Monday 14 February 2011

Said bin Amer al Jumahi

Said bin Amer al Jumahi

Beliau memeluk Islam kerana tidak tahan melihat Khubaib bin Adi yang dibunuh oleh pembesar Quraisy dengan kejam. Pembesar Quraisy ingin membalas dendam atas kekalahan mereka kepada tentera Islam dalam peperangan Badar. Khubaib antara yang dapat mereka tawan.Beliau dijanjikan akan dibebaskan sekiranya beliau dapat menjadikan Nabi SAW sebagai gantinya.Namun beliau tidak sanggup menjadikan Nabi SAW sebagai ganti. Beliau lebih sanggup mati dari Nabi SAW yang menanggung kesusahan, bahkan beliau tidak sanggup melihat Nabi tertusuk duri sekalipun.

Kasih dan cinta Khubaib bin Adi kepada baginda SAW telah menimbulkan perasaan simpati dihati Said bin Amer al Jumahi. Tidak pernah dia jumpai seorang manusia mencintai seorang yang lain sehingga sanggup mati demi mempertahankan 'kekasihnya'.Simpati ini diterjemahkan beliau dengan memeluk Islam dan menjadi seorang yang sangat komited dengan perjuangan dan dakwah Islam.Tidak sia-sia pengorbanan yang telah dilakukan oleh Khubaib bin Adi. Pemergian beliau, Allah gantikan dengan seorang sahabat yang lain yang tidak kurang hebat pekerti dan pengorbanannya untuk agama.

Selepas kewafatan Saidina Abu Bakar, Said adalah antara sahabat yang turut membai'ah Saidina Umar sebagai khalifah Islam kedua. Namun apabila Umar ingin melantik beliau sebagai Gabenor di Hims, (wilayah di Syam) beliau menolak dengan alasan tidak layak dan tidak mampu. Umar menempelak sikap dan tindakan beliau dengan katanya 'Celakalah engkau! Sewaktu engkau membaia'h aku sebagai khalifah, aku menerimanya dengan berat hati. Sedang sewaktu aku ingin melantik engkau sebagai gabenor, engkau menolaknya mentah-mentah dan membebankan tugas kepimpinan ini hanya di atas bahuku!'

Akhirnya beliau menerima pelantikan sebagai khalifah dan melaksakan tugas tersebut dengan baik sekali.

Walaupun menjadi gabenor, beliau tidak mengambil kesempatan untuk mengaut harta kekayaan. Bahkan beliau antara yang turut tersenarai sebagai orang yang layak menerima zakat kerana kemiskinan.

Sebagai gabenor , beliau tidak terlepas dari kritikan dan rungutan rakyat bawahan. Antara rungutan masyarakat Hims kepada Umar al Khattab tentang beliau ialah;

i) Selalu lewat masuk kerja

ii)Tidak melayan rakyat pada malam hari

iii) Sehari dalam sebulan beliau tidak masuk kerja (bercuti)

iv) Kadang-kadang tidak mahu bercakap (seolah-olah orang sombong)

Umar al Khattab telah bertemu dengan beliau dan mohon penjelasan tentang aduan yang baginda terima dari rakyat Hims. Jawapan yang Said berikan ialah;

i) Lewat masuk kerja kerana beliau tidak ada pembantu rumah dan terpaksa membuat sendiri roti pada awal pagi untuk ahli keluarga beliau.

ii) Tidak melayan rakyat di malam hari kerana beliau telah memperuntukkan waktu siang untuk rakyat. manakala pada malam hari beliau peruntukkan masa untuk mendekatkan diri kepada Allah.

iii)Sehari dalam sebulan tidak masuk kerja kerana beliau hanya mempunyai sehelai pakaian. Pakaian tersebut dibasuh dan sementara menanti pakaian kering, beliau tidak keluar rumah kerana tidak ada pakaian lain!

iv) Kadang-kadang tidak mahu bercakap. Setiap kali mengigati kisah pembuhan Khubaib bin Adi, beliau berasa bersalah kerana tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelamatkannya.Kekecewaaan ini menyebabkan beliau tidak mahu bercakap dengan orang lain dan menyalahkan dirinya sendiri atas peristiwa tersebut.

Mendengar penjelasan Said, Saidina Umar berasa sangat lega. Gabenor yang beliau lantik adalah orang yang wara, bertaqwa dan telah melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dengan baik.

Ya Allah , jadikanlah kami seperti sahabat-sahabat kekasihMu.

No comments:

Post a Comment