Saturday, 21 January 2017

Sisi Hati Memori bhgn II

Bismillah



“Tidak ada padaku kenderaan yang hendak ku berikan untuk membawa kamu, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan untuk pergi berjihad pada jalan Allah “.


(al-Taubah: 92)

“(Orang-orang munafik) iaitu orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperolehi (untuk disedekahkan)selain sekadar kesanggupdn, maka orang Munafik itu menghina mereka “

(al-Taubah: 79)

  Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut berperang ke Tabuk), merasa gembira dengan duduk-duduk diam sepeninggal Rasulullah[9]. Mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah dan mereka berkata, "Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini. Katakanlah (Muhammad), "Api neraka Jahannam lebih panas," jika mereka mengetahui.


Sepatutnya petang tadi menyampaikan kisah di sebalik ayat-ayat ni. Tetapi disebabkan beberapa perkara yang menyakitkan hati, maka ia terpaksa dibatalkan. Rasa diri ditapis untuk beri tazkirah sebegitu. Benar, diri masih terlampau banyak dosa dan kekurangan.

Tidak ada apa mahu dikongsikan sangat pun. Aku rasa dah makin malas pulak nak menulis. Maka, banyak selit gambar jela kot.


Saat susah dan mudah berjodoh
Aku gemar memilih susah
Muzik yang seperti bodoh
Susah  itu sentiasa ada penemannya.
Suami isteri yang tidak akan terpisah
Sedang senang belum pasti menjadi penentu
Inna ma'al usri yusra
FaInna ma'al usri yusra





Pentas grandstand yang dihias oleh LACI. Kemas, simple dan cantik.

Kuliah yang tidak berDK
Notanya juga tidak mampu dicetak
Tanpa catatan dan mesin pengimbas
Dunia dan manusia menjadi silibusnya
Ingatanmu yang lemah menjadi kuat
Kerana kamu kini sedang merasai
Bukan lagi seperti selalu, 
mengingati



Barisan MT MEMORI

Bersama pengarah kolej.

Kumpulan akustik yang mendendangkan lagu assalamualaikum, selamat malam rohingya dan soldier(bunkface)

Memori sekecil ini
Kalian lensakan bersama rakan di sisi
Si asing yang pantas menjadi teman
Esok lusanya menjadi asing kembali
Barangkali antara aku dan kamu
Lebih tepat pada kamu dan kamu
Mimpi ngeri yang tidak kalian percaya
Hakikatnya semakin pasti menjadi realiti


Bersama Awekz.

Air mata yang kalian jatuhkan
Menyiram senyuman di penghujung cerita
Setiap masihi aku menjadi saksi
Yang duka itu menjadi suka
Sedang luka mencoret parut berkekalan
Bukan lagi pada raut wajah
Tetapi kini jauh tersembunyi,
ke dalam Sisi hati.


 
Pemenang gambar terbaik untuk memori tahun ni. Orang-orang kepercayaan aku sesi lepas.



Dua bulan ini, aku punya bajet adalah infiniti. Empat program dalaman dan luaran yang memerlukan begitu banyak duit, maka berjimat bukanlah pilihan yang baik. Namun sebagai manusia biasa, terasa jugaklah bila perasan  cepat benar si dompet ni menipis, sedangkan baru tiga hari keluarkan duit ungu dan hijau. Duk beriya sangat menyibuk program budak, padahal kasut hitam dah koyak teruk dah ni. Haha. Dari 2012 tak pernah tukar-tukar. Siot. Namun, penat lelah kecil ni selalu terubat dengan mesej-mesej sebegini.

"Assalamualaikum cikgu, saya mewakili team pembukaan dan penutup ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas tunjuk ajar cikgu. Terima kasih sebab jadikan saya daripada zero kepada yg saya ada sekarang. Terima kasih di atas penat lelah cikgu. Kalau cikgu memerlukan bantuan saya dan rakan-rakan yang lain, bagitahu je. Saya sedia membantu. Terima kasih.." 

Dan ini satu-satunya mesej yang aku dapat selepas MEMORI tamat.
Itu akibat menjadi penyibuk, bukan penasihat..

Sekian dari Syuib0809..


Monday, 16 January 2017

Sisi Hati Memori bhgn 1

Bismillah

Memori kali ini, AJK pelaksananya mencecah 350 orang. Sebahagian besarnya sememangnya wajah baru yang tidak mampu aku kenal. Dalam ramai-ramai itu, sentiasa ada perancang utama yang memecah keringat siang dan malam bagi menyelesaikan seribu satu masalah yang hadir.

Tahun ni, penglibatan aku banyak tertumpu kepada Ekspo, majlis perasmian dan juga penutup. Bagi aku ketiga-tiga ni adalah bahagian paling mencabar dalam memori kerana melibatkan VVIP dan orang luar. Oleh sebab itu, aku sendiri memilih pemikir utama untuk diuji bagi melaksanakan ketiga-tiga bahagian ini.

Malam perasmian.

"cikgu, tadi itu yoong naangis oo tengok persembahan akustik..." loo xin tian yang menjadi salah seorang tenaga kerja memori datang mengadu.

Pelajar perempuan chinese bernama yoong itu antara yang sangat rapat dengan aku. Malam itu mereka hadir untuk melihat sendiri MEMORI yang menghidangkan mesej solidarity sebagai agenda utamanya. Persembahan pertama, aku sendiri merancang bentuknya dengan menciplak persembahan Faizal Tahir ketika AJL sesi lepas. Cuma persembahan ini, aku minta untuk mereka bawakan sekali lagu Selamat Malam Rohingya bagi mengiringi lagu utama iaitu Assalamualaikum.

Sebaik sahaja persembahan tersebut selesai, tiada bunyi tepukan gemuruh yang diberikan oleh penonton. Jika ada pun, samar-samar. Rupa-rupanya banyak yang sedang mengalirkan air mata dek kerana suara vokalis dan slide gambar/video yang tersangat-sangat hardcore. "menyentuh hati", memang itu tujuan utama persembahan tersebut. Dan tahniah, kalian berjaya!!

Loo xin tian(baju hitam), yoongkar wai(baju merah)


EKSPO.

"Menu" utama Memori tahun ini sudah pastinya adalah ekspo. Pada mulanya, mereka yang mengetuai adalah individu yang berbeza. Aku sendiri memilih si Sufi untuk mengetuai ekspo ini yang tersangat-sangat mencabar bersama-sama shaikh. Juga memilih sendiri pemikir-pemikir utamanya yang terdiri daripada students aku sendiri. Secara ringkasnya, ekspo ini terbahagi kepada 4 bahagian utama iaitu Jualan, Pameran, Sukaneka/permainan dan juga Scenery(Suasana).

Jualan: Fatin Syahirah
Pameran: Adibah
Scenery: Nad TKC dan Bai(Atikah)

Cabaran pertama yang diterima ialah tatkala ustaz menetapkan jualan perlu elak makanan basah kerana takut keracunan makanan. Beberapa kali air mata si Fatin ni jatuh sebab sangat sukar memenuhi tuntutan tersebut. Begitu juga dengan Pameran yang terpaksa berurusan dengan kerenah birokrasi bagi mencari agensi-agensi dan ngo yang sudi turun ke ekspo kecil-kecilan ini. Seronok melihat di Adiba merah muka menahan marah dan kecewa dengan urusan-urusan tersebut.

Untuk Nad dan Bai, aku yakin banyak benar yang mereka belajar dalam menukar mimpi menjadi realiti. Tarikan utama photobooth yang dilukis sendiri oleh si Aiman dan Apat, hampir semua individu yang hadir, merakamkan kenangan mereka pada kepingan hitam putih ini. Bukan senang, hampir satu minggu diambil untuk melakar dan melukis benda ni. Dan pengorbanan mereka berbayar dengan sambutan hangat dari semua pelajar kolej yang hadir.

Adibah,nadhirah, sufiyana, fatin Dan atiqah

Ketua ekspo, si shaikh berseluar biru. Kerja asyik bergaduh je dengan partnernya, si sufi

Berbadan besar sebelah  aku adalah si Aiman, pelukis utama gambar di belakang itu. Lelaki lain bagi aku lebih kepada teknikal, bukan pemikir

Majlis Penutup.

Pada mulanya, tiada jawatan yang diwujudkan untuk majlis perasmian dan juga penutup. Segalanya diserahkan kepada KD protokal. Mereka mengulangi kesalahan dua tahun lalu yang menyebabkan majlis menjadi sangat kelam kabut. Aku tanpa segan silu melantik sendiri AJK2 untuk majlis penutup ini yang kebanyakkannya terdiri daripada PDT. Menjadikan mereka sebagai bahan eksperimen, maka ada sahaja yang gagal dengan berundur diri tatkala ujiannya masih belum bermula pun.

Kejayaan Majlis Perasmian, maka aku membiarkan mereka berdikari untuk majlis penutp yang berlansung pada hari ahad. Sengaja tidak menjawap panggilan telefon, agar kurang kebergantungan  pada "penasihat haram" yang melantik dirinya sendiri ini. Dan nak dijadikan cerita, petang itu mereka dimarahi oleh technician kolej, iaitu Abang Rizal.

"Kami tak nak dengar briefing! Kami nak rehearsal! Teruk pengurusan memori tahun ni. Janji pukul 5, ni dah dah pukul berapa ni?..."

Teguran itu, bagi aku hanyalah teguran seorang guru kepada anak muridnya. Ia pelajaran dan pengajaran yang bernilai agar mereka beroleh sesuatu sepanjang pengendalian majlis itu. Dimarahi atas kesalahan yang bukan terhasil dari empunya diri, aku melihat Syafiq dan Athila beroleh hadiah emosi yang cantik untuk disimpan sebagai kenangan.

team pembukaan/penutup. Semua lelakinya aku pilih sendiri. Manakala untuk perempuan, aku memilih si Athilla dan Fatin sahaja. Waei dimasukkan di saar-saat akhir ketika syafiq tengah down.


Teguran yang membangkitkan itu, akhirnya menghasilkan majlis penutup yang sangat mantap. Bermula dengan persembahan silat yang wowo, majlis malam itu berlansung sangat tersusun dengan kesalahan teknikal yang sangat kecil. Mengkategorikan ia sebagai berjaya, aku melihat semua yang hadir itu pulang dengan senyuman dan pujian. Tahniah!

Pengalaman pertama mereka ini, aku mahu kesemuanya melekat dalam diri tanpa sebarang hafalan. Menarik melihat mereka menangis, marah, merajuk dan pelbagai lagi perasaan yang melambangkan bahawa mereka sangat-sangat bersungguh dalam menjayakan memori tahun ini.

Tahniah
Semoga beroleh sesuatu..

Bersambung...

Sekian dari syuib0809.





Monday, 9 January 2017

Persiapan Memori 2017

Bismillah.

Malam semalam, aku pergi solat maghrib kat Masjid Bertam Indah. Sekadar transit jika hendak ke pekan bertam. Biasanya hanya seminggu sekali. Berada di saf ketiga, aku sebaris dengan beberapa orang pensyarah kolej ini yang menetap di perumahan tersebut.

Lepas beri salam tahiyat akhir, mata aku tertumpu pada dua kanak-kanak yang tersangatlah hyperaktif berlari-lari di ruang solat masjid. Berpusing-pusing di sekitar ayahnya, aku sangat terkejut bila melihat ayah mereka adalah si Firdaus Rahim!! Aduihh..

Daus ke ruang belakang untuk solat sunat. Aku menyusul di belakangnya takut-takut terlepas mahu menegurnya. Rindu betul pada geng-geng Usrah di bumi Inggeris. Rindu yang hanya Tuhan tahu, aku bernekad mahu menegurnya seusai doa habis dibacakan imam. Jarak kami yang hanya beberapa sentimeter, aku khusyuk melihat kenakalan anak-anaknya yang membaling tabung masjid. Gulp... Saat anak lelaki daus berada di atas kerusi, anak perempuannya yang aku anggarkan lebih kurang 4 tahun(daus kawen 2012) menolak adiknya sampai tersangkut kaki kat dalam kerusi. Aduihh..

Tangisan yang menggegarkan Masjid Attaqwa itu, Daus bergegas menyambar anaknya sepantas kilat, membawa keluar dari masjid dan terus masuk kereta, sedang imam masih belum menamatkan bacaan doanya. Kami terlepas peluang bertemu muka, mengikat kembali ukhwah. Hingga aku merasakan ianya seperti sebuah sumpahan. Teringat ucapan terakhir ketika hantar daus tahun 2012 dulu.

"rasanya lepas 10 tahun baru kita jumpa balik kot..."

Jarak sekangkang kera, entah apa yang menghalangnya...




MEMORI.

Persiapan Memori kali ini, aku kira diantara persiapan terbaik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Tenaga kerja yang 99% nya adalah pelajar, aku dan Ustaz hanya penyumbang 1% sahaja. Ustaz banyak menguruskan kerenah birokrasi bermula dari urusan paperwork, hinggalah memohon bajet yang tersangat-sangatlah mencabar. Manakala aku, lebih kepada urusan teknikaliti, mengisi kelopongan yang kurang terserlah dari mata anak-anak muda ini. Cuma sedikit terkilan, aku secara jujurnya kecewa dengan seorang rakan yang sibuk dengan bisnes Mary Kaynya. Mengharapkan satu-satunya pensyarah perempuan yang sefikrah, tiba-tiba hidupnya tersayang pada dunianya.

Hujung minggu ini, aku harap segala-galanya berjalan dengan baik dan lancar. Pelbagai kerenah, isu dan kesusahan yang dialami oleh AJK tertingginya,maka aku harap ujian yang mereka terima sepanjang merancang program ini, mampu memulangkan kembali senyuman kepada empunya diri. Mahu bertenang sebentar minggu ini, maka aku banyak melepaskan kembali kuasa kepada ketua-ketua mereka. Biar mereka yang perah kepala, merasa marah dan seronok dengan keputusan yang mereka sendiri pilih. Kerana yang keluar dari mulut ini kerap dikutip sebagai arahan, hingga hilang demokrasi anak-anak yang dahagakan buah fikiran


Mudah-mudahan Allah permudah.
Jemputlah datang ye pembaca-pembaca blog ni.


Sekian dari Syuib0809

Saturday, 31 December 2016

Sejarah basikal

Bismillah

Minggu ini sibuk menguruskan perancangan untuk MEMORI. Macam-macam isu, yang aku kira berjaya tercatit sebagai pengalaman menarik buat mereka yang menjadi pemimpinnya. Sepatutnya semalam, aku perlu berangkat Kuala Terengganu. Bukan untuk rombongan meminang orang terengganu, sekadar percutian akhir bersama keluarga sebab adik aku dah habis belajar kat UNIZAR. Bas sepatutnya pukul 10, kul 8.30 malam aku dah sampai. Tunggu depan platform no.24 (SP BUMI), tetapi jam 9.45 yang sampai adalah bas untuk kul 9 punya tiket. Katanya jem sebab pesta pineng. Tunggu punya tunggu, aku akhirnya tunggu sampai jam 12.45 malam!!. Sakit hati, balik kolej terus.

Sebenarnya lama nak tulis pasal basikal ni.

Sejarah Basikal

Kalau ikut pembesaran 27 tahun ni, aku dari kecik memang jenis pakai basikal je. Waktu sekolah rendah, darjah 6 dah pergi sekolah kayuh basikal. Waktu tu, abah beli basikal warna merah dengan ungu. Merah aku punya, ungu kakak aku punya. Waktu sekolah asrama, basikal tu tersadai je kat rumah. Balik cuti baru pakai pergi main bola dengan kawan. Zaman sekolah menengah, aku tak dibenarkan bawak motor lansung. Macam biasa, kalau bawak pun curi-curi je. 

Habis sekolah menengah, aku masih belum ada lesen motor. So, menghidupkan kembali basikal merah yang ada di rumah dengan berkayuh ke pekan teluk intan 3 kali seminggu semata-mata untuk latihan memandu. Perjalanan yang memakan masa 35 minit, zaman itu sudah menjadi kepelikan untuk remaja berumur 18 tahun mengayuh basikal. Sebaik sahaja punya lesen, basikal-basikal itu terbiar, tersadai. Sudah tiada penghuni yang sudi mengayuhnya. Ke Lembah Beringin menyelesaikan A-Level, aku sudah tidak berbasikal lagi. Basikal itu akhirnya dibuang, dalam keadaan aku tiada satu pun gambar bersamanya. Sedih.

Meneruskan kehidupan di bumi asing, motorsikal seolah-olah sangat pelik untuk dilihat di negara empat musim itu. Mahu memiliki kereta, bayaran insurans yang pelbagai tersangatlah memakan belanja yang tinggi. Setelah hampir 6 bulan berjalan kaki ke University dan Bandar Leicester, aku akhirnya mengambil keputusan untuk membeli basikal. Antara sebab utamanya, terasa diri kosong berjauhan dengan masjid. Maka, punya basikal menyebabkan aku mengenal begitu banyak masjid di Leicester. Beli di carboot, basikal jenis "travelling" ni hanya bernilai 30pound ataupun RM150. Kisahnya boleh baca di sini


Sayangnya, basikal ini tidak bertahan lama. Aku sendiri tidak punya banyak kenangan bersamanya. Rumah kami dipecah masuk ketika cuti Summer 2010. Akibatnya, semua basikal yang tersimpan dalam rumah tanpa penghuni itu hilang tanpa dapat dikesan. Tidak mahu memutukan diri dengan komuniti muslim, aku kembali ke Carboot untuk mencari basikal yang baru. Dengan harga yang hampir sama, aku beroleh basikal jenis "racing/roadbike" yang tersangatlah ringan. Dan basikal ini biasanya aku bawak untuk perjalanan jauh dan luar dari Leicester. Boleh baca kisahnya di sini



Kekurangan basikal racing, ianya agak kurang sesuai untuk perjalanan berbatu, tidak rata dan juga kawasan berbukit. Akhirnya aku membeli sebijik lagi basikal bewarna biru. Tetapi dicuri keesokan harinya. Siot. Namun, aku kemudiaannya dipertemukan dengan Buroqs. Teman sejati yang menemani aku kemana-mana sahaja. Entah apa specialnya mengenai dirinya, memang aku selalu bawak dia je.

Waktu ni aku ke Nottingham. Terpaksa tinggalkan Buroqs kesejukan sebab kena naik bas ke dunkirk.  Sekali malam tu, salji turun. Kat Uk, memang ada parking khas untuk basikal. Banyak plak tu.

Satu-satunya gambar aku bersama Buroqs. 

Menjual buroqs di hari terakhir.

Sewaktu mahu pulang ke Malaysia, aku menjual semua basikal-basikal yang pernah menemani zaman-zamn belajar aku di Leicester. Buroqs adalah yang terakhir aku jual. Boleh baca kisahnya di sini. Saiz mereka yang besar, maka aku tidak berniat mahu membawa mereka pulang bersama. Malah, aku meyakini bumi Malaysia tidak sudi menerima mereka, kerana bukan budaya tanahnya. Terbukti benar, dari tahun 2012 hinggalah 2016 aku tidak lansung mengayuh mana-mana basikal. 

Pakaian rasmi berbasikal ketika musim sejuk. 

Sejak pengarah masuk, kolej seolah-olah bertukar menjadi tempat bersukan. Tiba-tiba pensyarah ada plak hari sukan sendiri. Tambahan baru, semua pensyarah asyik berbicara mengenai basikal. Aku yang seronok tengok pengarah berkayuh, berniat mahu berbasikal kembali. Akhirnya, merembat basikal ni di mudah.my. TRS Fastest. Harga RM699. First time naik, punyalah penat kayuh. Aku tak pasti aku berat atau basikal tu yang bermasalah, tapi memang pancit sungguh. Kali kedua kayuh, aku menuju ke Tasek Gelugor plak. Pergi balik dalam 16km. balik2 rumah ingatkan makin kurus, rupa-rupanya lagi selera makan. Haha. Khamis baru ni pergi plak vision park, bertam. Pergi kul 5.30 sampai rumah kul 6.45 petang. Lambat memang lambat tapi oklah dapat cover 12km. Ni basikalnya.

Letak kat bawah Quarters bersama motor. Orang lain sibuk suruh letak dalam rumah. Takut kena curi. Entahlah. Cam tak sesuai je letak dalam rumah..
Itu jela kot nak cerita. 

Sekian dari Syuib0809

Wednesday, 21 December 2016

Barakah: Cerita Malam Ini.

Bismillah.

Banyak perkara berlaku, banyak juga yang mahu diceritakan. Cuma malas benar mahu menulis. Minggu lepas, sebaik sahaja aku pulang ke kolej, terus disibukkan dengan dua program. Pertamanya sambutan Maulidur Rasul, manakala yang kedua ialah latihan kebakaran. Sepatutnya dibantu dan membantu Miss shak serta Ustaz, tetapi keduanya punyai hal yang lebih penting. Ustaz menguruskan isterinya yang baru selamat bersalin, manakala shak tiba-tiba mendapat perkhabaran yang ayahnya ditimpa kemalangan..

Lalu aku berseorangan, mengarah anak-anak pelajar untuk membantu secara paksa rela. Mahu meminta bantuan penyarah lain, terasa segan kerana majoritinya jauh lebih tua dari aku. huhu.

Cerita malam ni.

Semalam, gaji terakhir tahun ni masuk. Untuk gaji bulan depan, aku terpaksa menunggu sehingga tahun akan datang.

Oleh kerana BSN kepala batas dekat dengan masjid AtTaqwa Bertam Indah, maka aku terus menunaikan solat Maghrib berjemaah di situ. Selaku bujang, mengeluarkan RM200 dari ATM sudah cukup menampung perbelanjaan hidup. Pergi ke sunshine, aku sebenarnya hanya berniat membeli vitagen dan makanan kucing. Kesian kucing bawah rumah lama tak dapat makanan basah. Tetapi oleh kerana makanan kucing agak mahal berbanding longwan, aku sekadar menyambar vitagen, kacang panggang tin, serta sebotol air jus oren. Harganya sekitar RM10, dan aku masih punya baki RM190.

Sementara menunggu isyak, aku duk pusing-pusing pekan bertam dengan kereta MyVi merah sebelum akhirnya bergegas kembali ke kepala batas. Sampai di simpang tiga Perodua bertam Indah, lampu sudahpun hijau. Saat kereta lurus mengikut kereta hadapan, tiba-tiba belakang kereta aku dirempuh dari belah kanan oleh sebuah motor.

"dah, datang dari mana la plak motor ni?"

Aku memberhentikan kereta, saat melihat tubuh itu jatuh bersama dengan motor yang diboncengnya. Dalam keadaan terduduk di atas jalan raya, hidung dan hadapan mukanya jelas kelihatan berdarah. Perempuan. Motornya pula bengkok side mirror berserta pemijak gear. Aku mengalihkan motornya, manakala dirinya dipapah orang-orang yang turut memberhentikan kenderaan.

"ok ke, nak saya call ambulans?"

Wanita itu menggelengkan kepala. Aku syak umurnya sekitar 35 - 40 tahun. Sewaktu mengalihkan motornya, aku percaya motornya masih elok dan boleh berjalan.

"maaf ye bang, kereta abang ok?"

Siot, tua sangat ke muka aku. Hehe. 

"takde ape2, kemek sikit je... Cuma jangan buat lagilah ye..."

Wanita itu melanggar lampu yang sedang merah. Dan akhirnya melanggar tepi belakang kereta aku yang sekadar menghala lurus. Mahu marah dan meminta ganti rugi, aku rasa dirinya sudahpun menerima sesuatu yang lebih buruk dari itu. Maka melepaskan dirinya sudah cukup sebagai sedekah yang meringankan beban saudaranya.

Dari HR Muslim dan lainnya, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda,
“Siapa yang menghilangkan kegelisahan seorang mukmin dari kegelisahan-kegelisahannya di dunia, niscaya Allah menghilangkan kegelisahan-kegelisahannya di hari kiamat. Dan siapa yang memberikan kemudahan kepada seseorang dari kesulitan, Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya selama hamba-Nya itu memberi pertolongan kepada saudaranya.”

Sebaik dirinya sudah stabil, aku kembali ke kereta dan menuju ke Kompleks Kailan. Terasa semacam di bahagian belakang, aku memberhentikan kereta untuk melihat "makhluk" apa yang menumpang. Rupa-rupanya, Tayar belakang belah kanan yang dilanggar dah pecah.

"Kuat juga motor tu langgar. Sampai pecah teruk tayar abang ni.." siot. Sorang lagi panggil abang. Mekanik itu berfirasat yang motor tersebut laju dari simpang kanan. Cuma beruntung aku, motor itu benar-benar melanggar tepat di bahagian tayar, bukan di bahagian lain.

"Nak tukaq tayaq baru ka?"

"Okeh"

Sebaik selesai, aku ke kaunter bayaran. Melihat dalam resit yang ditulis, harga tayar termasuk GST itu berharga RM190.80.

"takpelah bang, RM190 je..."

RM200 yang baru dikeluarkan, lesap tidak sampai satu jam. Ia penanda yang harta itu bermasalah.

Muhasabah.

Dua minggu aku menangguh-nangguh membayar zakat harta. Lalu amaran dari Allah itu datang mengingatkan teruknya empunya diri. Sedangkan Abu Bakar sendiri memerangi mereka-mereka yang tidak mahu membayar zakat. Ijtihad yang sahabat-sahabat tidak bersetuju, namun abu bakar yang menggantikan Nabi itu lebih tahu dan pakar dalam urusan Agama.

Malulah atas dirimu, Izuan.
Ingatlah, Tuhan sentiasa ada untuk mengingatkanmu.

Okeh, esok pi pejabat agama.

Sekian dari Syuib0809.


Saturday, 10 December 2016

Niat dan Sabar

Bismillah.

Perancangan

Pagi tadi, aku bertolak dari rumah menuju kembali ke pulau pinang. Targetnya, sampai ke bukit mertajam jam 12.00 tgh hari. Walaupun cuti masih berbaki tiga hari, aku berazam besar memenuhi undangan anis farhana(partner muscom kat kolej) ke majlis perkahwinannya. Dalam keadaan semua orang menghebahkan majlis di FB dan whatsapp secara umum, anis mesej aku secara personal dan siap sms semua details lagi. So, keberiyaan tersebut menyebabkan aku berazam untuk hadir ke kenduri dia.

Ditakdirkan Allah, phone aku hilang dan semua maklumat-maklumat tu hilang, maka aku mengorek-ngorek di muka buku semua maklumat yang boleh diperolehi dan akhirnya berjumpa. Syukur dan aku pun meneruskan perjalanan pagi ni.

Dalam kepala kul 12.30 tgh hari dah boleh makan lauk kenduri. Selfie berlatarbelakangkan pengantin dan upload dalam blog sebagai bukti aku datang kenduri dia. Hehe

Niat dan Sabar.

Sampai di Tol Ipoh, semua laluan masuk dan keluar lebuhraya utara-selatan menghala ke kuala kangsar ditutup. Kesesakan yang sangat melampaui batas, menyebabkan aku masih berada di Ipoh jam 11.30 pgi. Mencari-cari jalan alternatif bagi menggantikan laluan popular terowong menora, aku akhirnya mengambil keputusan untuk ikut laluan lama chemor-sg siput-kuala kangsar. Dan yang hampehnya, dari 11.30 smpai 12.30 tgh, kereta aku masih ada kat Ipoh sebab semua kereta ikut jalan tu. Ate, bila nak sampainya.

Saat hati sudah mahu mula menyumpah seranah, tiba-tiba terdengar dari radio sinar fm soalan untuk dato' Dr Fadzilah Kamsah:

"assalamualaikum dato'. Nak tanya, kalaulah kita dah niat nak pergi solat jemaah kt masjid. Tiba-tiba nak start kereta tak boleh, nak start motor tak hidup, macam mana tu dato'?...."

Aku tak ingat ayat pjg jawapan dr fadzilah kamsah, yang aku ingat isi utamanya ialah:

Berniat itu sahaja dah dapat pahala.
Sabar dengan ujian ketika nak buat benda baik tu pun dapat pahala.
Walaupun benda baik itu kita tak buat/tak dapat buat.

Tersentak dengan jawapan itu, teringat hadith-hadith yang pernah dihafal ketika kerap menjad emcee di UK dulu.

Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu ‘anhu, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau meriwayatkan dari Tuhannya, Tabaaraka wa ta’aala. Firman-Nya : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan”.


Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."

(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


Pulang.

Jam 12.45, aku tidak mampu mengira berapa jauh kereta aku dah jalan. Terasa macam tak jalan lansung. Kalau 1 kilometer dekat 15 minit, dengan jalan satu lorong, gamaknya dengan pelamin-pelamin sekali dah kemas waktu aku sampai kot.

Maka, aku terpaksa membatalkan perjalanan dan pulang kembali ke Teluk Intan. Balik teluk intan lancar je, 45 minit dah sampai rumah. Dan sepanjang perjalanan pulang, aku melihat betapa teruknya jem ke arah utara yang bermula dari Simpang Pulai. RUPA-rupanya ada lori minyak terbalik berhampiran terowong menora dan menutup penuh jalan. Tengok gambar, macam tumpah je minyak.

So, kepada Anis, maaf sangat-sangat ye. Nak mesej hang pun nombor dah hilang. Selamat Pengantin Baru. Mudah-mudahan menjadi Isteri yang Solehah, beroleh Zuriat yang comel dan baik, juga dikurniakan kebahagian keberkatan dalam kehdiupan berkeluarga.

Doakan aku menjadi hensem supaya ada orang minat. Hahaha.

Sekian dari Syuib0809.