Sunday, 29 November 2015

Tenggelamnya Kapal SI Oren

Bismillah.

Teringin mahu bercerita mengenai Kapal Oren. Warna mereka yang seakan "gah", berjaya menarik rakan-rakan yang komited ketika di kapal lama.

Rakan-rakan oren ini, dulunya adalah orang-orang bijak pandai dalam kapal Hijau. Kebijakan mereka, melicinkan pelbagai urusan dalam bahagian-bahagian kecil kapal. Apa yang mereka tidak tahu, akan mereka kaji sehingga tahu.. Semangat mencari ilmu, menjadikan mereka lebih tahu berbanding "awak-awak" kapal yang lain. Cuma suatu hari, mereka mengintai-ngintai bilik kemudi kapal. Bacaan Peta yang sepatutnya lurus ke Destinasi, Nakhoda Kapal tiba-tiba memutar kemudi kapal ke kiri. Sindrom serba tahu mereka itu memakan diri, hingga akhirnya begitu mudah mereka menyalahkan Nakhoda yang lebih tahu. Bagi mereka, Nakhoda sudah sesat dan sedang menyesatkan. Lalu, terjunlah mereka ke kapal baru.

Kapal oren itu mengemudi lurus mengikut peta ke destinasi. Bacaan peta tanpa ilmu Jack Sparrow, si lanun bertepuk tangan mengalu-alukan kedatangan mereka.

Rakan-rakan oren aku itu, dulunya orang yang sangat-sangat rajin di kapal lama. Siang malam memerah keringat, sedangkan tiada imbuhan untuk mereka dari kapal hijau kami. Kerajinan mereka, menjadi inspirasi kepada "awak-awak" kapal yang lain. Agar bekerja dengan lebih cepat dan bertenaga. Namun rakan oren ini, cepat juga penatnya. Mabuk laut yang menikam badan tatkala kepenatan, hati mereka tiada sabar mahu ke daratan. Saat pulau sudah kelihatan dari jauh, mereka memaksa Nakhoda memecut laju agar cepat sampai. Nakhoda yang selalu istiqamah dengan pergerakan, semakin memperlahankan kapal ketika terlihat bayangan daratan.

Tiada sabar, orang-orang oren itu keluar ke kapal baru beramai-ramai. Keterujaan menuju ke pulau dengan daratan, mereka berseronok memecut laju tanpa ilmu. Ombak yang semakin tinggi ketika air menyukat cetek, melambung pecah kapal kecil mereka. Semangat yang mendahului ilmu. Bukan mereka tiada tahu tentang itu.

Rakan-rakan oren itu, Tuhan berikan kepada mereka kelebihan berkata-kata. Apa yang mereka bahasakan, selalu sahaja terasa benar. Ketika di kapal lama, mereka kuat berhujah, menentang kapal sahabat. Kata mereka, kapal yang punya tujuan sama, tidak boleh ada pendua. Haram katanya. Dalil yang "awak-awak" biasa tidak hafal, semuanya mampu mereka tuturkan dengan fasih.

Entah apa logiknya, banyak hujah kini untuk mereka membina kapal baru. "Haram-haram" dulu sudah menjadi harus sekarang. Dalil yang mereka ratibkan, dipatah mudah oleh diri mereka sendiri. Lawaknya seperti ahli Badan Dakwah yang dulunya anticouple. Namun kemudian bercinta islamik dengan gadis idaman. Semua hujah anti couplenya dulu dipatah mudah oleh dirinya sendiri. Yang dalilnya dulu tiada, tiba-tiba menjadi ada.

Dulunya, oren kata hijau itu tiada baik kerana suka melabel.
Hari ni, mereka pula terasa baik tatkala melabel.
Baru aku perasan, oren-oren ini yang melatih ahli hijau dulu untuk melabel.

Oren kini menjadi rakan kepada musuh-musuh hijau.
Oren lupa, musuh-musuh hijau juga pasti akan menjadi musuhnya kelak.
Melainkan oren suka menjemput murka Tuhan, maka musuh hijau akan kekal menjadi sahabatnya kelak.

Rakan-rakan oren aku itu, baik-baik sahaja orangnya.
Cuma banyak kadangnya, mereka rasa orang lain masih belum cukup baik.
Penyakit hati seperti duri, sudah pernah memusnahkan saidina Uthman yang cukup dengan sifat baik.

Entah bagaimana Oren itu akan belayar, masih tiada siapa yang mampu menilik pasti.
Cuma aku yang biasa-biasa ini, masih setia dengan Nakhoda Kapal Hijau.
Nakhoda Tua itu terlampau taat kepada TuhanKu dan Tuhannya
Dan kerana itu, aku akan terus setia bersama Tuhanku, yang semakin pasti mencintai dirinya.

Sekian dari Syuib0809.




2 comments:

  1. Terkadang, kita lupa, bahwa hati ini ada Tuannya, bukan sekadar dipandu minda, entah esok istiqamahkah kita?
    Berhati-hatilah dengan persepsi, kelak mungkin memakan diri, berhati-hatilah dengan kata-kata kerna mungkin itu desakan syaitan durjana, maka penyakit hatikah itu namanya?
    Apa salahkah jalan-jalan syurga, jika tauhid itu paksinya, perlukah ditelagah hingga jelas hitam putihnya?
    Tak salah meluah, namun mungkin menjadi satu fitnah. Bersederhanalah sahabat, moga istiqamah.

    -awak-awak kurang ilmu yg cuma berharap semuanya selamat dan aman sampai di daratan-

    Wallahualam

    ReplyDelete
  2. Jika benar kata-kata Tuan ini, moga diampunkan dosa ahli2 oren yang sedang berjuang meraih syurga. Dan jika tidak benar, moga Allah ampunkan juga dosa2 Tuan yang juga sedang berjuang meraih syurga.

    ReplyDelete

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.