidak aku tegur dan tak bertegur sapa dengan aku. Memang macam orang asing. Berkali-kali cuba nak tegur kak fatin, nak mintak tolong kirim salam kat akmal amri, tapi tak berani sungguh. Aduih. N then aku nmpak kak fatin pun mcm x kenal aku. Sebab aku botak kot. Haha. Yang aku sempat tegur ialah adik kak ajah, si hanisah. Dan ada sorang budak ni tetibe aku teringin nak tegur waktu makan.

"Belajar kat KYUEM ke dulu?"

"Tak,tak, belajar kat INTEC dulu..."

"Kenapa macam biasa tengok eh? Batch mana?". Aku meneruskan pertanyaaan sebab rasa macam kenal sungguh minah ni.

"Sama batch dengan hanisah, selalu je jumpa(jari tunjuk kat aku) kat program2 dulu"

Hmm, kalau bukan batch aku maksudnya bukan kat program KPM la kami jumpa. Kat program-program iluvislam kot. Terasa femes plak aku. Haha.

"Dah kahwin ke?"

Okeh, yang ni aku tak sempat nak tanya. Gila apa nak menggatal tiba-tiba. Walaupun aku "rambang mata", aku suka berfikiran positif dengan menganggap mereka-mereka ini sudah berkahwin. Ia menunduk nafsu dan menutup fitnah. Bayangkan yang kecik-kecik comel dalam batch aku pun dah banyak bergelar mak orang. Zaman bertebaran produk kecantikan ini, sangat sukar membezakan si anak dara dengan yang sudah berpunya. Ia fitnah akhir zaman, yang merancakkan seribu satu zina di media sosial dengan tunafoto yang penuh penipuan. Kerana itu, aku suka memanggil mereka "akak".

Dalam kumpulan aku, hanya aku dan en.Azman yang kelihatan seperti lelaki. Eh silap, memang kami lelaki. Selebihnya adalah perempuan. Wajah mereka semua, sangat jelas menunjukkan mereka adalah "akak-akak" bagi aku, kecuali sorang ni duk depan aku. Berkenan sungguh nengok. Haha. Tapi sepanjang satu minggu memang aku tak bertegur sapa dengan akak2 kumpulan aku ni. Nama diorang pun aku tak tau. Fokus menyiapkan kerja, dan memang aku pemalu pun. Banyak sembang dengan encik Azman yang sudah ada 9 cucu. Cuma di malam terakhir, aku meramahkan diri sebab kerja dah habis dan tak mau nampak sombong sangat:

"Akak ok ke? Nak saya tolong ikat tak?" 
Aku menawarkan bantuan setelah melihat akak depan aku ni terpinga-pinga.

"Izuan konfiden je panggil dia akak kan?" Kak Nani yang satu kumpulan dengan aku menyapa setelah pelik dengan gelaran "akak" yang aku bahasakan.

"Saya dah check kak nani, memang saya paling muda kat sini". Setelah melihat borang yang tertulis nombor kad pengenalan, aku sangat yakin yang aku paling muda walaupun muka tua sikit. Haha.

"Lahir tahun berapa".. Akak tersebut bertanya kembali pada aku

"198*".. Nota kaki: Tahun terpaksa dirahsiakan bagi mengelakkan fitnah. Kihkihkih

"Eh, samalah kita..."

Rupa-rupanya dia tak isi borang tu sebab dia pensyarah INTEC. Tapi lepas aku siasat, memang dahsyat orangnya. Dia ada master dari UPM dengan kajian pasal zorro apa bende tah. Tapi yang paling menarik dari penyiasatan aku ialah, dia tak kahwin lagi. Haha. Lawa mcm tu pun tak kahwin lagi. Pelik dunia ni. Nasib baik ada simpan nombor.

Sebenarnya itu je sebab aku download whastapp. Ciaciacia

Ayuh semua, sebarkan firasat dan propaganda kalian. Hahaha

Jangan serious sangat deyh. Aku sekadar nak cukupkan kuota kata sahaja. 2 posts setiap bulan.

Sekian dari Syuib0809


Saturday, 11 November 2017

Sebelas sebelas

Bismillah.

Hari ni aku tengok banyak betul promosi barangan atas talian sempena tarikh sebelas sebelas. Entah apa istimewa aku pun tak tau. Lazada antara yang ketara iklannya sampai masuk tv. Yang kurang terkenal seperti ezbuy dan shopee aku peroleh maklumannya melalui internet. Namun dalam banyak-banyak laman sesawang perniagaan atas talian ni, yang aku paling selalu guna hanyalah SGShop.com.my je kot. Bagi aku sangat-sangat berbaloi, banyak pilihan, selamat dan memang dijamin murah. Tapi rasanya tak ramai yang tahu. So berpagi-pagian pada hari istimewa ini, aku pun ber"shopping" di alam maya dengan menggunakan telefon semata-mata. Hehe

Hari ni, aku rasa aku sorang je yang buat kelas/kuliah untuk pelajar-pelajar yang bukan pelajar aku. Erk.. Lagi dua hari nak peperiksaan besar, jelas benar tak ramai yang bersedia untuk kertas matematik. Dari pukul 10 pagi ke 12 tengah hari, aku memberi tema pada kelas tambahan itu dengan tema "Back to Basics". Membincangkan soalan-soalan simple yang diorang pun baru tersedar rupa-rupanya diorang tak boleh buat. Aduih. Menariknya kuliah tambahan ni ialah diorang yang request, bukan aku yang nak buat. Baguih.

Selepas tamat kelas, aku bertanya pada Izzah

"Budak hari tu dah balik ke?"

"Dah cikgu, dia lepak bilik lain plak. Kesian Qai kena lepak tempat lain sebab takut"

Budak yang aku bicarakan ini, terkena gangguan(histeria) dua minggu lepas. Ketika itu, kolej terputus bekalan elektrik untuk proses-proses penyelenggaraan. Aku yang sudah berhenti menjadi felo tiba-tiba dipanggil untuk membantu. Aku sumbat budak tu dalam kereta bersama-sama dengan izzah sebagai pembantu dan dua orang lainnya. Bermacam-macam perkara lucu, menakutkan dan mendebarkan yang tak sanggup aku nak ceritakn. Cuma keesokan harinya, pertama kali aku kena demam panas pelik, badan menggigil, sampai terpaksa berselimut seorang diri. Menambah khurafat, tetibe perut plak kena cirit birit sampai tiga hari. Aduih. Ingatkan aku sorang je kena. Rupanya semua yang ada dalam kereta aku pun demam gak kecuali Izzah. Siot.

Habis sahaja kelas tengah hari tadi, aku memecut ke sungai petani mencari makanan kegemaran, ayam golek. Beli setengah ekor je. Makan dengan coleslaw KFC dan roti kegemaran dari Giant SP. Tersedar aku tidak lagi berada pada zaman kegemilangan dulu. Dulu seekor ayam aku boleh telan dalam masa sejam je. Haha. Sekarang ni, separuh pun dah kenyang sampai satu hari. Dugaan betul. Ingat nak beli kek, tapi takut buang macam tu je sebab tak larat nak makan.

Petang pulak, menjadi tukang jahit. Seluar dah banyak rosak dan koyak, so kenalah repair sendiri sebab takde orang rumah. Sedih.

Tarikh sebelas-sebelas kali ni, aku genap dua puluh lapan. Tiada siapa yang tahu dan sedar kecuali keluarga, kerana aku masih memboikot majoriti aplikasi sosial. Hadiah? Aku dapat choki-choki dari si Fatin satu paket. Haha. Tulislah gak kat sini.

Mengimbau kembali setahun yang berlalu, aku rasa majoriti yang aku nukilkan berjaya aku capai secara materialistiknya kecuali travel ke korea. Untuk tahun yang mendatang, aku rasa aku bakal memiliki rumah, dan mahu fokus pada meng"indah"kannya agar berasa habuk2 dari syurga. Dan untuk satu tahun akan datang ini juga, rasanya sangat perlu untuk aku memperbaiki diri kembali. Rasanya, dalaman aku dah rosak teruk. Minggu ni sahaja, dua kali subuh aku dirikan di rumah. Kemalasan ke surau dan masjid itu semakin menjadi-jadi. Besar sebabnya, aku tiada lagi vitamin yang mampu menggalakkan. So,tahun mendatang ini juga aku berimpian mahu menghafal kembali surah sekurang-kurang satu. Target terdekat surah Al-munafiqun. Dah takde orang paksa ni memang jadi payah sungguh. Arghh.

Selamat bertambah umur buat diri sendiri.
Sekadar catatan untuk hari yang istimewa ini.
Agar mampu aku membeleknya kelak dengan hati yang lebih baik.
Maaf, memang tiada impian mendirikan rumah tangga buat tahun yang mendatang ini.
Hanya keajaiban yang mampu membantu merealisasikannya barangkali

Sekian dari Syuib0809.

Monday, 23 October 2017

Bicara Hati untuk Hati

Bismillah.

" you punya telinga, dua-dua sudah tutup.. Maybe sebab kuman.."

Setelah tiga tahun berlalu, aku kembali membuat pemeriksaan kesihatan. Kesempatan yang ada, aku meminta doktor yang sudah dimamah usia memeriksa sekali telinga yang semakin tidak biasa. Semuanya kerana insurans perumahan. Tidak aku sangka kerenah birokrasinya lebih mencabar berbanding membina rumahtangga. Adapun mencari orang rumah, masih menjadi tugasan paling mencabar buat diri.

Telinga yang ada dua ini, bukan sebegini sejak azalinya. Semakin aku besar, semakin menjadi-jadi nakalnya. Cuma hikmahnya, kedua-duanya menjadikan aku semakin kurang nakal. Kalau dulu banyak benar sembangnya, banyak benar dengarnya, banyak benar kawannya, banyak juga dosanya. Cuma kini semuanya berlainan dari yang dulu. Aku sudah tidak banyak bersembang dengan manusia. Sudah tidak banyak berbuat kawan. Orang sekeliling yang tidak pernah melihat siapa aku dahulu, membilang aku anti sosial, tidak peramah dan serius sahaja orangnya.



Sedangkan aku, tidak gemar jika orang berminat dengan telinga yang tersembunyi rahsia ini. Tiada siapa bergembira digelar si pekak. Sedangkan si buta pun berkecil hati digelar si buta. Dan terbukti, OKU juga lebih berminat ditafsir sebagai kelainan upaya berbanding kurang upaya. Adapun yang sudah tahu dan sedang tahu, dihantar Tuhan bagi menjinakkan ego yang ada dalam diri.

Mengelakkan orang-orang biasa tahu, maka kurang bercakap dan bersembang adalah kuncinya. Jodoh mulut yang berbicara itu pasangannya adalah telinga. Telinga yang tidak menerima, maka tiada jawapan juga yang akan diterima. Ketika itu, rahsia tidak lagi tinggal rahsia. Kerana itu, aku memilih untuk kurang berbicara. Dan akibatnya, aku selalu tidak berjaya menghabiskan kuota dan kosa kata yang patut diucapkan manusia 3000-4000 sehari.

Penyelesaiannya, aku memilih untuk bercakap sebanyak-banyaknya dalam Dewan kuliah dan bilik tutorial. Hingga kadangkala, yang mendengar terpinga-pinga dengan apa yang aku bebelkan. Bila malam menjelma, aku terus berhenti berbicara. Duduk seorang diri. Melainkan ada urusan bersama ANC, barulah kouta patah perkataan yang berbaki dilengkapkan sepenuhnya.

Selebihnya, aku bicarakan dengan menulis. Kerana adat manusia, mesti mengadu apa yang dirunsingkan dalam hati. Jika dipendam, besar kelaknya menjadi penyakit. Oleh kerana tiada manusia, maka aku bicarakan sahaja dengan mencoret apa yang mampu. Cuma kehadiran pembaca yang masih belum matang, memerlukan aku untuk lebih berhati-hati tatkala menulis. Bahasa hati ini sebenarnya bukan untuk yang membaca, tetapi untuk hati yang menulisnya sendiri. Kerapkali aku membelek-belek kembali penulisan yang aku sahaja tahu makna penuhnya. Ia disusun mengikut darjatnya. Yang dinilai mengikut bahasa dan cerita disebaliknya. Selalu aku membacanya kembali. Buat peringatan untuk hati sendiri.

1. Putus
2. Mughith dan barirah.
3. Buah Hati Tamtam
4. Pondok Hutan
5. Kapitalis Dakwah.
6. Bisikan Buat Raja
7. Acuan dan Roda
8. Langgam Bakungtai
9. Sisi Hati Memori.
10. Bebas.

Top petikan yang menjadi tulang belakang

Bilamana kamu bersedih
Dirimu beranggapan aku gembira
Atau berkhayalan diriku tiada rasa
Sedangkan unggas menontonku
Menghiburkanku dengan muzik-muziknya
Supaya aku berhenti berduka
Tersenyum...
Terus gembira.




Bercintalah anak muda
Namun jangan leka dan alpa dengan cinta
Dunia ini tidak lebih dari mainan dan gurau senda
Cintamu kepada manusia selalu hampa
Kerna kamu rasa yang dicintai itu jodohmu
Sedangkan ketentuan Allah adalah kebaikan buatmu
Teruskan hidup
Moga terbentang jalan ke syurga buat kita





"Ishh cikgu ni.. 10 kali dah cakap, Sufi balik dengan parents dia la..."

Gadis bernama Wahyu ni, kalau wujud wataknya di SEMESTI  dulu, pasti benar menjadi musuh utama aku. Muka cantik, bahasa kasar, adalah golongan utama yang aku isytiharkan perang ketika zaman pramatang dahulu. Cuma kasarnya dia, pada semua manusia tanpa mengira rupa. Adapun gadis-gadis yang pernah aku jumpa, berlembut dihadapan pemuda mirip Fattah Amin, menjadi singa jika wajahnya cerminan Rahim Sepahtu. aduih. Dan telinga ini juga menjadi penyebabnya.



Hmmmm.. Jujur, diorg memang lawa. So, kene tutup muka. 



Baru-baru ini, aku berkunjung ke pantai timur kembali. Lama tidak ke sana. Jarak yang begitu jauh itu benar-benar menguji kesabaran walaupun aku tidak bergelar pemandunya. Membayangkan jika aku berjodoh dengan orang Terengganu, pasti ngeri bunyinya. Bergaduh jela gamaknya bila nak balik kampung kelak. Bukan giliran yang aku runsingkan, memikirkan jaraknya sahaja sudah mencipta  sebuah kerunsingan. Abaikan, itu cerita lama, asbab tatkala aku menulis "putus". 

Aku ke sana kerana konvokesyen adik perempuan aku di UNISZA. Dan rezeki, berjumpa bekas-bekas student. Cuma yang tidak dijangka, seorang gadis tiba-tiba menyapa. Tak silap aku nama dia Syuhadah, batch 14/15 modul tiga. Ambik Kimia Analisis. Aku tidak punya apa-apa topik untuk dibualkan dengannya, maka menamatkan perbualan adalah langkah yang terbaik. Noktah.

Anak-anak gadis ini apabila di kolej, kelihatan seperti kanak-kanak di mata aku. Baju kurung yang tidak diseterika sempurna, tudung senget dengan sos keropok losong tertumpah di atasnya, bau peluh sehaluan pelari pecut negara, menjadikan aku seperti bapa-bapa yang mengusik anak-anak daranya dengan mainan kata-kata. Namun di luar, mereka seperti gadis-gadis biasa, dan patut dilayan seperti gadis-gadis biasa. Dan aku sendiri perlu sedar, aku adalah lelaki asing(ajnabi) bagi mereka yang kelihatan tidak asing. Maka, halal haram yang terpelihara sejak dahulu perlu kembali didahulukan.

Seperti mana aku tidak pernah melayan dan berjenaka dengan gadis-gadis biasa, maka aku juga selalu "awkward" bila mahu berbual dengan mereka yang sudah bergelar gadis. Itu adalah aku yang bergelar aku, bosan dengan wanita dan membosankan wanita. Kawan adik-adik aku pun aku x bertegur sapa. Gila. Maka maafkan aku, kerana sudah terlampau biasa menjarakkan diri dengan kaum hawa.

Sori na..
Cukup sudah kuota malam ni

Sekian Dari Syuib0809


Thursday, 12 October 2017

Street dakwah: Isi dan Kulit.

Bismillah.

Mengimbau ingatan zaman-zaman belajar di sekolah dan matrikulasi, aku menjadi orang yang sangat tidak menghormati gadis-gadis sebaya. Entah kenapa tiada tenang melihat mereka. Besar sebabnya kerana akhlak, bahasa dan akal mereka yang meletakkan mereka sebegitu. Apabila masuk ke KYUEM, sikap panas baran aku pada wanita itu berubah secara drastik. Dan buat pertama kalinya aku sangat hormat pada gadis sebaya. Dan penghormatan itu terlampau menggila hingga lalu depan mereka pun aku tunduk. Dua oramg yang menduduki tempat teratas ialah Siti Fatimah Mokhtar dan Amira Mat Safar. Mereka adalah watak-watak yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Siti fatimah itu, pelajar terbaik SPM tahun 2006. Imejnya bertudung labuh, alquran melekat dalam kepalanya, dan dalam MUSCOM(badan dakwah) dia adalah antara bos-bos besar aku. Cuma yang selalu mengujakan ialah apabila orang-orang freehair, tudung pendek dan "kaki sosial" cukup sayang pada dirinya. Pertama kali aku melihat muslimah sebegitu. Malah apabila aku kembali ke surau setiap malam untuk menutup lampu, menjadi hobi mengintai dia dan rakan-rakan yang menegur pasangan-pasangan romantik di koridor kolej. Tiada isu dan diterima baik, teguran dia itu seperti jampi yang tiada silibus untuk dipelajari. Mereka punya seni dalam dakwah. Yang menyambung keberkesanan isi pada kecantikan kulit.

Sekumpulan gadis sebaya yang pernah dihormati

Street Dakwah: Kecantikan Kulit.

Hujung minggu lepas, aku kembali menguji ANC dengan projek baru, diberi nama sebagai street dakwah. Dua minggu berturut-turut yang menjadikan sabtu sebagai hari belajar dan bekerja, amat besar cabaran buat mereka untuk merancang dan melaksanakan projek kecil ini. Projek ini juga adalah program penutup anc untuk semester ini, sebelum mereka menempuh PSPM pada bulan november nanti.

ANC 2017/2018 ini adalah batch yang mendapat 1001 kemudahan dan kewangan hasil pengorbanan senior-senior mereka sebelum ini. Banyak kemudahan-kemudahan yang tidak ANC  sebelum2 ini rasa, dinikmati oleh batch ini. Malam street dakwah ini, dihiasi dengan gambaran yang belum pernah aku lihat pada anc sesi yang lepas-lepas. PA system yang 90% menggunakan mikrofon tanpa wayar, lighting system yang sangat canggih, projector baru, pentas pallet serbaguna(baru sampai), alat muzik temporari/moden, semua kemudahan peralatan ini membina imej yang sangat "gempaks" untuk ANC.



Malah pujian besar aku berikan kepada pengendalian teknikal bagi program ini, yang sangat komited dan rajin. Bayangkan sebaik sahaja kelas habis jam 5 petang, muslimin ANC terus bergotong royong angkat peralatan dan pentas ke depan koperasi. Hingga ada yang kekal berkemeja sehingga program tamat. Hebat!!.

Street Dakwah: Isi yang tertampal.

Program santai ini, mempersembahkan lagu menahan rindu(wany hasrita), peace be upon you(maher zain), kalimah cinta(inteam), potret(akim &majistret) dan ditutup dengan lagu Aisyah(projector band). Kemudiannya diselangi dengan sketsa, sedikit tazkirah dan kuiz "moral" sebagai tampalan kepada hiburan yang dipersembahkan. Dan sambutannya, sangat menggalakkan.

Antara penonton-penonton yang hadir.


Sketsa tipikal: Anak derhaka. Secara jujurnya, mereka kurang idea.

Namun yang merunsingkan aku ialah "rohnya". Barangkali aku sudah terlalu tua, atau mereka yang terlalu muda. Aku gagal mengesan "misi dakwah" yang sepatutnya menerajui projek ini. Hingga aku tersedar di penghujung persembahan mereka, penonton hanya beroleh hiburan, bukan pengisian.

Pencarian MC yang perlu diteruskan. Kesian asyik-asyik presiden ANC ni je yang kena kedepan. Sukarnya mahu mencari pengacara majlis yang mampu menyampaikan ilmu dengan unsur kecindannya sekali.


ANC sesi ini, baik-baik sahaja orangnya. Tiada apa-apa masalah besar seprti batch-batch sebelum ini. Dan aku gembira sahaja dengan mereka. Cuma sedikit sahaja kekecewaan aku, apabila melihat ada "jarak" antara mereka dengan orang awam. Jarak bunian itu menyebabkan nasihat dan pengisian tidak berjaya menembusi hati-hati orang awam yang mereka sisihkan. Kehilangan seni dakwah itu, seperti menyarung pakaian "malaikat", hingga sukar manusia-manusia biasa untuk merapati mereka. Natijah yang lebih besar, apabila mereka menyampaikan agama dengan bahasa-bahasa malaikat, pada manusia-manusia yang hanya paham dan menghayati bahasa manusia.

Seni Dakwah.

Dakwah yang tidak disertakan dengan amal oleh pelakunya, memisahkan cantiknya kulit dengan isi yang besar nilainya. Fatimah dan Amie yang aku hormati dulu, menyelit ditengah-tengah lautan manusia untuk memahami mereka. Di mana-mana sahaja program kolej, sama ada dipelopori oleh muslim dan non muslim, senyuman mereka pasti turut menziarahi orang-orang yang menjemput mereka itu. Amal-amal mereka, kecintaan mereka kepada ilmu dan Alquran, juga keindahan akhlak mereka, rindu benar untuk aku menontonnya kembali.

Amie(merah, fatimah(ungu). Waktu ni umur sebaya budak matrik je, tapi nampak aura diorang. Sekarang rasanya dah jadi mak orang. Kebanyakan program yang aku anjur mesti diorang ni menjadi tulang belakangnya sekali. Malah Fatimah yang satu rumah sukan(garnet) dengan aku, pernah join dikir barat mewakili House kami. Menarik.


Undur Diri.

Beberapa minggu ini, aku terlampau sibuk menguruskan hal rumah. Setelah gagal dalam usaha mencari orang rumah, aku rasa sangat baik untuk aku sekurang-kurangnya punya tempat berteduh kepunyaan diri sendiri. Menghitung hari, besar kebarangkaliannya aku akan berpindah keluar dari quarters kolej ketika MEMORI berlansung. Atau lebih selamatnya, sebulan selepas itu.

Pengalaman orang-orang lama di kolej berfirasat, komitmen aku akan pastinya berubah. Tidak sama seperti duduk di dalam. Menyediakan anak-anak itu untuk lebih berdikari, adalah langkah terbaik sebelum aku menjauhkan diri. Malah, tahun ini aku nampak en Saiful selaku penyelaras MEMORI agak bersemangat dan mampu membantu mereka. Cuma aku masih belum bertemu kekuatan mereka. Generasi Gajet dan android ini, nipis sungguh bakatnya, banyak benar cakapnya.

Kurang benar pastinya, adakah doa yang diperlukan kelak perlu ditujukan pada mereka, atau sebenarnya lebih berhak untuk aku.

Berdoalah, itu yang aku perlu dari kalian.
Kerana aku juga sedar, aku tidak lagi menjaga mereka sepertimana aku menjaga kalian.



Sekian dari Syuib0809.