Saturday, 18 May 2019

Iftar Ramadhan 5: Sejarah

Bismillah

Lama benar tidak menulis. Sibuk yang lain macam. Menguruskan pelbagai perkara, dan jasad seperti sudah tidak sekuat dahulu. Projek ramadhan kali ini, aku menjadi setiausahanya. Maka, ia secara rasminya menjadi "halal" dan diiktiraf oleh pihak kolej. Selepas lima tahun bersabar, Allah tunjukkan hasilnya.



Tahun pertama di kolej, aku tidak berbuat apa-apa. Baru dua bulan mendaftar di kolej, aku hanya memerhati, dan berbuka di masjid luar. Cuma kisah mengejutkan ketika itu, ANC dimarahi kena memandai-mandai kutip derma tanpa pengetahuan pihak kolej. Dan kutipan itu sebenarnya hanya untuk satu hari. Oleh kerana terlalu baru, aku tidak minat masuk campur.

Tahun kedua, aku nekad untuk buat sesuatu agar ramadhan itu diraikan maghribnya. Pergi ke kedai bersebelahan masjid badawi, beli dapur warna hijau yang sehingga sekarang masih ANC gunakan. Tujuannya sangat kecil, hanya untuk sediakan air manis dan buah-buahan kepada mereka yang berbuka. Bawa makanan sendiri dan kemudian solat maghrib. Hari pertama, 50-60 orang je datang. Dan sepanjang ramadhan itu, tak sampai RM2000 pun derma yang dapat. Bg mendapatkan buah yg murah, setiap weekend balik teluk intan untuk beli tembikai.

Ketika batch nik, masulah HES dia sangat hyperactive, dan rajin merayu sumbangan dari cafe-cafe. Masih menyediakan juadah secara rahsia, kami menambah kuih/murtabak/roti john sebagai menu tambahan mengiringi air dan buah. Dalam seminggu, hanya tiga hari sahaja mampu makan nasi berlauk hasil sumbangan orang ramai yang tahu. Tetapi ia keajaiban yang sangat memotivasikan diri.

Sampai tahun keempat, aku mula menyebarkannya dikalangan pensyarah. Namun begitu, kami masih bergerak secara underground. Takut, walaupun isu sudah berkurangan. Cuma kejayaan iftar sebelum ini, menyebarkan ramai pensyarah yang tahu. Alhamdulillah, kutipan ketika itu sangat banyak menyebabkan setiap hari dapat makan nasi berlauk. Bermula beli periuk nasi dan masak nasi sendiri. Kalau tidak silap, tahun tersebut jumlah kutipan sekitar RM14000.

Tahun lepas, aku mencadangkan agar iftar ramadhan ini dibahagikan mengikut unit-unit matapelajaran di kolej. Tetapi ia ditolak oleh pihak atasan atas sebab-sebab tertentu. Kekecewaan yang berbaki, aku masih meneruskan iftar ini dengan menu yang hampir sama seperti tahun sebelumnya. Sambutan sangat dahsyat, bermula dengan 300 orang, naik 450 orang, aku akhirnya menyediakan juadah untuk 600 orang di minggu-minggu terakhir. Kemuncaknya, moreh makan pizza hut dan satay.

Setelah lima tahun...

Projek iftar ramadhan harian ini akhirnya menjadi projek rasmi ihya ramadhan oleh pusat Islam. Malah tahun ini, ajk2 pusat islam terlibat secara lansung dalam pencarian dana dan aktivit-aktivitinya. Aku juga menampal poster rasmi di kawasan pentadbiran kolej tanpa sedikit pun rasa takut.



Minggu kedua, jumlah kutipan sudah mencecah RM20 ribu. Sumbangan beras tak putus-putus, sebaik sahaja guna, ada sahaja yang tambah. Yang paling menarik, hari pertama pendaftaran pelajar, jumlah yang hadir untuk berbuka puasa sudah melebihi 300 orang sedangkan hanya air, buah dan murtabak sahaja yang disediakan. Ooh, dan ini hanyalah pelajar perempuan.

Pemandangan iftar

Inisiatif plastik ganti talam.



Kak ayu perform. Kalau marah boleh tahan gak.

Hari pertama makanan berlauk dihidangkan, makanan jadi tak cukup walaupun dah bajet untuk 300 orang. Congak-congak, sekitar 450 orang yang hadir, maka kami menambah juada untuk keesokan harinya..

MENU:

Isnin: Nasi putih, ayam goreng ikhwan, sayur kobis
Selasa: Nasi putih, ayam panggang, sayur paprik,
Rabu: Nasi putih, ayam golek, paprik ayam.
Khamis: Nasi hujan panas, ayam goreng RM1, ayam masak lada hitam, kobis goreng, roti john
Jumaat: Nasi beriyani, ayam percik, kari ayam, arca sayur, murtabak.
Sabtu: Nasi ayam

Ye, menunya makin meriah sebab perlu menghabiskan semua sumbangan-sumbangan itu. Dan selain itu, setiap malam juga ada moreh. Mengambil pengajaran dari moreh tahun lepas, perbezaan generasi menunjukkan budak-budak ni tak makan mee, bubur dan yang sewaktu dengannnya. Maka, jadilah menu-menu ni:

Ahad & isnin: roti garlic dan mushroom soup
Selasa & rabu: sandwich chicken slice
Khamis: donut bomboloni
Jumaat: spagetti carbonara
Sabtu: bihun soup.

Roti john/sandwich chicken slice+cheese


Donut bombolani

Donut tesco


KELEMAHAN:

Iftar ramadhan kali ini, Ayuni adalah segala-galanya. Bekas masulah HES ini, menguruskan hampir semua benda dengan bantuan rakan-rakannya. Semua tentang iftar ini, hanya dia yang tahu segalanya. Tidak berkongsi kerana penemannya bersilih ganti. Peniaga, senarai barang, senarai no telefon, tempat bazar semuanya dalam kepala dia. Sumbangan dan semangat gadis cantik ini, tiada siapa boleh nafikannya. Kehilangan satu persatu rakan-rakan, dia masih utuh sehingga tamat amanahnya.
Pilih gambar sis nampak kurus. Tak tau kenapa suka sungguh gambar ni.

Cuma pemimpin yang baik, bukan sekadar itu, tetapi perlu menyediakan dan mewariskan kepada pengganti mereka. Sehingga hari ini, mereka belum mencari pengganti yang sebenar-benarnya. Maka, minggu hadapan aku menjangkakan segalanya akan sedikit kelam kabut sehinggalah pdt3 kembali beraksi.

Ramadhan yang sangat menarik


Anak-anak buah ANC kali ini, aku punya begitu banyak gambar mereka. Cuma sayang, aku tidak punya gambar bersama mereka.

Mudah-mudahan istiqamah



Sekian dari Syuib0809

Thursday, 18 April 2019

Tamat sesi 2018/2019

Bismillah

Sudah seminggu sesi 2018/2019 melabuhkan tirai. So, sempena memperingati sejarah-sejarah ulangan, aku sertakan beberapa keping gambar sebagai rujukan kelak. Seronok ada blog, jadi "pendrive" online. Senang nak cari bila-bila.

Ni beberapa praktikum yang aku ajarin:

H4P05

H5P05

H2P05

Kelas feveret H2P05 ni aku suka sebab adab baguih. Nonmuslim pun sangat-sangat pandai menghormati dan rendah diri. Dan diorang adalah kelas yang buat dua kali jamuan, dan dua-duanya aku datang. Kelas ni ikhtilat power. Memang laki takkan duduk sebelah perempuan. Hahaha.

Seterusnya ialah cochee(ala mentor mentee) H6P01. Semester satu aku ajar, so rapatlah gak. Tapi bila fah masuk 2nd semester, memang tak berusik diorang ni. Dan aku juga sibuk macam-macam benda. Terutamanya ANC yang sentiasa menjadi keutamaan aku. Kesian gak diorang. Takde jamuan proper. Minggu study week panggil makan pizza kat dataran. Eh, diorang yang belanja


Mula-mula gambar tepi qasdina. Tapi pelik dan awkward sangat. Qasdina kot. So, bubuh gambar ni jelah.

Sekian dari Syuib0809


Friday, 12 April 2019

Pendakwah Sampah

Bismillah.

Ayuh bercerita tentang sampah.
Aku sebaik sahaja keluar dari sekolah menengah, mengenali dakwah di kolej persediaan A level. Dari zero, kenal sikit-sikit dengan senior badan dakwah yang sangat-sangat profesional. Ketika di sekolah, badan dakwah yang ada bukanlah badan dakwah rasmi, lebih kepada kumpulan tabligh sahaja. Aku dan Sopek sangat anti pada mereka. Berbicara soal agama, tetapi hidupnya dikelilingi sampah dan integriti disiplin yang sangat menyedihkan.

Masuk kyuem, majoriti senior badan dakwah itu sangat dahsyat budaya kerjanya. Malah mereka kebanyakannya adalah pimpinan pelajar di sekolah hebat-hebat. Di kolej, orang islam bukanlah minoriti. Cuma keterbukaan kolej swasta itu menyebabkan bukan islam dan islam liberal kelihatan kuat mendominasi. Kerana itu, matlamat muscom(badan dakwah) di sana sentiasa berusaha menampakkan ISLAM sebagai yang terbaik.

Aku suka menjadi orang islam yang minoriti. Dikelilingi majoriti bukan islam yang berakhlak tinggi ketika di UK, kami sentiasa malu untuk buat sesuatu yang memalukan ISLAM. Nak buang sampah merata-rata memang tidaklah. Tetapi hebatnya lagi di sana, orang putih akan clear meja makan sendiri sebaik sahaja habis makan di kedai. Jalan-jalan bersih dari sampah-sarap. Jika ada, mereka akan kutip dengan sendirinya dan masuk ke dalam tong sampah. Melihat itu, maka terasa malu untuk ajarkan ISLAm yang bersih kepada mereka.

SAMPAH DAN AGAMA.

Kewujudan Islam liberal terhasil apabila orang Islam tidak lagi melihat islam sebagai penyelesaian atau mampu menyelesaikan masalah. Masuk majlis ilmu, liqa', usrah, tamrin, tetapi kekal berperangai mementingkan diri seperti manusia jahiliyah. Malah, komuniti masjid yang aktif dengan majlis ilmu, masih lagi meletakkan sampah sebagai landskap utamanya, parking sesuka hati, malah kejiranan tidak tenang dengan sikap ketidaktamadunan mereka.

Lalu wujud NGO islam yang tidak mahu pakai tudung, tapi memenuhi hujung minggu dengan aktiviti membersihkan sampah kejiranan. NGO anti-hudud yang menghabiskan malam-malam mereka memberi makan pada gelandangan. Malah SIS yang difatwakan sesat itu disayangi manusia kerana pertolongan yang dihulurkan kepada wanita-wanita tertindas akibat keganasan rumah tangga. Dan kau, masih mahu bercerita soal agama?

PENDAKWAH SAMPAH

Mengubah masyarakat bukan sesuatu tugas yang mudah. Membentuk generasi, maka aku suka bermula dengan ANC. Setiap kali ada event, seronok melatih mereka bekerja dengan sangat profesional. Biar anak-anak pelajar yang pernah anti pada badan dakwah, terasa teruja melihat hasil kerja dan disiplin mereka. Cuma ada masanya, ia mengecewakan. Banyak yang semakin berjinak dengan perasaan malu, tetapi banyak juga yang masih kekal dengan badwinya.

Bersempena dengan PSPM yang sudahpun berakhir hari ni, kami membuka ruang belakang surau itu untuk ulangkaji pelajaran. Biar ramai yang hadir surau, seronok ke surau dan selesa dengan persekitarannya. Malah untuk aktiviti road to pspm, bertungkus lumus ajk menyediakan makanan agar para pelajar berpagian dengan wajah surau sebagai gambaran pertamanya. Tapi terkejut, surau itu jadi pusat sampah.

Dahsyat. Lepas makan buang macam tu je

Buat surau macam rumah sendiri. Takde nak kemasnya lepas guna.


Budak-budak surau yang berusrah itu, yang solat berjemaah itu, yang update status islamik itu, suka menghasilkan sampah dan selesa dikelilingi sampah. Jangan ditanya tentang hatinya. Jika luarnya selesa berkehidupan dengan sampah, maka hatinya tidak banyak berbeza. Yang mendukacitakan bukan itu, yang menyedihkan ialah tiada sedikit perasaan malu mentontonkan kepada masyarakat bahawa ISLAM adalah agama sampah. Dan kemudian dengan peliknya berkata "biasalah cikgu, memang orang tak suka dengan badan dakwah".

Walaupun aku berbangga dengan kerajinan dan kesungguhan mereka membantu, kekecewaan itu masih menebal. Masuk bilik markas macam tongkang pecah, kemudahan yang diberikan disalahgunakan. Harta ANC yang sepatutnya jadi medium dakwah, digunakan untuk kepentingan diri sendiri.

Tetapi itulah manifesti sayang. Semakin kau sayang kepada manusia, semakin kau mudah kecewa kepadanya. Makin kau berharap sesuatu kepadanya, makin tinggi pengkhianatan yang kau alami. Tetapi hebatnya Allah cipta manusia, punya iman dan pemahaman yang boleh turun dan naik. Maka besar harapan, agar iman dan akhlaknya naik selaras dengan usianya.

Kerana teguran dari orang yang sayang kepada orang yang disayangi bukan untuk menghinanya, tetapi sebuah paparan kekecewaan agar dirinya menjadi lebih baik. Anak-anak, janganlan selesa menjadi pendakwah sampah. Kerana kalian jauh lebih mulia dari itu.



Selamat pergi.
Mudah-mudahan kekal kembali.

Sunday, 31 March 2019

Wida' 2019: Duduklah

Bismillah

Alkisahnya semalam telah berlansungnya majlis wida'. Oleh kerana student tak boleh outing, maka aku menjadi mangsanya. Bawak 3 kumpulan berlainan keluar. Pagi, tengah hari dan petang. Sempat makan si hannan belanja pizza je. Ikat perut kononnya nak merasa makanan malamnya. Sekali tak sampai-sampai hinggalah tertido. Pukul 11.30 malam org hantar makanan. Merasa la juga.

Wida' kali ni aku buat seperti zaman Wahyu. Kali ini Mashitah adalah P.I.C nya. Menarik orangnya, aku tak pernah kenal sebelum ni. Menu utama ialah nasi arab dan kambing grill. Serta 15 menu lain seperti spaghetti, lasagne, pizza, cendol, sandwich dan oden. Lagu tema yang aku berikan pada mereka "tentang kita"

Mashitah tudung coklat


Menyimpulkan batch anc kali ini, hampir sama sifatnya dengan batch sebelum ini. Nakal, kuat tidur, tapi rajin. Cuma bezanya, mereka masih sukar meletak sempadan adab dan hormat disebabkan ketidakmatangan yang belum sampai puncaknya. Akibatnya, aku kurang berbincang perkara serius dengan diorang. Hanya ada 2-3 orang sahaja yang aku suka menjadikan sebagai teman pemikir. Selebihnya, hanya kuat bermain2 dan tempat berjenaka sahaja.



Kesamaan mereka juga, aku selalu duduk-duduk dengan mereka di grandstand. Seronok, menyakat anak dara yang kelihatan kuat agama. Mengenang itu, aku menulis ini. Dua minggu lagi berbaki. Duduklah..

Lagu mengiringi, InshaAllah lagu tema wida' sesi depan.


DUDUKLAH

Waktu begitu cepat berlalu
Mengukir wajah dalam cerita
Pendek panjangnya belum terkira
Apa yang pasti ramahan seketika
Usah kau sambut dengan berduka
Simpan rahsia dalam ceria.

Duduklah
Banyak cerita nak aku cerita
Seringkas kisah kancil dan buaya
Walau dongeng kaya bahasa
Singgahlah walau buat seketika
Wajah yang ada tak kekal sama
Khuatir tua tak kenal suara
Lupa hatinya pernah bersaudara

Duduklah sahabat
Sibuk benar kau dengan dunia
Aku tahu kau tinggi cita
Cuma ku takut kau hilang cinta
Masa yang ada tak tinggal lama
Esok lusa entahkan berjumpa

Duduklah sahabat
Sudi aku menjadi pendengarmu
Engkau dan aku tak punya rahsia
Walau kau kenal ku hanya seketika
Tetapi engkaulah yang aku percaya
Bukan kerana engkau sempurna
Hanya kerana engkau setia

Duduklah sebentar sahabat
Cantik benar kau malam ini
Itu sahaja nak aku katakan
Kerana esok kau akan pergi
aku juga kan bawa diri
Berlalu bersama lukisan hati
Hiasan seni ketika sunyi

Malam yang masih tersisa
Seronok melihat semuanya bersama
Tanpa lensa yang memahat cereka
Wajah hadir pelengkap pujangga
Akan kisah yang sudah sempurna
Ke mana pergi tiada yang sama

Bila nanti kau sudah tiada
Kipas yang ada kan kekal sama
Lampu tinggi kan terus menyala
Kerusi kau patahkan kan jadi cerita
Tentang saat kau duduk bersama
Ralat sendawa alunan ketawa
Suratan sedih nasihat pusaka

Selamat tinggal sahabat
Bila nanti kita berjumpa
Duduklah seketika
Banyak cerita nak aku cerita
Seringkas pertemuan si kancil dan buaya
Duduklah... 
Walau ku tau
kau sibuk dengan dunia






Sekian dari Syuib0809

Wednesday, 20 March 2019

MLC2019: Alumni

Bismillah

Hujung minggu lepas, Muslim Leadership Camp anjuran muscom kyuem telah berjaya dilaksanakan. Mlc kali ni, aku menerima tugas sebagai pengarah modul dari moderator iaitu Jpah. Bukan kali pertama, tapi oleh kerana sudah tiada siapa yang mahu beri komitmen, aku menerima sahaja tugasan itu. Cuma tarikhnya agak meragukan sebab terlampau hampir dengan penutup program matrikulasi sesi 2018/2019. Oleh kerana itu, aku melantik Juwita dari batch 15th menjadi penyelaras, backup sekiranya berlaku apa-apa.

Dan benar, tarikh 15-17 itu sudah penuh dengan program.

Pada asalnya, tempat program dicadangkan di Ulu Yam, selangor. Aku tidak punya masalah untuk ke sana kerana jaraknya agak ok. Malah, aku pernah ke sana. Dengan tiba-tiba AJK teknikal mengubah tempat program ke Hulu Langat yang secara jujurnya sangat jauh dan perlu menyeberangi bandar Kuala Lumpur. Maka, aku mula memikirkan kembali "keperluan" untuk ke sana. Berbaloi atau tidak?

Alumni.

Lokasi tempat program yang terlampau hampir dengan KL, aku punya harapan akan komitmen alumni yang sagat padu. 70 orang Alumni yang 90% nya menetap di KL, aku kira lokasi program kali ini sangat memberi kelebihan. Tapi sayang, tiada yang berminat. Hingga akhirnya muka sama sahaja yang turun. Kecewa. Aku memberontak dan membisikkan dalam hati

"Orang yang tak sampai 30 minit pun tak mau turun, pehal kau yang kena drive 5 jam nak kena pi sana plak.."

Lupa Quran barangkali....

Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). Albaqarah:42

Idola aku, kak Madihah. Doktor gigi. Waktu aku belajar kat KY, dia jadi fasi. Lepas habis belajar, berapa kali duduk satu team modul dengan beliau. Sangat hebat, tak pernah beralasan. 4 tahun lepas, bila panggil jadi fasi, dia datang dengan perut sarat mengandung 7-8 bulan. Yang muda-muda, baru dapat berita mengandung dah tak mau turun

Walaupun sudah mula bercuti hari jumaat, aku melewatkan kehadiran aku. Program di pulau pinang juga telah ditangguhkan. Hadir lewat itu punya banyak sebab. Antaranya, aku mahu Juwita dan Waida berdikari dalam program yang direka oleh mereka. Lelaki tua ni sudah tidak terbilang berapa kali menguruskan modulnya. Malah ketika dua orang anak gadis ini masih belajar di kolej, aku adalah antara ketua dan team modulnya. Okeh, terasa tua.

Tapi budak 2 orang ni tak nak panggil aku abang. Hmmm..

Dari teluk intan, aku bergerak ke Hulu Langat jam 5.00 pagi. Risau tiada alumni lelaki yang mahu menguruskan. Nak serah pada Jpah sorang terasa sangat kesian. Sampai jam 8 pagi, terus terserempak dengan Jpah. Beliau adalah orang yang bertanggungjawap menjaga dan mengkaderkan aku ketika masih di kolej. Melihat dia masih istiqamah, aku meyakini aku ditarbiyah oleh orang yang betul.

Jemput abang Q bagi talk pasal kepimpinan dan dakwah. Baca biodata dia, aku pun tak tau macamna aku boleh ada kenalan org2 besar macam ni. Naqib ketika di UK. Kami berusrah online dengan beliau yang bekerja dengan shell di london. Usrah Nuqaba' Ahli Kawasan(UNAK). Dia adalah orang yang menyebabkan aku baca terjemahan quran dari awal sampai habis.


Minum petang Murabbi.

Petang sabtu, Ustaz Malikie mengumpulkan semua alumni yang hadir. Sebaik sahaja ribut taufan melanda jemaah, tak banyak anak buah ustaz yang kekal. Ada satu batch tu, daripada 20 orang, yang tinggal hanya 4 orang. Duduk di tempat ustaz, aku faham benar perasaan ustaz yang mahu alumni kembali seperti dulu. Kerana itu, ustaz memberi cadangan agar Alumni dikumpulkan kembali. Yang mengambik tugas ini ialah Dr Firdaus Rahim.

Dr firdaus rahim. Orangnya memang pelik sikit. Tengah sambung master di UKM. Naqib ketika di UK. Walaupun aku duduk di leicester, aku berusrah di Nottingham bawah beliau. Anak2 buah dia semuanya dah cabut lari. Tinggal beberapa kerat je. Haha. Tapi sangat baik orangnya. Sapa jumpa, mesti sayang kat dia.

Petang itu, antara yang turut hadir ialah Dzar, sama batch dengan daus. Aku pula ditemani Caer, satu-satunya batch aku yg masih sangat aktif dan istiqamah. Menarik petang itu, aku ditemani murabbi, naqib2 dan rakan seperjuangan yang masih setia seperti dulu.

Murabbi yang tak pernah tua, naqib yang masih pelik dan rakan seperjuangan yang semakin sedikit. Lawa tempat ni. Kem iman dsemungkis hulu langat.

Muscom(badan dakwah kolej) secara jujurnya berhadapan cabaran besar di kolej. Jika dulu, mereka dilihat dominan, suara didengari dan dihormati, malah Islam menjadi keutamaan dalam pelbagai isu. Namun kini, mereka diserang kiri kanan, hanya dianggap kelab biasa malah dipersoalkan peruntukan untuk mereka. Terkejut, nonmuslim sampai mempersoalkan kenapa perlu baca doa di majlis2 kolej. Dahsyat.

Aku melihat "kejatuhan" muscom itu berkadar lansung dengan "kejatuhan" alumni.

Alumni yang turun. Dzar, caer, jpah, hannan dan abang Al(suami kak madihah)


Namun, melihat muscom yang baru ini, aku punya firasat yang mereka akan kembali bangkit. Gabungan presiden dan vice pres diorang agak mantap. Lalu, aku juga berharap kebangkitan mereka juga merintis kebangkitan alumni semula.

Aku tidak pasti bila tanzim kmpp akan menerima nasib yang sama. Masanya pasti tiba, bila tiada lagi alumni yang mahu kisah akan adik2 mereka yang bertatih mengenal tarbiyah dan dakwah. Ketika itu berlaku kelak, aku berdoa jika hanya tinggal satu jasad yang sudi, maka akulah jasad tersebut.

Batch 21th. Aku batch 10th. Tua dah


Sekian dari Syuib0809

Tuesday, 12 March 2019

Tin emas

Bismillah.

Lama simpan penulisan ni. Janji bulan februari hari tu. Oleh kerana minggu ni lapang, release lah gamaknya. Yang faham, fahamlah kot. Yang tak faham, gelak jelah. Huhu


Alkisah gadis satria syurga
Muda yatim besar piatu
Hidup miskin kaya susila
Cantik besar menjadi hamba
Rendah hati tinggi pekerti
Ke mana pergi menyuci diri

Cantik gadis ini
Bila kau lihat kau tidak nampak
Tersorok manis dibalik tingkap
Bukan kain yang menjadi niqab
Tapi hati yang menjadi hijab
Penanda rupa tak pernah serupa
Dengan manusia yang miskin adab

Benar manusia tidak sempurna
Jika cantik merong akalnya
Atau bijak sinis bahasa
Yang mahu cantik semakin gila
Konon cerdik hilang agama
Keji hidup tidak berTuhan
Hina falsafah kalah dek haiwan

Gadis ini tidak begitu
Kukuh hati mahu berTuhan
Menyimpan agama seperti emas
Hidup bertauhid punya neraca
Bimbang pitam masuk neraka
Benar kau lihat dia manusia
Tapi ku mimpi dialah syurga

Tatkala nafsu dan syariat beradu
Gadis ini menyulam baldu
Agar nafsu menjadi pemalu
Biarpun kolot di mata teman
Utuh cantiknya kekal berzaman
Bukan seperti hamba picisan
Jahil asli cantik buatan

Benar aku mencintaimu
Besar kerana engkau berTuhan
Sayang diriku terlalu tua
Janggut panjang tidak berdagu
Walhal engkau muda remaja
Cantik bersulam idaman sahaya
Biar yang muda jadi empunya
Miskin susah kaya bersama

Itulah misteri si tin emas
Walau bernilai teguh bersarung
Menyorok emas dibalik kertas
Jangan kau bimbang hai anak gadis
Dunia kau hidup hanya sebentar
Nilai dirimu untuk yang punya
Bukan sebagai penghibur semua

Jagalah dirimu
Nilai engkau, 
hanya engkau yang tentu


Adapun gambar tiada kena mengena dengan kisah di atas.

Sekian dari Syuib0809