Thursday, 26 January 2017

Sisi Hati Memori Akhir

Bismillah.

Pagi tadi sempat menyambar sebuah buku Prof Hamka berjudul "Lembaga Hidup". Tertarik dengan kata-katanya:

"pembayaran kewajipan yang paling tinggi dan mulia, ialah yang dikerjakan atas perintah hati sendiri. Bukan lantaran mengikut perintah orang lain, bukan lantaran paksaan atau pujian. Tidak pula terhenti lantaran maki dan cela.."

Teringat petikan yang pernah ditulis


Orang muda..
Langkahnya mesti bebas.
Bukan kerana engkau buat, maka aku kena buat..
Bukan kerana engkau suruh buat, lalu aku perlu buat.
Engkau bukan Tuan, sebab aku sudah berTuhan.
Dan aku bukan hambamu, sebab engkau juga sekadar Hamba.


SISI HATI MEMORI.

Sebaik sahaja MEMORI tamat, aku mengambil masa seminggu untuk memuhasabah diri. Ia soal hati, dari hati dan untuk hati. Sisi Hati kali ini, hanya aku selaku empunya diri sahaja yang mampu menilainya. Dan antara perkara besar yang aku imbaskan kembali ialah ketika mana kakak aku dimasukkan ke hospital Ipoh, selepas beberapa hari bermalam di Hospital Teluk Intan.

Aku hanya dapat tahu pada pagi jumaat. Dan tanpa berfikir panjang, aku pulang pada tengah hari jumaat, hari yang sama. Namun kepulangan aku itu terlalu sebentar. Mengetepikan keluarga, aku pulang kembali ke kolej sabtu pagi semata-mata kerana risau akan urusan persiapan memori. Selepas menguruskan urusan kayu pallet, malam itu menyelesaikan pula urusan projector yang tiba-tiba bermasalah.

Saat semua ini berlaku, bibit-bibit si munafik mula muncul dalam sisi kecil hati membisikkan:

"budak-budak ni, kalau takde aku, kompem tak jalan.."

"kalau bukan aku yang tolong, takdenya orang lain yang tolong..."

Ia penyakit hati. Ia pemusnah kepada semua amalan. Dan aku berpendapat aku perlu menjinakkannya.

LATIHAN: MENJAUHKAN HATI DAN DIRI

Satu minggu sebaik sahaja memori tamat, aku membuat keputusan untuk memutuskan hubungan sementara dengan mereka-mereka. Perancangan latihan yang sudah lama, mereka akhirnya menekan suis itu di Yan. Besar harapan, agar hati kecil yang sombong ini menundukkan sedikit egonya, mengakui bahawa Allah boleh sahaja menggantikannya. Aku mahu terus yakin, jika aku tiada pun, Allah pasti akan ganti orang-orang yang lebih hebat untuk menguruskan mereka. Dan aku mahu terus percaya, bahawa aku hakikatnya bukanlah sapa-sapa. Ia latihan yang dimodulkan untuk diri sendiri.

"Jangan sombonglah Izuan!!"

Dan untuk menguji kekaratan hati yang semakin parah,menjauhkan diri dan menjadi asing pada mereka itu sesuatu yang perlu diutamakan.


Si asing yang pantas menjadi teman

Esok lusanya menjadi asing kembali

Barangkali antara aku dan kamu

Lebih tepat pada kamu dan kamu
(Petikan Sisi Hati Memori)

Namun ia disalahertikan.
Asmak yang terserempak pagi tadi meneka sama:

"cikgu merajuk dengan kami ke?" soalan yang sama diaju oleh si Sufi beberapa hari sebelum itu.

Ia kesimpulan yang suka benar diambil oleh kaum hawa. Apatah lagi yang penuh dengan sifat kebudak-budakannya. Tiada apa yang mahu aku rajukkan.

Meneliti kata-kata buya hamka, makian dan celaan juga masih belum membuatkan aku berhenti. Malah, baru-baru ini, bendahari Pusat Islam dengan selambanya membuka mulut dihadapan aku:

"hangpa punya sebabla mic surau ni rosak! Duk cabut-cabut wayar dia. Tak payah dahla buat-buat qasidah semua tu lepas ni.."

Dan tanpa segan silu menghebahkan kepada pensyarah lain yang kononnya aku menjadi penyebab pembesar suara surau itu rosak.

Kau ingat aku kisah? Hahaha.

Namun begitu, aku selalu kalah dengan hati yang berbangga dan berbisik memuji diri.

TIGA PURNAMA.

Tiga bulan yang masih berbaki, aku masih menguji diri adakah aku mampu meninggalkan mereka. Ia latihan yang sangat susah. Malah tidak sampai satu minggu pun, sifat penyibuk itu selalu datang menyinggah. Yang kemudian menambah kebencian mereka atas keputusan yang aku ambil dalam satu isu terkini.

Maafkan mereka, mereka tidak tahu
Mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu,
Mereka tidah fasih, malah fasiq guna kata
Kita kongsi nama bangsa, tapi tidak kasta bahasa.
Petikan lirik lagu "Aku Maafkan Kamu.."

Marah, salah sangka dan benci mereka itu, menambah mudah untuk aku menjarakkan diri sehingga tiga purnama ini berlalu. Empat projek yang masih berbaki, aku mahu memastikan yang aku juga tidak berada dalam majlis wida' mereka seperti tahun-tahun sebelum ini. Dan inshAllah, segalanya pasti menjadi lebih baik.

Mudah-mudahan di akhirnya, aku, si hati dan si buah hati tunduk mengakui, yang hakikatnya setiap jasad yang sedang berbangga itu,. mereka bukanlah sapa-sapa.


Duhai hati

Usah banggakan jasadmu

Aku dan engkau tak punya apa

Ilmu sedikit yang terasa ada

Belum pasti membawa kita ke syurga
Pandang mulia insan di sisimu
Agar engkau belajar tunduk
Dengan nafsu yang mahu menunjuk
Secebis kehebatan tanpa keberkatan


Petikan "Bisikan Buat Raja" (April 2015)



Sekian dari Syuib0809.

1 comment: