Saturday, 29 March 2014

Mimpi Anak Kampung SKST

Bismillah.

Menghadiri kenduri Adam Mustafa petang tadi menyebabkan aku mahu mencoretkan sesuatu. Kami berdua adalah anak kampung yang bersekolah di sekolah kecil terletak di Sungai Tungku. Bilangan murid darjah 6 waktu tu sekitar 60 orang kalau tak silap. Tahun 2001. Datang pagi-pagi sekolah, benda wajip buat ialah main sepak tin minuman yang dikemekkan kat court badminton. Sekolah yang tidaklah sesempurna mana, namun menghikayat seribu satu kenangan. Dikelilingi anak-anak kampung yang lain, maka mimpi kami tidak pernah besar seperti anak-anak bandar.

Sewaktu menghampiri UPSR, kami dipenuhi dengan begitu banyak kelas tambahan. Datang kelas petang2 bukan sebab nak belajar sangat. Tapi sebab cikgu suruh dan saja nak main dengan kawan-kawan. Alasan lebih pelik ialah nak ponteng sekolah agama yang dah tak efisyen sebab dah lepas UPKK. Antara cikgu yang paling semangat sekali ialah Sir Roy, cikgu bahasa Inggeris yang memang kelas tambahan dia setiap minggu. Kadang-kadang sebelum perhimpunan pagi pun dibuatnya kelas.

 Tahun 2001 bersama sir Roy. Adam tengah main kucing. Aku plak tukang tangkap gambar.

Tahun tersebut, SKST(Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku) bergembira dengan jumlah murid yang mendapat 5A seramai 8 orang. Bagi sekolah kampung, nilai tersebut cukup banyak sebab tahun sebelum tu hanya dua orang kalau tak silap. Aku masih ingat nama-nama tersebut.

Adam Mustapha Rosli
Anuar Mokhtar
Ahmad IzuanPuad
Farah Sakinah Taib
Izzati Ismail
Azian Suhana Yahaya
Zakiah Jamiun
Julinda Ayob.

Adam, Anuar, Izzati, Azian, Zakiah dan aku masing-masing ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI). Ye, dekat je dengan rumah. Farah ke SERATAS dan Julinda ke MRSM kalau tak silap. Tapi di SEMESTI hanya aku, Adam dan Azian sahaja yang bertahan sampai habis form 5 tahun 2006. Menariknya, kami bertiga bukan sekadar keluar dari kampung, bukan sahaja  keluar dari Teluk Intan. Namun berjaya menyeberangi lautan untuk menyambung pelajaran.

Adam ke Amerika Syarikat buat Biotech
Azian Suhana berhijrah ke India 5-6 tahun untuk jadi Doktor
Aku pula ke negara sejuk United Kingdom untuk jadi guru matematik.


Adam kahwin dengan kenalan di US gak. Hebat.. Aku membesar dengan jayanya. Gila bulat badan aku

Ketiga-tiga kami hanya anak kampung yang kecilnya tak mungkin bermimpi sebegitu besar. Selepas aku pulang dari UK, aku ingat pergi belajar di Luar Negara adalah satu fenomena biasa yang tidak lagi dipandang istimewa. Bagi aku, mungkin masyarakat sekeliling akan berkata, "Ala, biasalah pergi luar negara tu. Anak si polan pun gi sana. Sekarang ni dah melambak dah biasiswa-biasiswa ni.." rupa-rupanya itu hanyalah dialog orang-orang bandar. Tahun 2012, waktu aku dan rakan-rakan berkunjung ke SEMESTI, masih ramai yang teruja bila masing-masing memperkenalkan tempat belajar. Bayangkan jika mereka sendiri teruja, apatah lagi masyarakat di kampung.

Anak kampung sentiasa punyai hak untuk bermimpi. Selagi mana impian tersebut tidak mengundang ketawa rakan-rakan, maka selagi itu impian tersebut hanyalah impian biasa. Sekiranya dirimu duduk dibendang, tiada mampu bertuisyen bayaran, loghat dimulut pekat bebeno, mainan petangnya lumpur dan ikan, ibu ayah tiada berpelajaran, ke sekolah mengayuh basikal, lalu dirimu berimpian belajar di negara asing. Maka mimpi anak kampung itu lebih GILA dari mimpi anak pandai di bandar.

Bermimpilah wahai Anak Kampung, tiada apa yang mustahil buatmu.
Aku tidak mengatakan ke Luar Negara sebagai definisi berjaya.
Ia sekadar impian gila untuk kamu ditertawa.
Lalu terjaga bila mimpimu menjadi nyata.


Kamera tiba-tiba tamat riwayat. Perlu cari kamera baru.

Sekian dari Syuib0809

Sunday, 23 March 2014

Maslahah

Bismillah..

Sambung sedikit nota usrah yang lepas.
Segala hukum, panduan, syariat yang digariskan dalam islam sentiasa bertujuan membawa kebaikan dalam kehidupan manusia. Dalam masa yang sama, ketetapan syariat Islam juga menolak keburukan daripada melanda manusia secara umumnya. Namun begitu adakah semua maslahah (kebaikan) itu diterima dalam Islam? Sebab itu dalam Islam, terdapat tiga jenis maslahah yang memberi panduan bagi kita menilai sesuatu perkara.

Maslahah muktabarah.
Maslahah muktabarah ialah kebaikan-kebaikan yang dijaga oleh Islam berdasarkan pensyariatannya di dalam Alquran dan Sunnah. Segala perintah, larangan Allah ini bertujuan menjaga maruah, harta, keluarga, negara dan kesucian Islam itu sendiri. Contohnya, Islam mewajipkan umat berjihad bagi mempertahankan agama/negara apabila diserang. Hukum hudud, kisas, ta'zir dan sebagainya bertujuan menjaga keamanan sejagat dan mengurangkan kadar jenayah. Begitu juga larangan berzina supaya menjaga jalur keturunan.

Maslahah Mulghah.
Maslahah mulghah ialah kebaikan dari pandangan mata manusia yang terbatal kerana bertentangan dengan nas syarak. Walaupun terdapat kebaikan padanya, namun Islam menolak amalan tersebut kerana keburukannya yang jauh lebih mudarat. Sebagai contohnya mengambil dadah atau minum arak bagi menghilangkan stress. Contoh lain melacurkan diri bagi menyara keluarga. Contoh yang kita tidak sedar selalunya ialah aktiviti2 kesenian(tarian) dan sukan yang selalu berselindung dengan objektif merapatkan silaturrahim ataupun mencungkil bakat. Hakikatnya pergaulan sangat tidak terjaga dan mengundang nafsu melihat penari-penari yang begitu meng"hibur"kan.


Begitu juga dengan konsert liar yang diadakan di Malaysia semata-mata sebagai satu promosi event Tahun Melawat Malaysia. Walaupun hakikatnya benda-benda ini sudah lama berleluasa, namun baru kini Allah bukakan Aibnya. Memang ada kebaikan, namun ternyata terlampau banyak keburukan.

Maslahah Mursalah.
Ada sebahagian perkara yang tidak digariskan dalam nas syarak, namun tidak juga dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Namun, perkara-perkara sebegini begitu membantu melicinkan urusan manusia dan membawa seribu satu kebaikan. Sebagai contohnya penggunaan Lampu Isyarat bagi memudahkan urusan lalulintas. Pakai helmet, pakai tali pinggang keledar, bawa kad pengenalan, segala-galanya membawa kebaikan pada manusia. Namun begitu, tidak semua tempat mendefinisikan perkara-perkara sebegini membawa kebaikan yang sama. Maka perlu berlapang dadalah apabila kita berhadapan situasi yang berbeza.



Di Malaysia urusan mendaftarkan perkahwinan berhadapan dengan begitu banyak proses. Cek itu ini, sah itu ini, kursus kahwin dan macam-macam lagi. Ternyata pihak agama mengambil langkah tersebut bagi menjaga kebaikan pasangan masing-masing. Namun keadaan begitu berbeza di Selatan Thailand, atau dalam drama sering disebutkan sebagai Nikah lari ke Siam. Urusan Nikah di sana dilihat begitu MUDAH atau sebahagian melihatnya sebagai LONGGAR. Cukup sekadar guna wali hakim. Kenapa? Di sana urusan nikah perlu dimudahkan kerana ruang maksiat/zina begitu terbuka. Siapa yang pernah pergi tahulah. Maka berlapang dadalah dengan mereka.

Urusan memudahkan Nikah membawa begitu banyak kebaikan dari sudut pandang mereka. Sempat hadir ke majlis walimah rakan petang tadi.


Suka plak aku nengok gambar ni. Hanya shidun je yang ada time aku datang. Sopek dengan apex dah balik. Aku tak dapat nak tafisr apa aisa tgh buat.

Seronok lihat rakan-rakan yang membuat kenduri kahwin dengan begitu simple. Pakaian tidak mahal-mahal, tak perlu lagu-lagu yang bagai nak roboh pelamin, majlis ikut kemampuan sahaja. Masa dihabiskan melayan tetamu yang hadir, tidak sibuk berposing sana-sini. Mudah-mudahan Allah berkati pengantin-pengantin sebegini.

Sekian dari Syuib0809

Wednesday, 19 March 2014

Nota USRAH: Hunain MH370

Bismillah.

Aku kongsikan sedikit nota yang aku buat untuk Usrah hari ini. Namun terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Lama tidak menulis macam ni. Ringkasan sahaja.

HUNAIN: Sains dan Penciptanya.

AtTaubah ayat 25

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.  

Setelah berlakunya peristiwa pembukaan kota Mekah, maka perang Hunain mengambil tempatnya apabila kaum Musyrikin tidak berpuas hati dengan kemenangan Islam. Strategi pihak musuh yang berpusat di Thaif memilih lembah Hunain sebagai medan pertempuran, diketuai seorang pemuda yang IDEALISTIK iaitu Malik bin Auf. Akal sainsnya berpendapat kalau tenteranya membawa segala harta benda dan ahli keluarga, pasti mereka lebih bersemangat dan tidak lari dari medan perang. Hmm.. menarik

Di bahagian muslimin pula, sebuah angkatan tentera sejumlah hampir 12000 ribu orang digerakkan bagi berhadapan dengan tentera musyrikin. Dalam jumlah ini, ada sebahagian kecilnya yang baru sahaja memeluk Islam, malah tidak begitu memahami Islam. Dalam perjalanan, beberapa peristiwa yang berlaku menyebabkan mereka mengundang kemarahan Rasululullah S.A.W. Antaranya:

Dalam perjalanan, sebahagian tentera Islam begitu yakin bahawa mereka akan menang kali ini. Jumlah yang jauh berganda berbanding perang Badar, mana mungkin akan kalah mengikut akal logiknya. Sainsnya, kalau sedikit sudah menang, apatah lagi kalau ramai. Lalu Allah uji mereka dengan serangan dari musuh yang menyebabkan mereka bertempiaran lari meninggalkan Rasulullah. Yang kekal bersama Rasululullah sudah tentulah kaum Muhajirin dan Ansar hingga akhirnya mereka beroleh kemenangan.

Dalam perjalanan juga, penduduk-penduduk Mekah yang bersama dalam peperangan kali ini memhon nabi meng"ada"kan sebuah pohon besar yang digelar Dzatu Anwath seperti mana yang ada pada kaum musyrikin. Sudah menjadi adat kepercayaan masyarakat Jahiliyah Mekah meletakkan senjata mereka pada pokok ini bagi mendapatkan berkah. Mereka percaya, senjata mereka akan lebih power selepas diletakkan pada pokok ini. Ini baru kepercayaan kecil, banyak lagi yang lebih besar seperti menilik nasib menggunakan anak panah seperti mana yang dinukilkan dalam AlQuran.

MH370: Sains, Tuhan dan Bomoh??


Bilamana Malaysia dikejutkan dengan peristiwa kehilangan kapal Terbang MH370, semua jentera hebat digerakkan bagi mencari dan menyelamatkan pesawat berkenaan. Mana mungkin sebuah kapal terbang canggih yang besar boleh hilang dari radar. Sains mengatakan ia tidak mungkin berlaku. Hingga hari ke 11, segalanya masih misteri walaupun mendapat pertolongan daripada 14 negara. Muncul Kapten Norudin yang membawa harapan baru kepada Umat Islam supaya tidak sekadar bergantung kepada Sains, namun memohon juga kepada pencipta sains.

Kata-kata popularnya.
"Apabila sains berada di penghujungnya, di situlah kuasa Allah bermula.."

Allah menegur kita yang sentiasa bergantung dan berakidah dengan Sains. Namun melupakan pencipta Sains tersebut yang kuasanya melangkaui akal pemikiran manusia. Maka berdoalah kepada Allah, pasti Allah makbulkan. Namun begitu, masyarakat melayu masih tidak ubah sepertimana masyarakat Jahiliyah. Walaupun Islam sudah mula dihadam dengan baik di Malaysia, masih ada yang percaya kepada BOMOH! untuk mencari MH370. Sukar menghapuskan amalam ini apatah lagi bila kaedah khurafat tersebut tanpa segan silunya mengalunkan ayat suci AlQuran dan kalimah Allah. Hebat kan?



Kesimpulan.

Kepercayaan-kepercayaan khurafat sudah berakar umbi dalam masyarakat melayu. Kisah hantu, parang terbang, lenggang perut, dan pelbagai lagi kepercayaan meresap dalam keadaan masyarakat sekeliling aktif ke masjid dan mendengar ceramah agama. Khurafat bukan kerana mereka tidak percaya pada Tuhan, tetapi kerana mereka tidak benar-benar percaya kepada Tuhan. Di zaman Umar sendiri, ada segelintir umat Islam yang mengambil berkat dari pohon berlakunya baiah ridhwan. Lau, menyebabkan Umar perintah menebangnya


Allah sudah membuktikan begitu banyak kisah dalam Alquran yang membuntukan akal logik dan Sains manusia. Kisah Ashabul Kahfi, kelahiran Nabi Isa, kemenangan perang badar, malah Madinah sendiri menjadi Negara Islam walaupun nabi lebih banyak menghabiskan umurnya di Mekah. Berserah dan percaya pada Allah tidak sesekali mendefinisikan kita putus usaha dengan ilmu Sains yang ada di dunia. Luaskan maksud usaha untuk kita mendapatkan sesuatu. Usaha bukan untuk diletakkan kepada Sains sahaja, berharap kepada pencipta sains juga adalah satu USAHA.

Kenapa perlu dibezakan DOA dan USAHA
Bukankah DOA pun satu USAHA juga


Sekian dari Syuib0809


Thursday, 13 March 2014

MLC 2014 Alang Sedayu

Bismillah

Hari Kedua.

Paginya berjalan dengan begitu baik sekali. Selepas subuh, peserta dihidangkan dengan game "mata ajaib" yang disediakan sebagai back up game untuk MLC. Selepas hari mulai cerah, baru game sebenar iaitu Bola Pyramida mengambil tempat. Pertama kali permainan ini diperkenalkan dalam program MUSCOM dan secara jujurnya peserta seronok dengan permainan tersebut. Cuma bolanya mungkin boleh beli yang lebih berat/mahal. Hehe.

Jam 9.00 pagi, slot kak madihah mengambil tempat. Sudah beberapa kali aku bersama kak madihah dalam program-program MUSCOM. Malah MLC zaman aku menjadi peserta lagi kak Madihah sudah turun menjadi fasi. Cuma kali ini, kak Madihah diberi slot Talk selama satu jam setengah untuk berkongsi mengenai pengurusan meeting dan bagaimana men"dengar" perilaku manusia. Tanpa ragu-ragu, memang terbaik slot ni. Penuh input, jenaka, dan tips analogi yang sangat berguna. Well, kak madihah kot.

Habis talk kak madihah, kebimbangan aku pun bermula. Di sebalik tabir pembikinan modul, LDK antara yang menghadapi masalah kronik kerana notis MLC yang sangat singkat. Malah, kerunsingan aku mengenai masalah ini antara penyebab aku mengarang Kapitalis Dakwah. Hingga hari kejadian, pengisian LDK masih tidak disusun dengan begitu baik. Yang ada hanya bahan tanpa olahan, hingga menyebabkan fasi agak kelam kabut. Kehadiran fasilitator yang ramai dan hebat juga menyebabkan aku menggelabah. Macam mana nak manfaatkan kehebatan mereka??

Di Sebalik Tabir MLC.

Kami kekurangan tenaga kerja. Syahir(pengarah modul) mendapat portfolio baru iaitu menguruskan makanan kerana masalah perpindahan kem yang berlaku semalamnya. Malah beliau juga terpaksa mengendalikan urusan-urusan teknikal seperti mencetak dan menghantar peserta ke hospital sepanjang aku menguruskan program. Maka, aku terpaksa merombak jadual program seorg diri kerana hanya kami berdua yang benar-benar memahami modul sepenuhnya. Ketika talk abang Azwan mengambil tempat, perbincangan bersama fasilitator pun bermula.


Abg Azwan, 1st Batch KY. Satu-satunya talk yang aku tak berkesempatan dengar. 
Nampak macam best.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah peserta tak rasa perbezaan antara leadership biasa dengan Muslim Leadership Camp yang biasa. Dengan kata lain, tidak banyak pengisian rohani yang ditekankan, Terbalik dengan apa yang kami jangka. Modul untuk petang berjudul survivor masih tidak diprint dan tiada penyusunan yang jelas mengenai peranan fasi. Perbincangan menjadi semakin hangat bilamana fasi2 mempersoalkan fungsi LDK bertajuk Come Money Come. Aku semakin pening bila jadual sekali lagi terpaksa dirombak kerana ekspedisi ke Air Terjun yang bakal mengambil tempat jam 4.00 petang sedangkan talk abg Azwan hanya berakhir jam 3.40 petang. Bila nak wat LDK? Takkan fasilitator datang untuk satu LDK sahaja?

Berat sungguh nak decide..

Satu demi satu persoalan diselesaikan dengan baik. Kehadiran Jepah sedikit sebanyak melegakan hati aku sebab beliau antara orang yang sangat berpengalaman dan banyak mengajar aku sepanjang aku berprogram dengan beliau sejak 5 tahun yang lalu. Malah, talk beliau yang aku sangkakan biasa rupa-rupanya berjaya menarik perhatian peserta hingga bertubi-tubi persoalan ditanyakan kepada beliau. Malam pula, aku terpaksa membatalkan Come Money Come untuk menyambung kembali LDK pengurusan meeting, Back Up Plan!!. Jepah, Yorke, kak Zaffan dan Abg Aben sekali lagi membantu dalam memberikan pandangan selepas peserta bermeeting.


Tahun 2009, Jepah belum kahwin lagi. Kami sebaya.

Keesokan harinya, program berjalan seperti biasa tanpa sebarang rombakan jadual. Cuma, hidangan nasi lemak berjaya memabukkan para peserta sepanjang Forum bersama Super Senior berlansung. Ngantuk je muka diorang. Time ade lawak baru nak jaga. Seronok jumpa Afiq yang dah beberapa tahun tak berjumpa. Slot forum merupakan kendalian terakhir aku sebelum aku menyerahkan kepada Amir Hasyim yang kembali ke MLC pagi ahad tu. Walaupun berat, aku terpaksa me"lari"kan diri atas alasan yang hanya aku sahaja tahu.


Forum bersama Afiq ex pres muscom dan kak Ainol.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan MLC tahun ini. (Gaya ada org baca je..). My beloved Murabbi, Ustaz Malikie yang jelas kehebatan beliau semasa proses rundingan perubahan tempat kem berjalan. Para fasilitator/alumni yang sanggup meluangkan masa walaupun sudah bekerjaya dan sibuk menguruskan rumah tangga. Juga tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan komitmen dan disiplin yang baik sepanjang program berlansung. Maaf kerana tidak dapat memenuhi keperluan kalian.

InshaAllah bertemu lagi.
Aku menjangkakan ini program terakhir aku bersama Muscom/Kyuem. Entahlah


Sedih tak dapat bergambar dengan diorang

Sekian dari Syuib0809.

Wednesday, 12 March 2014

Muslim Leadership Camp 2014 bhgn 1

Bismillah.

Empat tahun aku tidak terlibat dengan program Muslim Leadership Camp. Alhamdulillah, ruang menganggur memberi peluang untuk aku sekali lagi bersama-sama dalam MLC kali ni. Namun, keputusan mengadakan MLC ni agak mengejut hingga memakan masa hanya dua minggu untuk AJK bertindak dan team Modul merancang pengisian. Hasilnya...

Aku sampai ke Kem Alang Sedayu jam 12.30 tgh hari. Aku tersalah masuk ke Jungle lodge pada mulanya, nasib baik orang di situ bagitahu xde program di situ. Terkejut tengok tempat kem yang sangat tak sesuai untuk program MLC kali ni. Bila AJK dan peserta sampai petang tu, kemelut pun bermula. Secara jujurnya pengurusan kem tersebut sangat teruk. Tiba-tiba, ada kumpulan lain yang menggunakan dewan kem menyebabkan kami perlu berpindah ke bawah canopy untuk dijadikan dewan. Erk??. Keadaan bertambah buruk bilamana peserta muslimin hanya diberikan sebuah bilik kosong tanpa katil untuk tidur. Apakah? Banyak lagi yang menyebabkan kepanasan hati.


Aku mencadangkan kami berpindah ke Jungle lodge Alang sedayu yang aku salah masuk tadi. Petang tu, hampir 3 jam digunakan untuk berbincang, berunding dan memindahkan peserta ke tempat baru. Inilah kali pertama keadaan macam ni berlaku sepanjang aku berprogram. Ketidakadilan pihak Kem Alang Sedayu aku rasa perlu sangat diceritakan supaya tiada lagi orang terperangkap seperti kami yang kerugian hampir dua ribu ringgit.

Dan Jungle Lodge pula?? Lawa dowh tempat dia!!

Program bermula selepas solat maghrib sekitar jam 8.15 malam. Sebagai MC dan juga ahli team modul, aku terpaksa merombak jadual program yang sudah lari hampir 3 jam. Dan mahu atau tidak, ia sangat mempengaruhi rombakan untuk hari-hari yang seterusnya. MLC kali ini dihadiri 26 peserta muslimin, dan 17 peserta muslimat. Jarang-jarang berlaku ketika program peserta lelaki lebih ramai dari muslimat.


Bagi aku dewan dia agak selesa. Nyamuk pun takde.

Malam tu, aktiviti pertama ialah Japanese IQ test yang dibuat dalam kumpulan bertujuan untuk peserta kenal siapa yang mampu memimpin kumpulan mereka. Kemudian, mereka memilih ketua kumpulan dengan mencirikan kriteria individu tersebut untuk dijadikan kepimpinan kumpulan. MLC bersambung dengan talk by Akmal Amri mengenai beberapa asas kepada konsep kepimpinan, juga ciri-ciri ucapan pemimpin yang baik. Lebih kurang jam 11 malam segalanya sudah tamat. Sepatutya ada LDK, namun aku meyakini peserta sudah penat berdepan dengan apa yang berlaku pada hari ini.

Ingatkan malam tu nak tidur awal. Tapi tak dapat nak tidur sebab tunggu caer dan amir yang hantar peserta gastrik ke hospital. Yang syoknya, akmal dan anaknya Ikhwan tak dapat tidur malam tu. Allah bagi ruang untuk rapat dengan anak-beranak ni selepas lama gak aku tak sembang dengan akmal ni sejak dia kahwin. Anak dia ni pun aku tak pernah sentuh sebelum ni. Ada beberapa orang peserta yang turut bersama kami malam tu kat dewan.


Ni lagi seorang yang menghiburkan kami di MLC. Si Taqi anak jepah dan kak ajah. 
Geram tengok dia ni.

Hari pertama berjalan lancar. Namun hari kedua sangat-sangat mencabar hingga aku sangat stress. Berat sangat bahu terasa di hari kedua.
InsyaAllah aku kongsikan next time.

Sekian.

Tuesday, 4 March 2014

Kapitalis Dakwah

Bismillah

Semalam aku agak runsing. Perasaan marah, sedih, merajuk, tak puas hati semuanya bermain dalam diri. Tapi yang bestnya bila perasaan-perasaan ni datang ialah aku pasti nak meluahkannya dalam bentuk "puisi". Bahasanya mudah sahaja. Tetapi melegakan jiwa. Isinya lebih kepada cerminan kepada diri sendiri. Mempersembahkan Kapitalis Dakwah:


Wahai anakku
Ingin sekali aku bercerita kepadamu 
Perihal diri dan sahabat-sahabatku.
Yang mabuk terketum dicucuk jarum halus
Menjadi  pedoman dikala bertanya
Selagi dirimu bernafas di dunia

Masih ku ingat
Duniaku di ambang persekolahan
Penuh kepentingan untuk diri sendiri
Berakidah fasis kapitalis 
Seolah usahaku penentu takdirku
Memandang tinggi diri sendiri
Memburu kejelekan rakan di sisi

Musim bersilih ganti
Hingga aku mengenal dakwah dari dunia si kapitalis
Yang isinya sentiasa mahu dipandang tinggi.
Segala yang diatur hakikatnya untuk diri
Agar makhluk dunia memandang ilmunya

Resam dakwah kini mula mengganggu rezkinya
Maka diri mula berdalil alasan
Bilamana bujangnya dicicip alasan
Nikahnya  juga mengundang seribu satu alasan
Hingga dirinya berat ke medan dakwah



Di ruang sempit aku bermonolog

Duhai sahabat
Bilamana dakwah disulam untuk menaikkan dirimu
Terpanalah kamu dengan pujian manusia
Hingga kamu melakukan yang terbaik 
Namun bilamana kamu terpesona dengan harta dan dunia
Dakwahmu tercabut seperti kemuncup
Kerna penduduk langit tidak mendoakanmu
Yang hanya berfikir untuk diri sendiri

Sedarlah sahabatku
Bilamana kamu tidak rasa cukup dengan yang sedikit
Maka kamu tidak akan puas dengan harta yang banyak
Yang dicari rohmu ialah keberkatan
Bukan pada kuantiti, tidak juga pada kualiti
Kerana ketenangan lahir dari pemberian Tuhanmu
Bila kamu dekat denganNya
Dan jauh dari bertuhankan hambaNya.

Wahai anakku
Carilah ilmu
Namun jangan kamu pandang rendah insan lain.
Yang kuharap bukan amalan hebatmu
Tetapi istiqamahnya amalan harianmu
Biar manusia di bumi tidak mengenalmu.
Kerna penduduk langit pasti mencintaimu

Nukilan ini dikala dirimu runsing
Walhal kamu sedang memikirkan dirimu sendiri
Kapitalis hadir bila kamu mengabaikan orang lain
Atau kamu lupa Tuhan yang sedang melihatmu
Bertenanglah wahai anakku
Bilamana kamu membantu agamanya.
Maka Allah pasti membantumu


Sekian dari Syuib0809

Sunday, 2 March 2014

Weil China

Bismillah.

Kerapkali dulu bila aku dengar beberapa ceramah terutamanya dari Ann Wan, pasti ada disebut bagaiman gerakan komunis cuba menghapuskan pegangan dan amalan agama daripada rakyatnya. Aku tak tahulah kenapa, tapi waktu tu memang semangat berkobar-kobar nak tahu pasal masyarakat Islam di China yang ternyata sangat ramai. Waktu tu juga aku terperasan ada beberapa amalan yang kelihatan ter"sasar" atau pelik yang dipraktikkan oleh muslim di China. Kenapa?

Waktu di maktab, aku sangat pelik kenapa orang cina yang baik seolah-olah tiada agama. Ada sebahagian kecilnya menganut agama Kristian. Namun majoritinya lemah untuk percaya kepada agama. Oleh kerana aku mencari-cari bahan mengenai masyarakat cina, akhirnya aku terjumpa sebuah buku bertajuk Weil China. Review yang baik, namun terlalu susah nak cari tempat yang masih ada jual buku ni. Sampailah akhirnya aku terserempak dengan katalog lama Pustaka Iman. Alhamdulillah.





Aku kagum bagaimana komunis mampu menukar pemikiran orang bijak pandai agar bersama-sama dengan mereka. Penanaman Fikrah yang sangat dahsyat, hinggakan seorang anak mampu memusuhi, malah membunuh bapanya yang tidak se"fikrah" dengannya. Dimulakan dengan pembacaan, kemudian pembenihan kebencian terhadap sistem Kapitalis yang terus memiskinkan yang miskin. Lalu, fahaman Sosialis cuba mengambil tempat dengan memansuhkan hak individu. Endoktrinasi "mulia" yang berjaya mencipta revolusi sehinggakan komunis mengambil alih China/Turkistan sekitar tahun 1949.

Namun, teori sosialis dan impian memiliki negara komunis tersebut apabila dilaksanakan menjadi begitu kucar-kacir. Paling menarik dalam buku ini ialah apabila Sistem-sistem tersebut tidak lagi mempercayai kewujudan tuhan malah bergerak untuk menghapuskan agama. Perkampungan umat Islam dimusnahkan. Orang yang solat diseksa dan dibunuh. Seorang gadis bernama Suwaimjal dipenjarakan kerana menegur pentadbiran sekolah yang menghidangkan babi kepada pelajar ISLAM, walaupun beliau seorang penyokong idea komunisme. Namun tatkala agama lain sudah tidak mampu untuk bertahan, Umat ISlam masih utuh hinggakan menjadi majoriti tahanan di penjara-penjara komunis.

Buku ni bermain dengan emosi yang sangat kompleks. Sekiranya difilemkan, mungkin tak sanggup manusia menontonnya. Kekejaman Hukuman dan Seksaan China ternyata diluar batasan minda untuk dibayangkan. Bayangkan bayi yang ditarik kepalanya hingga putus. Lelaki yang diletakkan dalam kotak besi berbulan-bulan lamanya di tengah panas tanpa sebarang makanan. Ada yang direndam separuh badannya dalam air berbulan-bulan. Dan macam-macam lagi seksaan untuk memusnahkan pegangan agama.



Buku yang sangat patut dibaca agar kita mengerti betapa hebatnya ketahanan muslim di China selepas begitu banyak ujian yang menimpa mereka. Maka, pegangan "longgar" yang kelihatan sekarang hakikatnya sudah cukup baik berbanding dengan kita yg aman damai. Barangkali ulama'-ulama' dunia boleh melawat mereka dan menyuburkan majlis-majlis di sana.

Sekian dari Syuib0809