Wednesday, 17 August 2016

Sembang Kaki Bukit

Bismillah...

Hujung minggu yang lepas(12-14 ogos), aku dipaksa ke Kem Bina Negara Kaki Bukit, Perlis. Badan dan hati yang terasa berat, sedangkan aku peminat tegar aktiviti-aktiviti outdoor. Ketidakselesaan yang hadir itu, bukan kerana aku tidak suka, tetapi datng kerna program itu bukan program aku. Dilantik menjadi pengiring tiba-tiba, anak-anak pelajar yang tidak punya kaitan dengan diri, malah tugas diri tidak lansung dijelaskan oleh si empunya program. Maka keterujaan yang sepatutnya ada tidak kunjung tiba sehinggalah aku sampai ke tempat program..

Antara negeri di semenanjung yang aku masih jangal sudah tentunya Perlis. Negeri kecil yang aku tiada nafsu untuk terokai, hanya menjadi tempat transit untuk aku ke Langkawi. Namun, rombongan kali ini punya taaruf yang menarik.

Bas yang mengangkut anak-anak muda, melabuhkan jasadnya di hadapan pintu Gua Kelam. Menariknya lokasi KBN Kaki Bukit ini, kami perlu melalui gua kelam, melintasi "Secret Garden" yang tersembunyi di sebalik gua tersebut, dan sampai ke tempat kem yang dikelilingi bukit. Bagi aku secret garden ni memang menarik. Ala-ala macam perkampungan panda dalam movie kungfu panda. Sebuah taman yang tersembunyi.. Cuma, takdela lawa sangat. Perjalanan yang mengambil masa 15-20 minit dengan memanfaatkan otot-otot kaki, aku membuat pilihan yang tepat kerana membawa backpack.

Secara jujurnya, ziarah pertama kali ke Gua Kelam ini sangat-sangat menarik. Sekurang-kurangnya aku sudah sampai di salah satu destinasi terkenal yang pernah menghiasi buku-buku kajian tempatan ketika di sekolah rendah dahulu. Hehe.. Dan kawasan kem ini sangat-sangat cantik dan menyegarkan. Sangat banyak rama-rama.

Turut bersama-sama dengan aku ialah si Afiq Amin, kawan sejak zaman kolej. Walaupun kami mengajar di kolej yang sama, aku jarang bersembang panjang dengan dia. Kerana kami di unit yang berbeza, dan aku bukan jenis makan luar dengan orang. So, masa yang sangat lapang sebagai pensyarah pengiring kami isi dengan bersembang. Dan aku rasa dekat 12-15 jam gak lah aku sembang dengan dia ni.

Bermula dengan kisah dirinya yang bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, kisah keluarga dan dirinya yang diganggu. Bersambung keesokan harinya dengan kisah nama aku yang tiba-tiba mendapat perhatian pentadbiran tertinggi kolej, fitnah yang aku lalui. Sihir dan gangguan makhluk halus yang berlaku pada rakan-rakan kami di kolej, dan kak siti yang menambah ceritanya. Yang ni memang seram habis. Kisah kami berdua sebagai pensyarah baru yang sangat tidak boleh masuk dengan budaya pensyarah-pensyarah lama dan macam-macam lagilah... Dan Afiq yang selalunya senyap ini, boleh tahan gak tak berhenti-henti bercerita.  Sampai aku plak yang kena paksa dia tidoq.
Haha...

Jadual aktiviti kami sepanjang kem hanyalah sembang, tidur dan makan. Nak terlibat, tetapi tidak diperlukan. Seperti biasa, kem BTN ini juga sudah punya Jurulatih dan fasilitator mereka sendiri. Maka, kami sebagai guru pengiring hanya bertugas sebagai pemerhati. Nasib baik dapat bilik tidur yang ada aircond, sedaplah sikit tidur dan tak bangun-bangun. Hehe.

Tamat kem, kami singgah di padang besar untuk "shopping". Student-student yang masih belum punya elaun, maka singkat sahaja masa yang diambil. Sebenarnya, ini kali kedua aku ke padang besar. Kali pertama dengan family, tapi pusing kat tempat baju je. Kali ni, Afiq yang lebih berpengalaman ajak pusing tempat makan plak. Dia beli pes tomyam dan meggi jenama pelik. Aku plak memang tak tau nak beli apa. Mak aku cadangkan beli pin tudung, takde maknanya... Haha

Lepas teman afiq shopping, kami pi try pulut ayam dan aiskrim kelapa yang dibuat dari kelapa(obviously)... Waktu makan dua-dua benda ni, aku tersenyum sendirian.  Menu berdua ini sangat-sangat unik, dan aku rasa mereka-mereka yang datang ke sini perlu merasainya. Kalu setakat makan menu-menu goreng ala thai, depan kolej pun boleh dapat..

Sampai di kolej jam 5 petang, kemalasan aku menjadi-jadi.  Dan entah kenapa, setiap malam aku mesti rasa nak makan kat kedai. Padahal sebelum-sebelum ni lepas solat je teruih balik rumah. Kalau makan malam pun mesti bungkus bawa balik rumah je.. Kena stop ni. Hehe.

Sekadar catatan mengingati lawatan kecil. Tiada gambar sebab kami berdua memang bukan kaki selfie.
Gambar tempat boleh search kat google..

Minggu yang disibukkan dengan pembinaan kertas kerja untuk penubuhan kelab memanah. Walaupun sudah diserahkan kepada student untuk me"reka"nya, akhirnya aku gak yang kena betulkan semua. Erk..

Oklah..

Sekian dari Syuib0809..

Sunday, 7 August 2016

Pencuri Islamik

Bismillah...

"Assalamualaikum cikgu. Cikgu, ANC ada alat memanah eh?"

"waalaikumsalam... Ye... Ada2. Kenapa?"

"kami kat uitm arau, nak pinjam untuk sukan sunnah, sebab ada program kat sini.. Dah panggil orang luar, tapi diorang tak jadi datang. So, nak pinjam anc punya. Kalau cikgu nak sewakan pun takpe.."

"ok2, boleh je... Nanti bagila duit sikit kat ANC, boleh diorang upgrade sikit apa-apa yang patut.. Anggap macam sewa.."

Perbualan itu berlansung pada jumaat terakhir sebelum ogos menjelang. Sebagai pemegang amanah, aku tidak berfikir panjang. Perkataan "sukan sunnah", digunakan oleh program islamik, dipinjam pula oleh si tudung labuh dan berkopiah, maka tiada kerisauan untuk aku menyewakannya.. Semua alat yang terbaik aku bungkuskan, manakala yang sudah rosak diasingkan. Maka, tiada satu pun yang tinggal untuk aku gunakan.

Hazli yang hadir dengan alat memanahnya ke kolej, barangkali berharapan untuk bermain bersama. Namun, alat-alat yang dipinjam super seniornya masih belum dipulangkan..

Tiga hari berlapang dada, alat-alat memanah yang disewakan untuk satu hari itu masih belum dipulangkan. Respon yang acuh tidak acuh, perkhabaran mengenai alat-alat memanah itu terus sepi tanpa berita. Yang aku pasti, ada beberapa arrow sudah dipatahkan tanpa sengaja. Berbanding perasaan marah, hati aku lebih kecewa dengan perbuatan mereka.

Janji yang mereka mungkiri..
Amanah yang mereka khianati..
Kepercayaan yang mereka anggap remah temeh
Malah tanpa sedar, mereka sedang mengambil hak orang lain.

Dan perbuatan ini bukan dilakukan oleh peminat selena gomez, bukan juga dari pentaksub pokemon go, tetapi dari mereka-mereka yang beroleh tarbiyah dan mentarbiyah. Fitnah kepada imej para daie yang sedang mereka tonjolkan, aku harap mereka punya jawapan dihadapan Allah kelak.

Putus harapan dengan orang-orang Islam yang tidak percaya kepada dosa pahala, syurga dan neraka. Maka aku mengutus mesej terakhir:

"kalo macam gini teruknya geng2 kamu, maka takyah hantar pun takpe. Teringin nak bagi nasihat, tapi untuk orang yang dah x percaya pada Allah, terasa sia-sia. Saya anggap alat-alat memanah itu dicuri..."

Janji yang sudah beberapa kali dimungkiri, malah entah dusta apa yang mereka mahu perkenalkan, aku sudah hilang kepercayaan kepada mereka. Kemalasan mengemis, menyalahkan mereka juga  tidak menyelesaikan apa-apa. Halal haram yang mereka tidak peduli, terlampau tipis harapan untuk aku memperolehinya kembali dalam keadaan baik. Maka, sudah tiba masanya aku menyalahkan diri sendiri sebagai pemegang amanah..

Menganggap alat-lat itu dicuri, maka aku sendiri perlu membayar ganti ruginya... Percaya pada orang yang tidak patut dipercayai, lalu kesalahan itu hakikatnya berpunca dari diri aku sendiri.

Maka, terpaksalah beli baru sebab budak-budak ANC ni nak main. Habis RM500 macam tu je beli busur hari ni.. Terpaksa beli perlahan-lahan, sebab lepas aku kira kos, dekat RM1600 gak lah benda yang diorang curi ni...  Aiyoyo

Sabar la nak...

Surah Al- Baqarah, ayat 188, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.”.

Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku hanya manusia dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk diselesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujah dari sebahagian lainnya, lalu aku memutuskan hukuman berdasarkan apa yang aku dengar saja. Barang siapa yang ku jatuhkan hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujah), janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi)


Sekian dari Syuib0809




Tuesday, 2 August 2016

Projek Makan

Bismillah

Lama tidak bercerita perihal makanan di sini. Pernah suatu masa dahulu, aku berpesta bercerita soal makanan di luar negara. Kegilaan yang entah hilang ke mana, maka ruang kecil ini membangkitkan semula selera untuk berkongsi hobi dulu-dulu kala.

Kehadiran bekas-bekas pelajar ke kolej membantu kelansungan ANC, aku sudah memasang niat mahu mengisi kepenatan mereka dengan makanan. Amani dan Shazelin yang bermusafir dari kelantan, Hazli yang turun dari negeri sembilan, aku malu tidak punya hadiah besar untuk diberikan kepada mereka. Maka, makan besar itu terasa seperti hadiah yang mungkin sesuai untuk diberikan.

D'madinah Corner, Kepala Batas.

Malam pertama, aku mengiringi bekas pelajar lelaki ke sebuah kedai western yang agak menarik konsepnya. Kedudukan yang sangat hampir dengan kolej matrikulasi, maka mencari kedai itu bukanlah masalah yang besar.


Kami 7 orang(abudzar, hafiz, hazli, luqman, afiq, zul) menempah talam paling besar sebagai menu utama. Manakala menu sampingan yang sepatutnya nasi goreng beserta lambcchop terpaksa dibatalkan kerana kehabisan bahan. Dah datang pukul 11.30 malam, mana tak habisnya. Maka aku sekadar menempah chicken grill dan chicken chop sebagai pengganti, juga nasi goreng kampung dari kedai tomyam sebelah.


Ni dia talam westernya, mohon elak cemburu.

MAKLOM

Keesokan harinya, aku menuju ke simpang tiga maklom, tempat favourite aku untuk weekend. Dah lama tak pergi sebab bulan puasa, maka aku melatak sepuas-puasnya. Walaupun terpaksa memandu sekitar 10 minit, menu utama nasi goreng ayam dia memang terasa ber"hantu". Ditambah pula pelengkap air kelapa asli, aku memang tenang duduk kat gerai kampung tersebut. Cuma aku datang seorang diri sebab semua fasi dah disediakan makanan ssempena aktiviti teambuilding.

Nan's Kitchen Bertam.

Malam kedua(ahad malam), aku menyambung niat nak belanja si amani n the geng yang datang punyalah jauh. Rasa tak adil belanja muslimin je. Maka, aku teringin nak bagi diorang rasa Big Bob yang sangatlah dahsyat rasa westernnya. Cuma oleh kerana aku dah selalu rasa, aku tiba-tiba teringin nak rasa Nan's Kitchen yang bersebelahan dengan Big Bob kat kiosk bertam ni. Maka, venue pun bertukar.

Janji 8.15 malam, aku melatih toleransi kerana pasti kaum hawa memang susah nak menepati masa. Tempoh 30 minit toleransi akhirnya terheret sehingga ke 9.15, dan aku memang dah panas satu badan. Tak tau la apa nak jadi dengan diri, aku memang terasa betul-betul nak mengamuk. Bab lain aku boleh sabar, tapi bab masa memang idak. Maka, aku kembali ke kolej dengan panas baran yang meletus akibat tak tahan menunggu.

Setelah 30 minit si nik pun telefon...

"cikgu, cikgu ok ke? Cikgu ada kat mana?"

"saya dah balik... Takpela, kamu makan dulu... Nanti saya datang saya bayar.."

Tidak lama, aku terus kembali ke Nan's kitchen mencari-cari mereka. Tidak berjumpa, rupa-rupanya mereka berteduh di kedai tomyam untuk menempah makanan bergoreng. Hati yang tadinya marah, terus sejuk tengok wajah-wajah yang ikhlas berpenat dari siang ke malam. Cuma kecewanya aku sebab makanan yang diorang makan kat kedai tu sangat tak berbaloi, sebab aku memang dah bajet untuk belanja setiap orang dalam rm20-25. Takpelah ye, next time inshaAllah.

Apepun, niat aku ke Nan's Kitchen tidak terhenti. Time diorang melatak makanan siam, aku merasa sebentar beberapa menu di kedai western tersebut

Aku ambik chicken chop(RM12) dan burger ayam dia(RM10).  Secara jujurnya, kuah blackpaper dia biasa-biasa je. Takdela apa yang special sangat. cuma cara dia persembahkan makanan dia agak menyelerakan.

Kedai Makan Paya Keladi.

Malam ketiga, aku berpuasa bagi melengkapkan puasa enam yang kerap tertangguh. Berbuka puasa dengan kuih hasil tangan si Amani, aku mengheret Afiq, Luqman dan Hazli untuk makan besar yang terakhir. Pertama kali ke paya keladi, kami masing-masing ambil masakan panas bergoreng dengan menu sampingan siakap Tiga Rasa, Bistik, teluar bungkus dan Tom Yam campur. Masakan dia boleh tahanlah sedapnya, cuma seksaan gigitan nyamuknya hanya Tuhan yang tahu.

Projek Dapur AnNur.

Beroleh mesej dari syak

"salam Izuan, possible tak nak buat free market diambang pelajar xdak elaun ni? Sian betul dengar budak ada tak makan"

Aku terkejut dengan mesej yang sampai. Dalam keadaan begitu banyak sumbangan terluhur kepada HEP, masih ada student yang tak makan? 

Aku yang memastikan kesahihan berita, terus bertanya pada student yang memenuhi bilik tutoran..

"saya dengar banyak student ikat perut tak makan? betul ke?"

Sebahagian besarnya mengangguk. Jika bukan mereka pun, mereka seperti kerap menyaksikannya. Aku yang sudah tidak mampu menahan marah dan kesian, terus mengatur. Memilih anak-anak yang pasti komited, maka projek emergency ini aku susunkan, agar yang muslim itu mengerti yang mereka masih ada saudara seagama yang peduli perihal mereka.

Namun projek charity pertama ini terlampau baru untuk diperkenalkan. Mahu mencari dana yang entah dari mana, maka pembaca-pembaca yang budiman boleh sahaja menghulurkan bantuan. Projek ujian yang bakal teruji, lihat sahaja muslim mana yang menyokong atau menghalangnya.

Dari Abu Yusuf yaitu Abdullah Ibn Salam ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda:  
Hai sekalian manusia, sebarkan salam, berilah makanan, hubungkanlah sanak keluarga,dan dirikanlah shalat ketika orang-orang sedang tidur, niscaya kalian akan masuk surga dengan selamat.


"


Sekian dari Syuib0809

Sunday, 24 July 2016

Puji Keji

Bismillah...

Rabu minggu lepas, aku menerima panggilan dari pejabat...

Panggilan itu hadir saat aku sedang mengajar dalam dewan kuliah, maka sejujurnya, ia agak mengejutkan.

"izuan, timbalan pengarah nak jumpa..."

Tidak pernah lagi orang besar-besar mahu berjumpa empunya diri. Bujang yang sepi, tidak banyak cerita dan bercerita, lalu seribu satu andaian bermain sepanjang kuliah bukan agama itu berlansung. Sebaik sahaja tamat, aku ke bahagian atas pentadbiran, bertemu orang no 2 kolej.

Pertemuan 40 minit itu, terlalu banyak yang dibicarakan. Dan dalam bicara itu, tiada satu pun andaian di kuliah tadi benar-benar disentuh. Ia kes pelik. Dan kepelikan kejadian itu mencari tuan untuk dipersalahkan. Maka episod menarik itu pun bermula..

Campurtangan aku disebalik program-program ANC mula dipertikaikan. Pada kaca mata orang berDG, ia terlihat sebagai campurtangan, bukan sebagai sebuah pertolongan. Maka, nama "izuan" itu menjadi topik perbualan, mahu ditongsampahkan atau lebih bijak untuk diketengahkan...

Kepala yang tidak mungkin lari dari memikirkan, aku ditakdirkan beroleh demam. Demam yang "memabukkan" fikiran dari masalah, kemudian dibantu dengan gusi membengkak selang beberapa harinya.

Aku secara jujurnya mahu memberhentikan semua campurtangan. Melihat ANC yang sangat-sangat lancar dan bersemangat, ia sememangnya menggembirakan. 3 projek besar yang berjalan dengan jayanya, semuanya kelihatan sangat tenang dan menyenangkan.

Projek Iftar Annur dari Lajnah Hal Ehwal Surau(HES) yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.
Projek BookSale dari Lajnah Tugasan Khas yang sangat meriah dan mengukuhkan pembendaharaan.
Projek Aiman Banna dari Lajnah Dakwah Tarbiyah yang diluar jangkaan sambutan dan perjalanannya.

Bantuan yang entah dari mana tiba juga, urusan pemilihan JPP juga sangat-sangat dipermudahkan. Strategi yang berjaya, namun kejayaan demi kejayaan ini juga banyak merisaukan.

Orang yang tidak pernah miskin, tidak mudah menghargai kaya.
Orang yang tidak pernah merasai kejahilan, tidak celik menghargai iman.
Orang yang tidak melalui kesusahan,bermudah-mudah sahaja dengan erti kesenangan.

Kebimbangan melihat mereka yang selalu dipuji, aku risau bila suatu hari nanti mereka tiba-tiba dikeji. Malah, postmortem yang baru benar aku ambil sebentar tadi, si muda-muda ini sudah mula "mengkeji" antara lajnah. Rupa-rupanya, semangat assabiyah sesama lajnah itu semakin menebal. Yang mahu ditonjol semakin menipis Islamnya, pertandingan "logo" lajnah pula mula menjadi duri yang diketengahkan. 

Mengimbau kenangan sesi lepas, anak-anak ANC ini teruji dahulu. Dan ujian perpecahan itu menyebabkan mereka begitu menghargai kemanisan ukhwah yang tampil dipenghujung. Semua aktiviti yang berjalan,  tiada istilah "lajnah mana?". Mereka bergerak bersama, hingga muncul orang-orang komited yang tidak berlajnah untuk bergerak bersama.

Pro and cons yang sentiasa ada, aku tidak pernah ambil remeh dangan senang dan tenang yang sedang menggembirakan badan dakwah ini. Kerana setiap yang Allah ciptakan di dunia ini ada pasangannya. Mengutip madah Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang menenangkan:


Wahai anakku,

Di saat kamu mendapat sokongan kamu kena sedia untuk menerima kutukan. 
Di saat kamu dipuji kamu juga kena sedia dikeji. 
Di saat kamu sedih kamu akan dapati keriangan.

Inilah hakikat kehidupan sementara di dunia kerana Allah menjadikan segalanya berpasangan.

Siang akan bertemu malam. 
Ada miskin baru ada kaya. 
Ada susah baru mengenali senang. 
Ada cahaya barulah kenal kegelapan. 
Ada ruang kosong barulah mengenal kesempitan.

Semuanya ada pasangan. Inilah hakikat yang kamu mesti bersedia ketika di dunia sementara ini.
Semoga Allah memberikan ganjaran besar di atas sabar dan syukurmu. 
Senyum selalu.
 Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man

Bicara kecil untuk peringatan buah-buah hati, supaya tatkala badan dakwah ini diuji kelak, kalian masih sudi berdiri mempertahankan fungsinya. Bersedia untuk bersedih disebalik semua kegembiraan yang sedang menghiasi hari ini.

Dah, aku sorang je takde pasangan lagi nih.. Hehe

Sekian dari syuib0809

Thursday, 14 July 2016

Nasihat Baitulmuslim Syawal

Bismillah

Terlalu banyak perkara mahu dicoretkan, namun masa yang banyak kerap terisi dengan keletihan. Cuma hari ini, semangat yang ada kuat berusaha mengalahkan keletihan. Maka aku nukilkan sedikit cerita yang berlaku dalam bulan Raya sebagai kenangan kecil yang mencuit hati.

Nasihat Baitulmuslim edisi Aidilfitri..

Raya tahun ini, kami sekeluarga berkampung di Melaka. Semua adik beradik aku berjaya dikumpulkan, kerana tiada satu pun yang "sedang" berkahwin.

Sehari sebelum pergi, aku tiba-tiba kehilangan semangat mahu beraya. Dosa yang tiba-tiba menerjah, aku terlalu lesu memikirkan bagaimana solat lima fardhu yang kerapkali 4 waktu berjemaah, tiba-tiba dengan mudahnya bertukar menjadi satu. Hingga kepala ligat membuat keputusan kembali ke penang membawa dosa-dosa itu. Berperang dengan nafsu, aku akhirnya menuju ke Melaka dengan jayanya.

Hari pertama di rumah nenek, Pak Teh tunjukkan kad raya yang abah kirimkan pada mak waktu bujang kat kami adik beradik. Walaupun kad raya itu terlalu jelas menjadi bukti yang ayah aku tengah mengorat, namun bahasa yang digunakan sangat-sangat sopan dan berlapik. Cuma aku kagum dengan keberanian ayah aku mengirim surat-surat cinta seperti itu.

Keberanian sebegitu masih belum aku warisi. Walaupun banyak sifat abah yang aku berjaya ikut, namun perihal-perihal berbaitulmuslim ini masih belum menunjukkan cahayanya. Kerisauan itu, maka Pak Teh tampil menghulurkan bantuan..

"pak teh dah bagi kat mak gambar, nanti wan tengoklah..." pakcik aku memulakan dialog.

Pagi 1 syawal itu, aku begitu berazam mahu berjemaah di masjid. Ditakdirkan Allah, hanya aku dan pak teh menjadi wakil keluarga di masjid subuh tersebut. Saat berjalan kaki pulang dari masjid, pak teh mengambil peluang bercerita perihal sensitif ini dengan aku..

" penting untuk cari isteri yang faham dengan kerja-kerja dakwah..."

"bukan semua yang pakai tudung labuh faham dengan dakwah... Sebab itu kena cari yang betul-betuljoin, sebab diorang je yang faham kerja-kerja kita nanti..."

"sebab nanti kita banyak ajak orang datang rumah..."

"balik rumah lambat..."

"banyak pakai duit untuk kerja-kerja dakwah..."

"kalau isteri tak faham, nanti akan jadi masalah.... Bukan senang nak ubah mindset isteri yang tak faham... Nak ajar isteri yang pakai tudung segitiga supaya pakai tudung labuh pun susah... Nak lagi cuba fahamkan isteri tentang dakwah..."

Tutur bahasa pak teh sangat-sangat lembut. Sudah lama aku mengakui, kumpulan yang pak teh join itu sendiri memang terkenal dengan kelembutan mereka dalam tutur kata. Malah saat aku menulis kembali, aku pasti bahawa ada perkataan yang sukar untuk aku susunkan kembali.

Row belakang: nenek, pakteh, mak. Raya kedua, kami bawa lari nenek pergi aquarium sebab dah tak larat tengok nenek letih layan tetamu. Aku berdiri belakang sebab mencari jarak paling puas untuk tengok 3D. Hehe.



Aku sekadar tersenyum mendengar nasihat pak teh. Lama benar tidak mendengar nasihat mengenai BaitulMuslim. Kali terakhir ialah sekitar tahun 2012, saat aku menghadiri tamrin untuk pelajar tahun akhir.

Selang beberapa hari, abah menambah nasihat...

"nak kahwin, cari yang betul-betul suka. Jangan cari yang memilih-memilih ni..."

Aku sebenarnya terlalu malas memikirkan benda-benda ni. Tambahan pula soalan panas "bila nak kawin?" agak berkurangan untuk raya Tahun ni... Mungkin sebab aku dah kelihatan tua sangat kot untuk soalan cepu emas tu. hehe

Namun bila datang bantuan-bantuan yang tak di duga dari sahabat dan sedara-mara. Aku tiada pilihan melainkan mesti memikirkannya. Dan setiap kali soalan-soalan ini datang, aku akan mempertikaikan diri sendiri...

"muslimat tu patut dapat orang yang lebih baik, kau tu dah la panas baran..."

"takyah lah izuan, kesian muslimat tu nanti. Dia ingat ko baik, rupanya..."

Ayat-ayat seperti ini terus menerus berlegar di ruang minda. Kerana itu, sehingga kini aku selalu memikirkan perihal orang terengganu itu... Aku suka, mak aku suka, dia suka, kawan-kawan suka, tetapi "kesukaan" itu menyebabkan aku risau yang dia akan terluka. Dan aku menulis PUTUS sebagai tanda mengalah, agar dia berputus asa dengan lelaki yang disukainya... Dan mencari orang lain yang akan menggembirakannya. Ceewah dah macam drama plak..

Dan drama petang tadi, buah-buah hati sesi ni datang dengan gosip... Seribu satu kejutan yang mengganggu emosi aku hari ini, akhirnya terubat dengan keceriaan melihat gelagat mereka bertiga.

" cikgu, ada muslimin ANC macam mengorat sorang muslimat ANC ni..."

"hah!!!"... Aku tak dapat menahan gelak mendengar gosip liar tersebut...

"mana kamu tahu?"

"kami baca mesej yang muslimin tu hantar kat muslimat tu..."

"islamik tak ayat dia mengorat?" aku menambah rencah kelucuan tersebut...

"tak cikgu... Ayat dia macam, sudi tak menjadi peneman hidup blablabala..."

"kahkahkah...." aku sudah tidak mampu menahan ketawa. Lucu melihat kejutan anak-anak yang baru keluar sekolah agama. Seolah-olah baru keluar dari gua, aku secara jujurnya lebih risaukan produk-produk sekolah agama berbanding yang lahir dari madrasah sekular. Kejutan yang mereka lalui, menyebabkan perihal ikhtilat perlu diperketat dan dititikberatkan kembali.  Dan kisah seperti ini mengingatkan aku kepada senior mereka.

Dan senior-senior mereka...

Dan Juga super senior mereka.

Serta kisah-kisah cinta lucu ketika aku juga sezaman dengan mereka...

"saya dulu waktu umur-umur kamu pun ada la juga cerita-cerita macam ni, tapi takdelah bahasa-bahasa mengarut macam kamu ni... Takpe, nanti saya tulis kat blog.. Haha.."

Aku sebenarnya sudah menulis 3 post pasal KY dan Muscom. Target untuk menulis 7, tetapi tiga yang ada ini pun tidak mampu dikemaskan. Menulis cerita bukan senang, kalau yang cincai-cincai macam ni, memang sehari je dah settle..

Oklah...

Selamat Hari Raya 

Sekian dari Syuib0809..




Monday, 4 July 2016

Pengkritik: Antara Si Malas dan Si Rajin

Bismillah...

"ala ANC tu bukan ada keje sangat. Setakat sedia air, aku pun boleh..."

"apela diorang ni, panggila la ustaz-ustaz luar bagi tazkirah. Ini tidak kosong je rasa ramadhan ni..."

" takkan makan ini je..."

" tak best la event diorang ni... Dah la hambar... Tak kreatif lansung..."

"Ala diorang tu bukannya boleh tegur sikit, nama je badan dakwah... Tak pasal-pasal kita kena marah plak nanti..."

"nama je badan dakwah, ikhtilat tak jaga...."

Ayat-ayat di atas sekadar ayat rekaan yang aku cipta. Entah dari pengalaman, atau sekadar pemerhatian dalam zaman mulut sudah mula berlari ke jari.

Kalau dulu, sukar dan payah mahu menyuarakan pandangan. Kalaupun boleh, pasti ia berbayar. Namun hari ini, memberi pandangan itu sudah menjadi hobi. Hobi yang tidak perlu ilmu, cukup sekadar merasa diri betul, dan cari sahaja rakan-rakan sebulu. Pasti pandangan jahil terasa betul.

Namun apabila pandangan-pandangan jahil tersebut ditolak, mulalah keluar dialog-dialog suci:

" ini sekadar pandangan peribadi, anda bebas untuk terima atau tolak..."

" apa salahnya terima pendapat yang berlainan. Jangan jumud sangat, sampai bila nak maju kalau xleh terima pandangan orang lain..."

" mungkin saya salah, tapi tuan juga tidak semestinya betul..."

" terimalah kritikan dengan positif, bla3x..."

Kebebasan bersuara yang mahu diraikan, aku terasa semakin bodoh mahu merai manusia-manusia yang bergiat aktif di alam maya ini.

Dari isu vaksin yang masih lagi hangat, isu "solidarity 4 muslim yg tak puasa", isu air kelantan, isu RUU mahkamah syariah, isu itu, isu ini, aku secara jujurnya melihat manusia sudah tidak punya malu mahu menyuarakan pandangan...

Duduk di bilik-bilik dengan penghawa dingin, menikmati hujung minggu bersama keluarga tercinta, kesana ke sini dengan kereta mewah, insan-insan ini kemudian dengan selambanya berhujah sebagai "pengkritik" di alam maya.

Menanam disiplin, aku selalu mengunci mulut dari mengulas isu-isu ini sebagai pengkritik di blog. Kerana kritikan ini selalu melukai emosi orang-orang yang berpenat-lelah berkorban dalam medan yang sebenar.

Aku menjadi saksi akan anak-anak HES yang mengikat perut semata-mata memastikan jemah-jemaah yang hadir punya sesuap nasi untuk dijamah ketika berbuka...

Aku juga menjadi saksi malam-malam mereka yang tidak pernah sunyi dengan mesyuarat, merancang seribu satu aktiviti agar surau kecil ini meriah dalam dan luarnya.

Aku selalu kagum dengan senior-senior yang sanggup datang dari pelusuk negara, semata-mata untuk memandu adik-adik ANC yang tiada talian darah dengan mereka. Duit sendiri, tiada siapa yang mampu biaya.



 Projek berbuka. 70 talam untuk 350 pelajar.

 Namun yang datang senriasa lebih. Non muslim yang turut bertalam, menceriakan suasana.

 Riuh-rendah. Secara jujurnya, HES tahun ini sangat-sangat mantop

 Dan keceriaan petugas-petugas yang hanya berlaukkan "lebihan makanan". Moga terasa erti hidup pada memberi

Dan ini hanya contoh kecil dari sebuah badan dakwah kolej.

Belum lagi dilihat orang-orang hijau yang meninggalkan keluarga untuk sebarkan Islam. Masuk ke ceruk-ceruk kampung dengan biaya sendiri. Turun ke pasar-pasar menerang tentang hukum Allah. Mengatur seribu satu program, yang hakikatnya mereka tidak beroleh satu sen pun "gaji" dari penat lelah mereka itu.

Tetapi dengan selambanya, prof-prof, doktor-doktor, ustaz-ustaz, dato'-dato' ini mengkritik dan memperbesarkan kelemahan yang ada dengan mengecilkan kelebihan yang terserlah nyata.

Kepenatan yang sudah tiada daya, kritikan-kritikan itu mendapat sambutan dari si pemalas yang bertenaga dek kerana tiada kerja.

Maka yang rajin-rajin itu digelar pentaksub, jumud, wala'un, kaki label, ganas, sesat oleh orang-orang yang menganggur dari kerja-kerja Islam... Dan rutin itu terus berlarutan.. Hinggalah yang malas-malas kelihatan menang, dan yang rajin-rajin kelihatan sepi dengan kekalahan.

Sedang mereka semakin kuat hubungan dengan Allah, dan mereka sudah tidak lagi takut dengan kritikan orang-orang yang mengkritik...

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.

Buat anak-anak yang baru berjinak dengan kerja dakwah dan Islam. Sibukkanlah dirimu dengan kerja-kerja di alam realiti. InshaAllah, kerja-kerja tangan itu menjauhkan kamu dari imaginasi. Yang membawa kamu ke syurga ialah amalmu di dunia, sedang yang kerap menyeretmu ke neraka ialah lidah, yang hari ini semakin meliar fungsinya di jari-jemari.

Daripada Muaz, Rasulullah bersabda: "Mahukah kamu jika aku katakan kepadamu tentang sendi daripada semua kebaikan?"
Jawab Muaz, "Ya, kami nak tahu." Maka Rasulullah s.a.w menunjukkan sendi kebaikan itu pada lidahnya dan berkata, "Jagalah ini."
Muaz berkata, "Wahai Rasulullah, adakah kami akan mendapat seksaan akhirat daripada ucapan kami?"

Rasulullah menjawab, "Betapa azabnya Muaz, orang yang tersungkur di dalam neraka itu melainkan hasil daripada menabur fitnah melalui lidah mereka. Akhirnya mereka menerima seksaan daripada Allah."


Istiqomahlah, semoga Allah membalas amal-amal solehmu...


Melihat anak-anak ANC, aku merindui zaman ini


 Versi soleh

Waktu masuk air

"saya dak kisah kamu tudung labuh ke, tudung pendek ke, sekolah agama ke, hafal hadiths bagai ke, peminat kpop ke, yang penting kamu komited... rasa nak berubah dengan islam. saya dah lihat macam-macam orang keluar dari ANC. bukan sebab mereka tidak beragama, tetapi kerana sombongnya mereka dengan ilmu agama yang mereka rasa ada. lalu Allah tarik mereka keluar... dan Allah gantikan mereka dengan yang jauh lebih baik.."

Sekian dari Syuib0809