Sunday, 28 February 2016

Alkisah Cinta Tiga Negeri Bahagian Akhir

Bismillah.

"Kau suka dia ke tak!!!"... Sopek menyergah dengan soalan.

Reunion kecil-kecilan itu bagi meraikan jubli gangsa percintaan antara Dong dan Izzah. Mereka akhirnya selamat diijab kabulkan. Cuma mahu berlaku jujur, aku lebih teruja mahu berjumpa sahabat pengantin berbanding si pengantinnya.

Kami yang bujang duduk berkumpul bersama-sama. Walaupun kami adalah kumpulan majoriti, perasaan malu itu seperti semakin menebal. Apatah lagi disaat berhadapan dengan kaum minoriti yang sudahpun berumah tangga. Cuma yang masih utuh tahap kesombongannya sudah pasti si sopek. Lagaknya seperti majoriti melayu, yang yakin benar memandang rendah 1.5 juta bangla.

Dan kegilaan dari sembang-sembang si bujang, Azizan tiba-tiba sahaja mem"pamer"kan gambar orang terengganu itu.

Akibatnya...

"cakap betul-betul! Ko suka dia ke tak!?...." sopek mengulang soalan, yang aku sengaja menjadi pekak kepada butirannya.

"suka pun tak, tak suka pun tak pek.." aku akhirnya mengalah

"tak boleh la macam ni dat. Ko tak jawap terus... Jawapan tu ko pikir, bukan datang dari hati yang ikhlas...." sopek tiba-tiba menjadi doktor cinta.

Perihal "orang ganu" itu tidak mungkin mampu aku sorokkan dari kisah kecil ini. Dia menghiasi penghujung kisah. Menggembirakan tatkala aku sedang berduka.




Alkisah Cinta Tiga Negeri Bahagian Akhir

Setiap petang di selatan negeri, aku mengasingkan diri di tingkat paling atas sekolah. Bangunan baru itu, tidak berpenghuni di sebelah petangnya. Kegagalan mendapat tempat di bilik guru, keseganan merempat di stor bersama gadis-gadis lain, maka aku meluangkan hampir seluruh masa lapang dalam bilik darjah itu. Banyak masanya, aku ditemani buku-buku yang memecah sunyi hati. Mengkhatamkan walaupun kadangkala kepala terhantuk ke meja kayu tanpa sedar.

Dari tingkat atas, aku "mengintai" ustazah bersejarah itu. Saat si muda-mudi tergoda dengan anak dara yang tidak cukup kain, aku pula entah kenapa begitu teruja melihat gadis yang berlagak seperti anak "tauke kain" sebegitu.

Hai anak Adam, Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. dan pakaian takwa[531] Itulah yang paling baik. yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, Mudah-mudahan mereka selalu ingat. 


Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya ‘auratnya… (QS. Al-A’raf : 26 - 27)

Sudah beberapa hari membelek-belek buku bertajuk "Aku Ingin Kembara Lagi".

Buku karya Dr MAZA itu masih bersisa di tangan untuk dihabiskan... Walaupun aku bukan peminatnya, pengalaman unik yang tertulis itu begitu seronok untuk dibaca. Mengembalikan kembali memori-memori masa lalu di negara orang. Peliknya, buku ini bukan sekadar terisi dengan kisah "agama" semata-mata, malah terselit kisah cinta yang menambah rindu kepada manusia dan tempatnya. Kisah mughith dan Barirah ini mencuri perhatian aku

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu anhu bahwasanya suami Barirah adalah seorang hamba yang bernama Mughits, seolah-olah aku melihatnya berkeliling dibelakangnya sambil menangis dan air matanya mengalir hingga membasahi janggutnya. Lalu Nabi shalallahu alaihi wassalam bersabda kepada Abbas:
“Wahai Abbas tidakkah kamu takjub(hairan) terhadap kecintaan Mughits kepada Barirah dan dan kebencian Barirah kepada Mughits?” 
Lalu Nabi bersabda: “Seandainya kamu kembali (rujuk) kepadanya”. Ia (Barirah) berkata:”Wahai Rasulullah, apakah engkau memerintahkanku untuk rujuk?” Beliau bersabda: “Aku hanya memberi syafa’at (pertolongan). Ia menjawab: ” aku tidak lagi memerlukan dirinya (Mughits)” 
(HR. Bukhari no.5026, Fathul Bari juz 10 hadits no.5283)
Membaca kisah ini, aku tidak lambat kembali ke meja tulis. Hati yang sedang sarat dengan cinta, terasa mahu diluah dengan mata pena.

Indah sungguh cinta Mughith
Mengundang perhatian kekasih Allah
Kehairanan sahabat bernama 'Abbas
Bagaimana cinta setinggi itu
Mudah ditolak oleh Barirah


Nabiku meraikan cinta
Kerna dalam cinta ada segala-galanya
Malah cinta penanda hatiku dan hatimu belum mati
Sama ada kerana dosa
Atau kerana dinista
Bercintalah..
Moga rohmu dibangkitkan bersama orang yang dicintai

Minggu-minggu yang sudah berlalu, namun ustazah bersejarah itu masih kekal membisu. Tiada jawapan. Tiada percakapan. Tiada satu pun tanda yang diberikan untuk usaha aku itu diteruskan. Walaupun kami berselisih hampir setiap hari, tiada satu pun kata yang mampu aku suarakan di hadapannya. Malu, kaku, bisu... Arghhhhhh...


Anas bin Malik ra mengisahkan, “Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi saw tentang hari kiamat, “Bilakah berlakunya kiamat?” Nabi saw pun menjawab, “Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapinya?” Orang itu menjawab, “Wahai Rasulullâh, aku belum mempersiapkan solat dan puasa yang banyak, hanya saja aku mencintai Allâh dan Rasul-Nya”

Maka Rasulullâh saw bersabda, “Seseorang (di hari kiamat) kelak akan (dibangkitkan) bersama orang yang dicintainya, dan engkau akan bersama yang engkau cintai.” Anas pun berkata, “Kami tidak lebih bahagia daripada mendengarkan sabda Nabi shallallâhu ‘alaihi wa sallam, ‘Engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’” Anas kembali berkata, “Aku mencintai Nabi saw, Abu Bakar dan Umar, maka aku berharap akan dapat bersama mereka (di hari kiamat), dengan cintaku ini kepada mereka, meskipun aku sendiri belum (bisa) beramal sebanyak amalan mereka.” (HR. Al-Bukhari No: 6171 dan at-Tirmidzi No. 2385).


Masa yang sudah terlalu suntuk di bumi tiga negeri, aku amat pasti aku akan pergi meninggalkannya. Kebisuan itu sudah cukup menjadi tanda bahawa usaha itu hanyalah sia-sia.  Kesepian dan kesedihan yang menziarah, aku tiba-tiba dihujani dengan mesej dari seorang sahabat lama. Sahabat perempuan.

"Assalamualaikum Izuan. Nak tanya, izuan available lagi ke? Ke dah ada calon? Atau menunggu siapa-siapa?"

"waalaikumsalam. Erkk.. Hmm tak jumpa-jumpa lagi..."

"Ada sorang muslimat ni, orang terengganu. Rasanya sesuai sangat dengan Izuan. Dan rasanya pandangan dia pada izuan pun positif..."

"aku kenal ke?"

"kenal. Cuma dia tak sama logo dengan kita..."

Hah!!!

Orang terengganu itu hadir, saat aku sudah terlalu kecewa dengan cinta. Walaupun banyak  juga hati  suka akan dirinya, namun logo itu terlalu jauh memisahkan kami. Penyatuan sebegitu  tidak mungkin berjaya. 

Namun berita dari sahabat itu menyebabkan aku tidak berfikir lama untuk mencuba. Setelah begitu banyak lamaran demi lamaran tersadai dan tertolak seperti sampah, aku hampir terasa pasti, orang terengganu itu juga pasti akan menolak. Apatah lagi, dia punya sebab dan alasan besar untuk menolak lamaran tersebut.

Namun...

"Dengan lafaz bismillah, orang terima lamaran izuan....."

Gembira yang lahir di hati, seolah tidak pernah muncul sebelum-sebelum ini. Mengimpikan teman hidup sehebat dirinya seperti tidak pernah tersiar dalam mainan tidur. Segala-galanya tentang dirinya sangat-sangat menenangkan manusia-manusia lain yang melihatnya.

Saat aku tersenyum seorang diri membaca mesej dari orang terengganu itu, melintas ustazah bersejarah di hadapan mata. 

Hati aku tiba-tiba tersentak.

Astaghfirullah al azim.
Aku masih belum berputus asa dengan dirinya..

Masih ada jawapan yang sedang  aku harapkan.

Hingga aku kembali berfikir. Adakah aku sedang memerangkap orang terengganu itu. Atau hakikatnya, aku yang sedang terperangkap dengan jawapannya.

Setelah genap satu bulan berada di bumi tiga negeri, aku akhirnya terpaksa pergi. Sebelum pergi, ingin sekali aku ucapkan sesuatu kepada ustazah bersejarah itu. Dua buah buku yang setia di tangan, mahu diberikan padanya sebagai hadiah terakhir. Mudah-mudahan ada pahala yang mengalir dari pembacaannya, setelah banyak dosa yang dijemput kerana mengganggunya. 

Namun hari terakhir itu, dia seperti lari entah ke mana. Sebaik sahaja habis kelas terakhir, aku mencari-cari dirinya. Namun ternyata dirinya terhijab. Buku yang dipegang erat sejak pagi hari  aku kirimkan kepada seorang guru muda lain.

"tolong bagi sakinah nanti boleh? Saya dah nak pegi dah ni. Duk cari dia tak jumpa. Terima kasih ye..."

Petang itu aku pergi dengan hati yang tenang. Tiada marah aku pada dirinya. Cinta yang dilahirkan buat dirinya sudah cukup untuk menjadi buah tangan...

Hari ini
Aku beredar dari bumi tiga negeri
Meninggalkan seraut wajah 
Yang pernah ku impi melihatnya sebelum ini
Empunya yang tiada jawapan
Sunyi... 
Bertemu tanpa suara
Berpisah tanpa bayangan wajah

Diari cinta sememangnya unik
Baru kini diri  mengerti
Apa makna mencintai tanpa sebab
Bukan kerana keperluan 
Apatah lagi kerna kebanggaan
Aneh, sekadar cinta

Memulakan hidup baru di utara negeri.

Setelah terlampau kerap menulis perihal cinta, terasa semakin benci mahu ada cinta.

Tamat.

Sunday, 21 February 2016

Alkisah Cinta Tiga Negeri bahagian 6


Bismillah.

Ada dua jalan cerita
Duka atau bahagia
Mahu pilih yang mana
Hati aku bertanya
Cepat, aku mahu jawapnya...

Minggu kedua di bumi tiga negeri, aku masih lagi bingung. Kali ini, taman ilmu pula kerap menjadi ubatnya. Hampir setiap malam, surau taman itu pasti akan dipenuhi dengan majlis ilmu. Suka melihat mereka-mereka yang selalu dekat dengan Allah itu. Paling aku suka, saat si dermawan melaburkan hartanya untuk makan-makan di surau. Bujang ini beroleh makanan tiga lauk. Tidak seperti hari-hari biasa. Namun yang paling digemari dari jamuan ini, aku berpeluang bersembang-sembang dengan masyarakat setempat.

"anak saya sorang tu... Kerja kapal. 3 bulan kat laut, lepas tu baru balik darat..."

Aku tekun mendengar cerita pak cik berkopiah putih itu..

"bila balik, haramnya nak duduk rumah. Duk jalan sana sini perabih duit... Duit banyak, tak usik kat laut.."

aku gagal mengesan riak dalam kata-katanya..

"suruh kawin takde nak kawennya..... katanya susah nak jumpa pempuan kat laut tu... Udah tu, waktu kat darat cam ni takde plak nak cari..."

"ala pak cik, saya yang hari-hari duduk kat darat ni pun tak jumpa-jumpa... Kalau jumpa pun, semuanya campak lamaran saya ke laut..." selaku bujang pemalu, kata-kata itu hanya terukir di hati, tidak lepas hujahnya ke kerongkong..

Bertugas di sebelah petang, malam-malam di taman ilmu itu mudah dihiasi dengan kepenatan. Namun di pagi hari, aku kembali bingung memikirkan bagaimana mahu mengisi ruang kosong yang ada. Tambahan pula, hubungan dengan internet terputus sepanjang berada di sana.

Cuma kadangkala, aku menghidupkan komputer riba berjenama acer. Hingga tanpa sedar, aku menulis sepucuk surat, yang aku judulkan dengan nama "surat usaha".


SURAT USAHA 1.

Assalamualaikum w.r.t

Maaf sekali lagi mengganggu cikgu Sakinah dengan kehadiran surat ini. Saya sendiri mengumpul kekuatan untuk menulis hingga memberikannya kepada Sakinah. Sudah berhari-hari fikiran terganggu, maka rasanya perlu saya usahakan sesuatu agar segalanya menjadi lebih jernih dan tenang.

Mungkin surat ini tercetus akibat kepercayaan saya yang me”lebih-lebih” terhadap Kuasa dan Perancangan Allah terhadap hambanya. Maka kepada Allah jualah saya doakan agar urusan ini dipermudahkan.............

Jumaat lalu, saya terkejut mendengar nama “Sakinah” yang disebutkan dalam senarai guru-guru ganti di sekolah ni. Bila fikirkan kembali, tak mungkin itu adalah Sakinah yang pernah saya jumpa satu tahun yang lalu. Orang asing pertama yang saya lamar, yang mencuri hati dalam sekelip mata sahaja. 

Hinggalah Sakinah benar-benar muncul, maka saya sendiri tergamam. Ternyata itu muslimat yang saya pernah fikirkan bakal menjadi isteri. Namun, segala yang saya kira perlu berakhir dan dilupakan tidak diizinkan Allah. Kita ditemukan sekali lagi…. Mungkinkah ini perancangan terbaikNya?

Kerapkali berdialog dengan Allah dalam monolog. Maka saya kira Allah perintahkan saya untuk terus berusaha, walau dalam ketidakpastian. Lalu saya harap usaha ini mampu menjawap soalan jodoh dalam setiap doa yang dipanjatkan. Sekiranya Allah takdirkan penemuan seketika ini untuk saya dan Sakinah dijodohkan, maka saya sendiri sangat bersyukur kepadaNya. Jika hati Sakinah masih ragu-ragu menerima lamaran saya dan teguh dengan keputusan yang lalu, maka saya kira itu sudah pasti perancangan Terbaik juga dari Allah. Hati kita milik Allah, maka keputusan Sakinah juga dari Allah.

Maaf, saya tidak bisa mengorat mana-mana gadis yang belum Halal untuk diri. Apatah lagi meluahkan cinta pada muslimat yang belum pasti menjadi isteri. Surat ini sekadar sebuah usaha. Maaf kalau bahasanya aneh dan tidak seindah karangan Novel.

Maka, sudikah Sakinah menjadi Isteri saya?

Selang beberapa hari, aku menulis sepucuk surat lagi.

SURAT USAHA 2.

Lucu sebenarnya bila saya melamar Sakinah dalam keadaan baru sahaja berjumpa. Malah, sebelum saya membaca borang BM Sakinah sendiri saya sudah memanjangkan lamaran melalui sahabat. Sebagai orang yang terkenal dengan sifat cerewet dalam memilih calon isteri, entah bagaimana saya begitu pantas memilih sakinah untuk dilamar sebagai teman hidup. Barangkali benar kata orang, jika kita mencintai seseorang, maka tiada sebab mengapa kita memilihnya. Cinta tanpa Syarat. Cinta tanpa mengharap. Biar cantiknya cinta dengan memberi.

Saya tidak begitu risau dengan jawapan yang diberikan Sakinah melebihi kerisauan terhadap usaha saya sendiri. Risau, adakah benar-benar saya sudah berusaha? Ingin sekali bertemu kedua ibu-bapa Sakinah, namun saya hanya menanti lesen tersebut dari sakinah

“Berkorban demi cinta”, madah-madah yang sering terukir di baris-baris lirik dan pujangga. Namun pengorbanan bagaimana yang mampu saya berikan sedangkan sakinah masih belum menjadi sah untuk saya?

..............


Surat-surat ini aku biarkan tersimpan hingga kini. Sebagai kenangan, aku selitkan ianya kembali di sini. Cuma ada sebahagian kecil yang aku potong kerana aku sendiri pun geli tatkala membacanya... Hahaha

Diari cinta sememangnya unik
Baru kini diri  mengerti
Apa makna mencintai tanpa sebab
Bukan kerana keperluan 
Apatah lagi kerna kebanggaan
Aneh, sekadar cinta

Petikan mughith dan Barirah


Ustazah bersejarah itu, aku benar-benar mahu melihat senyumannya. Kerana itu, aku cuba meraikan hobi dan minat membacanya. Kegagalan memberikan sebarang bahan bacaan satu tahun yang lalu, aku menebusnya dalam pertemuan kali ni...

"ni buku Ahmad Ammar, ambiklah. Saya terbeli dua sebab murah. Kalau tak silap sakinah suka baca..."

Fuhh, sekali nafas sahaja aku ambil untuk memberi sebuah buku.

"terima kasih...." ustazah itu tersenyum..

Aku cepat-cepat beredar. Membuang tabiat seperti itu terasa benar-benar memalukan. Itu kali pertama aku menghadiahkan sesuatu kepada orang asing. Entah berapa jam menghafal dialog seringkas itu. Dan Owh.... Senyuman dia...

Bersambung...

P/s: Baru pulang dari program kongress rakyat. Datang dan pulang seorang diri. Teringat pesanan-pesanan ketika bertamrin beberapa tahun dahulu

"antara nikmat besar yang ahli jemaah rasa bila dijodohkan dengan pasangan yang sama fikrah ialah, tatkala masing-masing berjaya ke program jemaah bersama dengan isteri/suami dan anak-anak"

Besar angan-angan yang terasa punah. Angan-angan yang memisahkan aku dan orang terengganu itu. Kisahnya terselit sedikit di penutup "cerpen" ini minggu depan. Sekian

Wednesday, 17 February 2016

Alkisah Cinta Tiga Negeri bahagian 5

Bismillah.

Petang di selatan negeri
Aku bertemu lagi dengan gadis itu
Wajahnya suci, tudungnya melabuh rapi
Senyumnya belum pernah ku lihat
Namun hati masih asyik tergoda
Seperti diriku setahun yang lalu
Hingga pantas melamarnya pada saat itu


Petikan Acuan dan Roda

Petang hari pertama di STAR Nibong Tebal, aku masih gigih mencari-cari tempat untuk meletakkan barang di bilik guru. Meja-meja kayu yang kelihatan banyak itu sudah ada penyewanya. Mahu menumpang, takut terfitnah. Manusia-manusia bertudung di sana sememangnya ada mulut. Dan aku takut untuk menjadi buahnya.

Penukaran beberapa buah kelas ke tangan, menyebabkan hari pertama itu penuh dengan perbincangan. Seorang guru praktikum dari UPSI bermurah hati membantu, memudahkan urusan yang aku sendiri kurang mahir, iaitu perihal PBS. Guru itu, bersama guru-guru ganti muda yang lain bersarang di dalam stor.  Stor gelap itu lokasinya betul-betul di bahagian belakang bilik guru. Aku yang tidak punya tempat, ikut merempat sebentar di sana.

Saat perbincangan aku dan guru muda itu masih ada hangatnya, seorang guru bertudung labuh masuk melintasi kami berdua. Mejanya betul-betul di hadapan kami.

"Ha sakinah, ni encik izuan, cikgu baru kat sini....."

Kami berdua bersalaman..  . Erk.... Apa hangpa ingat cerita drama ke pakai tudung pun boleh main salam-salam?

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”

Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”
Hadith riwayat Muslim.


Hati yang masih kurang pasti, sekadar tersenyum. Cuma aku terperasan, dirinya juga tersentak dengan pertemuan itu. Guru bertudung labuh itu hanya singgah sebentar. Dirinya yang berpakaian sukan terus beredar sebaik sahaja mencapai buku rekod mengajar yang terselit pada rak meja.

"tumpang tanya, cikgu sakinah ni duduk sungai bakap eh?" Aku bertanya pada guru UPSI yang masih setia di tepi.

"aah, eh, kenal ke?"

"cikgu sakinah ni dulu jadi guru ganti kat sekolah tempat saya praktikum.... Kat sungai acheh"

"Ooooh...."

"Dia mengajar apa kat sini?"

"Dia ajar PJK dengan sivik..."

"Pendidikan Jasmani??" aku menggeleng kepala dengan sebuah senyuman kecil.

Ustazah bersejarah itu bagi aku sangat-sangat berani. Sedangkan dia adalah lulusan psikologi dari sebuah universiti terkemuka di bangi. Pasif ke aktif, subjek sukan sebegitu seperti tidak sesuai dengan imej ustazahnya.

Bulan yang sama dirinya beredar dari Sungai Acheh, kami ditemukan kembali. Tempohnya, seperti genap menghampiri satu tahun. Lokasi negerinya masih sama. Sempadan tiga negeri itu masih tidak berubah apa. Aku pula masih kekal di taman ilmu. Begitu juga sekelumit cinta yang tersisa buat dirinya. Kekal sama dan tidak pernah berubah.

Berjumpa dengnnya kembali, tidak terfikir lansung untuk aku tilikkan. Tidak seperti drama-drama melayu yang tersiar di kaca tv, kami sekeluarga sentiasa berjaya dalam kerjaya sampingan sebagai tukang tilik. Apa yang bakal terjadi seterusnya, akal direktor itu seperti mudah sahaja untuk dibaca. Namun si Tuan Direktor kali ni bukan lagi manusia, tetapi Tuhan. Yang jika mahu menjadikan sesuatu maka jadilah....


He it is who gives life and causes death; and when He decrees a matter, He but says to it, “Be,” and it is. (Alghaafir:68)


Drama TV itu tidak sesekali sama dengan sirinya di dunia.

Pertemuan kali ini, aku terlalu kerap berselisih dengan dirinya. Tubuhnya yang kecil, jalannya yang perlahan, tudung labuhnya yang kemas dan ringkas, semuanya masih aku ingat. Namun senyumannya masih belum berjaya aku dapatkan.


"eh izuan, meh la makan sekali..."

Stor belakang itu penuh dengan anak-anak gadis. Kadangkala, mereka berpotluck dengan hasil tangan masing-masing. Aku yang tiada meja di situ, sekadar singgah untuk meletakkan bahan-bahan PBS yang bertimbun-timbun.

"ha, mana satu cikgu buat?" aku sekadar meraikan. Sebagai orang baru, aku menggelarkan mereka "cikgu".


"cucuq udang ni saya yang bawa... Yang popia goreng tu sakinah yang buat.." guru UPSI itu melayan aku yang masih malu-malu. Ustazah bersejarah itu pula senyap sahaja. Terpaksa mengakui, kami berdua masih awkward antara satu sama lain.

Aku menjamah popia gulung tersedut. Satu lagi aku letakkan di atas tisu, segan mahu terus makan di situ bertemankan gadis-gadis yang sedang menjadi guru. Keseganan kepada wanita itu masih bersisa dalam diri. Entah bila akan hilang, wallahualam...

Menjelang senja, aku pulang kembali ke rumah sewa. Walaupun rumah itu punya tiga bilik, tiada satu pun yang "berani" untuk aku huni.. Ruang tamu di bahagian bawah rumah yang agak besar, sudah cukup menjadi tempat melepaskan lelah. Ruang rehat itu juga tempat aku meluah perasaan seorang diri. Berfikir, dan menekan papan kekunci yang sudang usang.

Ya Allah, mengapa Engkau pertemukan kami kembali?
Adakah penanda untuk sebuah usaha
Atau sekadar penyudah yang sia-sia

Jodoh itu urusanMu

Namun aku masih sangsi usahaku


Seperti mana aku percaya kepadaMu
Maka aku sentiasa yakin 



acuan dan roda itu
Bergerak patuh tanpa ingkar
Menyusun yang terbaik 

buat diriku.

Luahan yang aku sendiri bingung mahu memikirkannya.

Bersambung...

 Ruang tamu yang dimuat dengan katil, rak buku dan meja study. Meja study tulah tempat makan, buang masa, menulis... hampir semuanya aku bawak ke kolej dan masih ada hingga kini.
Ruang solat merangkap ruang untuk tetamu. tetapi bersila jela.

Sekian dari Syuib0809.

Saturday, 13 February 2016

Alkisah cinta tiga negeri bahagian 4

Bismillah

Kalendar untuk bulan-bulan terakhir kami di maktab, terhias dengan aktiviti-aktiviti sempena bulan Ramadhan. Selaku bekas Syuib Muscom, aku kembali menyibukkan diri dengan ahli-ahli PAI(Persatuan Agama Islam) di surau IPGKPP. Sebaik sahaja selesai solat asar berjemaah, aku berseorangan menghidupkan dapur sementara menunggu senior-senior yang bertugas. Cuma kelucuan di negeri itu, senior-senior itu suka memanggil kami dengan panggilan abang dan kakak.

"Abang Izuan, nanti tolonglah bagi tazkirah antara terawikh eh..."

Setiap minggu dalam bulan mulia itu, aku beroleh peluang berkongsi ilmu yang sedikit. Tazkirah pendek seperti itu sangat suka aku isi dengan kisah-kisah ringan, yang mudah dihadam dan menghilangkan rasa mengantuk ahli-ahli majlisnya. Banyaknya pengisian berkisar tentang haiwan-haiwan yang Allah nukilkan dalam Alquran.


(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".

Ketua semut itu berkata tentang manusia, yang menjadi pembunuh tanpa sedar. Siapa? Kitalah...

"Siapa sini yang pernah menangis lepas bunuh semut?... Ya Allah, maafkan aku atas pembunuhan ini... Ada?"

"kenapa kita tidak pernah rasa bersalah bunuh seekor semut?"

Kadang-kadang, terdengar gelakan kuat di sebalik tabir yang memisahkan jemaah muslimin dan muslimat. Hingga aku mengagak, tazkirah-tazkirah aku itu tidak berjaya menginsafkan.

Tahun pertama di maktab yang berlalu singkat, sudah mula sampai pada pengakhirannya. Dilema mencari jodoh itu kembali. Masa suntuk dimaktab aku gunakan sebaik-baiknya mencari calon. Hilang malu yang kadangkala aku pula terasa jijik mahu mengingatinya. Hinggalah tamat belajar, tiada satu pun usaha yang membuahkan hasil.

"maaflah abang izuan... " jawapan dari pengurus baitulmuslim itu sudah menjadi lali untuk gegendang telinga.

"weyh, ko nak try tak muslimat ni? Isteri aku kata dia takde sapa-sapa lagi..." sahabat seusrah itu bertanya bagi pihak kenalan isterinya.

"macam ni la. ko bagitahu je teruih nama aku, tak yah taaruf-taaruf bagai.. Tengok respon dia macam mana.. Bukan dia tak kenal aku pun..." aku yang kerap menjadi MC program-program umum jemaah berlagak terkenal sebentar.

Selang beberapa hari...

"muslimat tu kata dia tak bersedia lagi. Dia tunggu kakak dia settle dulu..."

"hahaha... Kalau muslimin hensem mungkin dia sentiasa bersedia kot..." jawapan rasmi mereject itu sudah terlalu menyampah untuk aku dengar. Tiada lagi sedih yang hadir.

"pilus, nak tak seorang muslimat kelantan ni. Muda setahun dari ko..."

"aku tak nak orang kelantan weyh.. Aku tak sanggup nak hadap jem time balik raya nanti...."

 kadang-kadang aku tak terlepas dari menyakitkan hati rakan-rakan. Hehe

Terengganu lagi jauh weyh....

Tempoh lapan bulan menganggur, kami disibukkan dengan interview dari SPP dan Bahagian Matrikulasi KPM. Di hujung tahun 2013, kami turut digembirakan dengan majlis konvokasi IPG yang berjaya aku raikan bersama keluarga di tanah air.

Saat temuduga SPP berlansung, setiap calon diberikan sehelai borang. Borang itu peluang kedua untuk kami memohon penempatan mengikut negeri. Aku yang sudah putus asa dengan pelbagai perkara, berhajat mahu berhijrah. Setelah berfikir panjang, aku menulis tempat yang tiada satu pun orang semenanjung mahu menghitamkannnya.

LABUAN...

March 2014, aku menerima surat arahan untuk melapor diri di JPN Pulau Pinang. Yang turut bersama dengan aku adalah wawa dan athirah untuk subjek matematik. Daerah mana, kampung mana, sekolah mana, tiada siapa diantara kami yang tahu. Kerahsiaan KPM itu, tiada siapapun antara kami yang mampu bersangka baik. Mana tidaknya, kami dibiarkan terpinga-pinga tanpa perancangan. Kepala pening memikirkan,  entah dimana mahu merempat di hari pertama. Mahu mencari rumah, tapi di mana mahu mula?

Di pulau? Di Seberang? Di Utara Negeri, ke Selatan?

Sangkaan kami bertiga sudah pasti di utara negeri. Tempat letaknya matrikulasi yang kononnya menjadi destinasi kami sebaik sahaja habis tempoh transit. Paling tidak, mungkin kami akan di letakkan di seberang perai tengah.

Penyerahan "watikah" penempatan pagi itu, aku dikembalikan ke bumi tiga negeri. Barangkali Tuhan mahu mengingatkan kembali cintaNya dan cinta dia.

" maaf cikgu, sekolah ni guru matematik memang sudah penuh. Baru-baru ni pun kita dah dapat beberapa orang guru ganti..."

"guru math yang sedia ada pun terpaksa mengajar subjek lain.."

Penyelaras petang itu terkejut dengan kehadiran kami.

Aku dan Wawa sampai terus ke sekolah petang hari yang sama kami melapor di JPN. Secara jujur, hati aku sangat lega dengan kehadiran Wawa. Antara sebabnya, dia memang baik. Dua, sebab aku memang tak segan dengan dia. Tiga, dia memang tak berkira kalau aku mintak tolong.

"jadi, salah seorang dari cikgu kena mengajar di sesi petang..."

Sesi petang di sekolah itu, khas untuk pelajar tingkatan satu dan dua sahaja. Dengan erti lain, siapa yang beroleh kelas petang, pasti perlu menurunkan levelnya ke tahap yang lebih rendah. Aku yang kurang selesa bersetuju sahaja kerana Wawa selaku anak gadis lebih molek diletakkan di sesi pagi.

Mengharap ke seberang
Namun kini aku ke utara
Bermimpi di tengah
Kini aku belayar ke selatan
Layaknya di pagi hari
Ku tersesat ke petang yang dingin
Apa benar ini aturanMu Tuhan?


Keesokan harinya, aku kembali ke sekolah bagi memulakan tugas rasmi sebagai seorang guru. Pelbagai urusan yang perlu diselesaikan. Kepenatan kerana berulang dari pulau, aku masih perlu menyelesaikan urusan rumah sewa yang aku seorang sahaja penghuninya. 

Hati yang masih belum tenang tiba-tiba dikejutkan...

"MashaAllah.." 

 Kejutan itu, benar-benar aturan dari Allah..

Bersambung...


Sunday, 7 February 2016

Alkisah Cinta Tiga Negeri Bhgian 3

Bismillah.

Beberapa minggu yang lalu, aku menjadi ahli panel bagi sebuah forum di AnNahdhoh. Aku sorang je ahli panel yang laki. Yang lain semua perempuan. Dan entah apa masalah dengan peserta-peserta ini, kelima-lima soalan yang mereka ajukan semuanya menghala kat aku.

Banyak bercerita mengenai perjalanan akademik, entah macam mana tiba-tiba terluah

"kamu jangan risau, rezeki semua Allah dah tetapkan. Tapi kenalah usaha..."

"saya Alhamdulillah, rezeki saya sepanjang belajar memang mudah. Ada je orang sponsor. Cuma Jodoh saya je yang lambat... Sedih...." Semua yang berada dalam dewan bergelak sakan.

"dah ada orang punya ke?" aku berjenaka sekali lagi dengan menjadikan ahli panel yang kedua sebagai mangsanya.


Tak silap aku ahli panel yang kedua(tepi aku) ni student IPG. Hujung paling kanan sekali ialah pakar bius di hospital seberang jaya.


Okeh meh sambung cerita pasal jodoh.

Alkisah Cinta Tiga Negeri Bhgian 3

"ku simpan rindu di hati, gelisah tak menentu
Berawal Dari kita bertemu, kau akan ku jaga...
Ku ingin engkau mengerti, betapa kau ku cinta
Hanya padamu aku bersumpah, kau akan ku jaga sampai mati..

Ku ingin tahu yang menyayangimu, dan 
Ku ingin kau tahu ku mencintaimu...
Walau sampai akhir hayat ini..

Anak-anak asrama sekolah kampung itu, berkaraoke dengan masing-masing sedang separuh berbogel. Kehidupan di asrama seperti itu, aku rindu benar akan anginnya. Angin yang tidak mungkin berbicara tentang dosa pahala. Oleh itu, kami dan mereka sentiasa bergembira dengan semua masalah yang ada.

Teringat ketika di tingkatan dua, kerap benar aku dan rakan-rakan bermain bola dalam sebuah bilik kecil. Bilik kecil itu dikongsi 18 hantu-hantu. Hantu-hantu yang menyedari salah, tetapi tiada nafsu untuk berhenti membuat salah. Hinggalah objek bulat itu mematahkan bilah-bilah kipas, masing-masing mula ketakutan seolah-olah ternampak kelibat hantu.

Guru disiplin yang berjaya dalam risikan, kami beramai-ramai berlari keliling padang bola untuk subjek yang bukan jasmani. 10 pusingan itu, sebuah kenangan manis yang meniupkan senyuman tatkala kami mengingatinya.

Ahli-ahli dorm B1 tahun 2003. Bola yang dipegang oleh "abang sob" itulah puncanya. Aku berjaya "menapis" si balang.


2013, anak-anak itu mengembalikan memori yang tidak akan kembali. Lagu "punk rock jalanan" itu mereka siulkan dengan tangan yang sibuk membuang kotoran pada pakaian-pakain mereka. Mandi dan mencuci baju berjemaah itu event paling heaven untuk budak-budak asrama. Air yang dibazirkan begitu sahaja, tiada yang risau akan pemilik bilnya.

Pagi itu, aku bersama dengan mereka di asrama. Hujung-hujung minggu sebegitu, aku semakin suka meluangkan masa di asrama bersama anak-anak pelajar. Naluri kebapaan tanpa si ibu, kadang-kadang aku memaksa diri tidur bersama mereka. Tilam yang ditarik dari rangka katil, kemudian disusun rapi di atas lantai, dengan kipas angin sebagai atapnya. Aku teruja mahu merasainya kembali.

Tidur bersama budak bawah umur, kepala aku tiba-tiba dikepit oleh sepasang kaki manusia. Lemak yang kelembutannya cukup menggoda, tiba-tiba dipeluk dari kiri dan kanan. Seperti biasa, aku dan mereka tidur tanpa kelambu, dengan tingkap dan pintu yang terbuka luas. Ganas-ganas budak asrama, nyamuk berbisa juga sudah biasa menjadi teman.

Anak-anak kecil itu tidur dengan aman, subuh mereka pula tiada dalam perancangan. Aku yang sudah tua bingkas bangun, membersihkan diri untuk ke masjid berdekatan.

Ustazah bersejarah itu sudah tiada. Tempoh guru gantinya telah tamat. Sebelum dirinya beredar, kami sempat bertukar "borang". Hanya dalam kepingan kertas itu sahaja ruang untuk kami mengenali antara satu sama lain. Tiada gambar yang mengiringi kertas putih itu. Akibatnya, wajah penuh ustazah itu terus kekal misteri.

Yang hanya aku ingat dari borang itu, dirinya juga suka membaca. Cuma sayang, tiada satu pun buku yang sempat aku hadiahkan sebelum pemergiannya..


Setelah beberapa minggu berlalu, aku menerima pesanan ringkas dari shak.

"Izuan, ni mesej dari Sakinah. Sabar eh, mungkin belum jodoh lagi..."

"Harap Shakira boleh bagitahu Izuan. Lepas bincang dengan abah dan mak, dan buat solat istikharah, hati sakinah belum bersedia lagi untuk mendirikan rumah tangga. Maaf..."

Pesanan ringkas itu, aku sambut dengan senyuman yang entah apa ertinya. Kadang-kadang fobia itu datang kembali.

 "Alah perempuan, asal reject je kata tak bersedia... Kalo yang melamar tu hensem, kaya bersedia plak. Puihh.."

Rungutan-rungutan itu hanya rungutan seketika. Fobia biasa apabila urusan BaitulMuslim tidak semudah seperti dalam drama-drama melayu yang ditonton. Sedangkan bagi orang-orang beriman, perkara-perkara ini sepatutnya dilihat sebagai teguran daripada Allah.

"If there is something you want in life and you are not praying tahajjud for it, you don't really want it." — Shaykh Yasir Qadhi

Sebulan yang masih berbaki di Sungai Acheh, aku mengutip sebanyak-banyaknya pengalaman yang entah bila akan bertemu lagi.

Rutin setiap hari sabtu, aku akan ke pasar minggu sungai Bakap. Ustazah yang mendahului studentku si pemalu itu berkampung di situ. Kadang-kadang tergatal juga tangan mencari-cari di mana rumahnya. Sekadar ingin tahu. Namun, alamat-alamat kampung yang sukar dibaca dalam rumi itu, menyebabkan pencarian aku selalu menjadi sia-sia.

Cuma selalu hati aku merintih untuk terserempak dengannya. Wajah penuhnya yang masih misteri, aku sekurang-kurangnya mahu punya memori tentang dirinya.

Praktikum yang berakhir, aku kembali ke maktab dengan perasaan yang tidak mahu kembali.

"saya bersetuju dengan poligami, tapi saya tak mungkin akan beristeri dua..." perbincangan kelas agama hari itu berbicara perihal poligami

"kenapa?"

"bagi saya, itu hadiah terbaik dari saya untuk isteri, yang sudi terima semua kekurangan saya sebagai suaminya...." euwwww

Bersambung...


Tuesday, 2 February 2016

Akisah Cinta Tiga Negeri bahagian 2

Bismillah..

Wahai hamba-Ku, kalian semua sesat kecuali orang yang telah Aku beri petunjuk, maka mintalah petunjuk kepada-Ku, pasti Aku kabulkan. Kalian semua adalah orang yang lapar, kecuali orang yang Aku beri makan, maka mintalah makan kepada-Ku, pasti Aku beri makan. Wahai hamba-Ku, kalian semua asalnya telanjang, kecuali yang telah Aku beri pakaian, maka mintalah pakaian kepada-Ku, pasti Aku berikan. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan perbuatan dosa di waktu siang dan malam, dan Aku mengampuni dosa-dosa itu semuanya, maka mintalah ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuni. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kalian tidak akan dapat membahayakan diri-Ku dan kalian tak akan dapat memberikan manfaat kepada-Ku.....

Akisah Cinta Tiga Negeri bahagian 2

"Ha Ajik, ape hey(hal) kamu ni?"

"selipe hilang cikgu...." anak kecil tu membalas dengan nada sedih.

Dikalangan penghuni-penghuni asrama separuh tu, dia pemilik badan paling kecil. Masih ditingkatan satu, wajah innocentnya selalu memaafkan. Akal yang belum penuh, suara yang tiada singa, anak kecil itu selalu dijaga abang-abang angkatnya di asrama. Rezeki malam itu, aku tiba-tiba menjadi ayah angkatnya.

"Habis tu, macam mana kamu nak balik asrama?"

"lari x pakai selipe la cikgu..."

"toksah ngada-ngada, meh sini saya dukung. Karang kena kaca nanti naye je..."

Anak kecil itu malu-malu. Takut diejek kawan-kawannya. Badan sekecil itu, sudah ada ego sebesar gajah. Biarkan saja kekanak itu membesar, gajahnya nanti pasti tumpul dihadapan wanita.

Malam itu, aku mengimamkan mereka buat seketika. Sedikit nasihat aku berikan, setelah melihat solat-solat mereka yang selalu termain seperti COC. Cuma umur mereka, tidak menjadi sebab untuk aku menjemput kecewa.

Wahai hamba-Ku, sesungguhnya amal kalian, Aku catat semuanya untuk kalian, kemudian Aku membalasnya. Maka barangsiapa yang mendapatkan kebaikan, hendaklah bersyukur kepada Allah dan barangsiapa mendapatkan selain dari itu, maka janganlah sekali-kali ia menyalahkan kecuali dirinya sendiri....

Selepas isyak, aku berlegar di kawasan asrama. Banyak tikanya, aku akan membantu pelajar-pelajar tua asrama, yang kerap bingung dengan tolak-tambah matematik.

"Await cikgu sakinah tu selalu masuk kawasan asrama, dia tido kat asrama ke?" aku memulakan pertanyaan.

"Aah cikgu... Dia tolong jaga pelajar perempuan. Hujung-hujung minggu baru ayah dia mai ambik naik motor..."

"erk, naik motor?? Dia orang mana?"

"Sungai Bakap je cikgu..."

"owh.. Orang pineng je...."

Orang-orang penang, banyak benar rungutan dan gosip mengenai mereka. Kata-kata orang, gadis-gadis penang itu kuat mencukur sifatnya. Harta-harta jejaka menjadi ukuran. Tiada rupa tidak mengapa, namun jika tiada harta, bersedialah sahaja untuk berputus asa. Lawak aku memikirkannya.

Namun gadis ini, aku fikir dirinya berlainan. Setiap hari, banyak benar pertanyaaan tentang dirinya. Cuma soalan-soalan itu sekadar tersimpan di dalam hati. Jikalau terluah pun, banyak terlepas pada anak-anak murid yang masih belum cukup akalnya...

Setiap kali menjejakkan kaki ke sekolah di awal pagi, aku mencari kelibat ustazah bersejarah itu. Tidak berjumpa sehari dengannya seperti mengundang sawan. Tidak pasti apa yang "cantik" tentang dirinya. Sebabnya, aku belum pernah melihat wajahnya secara rasmi. Segalanya curi-curi. Cuma sikap dia, tidak ubah seperti studentku si pemalu yang pernah aku ceritakan. Malah, aku berjumpanya terlebih dahulu, dan hati aku terus kehilangan pemiliknya.

Sepanjang berada di sekolah tiga negeri itu, sukar benar mahu melihat wajah penuhnya. Jalan gadis tudung telekung itu, mukanya hanya berkiblat ke lantai. Cuma kadang-kadang, sempat aku bergelar pencuri, melihat wajahnya sepintas lalu. Dan "kadang-kadang" itu menjadi ketagihan yang menyakitkan.

Malam yang sudah lewat, aku bergegas pulang ke taman ilmu. Membuka pintu rumah yang sudah sunyi. Penghuninya punya hal masing-masing. Sebahagian kecilnya, sudah mula mengintai kamar tidur yang kurang cahaya. Ruang tamu rumah menjadi bilik tidur aku dan cuan. Bilik-bilik yang ada di atas, sudah ditempah pasangan-pasangan lain. Aku dan cuan tidak pernah kisah. Tolak ansur itu kunci kebahagiaan kami. Cuma aku, selalu mengasingkan diri dari mereka. Hingga suatu hari, ada kekecewaan yang mereka luahkan secara sindiran.

Selang beberapa hari, aku, cuan, shak dan Hanun bertemu di luar dewan sekolah. Halaqah-halaqah sebegitu, selalunya membantu kerja-kerja kami yang selalu bertemu jalan buntu. Sembang-sembang orang melayu, tiada pelik untuk terpesong jauh tajuknya...

"sakinah tu sebaya kita la... dia kejap je kat sini..." shak memberi jawapan kepada soalan yang entah dari siapa.. Yang pasti, Cuan juga tidak terlepas dari sifat ingin tahunya..

"Kenapa? Minat ke?.. Kalau nak aku boleh tolong..." shak tiba-tiba menawarkan diri menjadi orang tengah.

Kami berdua ketawa besar. Hanun pula, bengisnya seperti biasa. Barangkali menyampah dengan kegatalan kami.

Hanun itu, hatinya tidak seperti zahirnya. Pernah beberapa kali aku lihat dia menitiskan air mata.

"Ya Allah Nun, await ni... Dah2, meh aku dengan cuan hantaq..." aku melihat guru muda itu mengesat air matanya secara rahsia.

Dirinya yang sedikit berbeza, menyebabkan aku sedar dia kurang digemari rakan sejantina. Malah gosip liar dari si Ferd tersebar, kononnya rakan-rakan di Kedah sudah tidak sebulu dengannya.

Biasalah, orang perempuan. Gaduh tu hobi...

Aku diperlihatkan di surga. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum fakir(miskin). Lalu aku diperlihatkan neraka. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.” (HR. Bukhari, 3241 dan Muslim, 2737)

Entah berapa selang masanya, aku tiba-tiba bertemu shak kembali.

"shak, hang boleh tolong aku tak?"

Gila kerja aku ni, tak kenal main balun je...

"ye boleh... Nak tolong apa?" shak yang sedang sibuk "menganyam" bunga dari kertas membalas ringkas.

Tidak pandai mengorat, aku terus mengambil jalan pintas yang tidak ramai gadis berkenan


Entah kegilaan apa, aku merisik "ustazah bersejarah" tersebut..

"takpe, tanya je..."

"kalau dia ok, aku datang rumah tanya ayah dia eh... Terima kasih"

Borang BM berbahasa melayu aku sertakan sebagai bekalan kecil..

Bersambung..