Sunday, 31 January 2016

Alkisah Cinta Tiga Negeri... bhgian 1

Bismiilah..

Beberapa minggu lepas, si nawal bagi teka-teki...

"cikgu, saya ada teka-teki . Kenapa air laut masin?..."

Kesibukan saat mesej itu masuk, aku tidak berjaya membalas pada masanya.

Oleh kerana kategorinya adalah teka-teki, aku yakin si Nawal ni bukannya nak jawapan saintifik. Entah macam mana tiba-tiba aku terjumpa manusia yang menulis kembali teka-teki ini di media sosial. Jawapannya euwwww....

Ni jawapannya:

"Sebab yang manis-manis semua ada pada awak..." Kahkahkah...

Okeh, silalah bahan Nawal eh. Tetiba dia jiwang.

Dan ini pula kisah "jiwang" yang dijanjikan. Cuma rasanya takleh lawan studentku si pemalu kot. 3 Bahagian awal agak perlahan. Cuma pesanan penaja, toksahlah percaya sangat eh..



ALKISAH CINTA TIGA NEGERI. 


Umur 20an, aku dan mereka sudah terlalu awal belajar berdikari di bumi asing. Pulang ke Malaysia, kami beramai-ramai berpedagogi di maktab perguruan. Dilema pelajar tahun akhir ketika di UK dilupakan sebentar. Topik "Baitul Muslim" yang sering menjadi buah mulut ketika di tamrin-tamrin, menjadi sepi buat seketika.

Di kampus tersebut, kami kembali menjadi pelajar tahun pertama.

Menjadi budak sekolah balik


"weyh korang, jom pegi tengok sekolah nak tak?" budak monarch kehitam-hitaman itu bersuara.

Kami berenam, tercampak ke selatan negeri untuk belajar bertatih-tatih. Mudah dan jimat, kami sebulat suara bersetuju untuk duduk bersama-sama. Dengan bantuan seorang junior, enam sahabat itu beroleh sebuah rumah sewa di kawasan kampung, berhampiran bulatan yang memisahkan tiga negeri.

Bujang-bujang itu tidak punya masalah untuk duduk di kampung. Walau mereka punya sijil berharga dari luar negara, kampung-kampung seperti itu masih sebati dengan jiwa mereka. Ada yang kampung pada wajah, ada yang kampung pada hati, ada juga yang kampungnya memang tersemat dalam peribadi.

Taman perumahan kecil itu dikelilingi bendang, sesuai dengan jolokan negerinya, Jelapang Padi. Walaupun namanya Bandar Baharu, tiada bandar yang kelihatan baru untuk kami membeli segala kelengkapan rumah. Dengan pilihan yang tidak ada, kami ber"shopping" di negeri jiran yang jaraknya 180saat dari rumah. Menariknya, negeri jiran itu bukan Pulau Pinang, tetapi negeri si deme dan kome, PERAK.

Selesai melabur untuk tiga bulan, kami bergerak menuju ke sekolah masing-masing. 5 minit dari Parit Buntar, kereta yang dipandu akhirnya selamat sampai ke sekolah-sekolah praktikum untuk bahagian selatan Negeri. Azri yang menjadi salah seorang drebar berjenaka dengan sebuah keluhan:

"pergh, dahsyat kita ni. Hari-hari pergi sekolah kena lalu tiga negeri..."

Entah suara siapa yang beriman membalas...

"itulah yang dipanggil pengorbanan seorang guru..."

Booooo..

Azri dan pojan, kedua-duanya beroleh sekolah kluster. Aiman dan Kamal pula seperti bersuka-ria di sekolah yang bangunannya masih baru didirikan. Lokasinya pula bersebelahan MRSM. Manakala aku dan cuan ditempatkan di sekolah paling jauh, yang majoriti penduduknya berlatarbelakangkan nelayan dan buruh kampung. Turut menemani kami ialah Shak dan Hanun, dua anak dara yang juga mengajar matapelajaran yang sama, matematik.


Petang hari pertama, enam sahabat itu membuat keputusan gila bersama-sama. Tiga negeri itu seperti tidak mampu untuk dilalui setiap hari. Saat mencari-cari rumah baru dikawasan Transkrian, mereka beroleh rezeki baru. Berkat berkawan dengan orang-orang Soleh, kumpulan kecil itu ditemukan dengan sebuah rumah kecil dua tingkat di taman Ilmu. Lebih dekat dan murah, tidak lama untuk mereka berkeputusan mengubah arah. Petang pada hari yang sama, kami berpindah ke Taman Ilmu.

Keesokan paginya, jejaka-jejaka itu memulakan tugas sebagai guru pelatih. Sebagi satu-satunya pasangan yang tidak punya pengangkutan, kami terpaksa meminta ehsan sahabat serumah. Aiman yang soleh kemudian berbesar hati meminjamkan kereta kancilnya untuk aku dan cuan.

Kami berdua diberi kelas yang sama untuk subjek Matematik Tambahan. Bergilir-gilir dengan topik yang berbeza. Manakala untuk subjek matematik moden, aku beroleh kelas kelima daripada tujuh, manakala cuan diuji dengan kelas ketujuh. Bagi mencukupkan bilangan jam, aku turut dipaksa mengajar subjek ICT untuk pelajar tingkatan dua.

Beberapa minggu awal di sungai Acheh, diri  mencari-cari "hikmah" dan kebaikan berpraktikum di hujung negeri itu.  Selain air tebu yang menenangkan hati, aku tidak pasti apa lagi yang mampu meringankan kesabaran dan kepayahan mengajar kelas kelima itu. Kelas itu pelajar cinanya tidak fasih berbahasa melayu. Manakala yang melayunya, tidak lansung punya sebab untuk mereka belajar. Hampir separuh daripada mereka sudah terikat dengan kerja di luar. Tidak kisahlah sama ada di pasar malam, di kedai runcit ataupun  membantu perniagaan keluarga. Duit sedikit itu memotivasikan mereka untuk tidak mahu belajar.

Kepala yang sudah terlalu pening mahu memikat mereka, kadangkala terubat juga dengan  mendengar kisah lucu mereka. Dan keseronokan bila melihat mereka faham perkara-kara kecil, hanya guru-guru sahaja yang tahu perasaan "berjaya"nya.

Suatu hari, sedang aku bermalas-malasan melayan kerenah kelas kelima itu, lalu seorang guru wanita yang perwatakannya cukup misteri. Berjalan memandang lantai, jarang benar aku melihat wajahnya.

"Ustazah ke tu?..." aku bertanya kepada seorang pelajar.

"takdelah cikgu. Tu cikgu Sakinah. Ajar sejarah. Dia cikgu ganti..."


"Erk... Ajar sejarah??"

Aku tidak mampu membayangkan bagaimana guru seperti itu mampu mengajar subjek sejarah. Subjek yang panjang ceritanya, diajar oleh orang yang tidak banyak berbicara. Entah siapa mahu menjadi pendengarnya...

Setiap kali berjalan ke kelas kelima, aku selalu terserempak dengan "ustazah bersejarah" itu. Melihat dirinya yang tekun menulis tanpa dipedulikan anak murid, kadangkala perasaan lucu bercampur kasihan bermain dalam hati aku.

Dirinya yang kelihatan misteri, aku dan cuan selalu terasa ingin tahu.

"Sakinah itu sebaya dengan kita la...."

Bersambung...

No comments:

Post a Comment