Wednesday, 19 March 2014

Nota USRAH: Hunain MH370

Bismillah.

Aku kongsikan sedikit nota yang aku buat untuk Usrah hari ini. Namun terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Lama tidak menulis macam ni. Ringkasan sahaja.

HUNAIN: Sains dan Penciptanya.

AtTaubah ayat 25

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.  

Setelah berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah, maka perang Hunain mengambil tempatnya apabila kaum Musyrikin tidak berpuas hati dengan kemenangan Islam. Strategi pihak musuh yang berpusat di Thaif memilih lembah Hunain sebagai medan pertempuran, diketuai seorang pemuda yang IDEALISTIK iaitu Malik bin Auf. Akal sainsnya berpendapat kalau tenteranya membawa segala harta benda dan ahli keluarga, pasti mereka lebih bersemangat dan tidak lari dari medan perang. Hmm.. menarik

Di bahagian muslimin pula, sebuah angkatan tentera sejumlah hampir 12000 ribu orang digerakkan bagi berhadapan dengan tentera musyrikin. Dalam jumlah ini, ada sebahagian kecilnya yang baru sahaja memeluk Islam, malah tidak begitu memahami Islam. Dalam perjalanan, beberapa peristiwa yang berlaku menyebabkan mereka mengundang kemarahan Rasululullah S.A.W. Antaranya:

Dalam perjalanan, sebahagian tentera Islam begitu yakin bahawa mereka akan menang kali ini. Jumlah yang jauh berganda berbanding perang Badar, mana mungkin akan kalah mengikut akal logiknya. Sainsnya, kalau sedikit sudah menang, apatah lagi kalau ramai. Lalu Allah uji mereka dengan serangan dari musuh yang menyebabkan mereka bertempiaran lari meninggalkan Rasulullah. Yang kekal bersama Rasululullah sudah tentulah kaum Muhajirin dan Ansar hingga akhirnya mereka beroleh kemenangan.

Dalam perjalanan juga, penduduk-penduduk Mekah yang bersama dalam peperangan kali ini memhon nabi meng"ada"kan sebuah pohon besar yang digelar Dzatu Anwath seperti mana yang ada pada kaum musyrikin. Sudah menjadi adat kepercayaan masyarakat Jahiliyah Mekah meletakkan senjata mereka pada pokok ini bagi mendapatkan berkah. Mereka percaya, senjata mereka akan lebih power selepas diletakkan pada pokok ini. Ini baru kepercayaan kecil, banyak lagi yang lebih besar seperti menilik nasib menggunakan anak panah seperti mana yang dinukilkan dalam AlQuran.

MH370: Sains, Tuhan dan Bomoh??


Bilamana Malaysia dikejutkan dengan peristiwa kehilangan kapal Terbang MH370, semua jentera hebat digerakkan bagi mencari dan menyelamatkan pesawat berkenaan. Mana mungkin sebuah kapal terbang canggih yang besar boleh hilang dari radar. Sains mengatakan ia tidak mungkin berlaku. Hingga hari ke 11, segalanya masih misteri walaupun mendapat pertolongan daripada 14 negara. Muncul Kapten Norudin yang membawa harapan baru kepada Umat Islam supaya tidak sekadar bergantung kepada Sains, namun memohon juga kepada pencipta sains.

Kata-kata popularnya.
"Apabila sains berada di penghujungnya, di situlah kuasa Allah bermula.."

Allah menegur kita yang sentiasa bergantung dan berakidah dengan Sains. Namun melupakan pencipta Sains tersebut yang kuasanya melangkaui akal pemikiran manusia. Maka berdoalah kepada Allah, pasti Allah makbulkan. Namun begitu, masyarakat melayu masih tidak ubah sepertimana masyarakat Jahiliyah. Walaupun Islam sudah mula dihadam dengan baik di Malaysia, masih ada yang percaya kepada BOMOH! untuk mencari MH370. Sukar menghapuskan amalam ini apatah lagi bila kaedah khurafat tersebut tanpa segan silunya mengalunkan ayat suci AlQuran dan kalimah Allah. Hebat kan?



Kesimpulan.

Kepercayaan-kepercayaan khurafat sudah berakar umbi dalam masyarakat melayu. Kisah hantu, parang terbang, lenggang perut, dan pelbagai lagi kepercayaan meresap dalam keadaan masyarakat sekeliling aktif ke masjid dan mendengar ceramah agama. Khurafat bukan kerana mereka tidak percaya pada Tuhan, tetapi kerana mereka tidak benar-benar percaya kepada Tuhan. Di zaman Umar sendiri, ada segelintir umat Islam yang mengambil berkat dari pohon berlakunya baiah ridhwan. Lau, menyebabkan Umar perintah menebangnya


Allah sudah membuktikan begitu banyak kisah dalam Alquran yang membuntukan akal logik dan Sains manusia. Kisah Ashabul Kahfi, kelahiran Nabi Isa, kemenangan perang badar, malah Madinah sendiri menjadi Negara Islam walaupun nabi lebih banyak menghabiskan umurnya di Mekah. Berserah dan percaya pada Allah tidak sesekali mendefinisikan kita putus usaha dengan ilmu Sains yang ada di dunia. Luaskan maksud usaha untuk kita mendapatkan sesuatu. Usaha bukan untuk diletakkan kepada Sains sahaja, berharap kepada pencipta sains juga adalah satu USAHA.

Kenapa perlu dibezakan DOA dan USAHA
Bukankah DOA pun satu USAHA juga


Sekian dari Syuib0809


No comments:

Post a Comment